Artikel "Utama" Terkini
Berbeza Parti Bukan Alasan Menafikan Bantuan
KUALA TERENGGANU, 4 Julai - Spekulasi segelintir pihak bahawa kerajaan negeri tidak akan menyalurkan bantuan jika berbeza parti adalah jelas satu tanggapan yang salah.
Perkara itu dibuktikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam, Wan Sukairi Wan Abdullah melalui siri-siri agihan barangan keperluan dalam program Bantuan Ekonomi Rakyat Terengganu (BERKAT).
Jelas Wan Sukairi, dalam penyaluran bantuan terbaharu, pihaknya telah berhubung dengan Urus Setia UMNO DUN Wakaf Mempelam bagi mendapatkan maklumat tambahan mengenai ahli-ahli parti itu yang memerlukan sumbangan.
“Saya meminta mereka mengenalpasti ahli-ahli UMNO di DUN Wakaf Mempelam yang memerlukan bantuan dan tidak mendapat bantuan BERKAT 3.0 yang telah diagihkan lalu.
“Alhamdulillah, pihak mereka telah menyerahkan lebih 200 nama ahlinya yang terkesan.
“Namun daripada jumlah keseluruhan tersebut hanya 60 orang sahaja lagi yang tidak mendapat bantuan BERKAT 3.0, selebihnya telah memperolehinya dengan diagihkan oleh Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) masing-masing,” katanya di Facebooknya hari ini.
Menurut Ketua Penerangan PAS Terengganu itu, sebaik sahaja menerima senarai keluarga dan individu tersebut, pihaknya terus mengagihkan sumbangan yang diperlukan.
“Hari ini, saya diwakili oleh pegawai saya, Azmi A.Rahman untuk menyerahkan sumbangan makanan kepada 38 keluarga dan sumbangan kewangan untuk 22 orang bujang.
“Pihak Urus Setia UMNO DUN Wakaf Mempelam telah diwakili Azwan Nazzul. Terima kasih buat Urus Setia UMNO DUN Wakaf Mempelam.
“Usaha dan kolobrasi ini telah kita adakan sejak daripada agihan bantuan sumbangan sebelum ini lagi. Walau apapun latar belakang politik, semuanya tetap dekat di hati saya dan semuanya adalah tanggungjawab saya,” tambah beliau.
04 Jul 21
464
Dua Hari 'Outreach', 7,000 Individu Terima Dos Pertama
KUALA TERENGGANU, 4 Julai - Bagi membantu meningkatkan kadar vaksinasi dalam negeri, Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) melaksanakan program khidmat santun masyarakat (outreach) di seluruh wilayahnya.
"Usaha kita ialah menubuhkan Skuad Ambil Cakna untuk bersama memastikan capaian 80 peratus vaksinasi berjaya dan selama hampir seminggu pelaksanaannya, kita telah berjaya daftarkan seramai 28 ribu penduduk di wilayah KETENGAH bagi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) daripada sekitar 70-80 ribu penduduk yang layak.
"Manakala, program 'outreach' yang dilancarkan selama dua hari dengan kerjasama pihak-pihak berkaitan, kita telah berjaya melakukan vaksinasi kepada sekitar 7,000 penduduk. Saya jangka dengan usaha berterusan, kita akan melebih 80 peratus daripada keseluruhan penduduk dalam tempoh dua minggu ke hadapan," katanya Pengerusi KETENGAH, Dato' Razali Idris.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas menyampaikan saguhati sebagai kepada pengamal media di Terengganu sebagai penghargaan atas usaha menyampaikan maklumat dan laporan yang tepat kepada masyarakat, di sini hari ini.
Jelasnya, pihak KETENGAH turut mencadangkan lima lokasi yang sesuai untuk dijadikan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) bagi melancarkan proses vaksinasi dan memudahkan penduduk setempat.
"Sebenarnya, dalam wilayah KETENGAH belum ada PPV dan lokasi yang dicadangkan masih dalam proses. Bagaimanapun, Pengarah Kesihatan Negeri, Dr. Nor Azimi Yunus ada menjanjikan Balai Orang Ramai (BALORA) di bandar Al Muktafi Billah akan dijadikan PPV.
