Artikel "Utama" Terkini
Pelajar Cemerlang SPM 2020 Kijal Disantuni
Oleh : Mujahid MK
KEMAMAN, 17 Julai - Seramai 57 orang pelajar cemerlang SPM 2020 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal diraikan dalam satu majlis ringkas oleh Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) DUN Kijal kelmarin.
Pegawai Penyelaras DUN Kijal, Ustaz Hazri Jusoh ketika ditemui mengucapkan syabas dan tahniah kepada mereka yang cemerlang dan teruskan berusaha kepada pelajar yang kurang berjaya.
Ustaz Hazri (kanan) menyantuni pelajar cemerlang.
"Syabas dan tahniah kepada pelajar yang cemerlang dan berjaya mengharumkan nama sekolah dan keluarga.
"Tetapi kepada pelajar yang kurang cemerlang teruskan dan gandakan usaha untuk berjaya pada masa yang akan datang," katanya.
Seorang pelajar yang ditemui, Nur Afiqah Insyirah Husain mengucapkan terima kasih di atas sumbangan dan penghargaan yang dizahirkan oleh pihak DUN.
"Alhamdulillah dan ribuan terima kasih kepada pihak PKM DUN Kijal di atas sumbangan dan penghargaan ini.
"Semoga ia menjadi pembakar semangat untuk saya terus berjaya dan cemerlang pada masa akan datang," ujarnya.
Hazri juga mengucapkan tahniah kepada para pendidik dan pihak pengurusan sekolah yang berusaha dan berkorban masa untuk memastikan kecemerlangan dapat dicapai.
Majlis yang diadakan di Kompleks Paya Lasir, Kijal berjalan dengan penuh kepatuhan prosedur operasi standard (SOP) norma baharu yang turut dihadiri oleh Ketua Balai Polis Kijal Osman Awang, Ahli Majlis Perbandaran Kemaman (Kijal) Zabidin Awang, Abdul Wahab Ahmad dan Ustazah Mesilah Mohammed.
16 Jul 21
544
Terengganu Komited Dengan Agenda Penyatuan Ummah
KUALA TERENGGANU, 16 Julai - Kerajaan komited dengan agenda penyatuan ummah kerana ia mampu menjadikan Terengganu sebagai sebuah negeri yang maju, berkat dan sejahtera.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, kesatuan dalam kalangan rakyat Terengganu yang hidup saling berkasih sayang, hormat menghormati dan bantu membantu bakal menyumbang ke arah itu.
“Bagi menjayakan agenda Penyatuan Ummah dan atas dasar keadilan bantuan kebajikan kerajaan negeri kepada seluruh rakyat yang memerlukan disalurkan melalui agensi kerajaan seperti Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), Pejabat Daerah dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tanpa mengira kumpulan atau fahaman politik kepartian.
“Kerajaan juga sentiasa bersifat telus dan sentiasa berusaha supaya amalan tadbir urus kerajaan negeri dibina atas asas kemahiran, kecekapan dan integriti, dengan penglibatan semua pihak yang layak dalam pentadbiran kerajaan tanpa pilih kasih serta tidak mengira latar belakang parti politik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas mengenai Muafakat Nasional (MN) di Terengganu, Mohd Nor berkata, kerajaan negeri memahami bahawa MN merupakan salah satu agenda Penyatuan Ummah dan ia diwujudkan setelah terbentuk serta berjalannya kerajaan negeri.
“Setelah PAS mendapat mandat daripada rakyat PRU14 lepas. Oleh itu, pembentukan kerajaan dan penyusunan pentadbirannya yang berlaku ketika itu adalah selaras dengan mandat rakyat pada ketika itu.
“Walaupun demikian, agenda MN merupakan agenda masa depan, ini perlu diteruskan bagi membina penyatuan ummah dan mengembalikan kekuatan politiknya demi negara dan juga negeri. Bahkan pembentukan PN merupakan agenda memperluaskan dan pengukuhan penyatuan ummah,” jelasnya.
