Artikel "Utama" Terkini
Warga Tani Terengganu Positif COVID-19 Terharu Terima Bantuan 'One-Off'
SETIU, 3 Ogos - Nasib warga tani daripada sektor pertanian, penternakan dan juga perikanan di negeri ini yang positif Covid-19 terbela apabila kerajaan Terengganu memberikan bantuan 'one-off' kepada mereka.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr. Azman Ibrahim berkata, bantuan sebanyak RM500 kepada 90 individu itu diharap mampu meringankan sedikit beban dialami sepanjang menjalani tempoh rawatan dan kuarantin.
Katanya, kerajaan sentiasa memberi tumpuan kepada yang terlibat dalam sektor berkenaan kerana mereka adalah penyumbang utama bekalan makanan untuk seluruh rakyat.
"Kalau kita tengok daripada angka positif Covid-19 yang melibatkan sektor pertanian, nelayan dan penternakan ini boleh kita simpulkan bahawa masih berada pada tahap yang sangat rendah risiko terdedah kepada jangkitan.
"Walaupun begitu peringatan dan pematuhan kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) perlu diberi keutamaan dalam rangka kita hendak memastikan perkhidmatan sektor ini terus berjalan, dan rantaiannya tidak terputus walaupun dalam pelbagai situasi sekatan dan kekangan yang sedang kita lalui bersama ini," ujarnya.
Beliau berkata demikian, ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan bantuan berkenaan bagi daerah ini, pada Program Melabuh Unjam Komuniti Perikanan (myKP) Bari dan myKp RHU 10, di Perairan Setiu, pada hari ini.
Turut hadir, Pegawai daerah, Haji Rosli Latif, Pemangku Pengarah Pertanian negeri, Zulkifli Amin Mat Jusoh dan Ketua Polis daerah tersebut, Deputi Superitendan Afandi Husin.
Sementara itu salah seorang penerima sumbangan, Norizan Ali, 53, berkata pihaknya sangat bersyukur dengan bantuan yang diberikan itu.
"Saya dengan isteri didapati positif pada Jun lalu. Bantuan ini sangat besar bagi kami dalam meringankan beban perbelanjaan kami sekeluarga.
"Kami masih mempunyai lima orang anak di bawah tanggungan saya, sepanjang tempoh itu tidak boleh kemana-mana untuk bekerja seperti biasa. Saya ucapkan terima kasih kepada kerajaan," ujarnya.
Seorang lagi penerima bantuan, Amran Derahat, 54, juga menyatakan bahawa bantuan berkenaan sangat membantu.
"Saya merupakan salah seorang pesawah, sangat bersyukur mendapat bantuan ini daripada pihak kerajaan untuk membantu golongan seperti kami.
"Jadi dapatlah menampung perbelanjaan kami sekeluarga bagi meneruskan kelangsungan hidup," ujarnya yang juga merupakan seorang imam di Masjid Kampung Banggol.
03 Aug 21
438
Gerobok Rezeki Hotel Primula 'Hadiah' Kecil Buat Yang Memerlukan
KUALA TERENGGANU, 3 Ogos -Prihatin terhadap masyarakat yang terkesan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)dan kehilangan punca pendapatan mendorong Primula Beach Hotel mengambil inisiatif mewujudkan projek Gerobok Rezeki bagi membantu mereka mendapatkan barangan keperluan harian secara percuma.
Pengurus Besarnya, Suaibah Harun, berkata ia bertujuan membantu mereka terutama ketua keluarga yang terputus atau kekurangan bekalan makanan keperluan harian untuk kelangsungan hidup.
Katanya, Gerobok Rezeki beroperasi dengan menerima sejumlah barangan keperluan asas daripada warga kerja Primula Beach Hotel bermula 1 Ogos baru-baru ini.
"Seterusnya, pihak hotel mengumpulkan barangan tersebut dan mengagihkannya ke masjid-masjid dan surau-surau tertentu di sekitar daerah Kuala Terengganu, Kuala Nerus dan Marang.
"Kami juga tidak menetapkan had kapasiti barangan keperluan asas yang perlu disumbangkan dan ia terpulang kepada pihak masjid dan surau untuk menguruskannya," katanya ketika dihubungi.
