Artikel "Utama" Terkini
Rentas Negeri Cetus Gelombang Baharu Di Terengganu
KUALA TERENGGANU, 7 Julai - Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) semalam mengesan sebanyak sembilan kes COVID-19 akibat kegiatan merentas negeri atau dikenali sebagai Import B.
Import B merujuk kepada kes COVID-19 yang dilaporkan di sesebuah negeri, namun dipercayai berpunca dari negeri lain disebabkan aktiviti merentas negeri.
Pengarah Kesihatan Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus berkata, kes rentas negeri import B masih memberi masalah kepada situasi COVID-19 di Terengganu.
Menurut beliau, sepanjang bulan Mei dan Jun seramai 463 kes import B dari pelbagai negeri telah dikesan dengan majoriti di Kemaman (307 kes) dan Kuala Terengganu (36 kes).
"Ini telah mencetuskan lima kluster besar seperti Kluster Gong Badak (226 kes), Kluster Langgar Hilir (45 kes), Kluster Industri Teluk Kalong (109 kes), Kluster Pasar Kemunting, Pahang (13 kes) dan Kluster Kubang Jela (131 kes) yang masih aktif.
"Terbaru Kluster Gong Pasir Dungun. Seramai 40 kes telah dikesan dari Kluster ini yang juga berpunca dari rentas negeri.
"Seolah-olah situasi begini tak abis. Baru nak reda, kes naik balik. Sebelum ini Rt Terengganu adalah 0.62 terendah. Sekarang Rt telah meningkat ke 0.88," ujarnya dalam satu hantaran di Facebook.
Dr Nor Azimi berkata, selalunya orang yang bergejala dahulu datang membuat saringan dan apabila disiasat rupanya ada kontak dengan kes rentas negeri, lebih parah pada waktu dikesan ia telah menular dalam komuniti.
"Sebahagian kes import B yang masuk untuk berkerja akan menjalani saringan masuk kerja. Cara begini kita boleh kesan awal dan penularan dapat dicegah.
"Yang membimbangkan kita adalah warga Terengganu sendiri yang sering berulang alik ke negeri berisiko atas sebab kerja dan lain-lain.
"Samada mereka gagal pematuhan SOP semasa berada di negeri luar yang menyebabkan mereka dijangkiti. Kegagalan pematuhan SOP semasa pulang ke Terengganu serta masih melakukan aktiviti berhimpun juga antara punca berlaku penularan dalam komuniti dan akhirnya terbentuk kluster baru," ujarnya.
Katanya, beliau selalu ulang, rentas negeri tiada masalah tetapi mereka yang melakukan rentas negeri mesti lebih bertanggungjawab menjaga diri sendiri untuk jaga orang lain.
"Jika kita tahu kita berisiko pergi buat penilaian dan saringan di Klinik Kesihatan berdekatan, jangan sebab kelalaian kita, orang lain yang terkena.
"Jangan sebab kelalaian kita, Terengganu patah balik ke Fasa 1 pula. Kita nak bergerak ke Fasa 3 bukan undur ke belakang," ujarnya.
Hari ini Terengganu mencatatkan 68 kes baharu.
08 Jul 21
5107
PIKAS Pertama Di Kemaman
KEMAMAN, 8 Julai - Program Imunisasi Industri Covid-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) atau Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Industri pertama telah diadakan di Kemaman untuk pekerja kilang Eastern Steel Sdn. Bhd. (ESSB).
Seramai 1,380 orang pekerja daripada 1,600 orang di EESB akan menerima suntikan vaksin dos pertama dan yang selebihnya sudah mendapat suntikan mengikut pendaftaran Mysejahtera sebelum ini.
Pengarah EESB, Tee Choon Hock ketika ditemui Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) berkata, beliau berterima kasih kepada Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kemaman yang membantu dalam pelaksanaan PPV Industri tersebut.
"Tidak lupa kepada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) yang melancarkan PIKAS bagi sektor perkilangan sekali gus membantu memastikan pemulihan daripada pandemik," ujarnya.
"Pelaksanaan PIKAS juga sedikit sebanyak dapat memfokuskan sektor perkilangan dalam kelancaran ekonomi setempat dan lokasi PPV Industri yang diguna pakai hari ini terbuka untuk kilang di sekitar Kemaman," katanya.
Dalam lawatan hari pertama PPV Industri itu dibuka, Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid berkata, beliau mengharapkan agar kilang-kilang di sekitar Kemaman dapat segera mendaftar dengan MITI melalui program PIKAS ini bagi persiapan Malaysia keluar dari kemelut COVID-19.
