lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Da Silva Hampir Jadi 'Hero'
Da Silva Hampir Jadi 'Hero'
KUALA NERUS, 1 Ogos- Penyerang, David Da Silva hampir menjadi 'hero' dalam aksi yang berkesudahan seri 0-0 antara Terengganu Football Club (Terengganu FC) dan Sabah FC pada saingan Liga Super Malaysia 2021, malam ini. Gol jaringan David Da Silva melalui sepakan percuma pada minit ke-88 bagaimanapun dibatalkan pengadil apabila Mohammad Rahmat Makasuf yang berada dalam kedudukan offside dikatakan melakukan gerakan ke arah bola dan menghalang penjaga gol lawan, Rozaimie Rohim. Beraksi di laman sendiri, anak buah Nafuzi Zain turun tanpa pemain tengah, Makan Konate yang digantikan dengan Argzim Redzovic. Seawal minit pertama, Terengganu FC menggasak hebat kubu pelawat dengan corak serangan pantas. Manakala, Sabah FC yang membariskan penyerang Mohd Amri Yahyah dan Saddil Ramdani di bangku simpanan lebih banyak bertahan pada separuh masa pertama. Bagaimanapun, peluang terbaik Sang Penyu hanya hadir pada minit ke-41 apabila lorongan Faisal Halim berjaya menemui Dechi Marcel yang lolos dari kawalan pertahan dalam kotak penalti. Sayang, rembatannya menerjah palang sebelum terbias mengenai David Da Silva dan dikuis keluar Risto Mitrevski. Kedudukan kekal tanpa jaringan di separuh masa pertama. Memasuki babak kedua, Sang Badak mengubah corak permainan dan lebih banyak melakukan serangan dengan kemasukan duo serangannya, Amri dan Saddil. Nafuzi pula memasukkan pasangan Mohamad Hakimi Abdullah dan Mohammad Rahmat Makasuf bagi menggandakan serangan untuk mencari jaringan awal. Pada minit ke-88, hasrat Terengganu FC untuk mendapatkan tiga mata berkecai setelah gol David Da Silva dibatalkan pengadil. Kedudukan kekal 0-0 sehingga tamat perlawanan.      
01 Aug 21
341
Mazlan Dilantik Naib Canselor UMT Berkuat Kuasa Esok
Mazlan Dilantik Naib Canselor UMT Berkuat Kuasa Esok
  PUTRAJAYA, 1 Ogos – Prof Dr. Mazlan Abd. Ghaffar, 59, dilantik sebagai Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu (UMT) baharu, berkuat kuasa esok. Pelantikan beliau adalah bagi menggantikan Datuk Prof. Dr. Nor Aieni Mokhtar yang menerajui UMT selama enam tahun sejak tahun 2015. Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad dalam satu kenyataan berkata, Mazlan berkelayakan Ijazah Sarjana Muda Sains dalam bidang Perikanan daripada Universiti Putra Malaysia. Menurutnya, beliau juga memiliki Ijazah Sarjana Sains (Pesisir Topikal) daripada University Of Newcastle, England dan memperoleh Ijazah Doktor Falsafah (Biologi dan Ekofisiologi Persekitaran Ikan) pada tahun 2001 daripada University of Wales, United Kingdom. Bersesuaian dengan portfolio beliau dalam bidang penyelidikan dan inovasi, Mazlan juga katanya telah menggerakkan usaha mempergiatkan aktiviti penyelidikan khususnya di UMT melalui pelbagai pencapaian di peringkat institusi. “Antara lainnya ialah pengiktirafan AKUATROP sebagai HiCOE kedua di UMT, mengetuai projek khas LRGS hasil kerjasama dengan beberapa buah Universiti Awam iaitu ‘Ocean Climate Change: Potential Risk, Impact and Adaptation Towards Marine and Coastal Ecosystem Services in Malaysia’ dan mewujudkan dana khas penyelidikan UMT berjumlah RM3 juta,” katanya. Noraini berkata, Mazlan turut serta menubuhkan Bahagian Inovasi dan Pengkomersialan di UMT dengan matlamat utama mengenal pasti penyelidikan berpotensi untuk didaftarkan sebagai harta intelek dan seterusnya dikomersialkan. “Melalui inisiatif ini, sebanyak 105 harta intelek berjaya dihasilkan yang menyumbang kepada penjanaan pendapatan UMT bagi tahun 2020. “Beliau juga menganggotai beberapa pertubuhan antarabangsa seperti Ichthyological Society of Japan, Marine Biology Association of United Kingdom, Asean Fisheries Society dan Taiwan Oceanography Society,” katanya. Sementara itu, Noraini berkata,  dengan visi untuk meneraju UMT sebagai universiti berfokus yang cemerlang dengan bidang tujahan utama sains marin, beliau percaya Mazlan mampu menggalas tanggunjawab dan meneruskan kesinambungan kecemerlangan kepimpinan UMT. Pada masa sama, Noraini turut menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Nor Aieni atas segala jasa bakti beliau. -K! ONLINE
