Artikel "Utama" Terkini
‘Food Bank’ Masjid Inisiatif Bantu Rakyat Kesempitan
KUALA TERENGGANU, 1 Julai - ‘Food Bank’ masjid merupakan salah satu inisiatif untuk membantu rakyat yang kesempitan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Perkara tersebut telah dikongsikan oleh Setiausaha Masjid Kg. Gong Tok Nasek, Mohd Shahrul Affendy Omar, 27, ketika ditemu bual oleh pemberita.
“Bermula ‘food bank’ di Masjid Kg. Gong Tok Nasek pada awal tahun lalu di mana setakat ini kira-kira seramai 50 orang yang telah datang ke masjid ini untuk mendapatkan sumbangan.
“Manakala sebanyak 95 pek bantuan makanan asas telah kita keluarkan daripada ‘food bank’ ini dan diagihkan kepada mereka yang memerlukan melalui 2 fasa sepanjang tempoh PKP ini.
“Alhamdulillah, setakat ini sambutan orang ramai untuk menderma juga sangat menggalakkan di mana ada yang menghantar barang-barang secara terus dan ada juga yang ‘bank in’ ke akaun bank masjid,” kata Mohd Shahrul.
Menurut beliau lagi, ‘food bank’ di Masjid Kg. Gong Tok Nasek beroperasi pada hari Ahad hingga Khamis bermula jam 9.00 pagi jam 12.00 tengah hari.
“Masjid memainkan peranan yang sangat penting dalam menyalurkan segala maklumat dan menjadi pusat komuniti dalam menjaga perihal kebajikan masyarakat setempat,” tambahnya lagi.
Beliau juga turut berharap agar mereka yang memerlukan bantuan tidak berasa segan untuk mendapatkan sumbangan ini kerana pihak masjid akan sentiasa bersedia untuk menghulurkan bantuan.
Selain Masjid Kg. Gong Tok Nasek, terdapat beberapa buah masjid lagi dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Buruk yang menyediakan khidmat ‘food bank’ seperti berikut :
1. Masjid Tengku Tengah Zaharah
2. Masjid Taman Permin Jaya
3. Masjid Kg. Kubang Ikan
4. Masjid Al-Furqan Chendering
30 Jun 21
549
PEMULIH : Diskaun Bil Elektrik Untuk Rakyat, Sektor Ekonomi Terjejas
PUTRAJAYA, 30 Jun - Kerajaan bersetuju untuk memberikan diskaun bil elektrik antara lima hingga 40 peratus mengikut penggunaan kadar elektrik dengan had maksimum 900 kilowatt jam (kWh) sebulan bagi meringankan beban perbelanjaan bulanan rakyat.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, diskaun sebanyak 40 peratus akan diberikan kepada penggunaan elektrik bawah 200 kWh sebulan dan 15 peratus bagi penggunaan antara 201 hingga 300 kWh sebulan.
"Secara keseluruhan, rakyat akan mendapat diskaun berjumlah RM346 juta dan diskaun ini akan berkuat kuasa bagi tempoh tiga bulan mulai bil bulan Julai 2021," ujarnya pada Pengumuman Khas Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih), kelmarin.
Mengulas lanjut katanya, bagi sektor ekonomi yang terjejas khususnya pengendali hotel, taman-taman tema, pusat konvensyen, pusat beli-belah, pejabat syarikat pelancongan tempatan serta agensi pengembaraan dan pelancongan, turut dilanjutkan tiga bulan lagi diskaun bil elektrik sebanyak 10 peratus bagi bil bulan Oktober hingga Disember 2021.
"Dengan pemberian diskaun elektrik kepada pengguna domestik dan bukan domestik ini, kerajaan akan menanggung kos tambahan sebanyak RM1 bilion," jelas Muhyiddin.
