Artikel "Utama" Terkini
Erti Sebuah Pengorbanan Dan Keikhlasan
Oleh : Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali/ Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK)
Pengorbanan datang dalam perbagai warna. Warna-warna inilah yang mulai mengisi keindahan kehidupan manusia. Tanpa pengorbanan sudah pastilah tiada bernilai erti kasih sayang dan keikhlasan.
Kisah tentang pengorbanan ini tidak pernah lekang daripada kehidupan manusia. Adalah menjadi lumrah berlakunya pengorbanan dalam kehidupan.
Meneliti di sebalik sejarah umat manusia yang diminta untuk mempersembahkan korban pertama. Pastinya kembali diingatkan kepada kisah Nabi Adam diturunkan ke bumi oleh Allah dan takdirkan Hawa menjadi isterinya yang diciptakan dari tulang rusuk kiri Baginda.
Takdirnya menyebutkan baginda diturunkan ke bumi, dengan nikmat kasih sayang Allah maka lahirlah dua pasang anak kembar. Allah memerintahkan Qabil berkahwin dengan kembar Habil, manakala Habil berkahwin pula dengan kembar Qabil.
Walaubagaimanapun Qabil tidak dapat menerima perkara sedemikian dan memprotes perintah berkenaan kerana mahu berkahwin dengan kembarnya sendiri.
Sesetengah riwayat menyatakan, Qabil dan kembarnya dikandungkan di syurga dengan memiliki rupa paras yang tampan dan cantik menyebabkan berlakunya konflik dalaman.
Sebagai solusi paling adil, Nabi Adam mengadu kepada Allah. Lalu Allah berfirman, jika hendak tahu siapa yang layak mengahwini adik Qabil, maka mereka perlu mempersembahkan korban.
Itu antara kisah ikon simbol yang pertama dalam sejarah kehidupan manusia. Dalam kisah ini jelas menunjukkan pengorbanan ini berlaku dalam usaha mendekatkan diri kepada Allah Taala.
Dalam memilih korban yang baik, Habil memberikan korban yang terbaik kerana dia pengembala kambing.Dia memberikan kambing paling elok dan gemuk sebagai persembahan kepada Allah.
Manakala Qabil yang juga abang kepada Habil adalah petani. Malangnya, dia memberikan hasil pertaniannya yang sudah rosak selain korban yang dilakukan atas dasar hasad dengki.
Lalu Allah menurunkan api dari langit dan menyambar korban Habil sebagai isyarat korban itu diterima Allah.
Sorotan pengorbanan tidak berakhir di sini, pastinya membawa kepada perintah Allah kepada Nabi Ibrahim untuk memyembelih anaknya sendiri Nabi Ismail.
Atas dasar kasih sayang, dan keimanan yang tinggi, berdua mereka pun tanpa ragu lantas mengikut perintah Allah. Siap Nabi Ismail untuk dikorbankan.
Dipusingkan Baginda ke arah kiblat, seperti mana ibadah korban, diletakkan pisau dileher untuk disembelih oleh Nabi Ibrahim, Allah Taala menurunkan rahmat dan kasih sayangNya dengan menggantikan kibas sebagai sembelihan.
Maka bergembira mereka berdua dalam rahmat dan kasih sayang Allah diturunkan bagi mereka yang bersabar mengikut perintah serta ujian kehidupan.
Dalam melaksanakan ibadat kepada Allah, sudah tentu kita tidak kisah berkorban wang ringgit dan harta benda untuk mencapai tahap ketakwaan.
Begitu juga menggunakan semula konsep ibadah korban dalam kehidupan. Pengorbanan diangkat sebagai isitilah yang amat mulia di sisi nilai kehidupan.
Keadaan situasi bencana virus COVID-19 sangat memerlukan kesabaran dan pengorbanan yang amat tinggi. Terutamanya dalam menempuhi era kehidupan yang mencabar ini.
Nilai keikhlasan yang ditunjukkan daripada barisan hadapan sudah tidak disangsi lagi. Mereka rela berkorban seadanya masa, tenaga, juga nyawa dalam memastikan keselamatan serta kesihatan rakyat jelata.
