Artikel "Utama" Terkini
12 Lokaliti Di Dungun, Kemaman Dikenakan PKPD
KUALA TERENGGANU, 19 Julai - Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengarahkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) di dua lokaliti di Mukim Bandi, daerah Kemaman dan 10 lokaliti dalam Mukim Kuala Dungun yang berkuatkuasa pada 21 Julai ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, antara lokaliti terlibat di daerah Kemaman adalah Bandar Cheneh Baru dan Felda Neram 2.
“Di Dungun pula, antara lokaliti terlibat adalah Kampung Sungai Buaya, Kampung Tanah Lot, Kampung Lembah, Kampung Padang Jambu, Kampung Nibong, Kampung Bukit Chatak Tengah, Kampung Molek, Kampung Bijangga, Kampung Sungai Udang dan Kampung Sungai Penaga," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya lagi, pelaksanaan PKPD kawasan-kawasan tersebut akan dilaksanakan sehingga 3 Ogos.
Katanya, prosedur operasi standard (SOP) bagi semua PKPD adalah sama seperti yang diumumkan sebelum ini dan maklumat lanjut boleh diakses di laman sesawang Majlis Keselamatan Negara (MKN) di www.mkn.gov.my.
Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah melaporkan, Terengganu antara dua negeri yang mencatatkan kes positif Covid-19 harian di bawah 200 dengan 144 kes dikesan manakala kes di seluruh negara melebihi 10,000 kes iaitu 10,972 kes.
19 Jul 21
2268
Pegawai Exco Terengganu Lapor Polis Berhubung Kenyataan Fitnah
KUALA TERENGGANU, 19 Julai – Pegawai Khas Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Mohd Sukri Mazlan membuat laporan polis susulan kenyataan mengfitnah Ariffin Deraman.
Menurut Mohd Sukri, dakwaan jahat dan tidak benar yang disebarkan individu tersebut adalah menyatakan Ariffin sedang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkenaan satu tuntutan palsu bernilai RM1.65 juta.
Mohd Sukri Mazlan
“Kenyataan ini adalah satu fitnah terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alur Limbat dan berniat untuk menjatuhkan kredibiliti beliau.
“Saya berharap pihak polis dapat menjalankan siasatan segera supaya masyarakat tidak terpalit dengan taburan fitnah sebegini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas membuat laporan polis hari ini.
Sementara itu, Ketua Penerangan Dewan Pemuda Pas Negeri Terengganu, Muhammad Irsyad Syafiq Burhanuddin menyuarakan kekecewaan terhadap penyebaran berita palsu dengan menyifatkannya seperti ‘membaling batu, sembunyi tangan’.
Muhammad Irsyad Syafiq Burhanuddin
“Jika ada bukti-bukti boleh terus ke SPRM, jangan berselindung di sebalik permainan politik murahan ini yang berniat sinis untuk menjatuhkan kerajaan negeri dan seorang exco yang banyak mengharumkan industri pelancongan negeri.
“Terutamanya ketika kerajaan sedang giat berusaha membantu rakyat yang terkesan akibat pandemik COVID-19, perkara sebegini tidak membawa sebarang kebaikan kepada masyarakat,” katanya lagi.
Laporan polis dibuat bagi mewakili Ariffin di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu kira-kira jam 11.40 pagi.
19 Jul 21
3708
Kuatkan Pegangan Agama Hadapi Ujian Pandemik
KUALA TERENGGANU, 19 Julai - Masyarakat di negara ini perlu memperkuatkan pegangan agama dalam diri masing-masing dalam menghadapi pandemik Covid-19 yang begitu mencabar fizikal dan jasmani.
Pendakwah bebas, Syeikh Muhd Zainul Asri berkata, perkara itu perlu diambil berat setiap individu bagi mengelakkan berlaku perkara yang bertentangan dengan ajaran Islam dalam menyelesaikan masalah dihadapi termasuk membunuh diri.
Katanya, justeru semua pihak tanpa mengira fahaman politik perlu berganding bahu untuk memberi tumpuan khusus menyelamatkan masyarakat.
