Artikel "Utama" Terkini
Terap Semangat Juang Pahlawan Menentang COVID-19
KUALA TERENGGANU, 7 Ogos - Semangat perjuangan menentang COVID-19 boleh dicontohi daripada nilai perjuangan menentang penjajah bagi memperoleh kemerdekaan di tanah air suatu ketika dulu.
Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, semangat Haji Abdul Rahman Limbong dan Tok Ku Paloh tersemat erat dalam diri setiap rakyat Terengganu.
"Malah perjuangan kedua-dua tokoh ini bersama tokoh-tokoh yang lain, menjadi penguat semangat kami untuk melawan segala cabaran, termasuk COVID-19 yang kini menjadi ancaman bukan sahaja kepada Malaysia, bahkan seluruh dunia.
"Usaha menangani penularan COVID-19 tidak akan berjaya, jika tugas memerangi dan memutuskan rantaian wabak tersebut diserahkan kepada petugas barisan hadapan dan kerajaan semata-mata.
"Prinsip (perjuangan) yang sama perlu kita lakukan, untuk keluar dan merdeka daripada dugaan pandemik COVID-19 yang sedang kita hadapi, tugas ini memerlukan kita mengambil semangat yang pernah dipupuk, di zaman pembentukan negara ketika membebaskan diri daripada penjajah," katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2021 oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, hari ini.
Menjelaskan tema 'Malaysia Prihatin', Ahmad Samsuri menyifatkan pengertiannya cukup besar bahawa seluruh rakyat khususnya di Terengganu untuk berganding bahu bersama kerajaan sekali gus membawa negeri dan negara keluar daripada pandemik.
"Pada waktu yang sama, kerajaan sentiasa berusaha dengan penuh keprihatinan yang tinggi untuk membantu rakyat dalam kesusahan dengan memberi bantuan melalui pelbagai inisiatif merangkumi aspek ekonomi, kesihatan dan kebajikan demi kelangsungan hidup rakyat Malaysia," tambahnya.
Beliau turut berterima kasih kepada Perdana Menteri dan kerajaan Persekutuan kerana memilih Terengganu sebagai tuan rumah bagi majlis tahun ini.
Terengganu merupakan tuan rumah pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang pada tahun ini, namun tiada acara sambutan secara fizikal dalam pematuhan Pelan Pemulihan Negara bagi mengawal penularan COVID-19.
07 Aug 21
157
Agih 4,000 Balang Air Untuk Penduduk Terjejas
KUALA TERENGGANU, 6 Ogos- Sebanyak 4,000 balang air bersih diagihkan kepada penduduk terputus bekalan air di daerah Kuala Terengganu dan Kuala Nerus.
Agihan itu dilakukan menerusi badan bukan kerajaan (NGO) Khidmat Malaysia dan Iman Care Kuala Terengganu dalam tempoh empat hari sejak krisis air berlaku pada Isnin lalu.
Pengerusi Khidmat Malaysia Kuala Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, sebanyak 1,000 balang air yang setiap satunya mengandungi 20 liter air bersih diagihkan menggunakan treler.
"Antara kawasan yang telah menerima agihan air ini ialah di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tepoh, Batu Rakit dan Buluh Gading manakala esok kita akan bergerak ke Manir serta Seberang Takir.
"Air yang diagihkan kepada penduduk ialah air osmosis berbalik (RO Water) di mana ia boleh terus diminum dan selamat untuk kegunaan seisi rumah," katanya.
Wan Sukairi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam berkata, proses agihan bantuan air telah dilakukan sejak hari pertama di peringkat DUN masing-masing.
Katanya, agihan air yang diberikan ialah inisiatif yang diambil NGO Kuala Terengganu dalam membantu penduduk terjejas akibat krisis air yang melanda sejak Isnin lalu.
Beliau berkata, agihan air akan diteruskan sekiranya masalah air masih berlaku susulan kerja-kerja pembaikian paip air bersaiz 1,200 milimeter yang pecah di dasar Sungai Terengganu.