Hampir dua tahun, mereka dikelubungi dengan ‘personal protective equipment’ (PPE) yang bukan sekadar membasah keringat malah ada nyawa turut terkorban.
Alfatihah disedekahkan kepada mereka yang berjuang di medan jihad ini, semoga Allah memberikan tempat terbaik buat mereka.
Kini kita sebagai masyarakat perlu mengambil cakna, serta turut memberikan penumpuan penuh kepada usaha mambanteras virus COVID-19 yang semakin menggila ini
Varient baru ini memerlukan kita mengambil langkah lebih protektif, duduk di rumah dan menjaga kebersihan diri, untuk berkorban menghadapi situasi COVID-19 ini.
Pergorbanan kita sebagai entiti masyarakat ini menzahirkan kasih sayang serta keikhlasan yang turut dinilai di hadapan Allah nanti.
Kasih sayang inilah yang membawa kepada perasaan kita sebagai jiran dan warga masyarakat mengambil cakna kepada keperluan jiran yang memerlukan bantuan makanan.
Sekali gus, dapat menyelesaikan isu, kehabisan barang makanan di rumah bagi mereka yang kurang berkemampuan akibat tidak dapat bekerja mahupun sepanjang situasi PKP berlangsung.
Ini kembali kepada konsep korban yang mahu menghilangkan sifat sombong, bongkak dan ego golongan kaya. Konsep inilah yang turut diterapkan bagi mereka yang menjalankan ibadat Haji, kembali dalam keadaan fitrah.
Rasulullah SAW bersabda: “Tidak ada suatu amalan yang paling dicintai oleh Allah daripada Bani Adam ketika Aidiladha selain menyembelih haiwan korban. Sesungguhnya haiwan itu akan datang pada hari kiamat sebagai saksi dengan tanduk, bulu dan kukunya. Dan sesungguhnya darah haiwan korban telah terletak di suatu tempat di sisi Allah sebelum mengalir di tanah. Kerana itu, berbahagialah dirimu dengannya.” (Riwayat al-Tirmizi, Ibn Majah dan al-Hakim)
21 Jul 21
1562
Hanya 583 Kenderaan Dibenar Masuk Terengganu Pada Aidiladha
DUNGUN, 22 Julai - Hanya 583 buah kenderaan yang dibenarkan masuk ke Terengganu pada hari pertama Aidiladha, semalam.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa berkata, pada sehari sebelum Aidiladha pula, terdapat 1,669 kenderaan merentas negeri masuk ke Terengganu.
"Kita lebih fokus aliran kenderaan dari arah pantai barat. Terdapat perbezaan ketara dari segi kuantiti, di mana kita beranggapan hasil kesedaran masyarakat sendiri dan dasar penguatkuasaan kita.
"Apa yang diuar-uarkan kerajaan Persekutuan bahawa pihak polis memperketatkan pemeriksaan di Sekatan Jalan Raya (SJR) telah tersebar dan masyarakat patuh atas arahan," katanya.
Menurutnya, daripada 18 hingga 21 haribulan pemeriksaan SJR diperketatkan, hanya tujuh kompaun dikeluarkan iaitu 1 Kemaman dan 6 di Besut.
"Semua kes di atas adalah kes rentas sempadan tanpa kebenaran dan di arahkan patah balik serta dikenakan kompaun.
"Dari segi pematuhan di kawasan kampung-kampung pula, Alhamdulillah.
"Setakat ini, semua ketua polis daerah memaklumkan, tiada kompaun dikeluarkan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas tinjauan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Mukim Kuala Dungun di SJR Kampung Nibong, di sini semalam
Dalam tinjauan tersebut, sebanyak 10 lokaliti melibatkan 2,898 buah rumah dengan 13,974 penduduk dikenakan sekatan selama dua minggu bermula hari ini.
"Lokaliti ini besar melibatkan lima SJR dengan 12 laluan kecil yang perlu dipantau.
"Dalam dua minggu ini, kita menempatkan anggota dengan kekuatan 50 orang untuk kawalan selama 24 jam.
