lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

COVID-19 : Kes Kategori 3, 4, 5 Menurun Hasil Vaksinasi
COVID-19 : Kes Kategori 3, 4, 5 Menurun Hasil Vaksinasi
KUALA TERENGGANU, 4 Ogos - Hasil vaksinasi di Terengganu menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) berjaya mengurangkan kes serius COVID-19 yang tergolong dalam kategori 3, 4 dan 5, meskipun kes harian kekal tiga angka. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak berkata, berita baik tersebut menunjukkan majoriti kes harian hanya melibatkan kategori 1 dan 2 iaitu tidak bergejala atau bergejala ringan. “Ini menggambarkan kesan vaksinasi dalam menangani kes sederhana dan teruk. “Contohnya, kes kategori 5 yang memerlukan unit rawatan rapi (ICU) dan bantuan pernafasan menurun daripada 0.7 peratus (12 Julai) hingga tiada kes (2 Ogos). “Bagi kategori 4, pada 12 Julai ia mencatatkan 6.4 peratus kemudian berkurang kepada 0.5 peratus (2 Ogos) daripada jumlah kes harian, sama seperti kategori 3 yang juga mencatatkan hanya 0.5 peratus pada 2 Ogos,” katanya ketika bersiaran secara langsung di TVDI, semalam. Katanya, secara purata kategori 3 dan 4 adalah kira-kira 2.1 peratus sahaja daripada kes harian yang selebihnya memadai dipulihkan di Pusat Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC). “Ini satu perkembangan penting, semakin tinggi vaksinasi semakin berkurang kes kritikal ke hospital,” katanya lagi. Beliau turut menasihati agar seluruh masyarakat yang mendapat temujanji vaksin agar menghadiri sesi yang telah ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia. “Ini bagi mengelakkan agar Pusat Pemberian Vaksin (PPV) kita tidak sesak, jadi ikutilah jadual ditetapkan, jangan temujanji pukul dua, kita datang pagi,” jelasnya. Menurut laporan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKVAV) sehingga 2 Ogos, Terengganu mencatatkan 28.1 peratus (353,511 orang) yang telah disuntik dos pertama, manakala 17.7 peratus (223,227 orang) telah selesai dua dos suntikan.
04 Aug 21
427
Nilai Ambang Peralihan Fasa Bagi Terengganu Diperbaharui
Nilai Ambang Peralihan Fasa Bagi Terengganu Diperbaharui
KUALA TERENGGANU, 4 Ogos - Nilai ambang untuk peralihan fasa dari fasa dua ke fasa ketiga bagi Terengganu telah diperbaharui. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak berkata, Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah membuat penambahbaikan kepada nilai ambang kes di Terengganu. "Jika dulu, kita mengambil kira kes harian yang berlaku tanpa melihat kepada mana-mana kategori, kita hendak seluruh negara kurang daripada 4,000 kes sehari, Terengganu pula 156 kes sehari. "Melihat kepada situasi semasa, MKN telah melakukan penambahbaikan nilai ambang kepada insiden kemasukan ke hospital, nilai ambang ini dinilai berdasarkan kategori 3, 4 dan 5 sahaja. "Nilai ambang Terengganu mesti kurang 36 kes yang dimasukkan ke hospital sehari", jelasnya ketika bersiaran dalam segmen 'Berita Awok Kite' di Tv Darul Iman semalam. Tambah Dr. Alias, nilai ambang kadar vaksinasi yang telah melengkapkan suntikan dos kedua masih dikekalkan bagi membolehkan Terengganu beralih dari fasa dua ke fasa ketiga iaitu sebanyak 40 peratus. "Nilai ambang ini diambil kira berdasarkan jumlah penduduk dewasa, bukan berdasarkan jumlah keseluruhan penduduk. "Terengganu mencatatkan kadar vaksinasi sebanyak 27.6 peratus setakat ini bagi penerima dewasa yang telah lengkap dos kedua. "Kita mempunyai harapan yang cerah untuk beralih ke fasa ketiga hujung bulan ini," ujarnya.  