Tegas Mohd Nor lagi, sewajarnya rakyat bergembira dan semua pihak bersama dalam usaha penyatuan ini dengan hati yang lapang demi masa depan ummah.
“Jangan dilayan, malah perlu diabaikan sikap-sikap negatif yang menghalang usaha murni dan boleh mencetuskan perpecahan dalam kalangan masyarakat Islam.
"Usaha penyatuan ini memerlukan pengorbanan besar, keikhlasan dan kesediaan daripada semua pihak untuk mengharungi rintangan berbagai-bagai dalam menjayakan misi besar untuk kepentingan negeri, negara, ummah dan rakyat,” tambahnya.
16 Jul 21
355
PM Terus Komited Bantu Rakyat
PUTRAJAYA, 16 Julai - Kerajaan Malaysia terus komited membantu rakyat dan meringankan beban orang ramai yang terkesan dengan pandemik Covid-19 dengan melaksanakan Bakul Prihatin Negara.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ia dijayakan dengan kerjasama sektor korporat yang sehingga kini telah menghimpunkan jumlah sumbangan sebanyak 21 juta sebagai dana permulaan yang memberi manfaat kepada 1.68 juta rakyat di seluruh negara.
"Terima kasih saya ucapkan kepada Yayasan Petronas atas sumbangan sebanyak RM 5 juta, AEON (RM 4 juta), Pharmaniaga (RM 3 juta), serta Tenaga nasional Berhad dan Telekom Malaysia masing-masing menyumbang RM2 Juta.
"Sebagai komitmen di pihak kerajaan pejabat saya juga menyumbang sebanyak RM5 juta. Saya berharap lebih banyak syarikat korporat akan tampil memberi sokongan selepas ini, agar lebih ramai yang memerlukan dapat dibantu," ujarnya.
Beliau berkata demikian selepas meninjau Pusat Penyimpanan dan agihan Bakul Prihatin Negara di Kompleks kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) di Putrajaya, baru-baru ini.
Katanya, rakyat Malaysia yang ingin mendapatkan bantuan berkenaan boleh menghubungi talian kasih di 15999, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) daerah di seluruh negara atau whatsapp ke talian 019-2615999.
"Permohonan juga boleh dibuat terus melalui Media Sosial Rasmi (Facebook/ Twitter/ Instagram KPWKM). Maklumat lanjut seperti Soalan Lazim (FAQ), borang dan carta alir permohonan serta nombor telefon Bilik Gerakan JKM boleh diperolehi dengan melayari sesawang HTTP://www.jkm.gov.my," jelasnya.
Ujar Perdana Menteri lagi, Sukarelawan Skuad Prihatin Negara di bawah kendalian JKM telah bersedia untuk memudahkan proses menghantar bantuan kepada pemohon sebaik sahaja program berkenaan diaktifkan bermula Isnin depan.
Sementara itu, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat, Datuk Siti Zailah Mohd Yusof berkata, bantuan berkenaan adalah menyeluruh kepada masyarakat yang sedang menghadapi situasi ekonomi terjejas tidak hanya memberi tumpuan kepada golongan B40.
"Semoga dengan kerjasama antara kerajaan dan syarikat korporat yang terbentuk ini menjadi contoh terbaik berkonsepkan 'whole of society' kepada seluruh masyarakat untuk terus cakna dan prihatin bagi saling bantu membantu diantara satu sama lain," ujarnya.
16 Jul 21
184
Vaksin Kurangkan Risiko Jangkitan Dan Gejala
KUALA TERENGGANU, 16 Julai - Vaksin Covid-19 diyakini mampu mengurangkan risiko jangkitan dan gejala teruk akibat virus tersebut.
Namun menurut Pakar Perubatan Keluarga, Dr Suhazeli Abdullah, mana-mana indidvidu yang sudah melengkapkan pengambilan dua dos vaksin tidak wajar menganggap diri masing-masing kebal atau ada jaminan untuk tidak dijangkiti pandemik itu
Katanya, golongan berkenaan sebaliknya perlu kekal mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) ketat selagi negara masih berdepan dengan pandemik Covid-19.