"Khidmat agihan air akan diteruskan lagi sekiranya krisis air masih berlaku dan selepas ini kita akan gerakkan pula untuk agihan air biasa untuk kegunaan rumah seperti mandi dan sebagainya," katanya.
Khamis lalu, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr Mamad Puteh berkata, gangguan bekalan air membabitkan 28,700 akaun di sekitar Kuala Nerus dan Kuala Terengganu sejak Isnin lalu dijangka berlarutan dalam tempoh tujuh hari lagi.
Ia berikutan kerja-kerja pembaikan paip pecah yang dijangka siap pada Rabu depan.
06 Aug 21
822
20 Tangki Statik Elakkan Terputus Bekalan Air Di Seberang Takir
KUALA NERUS, 7 Ogos – Kerja membekalkan sumber air kepada penduduk terjejas di daerah Kuala Nerus diteruskan dengan mengerahkan jentera lori dan tangki statik di Seberang Takir.
Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir, Mohd Fadhil Wahab berkata, pihaknya melancarkan bilik gerakan bagi menghantar bantuan air ke tujuh buah kampung di kawasannya, sebaik sahaja berlaku krisis masalah gangguan bekalan asas itu sejak Isnin lepas,
“Alhamdulillah, setakat ini 20 tangki statik berjaya diletakkan di lokasi yang dikenalpasti supaya sedikit sebanyak dapat memenuhi keperluan asas masyarakat, atau kira-kira 3745 buah rumah terkesan.
“Antaranya ialah Kampung Kubang Badak, Kampung Tok Jembal, Kampung Pak Tijah, Kampung Tanjung Jaafar, Kampung Telaga Batin, Kampung Jati dan Kampung Wakaf Baru,” katanya ketika ditemubual pemberita, hari ini.
Tambah Mohd Fadhil lagi, 10 buah lori termasuk trak pikap menjadi pengangkutan bagi menghantar sumber air kepada penduduk terkesan.
"Kita turut menerima ramai sukarelawan yang bersedia berkhidmat dalam menyampaikan keperluan asas itu kepada mana-mana keluarga yang memerlukan di sini” jelasnya.
Dalam pada itu, seorang sukarelawan, Ahmad Afini Ahmad, 32 berkata, dia merasa terpanggil apabila mendengar isu dan kesusahan dihadapi komunitinya itu.
"Pada hari biasa saya bekerja seperti biasa, tetapi buat masa ini saya ambil keputusan untuk berkhidmat dari siang hingga malam in sehingga kerja pembaikian di dasar Sungai Terengganu selesai," katanya.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr Mamad Puteh berkata, gangguan bekalan air membabitkan 28,700 akaun di sekitar Kuala Nerus dan Kuala Terengganu sedang diatasi dengan kerja-kerja pembaikan paip pecah yang dijangka siap pada Rabu depan.
06 Aug 21
467
Lancar Misi Bantu Penduduk Terjejas Bekalan Air
KUALA NERUS, 6 Ogos - Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat mewakili kerajaan negeri telah melancarkan misi kebajikan untuk menyampaikan bantuan 38,000 liter air minuman kepada penduduk di Tepoh dan Batu Rakit yang terputus bekalan tersebut.
Beliau yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai berkata, usaha melibatkan kerjasama Majlis Tindakan DUN (MTD) Chukai dan juga Dewan Pemuda PAS kawasan berkenaan.
"Dengan bantuan ini diharapkan sedikit sebanyak dapat meringankan bebanan yang dialami penduduk di sini, dapat memberikan sedikit kelegaan dan kegembiraan kepada keluarga yang terkesan.
"Selebihnya kita mengharapkan bekalan air daripada Syarikat Air Terengganu, juga saya dimaklumkan setakat ini hampir seluruh negeri akan mula menghantar bekalan air melalui lori,juga melibatkan beberapa buah negeri lain yang akan turut membantu atas dasar prihatin dengan masalah yang sedang kita hadapi pada ketika ini," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) , pada program 'Misi Bantuan YBC Ke Kuala Nerus', di sini, pada semalam.
