lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Halo Delivery Sedia Khidmat Penghantaran Mudah Dan Pantas
Halo Delivery Sedia Khidmat Penghantaran Mudah Dan Pantas
HULU TERENGGANU, 1 Julai – Halo Delivery yang menawarkan perkhidmatan penghantaran yang lebih mudah dan pantas, kini boleh diakses oleh semua orang di daerah ini. Menerusi Applikasi Halo Delivery, perkhidmatan penghantaran amat mudah kerana harga yang ditawarkan merangkumi segala yang diperlukan, termasuklah pengambilan, pengangkutan dan penghantaran. Pengurusnya, Firdaus Adinan berkata, Halo Delivery adalah sebuah syarikat bumiputera yang memberikan perkhidmatan penghantaran dalam daerah Hulu Terengganu, berteraskan kualiti perkhidmatan yang sistematik dan cepat. Katanya, servis penghantaran yang ada dalam aplikasi Halo Delivery merangkumi penghantaran makanan panas, produk sejuk beku, farmasi, penghantaran barang runcit, pengambilan barangan dan penghantaran barangan sekitar Hulu Terengganu. "Bermula hari ini, kami telah melancarkan perkhidmatan ini ke tempat sasaran dalam daerah ini. "Pada peringkat permulaan, servis penghantaran bermula pada jam 8.00 pagi sehingga jam 7.00 petang,"ujarnya.   Tambahnya lagi, selain membantu membuka peluang pekerjaan, dia juga mahu membantu para peniaga melariskan jualan mereka, khususnya peniaga yang terkesan dengan pandemik. "Peluang pekerjaan sebegini sangat menguntungkan khususnya untuk golongan belia di Hulu Terengganu ini. “Bermula pada beberapa hari yang lalu dalam Group Facebook Kuala Berang, saya telah menawarkan peluang pekerjaan kepada yang berminat untuk menjadi rider Halo Delivery, dan membuka peluang kepada peniaga makanan, runcit, farmasi dan sebagainya untuk bersama dengan Halo Delivery," katanya. Menurut Firdaus, tanpa mengira jumlah penghantaran, peniaga akan menikmati kemudahan yang ada dan perkhidmatan penghantaran yang lancar. "Masyarakat masa kini kebanyakkan menggunakan perkhidmatan penghantaran untuk memudahkan urusan mereka dengan membuat pelbagai citarasa pilihan dalam aplikasi sebegini. “Permulaan ini, kekuatan rider bermotosikal seramai lima orang dan satu rider berkereta memulakan perkhidmatan penghantaran. insyaAllah kekuatan rider akan bertambah dari masa ke semasa,"jelasnya.
01 Jul 21
2963
Terengganu Benarkan Solat Jumaat Di Masjid Bermula Esok
Terengganu Benarkan Solat Jumaat Di Masjid Bermula Esok
KUALA TERENGGANU, 1 Julai - Umat Islam di Terengganu dibenarkan untuk melakukan solat jemaah dan solat Jumaat berkuat kuasa hari ini dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan. Bagaimanapun, menurut Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam), bilangan yang dibenarkan solat fardhu di masjid dan surau hanya seramai 12 orang. Perkara itu sudah mendapat perkenan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin bagi tempoh Fasa 1 Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyeluruh dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN). "Solat fardhu di masjid dan surau dibenarkan dengan bilangan seramai 12 orang. "Solat Jumaat di masjid juga dibenarkan dengan bilangan jemaah seramai 40 orang. Bagi kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), solat Jumaat dan solat jemaah adalah tidak dibenarkan," ujarnya. Tambahnya, mana-mana masjid dan surau yang dikenakan arahan penutupan di bawah seksyen 18 (1)(d) Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) tidak dibenarkan melaksanakan apa-apa aktiviti sepanjang tempoh penutupan.
01 Jul 21
4476
Terengganu Benar Ibadat Korban, Solat Aidiladha Di Masjid, Surau
Terengganu Benar Ibadat Korban, Solat Aidiladha Di Masjid, Surau
KUALA TERENGGANU, 1 Julai - Kerajaan Terengganu membenarkan solat sunat Hari Raya Aidiladha di masjid dan surau negeri ini tetapi hanya membabitkan melibatkan jemaah lelaki dan pemastautin sahaja. Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam), Datuk Osman Muda berkata, bilangan jemaah dibenarkan pula hanya seramai 40 orang selain jemaah perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan. Menurutnya, kebenaran mengadakan ibadah dalam tempoh Fasa 1 Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyeluruh dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) itu mendapat perkenan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin. “Baginda juga menyeru semua pihak termasuk rakyat jelata memberi kerjasama dan komitmen dengan sebaik mungkin dalam mematuhi setiap SOP dan arahan pihak berkuasa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. Osman berkata, kerajaan negeri turut membenarkan ibadah korban dilakukan sama ada di perkarangan masjid atau surau, kawasan lapang seperti padang, Rumah Penyembelihan Jabatan Perkhidmatan Veteriner (DVS) dan Rumah Penyembelihan Ruminan Swasta berlesen dengan kebenaran Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT). “Jumlah haiwan korban dihadkan kepada lima ekor haiwan sehari di sesuatu kawasan kecuali di rumah penyembelihan yang dibenarkan. "Jumlah petugas hendaklah tidak melebihi 10 orang dan hendaklah berada dalam keadaan sihat," jelasnya.  
