lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Puluhan Rumah Di Padang Setengge Dibadai Ribut
Puluhan Rumah Di Padang Setengge Dibadai Ribut
HULU TERENGGANU, 7 Julai - Ribut yang merosakkan hampir 50 peratus  rumah di perumahan Taman Setengge semalam, disifatkan sebagai yang terburuk berlaku di kawasan itu. Ketua Polis Daerah, Deputi Superintenden Mohd. Adli Mat Daud berkata kejadian berlaku selepas pukul 6 petang dan kebanyakan kediaman yang rosak adalah membabitkan struktur bumbung akibat diterbangkan oleh angin kencang. Katanya, terdapat 200 rumah teres di kawasan perumahan tersebut dan hampir separuh telah terjejas akibat ribut yang melanda. "Sembilan daripada kediaman itu mengalami kerosakan teruk pada bahagian bumbung akibat diterbangkan angin dan 32 rumah mengalami kerosakan sehingga 50 peratus.Manakala 50 buah lagi mengalami kerosakan kecil pada bumbung. "Buat masa ini, tiada laporan membabitkan individu yang cedera dan pusat pemindahan juga tidak dibuka kerana penduduk terjejas masih memilih untuk tinggal di saudara mara masing-masing," katanya ketika ditemui di Pusat Kawalan Kejadian Bencana di Surau Padang Setengge, hari ini. Namun, katanya, jumlah kerugian belum dapat dipastikan, setakat ini. Tambah beliau, demi keselamatan penduduk, pihak Tenaga Nasional Berhad(TNB) telah mengambil langkah awal dengan memotong bekalan elektrik dan akan membuat pemeriksaan dari rumah ke rumah sebelum membuat penyambungan semula. Sementara itu, Jawatankuasa Bencana Daerah (JBD) telah mengambil tindakan dengan mengadakan operasi pada malam kejadian untuk membantu mangsa terlibat dan membuat perancangan bagi pasca bencana. Justeru itu, Mohd Adli menasihatkan agar  warga penduduk yang terlibat sentiasa mematuhi arahan mengikuti perancangan yang telah dirancang demi kebaikan semua pihak. "Gerak kerja seterusnya, kita akan mengadakan kerja membersih serpihan-serpihan  bumbung, pokok tumbang dan membuat penilaian dan pembaikan segera bagi memastikan penduduk dapat kembali ke rumah masing-masing dengan segera. "Berdasarkan kepada kerosakan rumah-rumah, kita jangka masa untuk membaikpulih akan mengambil masa satu hingga dua minggu bergantung kepada situasi,"ujarnya.    
06 Jul 21
1590
Masalah Internet Di Beberapa Kampung Di Setiu Selesai Bulan Ini
Masalah Internet Di Beberapa Kampung Di Setiu Selesai Bulan Ini
SETIU, 6 Julai – Masalah liputan internet yang kurang memuaskan bagi sesetengah tempat di Setiu dijangka bakal menemui titik pengakhiranya penghujung bulan ini.. Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abd Kadir berkata, banyak tindakan telah dilakukan sejak 2019 bagi menyelesaikan hal itu termasuk membawa isu terbabit ke Dewan Parlimen.  "Menara baharu di Kampung Rhu Sepuluh sudah ‘on air’ pada bulan Mei yang lepas, ia akan memanfaatkan penduduk sekitar sejauh dua kilometer. “Pada akhir julai ini, insya-Allah penduduk sekitar Kampung Hulu Seladang, Kampung Payung dan kampung sekitar akan menikmati liputan 4G. Kampung-kampung lain dalam senarai akan menyusul selepas ini dan dijangka siap sepenuhnya pada Februari 2022. "Projek pembinaan menara ini telah bermula sejak setahun yang lepas," katanya ketika ditemui UPDI di sekitar lawatan tapak pembinaan menara baru di Kampung Rhu Sepuluh bersama dengan Pengurus Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Negeri Terengganu pada pagi tadi. Katanya lagi, mengikut laporan terbaru SKMM, pembinaan menara baru di bawah program JENDELA yang diluluskan pada akhir tahun lepas untuk seluruh kawasan Parlimen Setiu ialah sebanyak 15 tempat. "Sekarang dalam proses perlantikan kontraktor oleh kementerian terbabit," jelasnya. Mengulas tentang proses menaiktaraf pemancar di 78 tempat, Shaharizukirnain memaklumkan proses pemasangan secara berperingkat oleh syarikat komunikasi dilantik sedang giat dijalankan.  "Segala usaha ini memakan masa kerana melibatkan beberapa pihak, oleh itu saya memohon agar penduduk Setiu bersabar," tambah beliau.
