Artikel "Utama" Terkini
RM118,100 Untuk Bantu Pengusaha Pelancongan Tasik Kenyir
HULU TERENGGANU, 27 Jun - Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) memperuntukkan RM118,100 untuk membantu pengusaha pelancongan di Tasik Kenyir yang terjejas susulan penularan pandemik COVID-19.
Pengerusinya, Dato' Razali Idris berkata bantuan insentif kewangan 'one off' itu diberikan kepada 277 pengusaha rumah bot serta bot laju dan pengusaha kedai di pusat pelancongan itu.
"Bagi pengusaha yang telah berkahwin, mereka akan menerima RM500 manakala yang bujang pula sebanyak RM300.
"Insentif ini merupakan yang bertujuan meringankan beban para penggiat pelancongan yang terjejas pendapatan ekoran PKP bagi mengekang penularan pandemik COVID-19,"ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas penyampaian intensif berkenaan kepada wakil persatuan di Pusat Penerangan Tasik Kenyir, hari ini.
Tambahnya, bantuan tersebut yang merupakan salah satu program tanggungjawab sosial korporat KETENGAH adalah kesinambungan bantuan pada PKP tahun lepas.
"Pada fasa pertama terdahulu iaitu PKP 1.0 pada 21 Jun 2020, KETENGAH telah menyalurkan sejumlah RM152,700 kepada 86 orang pengusaha rumah bot bagi memulihkan sektor pelancongan yang terjejas teruk," ujarnya lagi.
Dalam perkembangan sama, Razali turut memohon pertimbangan Majlis Keselamatan Negara (MKN) supaya sektor pelancongan di Terengganu beroperasi kembali.
"Ia bagi memperkasakan semula sektor pelancongan domestik yang terjejas sejak pelaksanaan PKP 3.0.
"Ini berdasarkan jumlah kes di negeri ini sehingga kini kekal dua digit sejak kebelakangan ini dan paras itu adalah antara tanda yang menyakinkan bahawa kita semakin pulih.
"Lagipun semua pengusaha industri pelancongan terutama di Tasik Kenyir bersedia beroperasi mengikut syarat ketat dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan," jelas beliau.
27 Jun 21
423
Kekurangan Tidak Halang Gadis OKU Jadi 'Runner'
KUALA TERENGGANU, 27 Jun - Berstatus orang kurang upaya (OKU) bukan alasan Nur Safra Abd Halim, 30, untuk mencari rezeki sebagai gadis penghantar barangan.
Dia yang juga bekas atlet para olahraga Terengganu menggunakan laman sosial Di Facebook dan WhatsApp sebagai iklan perkhidmatan selain kaedah 'mulut ke mulut' yang dipromosikan oleh pelanggan yang berpuas hati dengan khidmatnya.
Antara barangan yang sering dipesan pelanggan ialah bahan mentah seperti ikan dan ayam serta keperluan dapur seperti susu, rempah masakan dan tepung.
"Syukur alhamdulillah, usaha penat lelah saya, walaupun agak terbatas pergerakan namun berjaya memperolehi hampir RM500 sebulan hasil bekerja sebagai penghantar barangan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada Mac tahun lepas.
"Dulu saya kerja sebagai jurujual kereta Proton tapi pendapatan terjejas teruk setelah PKP. Jadi, saya ambil keputusan bekerja sebagai penghantar barangan...walaupun RM500 itu tidak banyak, namun ia cukup untuk menampung belanja hidup saya seorang, yang penting saya tidak membebankan keluarga kerana mereka pun hadapi masalah kewangan akibat situasi getir ekonomi ketika ini.
"Kerana pernah merasai pengalaman kesusahan tidak mempunyai pendapatan sewaktu PKP, saya tidak menetapkan sebarang kadar caj bayaran kepada pelanggan.Ikut kemampuan mereka untuk bayar upah dan saya terima," ujarnya yang kaki kanannya menjadi tempang sejak 2010 akibat kemalangan jalanraya.
Tambah Nur Safra, beliau cukup rasa bertuah kerana sejak berkecimpung dalam bidang itu, mempunyai pelanggan yang tidak 'berkira' dalam memberi upah dan sering membayar lebih daripada jumlah sepatutnya terutama pelanggan dari luar Terengganu yang membelikan barangan untuk ibu bapa mereka di kampung.