"Kita juga mengadakan unit bermotosikal 'deploy' dari masa ke masa," katanya.
Rohaimi turut menasihatkan supaya masyarakat dapat sabar dengan situasi supaya tidak penularan tersebar lebih jauh.
"Saya faham ini hari raya korban, tapi harap masyarakat faham dan terima dengan hari terbuka.
"Kita masih dalam PKPD serta tidak jauh dengan kawasan PKPD lain, jadi kami tidak mahu ia merebak ke kawasan baharu dan akhirnya susah di kawal," katanya.
21 Jul 21
670
Polis Tutup Laluan Pantai Tok Jembal
DUNGUN, 22 Julai - Polis Terengganu memaklumkan, sebelah laluan jalan raya iaitu arah daripada Pantai Tok Jembal menghala ke Drawbridge Kuala Terengganu ditutup, bermula petang semalam.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa berkata, penutupan tersebut dibuat bagi mengelakkan masyarakat berkumpul di kawasan itu.
"Kita akan berkerjasama dengan pihak berkuasa tempatan untuk menutup laluan tersebut kerana sekiranya dibiarkan memang susah dikawal dan ia telah mula menarik orang ramai.
"Kita faham bukan mereka sengaja, cuma mereka tidak faham kerana beranggapan setelah dibenarkan dibuka, tiada alasan untuk menahan mereka" katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas tinjauan di Sekatan Jalan Raya (SJR) di Kampung Nibong, yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), semalam.
Jelasnya, meskipun taman-taman awam dan rekreasi dibuka sejak 7 Julai lalu, ia tidak boleh dijadikan titik pertemuan dan berkumpul.
"Apa yang kita dapati, terlalu ramai orang di kawasan ini sehingga kami perlu membuat kawalan MPV dan trafik untuk memberi nasihat supaya mereka bersurai sekiranya didapati tidak patuh prosedur operasi standard (SOP).
"Pergerakan mereka memang boleh diterima dengan satu orang satu kenderaan, tetapi sampai di sana mereka berjumpa dan duduk bersama di wakaf-wakaf," katanya.
Menurutnya Rohaimi, pihak polis akan memberi amaran atas ketidakpatuhan SOP serta diarahkan beredar, namun tidak akan mengenakan kompaun setakat ini.
21 Jul 21
2845
Pasar Besar Dungun Cetus Kluster Baharu, Diarah Tutup
DUNGUN, 21 Julai - Pasar Besar Dungun diarahkan tutup bermula hari ini sehingga 3 Ogos bagi mengekang penularan wabak dan kluster COVID-19.
Analisa Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) Kebangsaan semalam melaporkan, Kluster Pasar Besar Dungun melibatkan pekerja-pekerja di sebuah pasar awam yang terletak di daerah itu.
"Kes indeks bagi kluster ini merupakan Kes No. 905712, perempuan, warganegara Malaysia berumur 42 tahun yang dilaporkan positif COVID-19 pada 17 Julai 2021 hasil saringan individu bergejala.
"Sehingga kini, enam kes baharu dikesan manakala jumlah kes positif adalah 51 orang, jumlah saringan yang dijalankan adalah seramai 159 orang sehingga 20 Julai," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut kenyataan itu lagi, kes mengalami gejala bermula pada 9 Julai 2021.
Sementara itu, notis penutupan sementara oleh Majlis Perbandaran Dungun (MPD) itu juga dilaksanakan di premis dan perkhidmatan pengoperasian dan pentadbirannya sehingga 30 Julai.
21 Jul 21
2644
Kadar Kebolehjangkitan COVID-19 Terengganu Melebihi RT Negara
KUALA TERENGGANU, 22 Julai - Terengganu merekodkan kadar kebolehjangkitan (RT) COVID-19 tertinggi iaitu 1.31 manakala Malaysia terus catat penurunan untuk hari kelima berturut-turut dengan angka terbaharu, 1.09.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, negeri ini turut mencatatkan sejumlah 171 kes harian virus baharu semalam menjadikan jumlah keseluruhan kes positif 13,158.
