Artikel "Utama" Terkini
Pasangan PJJ Dibenar Rentas Daerah, Negeri
KUALA TERENGGANU, 8 Ogos- Kerajaan bersetuju memberi kemudahan perjalanan untuk individu yang telah menerima vaksinasi lengkap di seluruh negara dan terpakai ke atas semua fasa di dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) berkuatkuasa 10 Ogos ini.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kemudahan-kemudahan yang dimaksud itu secara amnya adalah pengembara warganegara dan bukan warganegara yang mempunyai kediaman di Malaysia (termasuk PR dan Malaysia MY Second Home) yang pulang atau tiba dari luar negara dan telah mendapat vaksin dos lengkap, dibenarkan menjalani kuarantin wajib di rumah dan diberikan Perintah Pengawasan Dan Pemerhatian Di Rumah (HSO) digital.
Selain itu, beliau berkata, pasangan suami isteri jarak jauh yang telah mendapat vaksin dos lengkap dibenarkan rentas daerah atau negeri untuk bertemu pasangan masing-masing.
"Ibu bapa yang telah mendapat vaksin dos lengkap turut dibenarkan merentas daerah dan negeri untuk berjumpa anak di bawah umur 18 tahun," ujarnya dalam perutusan Khas, hari ini.
08 Aug 21
186
Vaksin Lengkap : Dibenar Solat Di Masjid, Surau
KUALA TERENGGANU, 8 Ogos - Kerajaan bersetuju individu yang telah menerima vaksin lengkap dibenarkan untuk mendirikan solat di masjid dan surau.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kemudahan ini terpakai ke atas semua fasa dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) berkuatkuasa 10 Ogos ini.
Bagaimanapun katanya, pihak masjid dan surau perlu pastikan SOP berkaitan protokol kesihatan awam seperti pemakaian pelitup muka, penjarakan fizikal dan juga pastikan jemaah terus pulang setelah selesai solat.
"Jemaah yang hadir untuk menunaikan solat mesti menunjukkan kepada petugas masjid dan surau sijil digital vaksinasi COVID-19 (digital certificate COVID-19 vaccination) yang menunjukkan bahawa individu tersebut telah menerima vaksinasi lengkap," ujarnya dalam perutusan khas, hari ini.
Katanya, kemudahan tersebut juga diberikan kepada penganut bukan Islam untuk menghadiri rumah-rumah ibadat.
"Pelaksanaan kemudahan ini adalah tertakluk kepada pihak berkuasa agama negeri dan Kementerian Perpaduan Negara bagi rumah ibadat selain Islam," jelasnya.
08 Aug 21
209
Kerja Baiki Paip Pecah Berjalan Mengikut Jadual
KUALA TERENGGANU, 8 Ogos - Tahap perkembangan kerja pembaikian paip pecah yang dimulakan pada Rabu lalu di dasar Sungai Terengganu berjalan mengikut jadual.
Ahli Lembaga Pengarah Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU), Burhanuddin Hilmi Mohamed @ Harun, berkata 10 juruselam termasuk tiga jurukimpal kini dalam proses menyiapkan pemasangan aligment clamp.
Katanya, kerja-kerja itu dimulakan secara bergilir-gilir sejak kelmarin dan pagi tadi mereka telah memasang satu lagi clamp sebagai melengkapkan kedua-dua clamp.
"Setiap pemasangan clamp memakan masa hampir satu hari berikutan pelbagai halangan ditempuh, terutama berdepan dengan arus deras di dasar sungai.
"Jika keadaan itu berlaku kerja-kerja terpaksa berhenti buat seketika kerana penyelam tidak boleh mengambil posisi yang betul untuk melakukan tugasan," katanya kepada media.
Burhanudin berkata, dia yakin pengguna yang terkesan akan kembali memperoleh air bersih seperti yang dijangkakan iaitu pada 11 Ogos.
"Dalam tempoh gangguan, pihak kami sentiasa setia mengagihkan bekalan air dan menambahkan jumlah agihan sehingga keperluan mencukupi.
"Sehingga hari ini, pelbagai pihak turut tampil membantu.
"Antaranya Syarikat Air Darul Aman , Air Kelantan (AKSB), Air Melaka (SAMB), Syarikat Air Johor (SAJ), Air Selangor, Lembaga Air Perak dan Perbadanan Air Pahang (PAIP).
"Turut membantu Syarikat Air Selangor (SYABAS), Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS), Majlis Getah Malaysia (MRC), Bomba, JPAM, MBKT, Unit Amal dan NGO," katanya.
