lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Kerajaan Negeri Peruntuk RM1 juta Perkayakan Sumber Laut
Kerajaan Negeri Peruntuk RM1 juta Perkayakan Sumber Laut
MARANG, 24 Julai – Kerajaan negeri memperuntukkan RM1 juta bagi pembinaan 45 tukun tiruan rekreasi yang akan memperkayakan sumber marin. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, pembinaan tukun tersebut juga bertujuan untuk mengawal tangkapan hidupan laut secara rekreasi. “Insya-Allah kita letak sasaran sebelum bulan Oktober 2021 untuk selesaikan program melabuhkan tukun ini di perairan Terengganu  “Ia akan melibatkan beberapa daerah bermula dari Kemaman sehingga Besut, khususnya kepada zon tangkapan nelayan pantai 5 batu nautika daripada pesisiran pantai,” katanya. Beliau berkata demikian selepas kerja melabuh tukun tiruan konservasi di perairan Pulau Kapas, pagi tadi. Tambahnya lagi, usaha lain seperti program unjang komuniti bersama nelayan setempat dan melabuhkan bot-bot nelayan asing yang dirampas sebagai inisiatif menambahkan sumber perikanan. “Kita juga telah bekerjasama dengan pihak PETRONAS dan Jabatan Perikanan, komponen pelantar yang telah dinyahtauliahkan (Rig-To-Reef) telah dijadikan tukun dan dilabuhkan pada tahun 2017 berdekatan Pulau Kapas, Marang, Terengganu,” katanya. Untuk rekod, laporan diterbitkan pada 2020 mendapati terdapat antara 129 sehingga 6,047 kilogram biomass ikan direkodkan pada satu tapak tukun tiruan dengan nilai sumber tertinggi berjumlah RM 84,759.60 (Muhammad Amirullah Al Amin Ayob et. Al, 2020. Jabatan Perikanan Malaysia).
24 Jul 21
265
12 Tukun Tiruan Konservasi Pulihara Ekosistem Marin
12 Tukun Tiruan Konservasi Pulihara Ekosistem Marin
MARANG, 24 Julai – Sebanyak 12 tukun tiruan konservasi telah dilabuhkan di kawasan perairan taman laut Pulau Kapas bertujuan untuk pemuliharaan khazanah laut sekali gus memberi manfaat jangka masa panjang kepada nelayan. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, tukun di bawah peruntukan kerajaan persekutuan sebanyak RM300,000 itu akan menjadi tempat pembiakan kepada pelbagai spesis ikan. “Ramai penggiat laut bertanya justifikasi labuhkan di kawasan yang tidak boleh memancing, jawapannya tukun bertindak sebagai rumah kepada hidupan lautan yang kemudian akan keluar ke laut untuk jadi rezeki tangkapan akan datang. “Spesifikasi 12 tukun tiruan ini adalah berat sekitar 17 tan dibuat daripada bahan konkrit gred 35 akan bertahan di dasar laut sekitar 50 tahun. “Ia turut berfungsi sebagai zon penampan untuk pukat tunda menghalang kepada pencerobohan di kawasan ini,” katanya ketika ditemubual pemberita selepas kerja melabuh tukun konservasi di perairan Pulau Kapas, pagi tadi. Turut hadir, Pengarah Unit Perancang Ekonomi Terengganu, Tun Ahmad Faisal Tun Abd Razak, Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Terengganu, Ruzaidi Mamat dan Pengarah Pertanian Negeri Terengganu, Zulkipli Amin Mat Jusoh. Tambah Dr Azman, jangkaan hasil tukun tiruan tersebut akan mengambil masa dalam beberapa bulan untuk ditumbuhi hidupan laut dan spesis marin. “Sejak tahun 2006 lagi, banyak tukun konservasi telah membuahkan hasil dan pelbagai kejayaan yang boleh didokumentasikan termasuk hasil spesis ikan gred A yang bertandang dan menjadikannya sebagai tempat perlindungan,” jelasnya lagi.
