lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Lebih 2,000 Penduduk Di Dua Kampung Di Kemaman Nikmati 4G
Lebih 2,000 Penduduk Di Dua Kampung Di Kemaman Nikmati 4G
KEMAMAN, 13 Julai – Lebih 2,000 penduduk di daerah ini bakal menikmati jaringan telekomunikasi 4G yang lebih baik selepas dua menara komunikasi baharu dibina di Kampung Pengkalan Rangoon dan Kampung Pondok Pasir. Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dalam satu kenyataan berkata, dua menara tersebut telah beroperasi sepenuhnya sejak bulan lepas. “Selain itu, projek talian tetap gentian optik di daerah Kemaman juga sedang giat dilaksanakan melibatkan 8,928 premis. “Sehingga kini, sebanyak 6,091 premis baharu telah mendapat jaringan gentian optik berkelajuan tinggi manakala baki 2,837 akan siap menjelang suku keempat tahun 2022. Tambahnya, peluasan rangkaian gentian optik dan pembinaan menara-menara komunikasi baharu di bawah Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) ini akan memberi manfaat kepada komuniti untuk aktiviti atas talian. “Melalui usaha-usaha ini, para penduduk dapat melaksanakan pelbagai aktiviti seharian seperti pembelajaran, Bekerja Dari Rumah (WFH), perhubungan mahupun aktiviti ekonomi dalam talian, dengan lancar,” jelasnya lagi. Terdahulu, Pengarah MCMC Terengganu, Mohd Fairus Muhamad dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasik, Ir. Saiful Azmi Suhaili telah membuat peninjauan bersama pihak Maxis berkenaan operasi rangkaian 4G di Kampung Pengkalan Rangoon, Kemaman.
13 Jul 21
390
PM Arah KJ Beli Vaksin Tambahan
PM Arah KJ Beli Vaksin Tambahan
KUALA LUMPUR, 13 Julai – Selepas mencatakan jumlah suntikan harian vaksin Covid-19 sebanyak 421,479 dos semalam, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengarahkan Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin Abu Bakar untuk membeli mana-mana vaksin yang sedia ada. “Walaupun kita telah beli lebih tapi lambat sampai. “Kalau ada lain yang boleh bekal contohnya Pharmaniaga boleh bekal tambahan dua ke tiga juta dos, kita akan beli. “Ini komitmen kerajaan Perikatan Nasional,” katanya kepada pemberita selepas melawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) hari ini.  Mengulas mengenai rekod tertinggi suntikan harian vaksin COVID-19, Muhyiddin berkata ia merupakan berita terbaik untuk negara dalam usaha mencapai tahap imuniti kelompok sebelum akhir tahun ini. “Ini berita baik kerana ia (kadar vaksinasi harian itu) antara tertinggi di dunia. “Kalau kita ikut fasa vaksinasi, saya jangka kita boleh capai untuk hampir semua yang perlu divaksinasi selesai sebelum akhir tahun ini dan nampaknya proses ini berjalan lancar Pada Isnin, jumlah suntikan harian vaksin Covid-19 negara mencecah rekod tertinggi iaitu sebanyak 421,479 dos dengan pemberian dos pertama sebanyak 264,034 manakala dos kedua pula sebanyak 157,445 suntikan.   
13 Jul 21
387
Projek Keledek Vitato Di Setiu Keluarkan 350 Tan Hasil
Projek Keledek Vitato Di Setiu Keluarkan 350 Tan Hasil
SETIU, 12 Julai - Projek penanaman keledek vitato di Kampung Banggol di sini mampu mengeluarkan hasil sebanyak lima tan setiap ekar. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, tanaman secara berkelompok yang berkeluasan 70 ekar itu  melibatkan seramai 70 orang peserta. "Projek berkenaan hasil usahasama kerajaan negeri Terengganu melalui Terengganu Agrotech Development Corporation (TADC) dan penduduk setempat," kata ringkas pada Majlis Penuaian Ubi Vitato di Kampung Banggol semalam. Terdahulu, beliau turut memaklumkan kerajaan Terengganu bersetuju menjadikan daerah Setiu sebagai gedung pengeluaran makanan negeri itu. Jelasnya, pemilihan daerah Setiu disebabkan beberapa faktor antaranya keluasan tanah sekitar 5,200 ekar yang diwartakan di bawah seksyen 62 yang dikhususkan bagi aktiviti pertanian samada penternakan dan tanaman. "Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada 16 Jun yang lalu bersetuju mengisytihar dan menjadikan daerah Setiu sebagai gedung pengeluaran makanan Negeri Terengganu. "Untuk itu, MMKN bersetuju menubuhkan satu Jawatankuasa Bertindak Gedung Pengeluaran Makanan Negeri Terengganu yang dipengerusikan oleh Pegawai Daerah Setiu dan dianggotai oleh ketua-ketua jabatan berkaitan," tambah beliau.  
