lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Munajat Rakyat Kembali, Penyucian Jiwa Hadapi Musibah
Munajat Rakyat Kembali, Penyucian Jiwa Hadapi Musibah
KUALA TERENGGANU, 15 Julai - Seluruh umat Islam dalam negeri Terengganu khususnya diajak untuk sama-sama menghidup dan menghayati program Munajat Rakyat 6.0 sebagai ikhtiar mengharungi musibah pandemik COVID-19. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah menyeru masyarakat untuk sama-sama beribadat, berselawat dan mengambil ingatan daripada al-Quran dan hadis disampaikan ustaz-ustaz dan tuan guru menerusi program atas talian itu. Menurutnya, acara anjuran Yayasan Islam Terengganu bermula hari ini sehingga esok akan menampilkan selebriti dakwah seperti Ustaz Don Daniyal Don Biyajid dan Ustazah Asma’ Harun. “Saya mengharapkan siapa yang belum pernah mengikuti, harap dapat meluangkan masa berkunjung dan sama-sama mengimarahkan wadah ini, panjangkan juga kepada mereka yang belum pernah mendengarnya. “Jangan lupa dan usah segan, ayuh sama-sama kita hayati dan semoga ia membersihkan hati dan jiwa kita semua,” katanya semasa ucapan perasmian Munajat Rakyat 6.0 di TVDI, pagi tadi. Sementara itu, Mohd Nor turut mengisytiharkan acara Munajat Rakyat pada 9 Zulhijah, juga lebih dikenali sebagai Hari Arafah yang akan digerakkan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT). “Walaupun kita tidak dapat berwukuf di Padang Arafah dan menunaikan haji di Tanah Suci pada tahun ini, namun ia bukan penghalang bagi menadah tangan, bertafakur kepada Allah SWT,” jelasnya. Beliau turut berterima kasih kepada para penaja seperti Syarikat Air Terengganu (SATU), Kumpulan EPIC Berhad, Terengganu Inc dalam memberikan sumbagan saguhati kepada ahli panel, ustaz dan ustazah sebelum ini. “Kerajaan negeri turut mengalukan jika ada mana-mana syarikat bersedia untuk menyampaikan penghargaan kepada para dai yang terlibat dalam pelaksanaan ini,” katanya lagi.  
15 Jul 21
664
Tolong Buat Saringan COVID-19 Jika Terpaksa Rentas Negeri
Tolong Buat Saringan COVID-19 Jika Terpaksa Rentas Negeri
KUALA TERENGGANU, 14 Julai - Kerajaan Terengganu merayu kepada mana-mana individu yang terpaksa merentas negeri atau pulang ke kampung atas urusan tertentu supaya melakukan ujian saringan COVID-19 terlebih dahulu. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak berkata, ia susulan beberapa kluster sebelum ini termasuk yang terbaru iaitu Kluster Gajah Mati, Bukit Besi mempunyai kaitan dengan aktiviti rentas negeri. “Apabila mereka pulang daripada negeri lain terutama kawasan merah ia membawa risiko yang besar kepada kaum keluarga, walaupun pada awalnya individu terbabit tidak bergejala. “Jadi kita harap mereka yang berada di kawasan merah buat masa ini jangan balik lagi, kalau terpaksa balik juga kerana sebab tak dapat dielakkan, pastikan kita sudah mendapat dua suntikan vaksin dan membuat penilaian risiko atau ‘swab test’ untuk pastikan kita bebas sepenuhnya,” katanya. Beliau berkata demikian ketika bersiaran dalam ‘Berita Awok Kite’ di Facebook UPDI hari ini. Menurutnya, sekiranya langkah itu tidak diambil penularan COVID-19 di negeri ini tidak akan berkesudahan. Katanya, peningkatan kes juga boleh menyebakan Terengganu kembali ke fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN). ”Ia akan menyusahkan keluarga kita sendiri, jiran-jiran dan orang berhampiran juga akan terkena tempias. “Ini lah perkara yang sangat membimbangkan kita dan kita boleh lihat kes meningkat ke angka 189 kes hari ini. “Oleh sebab itu, saya sangat merayu agar kita semua mengambil berat tentang perkara ini,” katanya. Untuk rekod, dua lagi kluster baharu di Terengganu direkodkan hari ini iaitu Kluster Kluster Bukit Tok Bat yang juga mepunyai kaitan dengan merentas negeri dan Kluster Murni Perdana.
