Artikel "Utama" Terkini
KETENGAH Sasar 70,000 Penduduk Terima Vaksin Akhir Ogos
DUNGUN, 18 Julai - Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) menyasarkan 70,000 penduduk yang layak berdaftar bagi suntikan vaksinasi COVID-19 di wilayah tersebut menerima suntikan lengkap pada akhir Ogos ini.
Pengerusi Ketengah, Datuk Razali Idris berkata, sehingga 11 Julai 2021, seramai 51953 orang penduduk telah berjaya didaftarkan dan daripada jumlah tersebut, seramai 10,700 telah menerima vaksin di lapan Pusat Penerimaan Vaksin (PPV) Outreach yang dilaksanakan.
“Saya yakin dapat mencapai sasaran tersebut menerusi Program Outreach Vaksinasi Covid-19 yang dilaksanakan Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu dengan kerjasama pihaknya di tiga wilayahnya iaitu Dungun, Kemaman dan Hulu Terengganu," katanya ketika ditemui pemberita selepas meninjau PPV Outreach di Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Besi, di sini, semalam.
Menurutnya lagi, proses vaksinasi di kawasan wilayah Ketengah perlu disegerakan sebelum musim tengkujuh memandangkan lebih 60 peratus kawasan di wilayah tersebut akan dilanda banjir setiap tahun.
"Bila dah masuk musim tengkujuh, proses untuk vaksinasi akan sukar kerana kita perlu bawa penduduk ke PPV dan susah untuk kita masuk ke kawasan pedalaman," katanya.
Tambah Razali, pihaknya juga mencadangkan Balai Orang Ramai di Bandar Al Muktafi Billah Shah dijadikan sebagai PPV tetap untuk dilaksanakan program suntikan vaksin secara harian.
"Kita sedia bekerjasama untuk memberikan peralatan dan kelengkapan, dan Kementerian Kesihatan hanya perlu menyediakan petugas serta bekalan vaksin sahaja," katanya.
18 Jul 21
107
Bekalan Bahan Mentah Mencukupi Dan Terkawal
HULU TERENGGANU, 18 Julai - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memberi jaminan bekalan barangan mentah mencukupi menjelang sambutan hari raya korban tidak lama lagi.
Timbalan Menterinya, Dato' Rosol Wahid berkata, masyarakat tidak perlu khuatir mengenai kekurangan barangan tersebut kerana ia mencukupi dan terkawal.
Katanya, pemantauan dan penguatkuasaan berterusan akan dilakukan bagi memastikan tiada berlaku sebarang kenaikan harga mendadak yang akan menekan pengguna.
"Kita memberi jaminan bekalan barangan makanan mencukupi pada musim perayaan ini dan pengguna tidak perlu risau.
"Jadi kita tidak akan tunggu, sebaik sahaja terima sebarang aduan berhubung sebarang isu, pemantauan, kawalan serta penguatkuasaan akan terus dilakukan segera,"katanya ketika ditemui pemberita selepas melakukan tinjauan ke Program Outreach Vaksinasi di PPV Masjid Peradong Manir.
Jelasnya lagi, orang ramai tidak perlu bimbang tentang ketidakcukupan barangan keperluan harian sepanjang tempoh sekatan perjalanan menyeluruh dan serta tidak perlu mencipta situasi pembelian panik.
Tambah beliau, pihak pemborong dan pembekal telah diminta menambah stok masing-masing untuk menampung pembekalan di musim perayaan.
Dalam pada itu, Rosol berkata, kerajaan kini mengenal pasti isu kenaikan harga telur di pasaran yang dimaklumkan berlaku sejak beberapa hari lalu.
Tambahnya, harga telur ayam pelbagai gred mencatatkan kenaikan harga lebih tiga peratus menjelang Hari Raya Aidiladha pada 20 Julai ini berikutan banyak ladang ternakan tidak beroperasi ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Hasil siasatan awal mendapati kenaikan itu dikatakan berpunca daripada pengurangan telur diperingkat pengeluaran.
"Kami lakukan siasatan menerusi Akta Pencatutan. Kalau naik kerana mencatut atau mengambil keuntungan berlebihan, tindakan akan diambil," ujar Rosol.
18 Jul 21
465
Kadar Kebolehjangkitan COVID-19 Terengganu Paling Tinggi
KUALA LUMPUR, 18 Julai - Kadar kebolehjangkitan COVID-19 atau R-naught di Terengganu adalah tertinggi dengan 1.31, diikuti Putrajaya, Kedah, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan.
Bagaimanapun Malaysia mencatat penurunan untuk hari kedua berturut-turut.
Pada Sabtu, ia susut ke 1.18 berbanding 1.19, hari sebelumnya.
Ia menyaksikan lima negeri terbabit mencatatkan kadar kebolehjangkitan melebihi purata kebangsaan.