24 Jul 21
415
Isu Suntikan Kosong Tiada Kaitan Sindiket Jual Vaksin
Isu Suntikan Kosong Tiada Kaitan Sindiket Jual Vaksin
PUTRAJAYA, 23 Julai - Isu yang tular di kalangan netizen mengenai kes picagari kosong ketika suntikan vaksin Covid-19 tidak mempunyai sebarang kaitan dengan sindiket penjualan vaksin sebagaimana dakwaan pihak tertentu. Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin memaklumkan setakat hari ini hasil siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan ia langsung tidak mempunyai bukti yang kukuh, sebaliknya perkara itu berlaku disebabkan beberapa perkara. "Sebagaimana kes yang tular videonya di Sungai Petani iaitu di Kem Lapangan Terbang ini satu-satunya kes di mana jururawat tersebut telah mengaku melakukan kecuaian disebabkan keletihan. "Amaran telah pun diberikakan kepada jururawat tersebut oleh Panglima Tentera Darat disebabkan waktu itu dia bertugas di kem tentera, dan akan melalui proses tatatertib di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)," ujarnya. Beliau yang juga merupakan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, berkata demikian pada sidang media mingguan Perkembangan PICK bersama Menteri Kesihatan, Dr Adham Baba, pada hari ini. Mengulas lanjut katanya, dalam beberapa kes terdapat penerima mendakwa tidak menerima suntikan disebabkan tidak mengalami kesan sampingan. "Di mana pengadu telah membuat laporan polis mengatakan tidak mengalami sebarang kesan sampingan selepas menerima  vaksin. Saya ingin katakan bahawa kesan yang dialami setiap orang adalah berbeza. "Sebagai contoh saya sendiri tidak mengalami sebarang kesan daripada vaksinasi yang dibuat secara langsung dan dipaparkan seluruh negara. Saya rasa tidak wajar ada tuduhan vaksin kosong, kerana penerima vaksin ada yang mengalami kesan sampingan dan ada yang tidak mengalaminya. "Sebagai contoh kes di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Bukit Jalil, PPV UCSI dan sebagainya, yang mana pengendali kesihatan mengatakan telah memberi dos yang sempurna kepada penerima," katanya. Turut berlaku katanya, dos tambahan akan diberikan kepada penerima akibat kekeliruan. "Petugas kesihatan tidak pasti samada dos telah diberikan secara sempurna ataupun tidak.  "Saya ingin mengumumkan bahawa untuk tidak berlaku apa-apa kecuaian lagi, saya telah mengarahkan agar ditunjuk kepada penerima, picagari yang telah pun diiisi dengan sempurna sebelum suntikan itu dilakukan," ujarnya. Di samping itu kata Khairy, setiap rakyat yang menerima suntikan vaksin dibenarkan untuk merekodkan gambar atau video ketika menerima suntikan agar kes sama tidak lagi berulang. "Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada petugas barisan hadapan yang sebenarnya merisikokan nyawa mereka pada setiap hari bagi menyuntik setengah juta penerima setiap hari," ujarnya
23 Jul 21
276
Terengganu FC Waspada Ancaman Perak
Terengganu FC Waspada Ancaman Perak
KUALA NERUS, 23 Julai - Terengganu Football Club (Terengganu FC) tidak memandang ringan tentangan Perak FC apabila bakal melayan kunjungan skuad Seladang itu di laman sendiri, malam esok. Pengurus Terengganu FC, Zulfadhli Rozi berkata, kemenangan pasukannya dalam pertemuan di pusingan pertama lalu bukan tiket untuk mengambil mudah pertembungan kali ini. "Kita sambung balik perlawanan Liga Super setelah rehat panjang, rasanya persiapan kita sama sahaja seperti pasukan lain. "Cuma, kita sentiasa anggap Perak pasukan yang perlu diberi perhatian dan dihormati kerana prestasi mereka dalam empat ke lima tahun terakhir ini agak konsisten," katanya ketika dihubungi media, semalam. Namun menurutnya, pemain-pemain lebih bersemangat untuk menghadapi perlawanan tersebut berikutan pembatalan saingan Piala AFC. "Ini satu perkara positif yang dapat saya lihat. Semoga perlawanan ini jadi 'booster' untuk pemain dapatkan pencapaian yang terbaik buat pasukan. "Kita ambil cabaran untuk layak lagi ke saingan AFC musim depan," katanya. Zulfadhli menjangkakan jurulatih, Nafuzi Zain akan meletakkan kesebelasan terbaik dalam perlawanan itu berikutan semua pemain berada dalam keadaan cergas.
