lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Tujuh Syarikat Bantu Selesai Krisis Air
Tujuh Syarikat Bantu Selesai Krisis Air
KUALA NERUS, 5 Ogos - Syarikat air dari tujuh buah negeri akan menghantar 14 lori tangki dengan kapasiti 70,000 liter air bagi membantu penduduk Kuala Nerus dan Kuala Terengganu yang terjejas bekalan air. Menurut Ahli Lembaga Pengarah Syarikat Air Terengganu, Burhanuddin Helmi Mohamed, syarikat air berkenaan terdiri daripada Air Kelantan (AKSB), Syarikat Air Selangor (SYABAS), Lembaga Air Perak, Syarikat Air Melaka (SAMB), Pengurusan Air Pahang (PAIP), Syarikat Air Johor (SAJ) dan Syarikat Air Darul Aman (SADA).  Menurutnya lagi, SATU sudah bersedia dengan lapan lori berkapasiti 5,000 liter yang akan menghantar bekalan air kira-kira 40,000 liter air ke kawasan yang ditentukan. “Bantuan ini sebenarnya selaras dengan memorandum persefahaman (MoU) antara operator dan permintaan Suruhanjaya Pengurusan Air Negara (SPAN), dengan erti kata jika berlaku krisis air antara negeri, kita akan turun membantu" katanya ketika dihubungi baru-baru ini.  Gangguan bekalan air di sekitar Kuala Nerus bermula sejak Ahad lalu apabila paip berukiran 1200mm dasar sungai Terengganu pecah yang mengakibatkan 28,700 akaun pengguna terjejas.  Dalam perkembangan sama, Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, pihaknya telah menyediakan 40 tangki statik berkeupayaan 600 gelen setiap satu dan telah menyalurkan 295,500 liter air dengan bantuan pihak Bomba dan SATU.  "Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Parlimen Kuala Nerus telah mengambil langkah awal dengan meninjau lokasi yang teruk terjejas diantaranya di DUN Buluh Gading dan DUN Tepoh. "Pihak kita juga sentiasa memantau bekalan air di setiap pusat supaya air yang disalurkan sampai kepada rakyat. "Kita juga berterima kasih kepada Unit Amal dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) kerana banyak membantu melancarkan proses agihan air tanpa menyusahkan rakyat untuk beratur bahkan kita hantar air rumah ke rumah bagi memudahkan mereka" kata Dr Khairuddin ketika dihubungi. 
05 Aug 21
652
8 Jalan Utama Ditutup, 1 SJR Di PKPD Mukim Manir
8 Jalan Utama Ditutup, 1 SJR Di PKPD Mukim Manir
KUALA TERENGGANU, 5 Ogos - Polis menutup lapan jalan utama dan mengenakan satu sekatan jalan raya (SJR) di Mukim Manir bagi mengawal pergerakan keluar dan masuk kenderaan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan(PKPD) sehingga 18 Ogos ini. Menurut kenyataan dikeluarkan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md. Din, antara jalan terlibat ialah Jalan Manir Pulau Bahagia-Telemong (berhampiran tangki air Pulau Bahagia) dan Jalan Padang Tengir- Kubang Bujuk (Jambatan Kubang Bujuk). “Selain itu, Jalan Kebor Besar-Guntong Telar (berhampiran jambatan Kebor Besar), Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu (Jambatan Buluh Gading) dan Jalan Kampung Sabtu-Jeram (lampu isyarat bawah lebuhraya Pulau Sekati) turut ditutup. “Tiga jalan lain lagi termasuk susur keluar masuk lebuhraya Pulau Sekati (Kampung Kubang Jela), susur keluar dan masuk lebuhraya Pulau Sekati (Taman Cikgu Ismail Yusof) dan susur keluar dan masuk lebuhraya Pulau Sekati (Kampung Banggol Donas)," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu. Menurutnya, satu SJR terletak di Jambatan Manir dan akan menutup 20 laluan kampung di dalam kawasan PKPD. "Memandangkan semua jalan dan laluan di Mukim Manir akan ditutup sepenuhnya, maka laluan keluar dan masuk hanya boleh dibuat melalui Jambatan Sungai Manir sahaja. "Segala pergerakan keluar dan masuk hendaklah mempunyai dokumen-dokumen lengkap seperti untuk bekerja (perkhidmatan perlu) atau surat kebenaran daripada pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM). "Sehubungan itu, kita akan menempatkan pusat kawalan PDRM di Balai Polis Manir bagi memudahkan penduduk mendapatkan kebenaran keluar masuk di kawasan PKPD atas sebab kecemasan atau sebab dibenarkan,” katanya lagi. Abdul Rahim turut menasihati pengguna jalan raya agar menggunakan laluan alternatif bagi mengelakkan PKPD Manir seperti dalam jadual berikut: “Bagi penduduk di Mukim Belara pula yang hendak ke pusat bandar atau ke Kuala Nerus/Tol Gemuruh/ Setiu boleh melalui jalan alternatif seperti berikut:  