Program kerjasama MITI dan PKD Kemaman untuk pekerja EESB diadakan selama lima hari bermula 6 Julai dan berakhir 10 Julai bertempat di kilang lama Lion Plate Sdn. Bhd, Teluk Kalong Kemaman.
Turut bersama dalam lawatan pertama PPV Industri di Teluk Kalong Kemaman, Pegawai Daerah Kemaman, Mohd Sophian Abu Bakar dan diiringi Pegawai-pegawai Kesihatan Daerah Kemaman.
07 Jul 21
1319
ADUN, JPKK Gotong-royong Bersih Rumah Mangsa Ribut
KUALA TERENGGANU, 7 Julai - Susulan hujan ribut yang merosakan ratusan buah rumah di Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Buruk, Muhammad Khalil Abdul Hadi serta Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) DUN terbabit turun padang bagi memastikan aktiviti gotong-royong membersihkan rumah mangsa dapat dilakukan segera hari ini.
Ujar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk itu, tragedi petang semalam mengakibatkan 288 buah rumah terjejas.
"Untuk membaik pulih atap atau rumah yang terjejas itu tidak sempat dilakukan sekali gus hari ini, saya ambil langkah turun dahulu ke lapangan bagi memastikan kerja-kerja gotong royong membersihkan kesan ribut di rumah penduduk.
"Juga bagi memastikan rakyat berada di dalam keadaan selamat, Alhamdulillah tiada kehilangan nyawa yang dilaporkan berlaku," ujarnya.
Beliau berkata demikian, ketika ditemui pihak media selepas melakukan tinjauan ke rumah-rumah penduduk sekitar yang terkesan akibat kejadian tersebut, di sini, pada hari ini.
Turut hadir, Pengarah Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPD), Mohd Soud Said @ Ali dan wakil Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Mengulas mengenai bantuan kewangan, beliau berkata pihaknya sedang meneliti peruntukan yang akan disampaikan berdasarkan kerosakan yang dialami.
"Peringkat permulaan ini kita akan kenal pasti dahulu melalui JPKK jumlah rumah yang mengalami kerosakan sama ada skala kecil atau besar, kemudian akan diambil langkah seterusnya daripada laporan yang diterima.
"Untuk masa ini kita sampaikan dahulu bantuan segera berupa wang tunai," jelasnya.
Hasil tinjauan, Muhammad Khalil memaklumkan antara rumah penduduk yang terkesan teruk ialah sebuah rumah yang didiami oleh ibu tunggal, Azizah Muhammad, 36.
Ini kerana ketika ribut berlaku, kediamannya dihempap pokok besar yang telah meranapkan bahagian bumbung rumah.
Azizah berkata ketika kejadian berkenaan dia tiada di rumah kerana sedang menghantar makanan atas tugasan sebagai penghantar makanan 'Food Panda'.
"Dalam keadaan ribut kencang berkenaan, saya meneruskan tugas saya, jika tidak dapat selesaikannya saya risau memberi kesan kepada pekerjaan saya ini.
"Kemudian baru dimaklumkan bahawa rumah turut terjejas dalam kejadian ribut semalam, Syukur sangat apabila mendapat kecaknaan segara daripada wakil rakyat di sini," ujarnya yang memiliki empat orang anak berusia dalam lingkungan usia lima hingga 13 tahun.
Manakala seorang lagi mangsa, Nizam Shari, 42, berkata kejadian tersebut telah menyebabkan anaknya yang sedang bermain di hadapan rumah cedera di bahagian kepala.
"Namun begitu hanya kecederaan ringan yang dialami, terima kasih diatas keprihatinan ADUN dan JPKK setempat kerana telah bertindak cepat dalam menyelesaikan masalah ini," katanya.
07 Jul 21
318
'Ingat Polis Mari Nak 'Igak' Tapi Rupanya Bagi Bantuan'
HULU TERENGGANU, 7 Julai - "Semalam semasa lima orang polis datang ke rumah, mati-mati saya ingat nak tangkap saya walaupun saya tak tahu apa salah saya, tetapi rupanya nak bagi bantuan," kata Omar Yusof, 60.
Dia yang tinggal bersendirian di rumahnya di Kampung Gaung Pecung selepas berpisah dengan isterinya kini hanya melakukan kerja kampung dengan pendapatan yang tidak menentu.
"Terima kasih sangat kepada pihak polis sebab bagi bantuan, sungguh tidak sangka mereka pun bantu sama macam orang lain.
"Memang pernah terputus makanan kadang-kadang bekalan barangan keperluan harian susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan ketika ini, sukar untuk saya bekerja," katanya.
