lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Jalan Aring-Kenyir-Kuala Jeneris Ditutup
Jalan Aring-Kenyir-Kuala Jeneris Ditutup
HULU TERENGGANU, 12 Julai - Jalan Aring 8-Kenyir-Kuala Jeneris di laluan FT 36 melibatkan Kilometer (KM) 74.8 sehingga KM 75 di seksyen 87 (52) ditutup kepada semua lalulintas sepanjang sehingga 2 Ogos hadapan. Menurut kenyataan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Hulu Terengganu baru-baru ini, penutupan itu sebagai langkah berjaga-jaga berikutan kejadian mendapan jalan sepanjang laluan 200 meter itu. Jurutera JKR Daerah, Alif Zuwairi Baharuddin berkata, papan tanda lalulintas akan dipasang di tapak untuk panduan pengguna jalan raya. “Semua pengguna hendaklah mematuhi tanda arah serta papan tanda keselamatan yang disediakan. Kerjasama sepenuhnya daripada semua pengguna jalan raya amat diharapkan,” katanya menerusi satu kenyataan. Jelasnya, buat sementara waktu, para pengguna jalan raya boleh menggunakan laluan alternatif FT 08 Jalan Kota Bharu Gua Musang. Untuk maklumat lanjut, boleh berhubung dengan Pejabat JKR Daerah Hulu Terengganu, Terengganu di talian 09-6811900, faks 09-6811896.
12 Jul 21
3772
Penternakan Landak Jana Pendapatan Lumayan
Penternakan Landak Jana Pendapatan Lumayan
HULU TERENGGANU, 12 Julai -  Minat seorang lelaki menternak landak jenis Landak Raya atau nama saintifiknya adalah Hystrix brachyura  ternyata berbaloi kerana hobi itu menjana pendapatan lumayan ketika ini. Ismail Muhamad, 69, menceburi bidang ternakan landak secara komersial lebih sepuluh tahun lalu di belakang rumah di Kampung Baru Sungai Binjai,dan ketika ini landak ternakannya sudah membiak hingga 120 ekor semuanya, Katanya, penternakan landak mampu menjana pulangan lumayan, tetapi ia membabitkan modal besar dan kesabaran tinggi kerana memerlukan masa sebelum membuahkan hasil.   "Walaupun menternak landak lambat mendatangkan hasil namun haiwan berkenaan mempunyai nilai harga yang tinggi di pasaran sehingga boleh mencecah RM150 sekilogram. Seekor landak seberat 15 hingga 20 kilogram bersama induknya boleh dijual dengan harga RM3,500 hingga RM4,500 bergantung kepada harga pasaran semasa. “Ia tahan lasak dan tahan penyakit serta boleh membesar sehingga 20 kilogram, cuma perlu tunggu sehingga berusia lapan bulan,” katanya ketika menerima lawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Ajil, Maliaman Kassim. Menurutnya, pelanggan datang dari seluruh semenanjung Malaysia dan hasil jualan landak sebulan mampu mencecah hampir RM9,000 dan kebiasaannya pembeli membeli sepasang haiwan eksotik itu. Tambah Ismail, landak mempunyai peminat tersendiri sama ada untuk dijadikan makanan atau peliharaan. "Daging landak juga agak manis dan lembut, kadangkala rasanya seperti daging arnab dan sesuai dibuat sate. Daging landak boleh dimasak dengan pelbagai cara tetapi kebiasaannya ia akan dimasak sebagai rendang, masak kicap atau digoreng," katanya. Jelasnya lagi, selain perlu mendapatkan lesen menternak, membeli dan menjual daripada Jabatan Perlindungan dan Hidupan Taman Negara (PERHILITAN), menternak landak sebenarnya sangat mudah. “Kita cuma perlu siapkan kandang yang bersesuaian bagi pasangan landak dan perlu diberi makanan berasaskan tumbuhan seperti buah atau sayur labu, ubi kentang, keledek selain kangkung dan perlu diberi makan tiga hingga empat kali. “Menternak landak jauh lebih mudah dan tidak terlalu membebankan, dan hanya perlu memberi tumpuan terhadap makanan selain menjaga kebersihan kurungan yang perlu dibersihkan setiap hari," katanya.    
