Artikel "Utama" Terkini
Tidak Patuh SOP, Cerita 'Tuler' Dalam Kisah Kluster
KUALA TERENGGANU, 2 Julai - "Segelintir yang tak tidak patuh SOP, sebuah kampung terpalit sama yang mana cerita tuler (sama) tapi masih diulang tayang," ujar Pengarah Kesihatan negeri, Dr Nor Azimi Yunus.
Katanya, kenaikan kes di Terengganu hari ini juga berpunca daripada ketidakpatuhan SOP di kalangan masyarakat walaupun telah diberi peringatan.
Menurut beliau, Terengganu kembali mencatatkan 50 kes berbanding semalam dan ia naik sekali ganda.
"Kenaikan kali ini disumbangkan oleh Kluster Kubang Jela dan cara jangkitan adalah sama seperti kisah kisah Kluster sebelum ini.
"Kes indeks menjangkiti ahli keluarga sendiri, enam keluarga lain serta menjangkiti enam jemaah surau dan jiran Selepas itu, kawan anak lepak dan bermalam kat rumah terjangkit sama.
"Kemudian menjangkiti lima rakan main sepak takraw termasuk dua rakan main basikal pun terkena juga. Bila masa mereka main masa musim PKP ni?," katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya semalam.
Nor Azimi berkata seramai 45 kes positif telah dikesan dari Kluster ini yang telah dikenakan PKPD bermula 1 hb Julai.
"Saringan bersasar (ACD) telah dilaksanakan di Kg Kubang Jela di mana seramai 988 penduduk telah disaring.
"Hanya 88 disahkan negatif. Selebihnya (900 orang) masih menunggu keputusan," tambah beliau lagi.
Sementara itu katanya, di Dungun dan Kemaman pula, semua kes positif merupakan kontak rapat Kluster di LKIM Kuantan yang melibatkan peraih ikan dan lain-lain.
02 Jul 21
2000
Terengganu Luluskan RM100 Ribu, Jeti Baharu Buat Nelayan
SETIU, 2 Julai - Cakna terhadap keluhan warga nelayan di Kampung Fikri, Kerajaan Negeri meluluskan peruntukan RM100,000 bagi pembinaan jeti baharu bagi menampung jumlah bot-bot di sini.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, jeti sedia ada di pengkalan nelayan kampung tersebut adalah terhad buat penggiat lautan tempatan.
“Hasil perbincangan dengan warga laut tempatan, kita telah memohon peruntukan daripada pihak kewangan negeri dan ia telah diluluskan untuk dilaksanakan pihak Pejabat Daerah Setiu.
“Insya-Allah, permintaan lain kita terima dan cuba untuk laksanakan satu demi satu, peringkat demi peringkat,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa kerja CSR Nelayan Pembersihan Muka Kuala Setiu di Jeti Pengkalan Bubu, Kampung Fikri, pagi tadi.
Turut hadir, Pegawai Daerah dan Pentadbir Tanah Setiu, Rosli Latif.
Menurut Dr Azman, proses seterusnya akan dilangsungkan segera mungkin dan akan memberi manfaat buat komuniti nelayan Kampung Fikri, Kampung Mangkuk dan Kampung Beting Lintang dan juga dari Daerah Besut.
Terdahulu, inisiatif pemasangan lampu limpah juga dijalankan bagi mencerahkan laluan di kawasan jeti, kini telah siap dibina hasil penerimaan aduan warga setempat.
02 Jul 21
611
Sidang Parlimen Sebelum Ogos
PUTRAJAYA, 2 Julai - Dalam satu kenyataan rasmi pada hari ini, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen & Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata sidang parlimen dijangka akan diadakan dalam masa terdekat.
Katanya, Kerajaan Persekutuan sentiasa menjunjung titah pandangan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam semua hal berkaitan pemerintahan negara termasuk berkait persidangan parlimen.