01 Aug 21
682
Lagi 21 Lokaliti  Di Terengganu Dikenakan PKPD
Lagi 21 Lokaliti  Di Terengganu Dikenakan PKPD
KUALA TERENGGANU, 1 Ogos - Kerajaan hari ini mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di 21 lokaliti melibatkan tiga mukim bagi mengawal penularan COVID-19, bermula 3 Ogos hingga 16 Ogos ini. Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata mukim yang terlibat ialah Mukim Jabi yang melibatkan lokaliti Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) Anak Ikan di Besut. "Sementara itu, dua mukim di Dungun yang melibatkan sembilan lokaliti di Mukim Kuala Dungun iaitu Kubang Miang, Teratai, Teluk Lipat, Alor Tembesu, Sura Utara, Batu 48, Sura Gate, Bukit Chatak dan Tembesu Akar. "Manakala di Mukim Sura sebanyak 11 lokaliti terlibat dengan pelaksanaan PKPD iaitu Batu 5, Sura Tengah, Alor Tempoyak, Taman Rakyat Jaya, Taman Delima Batu 6, Balai Besar, Sura Melati, Batu 7, Paya Balai Besar, Pak Sabah dan Sura Lapangan Terbang. "PKPD di kesemua  lokaliti tersebut dilaksanakan setelah kerajaan meneliti pembentangan Kementerian Kesihatan (KKM) dan menilai risiko serta trend jangkitan COVID-19," katanya dalam kenyataan media mengenai Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan PKPD, hari ini. Pelaksanaan PKPD ini, jelas Hishammuddin adalah untuk mengawal pergerakan penduduk dan mengurangkan jangkitan dalam komuniti. Selain itu katanya, PKPD akan memudahkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar ke atas  penduduk di 21 lokaliti tersebut. "Prosedur operasi standard (SOP) bagi semua PKPD adalah sama seperti yang diumumkan sebelum ini. Maklumat lanjut boleh diakses di laman sesawang MKN di www.mkn.gov.my," jelasnya.
01 Aug 21
19140
Pulau Redang Lengang, Pengusaha Resort Kekal Optimis
Pulau Redang Lengang, Pengusaha Resort Kekal Optimis
KUALA NERUS, 1 Ogos – Pulau Redang kini melalui fasa suram akibat ketiadaan pengunjung berikutan penularan wabak COVID-19. Namun buat pengurus operasi resort Redang Bay, Lim You Jing, 37, beliau masih menaruh harapan dan mengambil pelbagai langkah drastik demi mengharungi kesan ekonomi tersebut. Katanya yang meneraju bisnes keluarganya itu sejak 1989, sebelum dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan pada tahun ini, resortnya mampu menarik ramai pengunjung terutamanya dari dalam negara. “Tapi sekarang, kita terpaksa tanggung kerugian sehingga RM800 setiap hari bagi menampung kos harian seperti makanan buat 25 orang pekerja dan minyak diesel untuk bot dan elektrik. “Antara langkah drastik terpaksa diambil seperti pemotongan kos elektrik dengan penutupan penjana setiap hari pada jam 5 pagi sehingga 7.30 malam, menjual beberapa bot penumpang dan lain-lain lagi. “Namun begitu, sehingga bulan ke-16 tidak beroperasi, tiada pengurangan saiz staf terpaksa dibuat dalam kalangan pekerja kontrak saya,” katanya ketika ditemubual pemberita di Redang Bay, semalam. Sehubungan itu, You Jing dan seluruh stafnya mengambil suntikan vaksin COVID-19 dos pertama menerusi program Outreach Imunisasi COVID-19 (PICK) sebagai usaha menghidupkan kembali industri pelancongan mencapai status imuniti berkelompok dengan segera. “Ini memberi sinar harapan kepada kami bagi mengerakkan kembali pulau ini yang sudah tersadai sekian lama. “Melalui kerjasama dan perbincangan erat bersama persatuan resort Pulau Redang, kita bersedia menerima pelancong bila-bila masa sahaja bergantung kepada situasi dalam negara,” katanya lagi. Untuk rekod, kira-kira 1,270 penduduk Pulau Redang telah selesai disuntik dan akan dijangka siap sepenuhnya dengan dos kedua pada 28 Ogos ini.  