Lapan negeri lain catat kadar antara 1.18 ke 1.10.
Sarawak dan Labuan catat kadar di bawah 1.0, sementara Perlis rekodkan satu kes baharu.
Kadar kebolehjangkitan terendah yang pernah direkodkan tahun ini ialah 0.81 pada 3 Mac lalu.
Manakala yang tertinggi dicatatkan ialah 1.21 pada 23 Mei.
Nilai R-naught merujuk kepada tahap kebolehjangkitan sesuatu virus, iaitu berapa ramai individu yang boleh dijangkiti oleh satu kes positif.
18 Jul 21
3036
Piza Dapur Kayu Ulicafe Laris
KUALA TERENGGANU, 18 Julai - Lazimnya sajian dapur kayu diguna pakai mereka yang tinggal di kawasan pedalaman, tetapi pemilik Ulicafe, Che Ku Nasir Ku Maidin, 40, yang mengusahakan piza mencipta kelainan apabila turut menggunakan kaedah itu di tengah-tengah pusat bandar.
Keberanian Che Ku Nasir yang mempromosikan sajian Itali sejak Februari lalu nyata membuahkan hasil apabila mampu menjual 100 piza sehari walaupun dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Katanya, dia tidak menyangka produk piza dapur kayu mendapat sambutan menggalakkan walaupun tidak sampai setahun beroperasi.
"Mungkin keunikan aroma yang dimasak menggunakan ketuhar tanah liat dan kayu kebun seperti rambai serta rambutan menjadikan ia sedikit berbeza,” katanya yang mengusahakan restoren itu bersama kembarnya, Che Ku Basir.
Che Ku Nasir berkata, sepanjang tempoh penguatkuasaan PKP kali ini beliau hanya menyediakan piza berdasarkan tempahan awal iaitu sehari sebelum dan 20 peratus lagi tempahan bagi pelanggan yang datang secara ‘walk in’.
“Setakat ini kita hanya sediakan kaedah bawa pulang (take away) memandangkan masih berada dalam tempoh PKP. Pelanggan juga diminta menempah lebih awal bagi mengelak sebarang kesulitan.
“Kita turut menyediakan perkhidmatan bayaran semasa penghantaran (COD) khusus bagi pelanggan di kawasan bandar Kuala Terengganu sahaja buat masa ini,” katanya ketika ditemui di premisnya, di Jalan Dato’ Isaacs, di sini, baru-baru ini.
Menurutnya, buat masa ini terdapat empat hidangan piza disediakan iaitu pepperoni ayam, pepperoni daging, daging salai dan uli chicken.
"Ditawarkan harga yang berpatutan iaitu bersaiz kecil atau M berharga RM21 dan sederhana (saiz L) pula RM25 sahaja.
"Dibuka bermula jam 1 petang hingga 9 malam, " katanya.
17 Jul 21
956
10 Menara Telekomunikasi Sedang Dinaik Taraf
DUNGUN, 17 Julai - Sebanyak 10 menara sedia ada sedang dinaik taraf di beberapa kawasan di daerah Dungun melalui Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA).
Dalam satu kenyataan, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memaklumkan ia dilaksanakan bagi meningkatkan kualiti capaian internet.
Ujar kenyataan itu, antara kawasan terlibat di sepanjang jajaran laluan Kampung Minda sehingga ke Pasir Raja di bawah Mukim Jengai dan Mukim Pasir Raja.
“Ini termasuk Kampung Minda, Kampung Talong, Kampung Rantau Panjang, Kampung Kuala Jengai, Kampung Jongkok Batu, Kampung Shukor serta Kampung Pasir Raja.
“Pada 10 Julai lalu, MCMC dengan wakil KETENGAH telah bertemu dengan penduduk sekitar bagi mendapatkan maklum balas berkaitan dengan kualiti liputan selain meninjau infrastruktur di kawasan berkenaan.
“Sehingga kini, satu pembekal perkhidmatan sahaja telah selesai menaik taraf menara yang sedia ada dan dapat memberikan perkhidmatan liputan 4G di kawasan tersebut,” jelas MCMC.
Ujar kenyataan itu lagi, kerja-kerja naik taraf menara-menara dijangka siap secara berperingkat bermula November 2021 sehingga Februari 2022 dan bakal memberi manfaat kepada lebih 3,000 penduduk di kawasan itu.
MCMC turut menyarankan agar penduduk memanfaatkan perkhidmatan jalinan gentian optik (UNIFI) yang telah dilengkapi di sepanjang jajaran tersebut, dengan melanggan pakej bersesuaian.