Menurut beliau, antara barangan keperluan harian yang disediakan termasuklah beras, minyak masak, tepung gandum, gula, ikan sardin, mee segera dan lain-lain.
Jelasnya, pengagihan barangan keperluan asas itu dimulakan ke Surau Tahfiz Darul Ulama Marang, Masjid Jamek Kampung Paloh Kuala Terengganu dan Masjid Kampung Seberang Takir Kuala Nerus .
Justeru itu katanya, beliau berharap program Primula Gerbok Rezeki dapat membantu golongan yang tidak berkemampuan dan membuka peluang buat mereka yang ingin menghulurkan bantuan dengan cara yang mudah.
03 Aug 21
1483
KPDNHEP Cadang Kit Ujian COVID-19 Sebagai Barang Kawalan
HULU TERENGGANU, 3 Ogos - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) kini dalam proses menjadikan kit ujian COVID-19 sebagai barang kawalan di negara ini.
Timbalan Menterinya, Dato' Rosol Wahid berkata cadangan itu berdasarkan maklum balas yang diterima dari orang ramai ketika ini, harga kit ujian tersebut agak membebankan terutama pada golongan berpendapatan rendah.
"Kita dapat maklumat harganya RM39.90 setiap satu, tidak ramai yang mampu membelinya jadi ia akan membebankan pengguna sekiranya terpaksa membeli lebih dari satu unit sekiranya mempunyai ahli keluarga ramai.
"Jadi, kita sedang buat advokasi dengan pengilang, pengimport dan penjual untuk dapatkannya pada harga yang munasabah agar pelaksanaan ini tidak merugikan peniaga dan tidak bebankan rakyat.
"Kita harap harganya nanti akan mampu dibeli oleh semua orang....di samping itu peranan kita juga adalah untuk pastikan kit ujian ini tidak ada yang tiruan. Kita bimbang ada yang cuba hasilkan barang tiruan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau Program Mobilisasi Vaksin Komuniti (MOVAK) di Sekolah Kebangsaan Felda Bukit Bading di sini hari ini.
Seramai 360 penduduk felda tersebut menerima vaksin COVID-19 mereka melalui program tersebut.
Tambahnya lagi, jika sudah diwartakan di bawah Akta Kawalan Harga 1946, tindakan boleh diambil kepada pembekal yang menaikkan harga sewenang-wenangnya.
03 Aug 21
197
PKPD 12 Lokaliti Kemaman, Dungun Dilanjutkan Sehingga 17 Ogos
KUALA TERENGGANU, 3 Ogos - Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di dua lokaliti di Mukim Bandi, daerah Kemaman dan 10 lokaliti dalam Mukim Kuala Dungun yang sepatutnya berakhir hari ini, dilanjutkan berkuat kuasa esok sehingga 16 Ogos (Mukim Kuala Dungun) dan 17 Ogos (Mukim Bandi) depan.
Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu dibuat selepas penilaian risiko Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berikutan masih terdapat penularan kes berlaku di lokaliti itu.
"Antara lokaliti terlibat di daerah Kemaman adalah Bandar Cheneh Baru dan Felda Neram 2. Di Dungun pula, antara lokaliti terlibat adalah Kampung Sungai Buaya, Kampung Tanah Lot, Kampung Lembah, Kampung Padang Jambu, Kampung Nibong, Kampung Bukit Chatak Tengah, Kampung Molek, Kampung Bijangga, Kampung Sungai Udang dan Kampung Sungai Penaga.
"KKM mendapati masih berlaku penularan berterusan dalam kalangan penduduk serta terdapat juga kes baharu direkodkan di lokaliti tersebut.
"Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju melanjutkan PKPD di 12 lokaliti di Dungun dan Kemaman bermula esok," katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Menurutnya, prosedur operasi standard (SOP) bagi semua PKPD adalah sama seperti yang diumumkan sebelum ini dan maklumat lanjut boleh diakses di laman sesawang Majlis Keselamatan Negara (MKN) di www.mkn.gov.my.
Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah melaporkan, Terengganu mencatatkan kes positif Covid-19 harian sebanyak 425 kes semalam manakala kes di seluruh negara melebihi 15,000 kes iaitu 15,764 kes.