30 Jun 21
318
Tubuh Petugas Khas Bawa OKU, Warga Emas Suntik Vaksin
KUALA NERUS, 30 Jun - Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Telaga Daing Paya, Seberang Takir di sini mengambil inisiatif menubuhkan Skuad Cakna Imunisasi bagi memudahkan golongan Orang Kurang Upaya (OKU) dan warga emas mengambil suntikan vaksin.
Setiausaha JPKK Telaga Daing Paya, Hamidi Salleh berkata, skuad tersebut telah memulakan operasi kelmarin dengan membawa beberapa OKU ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Stadium Tertutup Gong Badak.
“Ini adalah permulaan bagi pihak JPKK sebagai menyahut seruan kerajaan supaya semua rakyat divaksinasi dan negara dapat mencapai imuniti kelompok secepat mungkin.
“Bertitik tolak daripada seruan itu, pihak Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) menggerakkan usaha ini kerana di kawasan kampung terdapat OKU dan warga emas yang ingin mendapatkan suntikan tetapi tiada pengangkutan,” katanya ketika ditemui pemberita di PPV Gong Badak semalam.
Menurut beliau, pasukan itu bukan hanya terlibat dalam membawa individu ke PPV tetapi turut berperanan untuk menjelaskan kepada orang ramai tentang kepentingan vaksin.
“Mereka akan masuk ke kampung-kampung untuk mengajak masyarakat mangambil vaksin, kita yakin usaha ini mampu mempercepatkan negara kita mencapai imuniti kelompok.
“Alhamdulillah, usaha ini mendapat sokongan penuh daripada Pegawai Penyelaras DUN Seberang Takir, Mohd Fahdil Wahab, semalam beliau sendiri yang mebawa OKU terbabit,” jelasnya.
Sementara itu, OKU yang menerima perkhidmatan itu terharu apabila hajatnya untuk mendapatkan vaksin tercapai.
“Sudah lama menunggu, tetapi disebabkan tiada pengangkutan, harapan saya sentiasa tergendala.
“Bantuan yang diberikan JPKK ini sangat bermakna, memudahkan urusan saya dan saya cukup-cukup lega selepas selesai mengambil suntikan vaksin COVID-19,” katanya.
30 Jun 21
194
Vaksinasi Penentu Terakhir Peralihan Fasa Di Terengganu
KUALA TERENGGANU, 29 Jun - Terengganu telah dan sedang memperkemaskan program vaksinasi bagi memastikan rakyat di negeri ini dapat keluar dari fasa satu ke fasa dua dalam masa terdekat sekali gus membuka lebih banyak sektor ekonomi.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak berkata, individu lengkap dua dos vaksin di Terengganu setakat semalam hanya di sekitar tujuh peratus berbanding 10 peratus yang dikehendaki Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Katanya, disebabkan itu Terengganu masih tidak dibenarkan beralih ke fasa dua kerana belum memenuhi kriteria itu.
"Dua daripada tiga kriteria telah kita lepasi, namun kadar vaksinasi lengkap dua dos masih belum. Oleh itu, kerajaan memperkasakan program vaksinasi di samping berunding dengan kerajaan Persekutuan untuk keluar daripada fasa satu.
"Mengikut pelan pemberian vaksin yang sedang dijalankan, 10 peratus kadar vaksinasi di Terengganu yang telah lengkap mengambil dos kedua akan dapat dicapai dalam tempoh satu hingga dua minggu ini," ujarnya ketika bersiaran dalam segmen 'Berita Awok Kite' di Tv Darul Iman hari ini.
Jelasnya, kerajaan negeri juga telah berbincang dengan MKN supaya Pelan Pemulihan Negara (PPN) tidak mengambil kira angka COVID-19 secara kolektif di peringkat negara.
"Peluang mestilah diberi kepada negeri-negeri yang telah mencapai nilai ambang tiga kriteria yang telah ditetapkan untuk keluar lebih awal dari fasa satu ke fasa dua.