"Sehubungan dengan itu Perdana Menteri, Tan Sri Dato’ Muhyiddin Mohd Yassin, selaku ketua Majlis Parlimen telah memutuskan akan memanggil sidang Parlimen Malaysia sebelum 1 Ogos 2021.
"Perkara ini akan dimuktamadkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 7 Julai 2021 nanti," ujarnya.
Terdahulu Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan supaya persidangan Parlimen segera diadakan sebelum Ogos bagi membolehkan proklamasi darurat dan ordinan-ordinan darurat dibentangkan di Dewan Rakyat seperti yang termaktub dalam Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan.
Pandangan itu susulan sesi menghadap oleh Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim dan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun di Istana Negara pada 30 Jun baru-baru ini.
02 Jul 21
255
Solat Jumaat Pertama Selepas Sebulan
KUALA TERENGGANU, 2 Julai - Solat Jumaat di masjid di seluruh Terengganu hari ini merupakan yang pertama diadakan di masjid itu semenjak Sekatan Pergerakan Penuh Fasa 1 berkuat kuasa pada 1 Jun lalu.
Tinjauan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) mendapati jemaah yang tiba di pintu masuk masjid diminta oleh pengawal agar mencatat butiran diri selain menjalani pemeriksaan suhu badan sebelum dibenarkan memasuki pekarangan masjid.
SOP sama dilaksanakan sejurus tiba di dewan solat di mana kelihatan beberapa penanda diletakkan setiap satu meter sebagai petunjuk tempat jemaah boleh berdiri menunaikan solat Jumaat.
Rata-rata jemaah yang hadir turut mengatakan kesyukuran serta kegembiraan kerana dapat menyempurnakan ibadat tersebut.
Semalam, Terengganu mengumumkan kebenaran solat Jumaat berkuat kuasa hari ini dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
Solat Jumaat dibenarkan dengan bilangan jemaah seramai 40 orang tidak termasuk pegawai dan AJK masjid.
Bagi kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), solat Jumaat dan solat jemaah masih tidak dibenarkan.
02 Jul 21
539
CSR Nelayan Bersihkan Laluan Kuala Setiu
SETIU, 2 Julai – Usaha sama Kerajaan Negeri bersama nelayan komuniti Kampung Fikri dapat menyelesaikan masalah laluan air di Kuala Setiu yang dipenuhi beberapa batang pokok rhu yang tumbang.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, muka kuala yang menjadi laluan nelayan daripada daerah Besut dan Setiu dicemari dengan pokok dihanyutkan arus deras.
Dr Azman Ibrahim bersama Pegawai Daerah Setiu, Rosli Latif membantu kerja gotong-royong
“Ada rintihan orang kelaut menceritakan bot-bot mereka bengkok akibat terlanggar dahan di sini.
“Hakisan tanah dan pohon tumbang menyebabkan laluan pelayaran keluar masuk nelayan melalui kuala terhalang dan merbahaya kepada bot nelayan
“Oleh itu, kita ambil tindakan segera meluluskan peruntukan kerja gotong-royong yang turut dibantu komuniti setempat diikuti Majlis Daerah Setiu, Polis dan Pejabat Daerah Setiu,” jelasnya.
Beliau berkata demikian semasa kerja CSR Nelayan Pembersihan Muka Kuala Setiu di Jeti Pengkalan Bubu, Kampung Fikri, pagi tadi.
Turut hadir, Pegawai Daerah Dan Pentadbir Tanah Setiu, Rosli Latif.
Katanya, usaha tersebut dijangka selesai melalui usaha pembersihan dalam masa dua hingga tiga hari.
Beliau turut berterima kasih kepada komuniti nelayan Kampung Fikri, Kampung Mangkuk dan Kampung Beting Lintang yang turut serta dalam kolaborasi tersebut.
02 Jul 21
357
200 OKU Terengganu Terima Vaksinasi
KUALA TERENGGANU, 2 Julai - Seramai 200 orang kurang upaya (OKU) pelbagai peringkat di Terengganu menerima suntikan vaksin dos pertama di Terengganu Trade Centre (TTC), hari ini.