01 Aug 21
926
COVID-19: Terengganu Tambah Satu lagi PKRC
COVID-19: Terengganu Tambah Satu lagi PKRC
KUALA TERENGGANU, 1 Ogos - Satu lagi Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) akan dibuka di negeri bermula esok susulan peningkatan mendadak kes positif yang berlaku semalam. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Dr Alias Razak berkata setakat ini terdapat enam PKRC dengan kapasiti 2,967 katil dan pembukaan yang terbaharu itu menjadikan tujuh pusat rawatan di negeri tersebut. Katanya, PKRC baharu itu beroperasi di Institut Pendidikan Guru Sultan Mizan di Besut dengan kapasiti 392 katil. "Sekiranya keadaan masih tidak terkawal, kita bercadang untuk menambah lagi dua PKRC iaitu di Stadium Negeri, Kuala Terengganu (400 katil) dan Pusat Kokurikulum Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu di Hulu Terengganu (350 katil)," katanya ketika dihubungi. Semalam, Terengganu merekodkan 883 kes jangkitan baharu COVID-19 iaitu kes tertinggi pernah dicatatkan sejak pandemik berlaku. Daripada jumlah tersebut, 860 kes membabitkan penularan tempatan manakala kes import B (14 kes), kes import C (8 kes) dan kes orang kena tahan (satu kes) menerusi 15 kluster yang terlibat.   
01 Aug 21
2082
Mat 'Aquaman' Antara 517 Penggiat Pelancongan Pulau Redang Divaksin
Mat 'Aquaman' Antara 517 Penggiat Pelancongan Pulau Redang Divaksin
KUALA NERUS, 1 Ogos – Che Mohd Ridzwan Jaafar atau Mat yang dikatakan seiras dengan bintang filem Aquaman merupakan salah seorang daripada 517 penggiat pelancongan yang menerima vaksin COVID-19 di Pulau Redang, semalam. Dia yang juga seorang pemandu juruselam berusia 32 tahun berkata, pengambilan vaksin adalah sebagai usaha pencegahan virus daripada terus menular di sekitar tempat kerjanya di Redang Pelangi dan untuk keselamatan pelanggannya. “Semasa musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0, kita tidak dapat beroperasi lebih tiga bulan, dalam masa itu kita duduk saja. “Diharapkan dengan seluruh warga Pulau Redang disuntik agar ia dapat memberi peluang kepada kita untuk buka kembali. “Terima kasih kepada kerajaan negeri dan seluruh petugas kesihatan yang terlibat dalam pemberian suntikan dan penyampaian maklumat berkenaan vaksin,” katanya ketika ditemubual pemberita selepas disuntik di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Sekolah Kebangsaan Pulau Redang. Sementara itu, seorang kapten kapal layar mewah dari Brazil, Watson Gomes Da Silva menyifatkan prosedur perolehan vaksin untuknya adalah mudah dengan perkhidmatan yang terbaik. Jelasnya, dia bersama 12 orang kru kapal mendaftar menerusi aplikasi MySejahtera seperti diarahkan kerajaan Malaysia dan proses suntikan sangat memuaskan. Menurut Pengarah pelancongan negeri, Fadli Yusof Zakaria, program outreach itu akan selesai suntikan 100 peratus penduduk di pulau peranginan itu melibatkan 167 pekerja asing manakala baki adalah rakyat tempatan. "Ini bagi memastikan lebih ramai penggiat industri dapat divaksin secara besar-besaran seterusnya menjadikan produk-produk pelancongan seperti pulau-pulau dan tasik di negeri Terengganu ini dapat mencapai status imuniti berkelompok dengan segera," ujarnya kepada pemberita.  