"Cadangan itu telah dipersetujui, jika dilihat daripada 'trend' seluruh negara, memang agak sukar untuk diturunkan kepada 4,000 Kes. Hari ini juga telah mencapai lebih 6,000 kes, sedangkan ada negeri-negeri yang telah mencapai nilai ambang tersebut,"
Menurut Dr. Alias, berdasarkan nilai ambang yang telah ditetapkan dalam PPN, Terengganu mestilah mempunyai purata kes harian kurang daripada 157 kes sehari, kita sebenarnya telah mencapai angka ini telah lama dengan nilai dua angka sehari.
"Seterusnya, penggunaan katil di wad ICU mesti kurang daripada 13 katil, penggunaan katil di wad ICU Terengganu hari ini hanya 8 katil," katanya.
29 Jun 21
3465
Pengerusi JPKK Jual Motosikal Bantu Penduduk Terjejas
KUALA NERUS, 29 Jun - Memahami kesempitan hidup orang ramai di waktu sukar ini, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Bukit Tok Beng sanggup menjual motosikalnya demi membantu penduduk yang terjejas.
Mohd Rozi Sakiman berkata, semua hasil jualan Honda Wave 125 telah dimasukkan ke tabung JPKK sebelum diagihkan kepada masyarakat miskin secepat mungkin.
Katanya, beliau merasa puas dapat menolong penduduk di kampungnya walaupun agak sedih motosikal yang banyak berjasa kepadanya dijual.
“Niat untuk membantu mereka yang benar-benar memerlukan sahaja, penduduk terjejas ada yang sebulan hilang punca pendapatan kerana tidak dapat bekerja insya-Allah akan dibantu dengan duit perolehan hasil jual motosikal saya itu.
“Ia akan diagih dalam bentuk barangan dapur kepada keluarga terpilih, dalam keadaan sekarang itu usaha yang boleh saya buat untuk membantu orang kampung di bawah jagaan saya selaku JPKK,” jelasnya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) hari ini.
Menurut beliau, langkah itu adalah tambahan kepada bantuan dan peruntukan awal daripada Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Ahli Parlimen Kuala Nerus yang telah diagihkan kepada rakyat sebelum ini.
“Kerajaan Terengganu juga memberikan RM200,000 kepada setiap DUN menerusi program Bantuan Ekonomi Rakyat Terengganu (BERKAT) 3.0, ia akan diagihkan kepada rakyat.
“Jadi, apa yang saya buat ini adalah tambahan kepada program itu, ini atas inisiatif sendiri bagi membantu rakyat.
“Insya-Allah pihak kami akan terus membantu rakyat sebagaimana kehendak kerajaan negeri, sesiapa yang memerlukan boleh hubungi JPKK untuk mendapatkan bantuan,” tambah beliau.
29 Jun 21
1779
PEMULIH : Empat Manfaat Buat Usahawan Kecil
KUALA TERENGGANU, 29 Jun - Kerajaan telah membangunkan Program Pemerkasaan Pendigitalan Usahawan Kecil atau PUPUK sebagai inisiatif menyeluruh dan bersetuju memperuntukkan RM200 juta untuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dan RM100 juta untuk PKS.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, empat langkah untuk meneruskan usahawan kecil iaitu meneruskan kempen Shop Malaysia Online dan Go-eCommerce Onboarding dengan sasaran lebih 300,000 peniaga mikro seperti peniaga bazar, pasar tani, pasar malam dan warung serta pengusaha kraf tangan untuk beralih ke perniagaan dalam talian dan menggunakan sistem e-tunai.
"Kedua, menambah peruntukan sebanyak RM100 juta di bawah SME Digitalisation Grant bagi membolehkan usahawan PKS mendapat geran padanan sehingga RM5,000 untuk pembelian sistem atau langganan platform digital.
"Ketiga, menggalakkan penyertaan PMKS menceburi platform e-dagang melalui program Pemerkasaan Pendigitalan Usahawan Kecil yang diterajui SKMM.