"Apa yang penting pada waktu ini ialah memikirkan bagaimana cara untuk mempertahankan akidah umat Islam agar mereka dapat menempuhi situasi seperti sekarang dengan mengikut panduan agama.
"Ini juga menunjukkan bahawa jihad adalah wajib pada waktu masyarakat menghadapi kekangan ini, terima kasih saya ucapkan kepada kerajaan Negeri Terengganu kerana menganjurkan Program Munajat Rakyat yang telah memasuki siri keenam bagi mendidik rakyat untuk terus memelihara iman serta tabah dalam menghadapi ujian ini," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika bersiaran langsung di TV Darul Iman (TVDI), Munajat Rakyat Terengganu Darul Iman 6.0 ; Tausiyah Perdana : Jihad Ummah Alaf Baru, baru-baru ini.
Dalam menghadapi alaf baru yang turut disifatkan oleh ulama sebagai akhir zaman, katanya masyarakat perlu sedar akan hikmah dan rahsia Allah bagi menguji keimanan manusia.
"Saya pernah diingatkan oleh guru saya yang pada mulanya sukar untuk difahami, katanya di waktu hadapan ilmu tasawuf menjadi keutamaan, hendak menanam keyakinan hidup bertuhan dalam jiwa.
"Sebab itu saya turut mencadangkan kepada para alim ulama khususnya, perlu buat sesuatu dengan menyampaikan ilmu secara atas talian untuk selamatkan orang ramai tidak boleh berkuliah di surau dan masjid pada waktu ini tidak menjadi halangan.
"Perlu diperjelaskan kepada rakyat mengenai isu yang berlaku pada ketika ini, juga sebagai persediaan untuk menghadapi hari mendatang yang mungkin lebih mencabar dengan kedatangan dajal andai tergelincir akidah dan keimanan.
"Di mana jika hilangnya keimanan manusia sanggup mendapat bantuan daripada Dajal tanpa menghiraukan akidah telah tergadai demi hendak mendapatkan bantuan," katanya.
Oleh itu katanya, apa jua situasi dan krisis yang melanda umat Islam perlu yakin dengan pertolongan Allah, kerana setiap yang berlaku adalah didatangkan bagi meningkatkan kualiti keimanan.
19 Jul 21
256
Menjunjung Kasih Tuanku! - Azizulhasni
KUALA TERENGGANU, 19 Julai - Jaguh berbasikal negara, Dato' Mohd Azizulhasni Awang menzahirkan rasa terima kasihnya kepada Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin atas kurniaan Darjah Kebesaran Dato' Paduka Mahkota Terengganu (D.P.M.T) yang membawa gelaran Dato'.
Jelasnya ketika dihubungi pemberita semalam, beliau masih terkejut dengan berita yang diterima.
"Saya juga gembira dan amat terharu kerana ini adalah penganugerahan yang terbesar dalam kariear saya dan juga diri saya sebagai atlet negara.
"Saya ingin mengambil kesempatan ini ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak istana Terengganu, patik menjunjung kasih Tuanku!," katanya.
Azizulhasni juga menyatakan, anugerah tersebut menjadi sumber motivasi tambahan kepadanya untuk beraksi cemerlang di temasya Sukan Olimpik di Tokyo nanti.
"Insya-Allah, dengan berkat doa seluruh rakyat Malaysia saya dapat merealisasikan impian pingat emas nanti.
"Insya-Allah, terima kasih semua," katanya.
19 Jul 21
489
Nenek Berusia 102 Tahun Terima Suntikan Vaksin Dari Cucu Sendiri
KUALA NERUS, 18 Julai - Penerima vaksin tertua di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Fatimah Muda, 102, berkongsi detik istimewa apabila disuntik vaksin oleh cucunya sendiri, Mohd Borhan Hassan, 31.
Dia yang juga Jururawat Hospital UniSZA, berkata peluang yang diberikan itu cukup bermakna kerana berpeluang berkhidmat untuk nenek kesayangannya.