Turut bersama, ADUN Tepoh, Hishamuddin Abdul Karim, Pengarah Urus Setia Belia Sukan & NGO Terengganu Sejahtera (UBSNT), Mohd Nasir Abdul Razab dan Pengarah Akademi Didik Ulama Amilin Terengganu (DUAT), Ramlan Mahmood.
Hanafiah berkata, kerajaan melalui Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri mengambil langkah segera mencari jalan berusaha mengatasi masalah ketiadaan air ini yang melibatkan 27,000 buah rumah di lima buah DUN.
"Pihak EXCO bersetuju supaya buat sesuatu dan kerajaan akan menanggung apa jua risiko yang akan berlaku bagi memastikan seluruh rakyat akan mendapat bekalan air dengan segara melalui kaedah yang terbaik dan sewajarnya dilakukan.
"Melihat pada perkembangan semasa dan tindakan yang dilakukan pada ketika ini saya berharap dalam masa tujuh sehingga 10 hari masalah ini akan selesai dan rakyat akan dapat bekalan air seperti biasa," ujarnya.
Hanafiah mewakili kerajaan negeri turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam membantu meringankan beban yang dialami pihak terbabit.
"Sama ada dermawan, Petugas daripada PAS setiap kawasan mahupun DUN, Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu (DPPNT) juga Jabatan Amal Malaysia yang pada waktu ini telah berkhidmat tanpa henti, badan-badan kebajikan, sukarelawan, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) serta sukarelawan samada yang terlibat secara langsung atau tidak," ujarnya.
06 Aug 21
476
Pelan Pemulihan Pelancongan Terengganu Pastikan Pengunjung Selamat
BESUT, 6 Ogos - Kerajaan negeri akan memastikan kejadian seumpama bot lebih muatan yang terjadi di Pulau Kapas, tahun lalu tidak akan berulang.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, bagi mengatasi isu berkaitan, pihaknya telah melaksanakan Pelan Pemulihan Pelancongan Terengganu 2021.
"Tourism Terengganu bersama pihak berkuasa tempatan telah mengadakan satu panduan untuk keselamatan pelancong dengan memastikan had waktu keluar masuk dan jumlah kemasukan ke pulau-pulau dipatuhi.
"Kita akan cuba selesaikan isu-isu ini lebih awal," katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas melakukan tinjauan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) secara Outreach di Pulau Perhentian, hari ini.
Hadir sama, Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (Tourism Terengganu), Fadli Yusof Zakaria dan Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Terengganu, Zanariah Zakaria.
Kunjungan tersebut turut disertai pegawai penyelaras DUN Kuala Besut, Azbi Salleh dan Pegawai Daerah Besut, Ahmad Farhan Abdul Wahab.
Jelasnya, fasa pertama pelan pemulihan berkenaan iaitu pembukaan sektor pelancongan secara selamat sedang dilaksanakan dengan mempercepatkan program vaksinasi kepada penggiat industri.
"Hari ini, seramai 279 penggiat dan pekerja pelancongan bersama 672 penduduk menerima vaksin di sini selepas program PICK di Tasik Kenyir, Pulau Kapas dan Redang baru-baru ini.
"Kita sasarkan akan selesai 100 peratus pada akhir Ogos, tetapi sekarang ramai yang masih bercuti dan berada di tanah besar.
"Jadi, kita telah berbincang dengan pejabat daerah dan kita akan kenalpasti supaya mereka boleh terima vaksin di kawasan masing-masing," katanya.
06 Aug 21
296
Kerja Baiki Paip Utama Berjalan Tanpa Henti
KUALA TERENGGANU, 5 Ogos - Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU) memaklumkan kerja-kerja penyediaan Pipe Support, i-beam dan Clamp sedang giat dijalankan tanpa henti sejak 24 jam lalu bagi memulihkan kerosakan paip utama di dasar Sungai Terengganu.