Omar juga merupakan orang kurang upaya kerana mengalami masalah pendengaran kerana cedera di gegendang telinga akibat dihempap pokok ketika bekerja sebagai penebang balak 20 tahun lalu.
Dia merupakan antara 10 penerima bantuan bakul makanan menerusi Op Bantu dijayakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui Polis Diraja Malaysia (PDRM) serentak di seluruh negara hari ini.
Seorang lagi penerima, Rafeah Ahmad, 76, berkata dia juga terkejut apabila melihat polis datang menghantar bantuan makanan kerana selama ini, berpandangan polis hanya tangkap orang salah.
"Terima kasih sebab ringankan beban kami sekeluarga terutama anak mak cik yang hanya bekerja sebagai operator di sebuah kilang di kawasan perindustrian Ajil.
"Biasa sangat dah dapat bantuan bakul makanan seperti tapi kali ini lain sikit sebab daripada anggota polis, rasa macam istimewa," katanya yang kini tinggal bersama menantunya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud, berkata sebanyak 300 bakul makanan seperti beras, teh, gandum, gula dan barangan keperluan lain bernilai RM50 disalurkan kepada mereka yang memerlukan.
"Setiap bakul makanan bernilai RM50 dengan peruntukan sebanyak RM15,000 setiap daerah yang kita akan agihkan secara berperingkat
"Mereka yang terpilih adalah nama yang dicadangkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat yang mana kita juga akan lakukan siasatan bagi memastikan penerima-penerima memang memerlukan bantuan," jelasnya lagi.
Op Bantu adalah inisiatif KDN bagi membantu meringankan beban keluarga tidak berkemampuan yang terkesan akibat PKP.
07 Jul 21
1054
Perumahan Padang Setengge Dibadai Ribut Akan Dibaik Pulih
HULU TERENGGANU, 7 Julai - Perumahan Padang Setengge yang dibadai hujan ribut pada petang semalam akan dibaik pulih dengan bantuan kerajaan negeri.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Berang, Dr Mamad Puteh berkata, beliau akan berusaha untuk mendapatkan peruntukan bagi meringankan beban yang ditanggung oleh pemilik rumah.
"Alhamdulillah, semalam agensi dan jabatan kerajaan telah bermesyuarat untuk membantu mereka yang telah terjejas akibat ribut tersebut.
"Kita mencapai beberapa perkara, dari segi rumah yang terlibat akan dibaik pulih keseleruhannya dengan bantuan kerajaan negeri," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika meninjau suasana perumahan yang rosak di Padang Setengge.
Menurut beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau, setakat maklumat terkini ribut semalam telah menyebabkan 91 buah rumah telah rosak.
"14 buah rumah mengalami kerosakan yang agak serius dimana keseluruhan atap rumah tercabut dan kita harapkan perkara ini dapat diselesaikan dengan secepat mungkin," jelasnya.
07 Jul 21
571
Nenek Stroke, Anak Hilang Pekerjaan Terharu Terima Caj Wad Percuma
MARANG, 7 Julai - Seorang lelaki yang terpaksa menjaga nenek mertuanya lega dan terharu kerana menerima caj rawatan percuma kelas ketiga yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Terengganu melalui manifesto Pilihanraya Umum 14 yang lalu.
Khairul Airil Anuar Abdullah, 22, berkata, dia sebelum ini agak risau memikirkan kos rawatan setelah mendapat makluman bahawa nenek kepada isterinya sudah boleh keluar daripada wad.
"Namun saya sangat bersyukur apabila dibantu oleh Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Dewan Undangan Negeri Rhu Rendang, dalam proses keluar daripada wad, dan dimaklumkan bahawa tiada caj rawatan yang perlu dibayar.
"Inisiatif ini sangat membantu golongan yang sangat memerlukan seperti kami, apatah lagi saya yang kini menjaga nenek tidak dapat berkerja kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di samping terpaksa menjaga isteri yang sedang mengandung enam bulan, " katanya.
Katanya, dia, steri dan seorang anak lelaki tinggal bersama dua keluarga lain, seramai 12 orang di sebuah rumah, dia baru sahaja berpindah ke Kampung Bukit Rhu Rendang pada tiga bulan lalu dari Besut untuk menjaga nenek yang diserang penyakit lumpuh.
"Teriima kasih kepada PKM ADUN Rhu Rendang yang hadir membantu keluarganya setelah memaklumkan masalah mereka kepada pihak Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Bukit Rhu Rendang, " katanya.
Sementara itu, Pegawai Khas PKM ADUN Rhu Rendang, Nasaruddin Samsudeng berkata, pihaknya telah mengambil perjalanan sejak dari awal mendapat maklumat berkenaan keluarga Khairul tambahan lagi dengan keadaan neneknya yang sedang sakit.