05 Aug 21
2251
Guna Lori 'Orang Kampung' Agih Air Kepada Penduduk
Guna Lori 'Orang Kampung' Agih Air Kepada Penduduk
SETIU, 4 Ogos - Pasukan Gerak Kerja Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Rakit tidak ketinggalan membantu lebih 8,400 pengguna di kawasan itu dengan mengagihkan bekalan air bersih mengikut jadual yang ditetapkan. Pegawai Penyelaras DUN Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail berkata, pihaknya bersama 40 Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) serta pertubuhan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) berpadu tenaga membantu penduduk setempat mengagihkan air. Katanya, sebanyak enam lori milik orang kampung digerakkan bagi tujuan itu bermula seawal 8 pagi sehingga ke lewat malam. "Sumber bekalan diambil daripada rumah penduduk yang mempunyai telaga, paip 'boring' dan air bukit.  "Nyata apa yang dilaksanakan itu sedikit sebanyak mampu melegakan keresahan, kemarahan dan kebimbangan penduduk yang kini masih  berdepan dengan gangguan bekalan air.  "Difahamkan gangguan bekalan air  kali ini dijangka memakan masa agak lama dan pihaknya akan meneruskan kerja amal itu sehingga keadaan kembali pulih, "katanya  Menurutnya, kaedah agihan berpandukan skop kerja yang dirancang di mana  tangki setiap masjid dan surau perlu dipenuhkan terlebih dahulu. "Kemudian agihan diteruskan ke empat kawasan perumahan, iaitu di Wakaf Tengah, Mengabang Lekor 1 dan 2 serta Perumahan Tanjung. "Turut menumpukan kawasan kampung dengan menumpukan rumah Orang Kurang Upaya dan warga emas," jelasnya. Mohd Shafizi berkata pihak Syarikat Air Terengganu (SATU) Sdn Bhd ada menghantar bekalan tetapi masih tidak mencukupi. "Disebabkan itu, pihak kami turun padang tanpa mengira waktu," katanya.
04 Aug 21
724
Lima Kakitangan Positif COVID-19, Taska Permata Keluarga Kuala Terengganu Ditutup 14 Hari
Lima Kakitangan Positif COVID-19, Taska Permata Keluarga Kuala Terengganu Ditutup 14 Hari
KUALA TERENGGANU, 4 Ogos- Taska Permata Keluarga Kuala Terengganu yang terletak di Jalan Sultan Omar ditutup sementara selama 14 hari bermula petang ini. Pengarah Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu, Wan Mohd Zaki Wan Abdullah berkata, penutupan taska terbabit sehingga 18 Ogos depan terpaksa dilakukan susulan lima kakitangan disahkan positif COVID-19. "Di Taska Permata Keluarga Kuala Terengganu ada lima kakitangan yang disahkan positif COVID-19, empat daripadanya adalah tenaga pengajar dan seorang penyedia makanan. "Susulan itu, seramai 17 orang guru dan 34 kanak-kanak di taska terbabit perlu menjalani swab test," ujarnya ketika dihubungi pemberita, hari ini. Katanya, penutupan itu juga selaras dengan Notis Perintah Penutupan Premis Bagi Kawalan Perebakan Penyakit Berjangkit daripada Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT). Katanya, Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu akan mengambil tindakan dan langkah-langkah perlu selaras dengan arahan-arahan kerajaan yang berkuatkuasa.  "Sehubungan dengan itu semua kakitangan di taska terbabit diarah bekerja dari rumah bermula hari ini (4 Ogos) hingga 18 Ogos ini. "Ia bagi membolehkan kerja-kerja sanitasi dilakukan secara menyeluruh serta memastikan premis taska selamat diduduki," katanya.