"Dalam pada itu, saya sentiasa menitikberatkan prosedur operasi standard (SOP) setiap kali menghantar barang pada saat wabak pandemik masih lagi tinggi.
"Saya pernah tersesat, pelanggan gagal dihubungi, terpaksa pergi ke beberapa lokasi berlainan untuk membeli barangan dikehendaki pelanggan, hujan lebat dan cuaca sangat panas ketika ini namun itu semua tidak pernah mematahkan semangat untuk meneruskan kerjaya ini,"ujarnya lagi.
Pemenang pingat emas acara lempar cakera dan rejam lembing pada temasya Sukan Para Malaysia (Para Sukma) 2018 itu berkata, tidak ramai yang menyedari kecacatannya kerana telah memasang 'tumit' untuk kasut kaki sebelah kanan supaya langkahnya lebih sempurna dan kecacatannya tidak kelihatan jelas.
"Saya tidak mahu orang merasa simpati dengan kekurangan yang ada dan lebih suka mereka gembira dengan perkhidmatan yang saya lakukan," jelasnya.
27 Jun 21
240
'Outreach' Vaksin SK Seri Kasar Catat Suntikan Tertinggi
SETIU, 27 Jun - 'Outreach' Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Kasar, Setiu merekodkan pencapaian tertinggi bagi negeri Terengganu.
Outreach PICK yang dilaksanakan pada semalam mencatatkan 1,109 suntikan dos pertama vaksin Sinovac kepada penduduk di sekitar kawasan pedalaman itu.
Pegawai Daerah Setiu, Rosli Latif berkata beliau amat berasa gembira dengan pencapaian program 'outreach' itu yang memperlihatkan kesungguhan orang kampung untuk bebas daripada Covid-19.
Rosli Latif (berbaju batik) bergambar bersama Pegawai Kesihatan Daerah Setiu, Dr. Hanif (kanan)
"Kami mendapat satu pasukan kerja yang sangat berkesan dengan bantuan semua pihak termasuk daripada Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) setempat, Jabatan Amal Kawasan Setiu dan semua agensi kerajaan.
"Sekiranya kami menerima lagi bekalan vaksin, kami akan teruskan program seperti ini di kampung-kampung berjauhan dari Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Awam di Sungai Tarom.
"Setakat ini saya melihat pendekatan 'outreach' ini adalah satu kaedah terbaik sesuai dengan sosiobudaya masyarakat di daerah Setiu kerana kita mempunyai masalah logistik," katanya lagi ketika ditemuramah di SK Seri Kasar petang tadi.
Seramai 2711 orang penduduk daerah Setiu telah menerima suntikan vaksin dos pertama melalui tiga program 'outreach' yang telah dijalankan di Setiu setakat semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Terengganu, Dr. Haji Alias Razak turut hadir melihat perjalanan program imunisasi yang dijalankan.
27 Jun 21
750
Terengganu Perbanyak Pusat Vaksin Di Luar Bandar
HULU TERENGGANU, 26 Jun - Kerajaan Terengganu dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri akan memperbanyakan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di kawasan luar bandar termasuk perkampungan orang asli.
Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, selain di masjid pihaknya bercadang untuk menjadikan pusat-pusat komuniti di kampung sebagai tempat suntikan vaksin.
Jelas beliau, strategi itu diambil bagi memastikan rakyat di negeri ini terutama di kawasan pedalaman menerima suntikan vaksin dengan cepat dan selamat.
"Kita juga akan berkolaborasi dengan Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina (PAPISMA) dan entiti lain seperti Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan sebagainya.
"Kita memerlukan kerjasama semua pihak ini bagi memastikan usaha ini berjalan lancar termasuklah pihak yang menyediakan 'Internet Service Provider', ini penting agar program vaksinasi ini lancar apabila ada capaian internet yang baik terutama ketika pergi ke luar bandar.
"Lagi cepat boleh suntik, lagi cepat boleh keluar daripada fasa 1 Pelan Pemulihan Negera ini. Kalau boleh sebelum musim tengkujuh kita berharap agar semua dapat keluar daripada cengkaman pandemik ini," katanya.
Beliau berkata demikian kepada media ketika hadir dalam Program Outreach Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Masjid, di Masjid Al-Muhtadin Kampung Peradong, Manir, hari ini.