06 Jul 21
445
Kuala Terengganu, Marang Dilanda Hujan Ribut
Kuala Terengganu, Marang Dilanda Hujan Ribut
KUALA TERENGGANU, 6 Jun - Hujan ribut lebat melanda di kawasan bandar raya dan beberapa daerah lain telah menyebabkan beberapa kerosakan termasuk pokok-pokok berhampiran jalan yang tumbang. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, ribut yang berlaku sekitar jam 6 petang tadi menyebabkan beberapa atap rumah kediaman sekitar tercabut akibat angin kuat. Hasil tinjauan bersama Urus Setia Penerangan Darul Iman mendapati antara lokasi pohon pokok tumbang seperti di jalan besar hadapan Istana Badariah menghala ke bandar Kuala Terengganu dan jalan di hadapan Domino's Pizza Kuala Ibai. "Sekarang ini kerja-kerja memotong dan mengalihkan pokok yang menghalang lalu lintas sedang giat dijalankan. "Doakan semoga semua selamat dan tiada yang cedera. Petugas Pusat Khidmat ADUN Batu Buruk sedang turun meninjau keadaan semasa di sini," katanya menerusi Facebook rasminya sebentar tadi. Sementara itu, ramalan cuaca negeri oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia) mengeluarkan amaran ribut petir di seluruh Terengganu dan dijangka berlarutan sehingga 9 malam ini.   Manakala itu, ADUN Wakaf Mempelam, Wan Sukairi Wan Abdullah menjelaskan, pihaknya telah bekerjasama dengan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) untuk segera memeriksa rumah-rumah yang terkesan dan memberikan bantuan dengan segera. "Jika rumah saudara-saudari terlibat dalam kejadian ribut petang tadi, boleh berhubung segera kepada pengerusi atau mana mana ahli Jawatankuasa JPKK di kampung anda berada. "InsyaAllah, saya akan turun melihat rumah-rumah yang terkesan mulai awal pagi esok selepas selesai mesyuarat Exco. "Semoga semua penduduk dalam keadaan selamat. Insya-Allah seperti biasa, Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Wakaf Mempelam akan menyampaikan bantuan sewajarnya," tambahnya menerusi ciapan di halaman Facebook miliknya.
06 Jul 21
1526
Wad Kelas 3 : ‘Terharu, Kerajaan Pandang Golongan Seperti Kami’
Wad Kelas 3 : ‘Terharu, Kerajaan Pandang Golongan Seperti Kami’
KUALA TERENGGANU, 6 Julai - Rakyat Terengganu yang menerima manfaat hasil inisiatif wad kelas 3 percuma meluahkan rasa terharu kepada kerajaan negeri kerana mengambil berat terhadap kebajikan mereka. Penghantar barang di Ninja Van, Wan Fazrullah Wan Omar berkata, dia bersyukur kerana kepimpinan kerajaan masih membantu golongan yang berpendapatan rendah sepertinya.  “Sudah tentu bantuan ini meringankan beban kami, selalunya untuk kes isteri bersalin saya dikenakan bayaran minima sebanyak RM55 untuk tempoh dua hari di sini. “Ini kali kedua isteri bersalin di wad kelas ketiga, sebelum ini dikenakan bayaran walaupun sudah ada subsidi, tetapi sekarang yang tidak dikenakan subsidi, kerajaan negeri pula tanggung, kami tak perlu bayar. “Terima kasih kerajaan sebab memandang golongan bawahan seperti kami,” katanya ketika ditemui UPDI di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) semalam. Antara caj yang dikecualikan bagi seorang pesakit, RM200.50. Bagi Wan Faridah Wan Muda, 53, dia mengakui agak terkejut selepas dimaklumkan caj wad bersalin anaknya akan ditanggung kerajaan Terengganu dan tidak perlu membayar sebarang kos. “Apabila nak bayar bil untuk anak saya, Nur Athirah Ibrahim, pihak hospital cakap tak perlu