lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

'Saya Bangga Jadi Atlet Kelahiran Terengganu' - Azizulhasni
'Saya Bangga Jadi Atlet Kelahiran Terengganu' - Azizulhasni
KUALA TERENGGANU, 10 Ogos - Wira olimpik negara, Dato' Azizulhasni Awang bersyukur dan berbangga kerana menjadi salah seorang atlet kelahiran negeri Terengganu. 'The Pocket Rocketman' itu dalam satu kenyataan di Facebooknya berkata, ini kerana kejayaannya meraih pingat perak di sukan olimpik Tokyo baru-baru ini banyak dibantu kerajaan negeri. Tanpa berselindung, Azizul mengakui keprihatinan Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar banyak membantu perkembangan karier beliau. "Ucapan terima kasih  kepada seluruh warga kerajaan negeri Terengganu khususnya Menteri Besar yang sentiasa mengambil berat perihal berkenaan dengan saya dan amat cakna dengan karier lumba basikal saya dan begitu juga dengan atlet-atlet Negeri Terengganu yang lain.  "Terima kasih kerana turut membantu di dalam melincirkan persiapan saya ke Temasya Sukan Olimpik Tokyo kali ini.  "Saya amatlah bersyukur dan berbangga menjadi salah seorang atlet kelahiran Negeri Terengganu. Ganu Hanelang," ujar Azizul. Menurut anak kelahiran Dungun itu,  kejayaan tersebut merupakan kejayaan terbesar dalam kariernya sebagai seorang atlet negara dan beliau percaya ia juga adalah sejarah baharu buat arena sukan negara. Justeru katanya, peranan Kementerian Belia dan Sukan Negara (KBS) terutamanya Menteri Belia & Sukan Dato Seri Reezal Merican Naina Merican dalam membawa kejayaan itu sangat dihargai.  "Serta seluruh warga Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN) yang sentiasa memberikan sokongan penuh didalam perjalanan karier saya. "Tidak lupa juga kepada Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Norza Zakaria serta seluruh warga MOM dan juga Persatuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) yang membantu melancarkan segala urusan ke temasya Sukan Olimpik Tokyo," jelasnya. Dalam perkembangan sama, Azizul turut menghargai jasa penaja-penaja yang menghidupkan karier lumba basikal professional nya terutama penaja CIMB. "CIMB memberikan kepercayaan penuh akan kebolehan saya dan mereka komited memberikan sokongan bermula pada tahun 2017 sehingga sekarang.  "Begitu juga dengan penaja seterusnya iaitu Daikin dan AirAsia, mereka juga amat komited berdiri teguh di belakang saya. Tidak lupa juga penaja berikutnya iaitu Wattbike, Oakley dan juga OGK Kabuto yang sentiasa bersama ketika jatuh dan bangun saya," tambah beliau.
10 Aug 21
861
Mantan Mufti Dinobat Tokoh Maal Hijrah Terengganu
Mantan Mufti Dinobat Tokoh Maal Hijrah Terengganu
KUALA TERENGGANU, 10 Ogos – Mantan Mufti Negeri, Dato’ Al-Syeikh Abdul Halim Abd Kadir telah dianugerahkan Tokoh Maal Hijrah Terengganu bersempena Sambutan Maal Hijrah Tahun 1443H/2021M. Anugerah tersebut diumumkan oleh Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Mat Azmi Arshad dalam Majlis Pelancaran Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Terengganu yang diadakan atas talian, semalam. Menurut Abdul Halim, penganugerahan itu merupakan satu pengiktirafan buat dirinya dalam dunia keilmuan Islam. "Syukur kepada Allah SWT, dan saya mengucapkan seribu penghargaan kepada