04 Aug 21
1782
Kerajaan Akan Pastikan Bekalan Air Mencukupi
Kerajaan Akan Pastikan Bekalan Air Mencukupi
KUALA TERENGGANU, 4 Ogos - Kerajaan negeri melalui Syarikat Air Terengganu (SATU) dan pelbagai agensi serta Badan Bukan Kerajaan (NGO) sedang berusaha untuk memastikan bekalan air kepada penduduk mencukupi. Pengerusi Jawatankuasa pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, orang ramai dinasihatkan tidak  gusar serta bersabar menghadapi krisis yang berlaku pada ketika ini. "Pelbagai NGO juga pada waktu ini termasuk Pusat Khidmat Malaysia Kuala Terengganu akan menghantar bantuan air sebanyak dua treler bermula esok. "Serta bantuan dari seluruh negeri dan beberapa negeri lain juga sedang dalam perjalanan bagi membantu meringankan permasalahan air di semua tempat yang terlibat, untuk itu saya menasihatkan agar rakyat pada waktu ini perlu berjimat cermat dalam penggunaan air dalam masa sekarang ini," ujarnya. Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam berkata demikian ketika dihubungi pihak Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) hari ini. Katanya, ketika tinjauan pihaknya berpuas hati dengan kerja-kerja pembaikian yang sedang dilakukan di lapangan bermula kelmarin. "Pihak kontraktor yang dilantik SATU, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) telah memulakan kerja bermula kelmarin lagi, 24 jam mereka bekerja dan berkampung di sini dengan kekuatan seramai 20 anggota sehingga kerja-kerja membaik pulih selesai. "Pusat khidmat ADUN Wakaf Mempelam bermula pada petang ini akan membekalkan makanan kepada 20 orang pekerja yang terlibat dengan menyediakan sarapan pagi, makan tengahari dan juga petang sehingga kerja membaik pulih paip ini selesai.  "Dijangka kerja-kerja penyelesaian sementara ini akan disiapkan dalam masa beberapa hari ini," ujarnya. Jelasnya, pihak beliau juga telah diberi taklimat mengenai punca sebenar masalah berlaku. "Saya telah dibawa meninjau tempat punca masalah tersebut, diberikan penerangan bagaimana kerosakan paip tersebut yang ditanam dalam dasar sungai itu rosak yang mengakibatkan terputusnya bekalan air ini. "Juga mendengar taklimat daripada kontraktor bagaimana untuk menjalankan kerja-kerja pembaikian dan diberikan penjelasan bagaimana untuk melakukan gerak kerja bagi memastikan bekalan air kepada seluruh penduduk terkesan dapat diatasi untuk sementara waktu ini," ujar beliau.  
04 Aug 21
520
PKPD Teluk Menara, 500 Ekor Ayam Diagihkan
PKPD Teluk Menara, 500 Ekor Ayam Diagihkan
HULU TERENGGANU, 4 Ogos- Lebih 500 ekor ayam diagihkan kepada penduduk di kampung Teluk Menara di sini yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sejak 27 Julai lalu. Pegawai Hal Ehwal Masyarakat Institut Modal Insan Sejahtera (IMiTS) Dewan Undangan Negeri (DUN) Manir Rozali Mamat, berkata, sumbangan itu di bawah peruntukan ADUN Manir, Ustaz Hilmi Dato’ Harun. Katanya, agihan tersebut diselaraskan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) yang membantu menghantar ayam segar tersebut kepada setiap rumah dalam kawasan PKPD. “Ini merupakan agihan kedua selepas bantuan barang keperluan dapur yang kita edarkan bersama ADUN Manir dan Penyelaras Parlimen Hulu Terengganu kepada penduduk selepas perintah PKPD berkuatkuasa di kampung berkenaan. “Dengan bantuan ini, kita harap ia sedikit sebanyak dapat menceriakan dan meringankan beban penduduk yang kini terpaksa duduk di rumah masing-masing akibat PKPD,” katanya kepada pemberita TRDI di sini semalam. Rozali berkata, pihaknya juga mendapat kerjasama Jabatan Amal Manir dan NGO TM Care dalam membantu proses pengagihan tersebut. Tambahnya lagi, mereka yang berdepan masalah seperti terputus bekalan makanan boleh menghubungi JPKK bagi mendapatkan bantuan. “Kita sentiasa bersedia membantu dan bantuan akan diteruskan selepas ini bergantung kepada keadaan semasa,” ujar beliau.