23 Jul 21
485
KETENGAH Peruntuk RM22,000, Sembelih 10 Ekor Lembu Untuk Diagih Kepada Asnaf
KETENGAH Peruntuk RM22,000, Sembelih 10 Ekor Lembu Untuk Diagih Kepada Asnaf
KUALA TERENGGANU, 22 Julai- KETENGAH memperuntuk sebanyak RM22,000 untuk pelaksanaan ibadah korban tahun ini. Pengurus Besar KETENGAH, Tengku Ahmad Nadzri Tengku Musa berkata, menerusi peruntukan tersebut, sebanyak 10 ekor lembu disembelih untuk diagihkan dagingnya kepada asnaf zakat dan tujuan akikah. "Setiap tahun KETENGAH menganjurkan program korban dan akikah tanda kesyukuran kepada Allah SWT. "Pelaksanaan ibadah korban dan akikah kali ini diadakan dengan kerjasama dengan Masjid Sultan Mahmud Bandar Al Muktafi Billah Shah (AMBS)," ujarnya. Katanya, KETENGAH melaksanakan korban pada kali ini sepanjang dua hari (20 dan 21Julai 2021) bagi membolehkan pengamalan SOP sempurna dilaksanakan. "Program melibatkan 20 orang petugas yang terdiri daripada kakitangan KETENGAH dan ahli jawatankuasa masjid secara sukalera bagi langkah-langkah mengekang penularan wabak COVID-19. "Agihan diserahkan kepada wakil iaitu melalui lima JPKK Bandar AMBS untuk menyempurnakan agihan kepada seramai 250 orang asnaf," ujarnya.
22 Jul 21
215
391 Kes, Angka COVID-19 Terengganu Semakin Membimbangkan
391 Kes, Angka COVID-19 Terengganu Semakin Membimbangkan
KUALA TERENGGANU, 22 Julai – Kes positif harian COVID-19 di Terengganu semakin membimbangkan selepas mencatatkan 391 kes baharu hari ini dan 171 semalam. Menurut laporan Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, daerah Dungun mencatatkan jumlah kes tertinggi dengan 203 kes diikuti Marang (99 kes) dan Kemaman (56 kes). Ini menjadikan jumlah kumulatif kes sehingga kini sebanyak 13,548 kes. “Data saringan kluster sehingga semalam turut merekodkan 32 kes baharu melibatkan 11 kluster di dalam negeri, kluster terbaharu dicatatkan sehingga 12 tengah hari tadi adalah Kluster Padang Pulut. “Manakala jumlah kematian harian adalah 3 orang dengan kes yang sedang dirawat adalah seramai 1,201 orang,” katanya menerusi Facebook rasminya, petang tadi. Tambah kenyataan itu lagi, kategori kes positif tertinggi adalah melibatkan kategori satu menunjukkan 336 kes diikuti kategori 2 (48 kes) dan kategori tiga (7 kes). Susulan itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di tiga lokaliti di Mukim Sura, Dungun, yang dijadualkan tamat esok akan dilanjutkan. “Ini membabitkan lokaliti Rumah Awam Kos Rendah (RAKR) Gong Pasir, Kampung Gong Pasir dan Taman Maidam dilanjutkan bermula 24 Julai sehingga 6 Ogos depan," jelasnya. Dalam pada itu, dua lokaliti di Mukim Bandi, daerah Kemaman dan 10 lokaliti dalam Mukim Kuala Dungun juga sedang menjalani PKPD yang berkuatkuasa semalam sehingga 3 Ogos.