14 Jul 21
2079
2 Inisiatif Baharu Kebajikan Pelajar Terengganu
2 Inisiatif Baharu Kebajikan Pelajar Terengganu
KUALA TERENGGANU, 14 Julai - Terengganu terus memperkasakan agenda kebajikan kepada rakyatnya dalam mengharungi pandemik dengan memperkenalkan inisiatif baharu dalam Pelan Adaptasi Pandemik Covid-19 Terengganu.  Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak berkata, inisiatif tersebut diusahakan memandangkan pembelajaran secara fizikal di sekolah akan dibuka dalam tempoh terdekat terutamanya kepada para pelajar yang akan menduduki peperiksaan pada tahun ini. "Kerajaan berhasrat untuk memberikan bantuan persekolahan secara tunai kepada golongan yang terjejas sebanyak RM 100 (maksimum untuk dua orang dalam satu keluarga) bagi meringankan beban golongan yang berpendapatan rendah. "Bantuan ini dijangka akan diagihkan melalui Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing bermula bulan Ogos 2021 setelah melepasi fasa ketiga mengikut Pelan Pemulihan Negara. "Bantuan ini melibatkan jumlah keseluruhan yang bernilai RM7 juta yang memfokuskan kepada keluarga daripada kalangan B40 yang berpendapatan kurang daripada RM1,500 sebulan," ujarnya ketika bersiaran dalam segmen 'Berita Awok Kite' di Tv Darul Iman. Selain itu, Terengganu juga akan menyediakan video pendidikan interaktif dan islamik di media sosial kerajaan negeri bagi memastikan pelajar dapat mengikuti sesi pembelajaran di rumah dengan baik. "Kerajaan negeri dengan kerjasama Manis FM, JPINT (Jabatan Pendidikan Islam Negeri Terengganu) dan Rabitah akan mewujudkan video tersebut untuk manfaat para pelajar yang menjalani pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR). "Ini antara usaha kita, supaya para pelajar yang menjalani PdPR dapat meningkatkan ilmu mereka melalui program-program yang akan dirancang," jelasnya.
14 Jul 21
434
Terengganu Kongsi 'Resipi' Bangunkan Sukan Negara
Terengganu Kongsi 'Resipi' Bangunkan Sukan Negara
KUALA TERENGGANU, 14 Julai – Terengganu antara kuasa besar sukan dalam negara telah diberi kepercayaan berkongsi idea dalam merangka Visi Sukan Negara (VSN) 2030 bagi menentukan hala tuju dan perancangan pembangunan sukan. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, apa yang dibincangkan juga adalah selari dengan perancangan jangka panjang Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) melalui Pelan Induk Pembangunan Sukan 10 Tahun bermula 2010. Katanya, sesi libat urus ptersebut berlangsung selama empat jam secara dalam talian dan turut disertai pemegang taruh serta penggiat industri sukan negara. “Enam bidang utama dibincangkan antaranya iaitu pembudayaan sukan, kegemilangan sukan, pembangunan bakat, hab sukan, pemerkasaan industri sukan dan profesionalisme sukan. “Pelan ini sentiasa dikemas kini setiap 10 tahun dan kini memasuki edisi kedua yang menjadi penanda aras program kecemerlangan industry ini melalui pencapaian atlet di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. "Kerajaan Negeri turut merakamkan ucapan penghargaan kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) atas jemputan dan kami optimis dalam usaha dan hasrat VSN 2030 itu berada pada landasan terbaik,” katanya dalam satu kenyataan, baru-baru ini. Sementara itu, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Terengganu (JBST), Mohd Izwandy Ismail berkata, penglibatan dalam VSN bukan sahaja mengiktiraf Terengganu sebagai jaguh malah penggiat sukan berpengalaman di negeri ini. “Kita yakin bahawa melalui gabungan idea dan pendapat di semua peringkat akar umbi, VSN ini akan dapat dirangka dengan sebaik mungkin dalam memastikan ianya berbentuk lebih komprehensif dan kolektif pada masa akan datang. "Malah kita yakin dan percaya dengan nilai pengalaman yang cukup tersendiri selain sudah tiba masanya pengalaman ini akan didokumentasikan melalui pembentukan visi ke arah pembangunan sukan yang lebih mapan pada masa akan datang,” jelasnya. Untuk pengetahuan, VSN 2030 adalah inisiatif baharu yang dilancarkan KBS pada April lalu bagi mendapatkan maklum balas daripada pemegang taruh sukan seluruh negara dalam perancangan pembangunan sukan negara lebih bersepadu bagi tempoh sepuluh tahun akan datang.