04 Aug 21
1092
PM Mohon Maaf, Terpaksa Tampil Jelaskan Kedudukan Kerajaan
PM Mohon Maaf, Terpaksa Tampil Jelaskan Kedudukan Kerajaan
KUALA  TERENGGANU 4 Ogos - Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memohon maaf kerana terpaksa tampil dan menjelaskan kedudukan Kerajaan Perikatan Nasional dan keabsahan beliau sebagai Perdana Menteri ketika negara berdepan pandemik COVID-19. Beliau turut mendedahkan lapan orang Ahli Parlimen UMNO telah menulis surat kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat bahawa mereka telah menarik sokongan kepadanya. Namun menurut Muhyiddin, beliau masih lagi mempunyai majoriti dan tidak akan meletak jawatan. “Mengikut Perkara 43 (4) dalam Perlembagaan Persekutuan, saya telah menyembah maklum kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong bahawa saya akan menentukan keabsahan saya sebagai Perdana Menteri di Parlimen. “Suatu usul undi percaya kepada saya akan dibentangkan di Dewan Rakyat ketika Dewan Rakyat bersidang pada bulan September. “Melalui cara ini, kedudukan saya sebagai Perdana Menteri dan Perikatan Nasional sebagai kerajaan yang memerintah akan dapat ditentukan mengikut lunas undang-undang dan Perlembagaan,” ujarnya ketika menyampaikan Perutusan Khas, hari ini. Sementara itu, katanya, Jemaah Menteri dan jentera pentadbiran kerajaan akan terus berfungsi untuk melaksanakan amanah dan tanggungjawab kepada rakyat dan negara, khususnya dalam menangani pandemik COVID-19. Jelasnya, beliau akan memastikan program vaksinasi yang sedang berjalan pada masa ini tidak akan terganggu dan terus dilaksanakan mengikut jadual. “Begitu juga bantuan-bantuan yang telah diumumkan oleh kerajaan akan dapat diterima oleh rakyat tanpa sebarang halangan. “Saya menyeru kepada semua penjawat awam, khususnya para frontliners, agar terus tabah melaksanakan tugas dan tanggungjawab tanpa terganggu dengan kemelut politik yang sengaja dicetuskan oleh pihak tertentu yang cuba menangguk di air yang keruh,” ujarnya. Pada masa yang sama, beliau sedia maklum ada segelintir pihak yang kurang senang dengan ketegasannya untuk tidak melayan beberapa tuntutan mereka.  “Ini termasuk desakan supaya saya mencampuri urusan mahkamah untuk membebaskan beberapa individu yang sedang didakwa atas kesalahan jenayah. “Saya juga telah dituduh menderhaka kepada Raja sedangkan apa yang saya lakukan adalah semata-mata untuk memelihara keluhuran Perlembagaan dan mempertahankan kemuliaan institusi Raja Berperlembagaan. “Saya tidak akan mengorbankan prinsip saya dan membelakangi sumpah jawatan saya untuk menunaikan segala kewajipan dengan jujur, menumpahkan taat setia kepada Raja dan Negara serta memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaan,” ujarnya.
04 Aug 21
1124
ADUN Ambil Langkah Segera Tangani Gangguan Bekalan Air
ADUN Ambil Langkah Segera Tangani Gangguan Bekalan Air
KUALA NERUS, 4 Ogos - Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Tepoh mengambil langkah segera bagi menangani isu gangguan bekalan air yang melanda beberapa tempat di daerah ini sejak Isnin lalu. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh, Hishammuddin Abdul Karim berkata, berdasarkan hebahan media terkini Syarikat Air Terengganu (SATU), tempoh masa yang agak lama perlu diambil untuk menyelesaikan masalah tersebut kerana kerumitan proses baik pulih di dasar sungai. Susulan itu, pihaknya mengambil inisiatif menyusun beberapa langkah termasuk menempatkan tangki statik di semua taman perumahan dan perkampungan yang terjejas mengikut populasi. “Selain itu, lori air sendiri turut digerakkan sebagai bantuan sokongan buat ‘tanker’ air SATU dan lain-lain agensi. “Mobile Team (bilangan masih terhad) yang akan bergerak dengan tangki kecil dari rumah ke rumah dengan kerjasama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK),” ujarnya dalam satu hantaran di laman Facebook beliau, semalam. Menurut Hishammuddin, pasukan kerja pihaknya telah memulakan langkah bergotong-royong menyiapkan semua ini bermula selepas Isyak (malam tadi). “Perbincangan dengan pihak Bomba dan SATU untuk mendapatkan air melalui pili bomba juga telah diperolehi,” ujarnya. Sementara itu katanya, persetujuan dan kebenaran juga sempat diperolehi melalui pihak sekolah dalam kawasan Tepoh melalui pihak Pegawai Pendidikan Daerah Kuala Nerus untuk memberikan kebenaran penduduk berdekatan mendapatkan bekalan air sekadar keperluan keluarga sementara air di tangki sekolah masih ada. “Malam ini kena siapkan senarai lengkap lokasi yang perlu ditempatkan tangki statik dan keperluan-keperluan lain. “Semoga dipermudahkan urusan untuk membantu semua penduduk yang terjejas bekalan air kali ini. Harap bersabar semua, kita sama-sama berganding usaha sementara usaha baik pulih dijalankan,” tulisnya. Terdahulu, SATU memaklumkan, kawasan yang terlibat di Kuala Nerus ialah Gong Badak, Bukit Jong, Maras, Perindustrian Gong Badak, Sungai Ikan, Bukit Berangan, Alur Jambu, Gemuroh, Batu Rakit, Tok Jembal, Ladang Sentosa, Alor Damak, UNISZA, Bukit Sudu, Pagar Besi, UMT dan Padang Nenas. “Turut terjejas, Mengabang Telipot, Tepoh, Lingai, Mengabang Telong, Padang Hangus, Bukit Wan, Wakaf Tengah dan Pagar Ubi,” ujar SATU.   Manakala bagi daerah Kuala Terengganu kampung yang terlibat ialah Buluh Gading Masjid, Sebahagian Banggo Peradong, Buluh Gading Dewan, Manir, Banggol Tuan Muda, Tualang, Petai Bubus, Kebor Air, Paya Datu, Telok Menara dan Jeram.