Menurutnya, selain Terengganu, tiga lagi negeri yang turut merekodkan nilai RT tertinggi adalah Kedah (1.25), Sabah (1.21), Pulau Pinang (1.21) dan Johor (1.20).
"Manakala negeri pantai timur lain seperti Pahang (1.19) dan Kelantan (1.18)," katanya menerusi kenyataan di Twitter rasminya, semalam.
Katanya, berdasarkan Model SEIR Unjuran dan Pemerhatian Kes Harian Covid-19, nilai RT negara akan meningkat kepada 1.2 dengan kes harian baharu mencapai 13,000 jika berlaku pelanggaran prosedur operasi standard (SOP).
Terdahulu, kadar kebolehjangkitan terendah yang pernah direkodkan tahun ini adalah 0.81 pada 3 Mac lalu manakala yang tertinggi dicatatkan 1.21 pada 23 Mei.
Nilai R-naught merujuk kepada tahap kebolehjangkitan sesuatu virus, iaitu berapa ramai individu yang boleh dijangkiti oleh satu kes positif.
21 Jul 21
663
Walaupun Suasana Aidiladha Berbeza, MB Tetap Sumbang Lembu Korban
MARANG, 20 Julai - Walaupun suasana Hari Raya Aidiladha kali ini masih lagi berbeza kerana pandemik Covid-19, Menteri Besar, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar tetap menyumbang sebanyak 30 ekor lembu untuk dijadikan korban.
Sumbangan kepada penduduk kawasan Dewan Undangan Negeri Rhu Rendang itu diserahkan kepada setiap 25 cawangan di Dun Rhu Rendang di mana masing-masing menerima seekor lembu, manakala empat ekor disumbangkan kepada Maahad Darul Quran Rusila, dan seekor lagi disumbang kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Marang.
Setiausaha Politik Menteri Besar Terengganu, Muhyiddin Abdul Rashid berkata, pihaknya Dato' Seri berterima kasih kepada Permint Granite HCM Sdn Bhd yang telah menyumbang 10 ekor lembu pada kali ini.
"Lembu ini diagihkan kepada kampung-kampung untuk masyarakat kampung turut merasai kemeriahan aidiladha ini dengan baik, harmoni serta penuh dengan ketaatan kepada Allah SWT.
"Walaupun suasana sambutan berbeza tahun ini, kerana perintah kawalan pergerakan, namun sumbangan korperat ini dapat mengubati hati masyarakat kita dari sudut perayaan, yang tidak dapat berkunjung dan merasai kemeriahannya,,"katanya.
Beliau berkata ketika hadir menerima sumbangan lembu korban tersebut daripada Pengarah Permint Granite HCM Sdn Bhd, Ahmad Farid Dato’ Isa @ Ghazali di Kampung Baru Rhu Muda.
Sementara itu, Ahmad Farid berkata, pihaknya berharap dengan sumbangan ini, dapat mengeratkan hubungan di antara syarikat-syarikat korperat atau swasta di negeri Terengganu dan kerajaan negeri Terengganu sendiri.
"Pihak kami juga sangat gembira dapat menyumbang dengan projek komuniti seperti ini sekaligus dapat membantu masyarakat dan komuniti dalam menyambut Aidiladha pada kali ini.
Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar yang juga ADUN Rhu Rendang diwakili oleh Setiausaha politiknya juga turut turun sendiri ke beberapa buah cawangan bagi menyerahkan lembu korban tersebut.
Turut hadir adalah Pegawai Khas Menteri Besar Terengganu, Sabri Zakaria dan Wahad Osman, Penyelia Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) Rhu Rendang, Mohd Najmuddin Rani.
20 Jul 21
632
Kerap Jatuh, ADUN Terengganu Hadiahkan Motosikal Baharu
KUALA TERENGGANU, 20 Julai - Simpati dengan nasib menimpa seorang warga emas yang sering terjatuh ketika menunggang motosikal, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam menghadiahkan sebuah motosikal baharu kepadanya.
Wan Sukairi menerusi satu kenyataan ringkas dalam laman Facebook semalam berkata, beliau terharu mendengar kisah Pak Su Man, 83, yang selalu solat fardu berjemaah di masjid walaupun menghadapi kesulitan.