17 Jul 21
524
'Jangan Biar Sejarah Aidilfitri Berulang Kembali'
KUALA TERENGGANU, 17 Julai - "Tak perlu tuding jari salahkan sesiapa. Kalau kita masih berkeras nak rentas negeri hanya untuk berhari raya dan akhirnya kita merupakan indeks atau punca kepada kluster baru, adakah kita masih nak salahkan orang lain atau salahkan pihak lain," ujar Pengarah Kesihatan negeri, Dr Nor Azimi Yunus.
Menurutnya, beliau berharap orang ramai menangguh seketika keinginan untuk pulang atau melakukan rentas negeri di saat varian baru Delta sudah dikesan di seluruh Malaysia termasuk di Terengganu.
"Kekuatan jangkitan sangat luar biasa.Walaupun ada yang mempunyai pertahanan diri yang kuat tapi jangan lupa ada kumpulan yang perlu dilindungi seperti warga emas dan kanak-kanak kecil yang mungkin akan mendapat komplikasi serius.
"Sungguh hati kalian tidak berbekas dengan angka kes harian atau angka kematian yang meningkat setiap hari.
"Tidak serik kah kalian dengan sejarah musim Aidilfitri yang lalu. Dipesan-pesan untuk tangguh rentas negeri bagi mengelakkan penularan lagi besar. Tapi tidak berkesan...kerasnya hati kalian dan akhirnya kes mencanak naik," rintihnya.
Beliau berkata demikian di laman facebook rasminya setelah melihat situasi terkini apabila orang ramai berduyun duyun disyaki merentas negeri pulang ke kampung sempena sambutan Aidiladha selasa ini.
Kata Dr Nor Azimi lagi, mereka sanggup rentas negeri keluar dari kawasan wabak dan masuk kawasan kurang wabak dan membawa virus bersama untuk disebarkan di kawasan baru.
Tambah beliau lagi, jika dahulu Terengganu berjaya kekalkan angka harian hanya dua digit selama tiga minggu tetapi ia musnah angkara lapan kluster baharu dikesan dalam masa dua minggu sahaja.
"Semuanya gara-gara rentas negeri dan akhirnya bilangan kes baru meningkat. Ada kluster telah menular ke beberapa daerah. Kalian fikir kami tidak terkesan dengan situasi begini?
"Kesalnya kami dan hati kami bagai disiat siat melihat perkara itu masih berlaku," ujarnya.
Justeru itu, Nor Azimi menggesa orang ramai untuk berfikir dan bertindak bijak untuk sama-sama lindungi diri sendiri dan juga orang lain dan biarkan 'nasi sudah menjadi bubur' bila ada ahli keluarga menjadi korban COVID 19.
17 Jul 21
478
Sarapan Pagi Percuma Untuk Penduduk Memerlukan
KUALA TERENGGANU, 17 Julai - Surau Jalan Tekukur dengan kerjasama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Jalan Tekukur mengambil inisiatif menyediakan sarapan pagi percuma kepada masyarakat yang memerlukan pada setiap pagi Jumaat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Dato' Tengku Hassan Tengku Omar berkata, pihaknya sangat teruja dengan usaha baik JPKK dan berharap agar ia dapat meringankan sedikit beban mereka yang terkesan ekoran pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara Fasa 2.
"Orang ramai yang memerlukan boleh ambil untuk keluarga, maknanya tidak perlu risaulah setiap hari Jumaat untuk makan pagi," katanya yang ditemui di Surau Jalan Tekukur hari ini.
Turut bersama meninjau program tersebut ialah Pengerusi surau berkenaan, Shahrom Dayat dan Pengerusi JPKK Jalan Tekukur, Ahmad Fakrulazizi Abu Bakar.
Sementara itu, Ahmad Fakrulazizi memberitahu program tersebut diadakan sejak bermulanya PKP 3.0 dan sehingga kini telah masuk enam kali program seumpama itu dilaksanakan.
"Setiap pagi Jumaat, kami sediakan sarapan pagi percuma, bermacam-macam menu disediakan seperti nasi lemak, laksa, dan mee goreng, jadi hari ini, laksa kuah putih yang kita tempah daripada pembekal di komuniti ini juga.
"Biasanya kita bermula pukul 8.00 pagi dan pukul 8.30 pagi, semuanya sudah habis.
"Sesiapa yang ingin menyumbang, boleh menyumbang dalam bentuk kewangan, dari situ kita guna untuk membeli makanan tersebut," katanya.
17 Jul 21
487
'Jangan Rentas Masuk Terengganu Tanpa Alasan Kukuh' - Polis
KUALA TERENGGANU, 17 Julai - Polis Diraja Malaysia (PDRM) Terengganu memberi ingatan kepada mana-mana individu agar tidak cuba merentas masuk ke negeri itu tanpa alasan kukuh menjelang sambutan Aidiladha.