Warga emas itu ditemani anak ketiganya, Azhari Mohd, 56, ke PPV UniSZA dengan ambulans ke PPV UniSZA dan ditolak menggunakan kerusi roda dan dia turut menghidap penyakit kencing manis dan darah tinggi.
"Kesepakatan anak-anak dalam memberikan dorongan untuk memastikan nenek disuntik akhirnya berjaya pada hari ini dan alhamdulillah semuanya berjalan lancar.
"Paling bermakna kerana saya diberi peluang untuk memberi suntikan kepada nenek," kata cucu ke-20 Fatimah itu ketika ditemui di PPV UniSZA.
Menurutnya, sebagai cucu, dia bersyukur neneknya sudah menerima suntikan vaksin pertama lebih-lebih lagi dalam keadaan kes positif Covid-19 yang semakin meningkat kini.
Mohd Borhan dalam masa sama turut menggalakkan orang ramai mengambil vaksin demi kebaikan bersama.
Fatimah mempunyai lima anak berusia 50 hingga 70 tahun dan 30 cucu serta 30 cicit kelihatan ceria sebelum dan selepas suntikan pertama akan menerima vaksin dos kedua pada 8 Ogos di PPV UniSZA.
18 Jul 21
886
Azizulhasni, Nor Azimi Dikurnia Gelaran Dato'
KUALA TERENGGANU, 18 Julai - Pelumba basikal negara, Mohd Azizulhasni Awang dan lima doktor termasuk Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu Dr Nor Azimi Yunus dikurniakan Darjah Kebesaran Dato' Paduka Mahkota Terengganu (D.P.M.T.) yang membawa gelaran Dato'.
Setiausaha Dewan Pangkuan Diraja Terengganu Datuk Isa @ Ghazali Endut dalam satu kenyataan hari ini berkata pengurniaan Bintang-Bintang Darjah Kebesaran Negeri Terengganu oleh Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin bagi tahun 2021 itu berkuatkuasa mulai hari ini.
Sultan Terengganu juga berkenan menganugerahkan Darjah Kebesaran D.P.M.T itu kepada empat lagi individu iaitu Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Diraja Sultan Mizan Azri Sani Mazlan, Pengerusi Eksekutif Hours Intertrade (M) Sdn Bhd Md Nor Ismail, Ahli Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu Mohamad Zahari Harun serta Pengarah Urusan Arup Jururunding Sdn Bhd Ir Wan Anuar Wan Endut.
Selain itu, Sultan Mizan turut mengurniakan Darjah Kebesaran Setia Mahkota Terengganu (S.M.T.) kepada empat lagi doktor iaitu Pakar Patologi HSNZ Dr Fatimah Haslina Abdullah, Ketua Penolong Pengarah Kanan (Primer)/Ketua Bilik CPRC Pejabat Kesihatan Negeri Terengganu Dr Azmani Wahab, Timbalan Pengarah Kesihatan (Perubatan) Dr Saifur Rahman Muhammad dan Pengarah Hospital Hulu Terengganu Dr Mohamad Yurzi Mat Rani @ Ghani.
Nor Azimi.
Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali turut dikurniakan Darjah Kebesaran Seri Setia Sultan Mizan Zainal Abidin Terengganu (S.S.M.Z.) yang membawa gelaran Dato' Seri.
Isa berkata Istiadat Pengurniaan Bintang-Bintang Darjah Kebesaran Negeri Terengganu Tahun 2021 itu akan diadakan pada satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian. - BERNAMA
18 Jul 21
935
26 SJR Kekal Dalam Fasa Kedua PPN
KUALA TERENGGANU, 18 Julai - Polis Diraja Malaysia (PDRM) Terengganu masih mengekalkan 26 Sekatan Jalan Raya (SJR) di seluruh negeri sehingga kini dalam fasa kedua Pelan Pemulihan Negara (PPN) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.