kerajaan negeri dan barisan penganjur atas penghargaan ini," katanya menerusi siaran langsung di TVDI. Beliau yang merupakan Yang Dipertua Persatuan Ulama’ Malaysia (PUM) sejak tahun 2007 membawa pulang hadiah wang tunai RM20,000, Piala Tokoh Maal Hijrah 1443H/2021M dan Sijil Penghargaan. Menurut JHEAT, latar belakang pendidikan Abdul Halim bermula dengan pendidikan awal di pondok Jertih dan kemudian memperoleh pendidikan di peringkat menengah rendah di Sekolah Darul Ulum, Mekah al-Mukarramah dari tahun 1953 hingga 1956. Dari tahun 1960 hingga 1965, beliau menuntut di Kuliah Syariah, Universiti al-Azhar, Mesir. Pada tahun 1966, beliau mendapat Diploma Pendidikan di universiti yang sama. Beliau juga turut aktif menyumbang tenaga dalam aktiviti luar sebagai Pengerusi Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Kota Bharu, Kelantan (1957-1978), Pengerusi ABIM Wilayah Persekutuan (1981-1988) dan Pengerusi Persatuan Ulama’ Wilayah Persekutuan (1984-2000 kecuali tahun 1993-1994). Pada tahun 2000, beliau dilantik secara kontrak sebagai Mufti Kerajaan Negeri Terengganu sehingga 2004. Abdul Halim telah dikurniakan darjah kebesaran yang membawa gelaran Dato' oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu pada 20 Julai 2003. Dalam pada itu, Imam Masjid Kampung Rawai, Marang, Abd Wahab Muhammad telah dinobatkan sebagai Tokoh Imam Cemerlang dan dihadiahkan wang tunai RM5,000, Piala Tokoh Maal Hijrah serta sijil penghargaan. Manakala, Tokoh Bilal Cemerlang pula dianugerahkan kepada Mohd Puteh daripada Masjid Kampung Pecah Rotan, Kuala Nerus yang turut menerima dihadiahkan wang tunai RM5, 000, Piala Tokoh Maal Hijrah dan sijil penghargaan.
10 Aug 21
1177
Terengganu Sambut Maal Hijrah Dalam Norma Baharu
Terengganu Sambut Maal Hijrah Dalam Norma Baharu
MARANG, 10 Ogos - Terengganu melancarkan Sambutan Maal Hijrah peringkat negeri dengan pendekatan norma baharu.  Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, peristiwa penghijrahan ini sangat besar ertinya dalam sejarah perkembangan dakwah dan ketamadunan Islam. "Peristiwa ini merupakan langkah perubahan dalam perjuangan untuk menegakkan agama, mendaulatkan syariat dan bernegara serta mendirikan akhlak kemanusiaan yang terpuji. "Islam sangat menekankan perubahan yang tidak hanya terhad kepada sifat dan tingkah laku manusia, malah turut memerlukan perubahan minda atau pemikiran dalam kehidupan. "Perubahan inilah yang menjadi agenda Rasulullah SAW untuk membawa ummah daripada sistem kehidupan yang bercorak jahiliah yang penuh dengan kekufuran dan kezaliman kepada sistem kehidupan yang berpaksikan manhaj rabbani yang penuh keimanan, keadilan dan kesejahteraan sejati," katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Terengganu Tahun 1443H/2021M secara maya semalam. Ahmad Samsuri berkata, rabbani membawa pengertian yang lebih luas, seseorang itu hendaklah menjadikan Allah sebagai keutamaan dan panduan dalam segala amalan, perbuatan dan matlamat hidup serta diniatkan semata-mata keranaNya. "Ummah yang meletakkan ciri rabbani sebagai jalan kehidupan melalui rujukan terhadap al-Quran dan Sunnah sudah semestiya dapat menjalani kehidupan yang berkualiti di dunia bagi menjamin kejayaan hakiki di akhirat," katanya.
