Artikel "Utama" Terkini
Masyarakat Masih Keliru Dengan SOP
KUALA TERENGGANU, 12 Ogos - Kalangan pengusaha premis makanan dan pelanggan di negeri ini masih lagi keliru dengan kebenaran aktiviti 'dine-in' yang bermula kelmarin.
Ketua Polis negeri, Datuk Rohaimi Md. Isa berkata, sepanjang dua hari pemantauan dijalankan, pihaknya mengesan beberapa kesalahan, namun buat masa ini tiada tindakan penguatkuasaan diambil bagi mendidik orang ramai.
“Wujud kekeliruan mengenai prosedur operasi standard (SOP) baharu ini yang secara tidak langsung menyebabkan aktiviti dine in kurang mendapat sambutan.
“Saya telah mengarahkan semua ketua polis daerah agar tidak mengenakan kompaun lagi dalam tempoh tiga hari ini bagi memberi kefahaman kepada pelanggan, pekerja serta majikan di premis-premis makanan dan minuman (F&B),” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas memantau restoran dan medan selera di pusat beli-belah, Kuala Terengganu City Centre (KTCC) di sini semalam.
Rohaimi berkata, kesemua 147 pasukan pemantauan akan terus digerakkan bagi memeriksa premis-premis di negeri ini.
11 Aug 21
293
Kerjasama Kerajaan Negeri, PETRONAS, Manfaat Buat Komuniti
KUALA TERENGGANU, 12 Ogos - Kerjasama erat antara kerajaan negeri bersama PETRONAS diharap berterusan dalam mengatasi jurang digital serta membantu rakyat di negeri ini menikmati limpahan manfaat ekonomi dan kesejahteraan komuniti.
Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kolaborasi tersebut mampu membuahkan faedah buat masyarakat seperti penyaluran gajet kepada 735 pelajar dari lima buah daerah (Kemaman, Besut, Kuala Nerus, Dungun dan Marang).
“Jumlah keseluruhan sumbangan program CERDIK tajaan Yayasan PETRONAS ini adalah RM1.8 juta untuk negeri Terengganu.
“Besar harapan saya agar kerjasama dan hubungan baik antara ini berterusan ibarat kata orang tua-tua, ‘pecak boleh dilayangkan, bulat boleh digulingkan, batu segiling pecak setapik,” katanya menerusi ciapan di Facebook rasminya, semalam.
Terdahulu, Pengurus Besar PETRONAS Pantai Timur, Che Ahmad Tarmizi Abd Rahman berkata, bantuan itu turut meliputi penyelenggaraan peralatan serta jaminan dan sokongan teknikal selama tiga tahun bagi setiap pelajar.
“Usaha ini adalah sebahagian daripada sumbangan RM30 juta oleh Yayasan PETRONAS melalui program CERDIK yang melibatkan 12,000 pelajar di seluruh Malaysia," katanya.
11 Aug 21
314
DUN Terengganu Mahu Bergerak Sebagaimana Peranan Parlimen
Oleh : Rohayati Ripin
KUALA TERENGGANU, 11 Ogos - Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu berharap badan legislatif negeri itu memiliki keupayaan sebagaimana Parlimen Malaysia dalam meningkatkan peranan ‘semak dan imbang’ untuk jangka panjang.
Yang Dipertuanya, Dato' Yahaya Ali berkata, beliau menyokong cadangan yang dibentangkan oleh Dato’ Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan, antaranya penubuhan Jabatan Penyelidikan DUN.
“Berkait dengan usaha memberdaya institusi DUN supaya diperkasakan dengan menambah baik kertas kerja daripada Dato’ Speaker Kelantan sekurang-kurangnya perbincangan kita pada masa akan datang ini lebih terjurus dan fokus. Speaker negeri Sarawak diberi tugas untuk memimpin perbincangan ini،" jelasnya.
Beliau berkata demikian dalam Persidangan Speaker-Speaker Parlimen dan DUN seluruh Malaysia tahun 2021 atas talian kelmarin.
Menurutnya, DUN Terengganu telah pun melaksanakan sebahagian daripada reformasi dan penambahbaikan dari segi penyebaran maklumat termasuk membangunkan dan mengemaskini laman sesawang rasmi serta pasukan media.
Terdahulu, dalam persidangan tersebut Yang Dipertua DUN Kelantan, Dato’ Haji Abdullah Yaakub telah mengemukakan kertas cadangan yang bertajuk 'Usaha-usaha Memberdaya Institusi Dewan Undangan Negeri'.
Beliau turut menyarankan perlunya program pendidikan institusi badan legislatif kepada masyarakat umum dan memperkukuhkan peranan pembangkang secara lebih efektif.