Timbalan Ketua Polis Terengganu, Senior Asisten Komisioner Norhalid Kimi berkata, SJR tersebut dilaksanakan bagi mengawal pergerakan keluar dan masuk dengan kolaborasi pelbagai jabatan agensi seperti Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan sebagainya.
“Sementara itu, 135 pasukan pemantau pematuhan Prosedur Opearsi Standard (SOP) diketuai PDRM dengan kerjasama agensi berkaitan digerakkan bagi memastikan masyarakat negeri Terengganu mematuhi peraturan dan mengekang potensi penularan wabak COVID-19.
“Antara jentera yang digerakkan dalam usaha ini melibatkan kereta peronda dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB),” katanya ketika bersiaran langsung di TVDI, baru-baru ini.
Tambahnya, pihaknya turut membuat tinjauan ke pusat tumpuan orang ramai seperti di bank, pasar, taman perumahan dan lain-lagi di samping membuat hebahan mengenai SOP serta amaran kompaun jika berlaku ketidakpatuhan.
Sementara itu, Norhalid turut melaporkan 554 pemeriksaan dijalankan di seluruh negeri di bawah Ops Patuh bagi mengekang penularan khusus di sektor kilang, rumah asrama pekerja dan premis perniagaan besar.
“Sehingga pertengahan Julai ini, sembilan kompaun dikeluarkan oleh pihak berkuasa, ini adalah sebagai pengajaran supaya kita sentiasa mematuhi SOP terutamanya di tempat kerja,” katanya lagi.
Menurutnya lagi, keseluruhan tenaga penguatkuasa PDRM Terengganu yang telah dan sedang digerakkan sejak PKP pertama hingga kini adalah seramai 2,137 orang.
18 Jul 21
1084
Kerajaan Akan Putuskan Yang Terbaik Untuk Vaksinasi Calon SPM
KUALA TERENGGANU, 18 Julai - Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Ahmad Amzad Hashim memaklumkan, pihaknya memberi tumpuan dan akan memutuskan keputusan terbaik terhadap pelaksanaan vaksinasi bagi calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang akan memulakan sesi pembelajaran di sekolah September ini.
"Untuk calon SPM sebagaimana yang telah pun diumumkan Menteri Kesihatan, Dr Adham Baba baru-baru ini, mereka yang cukup 18 tahun akan diberi suntikan vaksin.
"Insya-Allah, proses suntikan vaksin kepada mereka dijangka akan selesai sebelum peperiksaan berlangsung," katanya ketika ditemui pemberita selepas agihan bakul makanan pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) bagi Parlimen Kuala Terengganu di Kuala Ibai, hari ini.
Amzad bersama ADUN Batu Buruk, Muhammad Khalil (kiri) mengagihkan bakul makanan PEMULIH kepada penduduk di Kondo Rakyat Kuala Ibai.
Tambahnya, bekalan vaksin tidak lagi menjadi masalah kepada pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).
"Bekalan vaksin tiada masalah. Keseluruhan vaksin Sinovac akan selesai penghantaran berjumlah 12 juta dos sebelum hujung Julai. Manakala, pada Ogos pula kita banyak menerima Pfizer iaitu lebih kurang 4.5 juta dos sehingga program ini selesai.
"Untuk bulan ini sahaja kita ada 16 juta dos vaksin. Cuma, penekanan kepada pelaksanaan suntikan di mana Terengganu menjadi antara yang terbaik dalam pelaksanaan ini selain Kedah dan Perlis yang mencatat lebih 90 peratus pelaksanaan vaksinasi," katanya.
Menurut Amzad, bagi membolehkan rentak pemvaksinan tidak terganggu, pihaknya juga akan memastikan ada Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang terus dibuka sepanjang Aidiladha nanti.
"Namun, tidak boleh dinafikan akan ada penurunan suntikan harian pada masa itu.
"Bagaimanapun, kita telah atasi kekurangan ini dengan suntikan harian yang lebih tinggi pada hari-hari lain di mana kita telah berjaya catat angka 460,000 suntikan dan semalam pun kita masih lagi mencatat angka lebih 400,000 suntikan harian," katanya.