09 Aug 21
292
Krisis Air : Usah Politikkan Isu, Tumpu Selesai Masalah
Krisis Air : Usah Politikkan Isu, Tumpu Selesai Masalah
KUALA TERENGGANU, 9 Ogos – Krisis air dihadapi dua daerah sejak isnin lalu sewajarnya tidak dipolitikkan oleh pihak-pihak tertentu sebaliknya semua perlu memainkan peranan dalam membantu masyarakat terkesan, jelas Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah. Menurutnya, punca masalah paip pecah tersebut sedang disiasat oleh agensi bertauliah seperti Syarikat Air Terengganu (SATU) dan spekulasi tentangnya hanya menimbulkan polemik tertentu dalam keadaan rakyat yang terjejas. “Seperti kita sedia maklum, paip rosak di Sungai Terengganu ini sudah lama dimakan usia dan mengalami perubahan alam sekitar di dasarnya. “Kerajaan sedar dan sedang menangani isu ini serta mengerakkan pelbagai inisiatif dalam memastikan bekalan asas tidak terputus. “Kita juga tidak menyalahkan mana-mana pihak terdahulu kerana ini adalah bencana tidak disangka,” katanya selepas mengagihkan sebanyak 1,000 kotak air bersih dalam Misi Bantuan Air DUN Buluh Gading, di Dewan Sivik Buluh Gading, petang tadi. Tambahnya lagi, usaha tersebut adalah sambungan daripada semua pihak termasuk semua syarikat bekalan air seluruh negara, agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat swasta, badan bukan kerajaan (NGO), sukarelawan serta pihak persendirian dalam menumpukan usaha bekalan air minuman bersih sampai kepada semua penduduk yang terjejas. Sementara itu, Mohd Nor turut berkongsi perancangan mengerakkan agensi kerajaan seperti Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (I-MITS) terutamanya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) dalam bekerjasama dengan jawatankuasa masjid. “Ini adalah bagi mengagihkan bekalan asas air kepada rumah-rumah berdekatan masjid di DUN-DUN terjejas. “Kerajaan juga sedang dalam perbincangan dalam menyelaraskan inisiatif penyaluran air bersih ke rumah-rumah terkesan,” katanya lagi. Terbaharu, Kerajaan Negeri bersetuju untuk memberikan air percuma kepada semua akaun terlibat selama dua bulan setelah baik pulih selesai.  
09 Aug 21
761
Lagi 1,000 Kotak Air Diagihkan Di Buluh Gading
Lagi 1,000 Kotak Air Diagihkan Di Buluh Gading
KUALA TERENGGANU, 9 Ogos – Sebanyak 1,000 kotak air bersih diagihkan kepada penduduk terputus bekalan air di 19 kampung di sekitar kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Buluh Gading hari ini. Ahli Dewan Undangan Negerinya (ADUN), Ridzuan Hashim berkata, daripada 33 Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), 19 JPKK terjejas akibat terputus bekalan air termasuk 15 kampung yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD). “Bila ada kekangan di beberapa kawasan itu, sudah tentu ia menimbulkan kerumitan kepada penduduk yang tidak boleh bergerak. “Namun begitu, setakat ini kita telah agihkan bantuan air bersih kepada 1,300 buah rumah (20 liter setiap rumah), dan bila dicampur 1000 kotak hari ini, dan 1000 kotak daripada ADUN Chukai, kira-kira 3000 kotak air bersih telah disalurkan sehingga kini. “Jutaan terima kasih kepada Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah dan badan bukan kerajaan (NGO) Khidmat Malaysia Marang atas sumbangan bekalan air pada hari ini," katanya. Beliau berkata demikian selepas terlibat dalam Misi Bantuan Air DUN Buluh Gading, di Dewan Sivik Buluh Gading, petang tadi. Menceritakan tentang usaha yang dilakukan beliau, sebanyak 95 tangki statik ditempatkan di 19 JPKK terlibat melibatkan hampir 5,000 buah rumah, serta enam lori sentiasa beroperasi menambah air di seluruh Buluh Gading. “Mana-mana pihak yang putus bekalan air boleh menghubungi JPKK setempat dan PKM, kita berjalan sepenuh masa dengan tenaga sokongan 20 orang sukarelawan yang berkhidmat 24 jam,” jelasnya lagi. Katanya lagi, beliau terharu atas sokong dan semangat ukhwah daripada seluruh negeri termasuk agensi dan GLC kerajaan seperti Syarikat Air Terengganu (SATU), Bomba dan Majlis Getah Malaysia (MRC) yang datang membantu.  