bayar, pihaknya akan ‘claim’ dengan kerajaan negeri, saya agak terkejut sebab biasanya bayar. “Seingat saya, sebelum ini bayaran di sekitar RM20 hingga RM150, bagi orang bergaji bulanan atau penjawat awam mungkin lagi rendah, tetapi masih ada caj yang perlu dibayar, sekarang percuma. “Saya amat bangga dengan apa yang kerajaan sekarang sedang buat, kerajaan prihatin kepada kami, kalau ikutkan tak semua rakyat Terengganu berkemampuan, bagi kami sebagai golongan sederhana bantuan ini sangat bermakna, alhamdulillah,” katanya yang turut mencadangkan agar bantuan ini dikembangkan ke wad kelas 2. Wan Faridah. Sementara itu, menurut Ketua Jururawat Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Saroha Salim, rata-rata pesakit yang ditemui meluahkan rasa terkejut dan senang mereka terhadap kerajaan negeri kerana melaksanakan menifesto terbabit. "Sepanjang berkhidmat selama 24 tahun dalam bidang kejururawatan ini, ramai rakyat biasa agak sukar untuk membayar caj wad terbabit walaupun ia dianggap kecil," jelasnya. Pada 17 Jun lalu, kerajaan Terengganu mengumumkan Pelaksanaan caj percuma bagi wad kelas ketiga  bagi seluruh hospital kerajaan di Terengganu bermula 1 Julai 2021. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan Dan Alam Sekitar, Dr. Alias Razak memaklumkan, dianggarkan kira-kira 1.2 juta rakyat Terengganu akan menerima manfaat pelaksanaan manifesto PAS Terengganu bagi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 itu.
06 Jul 21
4774
'Kami Lega, Terima Kasih MKN'
'Kami Lega, Terima Kasih MKN'
HULU TERENGGANU, 7 Julai - Rata-rata pemilik kedai gunting rambut menarik nafas lega dengan keputusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) membenarkan sub sektor itu dibuka semula selepas ditutup sejak 1 Jun lalu. Pemilik kedai gunting, Mohd Arif Alias, 24, pengumuman yang membenarkan kedai gunting rambut beroperasi semula amat dinantikan selepas mereka tidak bekerja  hampir sebulan. Dia berkata, pihaknya bersedia mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi menjamin keselamatan pelanggan. "Alhamdulillah....terima kasih kepada kerajaan kerana membenarkan kedai gunting rambut beroperasi semula. "Sudah terlalu lama perniagaan ditutup malah ramai yang bertanya, bila kedai hendak dibuka," katanya. Sementara itu, Mohd Saufi Sulaiman, 37, salah seorang pemilik kedai gunting berkata, pengumuman yang dibuat oleh kerajaan itu memberi harapan kepada penggiat sektor berkenaan untuk kembali menjana pendapatan. Katanya, pembukaan semula kedai gunting rambut yang diumumkan kerajaan itu sekaligus membantu usahawan belia bumiputera yang mendominasi perkhidmatan berkenaan di daerah ini. “Meskipun prosedur operasi standard (SOP) yang diberikan agak ketat berbanding sektor lain, beliau tetap bersyukur kerana sekurang-kurangnya seramai dua pekerjanya dapat kembali bekerja. "Sepanjang tempoh tidak dibenarkan beroperasi, saya terputus punca pendapatan dan terpaksa menggunakan duit simpanan yang ada sepanjang tempoh tersebut bagi meneruskan kehidupan seharian. Menurutnya, beliau amat berterima kasih di atas keprihatinan pihak kerajaan yang mendengar keluh-kesah pengusaha gunting rambut untuk kembali beroperasi. "Biarpun kehadiran pelanggan sedikit berkurangan sepanjang tempoh PKP kali ini, namun saya bersyukur kerana dapat mencari rezeki buatnya dan dua pekerja," kata Mohd Saufi.  