"Sehubungan itu, kerjasama strategik antara penyedia platform digital, syarikat telekomunikasi serta Pusat Internet Komuniti akan diperkasakan untuk membantu usahawan luar bandar terlibat dalam ekonomi digital," katanya ketika mengumumkan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH), semalam.
Tambah muhyiddin, usaha keempat iaitu memperkasa usahawan tani khususnya di luar bandar untuk menggunakan teknologi terkini di bawah Program Digitalisasi dan Transformasi Sektor Pertanian.
"Program ini yang akan dilaksanakan melalui kerjasama MDEC dan Pertubuhan Peladang Kawasan akan mengenal pasti petani yang berpotensi untuk beralih ke platform teknologi baharu," katanya lagi.
Sebelumnya, program Shop Malaysia Online yang diperkenalkan di bawah pakej PENJANA tahun lalu telah berjaya membantu lebih 200,000 usahawan tempatan meningkatkan jualan mereka melalui platform e-Dagang dengan nilai transaksi mencecah RM1.8 bilion.
29 Jun 21
328
Kerajaan Teliti Kebenaran Rentas Daerah Bagi Negeri Berstatus Hijau
KUALA LUMPUR, 29 Jun – Kerajaan sedang meneliti kebenaran untuk merentas daerah dalam negeri yang berstatus hijau.
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan akan diumumkan pada masa yang sesuai.
“Semalam kita sudah bincang dalam sidang khas MKN (Majlis Keselamatan Negara) yang dipengerusikan Perdana Menteri, hari Ahad pun ada mesyuarat, perkara itu sudah dibentangkan, kita sedang meneliti secara terperinci.
“Jadi insya-Allah kita akan perincikan kalau sampai masanya. Pengumuman, kita tunggu,”katanya pada sidang media sebelum sesi ramah mesra bersama pegawai dan kakitangan perubatan yang dilantik secara kontrak oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Auditorium Hospital ATM Tuanku Mizan, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas mengenai terdapat permintaan penduduk di kawasan zon hijau yang mahu dikecualikan daripada pelaksanakan Kawalan Pergerakan fasa pertama Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Ismail Sabri berkata, perkara itu memerlukan perincian bagi mengelakkan kekeliruan berlaku seperti yang berlaku pada Perintah kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini.
“Dulu kita pernah lakukan tapi ramai yang kata agak mengelirukan, PKPB (Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat), PKPP (PKP Pemulihan) dalam satu negeri, malah satu daerah pun ada. Orang merungut waktu itu kata keliru dalam satu negeri ada SOP berbeza, ada yang PKPP, ada yang PKPB.
“Akhirnya kita buat cadangan nilai ambang berdasarkan nasional tapi ada juga yang berpandangan kalau peringkat nasional, Perlis misalnya kes rendah tapi tidak dapat keluar dari fasa satu ke fasa dua kerana terpaksa ikut seluruh negara yang mana penyumbang terbesar Selangor, lebih 2,000 kes tiap hari.
“Kalau ikut Selangor, negeri yang hanya dua angka sahaja terpaksa dikawal diletak di bawah PKP yang taraf sama dengan Selangor tetapi tarafnya sudah hijau,” tambahnya.
Sementara itu, Ismail yang juga Menteri Pertahanan memaklumkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kini bersedia untuk membina empat lagi Hospital Medan sekiranya diperlukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Ia susulan pelantikan 130 doktor dan paramedik yang dibuat hari ini secara kontrak untuk membantu KKM menangani Covid-19.-MalaysiaGazette
29 Jun 21
3920
PEMULIH : RM500 Untuk Pekerja Hilang Pendapatan
PUTRAJAYA, 29 Jun - Bantuan RM500 akan disalurkan kepada pekerja yang kehilangan pendapatan pada Oktober depan.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pemberian bantuan itu berdasarkan data daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) atau PERKESO pada tahun 2021.