03 Aug 21
1688
Jordan Angkat Terengganu FC II Ke Persada Liga
Jordan Angkat Terengganu FC II Ke Persada Liga
KUALA TERENGGANU, 3 Ogos- Jordan Mintah mencatatkan jaringan ke-14 peribadinya untuk membantu Terengganu Football Club (Terengganu FC) II terus mengekalkan rentak kemenangan dalam Liga Premier Malaysia 2021. Melayan kunjungan Sarawak United di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah (SSINS), skuad kendalian Badrul Afzan Razali menang 1-0 untuk menduduki takhta liga buat kali pertama musim ini. Tuan rumah bermula baik seawal minit pertama dengan penyerang kelahiran Ghana itu melakukan rembatan deras pada minit ke-7 yang ditepis penjaga gol lawan, Sharbinee Allawee. Selang 10 minit kemudian, pemain muda, Muhammad Izman Solehin melakukan sungkitan cantik melepaskan Jordan berhadapan dengan Sharbinee dan memaksa penjaga gol itu melakukan bentesan. Terengganu FC II dihadiahkan penalti yang mudah disempurnakan Jordan pada minit ke-19. Ketinggalan satu gol, Sarawak United bangkit menggandakan asakan. Pada minit ke-25, Taylor Regan menanduk sepakan bebas, Lee Changhoon namun tandukannya tersasar. Christie Jayaseelan pula hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-38 apabila menyambut baik hantaran lintang Asri ChuChu, tetapi sepakannya hanya singgah ke sisi gol. The Turtle pula lebih banyak menerapkan serangan balas bagi mengimbangi perlawanan. Keputusan kekal sehingga tamat separuh masa pertama. Bersambung babak kedua, Sarawak United jelas menguasai permainan dengan lebih banyak serangan ke kubu tuan rumah. Terengganu FC II pula lebih banyak bertahan bagi mengekalkan kelebihan satu gol dibantu aksi cemerlang Argzim Redzovic. Pada minit ke-70, Jordan yang mendapat lorongan di hadapan gol cuba menjarakkan jurang, bagaimanapun pertembungannya dengan Sharbinee membuatkan penyerang itu terpaksa diusung keluar. Pelawat terus menggasak tetapi kubu Terengganu FC II kekal kebal sehingga tamat perlawanan. Kemenangan tersebut meletakkan Terengganu FC II di tangga teratas dengan 28 mata.  
03 Aug 21
929
8 Lori Air Bergerak, 36 Tangki Statik Disediakan Di Kawasan Terjejas
8 Lori Air Bergerak, 36 Tangki Statik Disediakan Di Kawasan Terjejas
KUALA TERENGGANU, 3 Ogos - Ekoran gangguan bekalan air yang menjejaskan 28,700 akaun pengguna, Syarikat Air Terengganu (SATU) telah menggerakkan lapan lori tangki air selain menempatkan 36 buah tangki statik di kawasan terlibat mulai malam ini. SATU dalam satu kenyataan memaklumkan, usaha itu dilakukan bagi memastikan penduduk mendapat bekalan air sehingga proses pembaikian paip pam di dasar sungai yang pecah siap. “Ia juga bagi menambahkan bilangan tangki sedia ada.  “SATU juga sedang berusaha untuk menambah 10 buah lori tangki air lagi dengan memohon bantuan daripada operator-operator negeri lain melalui SPAN bagi melancarkan lagi proses agihan air melalui lori tangki. “Pergerakan lori tangki dan kedudukan tangki statik boleh disemak melalui https://webapps.satuwater.com.my/tanker_tracker dan aplikasi MySatu,” jelas kenyataan itu. Terdahulu, SATU berkata, kawasan yang terlibat di Kuala Nerus ialah Gong Badak, Bukit Jong, Maras, Perindustrian Gong Badak, Sg Ikan, Bukit Berangan, Alur Jambu, Gemuroh, Batu Rakit, Tok Jembal, Ladang Sentosa, Alor Damak, UNISZA, Bukit Sudu, Pagar Besi, UMT dan Padang Nenas. “Turut terjejas, Mengabang Telipot, Tepoh, Lingai, Mengabang Telong, Padang Hangus, Bukit Wan, Wakaf Tengah dan Pagar Ubi,” ujar SATU.   Manakala bagi daerah Kuala Terengganukampung yang terlibat ialah Buluh Gading Masjid, Sebahagian Banggo Peradong, Buluh Gading Dewan, Manir, Banggol Tuan Muda, Tualang, Petai Bubus, Kebor Air, Paya Datu, Telok Menara dan Jeram. Ujar kenyataan itu lagi, tempoh jangkaan pembaikian dan bekalan air untuk pulih dianggarkan mengambil masa selama empat hingga lima hari iaitu 7 hingga 8 Ogos, bergantung kepada tahap kerosakan paip dan keadaan sungai.  “Kedudukan serta laluan paip 1200mm pada dasar sungai telah dikenalpasti melalui aktiviti selaman. Lokasi sebenar paip pecah juga telah diketahui dan proses pembaikian telah dimulakan. “Pertambahan masa untuk pembaikian adalah disebabkan masalah yang timbul ini rumit dan memerlukan kontraktor yang berpengalaman dan pakar. Sekiranya ada lanjutan masa bagi tempoh pembaikian, makluman akan dibuat terlebih awal,” tambah SATU.