12 Jul 21
956
2,000 Pek Daging Sejuk Beku Untuk Rakyat Kijal
2,000 Pek Daging Sejuk Beku Untuk Rakyat Kijal
Oleh : Mujahid MK KEMAMAN, 11 Julai - Kali ini Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal membawa sedikit kelainan dalam membantu rakyat DUN Kijal yang terkesan akibat Pandemik Covid-19 apabila mengagihkan 2,000 pek daging sejuk beku import. Daging tersebut diserahkan kepada setiap Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung (JPKK) DUN Kijal mewakili 26 buah kampung untuk diagihkan kepada komuniti di kawasan kampung masing-masing. Pegawai Penyelaras DUN Kijal, Ustaz Hazri Jusoh ketika ditemui di Kompleks Paya Lasir, Kijal kelmarin berkata, bantuan daging mentah itu adalah menu tambahan selain barangan keperluan lain untuk warga Kijal. Katanya, beliau mengharapkan sumbangan fasa ke dua itu memberi manfaat kepada mereka yang terjejas. Hazri Jusoh (kiri) bersama pembekal daging dan Adnan Mohamad “Kami berharap dengan sedikit sumbangan yang diberikan ini, mampu menceriakan warga Kijal dan dapat meringankan sedikit beban golongan terkesan disebabkan pandemik Covid-19 "Bantuan fasa ke dua ini adalah kesinambungan daripada program Bantuan Ekonomi Rakyat Terengganu 3.0 (BERKAT 3.0) yang dilancarkan oleh Menteri Besar Terengganu tempohari berjumlah RM6.4 juta keseluruhanya untuk rakyat negeri Terengganu yang terkesan," ujarnya. Turut hadir ialah Timbalan Pengarah Majlis Tindakan DUN (MTD) Kijal Zakaria Che Soh, Setiausaha MTD Adnan Mohamad, Ketua Kebajikan MTD Zawawi Mohamed dan Ahli Jawatankuasa MTD Kijal. Daging itu dibekalkan oleh Koperasi Indah Raya Kemaman Berhad (KOINDAH) dengan daging import yang bermutu tinggi dan dijamin halal dari Pakistan. Hazri Jusoh bersama barangan yang diagihkan.  
11 Jul 21
484
Bakul Makanan Ringankan Beban Golongan Terkesan
Bakul Makanan Ringankan Beban Golongan Terkesan
HULU TERENGGANU, 11 Julai - Pemberian bakul makanan di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) sedikit sebanyak mampu meringankan beban mereka yang terkesan akibat pandemik Covid-19, kata Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Dato' Rosol Wahid. Beliau berkata, inisiatif tersebut juga memberi tumpuan kepada golongan sasaran yang benar-benar memerlukan bantuan. Menurutnya, peruntukan RM300,000 yang diberikan kepada setiap ahli parlimen untuk program itu adalah langkah yang tepat pada masanya. "Kita menyediakan 4,000 bakul makanan yang diagihkan kepada penduduk di empat kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Kuala Berang, Ajil, Telemong dan Manir bermula hari ini. "Pengagihan bermula di DUN Kuala Berang dan Ajil manakala kawasan Telemong dan Manir akan dibuat pada hari esok yang dijangkakan selesai dalam tempoh dua hari sahaja, "ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan bakul makanan bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Berang di pekarangan Balai Raya Kampung Tajin di sini hari ini. Turut hadir, ADUN Kuala Berang, Dr Mamad Puteh. Tambah beliau, jika masih ada pihak yang terkesan atau tercicir, boleh memaklumkan kepada pegawai parlimen atau penyelaras DUN untuk tindakan tanpa perlu mengisi borang. Sementara itu, salah seorang penerima Abu Bakar Omar, 54, berkata, bantuan berbentuk makanan yang diterima dapat membantu meringankan perbelanjaan harian yang terpaksa dikeluarkan pada ketika ini. Bapa kepada sembilan anak yang hanya bergantung kepada kerja kampung menyifatkan keprihatinan pihak kerajaan adalah yang terbaik. "Sehingga hari ini, tak putus-putus bantuan yang kami terima sama ada dari wakil rakyat, badan bukan kerajaan(NGO)dan agensi-agensi...rasanya dah lebih lima kali sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan," katanya. Terdahulu, Program Bakul Makanan yang melibatkan peruntukan RM80 juta di bawah Pemulih untuk agihan bagi setiap ahli Parlimen termasuk ahli Parlimen pembangkang telah mula disalurkan 1 Julai 2021    