13 Jul 21
553
Enam Tapak Bina Diarah Tutup Sejak 1 Jun Lalu
Enam Tapak Bina Diarah Tutup Sejak 1 Jun Lalu
KUALA LUMPUR, 13 Julai - Sebanyak enam tapak pembinaan diarah tutup serta-merta di negeri Terengganu sepanjang tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN) sejak 1 Jun lalu. Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dalam kenyataan semalam berkata, ia berikutan kegagalan pihak berkenaan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan bagi membendung penularan pandemik Covid-19. Berdasarkan rekod, CIDB menjalankan pemeriksaan membabitkan 4,855 tapak pembinaan di seluruh Malaysia. "Daripada jumlah itu, sebanyak 946 (19 peratus) tapak pembinaan didapati beroperasi, manakala sebanyak 3,909 (81 peratus) tidak beroperasi. "Daripada 946 tapak yang beroperasi, didapati 209 tapak pembinaan (22 peratus) tidak mematuhi SOP, manakala 737 (78 peratus) tapak lagi mematuhi SOP. "Semua 209 tapak pembinaan tidak mematuhi SOP berkenaan diarah tutup serta-merta," menurut CIDB. Bagaimanapun, menurut CIDB, 50 daripada tapak pembinaan yang diarah tutup dibenar dibuka semula selepas mereka mematuhi SOP ditetapkan. Daripada 209 tapak pembinaan yang ditutup, katanya, 59 terletak di Sarawak, Selangor (45), Kuala Lumpur (17), Melaka (16), Johor (14), Sabah (13), Pulau Pinang (11), Negeri Sembilan dan Pahang (masing-masing lapan), Terengganu (enam), Perak (empat), Kedah dan Perlis (masing-masing tiga) dan Kelantan, dua. "Sementara 50 tapak pembinaan yang dibuka semula selepas didapati mematuhi SOP terletak di negeri Sarawak (15), Selangor (9), Melaka (sembilan), Terengganu dan Perak (masing-masing empat), Kuala Lumpur (tiga), Johor (dua) dan masing-masing satu di Kelantan, Sabah, Pulau Pinang serta Kedah," ujarnya. Semalam sahaja, CIDB memaklumkan empat tapak pembinaan di Sarawak dan satu di Sabah diarah ditutup. Antara kesalahan yang dilakukan adalah tiada keputusan saringan Covid-19 pekerja, gagal mempamerkan permit sementara bangunan (rumah kongsi/penempatan pekerja/asrama/CLQ) daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) di tapak bina, gagal mempamerkan MySejahtera dan gagal mengemukakan senarai nama kehadiran serta semakan suhu pekerja. Kesalahan lain, jumlah pekerja di tapak pembinaan melebihi 60 peratus seperti dibenarkan dalam SOP PPN.
13 Jul 21
485
Penerima Vaksin Sinovac Dibenarkan Tunai Haji
Penerima Vaksin Sinovac Dibenarkan Tunai Haji
PUTRAJAYA, 13 Julai - Usaha Kerajaan Malaysia berbincang dengan Kerajaan Arab Saudi agar bakal jemaah haji dari negara ini yang telah menerima vaksin Sinovac diberi kebenaran menunaikan rukun Islam kelima itu akhirnya berhasil sekali gus memberi khabar gembira buat rakyat di negara ini. Berkongsi kegembiraan itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, Sinovac telah dimasukkan ke dalam senarai yang diterima negara terbabit, di mana sebelum ini yang dibenarkan hanya Pfizer dan AstraZeneca. "Tidak ada lagi kerisauan kepada ahli keluarga (baca; rakyat Malaysia) kita yang khuatir tidak dapat tunaikan haji dan umrah kerana diberi vaksin tersebut. "Fokus kita pada ketika ini adalah untuk terus membantu Kementerian Kesihatan Malaysia dan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin Covid-19 (JKJAV) untuk pastikan lebih ramai mendaftar dan hadir untuk vaksinasi," ujarnya. Beliau berkata demikian melalui kenyataan di media sosialnya, semalam. Katanya, perkara tersebut bolehlah dihebahkan kepada semua mereka yang berhasrat hendak melakukan haji dan umrah tersebut. "Sama-sama kita mendoakan urusan jemaah haji Malaysia yang telah diluluskan untuk menunaikannya pada tahun ini dipermudahkan oleh Allah SWT," katanya. Terdahulu, Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin yakin imuniti kelompok di negara ini mampu dicapai sebelum akhir tahun ini dengan berlaku peningkatan di seluruh negara di mana 12.2 juta direkodkan telah mendaftar bagi mendapatkan vaksin. Terkini Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Ahmad Amzad Hashim memaklumkan, semalam negara telah mencatatkan suntikan harian tertinggi dimana 421, 479 dos pertama dan kedua telah diterima rakyat.     