01 Aug 21
573
Vaksin Di Kawasan Kritikal Ditambah, Dipercepat - MB Terengganu
Vaksin Di Kawasan Kritikal Ditambah, Dipercepat - MB Terengganu
KUALA TERENGGANU, 31 Julai - Kerajaan negeri akan menambah dan mempercepatkan pemberian vaksin di kawasan kritikal bagi mengurangkan penularan COVID-19 di Terengganu. Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, beliau akan memohon dengan pihak berautoriti agar perkara itu dilaksanakan di kawasan yang mengalami jangkitan tinggi di negeri terbabit seperti Kemaman dan Dungun. "Kerajaan negeri juga menerusi Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) dan agensi penguatkuasa termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang dan akan meningkatkan kawalan dengan memperbanyakan saringan kontak rapat dan saringan di lokaliti berisiko yang telah dikenalpasti. "Susulan daripada aktiviti pengesanan ini, kita menjangkakan akan berlaku peningkatan kes COVID-19 dalam masa dua minggu yang akan datang, namun saya ingin berpesan agar kita tidak panik, kekal tenang," katanya dalam satu kenyataan sebentar tadi. Mengulas lanjut mengenai bilangan kes tertinggi yang direkodkan di Terengganu hari ini, Ahmad Samsuri memaklumkan ia berpunca daripada aktiviti-aktiviti semasa perayaan Aidiladha yang dilakukan tanpa mematuhi prosedur operasi standard (SOP). “Terdapat majlis keraian dan seumpamanya dijalankan secara sembunyi dalam masyarakat. "Termasuklah terdapat aktiviti merentas daerah dan negeri semasa perayaan walaupun ia tidak dibenarkan pihak berkuasa," katanya. Menurutnya lagi, peningkatan kes turut berpunca daripada kemasukan pekerja kontrak warga asing dari luar Terengganu yang tidak disaring dan mencetuskan kluster antara mereka. "Di samping itu, saringan kontak rapat dan bersasar di beberapa lokaliti di seluruh Terengganu serta wujudnya kes bergejala yang menular dengan cepat dalam komuniti juga antara punca kes bertambah," jelasnya. Oleh itu, beliau menyeru agar seluruh rakyat Terengganu terus mematuhi SOP dan mengamalkan kawalan kendiri walaupun negeri itu kini berada di fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN). "Sekiranya tiada urusan mustahak teruskan kekal berada di rumah, jika perlu keluar pastikan SOP dipatuhi," tambah beliau Hari ini, Terengganu merekodkan kes tertinggi sejak COVID-19 melanda dunia dengan 883 kes dan tiga kematian.
31 Jul 21
813
Sektor Perladangan Buka Peluang Buat Tenaga Kerja Tempatan
Sektor Perladangan Buka Peluang Buat Tenaga Kerja Tempatan
KUALA NERUS, 31 Julai - Berdepan situasi semasa Covid-19 hari ini, sektor perladangan terutama industri kelapa sawit mungkin berpeluang melepaskan kebergantungan kepada tenaga kerja asing. Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, pergantungan sepenuhnya sektor sawit kepada khidmat pekerja asing adalah sekitar 250 ribu pekerja  "Sejak Covid-19 melanda, kita berhadapan dengan kekurangan tenaga kerja dalam industri sawit kerana kita bergantung kepada tenaga pekerja asing, tetapi kita 'cover' sedikit demi sedikit dan mula bergantung kepada rakyat tempatan termasuklah dengan membekalkan mekanisasi serta automasi dalam pengurusan ladang. "Melaluinya, kita berjaya kurangkan sebahagian ruang pekerjaan untuk diisi dengan rakyat tempatan. Sebab itu, kita terus buat promosi besar-besaran dari sudut peluang pekerjaan di ladang kepada rakyat yang menjanjikan pulangan lumayan sebenarnya," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan kios Amal Kongsi Rezeki di Sabasun Hypermarket Wakaf Tembesu, hari ini. Menurutnya, usaha itu turut membawa kepada peningkatan tenaga kerja tempatan dalam sektor perladangan.  "Memang ada peningkatan, cuma angka tepat belum dapat dikumpulkan sepenuhnya daripada syarikat-syarikat terlibat. "Tetapi pada masa yang sama, unjuran kerugian kita disebabkan kekurangan tenaga kerja ini adalah kira-kira RM6 bilion setahun berikutan kerajaan masih menutup sempadan kepada warga asing untuk masuk bekerja," katanya. Jelasnya, ada beberapa pengecualian yang sedang dibincangkan pada peringkat kementerian untuk mendapatkan sekitar 30 ribu pekerja asing khusus bagi pekhidmatan penuaian buah kelapa sawit bagi menampung kekurangan tersebut. "Namun, ia masih lagi dalam peringkat perbincangan melibatkan kementerian-kementerian lain dan kita mengkhususkan keperluan khidmat tenaga kerja itu hanya dalam bidang penuaian sahaja. "Jumlah tenaga kerja dianggarkan yang masih ada dalam sektor perladangan ialah sebanyak 80 ribu pekerja yang masih lagi ada permit," katanya. Terdahulu, Khairuddin pada April lalu telah menyuarakan saranan dan galakan kepada rakyat tempatan untuk mengisi kekosongan 32 ribu peluang pekerjaan dalam sektor perladangan. Tambahnya, kementerian telah melaksanakan karnival kerjaya dan iklan secara besar-besaran termasuk menerusi laman web JobsMalaysia dan berharap rakyat terutama yang terjejas akibat pandemik Covid-19 mengambil peluang tersebut.      