Ahli Lembaga Pengarah Syarikat itu, Burhanuddin Hilmi Mohamed@Harun, berkata penyediaan barang-barang pembaikian itu mengambil masa kerana perlu dibuat mengikut spesifikasi khas dan dipasang secara berhati-hati.
Katanya, berdasarkan anggaran masa yang dimaklumkan oleh pihak jurutera dan kontraktor, kerja-kerja menyiapkan barang-barang pembaikian ini akan dapat disiapkan menjelang jam 3 pagi esok.
"Apabila siap pemasangan, bahan-bahan tersebut dihantar ke tapak paip rosak di Sungai Terengganu bagi tujuan pembaikian dan pemasangan di bawah sungai," katanya dalam satu kenyataan dalam facebook SATU.
Jelasnya, kesemua pihak yang terlibat sehingga hari ketiga itu telah berkerja keras bagi mempercepatkan proses pembaikian ini.
"Semoga usaha tanpa mengenal penat ini berjaya dan masalah bekalan air diatasi secepat mungkin.
"Pihak kami memohon kesabaran semua pihak dan mendoakan sahabat kita dilapangan dipermudahkan urusan serta diberi kesihatan dan keselamatan sepanjang tempoh tersebut," katanya.
05 Aug 21
1722
SATU Kemas Kini Perjalanan 'Tanker' Di Laman Web
KUALA TERENGGANU, 5 Ogos - Bagi menangani krisis air yang berlaku di Kuala Terengganu dan Kuala Nerus, Syarikat Air Terengganu (SATU) akan sentiasa mengemas kini maklumat perjalanan lori tangki air di laman sesawang syarikat itu untuk kemudahan penduduk setempat.
Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Incorporated (TI) Sdn Bhd, Dr Burhanuddin Hilmi Mohamed@Harun berkata, usaha tersebut merupakan antara 'emergency respon' untuk sementara waktu bagi memastikan bekalan air tidak terputus.
"Sebanyak 16 lori tangki akan bergerak mengikut laluan yang telah ditetapkan secara berjadual bagi memudahkan penduduk terlibat untuk mengambil bekalan air.
"Selain itu, empat lori lagi akan bergerak untuk membekalkan air kepada 66 buah tangki statik yang diletakkan di kawasan-kawasan tertentu. Sebanyak 34 buah tangki lagi akan ditempatkan secara berperingkat bagi memudahkan penduduk mengambil air dari masa ke masa.
"Jadual perjalanan setiap lori akan sentiasa dikemas kini di laman Facebook SATU supaya lebih ramai dapat akses maklumat dengan kita hanya menggunakan satu sumber," katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan pelan tindakan dan proses baik pulih bersama Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau, Dr Mamad Puteh dalam sidang media di pejabat SATU, hari ini.
Turut hadir, Pengarah Bahagian Operasi Wilayah Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Ir. Azrul Raimee Ramli.
Dalam pada itu, Dr. Mamad menyifatkan, krisis air kali ini agak besar dan membimbangkan.
"Sebanyak lima Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan lebih 104 Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung serta melibatkan 28,700 pengguna, ini melibatkan satu angka yang besar.
"Namun, kita berusaha sebaik mungkin mengatasinya. Dari hari pertama lagi, kita sudah bergerak untuk mengatasi masalah ini selain membekalkan air untuk kawasan-kawasan terlibat," katanya.
Beliau menganggarkan kerja-kerja baik pulih akan mengambil masa sehingga tujuh hari (11 Ogos) sekiranya proses berjalan lancar.
"Saya berterima kasih kepada pelbagai pihak yang berkerjasama membantu menyampaikan bekalan air ke kawasan terbabit.
"Ada di kalangan individu yang menawarkan air dari telaga miliknya untuk membantu. Ini menunjukkan adanya kerjasama daripada segenap lapisan masyarakat yang bersama dalam usaha memulihkan isu ini," katanya.