13 Jul 21
488
Setiu Diisytihar Sebagai Gedung Pengeluaran Makanan Negeri
Setiu Diisytihar Sebagai Gedung Pengeluaran Makanan Negeri
SETIU, 12 Julai - Kerajaan negeri mengisytiharkan daerah Setiu sebagai Gedung Pengeluaran Makanan Negeri Terengganu. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, keputusan itu dibuat dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 16 Jun lalu. Katanya, pemilihan Setiu sebagai Gedung Pengeluaran Makanan Negeri Terengganu adalah disebabkan beberapa faktor antaranya daerah ini masih lagi mempunyai tanah pertanian berskala komersial untuk diusahakan di dalam sesuatu kawasan. "Ini termasuklah tanah kerajaan atau tanah yang telah diwartakan di bawah Seksyen 62 Kanun Tanah Negara untuk kegunaan pertanian. "Pada ketika ini terdapat 2,104 hektar tanah yang telah diwartakan di bawah Seksyen 62 Kanun Tanah Negara yang dikhususkan untuk aktiviti pertanian sama ada penternakan atau tanaman," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Program Penuaian Ubi Vitato di pusat tanaman ubi vitato secara berkelompok di tanah seluas 28 hektar di Kampung Banggol, Permaisuri, hari ini. Menurut Dr. Azman, pemilihan Setiu juga adalah bagi memaksimakan potensi kewujudan tanah terbiar di daerah ini. "Setiu mempunyai kira-kira 1,214 hektar tanah terbiar yang tidak diusahakan bagi menjana pendapatan rakyat. "Tanah-tanah terbiar disebabkan pelbagai faktor seperti penyediaan infrastruktur keupayaan modal pemilik tanah, kemahiran teknikal dan sikap pemilik tanah itu sendiri," jelasnya. Dalam pada itu beliau berkata, bagi menggerakkan Setiu sebagai Gedung Pengeluaran Makanan Negeri Terengganu, kerajaan negeri juga telah bersetuju menubuhkan satu jawatankuasa khas yang dipengerusikan oleh Pegawai Daerah Setiu dan dianggotai oleh ketua- ketua jabatan yang berkaitan. "Tugas jawatankuasa ini adalah untuk menyediakan pelan tindakan, mengenal pasti tanah-tanah untuk dimasukkan dalam program ini dan memproses permohonan- permohonan melibatkan program Setiu sebagai Gedung Pengeluaran Makanan Negeri Terengganu," ujarnya. Katanya, beliau turut berharap dengan pengisytiharan Setiu sebagai Gedung Pengeluaran Makanan Negeri Terengganu, akan menjadi faktor penyumbang kepada sasaran Tahun Pertanian Negeri Terengganu 2021 dalam meningkatkan purata pendapatan petani kepada RM3,000 sebulan bagi setiap isi rumah, meningkatkan sumbangan sektor pertanian kepada 10 peratus daripada jumlah Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) serta meningkatkan jumlah guna tenaga dalam sektor pertanian daripada 42,900 orang kepada 44,000 orang. "Semoga dengan usaha ini juga dapat mencapai sasaran kerajaan negeri pada tahun ini sebagai tahun pertanian sekali gus menjadi salah satu pemangkin kepada ekonomi negeri ini," ujarnya.