Justeru itu, beliau berterima kasih kepada Dewan Undangan Negeri Pahang yang menjadi tuan rumah pada tahun ini.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada DUN Pahang yang berjaya mengurus dan mengendalikan persidangan dengan begitu baik,” ujar Yahaya.
Mesyuarat yang diadakan secara atas talian dalam keadaan norma baharu itu dirasmikan oleh Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
11 Aug 21
343
JHEAT Tubuh Skuad Urus Jenazah Secara Percuma
KUALA TERENGGANU, 11 Ogos- Satu skuad sukarelawan telah ditubuhkan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT)bagi mengurus jenazah pesakit COVID-19 secara percuma.
Pesuruhjaya JHEAT, Mat Azmi Arshad, berkata ia bagi mengurangkan beban ahli keluarga terutama golongan asnaf dalam menguruskan jenazah walaupun kos dikenakan pengurusan jenazah tidak membebankan.
Katanya, pengurusan jenazah mengenakan caj RM750 termasuk keranda, batu nisan dan kelengkapan lain.
"Kos tambahan RM200 hanya dikenakan jika ahli keluarga meminta pengurusan jenazah menggali kubur," katanya.
Mengenai bayaran tinggi untuk menguruskan jenazah pesakit COVID-19, Mat Azmi berkata, ia sedang disiasat tetapi pihaknya belum menerima aduan daripada ahli keluarga.
Sementara itu, pengurus dan pembekal peralatan pengurusan jenazah, Shahmil Hameed Syed Ahmed, 52, berkata kos pengurusan jenazah pesakit COVID-19 yang dikenakan kurang RM800.
Katanya, kos berkenaan termasuk pembelian keranda, batu nizan, peralatan lain, manakala kos solat jenazah dan proses tayammum ditanggung sepenuhnya Jabatan Kesihatan negeri.
11 Aug 21
697
Jalin Kerjasama Dengan UiTM Bagi Majukan Wilayah KETENGAH
DUNGUN, 11 Ogos - Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah KETENGAH menjalin kerjasama strategik dengan bersama Universiti Teknologi Mara (UiTM) Terengganu bagi wilayah KETENGAH dapat berkembang pesat setanding dengan kawasan perbandaran yang lain.
Pengerusinya, Dato Razali Idris berkata melalui jalinan persahabatan ini, beliau yakin UiTM mampu memberi bekerjasama dalam perkongsian kepakaran serta kemahiran termasuk membantu membangunkan komuniti setempat dalam wilayah ini.
"Pembangunan Sektor Pelancongan Wilayah KETENGAH merupakan antara fokus terpenting dalam memorandum ini dimana terdapat pelbagai produk pelancongan yang boleh dimajukan dengan Kerjasama antara UiTM serta masyarakat setempat.
"Antara sub-sektor pelancongan yang boleh diberi tumpuan adalah Pelancongan Ekologi, Pelancongan Alam Semulajadi serta Pelancongan Berasaskan Komuniti," ujarnya menerusi Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) yang diadakan secara atas talian.
Tambahnya lagi, hubungan strategik ini juga dapat memberi kesan yang positif dalam memberi hebahan serta penyampaian maklumat berkaitan aktiviti-aktiviti yang akan dilaksanakan oleh KETENGAH.
11 Aug 21
178
Keadaan Dasar Sungai Sukarkan Kerja Pembaikan
KUALA TERENGGANU, 11 Ogos - Keadaan air deras dan keruh di dasar sungai menyukarkan penyelam untuk menjalankan kerja-kerja pembaikan di dasar sungai.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan dalam laman facebook rasmi, Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd ( SATU ) memaklumkan bahawa pergerakan semula jadi air itu menyukarkan penyelam untuk mendapatkan ‘position’ di dasar sungai dengan kadar visual yang terhad dan selamat untuk meneruskan kerja-kerja pembaikian.
"Faktor-faktor ini adalah di luar kawalan kami dan kerja-kerja perlu dihentikan sekiranya keadaan tidak selamat dan bahaya kepada penyelam di lapangan.
"SATU dengan rasa rendah diri ingin memohon maaf di atas kelewatan tempoh kerja-kerja pembaikian paip pecah di Tangki Utama Berangan di dasar Sungai Terengganu.
"Sekiranya berlaku kerja-kerja tidak mengikut jadual, kami akan maklumkan dari semasa ke semasa," jelasnya.
11 Aug 21
1484
Lagi 5,700 Liter Bekalan Air Bersih Disumbang
KUALA NERUS, 11 Ogos - Sebanyak 5,700 liter bekalan air bersih telah diagihkan di sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Tunggal dan Batu Rakit yang terjejas akibat terputus bekalan air baru-baru ini.
Bekas Ahli Dewan Negara Terengganu, Dato' Husain Awang berkata, sumbangan peribadi beliau tersebut diharap sedikit sebanyak dapat membantu mereka di lebih 600 buah rumah.