03 Aug 21
1497
70 'Barber' Dapat Bantuan RM200
HULU TERENGGANU, 3 Ogos - Sebanyak RM14,000 telah diperuntukkan oleh Parlimen Hulu Terengganu bagi bantuan kewangan khas untuk tukang gunting rambut yang terjejas teruk sejak penularan pandemik koronavirus (Covid-19).
Ahli Parlimennya, Dato' Rosol Wahid berkata, bantuan berupa wang tunai RM200 tersebut disalurkan kepada 70 tukang gunting rambut yang berdaftar
"Ia bagi membantu mereka berdepan cabaran Covid-19 khususnya ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 apabila perkhidmatan salon dan gunting rambut tidak dibenarkan beroperasi.
"Dan kini mereka telah dibenarkan kembali beroperasi tetapi dalam situasi yang agak sukar jadi kita tolong meringankan beban mereka sebelum perniagaan kembali stabil," ujarnya kepada pemberita selepas agihan bantuan kepada 'barber', semalam.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Tukang Gunting Daerah Hulu Terengganu, Abdul Hafiz Abdullah, 33, berkata sumbangan tersebut merupakan satu penghargaan buat mereka yang hanya bergantung kepada hasil gunting rambut.
Katanya, kebanyakan pengusaha kedai gunting terdiri daripada kalangan belia yang berusia 30 tahun ke bawah di samping mereka yang baharu memasuki alam pekerjaan.
"Secara keseluruhannya tukang gunting rambut adalah golongan berpendapatan harian, dibayar mengikut bilangan orang yang mereka telah gunting rambut.
"Apabila ada pihak yang tampil memberikan bantuan, orang seperti kami amat berasa lega dan menghargainya," ujarnya lagi.
Tambah Abdul Hafiz, dia berharap situasi Covid-19 akan bertambah baik bagi membolehkan rakyat termasuk golongan peniaga dapat memulihkan kembali ekonomi seperti biasa sebelum wabak pandemik melanda.
03 Aug 21
276
YPU Boleh Bantu Usahawan Perkasa Ilmu Perniagaan Online
MARANG, 2 Ogos - Dalam Tempoh dan keadaan norma baru yang diamalkan ketika pandemik Covid-19 ini, platform secara atas talian memang sangat penting bagi orang-orang yang melakukan perniagaan.
Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) adalah satu agensi yang menawarkan pelbagai khidmat untuk membantu usahawan dan para peniaga lebih-lebih lagi yang terkesan serta terjejas..
Pengurus Pembangunan Usahawan YPU Negeri Terengganu, Engku Mohd Hairulnizam Tuan Ahmad berkata pihaknya akan membantu memberi panduan dalam hal peniagaan kepada peniaga dan usahawan.
"YPU juga boleh bantu set up ilmu berkaitan platform secara atas talian, dana, pembangunan produk, packaging dan kursus-kursus berkaitan keusahawanan. Boleh juga berdaftar sebagai ahli YPU.
"Kebanyakan orang yang berumur mungkin agak susah untuk menggunakan medium generasi masa kini, namun jika dipelajari dengan baik ianya boleh membantu semua orang dengan syarat, bersungguh-sungguh.
Beliau berkata ketika mengunjungi dua buah keluarga untuk dibantu di Kampung Rusila dan Medan Jaya bersama-sama Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Rhu Rendang.
Menurutnya lagi, jika peniaga atau usahawan mempunyai sebarang masalah, mereka juga boleh turus menghubungi YPU untuk mendapatkan sebarang maklumat yang lebih terperinci.
"Kita di YPU memang mempunyai banyak cara untuk membantu atau 'assist' usahawan kita, tetapi anda juga perlu 'berkawan' atau mengenali YPU supaya tidak tercicir atau dengan lebih tepat tidak tahu tentang bantuan yang diperkenalkan kerajaan.
"Jika hari ini, kita mendapat maklumat daripada Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Rhu Rendang, jadi mungkin kita boleh turun ke lapangan untuk memberikan penerangan lebih jelas kepada mereka."
Sementara itu, Pegawai Khas Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Rhu Rendang, Nasaruddin Samsudeng menjelaskan bahawa pihaknya sangat komited dalam menyampaikan maklumat untuk membantu masyarakat.