01 Jul 21
2714
Pesakit Wad Kelas Ketiga Terengganu Nikmati Caj Percuma Bermula Hari Ini
Pesakit Wad Kelas Ketiga Terengganu Nikmati Caj Percuma Bermula Hari Ini
KUALA TERENGGANU, 1 Julai - Pesakit wad kelas ketiga di seluruh hospital kerajaan di Terengganu mula menikmati caj perubatan secara percuma berikutan pelaksanaan manifesto kerajaan negeri berkenaan bermula hari ini. Dianggarkan kira-kira 1.2 juta rakyat Terengganu akan menerima manfaat pelaksanaan manifesto PAS Terengganu bagi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 itu. Terdahulu, menurut Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan Dan Alam Sekitar, Dr. Alias Razak, caj Wad Kelas Ketiga Percuma ini akan melibatkan enam buah hospital iaitu Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Hospital Dungun, Hopsital Kemaman, Hospital Setiu, Hospital Besut dan Hospital Hulu Terengganu melibatkan anggaran 1,390 buah katil secara keseluruhannya. "Kita telah melalui proses yang panjang untuk melaksanakan satu lagi manifesto bagi memenuhi janji kepada rakyat iaitu untuk melaksanakan rawatan kelas ketiga percuma. Alhamdulillah, persiapan kita dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan kerajaan Persekutuan kini dilaksanakan, terima kasih bagi membantu menjayakan program ini di Terengganu," jelasnya.
01 Jul 21
912
COVID-19 : 60 Peratus Rakyat Terengganu Daftar Vaksin
COVID-19 : 60 Peratus Rakyat Terengganu Daftar Vaksin
KUALA TERENGGANU, 1 Julai - Terengganu mencatatkan jumlah pendaftaran vaksin memberangsangkan dengan 61 peratus populasi telah didaftar berdasarkan statistik perkembangan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK). Menurut maklumat Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV), sejumlah 494,627 pendaftaran telah diterima sehingga 29 Jun, baru-baru ini. “Manakala jumlah vaksinasi dos pertama dalam negeri ini mencatatkan 12 peratus daripada jumlah populasi atau seramai 151,650 orang penerima dengan 21 lokasi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di seluruh negeri,” kata JKJAV menerusi laman web rasminya. Sebelumnya, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak melaporkan individu lengkap dua dos dalam negeri masih di bawah 10 peratus (sehingga 28 Jun) seperti ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN). Jelasnya, oleh sebab itu Terengganu masih tidak dibenarkan beralih ke fasa dua kerana belum memenuhi kriteria tersebut. Sementara itu, situasi terkini Covid-19 dalam negeri sehingga semalam terus merekodkan kes baharu positif di bawah tiga angka dengan yang terkini sebanyak 20 kes sahaja, dengan daerah Dungun menunjukkan jumlah baharu tertinggi (10 kes). “Ia melibatkan 15 kes daripada penularan tempatan manakala 5 kes lagi dikategorikan sebagai import, tiada kluster baharu juga dilaporkan,” kata Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu di Facebook rasminya.