03 Aug 21
1201
Tangki Air Tambahan Bantu Penduduk Terjejas
Tangki Air Tambahan Bantu Penduduk Terjejas
KUALA NERUS, 3 Ogos - Ketiadaan air berikutan kerosakan paip di dasar Sungai Terengganu mengundang keresahan penduduk tempatan. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buluh Gading, Ridzuan Hashim berkata, susulan itu pihaknya telah mengambil langkah dengan membekalkan tangki air untuk kegunaan penduduk. “Pihak Syarikat Air Terengganu (SATU) memang ada membekalkan tangki air yang ditempatkan di Pekarangan Masjid Kampung Buluh Gading, namun ia masih tidak mencukupi. “Oleh itu, kita bantu dengan membekalkan tangki air ke setiap kampung yang terjejas,” ulas beliau ketika meninjau proses pengambilan air di Kampung Buluh Gading hari ini. Beliau juga memaklumkan, pihak SATU akan membekalkan air menggunakan lori tangki ke setiap lokasi tangki air tambahan yang diletakkan di setiap kampung terjejas. “Dalam DUN Buluh gading ini, hampir dua pertiga kampung terjejas. “Oleh itu, satu tangki sahaja sememangnya tidak memadai,” ujar beliau lagi. Beliau juga melahirkan rasa syukur kerana ada juga penduduk yang menggunakan pam air boreng dan telaga di rumah masing-masing berkongsi air dengan masyarakat kampung. “Ini adalah satu tindakan yang terpuji dan patut dicontohi,” tambah beliau lagi. Terdahulu, gangguan bekalan air tersebut telah menjejaskan 28,700 akaun pengguna di daerah Kuala Nerus dan Kuala Terengganu sejak semalam ekoran paip pam yang bersaiz 1,200 milimeter itu pecah di dasar Sungai Terengganu.  
03 Aug 21
1730
MOVAK Sasar 3,500 Penduduk Luar Bandar Di Hulu Terengganu Divaksinasi
MOVAK Sasar 3,500 Penduduk Luar Bandar Di Hulu Terengganu Divaksinasi
HULU TERENGGANU, 3 Ogos - Pelaksanaan Program Mobilisasi Vaksin Komuniti (MOVAK) di daerah ini bakal memastikan seramai 3,500 penduduk beberapa kampung di kawasan pedalaman menerima vaksin Covid-19, bulan ini.  Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Dato' Rosol Wahid berkata, inisiatif digerakkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bersama Jabatan Perpaduan Negara itu  sekali gus akan membolehkan pihaknya mencapai sasaran 80 peratus imuniti berkelompok menjelang bulan depan.   Katanya, pendekatan suntikan menggunakan bas bergerak amat dialu-alukan bagi meningkatkan lagi kadar vaksinasi di daerah Hulu Terengganu yang masih perlahan.  "Sasaran itu berdasarkan tujuh program MOVAK yang akan diteruskan ke  Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Tadok, SK Tapah, SK Tok Randok, SK Getang, SK Kua dan SK Binjai Kertas.  "Berdasarkan rekod, penerima dos pertama vaksin Covid-19 kini mencecah 22 peratus manakala yang sudah lengkap dua dos sebanyak 36 peratus.  "Dengan kemudahan MOVAC, masyarakat di pedalaman tidak lagi berdepan masalah untuk hadir janji temu vaksin berikutan isu jarak dan pengangkutan kerana perkhidmatan ini dibawa ke lokasi kediaman mereka," katanya.  Beliau yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP)berkata kepada pemberita selepas meninjau Program MOVAK di Sekolah Kebangsaan Felda Bukit Bading di sini hari ini. Dalam program julung kali hari ini, seramai 360 penduduk selesai menerima vaksinasi dos pertama berkenaan. Tambahnya, selepas ini pihak kesihatan akan gunakan perkhidmatan rumah ke rumah bagi mereka yang terlantar untuk vaksinasi.    