“Dengan kekuatan tujuh buah kenderaan pacuan empat roda (4x4) daripada Besut berperanan membawa 1,800 botol air 1.5 liter dan 6,048 botol air 0.5 liter.
“Saya juga mengambil kesempatan menasihati komuniti terkesan bahawa ini adalah satu ujian daripada Allah, tanggungjawab kita untuk bersabar manakala pihak kerajaan dan sukarelawan juga bertanggungjawab mengagihkan bekalan asas ini,” katanya yang juga Pesuruhjaya PAS Terengganu.
Beliau berkata demikian selepas misi pengagihan air bersih di Bukit Tunggal, semalam.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan Dan Alam Sekitar, Dr. Alias Razak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tunggal.
Sementara itu, ADUN Rantau Abang, Alias Harun turut menyumbang RM10,000 kepada DUN Bukit Tunggal bagi pengagihan bantuan air bersih buat komuniti di sini.
“Pada peringkat awal, kita ingin menderma dalam bentuk air, namun stok bekalan sudah habis setelah berbincang dengan pembekal.
“Oleh itu, diharapkan peruntukan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban sementara menunggu kerja pembaikian selesai dijangka Sabtu ini,” jelanya.
11 Aug 21
140
Pengagihan Air Berterusan, Pelbagai Jentera Dikerah Bantu Penduduk
KUALA TERENGGANU, 10 Ogos – Kerajaan negeri serta pelbagai pihak telah mengagihkan bantuan air tanpa henti di kawasan terjejas di daerah Kuala Nerus dan Kuala Terengganu sehingga kerja pembaikan selesai.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr Mamad Puteh berkata, usaha itu bagi menampung keperluan semasa dan memudahkan pengambilan air bersih.
Katanya, 151 buah tangki statik telah disediakan di seluruh kawasan terlibat.
“Ini melibatkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir sebanyak 20 buah, Buluh Gading dan Manir sebanyak 43 buah, Batu Rakit 23 buah dan DUN Tepoh serta Bukit Tunggal sebanyak 65 buah.
“Ini disusuli 34 buah lori tangki telah beroperasi selama 24 jam dengan menyalurkan ke tangki statik tersebut. Manakala dua buah lori bergerak bagi sokongan, tiga buah bergerak bagi memberi keutamaan ke pusat-pusat berkepentingan seperti Hemodialisis.
“Tiga buah jentera BOMBA mengendalikan pusat-pusat kuarantin serta dan enam buah lori Pihak Berkuasa Tempatan sebagai lori tangki statik dengan bilangan petugas seramai 160 orang,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa sidang media berkaitan ‘Krisis Air Berangan’ di Ibu pejabat Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU), di sini petang tadi.
Tambahnya, SATU juga telah menyediakan sebanyak 86 pili paip daripada sumber utama bagi memudahkan pengguna mendapatkan bekalan air bersih sebagai alternatif kepada inisiatif lain.
“Antara lokasi terlibat seperti Drawbridge sebanyak 44 pili paip, Kampung Petaling sebanyak 10 pili paip, Simpang Bukit Berangan sebanyak 10 pili paip, hadapan Masjid Manir sebanyak 12 pili paip dan di Pantai Teluk Ketapang sebanyak 10 pili paip,” katanya lagi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Berang itu turut mengucapkan terima kasih Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar atas pengumuman air percuma selama dua bulan kepada pengguna yang terjejas.
“Saya juga mewakili Kerajaan Negeri Terengganu dan SATU berasa sangat terharu dengan pelbagai bantuan sokongan dari pelbagai pihak termasuk menerima bantuan lori tangki daripada Syarikat Air Johor, Air Selangor, Pengurusan Air Pahang, Lembaga Air Perak, Syarikat Air Melaka, Air, Syarikat Air Darul Aman dan Syarikat Air Negeri Sembilan dan lain-lain lagi.
“Saya juga ingin merakamkan ucapan jutaan terima kasih semua pihak yang telah memberikan kerjasama yang baik daripada pihak DUN, Jabatan Amal, JPKK, JPAM, BOMBA, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan orang awam yang turut sama membantu bagi memastikan penghantaran air sampai kepada penduduk yang terlibat.
“Saya memohon kesabaran dan jasa baik semua pihak untuk memahami kesukaran kerja-kerja pembaikian di dasar Sungai Terengganu ini. Saya doakan kerja-kerja pembaikian berjalan dengan lancar. Insya-Allah,” kata beliau.
Terbaharu, pengguna yang terjejas dijangka akan mula mendapat bekalan air secara berperingkat pada jam 12 pagi 14 Ogos ini berdasarkan status proses pembaikan semasa dan tahap kesukaran yang ada.