Pengarah Kesihatan Negeri, Dr. Nor Azimi Yunus berkata, keseluruhan jumlah itu melibatkan seramai 75 OKU daripada Persatuan Orang Pekak Terengganu (POPT) serta 15 atlet para Terengganu.
"Selain itu, seramai 77 penerima daripada pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK), 23 OKU pelbagai dan 10 tenaga pengajar OKU turut menerima suntikan dos pertama vaksin hari ini.
"Untuk makluman, sebenarnya di seluruh negeri telah ramai OKU yang menerima suntikan vaksin melalui kategori awam yang ada. Mengikut statistik dikeluarkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), lebih kurang sebanyak 30,000 katergori tersebut di Terengganu yang perlu diberikan keutamaan menerima vaksinasi.
Golongan OKU sedang menerima taklimat daripada doktor melalui jurubahasa di PPV TTC.
"Kita memang cakna berkenaan data ini dan sedang memproses data di seluruh negeri, sekiranya ada mereka akan diserapkan dalam kategori awam sedia ada," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) TTC, hari ini.
Jelasnya, PPV itu yang baru dibuka bermula Ahad lalu mempunyai kapasiti melaksanakan 300 dos vaksinasi sehari dan akan ditingkatkan kepada 800 dos sehari bermula minggu hadapan.
Dalam pada itu, Presiden POPT, Tengku Arman Harris Tengku Ismail memaklumkan, ini merupakan kali kedua program vaksinasi besar-besaran melibatkan OKU.
"Seramai 63 orang yang berdaftar di bawah POPT akan datang untuk mengambil suntikan vaksin daripada 658 orang ahli.
"Setakat ini, 114 orang di Kuala Terengganu telah menerima vaksin dan lebih kurang 20 orang ahli POPT menerima vaksin yang sedang berlangsung di Besut, hari ini," katanya.
Seorang pelatih di PDK Manir, Hanafi Mohd Rosli (berbaju biru) dan ibunya hadir bersama untuk menerima suntikan vaksin.
Jelasnya, ramai dikalangan OKU terutama pekak bisu telah mendaftar untuk mendapatkan vaksin, tetapi sebahagian besar masih belum dapat panggilan dan takut untuk mengambil vaksin.
Menurutnya, sebilangan mereka juga sebenarnya mengalami masalah dalam proses mendaftar Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) kerana masalah komunikasi.
"Kami banyak menyebarkan maklumat sesama kami melalui pesanan WhatsApp dan juga panggilan video dalam usaha menyampaikan maklumat tentang vaksinasi ini," katanya.
02 Jul 21
948
Dua Terowong ECRL Siap Sepenuhnya
KUALA TERENGGANU, 2 Julai - Pembinaan dua terowong Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Paka dan Bukit Bauk, Dungun kini sudah siap sepenuhnya.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr Mamad Puteh berkata Terowong Paka sepanjang 1.1 kilometer (km) yang siap pada April lalu direkodkan siap enam bulan lebih awal .
"Manakala Terowong Bukit Bauk yang siap dibina pada 2 Jun turut direkod siap lebih awal pada perancangan asal.
"Apa yang membanggakan, walaupun berdepan pelbagai cabaran termasuk penangguhan kerja-kerja pembinaan selama sembilan bulan, namun kerja- kerja mengali dan penembusan terowong berkenaan berjaya dilakukan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika bersiaran secara langsung melalui TV Darul Iman, hari ini
Menurutnya, projek ECRL kini giat dijalankan dengan pembinaan beberapa lagi terowong sepanjang 14.9 kilometer di Seksyen B (Dungun-Mentakab, Kuantan).
"Kebanyakan terowong-terowong itu telah mencapai tahap kemajuan optimum bagi kerja-kerja penggalian dan seterusnya membantu meningkatkan tahap kemajuan keseluruhan projek," katanya.