"Kita sangat berterima kasih kepada YPU yang sudi memberikan kebersamaan dalam usaha membantu usahawan dan peniaga kita untuk menempuhi tempoh sukar ini," tambahnya.
03 Aug 21
517
Terengganu Berupaya Beralih Fasa Tiga Jika Terus Patuh SOP
KUALA TERENGGANU, 3 Ogos - Terengganu berupaya mengikut jejak langkah Perlis, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan untuk beralih ke fasa tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) jika terus kekal mematuhi segala peraturan dan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan kerajaan.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pihaknya opitimis bahawa akan lebih banyak negeri beralih ke fasa berikutnya di mana kerajaan akan terus memacu peranan mengorak langkah ke hadapan dalam memastikan pemulihan negara dapat dijalankan secara lebih sistematik dan selamat.
Di samping itu katanya, strategi kerajaaan juga pada ketika ini adalah memastikan seramai mungkin penduduk dewasa di negara ini telah diberikan vaksin.
"Ia bagi memastikan pemulihan negara dapat dijalankan dengan lancar. Lebih ramai yang divaksinasi, lebih ramai terlindung, lebih kurang tekanan dan bebanan kepada sistem kesihatan negara dan lebih banyak sektor ekonomi yang boleh dibuka dengan selamat," katanya.
Beliau berkata demikian menerusi Facebook rasminya selepas mempengerusikan Mesyuarat Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN), bagi memperincikan kemudahan kepada individu yang telah lengkap menerima dua dos vakisn, semalam.
Turut serta, Menteri Penyelaras PPN, Tengku Datuk Sri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz bagi membentangkan perkembangan terbaru PPN.
Muhyiddin berkata, kemudahan yang bakal dinikmati oleh setiap sektor eknomi juga turut diperhalusi dengan berhati-hati.
"Bagi memastikan usaha kerajaan untuk memulihkan ekonomi dan kualiti hidup rakyat dapat dilaksanakan dengan lancar, insya-Allah kemudahan ini akan saya umumkan dalam waktu yang terdekat.
"Diharapkan dapat memanfaatkan sebaiknya individu yang telah menerima vaksin lengkap dan juga membantu sektor ekonomi kita dengan mengambil kira keselamatan rakyat," ujar beliau.
02 Aug 21
3706
PKPD : Jawatankuasa Khas Pelihara Kebajikan PAKR Anak Ikan
BESUT, 3 Ogos - Kerajaan negeri telah menubuhkan satu jawatankuasa khas penyelarasan berperanan memelihara kebajikan penduduk terkesan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) Anak Ikan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Dr Azman Ibrahim berkata, penubuhan tersebut turut berperanan memastikan 722 orang masyarakat berumur mulai satu hingga 80 tahun ke atas tidak tercicir.
“Bantuan sewajarnya akan diagihkan kepada 152 ketua isi rumah (KIR) PAKR Anak Ikan sepanjang PKPD dilaksanakan sehingga 16 Ogos di kawasan tersebut jadi penduduk tidak perlu bimbang.
“Semoga dapat bersabar warga PAKR Anak Ikan Jabi. Tempoh sukar dua minggu ini insya-Allah kita lalui bersama. kebajikan adik kakak semua keutamaan kami,” katanya menerusi Facebook rasminya, petang semalam.
Dalam perkembangan sama, seramai 500 penduduk Kampung Anak Ikan di Besut telah diarahkan menjalani ujian saringan COVID-19 bagi memastikan penularan wabak dikawal.
Kerja saringan selama dua hari bermula Isnin sehingga Selasa itu berikutan kedudukan kampung tersebut berdekatan dengan PAKR Anak Ikan.
“Kira-kira 250 penduduk pada Isnin akan disaring di Dataran Masjid Kampung Anak Ikan manakala selebihnya pada Selasa.
“Saya harap semua penduduk dapat hadir menjalani ujian saringan ini sebagai salah satu langkah pencegahan awal.
“Bagi PAKR Anak Ikan pula, penduduk sudah jalani ujian saringan pada minggu lepas dan setakat ini saya dimaklumkan sebanyak 15 kes positif COVID-19 dikesan,” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian.