10 Aug 21
506
Mayat Pemancing Ditemui Di Tebing Sungai
KUALA TERENGGANU, 10 Ogos - Mayat lelaki ditemukan dalam keadaan berbau di tepi tebing sungai di Kampung Sungai Rengas semalam.
Difahamkan lelaki terbabit dilaporkan hilang sejak Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md. Din berkata, sepasukan anggota digerakkan ke lokasi kejadian hasil panggilan kecemasan melalui talian Perkhidmatan Keselamatan Kecemasan Malaysia (MERS) 999 pada pukul 9.57 malam oleh orang awam, semalam.
"Hasil siasatan di lokasi didapati mayat seorang lelaki berusia 39 tahun berada dalam keadaan tertiarap di tebing sungai.
"Berdasarkan keadaan mayat, dipercayai lelaki terbabit telah meninggal dunia lebih daripada tiga hari.
"Pengecaman telah dilakukan oleh ahli keluarga dan kita dimaklumkan oleh mereka (ahli keluarga) lelaki berkenaan bahawa mangsa telah keluar dari rumah selepas waktu Asar pada Khamis lepas untuk pergi memancing dan tidak balik sehingga mayatnya ditemui," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya lagi, ahli keluarga tidak membuat laporan polis di atas kehilangan mangsa berikutan lelaki terbabit sering keluar memancing dan pernah tidak balik dalam tempoh beberapa hari.
Katanya, kereta mangsa turut dijumpai terletak kira-kira 200 meter dari tempat mayat ditemui.
"Punca kematian belum dapat dikenal pasti dan mayat telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu untuk tindakan lanjut.
"Siasatan buat masa ini adalah di bawah laporan mati mengejut," jelasnya.
10 Aug 21
677
Bekalan Air Dijangka Pulih Berperingkat Mulai Sabtu Ini
KUALA TERENGGANU, 10 0gos – Pengguna yang terjejas dijangka akan mula mendapat bekalan air secara berperingkat pada jam 12 pagi 14 Ogos ini.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr Mamad Puteh berkata, ia berdasarkan status proses pembaikan semasa dan tahap kesukaran yang ada.
Katanya, kaedah ‘clamp’ merupakan penyelesaian paling menjimatkan masa iaitu selama tujuh hari pada awal jangkaan.
“Proses memasang Anchor Airbag pada paip telah pun siap sepenuhnya 100 peratus dan proses susulan memasang Pipe Alignment Clamp juga telah siap 100 peratus.
“Sehingga semalam, kerja-kerja mencabut Clamp sedia ada bersaiz 1,600mm juga telah selesai 100 peratus. Seterusnya pada hari ini, kerja-kerja kimpalan bagi memperkukuhkan struktur paip.
“Manakala proses susulan yang belum selesai adalah memasang Clamp bersaiz 1,600mm serta membuat Cement Grounding,” katanya semasa sidang media ‘Krisis Air Berangan’ di Ibu pejabat SATU, di sini petang tadi.
Turut hadir, Ahli Lembaga Pengarah SATU, Burhanuddin Hilmi Mohamed@Harun.
Menurut Dr Mamad lagi, pihaknya bersama SATU telah merangka penjadualan baki kerja-kerja pembaikian sehingga selesai bermula dengan operasi kimpalan memperkukuhkan struktur paip bermula esok sehingga 13 Ogos.
“Pada 16 Ogos, sistem agihan dijangka pulih sepenuhnya di semua kawasan terlibat membabitkan 28,700 akaun di sekitar Kuala Nerus dan Kuala Terengganu sejak Isnin lalu," katanya.
Mengulas lanjut berkenaan kesukaran dan halangan, Dr Mamad menjelaskan, arus di dasar sungai yang deras beberapa hari ini telah menjejaskan penglihatan dan wujudnya pengcahayaan yang terhad kesan daripada berlakunya paras kekeruhan di luar jangka.
“Selain itu, kerosakan ini adalah memerlukan kepakaran yang tinggi dan penilaian situasi. Pihak kontraktor dan pasukan teknikal telah berusaha sehabis daya dan upaya bagi memastikan kerja-kerja pembaikan adalah mengikut jadual,” tambahnya lagi.
Jelasnya lagi, beliau turut memohon maaf kepada seluruh pengguna terkesan di kawasan terlibat dan berharap agar semua pihak sabar dengan memahami kesukaran kerja-kerja pembaikian di dasar Sungai Terengganu.
“Saya doakan kerja-kerja pembaikian berjalan dengan lancar, Insya-Allah,” katanya lagi.
Punca berlakunya kerosakan tersebut sedang disiasat oleh jawatankuasa khas terdiri daripada pelbagai agensi seperti Unit Perancang Ekonomi Negeri Terengganu (UPEN), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan SATU.
10 Aug 21
729