14 Jul 21
245
Durian Terengganu Imbang Harga Pasaran
Durian Terengganu Imbang Harga Pasaran
KUALA TERENGGANU, 14 Julai - Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Terengganu menjangkakan musim durian di negeri itu bakal memberi impak kepada harga pasaran durian semasa. Pengarah FAMA Terengganu, Che Ghani Che Wan berkata, pengeluaran hasil durian di Terengganu sehingga September 2021 dianggarkan sebanyak 7,080 metrik tan. "Musim durian telah pun bermula dengan pengeluaran utama di daerah Besut. Mengikut maklumat yang diperolehi, harga ladang di sana masih lagi sekitar RM4 ke RM5 sekilogram. "Jadi, saya rasa penghujung bulan ini atau Ogos nanti, harga akan menurun sedikit berikutan pengeluaran hasil dan bekalan yang lebih banyak," katanya. Jelasnya, dengan harga ladang yang lebih rendah, pihak FAMA akan mengambil langkah-langkah proaktif dengan mengadakan program-program jualan serta agihan bekalan di sekitar negeri Terengganu dan pasaran luar. "Buat masa ini, kita menumpukan pasaran di Terengganu kerana durian-duiran yang dijual dalam negeri ketika ini adalah durian-durian dari luar. "Apabila harga lebih rendah, FAMA akan mengagihkannya ke kawasan-kawasan lain supaya kita boleh mengimbangi harga semasa. "Pandangan saya, durian terengganu ini dikatakan durian organik di mana ketika musim pengeluarannya tidak memakan kos yang tinggi dari segi baja dan sebagainya. Ini membolehkan petani-petani kita menjual dengan harga yang lebih berpatutan," katanya. Bagaimanapun, Che Ghani tidak menjangkakan penurunan harga terlalu drastik akan berlaku. "Mungkin sekitar tiga ke empat ringgit pada harga ladang, manakala sekitar lima ke lapan ringgit pada harga runcit. "Bagi negeri Terengganu, daerah Marang, Kemaman dan Dungun juga banyak hasil durian. Namun,  setakat ini hanya Besut sudah mula keluarkan hasil," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita dalam program agihan MAFI (Kementerian Pertanian & Industri Makanan) Prihatin di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Universiti Teknologi Mara (UiTM) Chendering, hari ini. Dalam program tersebut, FAMA mengagihkan sebahagian hasil pertanian dan produk keluaran industri kecil sederhana (IKS) kepada petugas-petugas barisan hadapan di sana.
14 Jul 21
672
'Boteq' Si Hero Kesayangan Pok Mat
'Boteq' Si Hero Kesayangan Pok Mat
HULU TERENGGANU, 14 Julai - Kekurangan diri tidak menjadi penghalang buat Che Mat Jusoh, 59, mencari rezeki selepas mengalami kemalangan pada 1982 yang menyebabkan beliau patah peha kiri.  Status orang kelainan upaya (OKU) yang kini bergantung harap dengan seekor beruk jantan miliknya untuk membantu menyara keluarga. 'Boteq' membantu Pok Mat sejak beli sembilan tahun lalu, bantu memetik kelapa, selain seekor lagi yang diberi nama 'Putih'.  Che Mat berkata,  kehebatan ‘Boteq’ memetik kira-kira 500 hingga 700 biji kelapa setiap kali bekerja telah banyak membantu pemilik beruk jantan itu sehingga mampu menyara keluarga dan membesar empat anaknya. Katanya lagi, beruk berusia sekitar enam tahun itu akan dibawa memetik kelapa milik penduduk kampung di sekitar Hulu Terengganu. “Kebiasaannya saya mengambil kadar upah 50 sen sebiji dan ada juga penduduk menjual buah kelapa itu kepada saya berdasarkan harga di atas pokok kemudian saya jual sendiri dipasar atau kepada penduduk kampung. “Saya jual kelapa dengan harga RM2.00 sebiji berbanding RM 2.50 harga pasaran biasa dan pendapatan sebulan saya mampu memperoleh RM700 ke RM800,” katanya ketika ditemui  di Kampung Baru Sungai Mali , di sini hari ini. Tambah Pok Mat, beruk ini secara tidak langsung menjadi sumber pendapatan utama untuk membesarkan empat orang anak. “Bagi memastikan beruk sentiasa sihat dan cergas, saya memberi makan nasi, air milo serta air sarsi yang dicampurkan dengan telur mentah. “Selain memetik kelapa, kedua beruk juga diajar mampu melakukan perkara sama pada pelbagai pokok berbuah seperti jering, petai, durian, dan rambutan,” katanya yang juga mendapat bantuan bulanan RM200 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Ditanya mengenai komunikasi antara beliau dengan Boteq semasa proses memetik kelapa, Che Mat berkata mereka menggunakan bahasa khas untuk memberi dan menerima arahan. “Hanya pemilik dan beruk itu sahaja memahami bahasa mereka ketika berkomunikasi dan sesiapa yang mendengarnya pasti tersenyum. “Boteq faham arahan saya seperti naik pokok, ambil buah itu, (bezakan) kelapa muda dan tua, berhenti, ambil lagi, habis serta turun. “Sebelum ini, tanpa bantuan beruk tersebut, adalah sukar untuk memetik buah kelapa kerana ketinggian pokok yang mencecah lebih 50 meter yang tidak mungkin mampu dipanjat oleh sesiapa pun,“ujarnya. Pok Mat juga berkata, harga seekor beruk yang terlatih di kampung kini melambung tinggi sehingga melebihi RM1,500 seekor kerana sukar diperoleh.  