06 Jul 21
273
Jambatan Kuala Por Dibina Akhir Julai Ini
Jambatan Kuala Por Dibina Akhir Julai Ini
Oleh : Mawaddah Mohd HULU TERENGGANU, 5 Julai - Kampung Kuala Por dan Kampung Pasir Nering akan terhubung semula dengan pembinaan jambatan baharu yang akan dibangunkan dalam tempoh terdekat bagi menggantikan jalan lama yang telah runtuh. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Berang, Dr Mamad Puteh berkata, pihaknya melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) daerah akan menyelesaikan pembinaan jambatan itu secepat mungkin yang dianggarkan menelan belanja sebanyak RM6 juta dari peruntukan kerajaan negeri. “Cadangan pembinaan jambatan baharu ini akan diambil alih oleh kontraktor sebelum akhir Julai ini bagi pembinaan tapak dan dijangka siap pada tahun 2023. “Jalan yang runtuh ini berpunca daripada calvert yang roboh menyebabkan laluan dari Kuala Por ke Pasir Nering dan Kampung Dusun terjejas teruk sehingga tidak dapat dilalui oleh semua kenderaan," jelasnya. Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke tapak jambatan baru itu di Kg Kuala Por, semalam. Menurut beliau yang juga Exco kerajaan negeri, anggaran panjang jambatan tersebut adalah 40 meter manakala tinggi jambatan tersebut pula lebih kurang 20 Meter dari aras air. “Pihak saya tahu bahawa penduduk sukar bergerak tanpa laluan ini. "Semoga pembinaan jambatan baharu dapat memudahkan perhubungan penduduk sekitar kawasan ini,” katanya.
06 Jul 21
704
Permint Plywood Terima Kebenaran Beroperasi Dalam PPN Fasa 2
Permint Plywood Terima Kebenaran Beroperasi Dalam PPN Fasa 2
DUNGUN, 6 Julai - Anak syarikat kerajaan negeri, Permint Plywood Sdn Bhd (PPSB),  menarik nafas lega apabila menerima kebenaran untuk beroperasi dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 2 bermula hari ini. PPSB merupakan anak syarikat di bawah Golden Pharos Bhd, dalam pengeluaran venir, satu-satunya di Terengganu. Dalam satu kenyataan, PPSB mula menghentikan operasi pada 30 Mei yang lalu bagi mematuhi arahan yang diumumkan oleh Perdana Menteri untuk "total lockdown" berkuatkkuasa pada 1 Jun di seluruh negara. Pengurus Kanannya, Ahmad Bazli Razali berkata kebenaran untuk beroperasi membolehkan 80 peratus daripada kakitangan operasinya untuk memulakan kerja dan memproses venir. "Ini memberi satu kelegaan buat syarikat kerana banyak urusniaga yang tergendala akhirnya dapat berjalan dengan kadar segera. "Melalui kebenaran yang diterima ini dapat juga menjana pendapatan kepada syarikat," tambahnya. Terdahulu, Terengganu merupakan salah satu daripada lima negeri yang berjaya keluar daripada PPN Fasa 1 setelah berjaya mematuhi segala tiga nilai ambang yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negeri.