03 Aug 21
491
Mukim Manir, Dua Lokaliti Kemaman Dikenakan PKPD
Mukim Manir, Dua Lokaliti Kemaman Dikenakan PKPD
KUALA TERENGGANU, 3 Ogos - Dua lokaliti dan satu mukim dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) berkuat kuasa Khamis ini hingga 18 Ogos depan, kata Menteri Kanan Luar Negeri (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein. Beliau dalam kenyataan mengenai Pelan Pemulihan Negara (PPN) hari ini memaklumkan keputusan itu dibuat setelah meneliti pembentangan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) mengenai penilaian risiko serta trend jangkitan COVID-19. "Dua lokaliti di Bukit Kuang, Mukim Telok Kalong, Kemaman, yang dikenakan PKPD ialah Taman Rakyat Bestari Fasa 1-4 dan Rumah Awam Kos Rendah 1 dan 2. "Sementara itu, seluruh Mukim Manir, Kuala Terengganu turut dikenakan PKPD sehingga 18 Ogos hadapan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Ismail Sabri Yaakob melaporkan dua lokaliti di Mukim Bandi, daerah Kemaman dan 10 lokaliti dalam Mukim Kuala Dungun dilanjutkan sehingga 16 Ogos (Mukim Kuala Dungun) dan 17 Ogos (Mukim Bandi) depan. Pelaksanaan PKPD ini, jelas Hishammuddin adalah untuk mengawal pergerakan penduduk dan mengurangkan jangkitan dalam komuniti. Selain itu katanya, PKPD akan memudahkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar ke atas  penduduk di lokaliti tersebut. "Prosedur operasi standard (SOP) bagi semua PKPD adalah sama seperti yang diumumkan sebelum ini. Maklumat lanjut boleh diakses di laman sesawang MKN di www.mkn.gov.my," jelasnya.
03 Aug 21
2250
Empat Juruselam Dikerah Selesai Gangguan Bekalan Air
Empat Juruselam Dikerah Selesai Gangguan Bekalan Air
KUALA TERENGGANU, 3 Ogos - Pihak Syarikat Air Terengganu (SATU) mendapatkan perkhidmatan empat orang juruselam bagi menyelesaikan masalah gangguan bekalan air di daerah Kuala Nerus dan Kuala Terengganu. Pengerusi Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr Mamad Puteh, berkata masalah itu menjejaskan 23,100 akaun pengguna sejak semalam ekoran paip pam yang bersaiz 1,200 milimeter itu pecah di dasar Sungai Terengganu. Katanya, SATU dengan kerjasama Sumai Engineering Sdn. Bhd. kini sedang berusaha membaiki kerosakan tersebut. “Kerosakan paip kali kali agak serius dan tidak pernah berlaku sejak 30 tahun paip itu yang di pasang di dasar Sungai Terengganu  iaitu antara sungai Losong Feri hingga ke Bukit Datu. “SATU berusaha tanpa henti, dimaklumkan 24 jam bekerja secara bergilir-gilir bagi menyelesaikan tersebut," katanya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman, hari ini. Menurutnya, sebagai alternatif bagi menyelesaikan masalah air di kawasan terbabit, SATU mula menghantar lori tangki di kawasan tertentu mulai jam 10 malam tadi. Antaranya, Kampung Kubang Jela Manir,  Perumahan Gong Badak, Perumahan Alor Jambu, Kg Lingai, Tepoh,  Kg Banggol Binjai, Kg Tualang Manir, Kg Banggol,  Taman Desa Tanjung Damai Gong Badak, Kg Jati Gong Badak, Taman Desa Jaya,  Taman Kalungan Ilmu. Untuk maklumat lanjut berkaitan penghantaran tangki air boleh layari Facebook, SATU Water atau hubungi talian Careline 1-300-882-111 atau 09-6201111.