Hadir sama Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato' Rosol Wahid, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak, Pengarah Kesihatan negeri, Dr Nor Azimi Yunus dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manir, Hilmi Harun.
Mengulas lanjut Ahmad Samsuri menegaskan, usaha-usaha tersebut perlu dijayakan bagi memastikan Terengganu mencapai imuniti kelompok secepat mungkin.
"Tambahan pula bermula Julai sebanyak 390,000 dos vaksin akan diterima dan dalam jangka masa dua bulan setengah kita akan mencapai 80 peratus rakyat disuntik vaksin," ujarnya.
Dalam perkembangan sama, beliau turut menasihatkan rakyat Besut untuk mengambil tindakan segera supaya kadar peratusan pendaftaran vaksin di daerah itu meningkat.
"Ia kerana peratusan mendaftar dari rakyat daerah tersebut hanya mencatatkan 45 peratus manakala kedua terendah ialah Setiu dengan hanya 45.7 peratus, tidak sebagaimana daerah Kuala Terengganu 63.1 peratus, diikuti Marang dan juga Kemaman.
"Kesedaran serta kerjasama rakyat negeri ini adalah sangat penting bagi menghentikan penularan wabak COVID-19," jelasnya.
Beliau yakin rakyat di pelbagai peringkat mampu melakukan saranan itu kerana Terengganu merupakan negeri kedua kepenggunaan vaksin yang tinggi iaitu sebanyak 95 peratus.
"Kita akan menggunakan cara semaksima mungkin, untuk itu saya mengucapkan tahniah kepada petugas kita di Jabatan Kesihatan dan lain-lain agensi yang telah bertungkus lumus," tambah beliau.
26 Jun 21
650
Penemuan Penyu Belimbing, Kejayaan Program Konservasi Di Terengganu
KUALA TERENGGANU, 26 Jun - Penemuan seekor penyu belimbing di perairan Pulau Redang tiga hari lalu, adalah satu petunjuk positif terhadap kejayaan program konservasi yang telah dilakukan di Terengganu selama ini.
Ketua Makmal Penyelidikan Luar Institut Oseanografi dan Sekitaran Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Dr Mohd Uzair Rusli berkata, penyu belimbing itu ditemui seorang nelayan yang sedang memancing di Pulau Lima berhampiran Pulau Redang.
“Nelayan itu, Raja Aizat Raja Abdullah memaklumkan kepada saya, penyu belimbing tersebut timbul sekejap di permukaan air untuk bernafas, namun jantinanya tidak dapat dikenal pasti kerana ia agak liar untuk didekati.
“Disebabkan terkejut dan sangat teruja, beliau tidak sempat merakam sebarang gambar atau video, namun berdasarkan maklumannya mengenai saiz penyu yang terlalu besar dengan keadaan cangkerang penyu berwarna hitam dan berbelang, memang itu adalah penyu belimbing,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Untuk rekod, pendaratan penyu belimbing tidak pernah dilaporkan di Pulau Redang setakat ini, dan kali terakhir ia dikesan mendarat di Terengganu ialah pada tahun 2017 iaitu di Rantau Abang, Dungun.
Bagaimanapun katanya, dua sarang penyu belimbing yang ditemui ketika itu gagal untuk menetas, kerana pemeriksaan lanjut penyelidik tidak menemui sebarang benih jantan, yang menghalang proses persenyawaan untuk perkembangan embrio.
Dapatan itu juga memberi petunjuk bilangan penyu belimbing jantan amat kritikal.
Mengulas lanjut beliau berkata, penyu belimbing itu dipercayai datang ke perairan Terengganu kerana mahu mendarat di pantai Rantau Abang untuk bertelur, kerana sekarang ini memang musimnya.
Namun, beliau berharap pihak berkuasa dapat melakukan pemantauan nelayan asing secara serius, kerana bimbang ancaman aktiviti perikanan yang tidak mematuhi peraturan, akan menyebabkan penyu belimbing itu terkorban.
“Oleh kerana penyu ini sudah masuk ke perairan negara, ia akan berada di sini antara dua hingga tiga bulan untuk bertelur, sebelum patah balik untuk bermigrasi, jadi pemantauan sangat penting pada 'tempoh kritikal' ini.