Amzad bersama ADUN Batu Buruk, Muhammad Khalil (kanan) dan Pengarah UPDI, Mohd Soud, menyampaikan pesanan berkaitan vaksinasi Covid-19 kepada penduduk Kondo Rakyat menggunakan pembesar suara.
Jelasnya, kerajaan menyasarkan untuk mencapai 80 peratus imuniti kelompok bagi populasi dewasa pada hujung Oktober, manakala 80 peratus imuniti bagi populasi keseluruhan menjelang penghujung tahun.
"Antara langkah kita mengatasi varian baharu ini juga adalah dengan mencukupkan imuniti kelompok ini.
"Sekarang, kita mula menunjukkan angka jangkitan dalam bentuk pecahan kategori supaya rakyat boleh faham dengan vaksinasi kita berjaya mengurangkan kadar kematian akibat Covid-19 dan kes-kes kritikal di hospital," katanya.
18 Jul 21
129
Malaysia Mahu Pertingkat Eksport Sawit Ke Mesir
KUALA TERENGGANU, 18 Julai - Malaysia-Mesir memeterai memorandum persefahaman (MoU) bagi bekerjasama meneroka peluang memperkasakan eksport sawit ke negara utara Afrika itu.
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, berkata persetujuan itu dicapai ketika pertemuan dengan Menteri Perbekalan dan Perdagangan Dalam Negeri Mesir, Dr Ali El Moselhy.
Katanya, MoU itu bertujuan melihat keperluan mewujudkan terminal sawit di Zon Ekonomi Terusan Suez (SCZone) bagi menjamin bekalan berterusan sawit kepada pemain industri berkaitan komoditi itu di Mesir.
"Ia juga bertujuan mengkaji kepentingan perkongsian pintar antara dua kementerian membabitkan teknologi pengeluaran dan strategi pemasaran sawit menerusi pelaburan bersama dalam syarikat berkaitan kerajaan antara dua negara dengan kerjasama swasta dan pemain industri sawit di kedua buah negara," katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.
Beliau sebelum itu melakukan lawatan kerja Misi Ke Mesir: Memperkasa Hubungan Dagang Agrikomoditi Negara selama empat hari bermula Sabtu lalu.
Mohd Khairuddin berkata, pada tahun 2020 sebanyak 155,000 tan sawit dan produk sawit dieksport ke Mesir dengan nilai dagangan sebanyak RM777 juta, manakala eksport getah pula mencatatkan nilai RM184 juta manakala subsektor koko sebanyak RM87 juta.
"Eksport sawit, getah dan koko mempunyai potensi yang besar untuk diperkasakan dengan melihat pada bilangan penduduk seramai 104 juta orang serta kedudukan geografi strategik Mesir yang strategik iaitu berada pada laluan masuk ke Eropah menerusi Terusan Suez.
"Begitu juga Mesir berpotensi untuk menjadi pintu ke negara-negara Afrika Utara kerana Mesir menandatangani perjanjian perdagangan bebas dengan negara-negara tersebut," katanya.
Mengulas mengenai misi itu, Mohd Khairuddin berkata, lawatan itu bertujuan memperkukuhkan hubungan dagang antara Malaysia dan Mesir khususnya membabitkan AgriKomoditi Malaysia seperti sawit, perkayuan, getah dan koko.
Katanya, ia sebagai menyambung perbincangan dua hala secara maya antara Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin dan Presiden Republik Mesir, Abdul Fattah al-Sisi pada 17 Jun lalu.
Dalam pertemuan dengan Menteri Perdagangan dan Perusahaan Mesir, Dr Nigena Gamea, Khairuddin berkata, kedua-dua pihak turut memeterai MoU bagi memperkasakan bekalan kayu dari Malaysia untuk perusahaan perkayuan di Bandar Perabot di Dimyat, Mesir khususnya membabitkan kayu getah.