22 Jul 21
1986
300 Pemain Industri Pelancongan Tasik Kenyir Terima Vaksin
300 Pemain Industri Pelancongan Tasik Kenyir Terima Vaksin
HULU TERENGGANU, 22 Julai - Seramai 300 individu yang terlibat dalam industri pelancongan di Tasik Kenyir, di sini, termasuk 200 penduduk sekitar mula menerima suntikan vaksin Covid-19, hari ini. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata pemberian vaksin kepada kumpulan itu dilihat dapat membantu memulih dan merancakkan semula sektor pelancongan yang terjejas teruk. "Langkah itu juga membantu meningkatkan keyakinan pelancong untuk bercuti dan mendapatkan perkhidmatan ditawarkan pemain-pemain industri pelancongan di Tasik Kenyir. "Tasik Kenyir merupakan salah satu produk pelancongan yang sangat popular di Terengganu, dan sekiranya berjaya mencapai status imuniti kelompok, maka ia dapat merancakkan kembali sektor pelancongan yang terjejas teruk akibat penularan wabak COVID-19," ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita di Program Outreach Vaksinasi Sektor Pelancongan di Tasik Kenyir, hari ini. Turut hadir, Ahli Parlimen Hulu Terengganu merangkap Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato' Rosol Wahid dan Pengerusi Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), Dato' Razali Idris. Sementara itu, Razali berkata pihaknya sentiasa bersedia dalam mempromosikan kembali pelancongan di Tasik Kenyir agar kembali rancak dengan kehadiran pelancong pada bila-bila masa sahaja.  
22 Jul 21
407
Anak Perantau Terima Sumbangan Daging Korban
Anak Perantau Terima Sumbangan Daging Korban
HULU TERENGGANU, 22 Julai - Seramai 70 anak perantau Dewan Undangan Negeri(DUN) Ajil di sekitar Lembah Kelang menerima sumbangan berupa daging korban dari wakil rakyatnya sempena sambutan Hari Raya Aidiladha di sini semalam. Sekretariat program,Mohd Fauzi Ismail, 38, berkata sumbangan lembu dari ADUN Ajil, Ustaz Maliaman Kassim telah diuruskan oleh syarikat Al Ahzar Care. "Daging korban yang melibatkan seekor lembu ini diagihkan kepada anak perantau di sekitar Lembah Kelang. "Aktiviti ini pertama kali dilakukan tahun ini menggambarkan keprihatinan dan tanda ingatan untuk anak perantau yang tidak dapat pulang menyambut hari raya korban bersama keluarga di kampung yang mana kita harapkan ia terus kekal dan jalinan erat antara pemimpin dan rakyat di sini,” katanya kepada pemberita ketika dihubungi. Seorang penerima agihan daging korban berkenaan, Pegawai Waran Satu, Aida Azma Md Nor, 38, yang berasal dari Felda Jerangau Barat merasa terharu kerana pertama kali menerima daging korban dari seorang ADUN. "Jutaan terima kasih diucapkan kepada YB dan team kerana atas kiriman daging korban ini. “Walaupun tidak dapat balik kampung di musim pandemik ini tapi adanya daging korban ‘fresh’ dari Terengganu dapat mengubat rindu pada kampung halaman yang sekian lama tidak boleh balik. Pemberian ini amat bermakna bagi saya," katanya yang bertugas di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan sejak dua tahun lepas. Bagi Mohd Nor Hairi Jusoh, 38, berkata inisiatif tersebut amat bermakna, walaupun hanya sekilo daging korban tetapi ingatan dari pemimpin yang juga bekas guru yang mengajar dirinya semasa beliau menuntut di SMK Landas. "Saya sangat bersyukur kerana kami diingati dan ini adalah sumbangan pertama yang kami perolehi dari Terengganu dan sedikit sebanyak kami dapat menikmati daging korban seisi keluarga," katanya yang merupakan anggota polis. Manakala seorang usahawan, Mohd Kamaruzaman Kasim, 36, pula menyifatkan sumbangan daging korban itu sangat bermakna. “Asalnya untuk diagihkan kepada yang berada di sekitar Shah Alam sahaja, namun disaat akhir pengagihan, kita berjaya agihkan kepada perantau Ajil yang berada di lembah klang. "Walaupun tak semua, tapi 95 peratus agihan berjaya dilaksanakan dan terima kasih kepada semua yang menjayakannya,"katanya.  