06 Jul 21
453
Kegiatan Judi Laga Ikan Di Dungun Tumpas
Kegiatan Judi Laga Ikan Di Dungun Tumpas
DUNGUN, 6 Julai - Pasukan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Daerah Dungun telah berjaya membanteras kegiatan judi laga ikan di Felda Kerteh 3, Ketengah Jaya yang membabitkan 15 lelaki Melayu berusia lingkungan usia 20 hingga 56 tahun. Ketua Polis Dungun, Superintenden Baharudin Abdullah berkata, serbuan dilakukan sepasukan anggota dari JSJ pada 3 Julai telah menahan kesemua suspek ketika sedang leka menjalankan kegiatan tersebut di sebuah pondok yang terletak di belakang sebuah rumah suspek yang turut ditahan pada jam 12.30 tengahari. "Kita telah berjaya merampas sebanyak 26 botol kecil dan lima balang besar yang mengandungi 31 ekor ikan laga,satu kotak gabus, satu bakul sulaman beserta dua beg kanvas yang mengandungi wang tunai sebanyak RM 950.00 dan satu kotak kabus. "Dalam pada itu tiga serkap ayam juga turut dirampas dipercayai mungkin mereka turut bercadang mengadakan judi laga ayam. "Namun ketika serbuan hanya mendapati kesemua mereka hanya mengadakan judi laga ikan," ujarnya ketika mengadakan sidang media mengulas mengenai kejayaan membanteras kegiatan haram tersebut, di Ibu Pejabat Polis (IPD) daerah, di sini, pada Isnin. Mengulas lanjut, Baharudin berkata 11 antara mereka didapati mempunyai rekod melakukan kesalahan jenayah lampau termasuk terlibat dengan penyalahgunaan dadah. "Namun ujian saringan air kencing yang dijalankan mendapati kesemua mereka yang ditahan negatif. "Kita juga yakin dan percaya kesemua mereka ini saling mengenali yang berkemungkinan menggunakan aplikasi 'whatsapp' untuk saling berhubung dan mengadakan pertemuan bagi menjalankan kegiatan terlarang ini. "Kesemua mereka ini datang dari sekitar Dungun serta daerah berdekatan, kita juga yakin dan percaya telah beroperasi dalam dua atau tiga hari sebelum tangkapan dibuat daripada maklumat yang kita dapat," ujarnya. Katanya, kesemua mereka akan menjalani siasatan  dibawah Seksyen 6(3) Akta pertaruhan 1953. "Membawa kepada hukuman penjara tidak lebih 5 tahun atau denda tidak lebih RM 20,000 atau kedua-duanya. "Manakala kesalahan melakukan penganiayaan terhadap haiwan bawah Seksyen 29(1) Akta Kebajikan Haiwan 2015 yang membawa kepada hukuman tidak kurang RM 20,000 dan tidak lebih RM 100,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali. "Kesemua mereka juga telah dikenakan kompaun Dibawah Peraturan 18, Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPDPPB) Langkah-langkah di dalam kawasan tempatan jangkitan," tegas beliau.
05 Jul 21
869
COVID-19: Tidur Bangun Atau Tidur Selamanya
COVID-19: Tidur Bangun Atau Tidur Selamanya
KUALA NERUS, 5 Julai – “Bila dah sampai ‘stage’ empat, saya bergantung kepada bantuan oksigen dan bila tiba saat perlu ‘ditidurkan’, doktor ajar saya mengucap, pada masa itu hanya berserah, tidur bangun kembali atau tidur selamanya,” ujar Syahril Hirman Azmi, sebagai bekas pesakit COVID-19. Syahril Hirman yang juga Pegawai Sains di Pusat Pengurusan Makmal Berpusat (CLMC) UniSZA telah bertarung nyawa di wad ICU HSNZ selama dua minggu setelah disahkan positif COVID-19 pada 17 Mei 2021 berkongsi cerita dan pengalaman ketika berada dalam situasi hidup atau mati selama 16 hari di hospital. “Pada saya COVID-19 tu ‘real’, kena lawan sebab sakit tu memang betul-betul bila kena serang bila lebih daripada 50 peratus paru-paru saya telah dijangkiti COVID-19 pada tahap empat, dimasukkan ke wad ICU dan juga ditidurkan untuk proses rawatan. “Sebelum ditidurkan, doktor telefon waris untuk maklum tentang keadaan saya dan saya dapat bercakap dengan