"Pak Su Man, seorang bilal di Masjid Tok Ku Paloh sejak 20 tahun yang lalu sehingga sekarang. Solat lima waktu sehari secara berjemaah tak pernah tinggal.
"Pak Su Man maklum pada saya yang dia sering jatuh bila bawa motor, mungkin kerana faktor usia dan kudrat yang tidak sekuat mana. Apabila saya dengar permintaan Pak Su Man yang perlukan motor roda dua, saya terus tak kata apa selain bersetuju untuk segera belikan motor tersebut buatnya," katanya.
Menurut Wan Sukairi, semalam motosikal baharu beroda dua telah diserahkan kepada Pak Su Man untuk digunakan dalam aktiviti harian.
"Terkejut Pak Su Man tadi (semalam) dapat hadiah motor baharu. Tak berhenti mengukir senyuman di bibir. Alhamdulillah, Pak Su Man suka hadiah motor ini.
"Nilaian motor ini pasti tidak setanding dengan jasa beliau dalam perkembangan syiar agama Islam. Semoga dengan adanya motor baharu ini akan memudahkan lagi urusan Pak Su Man untuk ulang alik ke masjid," tambah beliau.
20 Jul 21
622
Aidiladha Ketika Pandemik, Terjemah Pengorbanan Rakyat - MB
KUALA TERENGGANU, 20 Julai - Hari Raya Aidiladha yang disambut di Malaysia hari ini menterjemahkan pengorbanan tinggi dalam kalangan rakyat kerana ia sekali lagi disambut dalam suasana sederhana disebabkan pandemik COVID-19.
Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Samsuri Mohkhtar berkata, 2021 merupakan tahun kedua umat Islam tidak dapat melakukan sambutan seperti kebiasaan.
Kataya, ia sememangnya menyedihkan namun sebagai umat Islam, ujian COVID-19 itu membuatkan kita lebih menghayati erti sebuah pengorbanan dan redha dengan setiap ujian yang datang.
“Kini, sudah menjangkau lebih setahun negara Malaysia dan dunia bertarung menghadapi pandemik ini. Pastinya pelbagai ujian dan pengorbanan terpaksa dilalui dan dirasai oleh setiap daripada kita, rakyat biasa mahupun pemimpin negara.
“Bagaimanapun, kerajaan sedang berusaha untuk mengeluarkan kita semua daripada belenggu ini. Pelbagai inisiatif dirangka bagi membantu memulihkan ekonomi negara demi kesejahteraan rakyat tercinta.
“Terbaharu, Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang bukan hanya merangkumi pakej rangsangan ekonomi, tetapi merupakan satu pelan holistik yang sentiasa ditambah baik berdasarkan keperluan semasa,” katanya dalam kenyataan yang disiarkan dalam Facebook beliau semalam.
Menurutnya, dalam keadaan sukar itu Kerajaan Negeri tidak lepas tangan dalam membantu meringankan beban rakyat, program Bantuan Ekonomi Rakyat Terengganu 3.0 (BERKAT 3.0) yang diumumkan pada 2 Jun lalu adalah nilai tambah untuk mengurangkan impak sosio-ekonomi masyarakat dan kini masih berjalan di setiap kawasan peringkat DUN.
“Saat ini juga dapat dilihat kerjasama dan keprihatinan pelbagai pihak sama ada swasta, NGO mahu pun individu untuk membantu mereka yang memerlukan. Inilah kekuatan rakyat Malaysia yang amat saya kagumi. Saya yakin, jika kita terus bersatu hati, insya-Allah kita mampu bangkit menghadapi setiap cabaran..
“Terima kasih kepada semua pihak terutamanya barisan hadapan yang sentiasa bertungkus lumus menghapuskan wabak COVID-19. Insya-Allah, dengan pengorbanan yang kita lakukan pada hari ini akan menemukan kita dengan suatu kejayaan yang diimpikan.