"Kami telah menghantar sebuah katil boleh laras bersama-sama kerusi roda untuk kegunaan neneknya yang terlantar bagi mengurus dan memudahkan urusan penjagaannya.
"Bantuan susu dan pampers turut diserahkan kepadanya, di samping borang bantuan Tabung Darul Iman yang telah dikutip dan akan dihantar kepada pejabat untuk mendapatkan bantuan berterusan.
"Pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga telah sedia maklum berkenaan keadaan keluarga ini, di samping JPKK yang sedia membantu pada bila-bila masa sahaja," tambahnya lagi.
07 Jul 21
177
Ribut : Kerajaan Negeri Salur Bantuan Segera
KUALA TERENGGANU, 7 Julai - Bantuan segera untuk mangsa ribut di Terengganu akan disalurkan sebaik selesai siasatan dan laporan berhubung kerugian serta jumlah mereka yang terkesan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, beliau telah membentangkan perkara itu di dalam Mesyuarat Mingguan Exco pada hari ini.
"Saya telah maklumkan dalam Mesyuarat Mingguan Exco tentang kejadian yang berlaku sekitar jam 6 petang itu melibatkan lima daerah iaitu Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Hulu Terengganu, Dungun dan Marang untuk tindakan susulan.
"Bagaimanapun, bantuan awal juga akan disalurkan oleh JKM mengikut keperluan mangsa," katanya kepada UPDI hari ini.
Dalam pada itu, katanya, beliau telah meminta semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta Penyelaras DUN terlibat supaya memulakan kerja-kerja membaiki kediaman yang terjejas secepat mungkin.
"Saya difahamkan kerja-kerja membaik pulih kediaman yang rosak telah dimulakan sejak pagi tadi dan pihak JKM juga akan menyalurkan bantuan awal mengikut keperluan mangsa," katanya.
Dalam perkembangan sama, Hanafiah berkata, setakat ini anggaran keseluruhan kerugian melibatkan kawasan yang dilanda bencana itu masih dalam siasatan dan dijangka akan diketahui pada Khamis.
Terdahulu, hujan lebat serta angin kencang yang melanda kira-kira setengah jam pada petang Selasa menyebabkan hampir 500 buah kediaman di lima buah daerah di Terengganu terjejas.
Ia termasuk 81 buah kediaman di Perumahan Padang Setengge di Kuala Berang dalam daerah Hulu Terengganu membabitkan seramai 268 mangsa.
Selain itu, terdapat juga kediaman terjejas melibatkan daerah Dungun, Kuala Nerus dan Marang serta beberapa kawasan lain di Kuala Terengganu.
07 Jul 21
604
54 Taska Milik YPKT Dibenar Beroperasi Semula Ahad ini
KUALA TERENGGANU, 7 Julai - Selepas lebih sebulan ditutup disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), 54 taska Permata Keluarga (TPK) akan kembali dibuka mulai Ahad ini dengan keutamaan diberikan kepada anak-anak petugas barisan hadapan.
Timbalan Pengarah (Program) YPKT, Kamarulzaman Awang berkata, sepanjang PKP Fasa 1 baru-baru ini hanya 15 taska daripada 69 pusat asuhan milik Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) dibenar operasi melibatkan 211 kanak-kanak.
Katanya, antaranya, TPK Batu Burok, TPK Kuala Terengganu, TPK Wakaf Tembesu, TPK Teluk Ketapang, TPK Kuala Berang, TPK Bukit Perah, TPK Putera Jaya dan TPK Pekan Jabi.
“Sepanjang tempoh PKP 3.0, YPKT terpaksa mengehadkan bilangan operasi taska bagi mengurangkan risiko jangkitan pandemik Covid-19.
“Terpaksa berbuat demikian memandangkan berlaku jangkitan Covid-19 pada kanak-kanak dan pendidik,” katanya.
Menurut, walaupun kesemua 69 TPK dibenarkan beroperasi oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dengan permatuhan prosedur operasi standard (SOP), hanya sebilangan daripada 4,400 kanak-kanak daripada 3,561 keluarga dibenarkan hantar.
“YPKT masih mengenakan syarat tertentu kepada ibu bapa yang terlibat, antaranya perlu mendapatkan pengesahan majikan atau pihak berwajib.
“Bagi ibu dan bapa Bekerja Dari Rumah (BDR) termasuk guru , pihaknya tidak digalakkan menghantar anak masing-masing.,” katanya.