"Vaksin bukanlah 'freedom passport' atau ubat, sebaliknya bertindak untuk menguatkan tahap antibodi dan daya ketahanan badan manusia.
“Penerima vaksin masih boleh dijangkiti, namun kebarangkalian untuk mendapat gejala teruk dan memerlukan rawatan adalah rendah berbanding individu yang tidak menerima vaksin,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Program Munajat Rakyat Terengganu Darul Iman 6.0, Forum Forum Perdana Covid-19 : Tanggungjawab Bersama yang disiar secara langsung melalui TV Darul Iman, malam tadi.
Turut bersama dalam program terbabit, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan, dan Alam Sekitar, Dr Alias Razak dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Wanita, Zuraida Md Noor
Dr Suhazeli turut memberitahu, masyarakat hari ini perlu terus kekal mengamalkan SOP ketat, bukan bertindak sambil lewa disebabkan lali dalam normal baharu.
“Apatah lagi sekarang ini, negara berdepan dengan kehadiran varian baharu iaitu Delta dan Beta disifatkan sebagai varian yang cukup membimbangkan dan perlu diberi perhatian yang serius.
“Varian-varian baharu virus itu menjangkiti dalam tempoh beberapa saat dalam jumlah yang ramai dan mengakibatkan kes kematian yang tinggi,” katanya.
15 Jul 21
183
DUN Terengganu Bersidang 13 September
KUALA TERENGGANU, 15 Julai - Kerajaan negeri hari ini memaklumkan bahawa persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu akan diadakan pada 13 hingga 15 September depan.
Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata perkara itu disahkan selepas Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin memberi perkenan pembukaan sidang DUN Terengganu pada tarikh terbabit.
“Makluman akan dihantar kepada semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) selepas ini.
“Insya-Allah ia akan berlangsung dengan prosedur operasi standard (SOP) yang akan ditentukan dan mendapat kelulusan pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” ujar beliau ketika dihubungi UPDI hari ini.
Untuk rekod, beberapa negeri sudah mengesahkan tarikh persidangan DUN masing-masing pada Ogos hingga September depan antaranya Selangor, Johor dan Perak.
15 Jul 21
996
Terengganu Tambah 100 Peratus Elaun Atlet SUKMA
KUALA NERUS, 15 Julai - Kerajaan negeri melalui Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) bersetuju untuk menaikkan elaun atlet prospek emas bagi Sukan Malaysia (SUKMA) yang berumur 22 dan 23 tahun, pada tahun depan.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah memaklumkan, keputusan itu sebagai tambahan persediaan menghadapi yang berlangsung di Johor nanti.
"Kita akan beri elaun sebanyak RM1,200 sehingga maksimum RM1,500 berbanding RM650 yang diberikan pada masa ini.
"Imbuhan ini diberikan kepada 34 orang penerima melibatkan peruntukan hampir 300,000 bagi tempoh selama 15 bulan ini," katanya ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan Bakul Prihatin MSNT di pejabat badan sukan itu, hari ini.
Jelasnya, imbuhan tersebut diberikan bagi membantu atlet lebih umur berikutan penundaan SUKMA akibat pandemik Covid-19 sejak tahun lalu.
Tambah Wan Sukairi, sepanjang menjalani PKP 3.0 yang ditetapkan, MSNT tidak pernah mengabaikan kebajikan para atlet dan jurulatih.
"Justeru, elaun yang telah ditetapkan diteruskan dan dibayar seperti biasa. Ini komitmen padu kita kepada jurulatih dan atlet yang bersedia untuk membawa nama negeri kita pada temasya sukan nanti.
"Saya berharap, para atlet dan semua yang terlibat menjaga kesihatan serta mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan teruskan tekad bagi mengekalkan penguasaan Terengganu dalam SUKMA," katanya.
15 Jul 21
638
Presiden PAS Dibenar Keluar IJN, Berkuliah Dhuha Esok
MARANG, 15 Julai - Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang sudah dibenarkan keluar dari Institut Jantung Negara (IJN) hari ini setelah pulih daripada masalah kesihatan.
