Artikel "Utama" Terkini
Fuhh…Macam Rumah Kampung Betul
KUALA TERENGGANU, 29 Jun – Sentuhan jari-jemari ajaib menerusi teknik tiga dimensi (3D) menjadikan lukisan Mohd Rozaimil Yatim seakan-akan wujud.
Mohd Rozaimil, 36, kembali berkarya selepas dia mengabadikan potret pemimpin negara serta wira barisan hadapan yang berjuang melawan pandemik Covid-19 pada topi keledar.
Kini dia sekali lagi mencuri perhatian apabila tampil dengan karya 3D menggunakan teknik ‘air brush’ dan melakukan transformasi terhadap sebuah rumah simen menjadi rumah kayu berlatar belakang suasana kampung sekitar 1980-an.
Hasil lakaran itu dapat dilihat pada struktur rumah kedai miliknya di Kampung Raja Barang, Chendering, di sini.
Karya tersebut menjadi tular selepas ia dimuat naik di media sosial Facebook, Khamis lalu sekaligus mengundang rasa kagum netizen dengan lukisan yang ‘hidup’.
Berkongsi cerita di sebalik ‘pembikinan’ karya terbaharunya itu, dia mendapat idea untuk mengubah pemandangan pada bentuk asal kediaman itu sejak Penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.
"Idea ini datang sejak PKP kali ini memandangkan saya tidak boleh melakukan kerja seperti biasa. Saya terfikir untuk mengisi waktu lapang dengan menghasilkan sebuah kediaman yang dapat mengimbau kembali nostalgia dan pemandangan lama.
“Pada mulanya saya hanya bercadang untuk melukis pada bahagian tertentu rumah, namun mendapat sokongan ramai supaya melengkapkan lukisan meliputi keluasan 9 meter lebar x 3 meter tinggi rumah berkenaan,”ujarnya ketika ditemui di rumahnya hari ini.
Menurut Mohd Rozamil, dia mengambil masa seminggu untuk menyiapkan lukisan tersebut dengan kos RM100 dengan manfaatkan sepenuhnya barangan yang sedia ada kerana tidak banyak kedai boleh beroperasi ketika itu.
"Warna asas lukisan ini ialah hitam, putih, coklat dan hijau bagi melakar tema-tema seperti tandas di luar rumah, kain batik, selipar jepun 'tat sing', bacaan meter elektrik lama, beranda rumah, haiwan peliharaan dan beberapa lagi elemen lain yang dijangka mampu bertahan dalam tempoh lima tahun,”katanya yang menggunakan nama pena Zameer Pentbrush pada laman Facebooknya.
Menurut Mohd Rozamil, hasil karya itu adalah percubaan pertama bagi seni lukisan dinding yang sudah ditinggalkan sejak 10 tahun lalu kerana memberi fokus kepada seni dan rekabentuk serta lakaran halus bagi barangan seperti topi keledar, motosikal dan lain-lain.
"Suasana rumah kampung begini sudah tentu menggamit kenangan bagi mereka yang memandangnya, terutama mereka yang membesar dalam suasana kampung suatu ketika dahulu," katanya.
Antara cabaran yang dihadapi Mohd Rozamil ketika menyiapkan karya tersebut adalah cuaca yang tidak menentu ketika ini.
"Acapkali juga sedang asyik melukis, tiba-tiba hujan turun menyebabkan cat rosak.
"Terpaksa mengecat balik tapi walaupun penat tapi saya rasa gembira apabila melihat hasilnya dan ramai yang memuji bahawa lukisan ni nampak 'real',” ujar pelukis yang berpangkalan di Terengganu ini.
Tambahnya lagi, setelah tular di Facebook, 'rumah kampung' ciptaannya itu sentiasa dikunjungi orang ramai yang ingin bergambar sambil mengimbau kenangan lama.
Sebelum ini, hasil karya bapa kepada dua cahaya mata itu pernah tular selepas dia mengabadikan potret pemimpin negara serta wira barisan hadapan yang berjuang melawan pandemik Covid-19 pada topi keledar.
Antara wajah yang diabadikan pada lukisan ialah potret Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah; Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah; Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin serta Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam hasil karyanya.