07 Jul 21
653
Bantuan Segera Disalur Kepada Mangsa Ribut Padang Setengge
HULU TERENGGANU, 7 Julai - Kerajaan negeri akan menyalurkan bantuan segera melalui peruntukan Tabung Darul Iman dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat bagi membantu lebih 80 penduduk yang terlibat dengan kejadian ribut di Padang Setengge, semalam.
Pegawai Daerah merangkap Pengerusi Jawatankuasa Bencana Daerah Hulu Terengganu, Ahmad Azizi Zulkifli, melalui peruntukan tersebut, ia digunakan untuk pembaikian bagi rumah-rumah yang terkesan.
"Hari ini kita mulakan pasca pertama iaitu membersihan kawasan yang terlibat secara bergotong-royong dengan kerjasama pelbagai agensi, jabatan, badan bukan kerajaan dan parti.
"Kemudian membaik pulih kerosakan yang berlaku petang semalam melibatkan kemusnahan kepada atap rumah kebanyakannya," ujarnya kepada pemberita ketika ditemui di Padang Setengge, hari ini.
Namun, katanya, jumlah kerugian belum dapat dipastikan, setakat ini.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Padang Setengge, Sulaiman Ali berkata, kejadian ribut yang melanda kawasan perumahan berkenaan berlaku dalam sekelip mata.
“Ketika kejadian, saya baru sahaja selesai dalam proses pengagihan bakul makanan untuk mereka yang terkesan sepanjang tempoh 'total lockdown' .
"Masa tu hujan belum turun lagi tapi angin cukup kuat dan menerbangkan beberapa atap rumah dan semakin banyak rumah yang terlibat.
"Dua pokok besar tumbang depan mata dan mengejutkan sebab semua berlaku dalam beberapa minit sahaja," ujarnya ketika ditemui.
Menurut Sulaiman, sebaik sahaja keadaan tenang, beliau terus menghubungi pihak berkaitan untuk memaklumkan kejadian tersebut untuk tindakan seterusnya.
Dalam kejadian petang semalam, puluhan penduduk di perumahan Padang Setengge itu mengalami detik cemas apabila kawasan berkenaan dilanda ribut berserta hujan lebat menyebabkan rumah mereka mengalami kerosakan teruk selain beberapa batang pokok tumbang.
Kejadian ribut itu dikatakan berlaku secara tiba-tiba dalam tempoh kira-kira sepuluh minit, namun menyebabkan lebih separuh rumah penduduk mengalami kerosakan terutama pada bahagian atap.
07 Jul 21
186
'Hanya Mampu Berpelukan Ketika Atap Diterbangkan Angin'
HULU TERENGGANU, 7 Julai - Hampir 300 penduduk yang menghuni perumahan Padang Setengge di sini berdepan detik mencemaskan apabila berlaku ribut serta angin kencang yang mengakibatkan kerosakkan rumah, pada tengah malam tadi.
Kejadian ribut pada pukul 6 petang itu merupakan bencana terburuk yang pernah melanda kawasan taman perumahan berkenaan sejak beberapa tahun kerana melibatkan hampir 80 rumah.
Salah seorang mangsa, Norliza Abu bakar, 40, berkata, angin kuat menerbangkan lebih 10 keping atap rumahnya, manakala serpihan struktur itu terkena bahagian lain hingga menyebabkan kerosakan lebih banyak.
“Bunyi sangat kuat dan nampak angin berpusar sebelum rangka bumbung bahagian hadapan tercabut dan hempap atap rumah.
"Semasa kejadian saya dan empat lagi ahli keluarga berpelukan antara satu sama lain dan hanya bertawakal sambil berlindung dalam rumah dengan keadaan angin kencang, hujan lebat.
"Selama empat tahun saya duduk di sini, ini pertama kali berlaku. Kami masih lagi trauma dan terkejut,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Suaminya, Noor Zihan Yahya, 44, kemudiannya menutup semua punca elektrik bagi mengelakkan sebarang perkara tidak diingini demi keselamatan anak-anak.
Seorang lagi mangsa ribut, Nadiah Mohd, 42, pula memberitahu, rumahnya juga paling teruk dipukul ribut apabila hampir semua atap diterbangkan dan menyifatkan kejadian itu paling buruk sejak menetap di situ lebih sembilan tahun lalu.
"Masa kejadian saya keluar tengok angin kuat sangat dan tak senang hati...lepas tu nampak atap rumah bawah tercabut.
"Angin datang dengan laju, sekelip mata je rempuh rumah kami dan atap terbang...anak-anak menangis ketakutan,"katanya yang masih trauma dengan kejadian tersebut.
07 Jul 21
1004