02 Jul 21
2142
Kluster Kubang Jela Sumbang 23 Kes Di Terengganu
KUALA TERENGGANU, 1 Julai - Situasi penularan COVID-19 di Terengganu kembali meningkat apabila merekodkan 50 kes baharu, hari ini.
Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) memaklumkan, daripada jumlah itu 43 adalah kes penularan tempatan selain turut melibatkan lima kes import B dan dua kes import C.
Jelas JKNT, Kluster Kubang Jela mempunyai kaitan rapat dengan peningkatan kes positif COVID-19 baharu itu.
"Daripada keseluruhan kes positif, 23 daripadanya datang daripada Kluster Kubang Jela," ujar JKNT dalam satu kenyataan rasmi di facebook.
Dalam pada itu, JKNT turut memberitahu terdapat satu kes kematian akibat COVID-19 dicatatkan hari ini.
01 Jul 21
2142
2,056 Guru SPM, STPM Di Terengganu Sudah Divaksin
KUALA TERENGGANU, 1 Julai - Seramai 2,056 guru yang mengajar pelajar Tingkatan Lima dan Enam di sekolah menengah di negeri ini telah menerima sekurang-kurangnya dos pertama vaksin setakat Jun.
Pengarah Pendidikan Negeri Terengganu, Salim Ab Ghani berkata, jumlah itu melibatkan 57 peratus daripada jumlah keseluruhan iaitu 3,569 guru yang mengajar kelas peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).
“Daripada jumlah guru sudah divaksin itu, 1,589 orang adalah guru Tingkatan Lima manakala 467 orang lagi cikgu yang mengajar Tingkatan Enam,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas hadir menerima sumbangan berjumlah RM341,000 daripada Pengerusi Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), Senator Datuk Razali Idris untuk diagihkan kepada 341 pelajar cemerlang SPM 2020 negeri ini.
Dalam majlis tersebut, Ketengah telah menyumbangkan RM1,000 seorang bagi membantu pelajar cemerlang SPM melakukan persediaan menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi lebih-lebih lagi di saat pandemik Covid-19.
Tambah Salim, proses vaksinasi akan berterusan sebelum sesi pengajaran dan pembelajaran secara bersemuka bermula.
“Selain guru, Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) juga sudah mengambil data pelajar Tingkatan Lima dan Enam negeri ini sebagai persediaan suntikan vaksin Covid-19. Ia melibatkan lebih 20,000 pelajar,” katanya.
01 Jul 21
314
Menara Telekomunikasi Baharu Selesai Masalah Capaian Internet Rakyat
Oleh : Mawaddah Mohd
HULU TERENGGANU, 1 Julai – Menara telekomunikasi baharu di Kawasan Kolej Tingkatan Enam Hulu Terengganu (HUTECS) telah siap dibina dan telah mendapat maklum balas positif daripada penduduk sekitar.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Berang, Dr Mamad Puteh berkata ia merupakan penyelesaian terhadap rangkaian telekomunikasi yang perlahan di kawasan penduduk yang semakin padat.
"Rentetan daripada itu, usaha membina menara telekomunikasi telah dijalankan dengan bantuan daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) Hulu Terengganu,"ujarnya ketika ditemui di tapak menara telekomunikasi, semalam.
Turut hadir, Pengarah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) Terengganu, Mohd Fairus Muhammad.
Sementara itu, rata-rata penghuni kawasan tersebut meluahkan rasa bersyukur atas inisiatif yang telah dijalankan oleh SKMM dalam menangani masalah tersebut.
Salah seorang penduduk yang ditemui, Nuri Haiza A Razak, 40, berkata, penggunaan internet bertambah lancar dengan adanya pencawang telekomukasi baharu di kawasan itu.
“Sebelum ini talian internet rumah saya tidak memuaskan, nak buka gambar pun ambil masa yang lama.
"Alhamdulillah dengan kerjasama daripada pihak SKMM, penduduk dapat menggunakan internet tanpa gangguan,” tambahnya.
01 Jul 21
663