14 Jul 21
883
80 Rak Amal Inisiatif Kongsi Rezeki Di Terengganu
80 Rak Amal Inisiatif Kongsi Rezeki Di Terengganu
KUALA TERENGGANU, 13 Julai - Sebanyak 80 unit rak disasar ditempatkan di beberapa lokasi di seluruh negeri Terengganu bagi membantu golongan asnaf dan mereka yang terkesan dengan pandemik Covid-19 melalui inisiatif Rak Amal Kongsi Rezeki. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, usaha sama Yayasan Amal Malaysia (YAM) dan Majlis Getah Malaysia (MRC) berkenaan berkonsep terbuka di tempat awam dan senang diakses bagi mereka yang benar-benar memerlukan. "Konsepnya mudah bagi mereka yang berhajat untuk menyumbang. Sesiapa yang membeli belah di mana-mana pasaraya atau kedai boleh meletakkan belian sumbangan mereka berbentuk barangan di atas rak tersebut. "Ia bagi membantu mereka yang benar-benar memerlukan. Sasaran kita adalah sebanyak 80 unit rak akan ditempatkan di seluruh Terengganu daripada 1,000 unit rak yang disasar ditempatkan di seluruh negara," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Pelancaran Rak Amal Kongsi Rezeki di Sabasun HyperRuncit Kuala Terengganu, petang tadi. Menurutnya, untuk permulaan sudah ada sebanyak 14 unit rak ditempatkan di beberapa lokasi di negeri itu termasuk di pasaraya dan kedai-kedai runcit terpilih. Hadir sama dalam majlis pelancaran ringkas tersebut, Pengerusi YAM Malaysia, Hussin Ismail, pemilik rangkaian Pasaraya Sabasun Hyperruncit Sdn Bhd, Che Salmi Ibrahim dan Pengarah Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI), Mohd Soud Said. Wan Sukairi yang juga Ahli Jawatankuasa YAM Cawangan Terengganu turut menyumbang sejumlah barangan keperluan asas yang dibelinya untuk rak terbabit. Beliau mengajak rakyat Terengganu serta syarikat-syarikat swasta yang ada agar bersama-sama berkongsi rezeki dengan golongan mereka yang kurang bernasib baik.