"Bantuan ini dijangka memanfaatkan sehingga sejuta ahli yang melibatkan implikasi kewangan RM500 juta," ujarnya.
Beliau berkata demikian pada Pengumuman Khas Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih), semalam.
29 Jun 21
263
PEMULIH : Cukai Pelancongan, Perkhidmatan Dikecualikan
PUTRAJAYA, 29 Jun - Kerajaan bersetuju untuk menangguhkan pembayaran ansuran cukai pendapatan bulanan kepada syarikat dan mengecualikan cukai pelancongan dan cukai perkhidmatan kepada pengendali hotel sehingga akhir tahun ini.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ia sebagai pendorong kepada sektor pelancongan apabila negara mula beralih kepada Fasa Ketiga Program Pemulihan Negara (PPN) kelak.
"Apabila negara beralih ke Fasa Empat PPN, kerajaan akan mempertimbang peruntukan sewajarnya untuk memulih dan mempergiat semula aktiviti pelancongan," katanya dalam pengumuman khas Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH), di sini hari ini.
Tambah beliau, apabila negara beralih ke fasa keempat PPN, Kerajaan akan mempertimbang peruntukan sewajarnya untuk memulih dan mempergiatkan semula aktiviti pelancongan.
Muhyiddin juga berkata, oleh kerana sektor pelancongan merupakan antara segmen yang sangat terjejas dalam tempoh pandemik COVID-19 ini, kerajaan juga menyediakan bantuan intensif secara 'one off'.
"Sebagai pendorong atau kick-start, apabila negara beralih ke fasa ketiga PPN kelak, bantuan one-off sebanyak 3 ribu ringgit kepada lebih 5,300 agensi pelancongan berdaftar," tambahnya.
29 Jun 21
265
OP PATUH Secara Besar-Besaran Bermula Khamis
KUALA TERENGGANU, 29 Jun - OP PATUH yang berlangsung sejak Jumaat lalu akan dilaksanakan secara besar-besaran (Nationwide Crackdown), bermula minggu ini.
Menteri Dalam Negeri, Dato' Seri Hamzah Zainuddin berkata, pelaksanaan operasi secara 'nationwide' itu melibatkan semua agensi di bawah 21 kementerian yang bekerjasama dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) secara koordinasi bersama.
"Insya-Allah, ia mungkin bermula Khamis, atau jika terlewat sedikit pada Jumaat ini. Jadi, mereka yang dibenarkan beroperasi perlu bersedia kerana sekiranya ingkar, jika tidak ditangkap mungkin akan dikenakan denda maksimum.
"Pihak berkuasa tempatan akan diarahkan melakukan snap check di kawasan tertentu di seluruh negara. Begitu juga dengan sekatan jalan raya (SJR), selain operasi dengan aset sedia ada secara serentak," katanya dalam sidang media di ibu pejabat Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Terengganu, hari ini.
Jelasnya, usaha tersebut bagi membantu menurunkan penularan jangkitan pandemik Covid-19 serta kes aktif dalam negara.
Beliau yang melakukan tinjauan di Penjara Marang turut memaklumkan bahawa KDN akan mewujudkan penjara satelit di Dungun untuk menampung kepadatan tahanan bagi mengelakkan penularan pandemik di sana.
"Di penjara Marang, kita memerlukan kawasan lebih besar untuk menempatkan sebahagian banduan yang ada bagi mengelakkaan penularan kluster tembok, insya-Allah awal Julai ini mereka akan dipindahkan.
"Dalam waktu sama, di Marang juga perlukan kuaters dan kita telah meluluskan sebanyak RM4 juta untuk dengan perincian pembinaan 64 unit atau empat blok kuaters untuk proses naik taraf di sini," katanya.
Tambahnya, projek tersebut akan ditender pada Ogos ini dan bermula pada Oktober bagi memberi keselesaan kepada anggota penjara.
29 Jun 21
1146