11 Jul 21
255
'Minta Tolong Sambil Merangkak Ke Bilik Sebab Terlalu Sakit Kepala'
'Minta Tolong Sambil Merangkak Ke Bilik Sebab Terlalu Sakit Kepala'
KUALA NERUS, 11 Julai - Pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Jengka yang meninggal dunia di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) pada malam Sabtu, mengadu sakit kepala ketika merangkak ke pintu bilik kedua ibu bapanya di Kampung Bukit Berangan, Tepoh di sini.  Bapanya, Mohd Rizaini Ghazali, 51, berkata, dia terdengar rintihan anaknya, Muhammad Adham Hazim, 21, yang mesra digelar Abang Ngah sekitar jam 5 pagi pada Sabtu.  "Saya dan isteri terdengar dia minta tolong dalam keadaan merangkak ke bilik sambil beritahu kepala dia sakit sangat dan minta dibawa ke hospital," katanya.  Menurut Mohd Rizaini, beliau segera membawa anaknya ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu sebelum disahkan meninggal dunia jam 10.52 malam tadi (Sabtu) ketika dirawat di unit rawatan rapi (ICU).    Beliau berkata, hasil imbasan tomografi berkomputer (CT Scan) terhadap anaknya menunjukkan berlaku pendarahan akibat dua urat yang terputus di bahagian atas dan belakang kepala.    Dalam pada itu, Mohd Rizaini berkata, dia dan isteri, Ros Fazilah Salleh, 46, masih terkejut dengan pemergian anak keduanya itu secara tiba-tiba kerana tidak menunjukkan sebarang perubahan.  Katanya, anaknya itu ada mengadu sakit kepala sejak Jumaat dan keluar ke kedai untuk mendapatkan panadol.  "Saya perasan dia sering tidur lewat malam sejak kebelakangan ini tambahan pula dia akan menduduki peperiksaan akhir semester dua minggu lagi.  "Walau apa pun yang berlaku, ajal maut urusan ALLAH SWT. Pada saya, sayang macam mana sekalipun kita terhadap anak, tidak dapat tandingi kasih sayang ALLAH SWT terhadap mereka. Apabila sudah sampai masa dia akan pergi.  "Kami pasrah dengan ketentuan Ilahi. Mungkin ambil sedikit masa untuk menerima kehilangan yang berlaku secara tiba-tiba ini," katanya ketika ditemui pemberita di kediamannya di Kampung Bukit Berangan di sini pada Ahad.  Bercerita mengenai keperibadian arwah, Mohd Rizaini berkata, anaknya seorang yang disenangi dalam kalangan adik-beradik serta suka belajar.  "Dia begitu disenangi dalam keluarga dan sering bergurau serta mengusik adik-adiknya. "Saya juga perasan dia ada menjalankan perniagaan secara dalam talian sekadar sampingan untuk mengisi masa terluang," katanya.  Jenazah Muhammad Adham Hazim yang merupakan pelajar  Diploma Kejuruteraan Awam, Fakulti Kejuruteraan Awam, Cawangan Pahang dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bukit Berangan pada jam 11 pagi Ahad.   Dalam pada itu, satu lagi kes kematian melibatkan seorang lagi pelajar UiTM, Nur Natasya Ezreen Azemi, 22, yang merupakan pelajar UiTM Cawangan Merbok, Sungai Petani, Kedah dilaporkan meninggal dunia di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) pada jam 2.50 petang Jumaat akibat pendarahan dalam kepala. - SINAR HARIAN
11 Jul 21
3114
KPDNHEP Sasar 1,500 Pemain Sektor Peruncitan, Pengedaran Divaksin Sehari
KPDNHEP Sasar 1,500 Pemain Sektor Peruncitan, Pengedaran Divaksin Sehari