02 Aug 21
266
Terengganu Antara Negeri Catat Pendaftaran Vaksinasi Terendah
KUALA TERENGGANU, 2 Ogos - Terengganu masih merekodkan kadar pendaftaran terendah bagi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) setakat kelmarin.
Tiga negeri lain yang turut merekodkan kadar pendaftaran terendah adalah Sabah, Kelantan dan Pahang.
Berdasarkan statistik dipaparkan di laman sesawang Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV), Sabah mencatatkan peratusan terendah pendaftaran vaksinasi iaitu 42.9 peratus dengan setakat ini, 1,182,703 penduduk dewasa sudah berdaftar.
Ia diikuti Kelantan yang mencatatkan 64.5 peratus atau 796,795 penduduk berdaftar, Pahang dengan 79.5 peratus (934,493) dan Terengganu pada kadar 79 peratus (683,240).
JKJAV turut memaklumkan, setakat ini jumlah pendaftaran sudah mencapai 20,885,218 orang di seluruh negara.
Daripada jumlah itu, 13,816,971 penduduk sudah menerima dos pertama vaksin COVID-19 di 705 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di seluruh negara.
02 Aug 21
802
DHPP Cegah Aitiviti Tidak Bermoral Rumah Terbengkalai
MARANG, 1 Ogos - Rumah terbengkalai di Rhu Renggeh di sini yang menjadi sarang bagi aktiviti tidak bermoral mendapat perhatian Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) Negeri Terengganu untuk membuat aduan kepada pihak berwajib.
Seorang penduduk kaum Tionghua, Chua Geok Beng, 61 berkata, dia kerap kali menjumpai individu dan pasangan yang memecah masuk kawasan rumah tersebut.
"Rumah terbengkalai itu juga membahayakan keselamatan penduduk sekitar apabila berlaku runtuhan bahagian bangunan dan cermin ke atas bumbung rumah.
"Bahagian dapur saya juga pernah ditimpa cermin yang jatuh sebelum ini dan menyebabkan saya rugi besar kerana banyak perabot rosak kerana ketika itu, hujan lebat, " katanya.
Keadaan di dalam rumah yang ditinggalkan
Menurut Pegawai Khas Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Rhu Rendang, Nasaruddin Samsudeng , Penguatkuasa Syariah Pejabat Agama Daerah Marang bersama Pertubuhan Amar Makruf Nahi Mungkar Kawasan Marang (SKUAD AMAR) dan Sukarelawan Syariah kawasan Marang telah meninjau keadaan rumah tersebut.
"Aduan ini juga dibuat melalui, Pegawai Khas (Hal-Ehwal Bukan Islam), Menteri Besar Terengganu, Dr Balachandran Gopal Krishnan dan Ketua Pemuda DHPP Negeri Terengganu, Alex Chan Foo Yew, yang sama-sama komited mengambil tanggungjawab pencegahan secara bersama.
"Dari hasil tinjauan, rumah tinggal itu kelihatan seperti tidak berpenghuni dari luar. Namun, apabila melihat daripada keadaan dan suasana di dalam rumah, jelas menunjukkan menjadi sarang bagi aktiviti tidak bermoral dan mungkin pernah menjadi tempat tinggal sebuah keluarga termasuk anak kecil.
"Siasatan dibuat selepas menerima aduan daripada seorang penduduk kaum tionghua yang kerap beberapa kali menjumpai individu dan pasangan yang memecah masuk ke rumah tersebut sebelum ini.
Tinjauan bersama Pihak Berkuasa Tempatan
"Disamping itu, tinjauan telah dibuat bersama Pihak Berkuasa Tempatan bagi mengenal pasti status bangunan itu yang dikatakan terbengkalai lebih dari lima tahun.
"Terima kasih diucapkan kepada penduduk setempat walaupun majoritinya berbangsa cina, namun mempunyai kesedaran yang tinggi berkaitan aktviti tidak bermoral.
"Sama-sama kita jadi masyarakat yang perihatin dalam mencegah aktiviti tidak bermoral tanpa mengira bangsa dan agama sesuai dengan slogan Terengganu Maju Berkat Sejahtera," tambahnya lagi.
02 Aug 21
220