“Begitu juga dengan kawalan di sepanjang tujuh kilometer kawasan pantai Rantau Abang, jangan ada sebarang gangguan yang boleh merencatkan pendaratan penyu ini,” katanya. - BERNAMA.
26 Jun 21
622
Abdul Hadi Dijangka Keluar IJN Dalam Masa Terdekat
KUALA NERUS, 26 Jun - Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang beransur pulih dan dijangka dibenarkan keluar dalam masa terdekat setelah menjalani rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) sejak 6 Jun yang lalu.
Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, Duta Khas Yang Amat Berhormat (YAB) Perdana Menteri Ke Timur Tengah itu dilaporkan sudah bersedia untuk kembali menjalankan tugasnya.
"Beliau tidak lagi berada di Unit Rawatan Rapi (ICU), kelihatan semakin ceria dan sangat teruja untuk bersama masyarakat.
"Insya-Allah dalam masa terdekat ini saya rasa dia akan dibenarkan keluar dari hospital," katanya ketika ditemui pihak media, selepas melawat pusat pemberian vaksin secara 'Outreach', anjuran Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di Sekolah Kebangsaan Kesom, di sini, hari ini.
Dalam perkembangan yang berlainan, Ahli Parlimen Marang tersebut tetap aktif menulis artikel mengenai perkembangan semasa Islam terutamanya berkait dengan negara Palestin meskipun sedang menjalani rawatan.
Dalam pada itu juga buku terbaru Fiqh Siasah Khulafa' Al-Rasyidin Khalifah Abu Bakar telah pun dipasarkan bermula 24 Jun baru-baru ini. - Gambar Fail Media Presiden PAS.
26 Jun 21
853
Ratu Pecut Terengganu 'Berlari' Ke Olimpik 2020
KUALA TERENGGANU, 26 Jun - Olaragawati SUKMA 2018, Azreen Nabila Alias yang beraksi dalam acara 100m terpilih sebagai calon tiket wild card ke temasya Olimpik Tokyo 2020.
Ratu pecut kelahiran Terengganu itu dipilih Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) untuk menerima wild card yang akan diumumkan Jawatankuasa Teknikal Persekutuan Olahraga Antarabangsa (IAAF) pada, 30 Jun ini.
Tiket wildcard sah akan diberi kepada Malaysia jika atlet lompat tinggi negara, Lee Hup Wei layak secara merit ke termasya sukan terbesar dunia di Tokyo itu.
Azreen Nabila merupakan pemegang rekod 100M SUKMA dengan catatan masa 11.81s dan meraih tiga emas dalam kejohanan berkenaan pada 2018.
Kehadirannya ke Tokyo akan menyertai dua lagi atlet kelahiran Terengganu iaitu Khairul Anuar Mohamad (pemanah negara) dan Azizulhasni (berbasikal) ke sukan tersebut.
26 Jun 21
1940
PKPD Mukim Bukit Besar, Serada Tamat Esok
KUALA TERENGGANU, 25 Jun - Majlis Keselamatan Negara (MKN) bersetuju menamatkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Mukim Bukit Besar dan Mukim Serada, Kuala Terengganu pada 26 Jun 2021 jam 11.59 malam.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata keputusan itu dibuat setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
"Sepanjang tempoh itu, KKM telah melakukan 3,374 ujian saringan dan 31 daripadanya disahkan positif COVID-19.
"KKM juga mengesahkan berlaku penurunan kes dan kluster adalah terkawal manakala semua kes positif telah menerima rawatan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Untuk rekod, pelaksanaan PKPD diadakan untuk menyekat pergerakan dan penularan jangkitan COVID-19 dari kawasan berisiko keluar dari lokaliti tersebut susulan berlaku peningkatan kes yang ketara.
25 Jun 21
477
COVID-19 : Dua Angka Bukan Jaminan Ke Fasa 2, Namun...
KUALA TERENGGANU, 25 Jun - Kes positif sebanyak dua angka setiap hari sejak dua minggu lalu bukan jaminan Pelan Pemulihan Negara fasa kedua dapat dikuatkuasakan di Terengganu.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak berkata, berdasarkan keputusan yang dibuat Majlis Keselamatan Negara (MKN), penguatkuasaan peralihan fasa dibuat berdasarkan perkembangan seluruh Malaysia.