Laman sesawang SATU juga boleh di akses di https://webapps.satuwater.com.my/tanker_tracker/
05 Aug 21
622
NGO Sumbang 40,000 Liter Air Melalui Dua Treler
KUALA NERUS, 5 Ogos - Badan Bukan Kerajaan (NGO) Khidmat malaysia Kuala Terengganu pada hari ini telah mula menjalankan misi memberi sumbangan air minuman kepada penduduk terjejas akibat krisis air sebanyak 40,000 liter bekalan air bersih atau 2,000 balang air yang dibawa melalui dua treler.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata dimana pada hari ini bantuan melalui treler pertama ditumpukan dahulu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tepoh.
"Pada esok Insya-Allah akan datang lagi dengan satu treler khusus untuk DUN Batu Rakit, dan juga NGO akan bertanggungjawab menguruskan treler bantuan air di Manir dan Buluh Gading.
"Juga pada lusa insya-Allah akan ada lagi satu treler untuk agihan di DUN Seberang Takir dan juga Bukit Tunggal yang mana kita kira melibatkan enam DUN kesemua sekali yang terjejas," ujarnya.
Beliau yang juga merupakan Pengarah Khidmat Malaysia Kuala Terengganu berkata demikian, ketika hadir menyampaikan bantuan berkenaan, di sini, pada hari ini.
Turut hadir, ADUN setempat, Hishamuddin Abdul Karim, ADUN Batu Burok, Muhammad Khalil Abdul Hadi, juga ADUN Bandar, Ahmad Shah Muhamed.
Mengulas lanjut katanya, bantuan air berkenaan mencukupi untuk keperluan rakyat yang menghadapi masalah air pada waktu ini.
"Di samping itu balang yang dibawa ini juga akan berperanan untuk digunakan untuk isian semula bekalan air. Insya-Allah pihak kita akan memastikan sumbangan akan berterusan sehinggalah masalah ini berakhir.
"Yang mana ia telah melanda Kuala Nerus, sebahagian di Setiu dan juga Hulu Terengganu," ujarnya.
Sementara itu seorang penduduk berbangsa Tiong Hua, Too Seng Chua berkata pihaknya sangat berterima kasih diatas bantuan bekalan air berkenaan.
"Tiada dapat dinafikan dalam keadaan seperti sekarang memang menghadapi kesulitan sedikit, dengan bantuan ini dapatlah meringankan beban yang dialami.
"Saya memang sangat menghargai ADUN setempat, Ustaz Hishamuddin yang memberi kecaknaan dan sentiasa menolong di waktu rakyat menghadapi kesusahan. Terima kasih kerajaan Terengganu.
"Saya berharap agar perkara ini dapat diselesaikan dengan dipulihkan segera, itu menjadi harapan saya," katanya.
05 Aug 21
702
Kerosakan 'Major' Paip Dikenalpasti, Proses Baiki Siap Mengikut Jadual
KUALA TERENGGANU, 5 Ogos - Syarikat Air Terengganu (SATU) telah melaksanakan strategi terbaik dalam membaiki kerosakan paip utama di dasar sungai yang rosak baru-baru ini selepas berjaya menemui punca utama perkara itu berlaku.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau, Dr Mamad Puteh berkata, justeru kerja membaik pulih masalah itu dijangka dapat diselesaikan mengikut jadual.
Katanya, pada waktu ini segala peralatan berkaitan termasuk kren telah disediakan untuk memastikan bekalan air pulih seberapa segera.
"Juruselam telah mengenalpasti persekitaran tempat menjadi punca dengan lebih teliti dan hari ini insya-Allah Universiti Malaysia Terengganu (UMT) akan turut membantu dengan peralatan lebih canggih.
"Kita mengharapkan agar tidak akan berlaku sebarang kerumitan atau apa jua permasalahan akan dapat diselesaikan secepat mungkin, apabila selesai nanti ia akan melalui ujian ketahanan bagi melihat adakah masih menghadapi masalah di sepanjang kawasan tersebut," ujarnya.
Beliau berkata demikian ditemui pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), ketika hadir di bilik operasi SATU di Losong Feri, pada hari ini.
Turut hadir, Ahli Lembaga Pengarah SATU, Burhanuddin Hilmi Mohamed @ Harun serta Pengarah Bahagian Operasi Wilayah Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Ir. Azrul Raimee Ramli.