12 Jul 21
1334
13 Menara Telekomunikasi Baharu Di Setiu Terengganu
13 Menara Telekomunikasi Baharu Di Setiu Terengganu
SETIU, 13 Julai - Sebanyak 13 menara komunikasi baharu akan dibina manakala 57 alat pemancar komunikasi di menara sedia ada akan dinaik taraf bagi meluaskan rangkaian perkhidmatan 4G di Parlimen Setiu. Ahli Parlimennya, Shaharizukirnain Abdul Kadir berkata, projek itu telah diluluskan oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan kini dalam proses tender. Menurutnya, kawasan terlibat yang akan mendapat manfaat bagi projek itu meliputi enam kampung di Dewan Undangan Negeri (DUN) Langkap, empat kampung di DUN Permaisuri dan empat kampung di DUN Jabi. “Di DUN Langkap, kawasan yang terlibat ialah Kampung Tayor Tengah, Hutan Lipur Lata Payung, Kampung Bukit Layat, Kampung Jelapang, Kilang Sawit Chalok dan Bukit Lawang manakala di DUN Permaisuri pula melibatkan Kampung Mangkuk, Kampung Air Sejuk Guntung, Pengkalan Gelap dan Kampung Padang Serai. “Selain itu, Kampung Bukit Tanah, Kampung Padang Lindong Oh Jabi, Kampung Kepala Gajah dan Kampung Baru Tok Dor di DUN Jabi. “Insya-Allah, kita harapkan projek ini dapat membantu mengatasi masalah liputan rangkaian internet yang lemah, sekali gus dapat meluaskan rangkaian 4G dalam Parlimen Setiu,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook rasminya, baru-baru ini. Dalam perkembangan sama, katanya, di bawah inisiatif Jalinan Digital Negara (Jendela) juga, seramai 1,322 pelanggan sedia ada di Setiu akan dinaik taraf daripada perkhidmatan rangkaian berasaskan tembaga kepada rangkaian gentian optik untuk jalur lebar talian tetap. Jelasnya, Jendela yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 29 Ogos 2020 adalah inisiatif kerajaan dan pemain industri bagi meningkatkan tahap kesalinghubungan serta kualiti pengalaman perkhidmatan komunikasi di seluruh negara melalui pembangunan infrastruktur yang lebih cepat dan menyeluruh.
12 Jul 21
909
“Terap Semangat Kerjasama Hadapi Musibah” – ADUN Batu Buruk
“Terap Semangat Kerjasama Hadapi Musibah” – ADUN Batu Buruk
KUALA TERENGGANU, 13 Julai - Komuniti dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Buruk melalui Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) setempat telah mengadakan program gotong-royong untuk membaik pulih rumah mangsa yang dilanda bencana ribut pada 6 Julai lalu. “Alhamdulillah, nilai dan semangat kerjasama ini sangat penting untuk kita terapkan dalam menghadapi situasi musibah seperti ini.  “Saya mengucapkan terima kasih kepada semua pihak terutama penduduk setempat yang turut sama berganding bahu menghulurkan bantuan,” kata ADUN Batu Buruk,  Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi yang turut sama menyertai program gotong-royong tersebut.  Muhammad Khalil memasang atap rumah mangsa. Menurut Ustaz Muhammad Khalil lagi, sebanyak 392 aduan kerosakan rumah dalam DUN Batu Buruk telah dilaporkan akibat bencana ribut berkenaan dan kerja-kerja membaik pulih rumah telah dijalankan. Sementara itu, Pemuda PAS DUN Batu Buruk juga telah mengadakan gotong-royong untuk membaik pulih rumah di beberapa kawasan dalam DUN Batu Buruk. “Alhamdulillah, hari ini kami telah membaik pulih sebanyak lima buah rumah yang telah rosak akibat bencana ribut yang melanda baru-baru ini,” kata Ketua Penyelaras Pemuda PAS DUN Batu Buruk, Ustaz Ahmad Firdaus Mohd ketika ditemu bual pemberita. “Gotong-royong ini kami mulakan pada pukul 3 petang di Jalan Kenanga sebanyak dua buah rumah dan seterusnya di Kg. Gong Tok Nasek sebanyak tiga buah rumah. “Saya mengucapkan terima kasih kepada penduduk di sini kerana sudi menerima kehadiran kami untuk mengadakan gotong-royong membaik pulih atap rumah mereka,” katanya lagi.  