Anak beliau, Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, ayahnya selamat tiba di rumah di Rusila dan akan berkuliah Dhuha secara atas talian seperti biasa pagi esok.
“Alhamdulillah, untuk makluman semua ayahanda saya, Abdul Hadi Awang telah dibenarkan keluar dari IJN dan selamat tiba di rumah hari ini.
“Beliau sekarang dalam keadaan yang cukup sihat dan insya-Allah esok akan berkuliah Dhuha seperti biasa,” katanya ketika dihubungi UPDI hari ini.
Tambah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk itu, beliau dan keluarga mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang sentiasa mendoakan kesihatan ayahnya.
“Semoga Allah memberkati kebaikan semua,” ujarnya.
15 Jul 21
1447
Pertemuan Keluarga, Kenduri Senyap-Senyap Punca COVID-19 Meningkat
MARANG, 15 Julai - Sikap segelintir individu yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) dengan mengadakan pertemuan keluarga dan kenduri secara senyap-senyap menjadi salah satu punca peningkatan kes Covid-19 di Terengganu.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT), Dr Nor Azimi Yunus berkata, beliau semakin bimbang pelanggaran SOP itu akan meningkat menjelang sambutan Hari Raya Aidiladha pada minggu hadapan.
Sehubungan itu, katanya, beliau memohon orang ramai mematuhi SOP ketika melakukan ibadah korban nanti bagi mengelak tercetusnya kluster baharu.
“Minggu depan Hari Raya Haji, risau juga kerana kita tahu akan ada melakukan rentas negeri dan daerah (dengan kelulusan) dan mungkin ada yang membawa virus bersama, lebih-lebih lagi mereka yang datang dari negeri situasi covidnya sangat mencabar.
“Memang kita sudah sediakan SOP lakukan korban tapi kita bimbang pertemuan keluarga dan ada yang buat makan-makan secara senyap-senyap boleh sebabkan kluster baharu timbul selepas raya seperti Hari Raya Aidilfitri baru baru ini.
“Jadi harapan kami, boleh adakan korban tapi masih dalam ruang lingkup SOP yang telah ditetapkan. Kita kena jaga Terengganu apatah lagi kita sudah berjaya kawal situasi Covid-19 dengan baik sebelum ini, itu semua tugas kita bersama,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas hadir ke Jelajah Suntikan Vaksin Covid-19 di Pulau Siri Pertama di Pulau Kapas, di sini pada Khamis.
Hadir sama Pegawai Daerah Marang, Lizan Che Mat.
Mengulas tentang peningkatan kes jangkitan COVID-19 di Terengganu daripada dua digit kepada tiga digit, Dr Nor Azimi berkata, ia dijangka akan terus meningkat dalam tempoh terdekat.
"Bilangan kes akan meningkat dalam tempoh beberapa hari akan datang kerana saringan besar-besaran dilakukan berikutan empat kluster baharu yang melibatkan daerah Marang, Dungun, Setiu, Hulu Terengganu dan Besut.
“Punca utama berlakunya kluster besar serentak kerana adanya aktiviti berhimpun anak beranak. Memang tiada kenduri kerana ia tidak dibenarkan tapi pertemuan rumah ke rumah ahli keluarga masih berlaku dan menyebabkan ia merebak dengan pantas," jelasnya lagi.
Tambah beliau, saringan bersasar secara besar-besaran diharapkan dapat mengawal kluster-kluster tersebut dengan pantas.
Semalam, sebanyak 189 kes positif Covid-19 direkodkan di Terengganu pada Rabu dengan satu kematian.
15 Jul 21
6461
Kerajaan Pertimbang Longgar Pergerakan Penerima Lengkap Dua Dos Vaksin
PUTRAJAYA, 15 Julai - Kerajaan sedang mempertimbangkan untuk memberi kelonggaran pergerakan kepada individu yang melengkapkan dua dos vaksinasi COVID-19.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata langkah itu bagi membolehkan kehidupan rakyat kembali seperti biasa secara berperingkat ketika kerajaan menguruskan pandemik itu.