30 Jun 21
501
8 Jalan Ditutup Sepanjang PKPD Kampung Kubang Jela
8 Jalan Ditutup Sepanjang PKPD Kampung Kubang Jela
KUALA TERENGGANU, 1 Julai - Lapan penutupan jalan dan satu sekatan jalan raya dikenakan berikutan pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Kubang Jela, Mukim Manir bermula hari ini sehingga 14 Julai. Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md. Din melaporkan, satu-satunya SJR dilaksanakan terletak di Jalan Kelantan (Hadapan Klinik Kesihatan Manir). “Sementara itu, antara lokasi jalan ditutup di Lorong 1 dan 2 ke Kampung Banggol Donas, Lampu Isyarat Kubang Jela ke Batu 6 dan Lampu Isyarat Batu 6 ke Kubang Jela. “Laluan lain termasuk Jalan Sekolah ke Teluk Pasu, Lorong Tali Air ke Teluk Pasu, Sempadan Jalan ke Taman Teluk Pasu dan Lorong Sentosa (Bengkel Kenderaan Mazlin),” katanya dalam satu kenyataan akhbar semalam. Sehubungan itu, Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu akan menempatkan pusat kawalan di hadapan Klinik Kesihatan Lama Manir bagi memudahkan penduduk kawasan PKPD untuk mendapatkan kebenaran keluar atas sebab yang dibenarkan. “Ini termasuk untuk mendapatkan bantuan hal-hal kecemasan semasa tempoh itu dilaksanakan. “Pihak polis juga akan membuat rondaan dan pemantauan dari masa ke semasa bagi mengenal pasti lorong-lorong yang masih digunakan orang ramai bagi tujuan keluar dan masuk kawasan. “Penduduk di sini juga dinasihatkan supaya mematuhi segala arahan Prosedur Operasi Standard (SOP) dan sebarang cubaan atau tindakan untuk mengalih / mengubah / melanggar atau merosakkan penghadang jalan (barricade) boleh didakwa mengikut peruntukan undang-undang,” tegasnya. Abdul Rahim turut menyarankan penduduk di kawasan Kampung Kubang Jambu, Manir agar menggunakan jalan alternatif lain iaitu Jalan Baloh dan Jalan Belakang Klinik Kesihatan Baru Manir. “Sebarang pertanyaan atau aduan boleh berhubung dengan pusat kawalan COVID-19 Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala terengganu di talian 09-6322377," katanya.
30 Jun 21
3494
'Paling Penting, Pastikan Bantuan Kepada Sasaran'
'Paling Penting, Pastikan Bantuan Kepada Sasaran'
KUALA NERUS, 30 Jun - "Mengibarkan bendera putih tidak menjadi kesalahan, namun apa yang paling baik ialah bagaimana kita menyampaikan bantuan kepada sasaran." Itu nasihat yang diluahkan Menteri Hal Ehwal Agama, Senator Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri, hari ini. Jelasnya, masyarakat di setiap peringkat perlu berusaha dengan pelbagai cara termasuk berdoa, berikhtiar dan turun padang untuk menyampaikan bantuan. "Paling penting, kita mahu selamatkan seramai mungkin daripada terjebak dengan isu seperti stress melampau, hyperdepression dan sebagainya. "Inilah yang kita jalankan dari masa ke masa, pejabat kami sentiasa dapat aduan dan kami sentiasa buat laporan bagaimana musaadah ini dibuat," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan sebanyak 200 pek barangan keperluan makanan kepada ADUN Tepoh, Hishammuddin Abdul Karim melalui program YADIM di pejabat DUN berkenaan, hari ini. Beliau turut menafikan tanggapan salah sebahagian pihak tentang institusi zakat dalam menyampaikan bantuan. "Kami menggerakkan sehabis baik institusi-institusi zakat, sebab itu hampir setiap bulan saya akan membuat laporan berkenaan perbelanjaan demi perbelanjaan zakat. "Sebagai contoh, tahun lalu di Wilayah Persekutuan kita membelanjakan lebih RM630 juta untuk fakir miskin, golongan memerlukan, asnaf dan sebagainya.  "Saya juga dapati pusat-pusat zakat seluruh negara telah memainkan peranan dalam ruang lingkup masing-masing," katanya.
30 Jun 21
343
54 Pelajar Cemerlang SPM Di Jabi Terima Imbuhan
54 Pelajar Cemerlang SPM Di Jabi Terima Imbuhan
SETIU, 30 Jun – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Dr Azman Ibrahim tidak terlepas untuk meraikan kejayaan 54 pelajar yang cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 meskipun dalam suasana Pelan Pemulihan Negara (PPN) fasa 1. Menurut Dr Azman, individu yang mendapat keputusan 6A dan ke atas tetap diraikan walaupun berdepan dengan keadaan yang sangat mencabar di era pandemik Covid-19 ini. "Walau apa pun situasi, kita tetap perlu kuat untuk mengembirakan orang lain. Sejak dua hari lepas, alhamdulillah hari ini telah selesai masuk kampung seluruh DUN untuk berjumpa dengan anak-anak SPM 2020 dan menyampaikan sedikit hadiah kepada mereka.  "Terdapat seorang pelajar cemerlang Terengganu dengan keputusan 12 A, pelajar Sekolah Menengah Imtiaz Besut dari Kampung Tempinis, Jabi. "Bersedialah untuk memulakan alam baru lepas SPM. Perjalanan masih sangat jauh lagi," katanya selepas mengagihkan sumbangan penghargaan kepada pelajar cemerlang SPM, di sini.  Bercakap mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang masih disambung di Terengganu, beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri berkata Kerajaan Negeri telah memberikan hujah-hujah kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) agar rakyat Terengganu boleh keluar dari fasa satu ke fasa dua. "Rakyat Terengganu juga telah berusaha sebaiknya untuk patuh kepada ‘Standard Operating Procedure’ (SOP). Peningkatan kes baru di negeri kita antara yang terendah selepas Perlis. "Program vaksinasi mendapat sambutan hangat sampai tak cukup vaksin. Paling penting kita nak rakyat boleh kerja cari makan semula. Tapi Majlis Keselamatan Negara (MKN) ada ukuran dan pertimbangan yang diguna pakai, antaranya kadar peratusan rakyat Terengganu yang telah menerima dua dos vaksin masih lagi belum mencapai tahap 10 peratus," jelasnya. Tambahnya, rakyat hari ini sudah terlalu tertekan dengan situasi sekarang. Kerana itulah Kerajaan Negeri telah dan akan terus berusaha sebaiknya untuk keluar dari sekatan itu.