Lebih membanggakan apabila sentuhan 'magis' Mohd Rozamil
mendapat perhatian Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin yang turut menempah lukisan pada helmet baginda untuk sukan berkuda.
29 Jun 21
2268
PEMULIH : Berita Baik Buat Pengusaha Kantin, Sukan, Taska Dan OKU
KUALA TERENGGANU, 28 Jun – Kerajaan persekutuan meneruskan bantuan kepada golongan khusus seperti pengusaha kantin sekolah, industri sukan dan Orang Kurang Upaya (OKU) dalam membela nasib semua dalam tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Kerajaan bersetuju untuk menyalurkan RM1,000 kepada semua pengusaha kantin berdaftar setelah melihat situasi di sekolah yang masih ditutup dan menyebabkan hilang mata pencarian.
“Sementara itu, Kerajaan sedar bahawa pengusaha industri sukan dan operator arena sukan seperti gym, bowling, futsal dan sebagainya turut terkesan dan mereka hanya boleh beroperasi semula seawal fasa ketiga PPN nanti.
“Sehubungan itu, Kerajaan bersetuju untuk memberikan bantuan one-off sebanyak RM3000 kepada mereka,” katanya ketika pengumuman khas Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH), di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Muhyiddin turut mengumumkan bantuan kewangan RM500 seorang selama tiga bulan kepada golongan OKU yang telah kehilangan pekerjaaan atau ketiadaan kerja, dan bukan penerima bantuan Elaun Pekerja Cacat sedia ada.
“Untuk itu, RM30 juta diperuntukkan bagi memanfaatkan seramai 20 ribu orang OKU,” katanya lagi.
Tambah Muhyiddin, Kerajaan telah menerima banyak permintaan supaya bantuan kewangan yang diberikan kepada pusat asuhan anak-anak dan tadika pada tahun lepas dapat diperkenalkan semula.
“Sehubungan itu, Kerajaan akan memberikan Bantuan Khas Taska yang berjumlah RM3,000 kepada lebih 4,400 pengusaha taska seliaan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta lebih 8 ribu pengusaha tadika swasta seliaan Kementerian Pendidikan.
“Diharapkan dengan pemberian bantuan ini, ia dapatlah digunakan antaranya untuk keperluan sanitasi dan pembelian peralatan nyahkuman bagi memastikan kebersihan dan keselamatan anak-anak yang ditempatkan di pusat asuhan dan tadika,” jelasnya.
28 Jun 21
595
'Mamat' Akhirnya Terjerat
KUALA TERENGGANU, 28 Jun - Buaya jantan yang dikenali sebagai 'Mamat' berjaya ditangkap oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) negeri hari ini.
Pengarahnya, Dr Abdul Malek Mohd Yusuf, berkata kaedah tangkapan secara menjerat telah dilakukan pada jam 4.30 petang tadi setelah pemasangan tiga unit perangkap buaya kawasan lombong tinggal di Kampung Tepoh, Kuala Nerus sejak pertengahan bulan Mei tidak berjaya.
"Reptilia berukuran 12' 8" telah berjaya ditangkap pada jam 5.45 petang menggunakan perangkap buaya dengan operasi tangkapan oleh 17 anggota dan operasi tamat pada jam 6.30 petang.
"Buaya itu akan dibawa ke Paya Indah Wetland (PIW) bagi menjamin keselamatan orang awam dan dalam masa sama menjamin kelangsungan hidup reptilia terbabit," ujarnya.
Terdahulu, seekor buaya tembaga digelar Mamat muncul semula di kawasan lombong tinggal di Kampung Tepoh, dan dikatakan semakin membesar.
Sebelum ini, pada 2019 kisah Mamat menarik perhatian penduduk di sekitar kampung itu apabila ia muncul kembali setelah menghilangkan diri selama dua tahun di kawasan lombong tinggal berkenaan.
28 Jun 21
1140
PEMULIH : Penangguhan Bayaran Balik Pinjaman PTPTN
PUTRAJAYA, 28 Jun - Kerajaan mengumumkan penangguhan bayaran balik pinjaman pelajaran termasuk pinjaman pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) selama tiga bulan.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beberapa agensi kerajaan bersetuju untuk melaksanakan penangguhan bayaran balik pinjaman pelajaran dengan pemberian moratorium bersasar kepada peminjamnya.