Sementara itu, Burhanuddin meminta agar rakyat mendapatkan maklumat semasa melalui Facebook SATU.
"Kita berperanan membantu SATU bertindak sebagai 'Provide Leadership' dalam menghadapi perkara ini dan menyampaikan maklumat kepada rakyat.
"Kita akan maklumkan setiap masa lokasi tangki statik dan juga lokasi dimana 'tanker' kita berada dengan 100 tangki yang disediakan kita harap boleh meringankan beban dialami rakyat pada waktu ini.
"Kita juga akan sedaya upaya untuk memastikan tangki air berkenaan sentiasa diisi supaya penduduk tidak mengalami masalah, juga akan dipastikan surau dan masjid setempat akan mempunyai bekalan air agar boleh menjadi alternatif sekiranya air dalam tangki kehabisan," katanya.
Dalam pada itu Ir. Azrul pula berkata, pihaknya optimis dengan langkah yang telah dikenalpasti itu sebagimana dinyatakan oleh pihak kontraktor dijamin akan siap dalam jangka masa seminggu.
"SPAN sebagai badan kawal selia air akan memastikan SATU mengaktifkan 'emergency respon' untuk masa ini dengan mengambil tindakan wajar dan pantas untuk sementara waktu bagi memberikan bekalan air sementara.
"Saya mengharapkan agar pihak SATU memastikan ada alternatif lain kerja-kerja pembaikan ini dilakukan segera dan juga ada 'optional' lain untuk terus membekalkan air kepada akaun pengguna yang lebih kurang 28,000 dengan seberapa segera," ujar beliau.
05 Aug 21
2446
Jemaah Malaysia Dijangka Tunai Umrah Akhir Tahun Ini
KUALA TERENGGANU, 5 Ogos - Rakyat Malaysia yang berhasrat menunaikan umrah dijangka dapat melakukan ibadah tersebut akhir tahun ini selepas Arab Saudi mengumumkan ibadah itu dibuka semula kepada jemaah dari negara tertentu, bermula 10 Ogos depan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, bagaimanapun jangkaan itu tertakluk kepada kebenaran daripada dua negara dan situasi kes jangkitan Covid-19 di negara ini.
Selain kebenaran pihak Arab Saudi, semua pihak perlu akur dengan pendirian dan keputusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk membuat pertimbangan lain demi menjaga kesihatan dan keselamatan rakyat Malaysia.
"Jika sebelah Arab Saudi terima (buat umrah), kita pula perlu bersedia akur pendirian MKN yang mungkin ada pertimbangan lain untuk jaga keselamatan dan kesihatan semua pihak.
"Saya baru berbincang dengan Duta Besar Arab Saudi semalam dan alhamdulillah Malaysia sudah mendapat kebenaran memohon visa pelancongan ke Arab Saudi.
"Walau macam mana pun, kita kena tunggu dan mendapatkan kepastian dari semasa ke semasa termasuk kebenaran melakukan umrah dan prosedur operasi standard (SOP) yang akan dikuatkuasakan.
"Kita harap sehingga tempoh tersebut isu berkaitan penyebaran Covid-19 dapat diredakan sebaik mungkin dengan rakyat mematuhi SOP.
"Pada masa sama vaksinasi di negara ini dapat berjalan pada kadar maksimum. Jika hal ini kita dapat selesaikan dengan baik jadi untuk kita mengunjungi Tanah Suci Mekah tahun ini dapat direalisasikan insya-Allah.
"Saya yakin dalam satu atau dua bulan lagi kita sudah ada keputusan daripada kedua negara termasuk pihak MKN," jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada penyampaian sumbangan kepada Maahad Darul Quran (MDQ) Rusila, Marang, hari ini.
Hadir sama dalam serahan sumbangan berkenaan, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Muhammad Khalil Abdul Hadi dan Ketua Dewan Ulama PAS Terengganu, Ismail Osman.
05 Aug 21
622