30 Jun 21
370
PEMULIH : RM20 Juta Peruntukan Bimbing OKU, Gelandangan Berniaga
PEMULIH : RM20 Juta Peruntukan Bimbing OKU, Gelandangan Berniaga
PUTRAJAYA, 30 Jun - Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM20 juta untuk melaksanakan Program Jaringan Inisiatif Umum (JITU). Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ia bertujuan menyediakan bantuan asas modal perniagaan dan membimbing OKU dan gelandangan dalam perniagaan. "Sejumlah RM20 juta diperuntuk bagi tujuan ini dan dijangka dapat memberi manfaat kepada lebih 40,000 individu," katanya. Beliau berkata demikian pada Pengumuman Khas Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih), semalam.
30 Jun 21
199
Enam Tindakan Terengganu Untuk Keluar Fasa Satu
Enam Tindakan Terengganu Untuk Keluar Fasa Satu
KUALA TERENGGANU, 30 Jun - Bagi membolehkan Terengganu mencapai kadar vaksinasi lengkap dua dos yang dikehendaki Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan keluar dari fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN) dengan segera, kerajaan negeri terus merancakkan program imunisasi di pelbagai peringkat. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak berkata, peralihan fasa itu penting bagi membolehkan lebih banyak perniagaan dibuka sekali gus menghidup dan merancakkan kembali ekonomi rakyat. Katanya, berdasarkan situasi semasa, kadar vaksinasi yang telah lengkap dos kedua di Terengganu masih belum mencapai 10 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk Terengganu. "Bagi memastikan kita mencapai 10 peratus itu, Pusat Pemberian Vaksin (PPV) awam di Terengganu Trade Centre (TTC) telah dibuka sejak 26 Jun dengan kadar suntikan 200 suntikan sehari, dijangka 1,000 orang akan mendapat suntikan vaksinasi dalam masa seminggu. "Terengganu juga telah menjalankan integrasi bersama Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) bagi mewujudkan PPV UniSZA, dan ia telah beroperasi 13 Jun dengan 750 suntikan sehari, dalam masa seminggu seramai 3,750 orang dijangka menerima suntikan di PPV ini. "16 buah PPV klinik swasta pula telah diluluskan dengan kemampuan vaksinasi sebanyak 450 sehari, dijangka 1,440 orang dapat disuntik dalam masa seminggu," ujarnya ketika bersiaran dalam segmen 'Berita Awok Kite' di Tv Darul Iman semalam. Mengulas lanjut, Dr Alias memaklumkan, dua buah hospital swasta turut dilantik sebagai PPV. "Hospital Salam telah beroperasi 27 Jun lalu dan Pusat Perubatan Intan akan bermula beroperasi pada 4 Julai ini, dijangka 100 suntikan sehari dapat diberikan, dalam seminggu 500 orang dijangka akan menerima suntikan di PPV ini. "10 buah PPV klinik kesihatan luar bandar akan mula beroperasi 1 Julai ini dengan jangkaan 500 suntikan sehari, dalam seminggu 2,500 orang dijangka menerima suntikan," jelasnya. Selanjutnya, tiga buah PPV Industri diwujudkan antaranya di Eastern Steel, Kemaman yang akan mula beroperasi pada 2 Julai ini, 1,380 orang pekerja akan menerima suntikan di sana. Tambah Dr. Alias, antara PPV Industri lain yang turut dibuka adalah di Kerteh Integrated Petrochemical Complex, Kerteh yang akan mula beroperasi pada 12 Julai ini, 4,800 orang pekerja akan menerima suntikan dan Duyong Offshore melibatkan 5,500 orang pekerja yang akan menerima suntikan. "Kita menjangkakan dalam tempoh 7 hari, kita dapat mencapai kadar vaksinasi 10 peratus yang telah lengkap suntikan dos kedua dengan suntikan sebanyak 88,126 orang sekaligus memudahkan rakyat menerima vaksin," ujarnya. Untuk rekod, MKN menetapkan tiga kriteria bagi membolehkan peralihan fasa berlaku, Terengganu telah melepasi dua daripadanya iaitu bilangan kes harian bawah 100 dan penggunaan katil di ICU yang rendah.  
30 Jun 21
5632