08 Aug 21
856
Pejabat Parlimen Setiu Agih 422 Pek Lauk Basah
SETIU, 8 Ogos – Seramai 422 keluarga di Setiu, di sini yang dikuarantin menerima bantuan lauk mentah yang disumbangkan oleh Ahli Parlimenya, Shaharizukirnain Abd Kadir.
Bantuan itu membabitkan kampung-kampung di Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Rakit, Permaisuri dan Langkap yang terkesan akibat penularan wabak Covid-19 atau penduduk yang masih menunggu keputusan saringan wabak tersebut.
Shaharizukirnain berkata, inisiatif itu diambil berikutan keluarga-keluarga yang dikenakan kuarantin ini tidak boleh keluar untuk mencari barangan makanan dan bekerja.
“Sebelum ini kita agihkan barangan makanan asas kepada keluarga yang di kuarantin dan kali ini kita agih makanan lauk basah pula.
"Seterusnya, pihak Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) akan agihkan kepada penerima di kampung masing-masing," katanya kepada pemberita selepas mengagihkan bantuan berkenaan semalam.
Selain itu, Shaharizukirnain juga berkata, setakat ini agihan ditumpukan di DUN Permaisuri dan Langkap kerana jumlah keluarga yang dikenakan kuarantin agak ramai.
“Insya-Allah selepas ini kita akan agihkan untuk DUN Jabi pula," jelasnya.
08 Aug 21
355
Sokongan, Solat Hajat Keluarga Iringi Kejayaan Azizulhasni
DUNGUN, 8 Ogos – Walaupun dipisahkan lebih 5,000 kilometer, sorakan dan solat hajat keluarga jaguh trek negara, Dato' Muhammad Azizulhasni Awang di Dungun tidak putus sekali gus ia menjadi pencetus kejayaan di Olimpik Tokyo 2020.
Abang iparnya, Mohd. Razman Mohamad, 36, meluahkan rasa bangga dengan pencapaian 'The Pocket Rocketman' dalam acara keirin lelaki yang berlangsung di Velodrom Izu, Tokyo pagi tadi.
“Meskipun tidak membawa pulang pingat emas, namun kita tetap bangga atas prestasi terbaik terutamanya selepas pingat gangsa pada olimpik Rio 2016 lalu,” katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Nibong Stesen, hari ini.
Menurutnya, Azizulhasni sempat menghubungi keluarga sebelum beraksi bagi bertanya khabar dan meminta keluarganya untuk mendoakan kejayaannya.
“Setiap kali sebelum kejohanan memang dia akan selalu telefon, tidak kira kesibukannya ketika melakukan persiapan sebelum bertanding, dan keluarga Awang sentiasa berada dibelakangnya sejak permulaan kariernya.
“Pingat perak itu juga dilihat sebagai hadiah buat ayah beliau, Awang @ Muda Embong, 72, yang terlantar sakit akibat strok namun masih menonton perlawanannya menerusi telefon pintar,” katanya lagi.
Hasrat jaguh kelahiran Dungun itu untuk meraih pingat emas terhalang apabila taktik pemenang pingat emas di Rio 2016 yang berasal dari Great Britain, Jason Kenny mengelirukan pelumba lain.
Kenny yang memecut menggunakan teknik 'senko' dari 750 meter terakhir meninggalkan pesaing lain untuk memenangi perlumbaan tersebut.
08 Aug 21
250
Azizulhasni Raih Pingat Perak Olimpik Tokyo 2020
KUALA TERENGGANU, 8 Ogos- Jaguh berbasikal negara, Dato' Muhammad Azizulhasni Awang berjaya menghadiahkan pingat perak buat Malaysia dalam temasya Olimpik 2020 di Tokyo, sebentar tadi.
Dalam acara akhir keirin lelaki akhir yang berlangsung tadi, The Pocket Rocketman memulakan perlumbaan di posisi ke lima sebelum memintas juara dunia 2019 dari Belanda Harrie Lavreysen untuk tempat kedua.
Hasrat jaguh kelahiran Dungun itu untuk meraih pingat emas terhalang oleh taktiK pemenang pingat emas di Rio 2016 yang berasal dari Great Britain, Jason Kenny yang terus memecut menggunakan teknik 'senko' dari 750 meter terakhir meninggalkan pesaing lain untuk memenangi perlumbaan tersebut.
Azizul ketika ditemui media selepas perlumbaan berkata, beliau sedikit kecewa gagal meraih emas buat Malaysia.