Sehubungan itu, beliau telah meminta Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) untuk menilai semula kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) kepada individu yang lengkap dua dos suntikan vaksin.
"Mutakhir sekali saya minta jawatankuasa pengurusan untuk menilai semula bagi mereka yang mendapat dua suntikan vaksin supaya diberi kelonggaran.
"Ia sama ada dari segi perjalanan atau pun pergi ke kedai dan makan di restoran. Ini petanda untuk menunjukkan sementara kita menguruskan COVID-19, maka kehidupan rakyat sedikit demi sedikit akan kembali seperti masa lepas," katanya.
Perdana Menteri berkata demikian dalam sidang media selepas meninjau persiapan program Bakul Prihatin Negara di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata pertimbangan kelonggaran pergerakan itu adalah satu inisiatif untuk terus bergerak ke hadapan sewaktu pandemik.
Beliau turut meminta masyarakat bersabar kerana jangka masa Pelan Pemulihan Negara (PPN) hanya sehingga akhir tahun ini.
"Jangan kata kerajaan tak bagi tumpuan, jangan sesekali percaya dengan kempen kerajaan gagal.
"Tetapi yakinlah dengan kerjasama pimpinan dalam kerajaan, swasta, rakyat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kita boleh menang dalam menghadapi peperangan ini," katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Muhyiddin berkata, antara fokus program vaksinasi yang kini sudah mencapai lebih 400,000 suntikan sehari ialah di kawasan Greater Klang Valley.
Katanya, ia meliputi Selangor, Kuala Lumpur, sebahagian Pahang, selatan Perak dan utara Negeri Sembilan yang menunjukkan kes jangkitan masih tinggi.
"Saya percaya dengan langkah tumpuan khusus untuk kawasan ini, maka kes COVID-19 dapat kita uruskan dengan baik.
"Yang juga agak baik ialah kerana vaksinasi mengikut jadual dan kita harap dalam tempoh bulan ini atau bulan depan, pembekalan vaksin akan meningkat dan bertambah.
"Jadual (sasaran imuniti kelompok) yang kita unjurkan dalam PPN iaitu sebelum akhir tahun, insya-Allah (dicapai)," katanya. - Berita Harian.
15 Jul 21
628
JKNT Sasar 10,000 Penduduk Pulau Terima Vaksin
MARANG, 15 Julai - Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) menyasarkan hampir 10,000 penduduk dan pemain industri pelancongan di pulau-pulau utama di negeri ini menerima suntikan lengkap dua dos selewat-lewatnya akhir Oktober tahun ini.
Pengarah Kesihatan negeri, Dr Nor Azimi Yunus berkata melibatkan Pulau Kapas, Pulau Redang, Pulau Perhentian, Pulau Tenggol dan Tasik Kenyir.
"Ia merupakan satu strategi untuk beri suntikan kepada mereka yang berada di pulau-pulau utama termasuk Tasik Kenyir di Terengganu untuk kita capai sasaran 80 peratus imuniti kelompok.
"Kita berharap setiap daerah yang terlibat akan memberikan data yang lengkap untuk pihak kami bertindak secepat mungkin bagi memastikan penduduk dan pemain industri pelancongan menerima suntikan lengkap vaksinasi COVID-19," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita di Program Outreach Suntikan Vaksin Covid-19 di Pulau Kapas, hari ini.
Sementara itu, seramai 60 pengusaha resort dan pemandu bot termasuk 14 warga asing di Pulau Kapas menerima suntikan dos pertama vaksinasi bagi siri pertama program jelajah ke pulau-pulau.
Mengulas tentang penggunaan jenis vaksin yang akan diberikan kepada penduduk pulau yang terliba, Nor Azimi berkata, ia bergantung kepada bekalan vaksin yang ada.
Bagi wakil pengusaha bot, Zakaria Sulong, 60, dia menyambut baik program yang dilaksanakan oleh Jabatan Kesihatan kerana tidak perlu ke tanah besar untuk mendapatkan suntikan vaksinasi.
15 Jul 21
307