"Tetapi, apabila melihat kejayaan program 'outreach', maka kita mencadangkan lebih banyak program ini dapat dilaksanakan berbanding mewujudkan PPV," katanya.
Sebanyak 17 lagi lokasi dicadangkan untuk pelaksanaan program 'outreach' dan ia diterima baik jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT).
"Pengarah Kesihatan Negeri juga bersetuju dengan pelaksanaan outreach lebih banyak dan saya jangka, kalau kita hari ini sudah mencecah 30 ribu penerima, dalam dua minggu kita mampu capai lebih daripada 80 ribu penduduk. Cuma, sekarang kita masuk secara berperingkat menggunakan segala aset yang ada.
"Saya rasa dalam minggu hadapan kita akan lihat pelaksanaannya," katanya.
04 Jul 21
980
Pengkaji Oxford Namakan Bunga Unik Sempena Ibu Jurufoto Terengganu
KUALA TERENGGANU, 4 Julai – Para pengkaji daripada universiti tersohor, Oxford Botanic Gardens telah menamakan bunga ‘fairy lantern’ atau lentera peri sempena nama ibu pelancong yang juga jurufoto daripada Terengganu.
Spesimen terbaru itu buat kali pertama ditemukan pada tahun 2019 di Gunung Sarut, Hutan Lindung Hulu Nerus oleh seorang jurugambar bebas, Suzairi Zakaria, 45, atau lebih dikenali dengan nama pena, Dome Nikong.
Hasil penemuan itu, ahli botani dari Oxford Botanic Gardens dan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) telah menamakan tanaman mistik itu mengikut ibu Dome, Siti Meriam, sebagai penghormatan terhadap sokongan ibunya terhadap usaha pemuliharaan alam sekitar anak lelakinya.
“Hampir bersaiz duit syiling 20 sen, ‘Thismia sitimeriamiae’ adalah tanaman berbunga tumbuh di hutan terpencil di seluruh Asia, Australia, Amerika Selatan dan Amerika Syarikat (AS).
Sumber Foto : Facebook Dome Nikong
“Tidak seperti tumbuhan biasa, tanglung peri tidak mempunyai daun atau klorofil untuk proses fotosintesis namun tanaman parasit itu bergantung pada hubungan simbiotik dengan kulat dan akar tumbuhan lain untuk hidup.
“Para saintis memutuskan tumbuhan itu diklasifikasikan sebagai spesies yang terancam,” sepertimana dilaporkan The Rakyat Post.
Terdahulu Dome, 44, yang berasal dari Kampung Sungai Tong, Setiu, juga pernah mendapat pengiktirafan melalui penamaan saintifik bagi spesies orkid liar baharu, ‘Chysis Domei Archila’.
Ahli botani (orkidologi) dari Guatemala, Fredy Leonel Archila Morales berkata, penghargaan itu dibuat sempena jurufoto itu atas sumbangannya terhadap dunia botani.
Untuk pengetahuan, Dome telah dikreditkan dalam lebih daripada 20 penerbitan antaranya buku dihasilnya berjudul Wild Terengganu, memaparkan maklumat berkaitan tumbuhan serta hidupan seperti bunga liar, buah liar serta serangga dalam negeri ini.
04 Jul 21
2191
Terengganu Perkenal Program Suntikan Vaksin Di Rumah
KUALA TERENGGANU, 4 Julai - Terengganu terus mengiatkan usaha untuk meningkatkan kadar vaksinasi kepada seluruh rakyat di negeri ini dengan pelbagai pendekatan termasuk memperkenalkan program vaksin ke rumah.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak berkata, Program Vaksin Mobile Warga Kuala Nerus telah dijalankan bagi memudahkan urusan pesakit yang terlantar mendapatkan suntikan vaksin di rumah mereka.
"Program ini adalah melibatkan kerjasama pelbagai pihak antaranya Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, Pejabat Kesihatan dan Pejabat Daerah Kuala Nerus.
"Insya-Allah, program ini akan terus berjalan mengikut jadual yang telah disusun oleh Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Nerus," katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.
Tambah Dr. Alias, program yang dianjurkan ini juga dapat menyumbang kepada peningkatan peratusan kadar vaksinasi di Terengganu khususnya dan negara amnya.