31 Jul 21
215
MRC, Yayasan Amal Wujudkan 260 Kios Kongsi Rezeki Seluruh Negara
MRC, Yayasan Amal Wujudkan 260 Kios Kongsi Rezeki Seluruh Negara
KUALA NERUS, 31Julai - Sebanyak 260 kios Amal Kongsi Rezeki berjaya diwujudkan hasil kerjasama Majlis Getah Malaysia (MRC) dan Yayasan Amal Malaysia (YAM) di seluruh negara. Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, langkah tersebut merupakan ikhtiar mengajak masyarakat memperkuatkan usaha saling membantu sesama rakyat. "Dalam suasana seumpama ini, bukan sahaja kerajaan yang membantu rakyat, tetapi rakyat turut membantu rakyat. Insya-Allah, saya yakin melaluinya bebanan ditanggung rakyat akan berkurangan. "Hari ini saya dan Dr. Alias sumbang barangan berharga RM650. Saya mengajak masyarakat turut menyumbang apa-apa saja barang keperluan, tidak perlu banyak, cukup 10 peratus sahaja dari apa yang mereka beli sebagai usaha bersama," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan kios Amal Kongsi Rezeki di Sabasun Hypermarket, Wakaf Tembesu, hari ini. Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri  (ADUN) Bukit Tunggal, Dr. Alias Razak dan Pengerusi Yayasan Amal Malaysia, Hussin Ismail. Tambah Khairuddin, beliau turut menyasarkan untuk membuka empat lagi kios tersebut di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam parlimen Kuala Nerus. "Selain itu, sepanjang dua bulan kita melalui fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN), pihak parlimen Kuala Nerus telah membelanjakan sebanyak RM600,000 dana bantuan bagi rakyat di sini. "Sehingga kini, lebih 9,000 keluarga telah menerima manfaat ini melalui program bakul makanan parlimen untuk meringankan bebanan rakyat disamping bantuan tunai kepada sebahagian keluarga," katanya.      
31 Jul 21
201
Penggiat Di Lima Pusat Peranginan Selesai Vaksin Akhir Ogos
Penggiat Di Lima Pusat Peranginan Selesai Vaksin Akhir Ogos
KUALA NERUS, 31 Julai - Kerajaan negeri menyasarkan keseluruhan penggiat pelancongan di empat pusat peranginan dan Tasik Kenyir selesai menerima suntikan dos kedua pada akhir Ogos sebagai persediaan menerima pelancong sebaik sektor pelancongan kembali dibuka. Perkembangan tersebut dikongsi Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, Fadli Yusof Zakaria, katanya antara pulau terlibat ialah seperti Pulau Redang akan selesai suntikan dos kedua pada akhir Ogos dibawah program Outreach Imunisasi COVID-19 (PICK). Fadli Yusof Zakaria (kiri) bersama Ahmad Faris Abdul Razak (kanan). “Menerusi program outreach ini juga, penduduk serta para penggiat industri yang terdiri daripada pengusaha, pekerja hotel dan resort serta pemandu bot menerima suntikan vaksin meyakinkan kepada pelancong untuk ke Terengganu menerusi gelembung pelancongan domestik. “Melalui proses imuniti kelompok ini, gelembung tersebut akan menjadi lebih selamat, tahap pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) juga ketat dengan bukti tiada kes positif di sini,” katanya ketika ditemubual pemberita di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Sekolah Kebangsaan Pulau Redang, pagi tadi. Turut hadir, Pegawai Daerah Kuala Nerus, Ahmad Faris Abdul Razak. Menjelas lanjut berkenaan tahap kesiapsiagaan industri tersebut, Fadli berkata, pihaknya mengarahkan seluruh penggiat pelancongan seperti pengusaha resort dan hotel untuk kekal bersedia menerima tetamu. “Kita tidak boleh jangka bila boleh dibuka (sempadan), namun kami yakin dengan imuniti kelompok dalam masa dua bulan akan datang pelancongan yang terjejas teruk akan rancak kembali,” katanya lagi. Dalam pada itu, Tourism Terengganu turut menyantuni 110 petugas barisan hadapan di PPV Pulau Redang dengan menyumbang barangan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) sebagai tanda sokongan atas keringat menjayakan kerja vaksinasi di sini.  
31 Jul 21
317