Ketua Polis Terengganu, Dato' Rohaimi Md. Isa berkata, pihaknya akan membuat pemeriksaan yang lebih teliti ke atas semua jenis kenderaan memasuki negeri itu terutama di pintu masuk di Lebuhraya Pantai Timur (LPT) 2.
Menurutnya, PDRM Bukit Aman telah mengeluarkan arahan agar meningkatkan pengawasan terutama sempena perayaan tersebut.
"Kita tidak ada penambahan sekatan jalan raya (SJR), tetapi ingin saya ingatkan jangan cuba-cuba untuk merentas negeri atau daerah tanpa alasan yang kukuh.
"Hasil tinjauan kami di LPT 2 di Perasing mendapati aliran trafik masih terkawal walaupun pada hari hujung minggu," jelasnya ketika dihubungi pada hari ini.
Terdahulu, Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM) memaklumkan berlaku kesesakan di Plaza Tol Gombak setakat pukul 1.48 tengah hari tadi.
LLM melalui Facebooknya berkata, kesesakan berkenaan berlaku sebelum masuk Plaza Tol Gombak ke arah barat menghala ke Kuala Lumpur.
Kesesakan trafik itu turut dikesan seawal pukul 10.12 pagi tadi.
17 Jul 21
5720
RM5 Juta Setahun Tambah Baik Program Subsidi Tepung Gandum
HULU TERENGGANU, 17 Julai - Kerajaan pusat memperuntukan RM5 juta setahun bagi melaksanakan penambahbaikan program subsidi tepung gandum kegunaan am bermula Julai tahun ini.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Dato' Rosol Wahid berkata tepung gandum itu akan difortifikasi dengan Zat Besi dan Asid Folik sebagai salah satu intervensi kesihatan awam bagi menangani masalah kekurangan asid folik dan zat besi di kalangan rakyat Malaysia.
"Penambahbaikan mutu tepung ini baik untuk kesihatan jadi atas kesedaran tersebut dan atas persetujuan Perdana Menteri yang prihatin dengan dana MOF, kita akan beri produk yang sama bagi semua golongan.
"Harga tak berubah walaupun telah difortifikasikan iaitu tambahan zat besi dan asid folik iaitu RM1.35 sen sekilogram. Kalau ada yang naikkan harga, boleh lapor kepada pihak kami,"ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program lawatan Outreach PPV Masjid Peradong, Manir, hari ini.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manir, Hilmi Dato' Harun.
Dalam program terbabit, Rosol turut menyerahkan lima unit kerusi roda dan dua unit router wifi kepada PPV Masjid Peradong untuk kegunaan ramai.
Tambah beliau lagi, pelaksanaan penambahbaikan itu membabitkan kos tambahan ditanggung kerajaan sebanyak 5 sen bagi setiap kilogram tepung gandum atau kira-kira RM5 juta setahun di bawah Program Subsidi Tepung Gandum Kegunaan Am (PSTG).
17 Jul 21
118
Azreen, Zulkhairie Terima Insentif RM30,000
KUALA NERUS, 16 Julai- Sebagai sokongan kepada ratu pecut Terengganu, Azreen Nabila Alias dan jaguh berbasikal Paralimpik, Zulkhairie Tarmizi yang layak ke temasya sukan Olimpik di Tokyo, kerajaan negeri bersetuju menyampaikan insentif kepada kedua-dua atlet kelahiran Terengganu itu.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, kerajaan negeri menyampaikan insentif tunai berjumlah RM30,000 sebagai membantu persiapan mereka menghadapi temasya itu.
"Sebelum ini, kerajaan negeri telah anugerahkan kepada Azizulhasni Awang dan Khairul Anuar Mohamad, iaitu sebanyak RM100,000 setiap seorang di atas kelayakan secara merit mereka ke Olimpik.
"Oleh itu, kerajaan negeri memutuskan untuk menyampaikan juga insentif kepada Azreen dan Zulkhairie.
"Walaupun tak sebanyak yang diterima dua atlet elit kita, insentif ini dizahirkan sebagai sokongan padu kepada atlet-atlet Terengganu yang layak ke sana dan bakal mengharumkan nama negara di sana," katanya.
Beliau berkata demikian sewaktu menyampaikan ucapan dalam Majlis Amanat Negeri kepada keempat-empat atlet tersebut secara maya di platform Facebook Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), hari ini.
Tambahnya, besar harapan dan doa seluruh rakyat Terengganu agar keempat wira kelahiran negeri itu dapat membawa amanah dan harapan dengan keputusan yang cemerlang di sukan Olimpik nanti.
"Tiada apa yang mustahil untuk dicapai. Walaupun Azreen contohnya, mungkin pergi atas tiket wild card.
"Tetapi, tidak mustahil beliau dapat meraih kejayaan dengan kehendak Allah SWT," katanya.
17 Jul 21
498