Sementara itu, beberapa penerima vaksin menyokong usaha yang dilaksanakan ini sekali gus dapat mencegah penularan wabak di Terengganu.
Bagi Esah Mohamad, meskipun berada dalam keadaan kesihatan yang terbatas, dia menyambut baik hasrat kerajaan negeri bagi meningkatkan kadar vaksinasi melalui program yang dianjurkan ini.
''Tak takut langsung nak cucuk (disuntik), lagipun tahu vaksin ni benda baik untuk mencegah penyakit berjangkit insya-Allah," ujarnya.
04 Jul 21
2206
PKPD : 350 Pek Barangan Dapur Buat Penduduk Kubang Jela
KUALA NERUS, 4 Julai - Sebanyak 350 pek barangan keperluan dapur buat masyarakat terkesan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Kampung Kubang Jela telah bermula pengagihan semalam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buluh Gading, Ridzuan Hashim memaklumkan, barangan tersebut dihantar dan dikumpulkan di Masjid Kampung Kubang Jela sebelum diagihkan oleh petugas dari Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) setempat kepada semua penduduk yang terlibat.
“Untuk kawasan PKPD, kita hanya mampu menyalurkan di kawasan yang dibenarkan pihak berkuasa tempatan (PBT), selebihnya diuruskan oleh warga komunitit sendiri untuk proses pengagihan,” ujar beliau ketika diminta mengulas tentang proses pengagihan sumbangan itu.
Beliau juga menzahirkan ucapan terima kasih kepada pihak Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Kuala Nerus khususnya Menteri Perusahaan Perladangan & Komoditi, YB Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali diatas barangan keperluan harian yang telah disalurkan.
“Kepada semua penduduk Kampung Kubang Jela, saya mohon bersabarlah di atas ujian ini, jagalah garis panduan yang ditetapkan dan patuh arahan PBT.
"Sekiranya terdapat masalah berbangkit sepanjang tempoh PKPD ini termasuk terputus bekalan keperluan harian, para penduduk boleh menghubungi Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Buluh Gading ditalian 0169867007 dan 0139303308,” pesan beliau lagi.
04 Jul 21
420
Lega Perniagaan Beroperasi, Peniaga Tingkat Kepatuhan SOP
KUALA TERENGGANU, 4 Julai - Menjelang pembukaan sebahagian sektor perniagaan bagi fasa kedua yang bermula esok, ada antara peniaga sudah mula melakukan persiapan di premis masing-masing.
Pemilik kedai komputer Amer Technology, Mohd Shameer Mohd Sarif, 34, menzahirkan rasa syukur kerana perkhidmatan jual beli komputer dan eletronik telah dibenarkan di buka.
"Saya rasa amat lega kerana jualan secara dalam talian sebenarnya memerlukan tenaga yang banyak, kadang-kadang kami tidak dapat memberikan servis yang lebih cekap berbanding jualan secara bersemuka. Jadi, saya bersyukur sangat pembukaan fasa kedua esok.
Ameer (kanan), bersama stafnya menyusun atur semula ruangan kedai.
"Bagi pembukaan esok, saya mengasingkan staf kepada beberapa bahagian supaya apabila ada yang didapati positif, ia tidak akan menjangkiti staf-staf di bahagian lain, jadi saya terpaksa buat perubahan yang agak besar dari segi susun atur kedai untuk perkara itu," katanya.
Jelasnya, beliau juga menetapkan sebahagian staf untuk bekerja di rumah bagi memenuhi kepatuhan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
"Ada sebahagian staf yang berkerja dari rumah seperti bahagian akaun dan admin. Manakala, staf teknikal yang membaiki komputer akan berkerja di kedai bagi memudahkan urusan.
"Buat dua minggu pertama ini, pelanggan kita juga masih tidak dibenarkan masuk dan berurusan di hadapan kedai sahaja," katanya.
Ameer mengakui dari segi jualan, perniagaannya memang agak sedikit merosot,
"Namun sejak Periuntah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 lagi, kami mula mengenal servis secara dalam talian untuk digunakan sebagai medium perniagaan.
"Kita juga berdepan cabaran terputusnya bekalan alat ganti komputer kerana kilang-kilang tidak beroperasi, tetapi kami bernasib baik masih mempunyai stok bagi beberapa barang dan dapat berniaga dengan lancar," katanya yang berharap kedai komputer akan dikategorikan sebagai 'essential service' selepas ini.