"Pertama adalah memberikan moratorium bersasar selama tiga bulan kepada peminjam-peminjam PTPTN.
“Kerajaan juga bersetuju untuk menangguhkan bayaran balik Pinjaman Pelajaran Persekutuan di bawah JPA dan bayaran tuntutan ganti rugi penerima Biasiswa Persekutuan sehingga enam bulan.
“Ketiga, menangguhkan bayaran balik Pinjaman Pelajaran MARA untuk tempoh tiga bulan atau penjadualan semula bayaran balik pinjaman dengan ansuran bulanan serendah RM100 selama 12 bulan,” ujarnya ketika mengumumkan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH), hari ini.
Selain itu katanya, penangguhan bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) turut diberikan selama tiga bulan.
Tambah beliau lagi, nilai keseluruhan inisiatif ini dianggarkan berjumlah 400 juta ringgit dan akan manfaatkan seramai 1.6 juta rakyat.
Terdahulu, Muhyiddin mengumumkan satu lagi pakej bantuan bernilai RM150 bilion yang merangkumi suntikan langsung fiskal kerajaan sebanyak RM10 bilion.
28 Jun 21
329
PEMULIH : Moratorium Automatik 6 Bulan Tanpa Syarat
PUTRAJAYA, 28 Jun - Kerajaan bersetuju memberi moratorium bayaran balik pinjaman bank selama enam bulan kepada semua individu tanpa mengira golongan B40, M40 atau T20.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata tidak ada sebarang syarat dikenakan seperti pengurangan pendapatan, selain tiada semakan bagi mengesahkan sama ada pemohon hilang pekerjaan.
Katanya, permohonan perlu dibuat dan kelulusan akan diberikan secara automatik, malah kemudahan tersebut ditawarkan kepada pengusaha perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terjejas.
"Permohonan akan dibuka pada 7 Julai ini.
"Tidak perlu mengemukakan dokumentasi untuk permohonan bayaran balik pinjaman berkenaan dan ia tertakluk kepada semakan dan kelulusan pihak bank.
"Peminjam hanya perlu memohon dan menandatangani perjanjian pindaan syarat pinjaman berkaitan," katanya ketika mengumumkan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH), hari ini.
Terdahulu, Muhyiddin mengumumkan satu lagi pakej bantuan bernilai RM150 bilion yang merangkumi suntikan langsung fiskal kerajaan sebanyak RM10 bilion.
28 Jun 21
837
Ruang Solat Tak Boleh Jadi Tempat Suntik Vaksin
KUALA TERENGGANU, 28 Jun - Ruang solat di dalam masjid tidak boleh dijadikan sebagai tempat suntikan vaksin Covid-19, kata Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Ahmad Amzad Hashim.
Beliau berkata, pembukaan pusat pemberian vaksin (PPV) di mana-mana masjid, mesti mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) Kebangsaan.
"Antara SOP yang ditetapkan ialah tidak boleh menjadikan ruangan solat di dalam masjid sebagai tempat suntikan. PPV masjid hanya boleh dibuka sekiranya kemudahan di masjid terbabit bersesuaian. Gunakan kemudahan yang ada seperti bilik kuliah, perpustakaan dan klinik masjid.
"Jika masjid yang mahu digunakan tidak mempunyai kelengkapan yang sesuai, ia sepatutnya tidak boleh dibenarkan beroperasi," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Ahmad Amzad yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu berkata, masalah PPV masjid berbangkit setelah ada negeri yang sudah memulakan program 'outreach' di masjid, tanpa merujuk SOP yang ditetapkan CITF.
"Lalu tersebar gambar ruang solat digunakan untuk tempat suntikan. Malah ada masjid yang gunakan ia sebagai ruang menunggu, dengan disusun kerusi.
"Sebaik menerima maklumat ini, saya telah menghubungi Exco Kesihatan negeri berkenaan, memaklumkan supaya diambil langkah pembaikan untuk mengelakkan gambaran negatif, yang merosakkan usaha murni ini," katanya.
Katanya, beliau sendiri sudah turun padang memberikan teguran dan pegawai kesihatan memberi alasan, penggunaan ruang solat itu disebabkan tidak ada ruang lain yang sesuai dan lapang, untuk dijadikan tempat suntikan di masjid berkenaan.