“Akhir kata, mewakili Kerajaan Negeri, saya mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha kepada seluruh umat Islam khususnya rakyat Terengganu. Semoga ibrah daripada sambutan hari raya tahun ini mendekatkan lagi diri kita kepada Allah SWT,” katanya.
20 Jul 21
189
Pilih Lembu Kecil Supaya Ramai Mampu Sertai Korban
KUALA NERUS, 20 Julai - Pengurusan Program Korban Aidiladha Masjid At-Taqwa Batu Enam, mengambil inisiatif mendapatkan lembu-lembu yang bersaiz agak kecil bagi memastikan ibadah korban dapat disertai lebih ramai penduduk.
Wakil pengurusan program, Mohd Akmal Othman, 48, berkata, inisiatif itu diputuskan berikutan suasana rata-rata masyarakat yang menghadapi masalah kewangan berdepan pandemik Covid-19 ketika ini.
"Berbanding tahun lepas, harga sebahagian naik sehingga RM150 tahun ini.
"Jadi, kita ambil lembu-lembu yang kecil sedikit supaya harga jadi lebih murah iaitu sebanyak RM650 sebahagian, berbanding harga semasa yang kini antara RM700 ke RM750," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas program korban yang diadakan di Batu Enam, hari ini.
Menurutnya, sebelum ini pihak masjid sering menerima penyertaan korban bagi lapan ke sepuluh ekor lembu untuk satu musim.
Bagaimanapun, jumlah korban dikurangkan kepada tujuh ekor bagi diselaraskan dengan gerak kerja di bawah norma baharu.
Jelasnya, pihak penganjur juga melakukan persiapan menggunakan teknologi terkini seperti perbincangan secara dalam talian dan penyediaan peralatan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) melalui pembahagian tugas.
"Kita hadapilah, tetapi hari ini, Alhamdulillah semua berjalan lancar.
"Saya rasa, tidaklah susah SOP baru ini, kita pun lebih teratur dan tidak 'bolok'," katanya.
Ibadah korban juga dilakukan mengikut SOP ditetapkan iaitu penglibatan kurang 10 petugas dan lima ekor lembu bagi satu-satu masa.
Namun, diakui kemeriahan kurang dirasai berbanding dahulu.
"Dahulu, orang ramai melihat acara korban kerana disunatkan peserta melihat sendiri penyembelihan korbannya.
"Mustahillah kalau orang kata sedikit orang ini meriah, namun sekurang-kurangnya kali ini kita dapat juga melaksanakan ibadah korban.
"Sekalipun kita masih berdepan pandemik tahun ini, syukur kerana kita masih boleh meraikan Aidiladha dengan sempurna," katanya.
20 Jul 21
900
67.4 Peratus Rakyat Terengganu Telah Daftar Vaksin
KUALA TERENGGANU, 20 Julai - Seramai 67.4 peratus rakyat di negeri ini telah mendaftarkan vaksin melalui aplikasi MySejahtera setakat kelmarin.
Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu melaporkan ia membabitkan 579,447 individu dan 4,225 orang pula merupakan pendaftar baru.
Kenyataan itu turut memaklumkan daerah Kuala Terengganu menunjukkan peratusan tertinggi pendaftaran dengan 75.1 peratus atau seramai 133,641 dan pendaftaran baru 1,044 orang.
Kedua tertinggi ialah Kuala Nerus dengan 74.5 peratus dengan jumlah rakyat yang telah mendaftar seramai 77,724, diikuti Marang dengan 73.9 peratus dengan jumlah seramai 59,747.
Manakala daerah Kemaman pula mencatatkan peratusan keempat tertinggi dengan 72.5 peratus atau seramai 105,509.
Manakala tiga daerah masih mencatatkan jumlah pendaftaran yang rendah berbanding daerah lain iaitu, Dungun dengan 59.9 peratus, Setiu 53.6 peratus dan terendah Besut dengan 53.1 peratus.
Untuk rekod, sehingga 18 Julai jumlah kumulatif rakyat di negeri ini yang telah divaksin pula ialah seramai 269, 854 penerima suntikan dos pertama manakala seramai 14,176 merupakan penerima dos kedua di negeri ini.
20 Jul 21
703