HULU TERENGGANU, 11 Julai - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mensasarkan lebih 1,500 pemain industri perdagangan, pengedaran dan peruncitan di seluruh negara diberi suntikan vaksin COVID-19 setiap hari bermula 26 Julai ini. Timbalan Menterinya, Dato' Rosol Wahid berkata ia bagi memastikan sektor peruncitan dipulihkan dan dibuka sepenuhnya secepat mungkin dan ini akan hanya dapat dicapai jika pemberian vaksin kepada semua barisan ekonomi dapat dilaksanakan sepenuhnya. Katanya, peringkat permulaan seramai 186 ribu pekerja dari 1,400 syarikat seluruh negara yang sudah berdaftar di bawah  Program Vaksinasi Industri Peruncitan (RiVAC) akan menerima suntikan pertama jenis Sinovac selepas pelancaran pada 26 Julai ini. "Pelancaran RiVAC  selepas hari raya haji ini untuk juruwang, stesen minyak, tukang gunting, pekerja pasaraya dan peruncitan di Mid Valley, Kuala Lumpur  yang mana bagi memastikan sektor peruncitan ini menyediakan perkhidmatan yang selamat kepada pengguna. "Selepas suntikan pertama di ibu negara, ia diperluaskan ke peringkat negeri dalam masa terdekat,"ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan bakul makanan bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Berang di pekarangan Balai Raya Kampung Tajin di sini hari ini. Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri, (ADUN) Kuala Berang, Dr Mamad Puteh. Sebanyak 4,000 bakul makanan akan diagihkan setiap DUN di Parlimen itu yang mana setiap dun akan menerima 1,000 bakul makanan. Tambah Rosol lagi, tiada jumlah khusus bekalan vaksin yang diperuntukkan kepada kumpulan ini, sebaliknya mengikut keperluan mereka. "Langkah itu bagi memastikan pekerja dalam sektor berkenaan tidak tercicir dari menerima suntikan imunisasi seterusnya dapat membendung penularan COVID-19,"katanya.      
11 Jul 21
166
SSPN-i RM1,000 Buat Hafiz, Hafizah Di Wakaf Mempelam
SSPN-i RM1,000 Buat Hafiz, Hafizah Di Wakaf Mempelam
Oleh : Khairul Faez Rosdi KUALA TERENGGANU, 11 Julai – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam, Wan Sukairi Wan Abdullah telah menyediakan satu inisiatif sebagai suntikan semangat kepada para hafiz dan hafizah yang berjaya menamatkan hafazan al-Quran sebanyak 30 juzuk.  Wan Sukairi berkata, pihaknya menawarkan hadiah berupa RM1,000 melalui simpanan dalam akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i). "Ini sebagai pembakar semangat dan memudahkan urusan mereka untuk terus menimba ilmu di masa-masa mendatang," katanya. Beliau berkata demikian ketika menyampaikan hadiah kecemerlangan sempena tamat 30 juzuk Al-Quran kepada Siti Nur Damiatul Husna Abdul Salam daripada Maahad Tahfiz As-Sabiqun hari ini. Wan Sukairi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Sukan, Belia dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri turut mengucapkan tahniah buat adik Nurul Damiatul atas kejayaan tersebut. “Syabas juga buat guru didiknya Ustaz Sabri Khadir serta yang paling bermakna ialah buat ibu bapa yang sentiasa memberi sokongan. “Antara syarat kelayakan bagi memohon insentif ini adalah ibu bapa merupakan warga dan pengundi di DUN Wakaf Mempelam. "Jika ada yang berjaya menghafal 30 juzuk, boleh maklumkan pada Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Wakaf Mempelam di nombor telefon 06-6226958 untuk dibuat tapisan dan pendaftaran," jelasnya. Dalam pada itu, menurut Nur Damiatul, 15, yang mula menghafal pada tahun 2019, menceritakan antara tips kejayaannya adalah membaca dan menghafal ayat suci al-Quran selepas setiap kali solat subuh. “Selain bangun awal pada waktu pagi untuk menghafal, saya turut amalkan Teknik sama selepas solat Maghrib,” katanya yang berasal dari Kampung Losong Haji Mat Shafie.