03 Aug 21
7994
Kerajaan Negeri Nafi 39 Varian Delta Dikesan Di Kuala Ibai
Kerajaan Negeri Nafi 39 Varian Delta Dikesan Di Kuala Ibai
KUALA TERENGGANU, 3 Ogos - Kerajaan negeri  menafikan mesej yang tersebar di media sosial mendakwa kononnya terdapat 39 pesakit COVID-19 varian Delta dikesan di sekitar kawasan perumahan Kuala Ibai. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak berkata, dakwaan yang tular menerusi media sosial itu, bukan sahaja tidak benar malah tidak bertanggungjawab. "Memang kita ada hantar beberapa sampel kepada makmal di Kuala Lumpur dan masih menunggu keputusan 'penjujukan genom' yang dijalankan. "Ia penting untuk mengenal pasti sama ada masih berlaku jangkitan COVID-19 varian Delta di Terengganu selain dua kes yang dilaporkan sebelum ini. Namun, yang pasti maklumat mengenai 39 pesakit varian Delta itu adalah tidak benar sama sekali. "Bagaimanapun, masyarakat diminta supaya berhati-hati dan terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketat bagi mengelakkan apa jua kemungkinan selain memutuskan rantaian penularan Covid-19," katanya ketika dihubungi. Sejak kelmarin, tular di media sosial termasuk kumpulan WhatsApp yang mendakwa varian Delta sudah merebak di Kuala Terengganu dengan memetik nama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Maklumat yang tular itu mendakwa ujian saringan bersasar Covid-10 akan dilaksanakan terhadap seluruh penduduk Kampung Kuala Ibai dan perumahan Kondo Rakyat malam ini berikutan 39 kes varian delta yang dikesan di lokaliti itu. Selain menyarankan orang ramai berhati-hati, maklumat itu turut mendakwa Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dilaksanakan di kedua-dua lokaliti berkenaan. Berdasarkan situasi terkini Covid-19, dikeluarkan Jabatan Kesihatan negeri (JKNT) hari ini, Terengganu mencatatkan sebanyak 429 kes.  
03 Aug 21
820
Tahun Pertanian Terengganu Rancak Berjalan Walau Alami Kekangan
Tahun Pertanian Terengganu Rancak Berjalan Walau Alami Kekangan
SETIU, 5 Ogos - Hasrat Kerajaan Terengganu menjayakan program Tahun Pertanian terus berjalan di saat sedang berhadapan kekangan akibat pandemik Covid-19 pada waktu ini.  Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr. Azman Ibrahim berkata,  bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi negeri melalui sektor pertanian, penternakan dan perikanan, inisiatif berkenaan tetap diteruskan mengikut segala perancangan dalam keadaan agak terbatas. "Sebagaimana yang diwarwarkan sebelum ini sebanyak 73 program dan 13 projek disusun, perancangannya tetap diteruskan dengan sempurna, sebab itu sektor ini agak meriah walaupun dalam situasi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). "Kerana kita cuba mencari jalan bagi memastikan setiap perancangan berjaya, walaupun dalam skala terhad agar berjalan dengan lancar. "Tidak boleh ditangguhkan kerana setiap bulan terdapat sekitar tiga atau empat program perlu dilakukan, jika tidak ia mengakibatkan kita tidak mempunyai kemampuan untuk melaksanakan kesemuanya. Di antara programnya adalah memperkayakan sumber perikanan sebagaimana termaktub dalam agenda Tahun Pertanian Terengganu," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Program Melabuh Unjam Komuniti Perikanan (myKP) Bari dan myKP Rhu 10, di perairan Setiu, kelmarin. Turut hadir, Pegawai Daerah Setiu, Rosli Latif, Pemangku Pengarah Pertanian negeri, Zulkifli Amin Mat Jusoh dan Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superitendan Afandi Husin. Program tersebut katanya merupakan siri yang kedua bagi tahun ini di mana ia mempunyai beberapa siri lagi yang membabitkan kesemua daerah dalam negeri ini. "Di mana setiap daerah akan mendapat bahagian sama ada tukun ataupun unjam, membabitkan peruntukan sebanyak RM1.2 juta oleh kerajaan negeri dan ditambah sebanyak RM300,000 oleh Kerajaan Persekutuan menjadikan jumlahnya RM1.5 juta. "Pagi ini kita melabuhkan unjam di sini dengan kerjasama di antara komuniti nelayan Rhu 10 dan Pantai Bari, dalam jarak lima batu nautika dari pantai bagi mengelakkan unjam rosak, di mana zon A ini dilarang bagi setiap aktiviti berkaitan pukat tunda bagi manfaat nelayan pantai," ujarnya. Katanya, aktiviti berkenaan akan diteruskan dalam tempoh terdekat untuk diselesaikan segera sebelum Oktober, bagi persiapan menghadapi laut bergelora.
03 Aug 21
265