"Saya tahu harapan kepada saya untuk meraih emas cukup besar dari rakyat Malaysia.
"Saya tinggalkan keluarga untuk meraih yang terbaik untuk anda semua, saya harap saya kecewakan semua.
"Saya minta maaf," jelasnya.
08 Aug 21
951
Tok Gajah 'Lemas' Di Terengganu
KUALA NERUS, 7 Ogos- Terengganu Football Club (Terengganu FC) terus mengutip tiga mata selepas menang 2-0 keatas Sri Pahang FC dalam saingan Liga Super 2021, malam ini.
Beraksi di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) Gong Badak, pasukan pelawat tampak garang apabila menguasai bola dan melakukan serangan ke kubu tuan rumah seawal permainan.
Bagaimanapun, David Da Silva yang kembali mendapat sentuhan gol ketika bertemu PJ City FC, baru-baru ini berjaya membolosi gawang skuad kendalian Dollah Salleh itu pada minit ke-11 untuk Terengganu FC berada di depan dengan satu gol.
Bermula dengan kombinasi gerakan bersama Makan Konate, Faiz Nasir berjaya melorongkan bola ke Da Silva dan penyerang kelahiran Brazil itu bijak menggelecek Fazly Mazlan sebelum mudah meletakkan bola ke dalam gawang kendalian Zarif Irfan.
Sri Pahang hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-14.
Namun, tandukan penyerangnya, Kenny Athiu tepat ke tiang gol dan terbias ke Aung Kaung Mann sebelum singgah lagi ke tiang gol untuk menghampakan penyokong Tok Gajah.
Dua minit kemudian, Da Silva digantikan dengan Hakimi Abdullah dan meletakkan Faisal Halim sebagai penyerang Sang Penyu.
Keputusan itu membuahkan hasil apabila penyerang cilik itu meledak gol kedua pada minit ke-23 melalui tandukan hasil hantaran lintang Faiz Nasir.
Keputusan kekal sehingga tamat separuh masa pertama.
Bersambung babak kedua, anak buah Nafuzi Zain mempamerkan penguasaan bola menarik untuk mengekalkan kedudukan semasa.
Pada minit ke-50, Dechi Marcel melakukan rembatan dari luar kotak penalti, namun tersasar melepasi palang.
Kesilapan pertahanan Pahang pada minit ke-59 sekali lagi mengundang padah apabila bola yang cuba dikeluarkan Muslim Ahmad ditanduk Faisal membolehkan Konate melakukan 'half volley' yang hampir menerjah jaring.
Pelawat terus buntu menghasilkan gol bagi menyamakan kedudukan sekalipun Sang Penyu mengendurkan asakan pada 10 minit terakhir perlawanan.
Keputusan kekal 2-0 sehingga tamat perlawanan.
Terengganu FC kini terus kekal di tangga kedua liga dengan 37 mata.
07 Aug 21
761
Bantuan Air Ditambah Hingga Bekalan Pulih Rabu Depan
KUALA TERENGGANU, 7 Ogos – Pihak berwajib akan meningkatkan bantuan air kepada penduduk terjejas bekalan itu menerusi penambahan tangki air statik dan mudah alih.
Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali berkata, 40 unit tangki baharu akan diletakkan di setiap kampung di daerahnya.
“Kita juga akan menambah bekalan air di tangki mudah alih menerusi sukarelawan terlibat yang akan meronda di kawasan terjejas.
“Dua lori tangka Syarikat Air Terengganu (SATU) juga bergerak 24 jam bagi menambah bekalan air di tangki-tangki sedia ada.
“Pejabat Parlimen Kuala Nerus juga mengambil inisiatif menyewa dua lori tangki yang boleh memuatkan 40,000 liter air bagi setiap trip dengan kerjasama Majlis Getah Malaysia (MRC)," ujarnya.
Beliau berkata demikian selepas melawat tapak pemulihan paip di Sungai Terengganu, hari ini.
Turut hadir, Ahli Lembaga Pengarah SATU Burhanuddin Hilmi Mohamed@Harun.
Khairuddin yang juga Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi berharap agar rakyat di dua daerah terkesan terus berdoa dan bersabar dalam menunggu kerja pembaikian selesai.
“Kita ada pasukan jurutera dan teknikal yang bagus, namun begitu, mereka perlu menghadapi cabaran arus deras dalam kedalaman sehingga 18 meter dalam usaha menyambung kembali sumber asas ini,” jelasnya lagi.