04 Jul 21
665
T-HRDC Atasi Kadar Pengangguran
KUALA TERENGGANU, 4 Julai - Pusat Pembangunan Sumber Manusia Negeri Terengganu (T-HRDC) yang ditubuhkan lebih setahun lalu dijangka mampu mengurangkan kadar pengangguran secara berperingkat-peringkat.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, sejak tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu jumlah pengangguran di Terengganu semakin bertambah, selain ada antaranya yang dibuang kerja.
Katanya, kerajaan sedar keadaan itu dan sudah mengambil pelbagai inisiatif bagi menanganinya secara berkesan.
"Antaranya menubuhkan T-HRDC di mana berfungsi sebagai platform kerjasama, khususnya kepada dua institusi utama iaitu majikan yang mencari pekerja dan institusi latihan yang mengeluarkan pelatih. Job matching tidak wujud kerana kita bergerak secara solo.
“T-HRDC menyeru untuk agensi-agensi terlibat menyelaraskan data untuk mengatasi isu tersebut agar penyelesaian yang dihasratkan tercapai secara optimum bagi membantu rakyat Terengganu,” katanya ketika bersiaran di TVDI.
Menurutnya, sebagai usaha berterusan, kerajaan negeri telah mengadakan kolaborasi erat bersama Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Negeri Terengganu bagi membantu rakyat yang kehilangan pekerjaan ekoran COVID-19.
"T-HRDC juga membantu majikan mendapatkan pelbagai insentif pakej Perlindugan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) bagi membolehkan mereka mengambil pekerja baru disamping mengelak mereka daripada membuang pekerja sedia ada.
“Selain membantu institusi latihan mendapatkan penempatan kerja dan dana latihan melalui kerjasama dengan majikan dan persatuan industri,” ujarnya.
Menurut beliau, setakat ini kerajaan negeri melalui T-HRDC telah menjalinkan kolaborasi dengan lebih 20 agensi antaranya PERKESO, Jabatan Tenaga Kerja, Jobs Msia, Jabatan Statistik Malaysia, UC TATI, TESDEC, KKYT, Universiti Malaysia Terengganu, Universiti Sultan Zainal Abidin, Terengganu Timber Industry Training Centre (TTITC) serta Terengganu O&G Council ( TOGC).
Katanya, sebanyak 500 peluang pekerjaan juga telah dikenal pasti melalui program penempatan pekerjaan yang dijalankan.
"Di mana T-HRDC telah menemui sendiri majikan-majikan yang memerlukan pekerja dan berunding agar mengambil anak-anak Terengganu sebagai pekerja," tambah beliau.
04 Jul 21
310
KETENGAH Hargai Media Terengganu
KUALA TERENGGANU, 4 Julai - Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) menzahirkan rasa terima kasih kepada pengamal media di negeri Terengganu atas usaha mengetengahkan pelbagai isu-isu masyarakat dalam usaha membantu meringankan beban yang ditanggung pada pasca pandemik Covid-19.
Pengerusinya, Senator Datuk Razali Idris berkata, media juga merupakan barisan hadapan yang berusaha dalam memerangi Covid-19 di negara kita.
"KETENGAH sangat menghargai sumbangan 'frontliner', tidak terkecuali wartawan. Para pengamal media terdedah dengan risiko jangkitan pandemik kerana mereka berjumpa dengan pelbagai individu di berbagai tempat dalam usaha menjalankan tugas, maka mereka juga dianggap barisan hadapan yang patut dihargai.
"Saya menganggap mereka (pengamal media) sebagai penyedar kepada pimpinan yang culas mengambil tahu apa yang berlaku dalam kawasan masing-masing," katanya ketika ditemui di pejabat KETENGAH Holding, di sini hari ini.
Dalam pertemuan itu, KETENGAH menyampaikan saguhati kepada pemberita yang hadir sebagai penghargaan kepada penat lelah mereka.
Razali turut menyarankan, para pengamal media harus diberi keutamaan mengambil vaksin bagi mengelakkan penularan dikalangan mereka.