22 Jul 21
747
Penggiat Pelancongan Perlu 'Bersedia' Sebelum Dibenar Beroperasi
Penggiat Pelancongan Perlu 'Bersedia' Sebelum Dibenar Beroperasi
HULU TERENGGANU, 22 Julai - Kerajaan negeri akan memastikan semua pemain industri pelancongan di Terengganu menerima suntikan vaksin COVID-19 sebagai persediaan sekiranya sektor itu dibuka kembali. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata ia sekali gus dapat memberi kenyakinan kepada pelancong untuk melancong dengan selamat ke destinasi pilihan mereka. Menurutnya, program vaksinasi terhadap golongan terbabit melibatkan lebih 5,000 pemain industri pelancongan dan penduduk di Pulau Kapas, Pulau Redang, Pulau Perhentian, Pulau Tenggol dan Tasik Kenyir. "Program vaksinasi kepada penggiat industri pelancongan dijangka selesai sepenuhnya sebelum akhir bulan Ogos bagi mencapai status imuniti berkelompok. "Ia merupakan satu persiapan penting bagi merancakkan semula sektor pelancongan tempatan yang terjejas teruk ekoran pandemik Covid-19," ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita di Program Outreach Vaksinasi Sektor Pelancongan di Tasik Kenyir, hari ini. Turut hadir, Ahli Parlimen Hulu Terengganu merangkap Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Dato' Rosol Wahid dan Pengerusi Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah)  Dato'  Razali Idris. Tambahnya lagi, program outreach vaksinasi pelancongan telahpun bermula di Pulau Kapas dan kini diteruskan Tasik kenyir, Pulau Redang, Pulau Perhentian dan Pulau Tenggol. "Kita amat berharap pembukaan industri pelancongan akan dapat mengimbangi kerugian, sekali gus meningkatkan pendapatan mereka yang terjejas di kawasan pulau berkenaan," katanya.  
22 Jul 21
94
Kelonggaran Kepada Individu Lengkap Vaksin Sedang Dikaji
Kelonggaran Kepada Individu Lengkap Vaksin Sedang Dikaji
KUALA LUMPUR, 22 Julai - Jawatankuasa teknikal Majlis Keselamatan Negara (MKN) sedang melakukan kajian untuk memberikan kelonggaran kepada individu yang telah lengkap suntikan vaksin setelah meneliti beberapa pandangan yang dikemukakan oleh pakar-pakar kesihatan yang menzahirkan kebimbangan. Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pihak terbabit meminta agar larangan rentas negeri serta daerah terus dikuatkuasakan kerana dikhuatiri akan terus  berlaku penularan jangkitan melihat kepada situasi semasa pandemik Covid-19 sentiasa berubah-ubah. "Tetapi berkemungkinan beberapa pengecualian berupaya untuk diberikan, contohnya pasangan jarak jauh yang masing-masing sudah lengkap suntikan imunisasi, maka boleh dibenarkan merentas negeri dan daerah untuk berjumpa. "Kajian sedang dibuat, kita tiada garis masa bila perkara ini akan dimuktamadkan kerana perlu diperhalusi secara berhati-hati," ujarnya. Beliau berkata demikian selepas meninjau operasi Kilang Pharmaniaga Berhad bagi menyaksikan penyerahan kelompok terakhir bekalan vaksin Sinovac dari Pharmaniaga Berhad kepada Kementerian Kesihatan Malaysia, semalam. Turut hadir, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba. Katanya, keputusan yang akan dimuktamadkan itu nanti akan turut memberi perhatian kepada pemilik perniagaan. "Kita akan melihat kepada keperluan memberi kelonggaran mengikut jenis perniagaan, di mana majikan yang sudah memberikan suntikan kepada semua pekerjanya dan tidak mempunyai sebarang rekod pembentukan kluster. "Justeru ada asas tertentu yang diambil kira sebelum dibenarkan untuk beroperasi," ujarnya. Katanya, walau bagaimanapun keputusan yang akan dimuktamadkan bagi memberikan kelonggaran itu nanti akan merangkumi model pelaksanaan yang digunakan negara jiran dan fakta sains secara menyeluruh.    
22 Jul 21
161