"Saya maklumkan alasan itu tidak boleh diterima. Kita bukan minta setiap masjid buka (dan dijadikan) PPV. Kita ada lebih banyak lagi jenis PPV lain yang boleh dibuka seperti dewan orang ramai, balai raya dan klinik kesihatan," katanya yang telah mengarahkan supaya kesilapan yang sama tidak berulang lagi pada masa akan datang. - BERNAMA.
28 Jun 21
525
'Jejak Vaksin' Sasar Penduduk Di Pedalaman
KUALA NERUS, 28 Jun - Dengan persetujuan Jabatan Kesihatan negeri, Program Jejak Vaksin di kawasan pedalaman yang dirancang oleh Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) sedang dipergiat.
Program berkonsepkan 'Pop-Up Centre' itu bertujuan meningkatkan pengambilan vaksin di kalangan rakyat luar bandar.
Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, badan-badan korporat seperti TDM berhad, Hospital Pakar Kuala Terengganu, Dewan Perniagaan Cina Terengganu dan Persatuan Isteri wakil dan Bekas Wakil Rakyat Terengganu (Khairunnisa') turut terlibat dalam mencapai imuniti kelompok.
"Pusat Pemberian Vaksin (PPV) bergerak ini pada pertama kali beroperasi di Sekolah Kebangsaan Kesom ini menyasarkan seramai 600 orang.
"Ini adalah salah satu usaha dengan jalinan kesemua NGO untuk kita cari rakyat seramai mungkin untuk divaksinasi dan selepas ini akan ada tempat lain yang telah dipersetujui untuk diadakan bagi meneruskan program ini," ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pihak media, selepas mengadakan lawatan ke program berkenaan , di Sekolah Kebangsaan Kesom, di sini, baru-baru ini.
Sementara itu, Dekan Fakulti Perubatan Unisza, Prof. Dr. Hamry Mohamed Yusoff dalam satu kenyataan berkata pihaknya optimis dapat mengadakan 50 program dalam tempoh enam bulan.
"Dijangkakan lebih 15,000 suntikan dapat diberikan kepada seluruh penduduk yang berada di pedalaman.
"Melalui sukarelawan pasukan terdiri daripada pakar-pakar perubatan, pensyarah kejururawatan, pensyarah farmasi serta ahli farmasi, pelajar perubatan dan kejururawatan.
"Juga melibatkan pensyarah bukan perubatan daripada fakulti informatik dan komputeraan serta kakitangan sokongan dimana berupaya memberikan suntikan diantara 300-600 orang sehari dan boleh dipertingkatkan berdasar keperluan semasa," ujarnya.
Sehingga kini, katanya program berkenaan telah menerima sumbangan sebanyak RM163,000.
"RM100,000 daripada TDM, juga daripada Persatuan Khairunnisa sebanyak RM10,000, juga daripada Leeeds Dynamic sebanyak RM3,000.
"Manakala Dewan Perniagaan Cina Terengganu telah menyumbangkan RM50,000 di samping turut menyumbang kepada pemberian barangan alat pakai buang, makanan, air mineral dan sebagainya,"ujarnya.
28 Jun 21
156
Gelandangan : Realiti Hidup 'Penghuni' Kaki Lima
KUALA TERENGGANU, 28 Jun – Kerajaan negeri sentiasa mengambil berat akan golongan gelandangan di sekitar bandar raya dengan prinsip tiada yang tertinggal dari sudut kebajikan.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Sukan, Belia dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, pelbagai usaha telah dijalankan kerajaan negeri namun langkah jangka masa panjang perlu difikirkan dengan kerjasama pelbagai pihak.
“Saya membaca satu komen di hantaran Facebook oleh seorang wanita dan saya amat berterima kasih atas keprihatinannya terhadap golongan gelandangan di Terengganu ini.
“Sebelumnya, pihak kami bersama pelbagai agensi telah turun padang di Stesen Bas Kuala Terengganu pada tahun lepas untuk menyelami realiti kehidupan mereka.