Katanya, peluang itu juga bertujuan meneroka perkongsian pintar antara dua kementerian membabitkan teknologi getah Malaysia seperti teknologi 'seismic bearing' yang mampu menyerap gegaran gempa bumi untuk bangunan tinggi, jambatan, lebuh raya dan platform minyak di laut.
"Selain peluang itu juga bertujuan meneroka perkongsian pintar teknologi tauar Ecoprina yang dimiliki oleh Lembaga Getah Negara (LGM)," katanya.
Mohd Khairuddin berkata, dalam mesyuarat khas bersama pimpinan Kumpulan Savola diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Samih yang terbang khusus dari Arab Saudi ke Mesir untuk pertemuan itu, beberapa isu teknikal membabitkan pemasaran sawit ke Mesir dibincangkan secara terperinci ke arah usaha memperluaskan pemasaran sawit di bumi Mesir dan Afrika Utara.
Katanya, Kumpulan Savola adalah syarikat terbesar milik kerajaan Arab Saudi dan bidang utama perniagaannya ialah pemakanan dengan pendapatan tahunan sekitar USD8 bilion (RM33.27 bilion).
"Kumpulan Savola memiliki anak syarikat yang besar di Mesir iaitu Savola Foods Egypt dengan fokus utama perniagaan dalam bidang pemprosesan dan bekalan makanan.
"Menariknya Kumpulan Savola juga bersetuju meneroka peluang pemasaran koko Malaysia untuk pasaran tempatan Mesir dan juga Asia Barat," katanya.
Beliau berkata, dalam majlis makan malam bersama ahli perniagaan dan pemain industri utama sawit di Mesir anjuran Ketua Pegawai Eksekutif Pasifik Interlink, Dr Fuad Hayel, iaitu sebuah syarikat pengeksport sawit berpangkalan di Malaysia, beberapa cadangan pemerkasaan pemasaran sawit dilontarkan oleh pemain industri menerusi ucapan Dr Fuad dan ucapan oleh Pengerusi Majlis Industri Makanan dan Komoditi Mesir, Syafie Zakaria.
"Saya juga berpeluang berbincang bersama pakar kajian sawit, Prof Dr Hanafi Abd Elaziz Hashem dan Dekan Fakulti Pertanian, Universiti al-Azhar, Prof Dr Gamal A Abdurrabah untuk mewujudkan kerjasama antara kementerian dan Universiti al-Azhar bagi mengkaji dan meneliti penemuan terkini membabitkan kelebihan sawit terhadap dunia pemakanan, nutrisi dan farmaseutikal," katanya.
"Prof Dr Hanafi adalah pakar pertanian yang banyak membuat kajian berkaitan dengan sawit. Ia satu langkah ke arah kempen yang baik untuk sawit di seluruh dunia khususnya Asia Barat oleh sebuah universiti terkemuka dunia," katanya.
-- Berita Harian
18 Jul 21
115
Penyu Agar Ditemui Mati Terdampar
KUALA TERENGGANU, 18 Julai – Seekor penyu jenis Agar dewasa ditemui mati terdampar di Pantai Kuala Abang, Dungun oleh penduduk kampung, semalam
Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Terengganu Ruzaidi Mamat berkata haiwan yang diancam kepupusan ditemukan penduduk kampung pada 9 pagi sebelum membuat laporan kepada jabatan berkenaan.
"Bangkai penyu berusia lingkungan 20 hingga 30 tahun itu didapati telah mula reput dengan anggota badan haiwan itu membengkak manakala usus sudah keluar dari bahagian belakang badan. Penyu itu dipercayai mati kira-kira seminggu lepas,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ruzaidi berkata tiada sebarang kecederaan akibat khianat seperti kesan jerutan tali atau kesan hentakan ditemukan di kepala penyu itu.
Beliau berkata pihaknya sudah menerima 24 laporan mengenai kematian penyu tahun ini termasuk penyu itu.
Orang awam boleh memaklumkan kepada Pejabat Daerah Perikanan terdekat atau menghubungi talian 03-88885019 sekiranya menemukan penyu hidup atau mati, katanya.
18 Jul 21
763