"Kita tidak boleh keluar sebuah negeri, sebuah negeri, jika semua baik di peringkat nasional baru semua akan keluar daripada fasa pertama ke fasa kedua.
"Namun, Terengganu dan beberapa buah negeri yang dapat mengawal penularan ini dengan baik sedang berunding di peringkat nasional supaya negeri-negeri yang telah mencapai target ini mungkin boleh dipertimbangkan untuk keluar lebih awal daripada fasa 1.
"Jika dilihat daripada kriteria yang ditetapkan MKN untuk keluar daripada fasa pertama dijangka pada 1 Julai nanti, kes harian di peringkat nasional mestilah kurang daripada 4,000 kes sehari, pengisian katil di ICU kurang daripada 70 peratus dan peratus vaksinasi mesti lebih 10 peratus," jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika bersiaran dalam segmen 'Berita Awok Kite' di Tv Darul Iman hari ini.
Mengulas lanjut beliau berkata, sehingga kini, Terengganu telah mencapai kesemua kriteria itu iaitu kes harian kurang daripada 100, pengisian katil di ICU sekitar 30 peratus dan peratus vaksinasi yang telah lengkap dos kedua telah mencapai 10.31 peratus.
"Hal ini menunjukkan bahawa kita telah mencapai tahap yang dikehendaki. Diharapkan rakyat Terengganu terus mematuhi SOP yang telah ditetapkan.
"Apabila memasuki fasa kedua, beberapa sektor ekonomi akan dibuka lebih luas antaranya kapasiti pekerja akan ditambah sehingga 80 peratus di premis serta beberapa sektor lain juga akan dibuka antaranya pembuatan simen dan peralatan elektronik.
"Hal ini akan memudahkan rakyat untuk mendapatkan perkhidmatan tersebut terutamanya para pelajar yang sedang menjalani proses pengajaran dan pembelajaran di rumah ketika ini untuk membaiki atau mendapatkan alat elektronik.
"Semua ini bergantung kepada kemampuan dan kerjasama kita semua untuk mengawal kes di seluruh negara agar dapat keluar dari fasa satu ke fasa kedua," ujar beliau.
25 Jun 21
5091
Jual Jeruk Tampung Kos Rawatan Buah Pinggang
SETIU, 25 Jun - Ungkapan hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih sesuai untuk menggambarkan kegigihan seorang ibu yang membuat dan menjual jeruk buah demi menampung kos rawatan buah pinggang dan kelangsungan keluarganya.
Waemah Yeh, 39, atau lebih mesra dipanggil Kak Na berkata, dia mula mengidap penyakit kegagalan buah pinggang sejak bulan Novermber tahun lalu.
Katanya, bermula dari itu dia perlu melakukan rawatan peritoneal dialisis (cuci air) secara berkala.
"Suami bekerja sendiri dan hasil itu cukup untuk menanggung dua orang cahaya mata yang masing-masing belajar di sekolah rendah dan menengah.
"Kami empat beranak menginap di sini, Alhamdulillah dengan hasil jualan jeruk buah ini, bolehlah sedikit sebanyak kos perubatan saya," katanya ketika dikunjungi Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abd Kadir di Kampung Pak Ba di sini semalam.
Kesukaran hidup yang dihadapi Kak Na tular di Facebook mendapat perhatian Shaharizukirnain dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Pak Ba.
Prihatin dengan nasib Kak Na, Shaharizukirnain bersama JPKK dan individu yang menghebahkan kesusahan hidup Kak Na hadir ke kediaman empat beranak itu.
"Saya akan mengambil serius tentang keluarga ini yang mengusahakan jualan jeruk buah untuk menampung kos dialisis.
“Hari ini (semalam) saya hadir untuk mengetahui lebih lanjut tentang keluarga ini, pihak kami juga memberi sedikit sumbangan bagi meringankan beban yang dialami.
"Isu ini juga telah dipanjangkan kepada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk permohonan bantuan secara bulanan dengan segera," jelasnya.
Dalam perkembangan sama, beliau memohon agar orang ramai terus melaporkan kepada pihak berwajib termasuk dirinya sekiranya ada golongan yang memerlukan bantuan.
"Saya berterima kasih kepada pengadu dan menyeru orang ramai untuk saling bantu-membantu dan segera melaporkan kepada pihak JPKK jika ada yang layak menerima bantuan," katanya.
25 Jun 21
328