07 Aug 21
646
SATU Hadapi Tugas Mencabar Di Sungai Terengganu
KUALA TERENGGANU, 7 Ogos – Dua fasa kritikal dan mencabar perlu dihadapi pasukan teknikal serta jurutera Syarikat Air Terengganu (SATU) dalam usaha membaiki kerosakan paip di dasar sungai yang berlaku sejak Isnin lalu.
Ahli Lembaga Pengarahnya, Burhanuddin Hilmi Mohamed@Harun berkata, antara fasa penting perlu dihadapi adalah penyelarasan paip dengan diameter berukuran 1.2 meter di sungai kedalaman sehingga 18 meter.
Ahli Lembaga Pengarah SATU, Burhanuddin Hilmi Mohamed@Harun
“Oleh itu, kita perlu pengapit ‘clamp’ yang besar untuk diletakkan di bawah paip ganti itu, dengan tujuan membaikinya.
“Clamp kedua akan menghubungkan dua paip tersebut, selepas kita laraskan paip itu, pengapit kedua berperanan dalam menyambungnya.
“Setelah disambung, kita akan mulakan ujian dengan air tekanan rendah mungkin dikuasai satu engin dari loji untuk lihat jika ada kebocoran lagi, untuk memenuhi loji diatas bukit dan rumah-rumah ia memerlukan tekanan yang tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melawat tapak pemulihan paip di Sungai Terengganu, hari ini.
Menurutnya lagi, proses menguji tekanan tersebut akan mengambil masa paling kurang dua hingga tiga hari bagi air di kawasan loji dapat beroperasi kembali, menandakan 70 peratus proses pembaikan akan siap.
Bercakap tentang cabaran dihadapi 10 orang penyelam yang menjalankan kerja membaikpulih itu, penglihatan kabur akibat air keruh dan arus sungai Terengganu yang deras memberi ancaman kepada keselamatan.
“Ini menyukarkan penyelam tidak boleh mengambil posisi yang stabil semasa pelaksanaan kerja-kerja pemasangan di dasar sungai.
“Pemasangan tersebut perlu dilakukan berhati-hati dengan mengambil kira keadaan, termasuk juga dengan saiz paip yang perlu diselaraskan, kerja pengukuhan paip juga akan diteruskan setelah selesai fasa itu,” tambahnya lagi.
Dalam masa yang sama, beliau menasihati komuniti di Daerah Kuala Nerus dan Kuala Terengganu supaya bersabar kerana usaha membaikpulih itu akan terus berjalan bagi mengembalikkan keperluan asas di rumah-rumah terkesan.
07 Aug 21
2371
PKPD : Pusat Khidmat Masyarakat, JPKK Main Peranan Agih Keperluan
KUALA TERENGGANU, 7 Ogos – Kerajaan negeri telah mengarahkan Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) di setiap kawasan yang dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) untuk sentiasa bersedia dalam memastikan bantuan asas bagi warga terkesan tidak terputus.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, pihaknya melalui PKM dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) sentiasa mengambil peranan dalam memastikan sumbangan diperuntukkan kerajaan akan disampaikan.
“Insya-Allah, dana telah disalurkan dan akan ditambah mengikut kadar ditetapkan, kita juga telah putuskan setiap wakil rakyat untuk keluarkan peruntukan masing-masing dan mengenalpasti mereka yang terkesan agar dibantu segera," katanya.
Menerusi siaran langung TVDI, Mohd Nor turut menyentuh, jika berlaku isu terlepas pandang dalam kerja kebajikan kepada mereka terkesan, maka jiran setempat perlu prihatin dan boleh menyampai maklumat kepada wakil kerajaan.
“Jika berlaku masalah dalam perolehan bantuan atau ada mereka yang tercicir, jangan malu dan segera hubungi JPKK atau PKM kawasan anda.
“Selain itu, mereka mengalami kesempitan bekalan juga boleh membuat aduan atas talian di Facebook Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), mana-mana aduan dalam laman sosial kita akan panjangkan kepada pihak berkenaan bagi tindakan lanjut,” katanya lagi.
Sementara itu, beliau turut mengajak seluruh umat Islam Terengganu agar mengikuti program Munajat Rakyat 8.0 sebagai ikhtiar mengharungi musibah pandemik COVID-19.
“Munajat kali ini akan diisi dengan pendakwah selebriti seperti Dr Zamri Mantop serta Ustaz Ahmad Dasuki dan ramai lagi pengisian bermanfaat bagi menyucikan jiwa dan berdoa kepada Allah supaya dijauhi daripada wabak dan bencana,” jelasnya.
07 Aug 21
202