mak. Syukur mak sebagai jururawat pencen, dia faham dan minta saya mengucap banyak-banyak, ingat Allah dan Rasul serta redha dengan ketentuanNya. “Doktor yang merawat saya juga hebat dan sangat positif dengan memberikan kata-kata semangat , sentiasa berzikir dan selebihnya serahkan kepada pihak hospital untuk buat yang terbaik,” ujarnya lagi. Katanya, dia ditidurkan selama satu hari setengah sahaja kerana badannya memberi tindak balas yang cepat dan positif. “Saya kat ICU selama tiga hari dan bila perkembangan semakin positif barulah dipindahkan ke wad biasa. “Setiap hari, selama 14 hari berturut-turut kena ambil darah setiap 5.30 pagi dan 11 pagi, ubat-ubatan untuk rawatan saya dan memang rasa sakit sepanjang tempoh berkenaan,” ujarnya. Menurut Syahril Hirman, ketika diserang COVID-19 paru-parunya hampir separuh terjejas, hasil xray ia kabur dan doktor berkata dia sangat  bertuah kerana kerana masih hidup kerana biasanya peluangnya hanya 50/50. “Kesannya masih ada setelah keluar dari hospital, saya rasa cepat mengah, tidak boleh lakukan aktiviti jogging atau senaman yang lasak dan naik tangga pun terasa mengah. “Doktor cakap proses penyembuhan paru-paru saya akan ambil masa lima hingga enam bulan dan saya perlu menjaga pemakanan serta kesihatan,” tambahnya lagi. Beliau juga bersyukur bila diberikan peluang kedua untuk kembali bersama keluarga tersayang. “Bila Allah bagi peluang kedua untuk hidup, rasa bersyukur dan berterima kasih kepadaNya dan doktor yang merawat.Ada hikmahnya bila saya boleh kongsi pengalaman ketika ditidurkan dan betapa sakitnya COVID-19 serta azab yang ditanggung. “Masa di ICU. saya bangga dengan barisan hadapan. Mereka macam tidak penat dan layan semua pesakit kritikal tanpa mengeluh, sangat professional malah bagi saya mereka adalah hero yang jaga kita dan betapa mulianya mereka,” kata Syahril Hirman. Justeru itu, dia menyeru orang ramai agar lebih berhati-hati dan jangan menganggap remeh pandemik COVID-19 dan SOP pencegahan kerana  telah mengalaminya sendiri betapa bahayanya serangan COVID-19.  
05 Jul 21
1057
Cucuk Vaksin Kerana Rindukan Anak Cucu
Cucuk Vaksin Kerana Rindukan Anak Cucu
HULU TERENGGANU, 5 Julai – ”Anak ‘kabo’ kalau nok jupe (jumpa) macam dulu, kena cucuk vaksin, baru selamat,” ujar Rashid Kassim, 76, dari Kampung Jerangau Barat. Dia yang rela hati untuk hadir bagi menerima suntikan dos pertama vaksin Sinovac berkata, ia merupakan satu jalan paling selamat untuk membolehkannya bertemu semula anak-anak serta cucu yang sangat dirindui. “Dalam keadaan sekarang ni, insya-Allah hanya ikhtiar cucuk vaksin mampu menyelamatkan kita, tidak perlu takut bukan sakit pun, lagipun doktor ada sama bagi nasihat. “Dulu memang takut sebab pak cik ni banyak sangat penyakit macam strok, kencing manis, darah tinggi dan lain-lain lagi, takut la sebab dengar banyak cerita yang tak betul tapi anak-anak kata kalau tak cucuk tak boleh jumpa dan rentas negeri,” katanya yang mempunyai 10 anak dan 28 cucu ketika ditemui di PPV Sekolah Menengah Kebangsaan Landas, baru-baru ini. Lain pula bagi Mohammad A Bakar, 71, ingin mengambil suntikan vaksin Covid 19 sebagai pertahanan dirinya yang sudah berusia dan mempunyai masalah usus dan saraf. “Orang kata kalau ada penyakit dan sudah berumur, Covid-19 mudah dijangkiti sebab badan kita tak kuat jadi pak cik ambil keputusan nak cegah dulu sebelum terjadi apa-apa. “Dah dua bulan sakit tak boleh gerak tapi semangat kuat kerana isteri, anak-anak dan cucu-cucu. Ini bukan tentang keselamatan kita sahaja tapi semua orang yang kita sayang,” ujarnya yang ditemani isteri tersayang, Aminah Osman, 71.  
05 Jul 21
792