04 Aug 21
682
Kerja Baik Pulih Kerosakan 'Major' Paip Giat Berjalan
Kerja Baik Pulih Kerosakan 'Major' Paip Giat Berjalan
KUALA TERENGGANU, 4 Ogos - Syarikat Air Terengganu (SATU) sedang giat melaksanakan kerja-kerja membaik pulih kerosakan 'major' di tangki utama Berangan di sini.  Menurut SATU, proses pembaikian dijangka mengambil masa selama empat hari sebelum masalah tersebut dapat diatasi dengan baik. "Sehingga kini, sebanyak 12 buah tangki statik telah beroperasi di kawasan-kawasan terjejas.  "Sebanyak 24 tangki statik tambahan akan disediakan dalam kadar segera. Jumlah keseluruhan adalah sebanyak 36 buah," ujar SATU. Jelas SATU, dalam usaha membantu rakyat yang terjejas, pihaknya menerima pelbagai bantuan daripada pihak Bomba, Jabatan Amal dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK). Dalam pada itu, SATU memaklumkan tangki statik di kawasan-kawasan terjejas telah ditempatkan di Surau Kampung (Kg) Pak Tijah, Jalan Tok Jembal, Masjid Buluh Gading, perumahan Gong Badak 3 (Medan Selera) dan Surau Al-Amin, Gong Badak (Hadapan Tunas Manja). "Selain itu, tangki juga diletakkan di Masjid Nur Bakti, Wakaf Tembesu, Surau Kg Sepetir Rendang, Tok Jembal, Lot Perpindahan Kg Jeram/Banggol Binjai Masjid Kg Banggol Tuan Muda, Masjid Padang Nenas, Masjid Mengabang Telipot, Surau Al-Bukhari Taman Desa Tanjung Damai dan Kg Lerek Tepoh," tambah SATU.
04 Aug 21
954
Peningkatan Kes 500 Peratus Bukan Kerana Varian Tapi...
Peningkatan Kes 500 Peratus Bukan Kerana Varian Tapi...
KUALA TERENGGANU, 4 Ogos - Peningkatan kes sehingga 500 peratus dalam tempoh dua minggu di Mukim Manir termasuk Teluk Menara adalah disebabkan penularan di kalangan kontak keluarga dan kegagalan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP). Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak berkata, hasil kajian Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) itu melaporkan peningkatan kes positif harian COVID-19 daripada 74 kes kepada 398 kes dalam masa dua minggu di kawasan tersebut. “Penularan akibat kontak keluarga dan rakan setempat ini melibatkan kes seperti rentas negeri dan daerah serta aktiviti sosial secara senyap-senyap terutamanya ketika musim hari raya Aidiladha. “Hasilnya Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di seluruh mukim Manir dilaksanakan sehingga 18 Ogos melihat kepada penilaian risiko serta trend jangkitan COVID-19," katanya ketika bersiaran secara langsung di TVDI, semalam. Sementara itu, Dr Alias turut menyentuh soal varian membimbangkan (VOC) Delta dan menafikan berita yang tular berkaitan 39 pesakit COVID-19 varian Delta dikesan di sekitar kawasan perumahan Kuala Ibai. “Dalam negeri kita, hanya dua kes varian ini dikesan dan sembilan kes VOC Beta dilaporkan. “Kenapa sejak kebelakangan ini berlaku rebakan kes begitu cepat dalam negeri? “Ini bukan kerana varian, tetapi sikap kita sendiri yang gagal mematuhi SOP ditetapkan pihak berkuasa,” jelasnya.
04 Aug 21
2911