Jelasnya, Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) perlu mengambil maklum bahawa ada lagi sebahagian pengamal media di negeri itu belum menerima vaksinasi.
04 Jul 21
101
Kerjasama Semua Pihak Jayakan PPV Masjid
KUALA TERENGGANU, 4 Julai – Kerjasama antara pelbagai pihak sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Alor Limbat memberi peranan dalam menjayakan inisiatif Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Masjid ketiga di Kampung Banggol Karah.
ADUN kawasan itu, Ariffin Deraman berkata, antara bentuk kolaborasi adalah bersama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), pegawai dan Ahli Jawatankuasa Masjid dalam memenuhi kuota 300 orang untuk disuntik.
“Melalui pengerusi JPKK, kita keluar dan cari warga komuniti disini dan membantu proses pendaftaran.
“Dari segi pengangkutan, Pusat Khidmat Masyarakat Alor Limbat dan wakil rakyat kampung masing-masing juga bersedia dengan van bagi menolong mereka yang ada temu janji suntikan tapi tiada kenderaan.
“Kita turut menyumbang sebanyak 400 beg cenderahati buat penerima dan petugas barisan hadapan sebagai tanda penghargaan menjayakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK),” katanya ketika ditemubual pemberita.
Beliau berkata demikian selepas tinjauan PPV Masjid di Sekolah Menengah Komuniti Imtiaz Kuala Terengganu, di sini, semalam.
Turut hadir, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Ahmad Amzad Hashim dan Pengerusi Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA) Terengganu, Dr. Muhammad Zuraizi Jaafar.
Tambahnya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, beliau mengharapkan agar seluruh masyarakat dalam negeri dan negara untuk memenuhi syarat pemvaksinan dos kedua sebanyak 10 peratus.
“Manakala penduduk Alor Limbat yang berumur 18 tahun keatas, sebahagian mereka merupakan petani dan peniaga yang banyak bertemu dengan masyarakat, saya nasihatkan supaya ambil suntikan vaksin untuk keselamatan dan kesihatan semua,” jelasnya.
04 Jul 21
176
Vaksin : Malaysia Negara Ketiga Di Asean Selesai Dos Pertama
KUALA TERENGGANU, 3 Julai – Malaysia menduduki ranking ketiga antara negara di rantau Asia Tenggara yang selesai pengambilan vaksin dos pertama COVID-19, kata Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Ahmad Amzad Hashim.
Menurutnya, kadar peratusan dos pertama di dalam negara merekodkan kemajuan sebanyak 18.6 peratus daripada populasi keseluruhan sejak pelancaran Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) pada 24 Februari lalu.
“Kita hanya dibelakang Kemboja (pertama) dan Singapura (kedua) kerana ia mengambil kira faktor saiz populasi dan tempoh dan kadar pembelian vaksin.
“Negara ini turut mendahului Indonesia (11.3 peratus), Vietnam (3.7 peratus), Thailand (10.2) peratus dan juga New Zealand (14.3 peratus),” katanya semasa sidang media selepas tinjauan PPV Masjid di SMK Imtiaz Kuala Terengganu di Kampung Banggol Karah, pagi tadi.
Ahli Parlimen Kuala Terengganu itu turut menyifatkan keadaan adalah selesa dari segi bekalan vaksin terutamanya apabila menerima 12 juta dos dalam bulan Julai ini.
“Sasaran bulan ini adalah sebanyak hampir 400 ribu suntikan selari dengan jangkaan penerimaan vaksin termasuk sumbangan dua juta dos vaksin Pfizer dan AstraZeneca daripada kerajaan Jepun dan Amerika Syarikat (AS).
“Ekoran peningkatan bekalan ini, kitab oleh memendekkan tempoh menunggu suntikan pertama dan kedua mengikut tempoh ditetapkan pengeluarnya.
“Misalnya seperti Astra Zeneca, sebelum ini ditetapkan 12 minggu, sekarang kitab oleh cepatkan sehingga waktu menunggu sembilan minggu sahaja,” katanya lagi.
Jelasnya, matlamat seterusnya adalah mencapai 80 peratus komuniti kelompok bagi populasi 18 tahun ke atas pada akhir Oktober ini manakala keseluruhan populasi sebelum hujung tahun ini.
03 Jul 21
478