11 Jul 21
310
2,500 Penduduk Terima Suntikan Vaksin Melalui Program Outreach
2,500 Penduduk Terima Suntikan Vaksin Melalui Program Outreach
Oleh : Mawaddah Mohd HULU TERENGGANU, 10 Julai - Program Outreach di Politeknik Kuala Jeneris yang menjadi pusat vaksin bagi dos pertama kepada penduduk di sekitar kampung- kampung daerah Hulu Terengganu mencatatkan 2,500 suntikan.  Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Berang, Dr Mamad Puteh berkata, antara kawasan yang terlibat untuk pemberian vaksin ialah Kampung Kuala Jeneris, Kampung Basung, Kampung Pasir Dula, Kawasan Pengkalan Gawi, Kawasan Tok Lawit, Kampung Kuala Ping dan kawasan-kawasan sekitarnya.    "Untuk Outreach kali ini, saya difahamkan seramai 2,500 penduduk sekitar ini menerima dos pertama mereka dan ia dilanjutkan ke kawasan lain bagi menjayakan proses vaksinasi. "Saya dapat melihat kerjasama yang baik dari kalangan pemimpin tempatan dan agensi-agensi kerajaan seperti Pejabat Kesihatan Kuala Berang, Jawatankuasa Pengurusan Komuniti Kampung (JPKK), anggota Rela dan polis Kuala Berang," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa lawatan ke PPV di Politeknik Hulu Terengganu tengah hari tadi. Turut hadir Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Terengganu, Muhyiddin Abdul Rashid dan Penyelaras DUN Telemong, Mohd Safari Abu. Dr Mamad turut mengucapkan mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang menjayakan program tersebut. "Berkat bantuan dan kerjasama yang diberikan, perjalanan program ini berjalan dengan lancar," ujarnya  
11 Jul 21
408
4,000 Bakul Makanan Di Kemaman
4,000 Bakul Makanan Di Kemaman
KEMAMAN, 10 Julai - Sebanyak 4,000 bakul makanan akan diagihkan kepada rakyat Kemaman yang terjejas dengan pandemik kepada empat DUN di Parlimen di sini melalui Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK). Peruntukan RM300,000 untuk program Bantuan Bakul Makanan yang diumumkan dalam pengumuman khas Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) pada Isnin lepas oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mula diagihkan di sekitar kawasan Kemaman. "Kelainan di Kemaman, tambahan peruntukan RM100,000 bagi mencukupkan agihan setiap DUN dengan 1,000 barangan menjadikan 4,000 barangan diagihkan secara sama rata bagi mereka yang terjejas dengan pandemik ini," kata Ahli Parlimen Kemamam, Che Alias pada taklimat ringkas kepada pengerusi-pengerusi JPKK DUN Chukai. "Dengan nilaian yang sama serta jenis barangan yang sama, JPKK tidak perlu risau semasa agihan dilakukan kerana ia mengikut senarai yang telah dikeluarkan oleh Pejabat Perdana Menteri," katanya lagi. Beliau berkata, sehingga hari ini tiga DUN sudah selesai diagihkan kepada JPKK dan DUN terakhir akan diselesaikan pada hari Ahad ini. Walaupun sudah diagihkan 4,000 barangan dapur kepada seluruh JPKK di Kemaman, pejabat Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Parlimen Kemaman masih menyediakan barangan keperluan tambahan kepada mereka yang mungkin tidak tersenarai dalam agihan.
10 Jul 21
337
COVID-19 : Terengganu Masih Bertahan, Masyarakat Jangan Leka
COVID-19 : Terengganu Masih Bertahan, Masyarakat Jangan Leka
KUALA TERENGGANU, 10 Julai – Situasi pandemik COVID-19 dari segi tahap kesiapsiagaan katil di hospital dan Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) di negeri ini masih dalam kawalan. Pengarah Kesihatan Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus berkata, jumlah PKRC di Terengganu kini telah berkurang daripada lima kepada tiga pusat iaitu di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Chendering, Kem Wawasan Besut dan Kolej Jururawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah. Kata beliau, pihaknya sentiasa bersedia dari segi kekosongan katil buat pesakit dan golongan kuarantin namun kekal dalam tahap berjaga-jaga untuk kemungkinan peningkatan kes. “Penggunaan katil pada masa kini adalah sebanyak 301 buah dengan 72 untuk wad COVID-19 di hospital dan 229 lagi di beberapa PKRC dalam negeri. “Sementara itu, jumlah keseluruhan katil di tiga PKRC adalah sebanyak 1,513 buah manakala 411 katil disediakan bagi wad COVID-19 di HSNZ dan Hospital Hulu Terengganu,” katanya kepada pemberita ketika ditemubual di Sekolah Kebangsaan Gong Pasir, Sura di sini hari ini. Dalam pada itu, Dr Nor Azimi turut menasihatkan warga Terengganu agar terus mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) dan elakkan daripada melakukan aktiviti ziarah ke rumah-rumah sama ada keluarga atau rakan-rakan. Untuk rekod, berdasarkan laporan dikeluarkan Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT), situasi terkini kes positif virus sehingga 10 julai mencatatkan 50 kes baharu dengan 42 kes daripada adalah kes penularan tempatan.
10 Jul 21
1320