“Setelah dikesan identiti dan maklumat diri mereka, rata-ratanya mempunyai rumah, keluarga dan latar belakang kehidupan yang baik sebelum ini. Ada juga dikalangan mereka merupakan penerima bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya menerusi kenyataan di Facebook rasminya.
Tambahnya, faktor seperti gangguan emosi di luar kawalan, disisih keluarga, penyalahgunaan dadah, kemurungan, tidak mempunyai punca pendapatan serta tidak ada hala tuju mendorong mereka untuk keluar dari rumah dan tinggal di stesen bas mahupun kaki lima.
“Sebagai mendokong prinsip kesaksamaan dan mengutamakan kebajikan buat semua rakyat tanpa mengira latar belakang, kerajaan negeri dengan kerjasama JKM telah menghantar golongan itu ke rumah masing-masing sebagai usaha untuk mengajak mereka kembali ke kehidupan seperti biasa.
“Namun, usaha itu terbantut kerana selang beberapa hari ada di kalangan mereka datang kembali ke bandar Kuala Terengganu.
“Sebilangan mereka tinggal untuk meneruskan kehidupan disana atas faktor bosan, tidak bebas untuk bergerak dan lebih selesa tinggal secara gelandangan," jelasnya lagi.
Jelas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam itu, selain daripada kerajaan negeri, semua lapisan masyarakat dan persatuan dalam negeri perlu bekerjasama dalam membantu golongan tersebut secara konsisten serta bagi jangka masa panjang.
28 Jun 21
325
Sukarelawan OUTREACH Parlimen Kemaman Antara Yang Terbaik
KEMAMAN, 28 Jun - Pujian buat sukarelawan Outreach Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Parlimen Kemaman merupakan antara yang terbaik menjalankan tugas bagi menjayakan proses awal dalam pengumpulan maklumat pendaftaran penerima vaksin.
“ Diberi kepercayaan buat petugas bawah Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Ahli Parlimen Kemaman oleh jawatankuasa bencana daerah dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kemaman bagi memudahkan orang ramai mendaftar sebagai penerima vaksin” berucap Ahli Parlimen Kemaman, Yang Berhormat Che Alias Hamid di taklimat sebelum sukarelawan bergerak di Meraga Beris, Kemaman.
“Tahniah dan syabas atas usaha sukarelawan semua sehingga ianya dipuji oleh PKD Kemaman”, ujarnya lagi.
“Sehingga kini 60.7% rakyat Kemaman telah mendaftar sebagai penerima vaksin dan saya mengharapkan rakyat di Kemaman khusnya dapat mencapai 80% imunisasi berkelompok secepat mungkin agar kita dapat keluar dari situasi pandemik ini” tambahnya lagi.
Sehingga kini program yang berjalan selama lima (5) hari bermula di Jabor, Perasing pada 11 Jun dapat mengumpulkan pendaftaran seramai 705 orang, 12 Jun di Neram 01 seramai 1,719 orang, 18 Jun di kijal seramai 860 orang, 19 Jun di Teluk Kalong seramai 1,243 orang dan 26 jun di Meraga Beris 515 orang menjadikan jumlah terkumpul 5,042 orang.
Outreach Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Parlimen Kemaman mendapat kerjasama yang baik daripada pelbagai pihak terutama PKD Kemaman, Kakitangan PKM Ahli Parlimen Kemaman, Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) Kemaman, Pejabat Penerangan Daerah Kemaman dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) setempat
27 Jun 21
437
Premis Makanan Boleh Dibuka 6 Pagi Hingga 10 Malam Bermula Esok
KUALA TERENGGANU, 27 Jun- Premis kedai makan dan restoran dibenarkan beroperasi bermula 6 pagi sehingga jam 10 malam berkuat kuasa esok.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata keputusan tersebut dibuat selepas mengambil kira rayuan dan pandangan pengusaha kedai makan.
Katanya, sebelum ini operasi premis kedai makan dan restoran sebelum ini hanya dibenarkan bermula jam 8 pagi sehingga 8 malam.
"Setelah mengambil kira rayuan dan pandangan pengusaha kedai makan, sidang mesyuarat bersetuju untuk menukar waktu operasi premis yang menjual makanan bermula jam 6 pagi hingga 10 malam berkuat kuasa esok," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
27 Jun 21
1268