12 Jul 21
129
COVID-19 : Terengganu Kembali Catat Tiga Angka Kes Positif
COVID-19 : Terengganu Kembali Catat Tiga Angka Kes Positif
KUALA TERENGGANU, 12 Julai – Terengganu kembali mencatatkan tiga angka kes positif COVID-19 dengan 140 kes hari ini. Ini menjadikan kes tertinggi berbanding jumlah dua angka yang dicatatkan sejak 11 Jun lalu. Berdasarkan laporan dikeluarkan Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT), antara kluster yang menyumbang kes tertinggi adalah kluster Industri Lot Q dengan 31 kes positif, manakala daerah dengan kes tertinggi adalah di Dungun, 62 kes. Menurut JKNT, kluster tempat kerja itu melibatkan daerah Dungun dan Kemaman iaitu pekerja-pekerja sebuah kilang yang terletak di Kawasan Perindustrian Lot Q, Kertih Bio-Polymer Park, Kemaman. “Antara kluster baharu direkodkan dalam negeri adalah kluster Tanjung Gelam dan kluster Tok Molor. “Hasil ujian saringan kontak rapat dijalankan JKNT merekodkan 121 kes. Manakala itu, kebanyakkan jumlah kes datang daripada kategori kes penularan tempatan iaitu sebanyak 109 kes,” katanya menerusi Facebook rasminya, sebentar tadi. Dalam perkembangan sama, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi perkongsian dalam Twitter memaklumkan kes baharu harian COVID-19 mencatatkan penurunan kepada 8,574 menjadikan jumlah keseluruhan kes kepada 844,870. "Selangor kekal mencatat kes harian tertinggi dengan 4,308 kes diikuti Negeri Sembilan (794), Kuala Lumpur (609), Kedah (415), Melaka (411) dan Johor (407)," jelasnya.
12 Jul 21
4371
Usaha Tarik Pelabur Ke Terengganu Terus Giat Berjalan
Usaha Tarik Pelabur Ke Terengganu Terus Giat Berjalan
KUALA TERENGGANU, 12 Julai - Terengganu terus mengorak langkah dalam menarik lebih ramai pelabur untuk melabur di negeri ini sekali gus membuka banyak peluang pekerjaan kepada rakyat. Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran negeri, Dato’ Tengku Hassan Tengku Omar berkata, pihaknya banyak terlibat dan berbincang dengan pelabur dari luar negara dan dalam negeri yang berhasrat untuk melabur di sini. Katanya, walaupun tidak mudah untuk menarik mereka ke sini, tetapi kerajaan negeri sentiasa optimis dapat mencapai sasaran. "Sejak tahun 2018 sebanyak 11 pelabur yang berhasrat untuk melabur di Terengganu dengan jumlah pelaburan sebanyak RM4.9 billion, tahun 2019 sebanyak 14 pelabur dan pada tahun 2020 sebanyak enam pelabur. "Setakat ini, bagi tahun 2021, sebanyak 12 pelabur yang berminat untuk melabur di negeri ini dengan anggaran pelaburan sebanyak RM 3.7 billion. "Jumlah keseluruhan pelaburan sejak tahun 2018 hingga tahun 2021 adalah sebanyak RM 12.5 billion," ujarnya ketika bersiaran dalam segmen 'Munajat Rakyat Terengganu 5.0' di Tv Darul Iman. Mengulas lanjut, Tengku Hassan memaklumkan, pada masa yang terdekat, beliau akan berhubung secara maya dengan pelabur dari Korea yang berminat untuk melabur dalam bidang kimia di Kerteh dengan jumlah pelaburan bernilai lebih kurang RM1 billion.  "Kita juga telah selesai berbincang dengan pelabur dari dalam negeri yang ingin mengembangkan perniagaan mereka dengan membawa pelaburan sebanyak RM2.5 billion dalam bidang silika. "Ramai di kalangan mereka yang ingin melabur di Terengganu datang daripada sektor minyak, gas dan petrokimia dengan kadar sebanyak 28 peratus," katanya. Tambah beliau, sektor pembuatan pula telah melibatkan kadar pelaburan sebanyak 23 peratus, sektor perlancongan sebanyak 16.3 peratus, sektor pertanian dan produk hiliran sebanyak 11.6 peratus, sektor teknologi baharu sebanyak 11 peratus dan lain-lainya sebanyak 10.1 peratus. "Kita masih menerima permohonan-permohonan untuk melabur disini, kita menjangkan akan ada pelaburan yang besar untuk Terengganu. "Pelaburan masih datang, kita juga sedang bekerja keras untuk menarik mereka melabur di Terengganu," ujarnya.
12 Jul 21
673