13 Jul 21
1245
Roti Kayu Keramat Terengganu 'Sohor' Di Portugal
Roti Kayu Keramat Terengganu 'Sohor' Di Portugal
KUALA TERENGGANU,13 Julai – Mengambil inspirasi dan tunjuk ajar semasa melancong di Terengganu, pasangan Portugal, Cristiana Pires dan Joao Sousa teruja menghasilkan roti kayu keramat untuk dikongsi bersama keluarga di negara eropah itu. Lebih dikenali dengan gelaran ‘Travelgramers’ di media sosial, aksi dan gelagat pembikinan kuih tradisional dalam video berjudul ‘We made it ROTI KERAMAT in Portugal’ di Youtube mendapat jumlah penonton seramai lebih 30 ribu. Menurut Joao, 30 , dia bersama pasangannya mencuba kuih itu di sebuah warung terletak di Kampung Seberang Marang pada November tahun lepas. “Roti Keramat adalah makanan istimewa dari Negeri Terenganu di Malaysia, ini adalah sesuatu yang hanya anda dapati di sana. “Sekarang Cristiana, 28,  bersama ibu saudara saya, Francelina Figueira, 52,  akan cuba menghasilkannya sambil memakai apron batik. “Kami cukup bernasib baik kerana dapat menikmati makanan yang lazat ini hasil daripada Cristiana membelajari cara pembuatannya di Marang,” katanya ketika dihubungi pemberita. Tambahnya lagi, buat masa kini, kita tinggal bersama keluarga di kampung Cabeção dan tidak boleh melancong seperti sebelum pandemik COVID-19. “Jadi ia peluang baik bagi memberi mereka (keluarga) mencubanya sekali,” katanya lagi. Terdahulu, pasangan ‘backpackers’ eropah tersebut turut mencuba resepi ayam masak merah untuk keluarga mereka dan menyiarkan reaksi positif di dalam profil Youtubenya dengan jumlah ‘subscribers’ seramai 45 ribu.
13 Jul 21
3491
Empat Kluster Baharu Muncul Di Terengganu Dalam 48 Jam
Empat Kluster Baharu Muncul Di Terengganu Dalam 48 Jam
KUALA TERENGGANU, 13 Julai – Empat kluster baharu direkodkan di Terengganu dalam tempoh dua hari iaitu pada semalam dan hari ini. Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) dalam satu kenyataan memaklumkan, Kluster Pulau Serai dan Kluster Gajah Mati Bukit Besi merupakan kluster baharu yang dikesan di negeri ini setakat jam 12 tengah hari tadi. Semalam JKNT telah melaporkan Kluster Tanjung Gelam dan Kluster Tok Molor sebagai kluster baharu di Terengganu, dua kluster itu merupakan kluster komuniti. Sementara itu, JKNT berkata, Terengganu merekodkan 93 kes positif hari ini dan Kemaman menjadi penyumbang tertinggi dengan 41 kes, diikuti Marang (18), Dungun dan Kuala Terengganu (12) dan Kuala Nerus (8) dan Besut (2). “Hulu Terengganu dan Setiu tiada sebarang kes,” ujar kenyataan itu.  
13 Jul 21
40601
Penantian Berpuluh Tahun Akan Berakhir
Penantian Berpuluh Tahun Akan Berakhir
KEMAMAN, 13 Julai - Penantian puluhan tahun oleh warga Ranggong Kertih di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kemasik bagi menerima capaian internet yang baik akhirnya bakal direalisasikan. Sebahagian besar warga Pengkalan Ranggong dan Ranggon Estate bakal menerima liputan Internet 4G yang baik selewat-lewatnya Ogos 2021. Kerja-kerja akhir proses percubaan dan penentukuran sedang dijalankan oleh pihak kontraktor dan dijadualkan siap sepenuhnya pada akhir Julai 2021 ini. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasik, Ir Saiful Azmi Suhaili bersama Pengarah Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (MCMC) Terengganu, Mohd Fairus Muhamad dan pihak kontraktor Maxis turun ke tapak pembinaan menara telekomunikasi baharu yang telah siap dibina di Kampung Pengkalan Ranggon Kertih. ADUN Kemasik (kemeja ungu) bersama Pengarah Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (MCMC) Terengganu (kemeja biru gelap) datang melawat ke tapak pencawang baharu di Kampung Pengkalan Ranggong Kertih Namun bagi memastikan capaian 4G sepenuhnya diterima bermula dari Perumahan Damansara Kertih, Bukit Cakul Kertih sehingga ke Kg. Batu Putih Kertih, pihak SKMM dan kontraktor akan membina satu lagi menara komunikasi baharu di Pengkalan Ranggong dan menaik taraf menara di Batu Putih dengan perkakasan 4G. Kawasan yang akan dibina satu lagi pencawang baharu nanti. "Semoga segala halangan dan kesukaran yang berlaku sekian tahun bagi membolehkan anak-anak untuk belajar di rumah serta warga kampung untuk bekerja dari rumah akan selesai tidak lama lagi," kata Ir Saiful. Menurut MCMC, melalui usaha-usaha yang diambil itu, penduduk kini dapat melaksanakan pelbagai aktiviti seharian seperti tujuan pembelajaran, bekerja dari rumah, perhubungan mahupun aktiviti ekonomi dalam talian dengan lancar,” katanya.
13 Jul 21
680