09 Aug 21
584
Terengganu Umum Insentif Buat Azizulhasni Dalam Masa Terdekat
Terengganu Umum Insentif Buat Azizulhasni Dalam Masa Terdekat
KUALA TERENGGANU, 9 Ogos - Kerajaan negeri akan mengumumkan ganjaran buat wira olimpik negara, Dato' Mohd Azizulhasni Awang dalam masa terdekat. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, pemberian insentif berkenaan sebagai penghargaan kepada 'The Pocket Rocketman' atas kejayaan memenangi pingat perak acara keirin di Sukan Olimpik Tokyo baru-baru ini. “Kerajaan negeri sudah bersetuju memberikan insentif selepas beliau meraih pingat perak yang turut dianggap pencapaian luar biasa. “Azizul merupakan model terbaik dengan pengorbanannya berjauhan daripada keluarga dan negara, jadi, ini antara usaha kita membalas sumbangan beliau,” katanya ketika dihubungi hari ini. Pada perlumbaan final di Veledrom Izu semalam, Azizul berada di tempat kedua di belakang pelumba Britain, Jason Kenny, manakala pingat gangsa dimenangi Harrie Lavreysen dari Belanda. Mengulas lanjut, kecemerlangan Azizul nyata mengharumkan nama Malaysia di persada dunia. Katanya, semua itu hadir apabila pelumba berusia 33 tahun itu kental dan mempunyai pengorbanan tinggi walaupun bapanya kini terlantar sakit di Kampung Nibong Stesen, Dungun. "Saya begitu teruja dan bangga dengan semangat melawan ditunjukkan beliau ketika melakukan kayuhan untuk memburu pingat. "Walaupun tidak dapat meraih pingat emas, tapi situasi semasa dengan bapanya terlantar sakit, beliau dapat meraih pingat perak yang begitu membanggakan. "Ini satu perjuangan begitu hebat daripada anak muda yang bertubuh kecil tapi bersemangat waja untuk mengharumkan nama negara di persada dunia. "Azizul dapat mengimbangi emosi dengan semangatnya untuk memburu kejayaan buat negara," jelasnya. Wan Sukairi mewakili kerajaan negeri turut mengucapkan tahniah Azizul. Untuk rekod, sebelum ini, kerajaan negeri memberi RM100,000 kepada Azizulhasni dan pemanah negara, Khairul Anuar Mohamad sebagai persediaan menjelang temasya sukan terbesar dunia itu.
09 Aug 21
642
1,200 Penduduk Jalani Saringan COVID-19
1,200 Penduduk Jalani Saringan COVID-19
KUALA TERENGGANU, 9 Ogos- Seramai 1,200 penduduk di Kampung Losong Haji Syafie dan Kampung Losong Wakaf Nyiur Kembar menjalani ujian saringan Covid-19 selepas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan terdapat 50 kes positif wabak berkenaan. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Losong Haji Syafie, Abdul Wahid Idris, 62, berkata, mereka diarahkan menjalani saringan bersasar Covid-19 selama dua hari, bermula hari ini. "Langkah itu susulan kes positif Covid-19 yang dikesan di lokaliti berkenaan termasuk melibatkan Kluster Teluk Menara. “Difahamkan, penyebaran virus ini berpunca daripada aktiviti ziarah selepas Hari Raya Aidiladha lalu,” katanya ketika ditemui hari ini.  Tambahnya,rata-rata penduduk memberikan kerjasama baik dengan hari ini seramai 500 selesai menjalani saringan berkenaan manakala baki 700 lagi bersambung esok.
09 Aug 21
1006
Air Percuma Dua Bulan Selepas Krisis Berakhir
Air Percuma Dua Bulan Selepas Krisis Berakhir
KUALA TERENGGANU, 9 Ogos - Kerajaan negeri bersetuju untuk memberikan air percuma selama dua bulan kepada seluruh pengguna di daerah ini dan Kuala Nerus yang terjejas sebaik proses membaik pulih bekalan selesai. Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, inisiatif itu diambil sebagai menghargai kesabaran orang ramai semasa krisis air berlaku. "Kerajaan negeri amat memahami kesulitan rakyat menghadapi krisis air yang sedang berlaku di daerah Kuala Nerus dan beberapa kawasan Kuala Terengganu akibat paip air yang pecah di dasar Sungai Terengganu. "Sebagai menghargai kesabaran penduduk yang terjejas, kerajaan negeri bersetuju untuk memberikan air percuma kepada semua akaun terlibat selama dua bulan setelah baik pulih selesai," jelasnya dalam satu kenyataan hari ini. Katanya, sepanjang tempoh krisis, kerajaan negeri sedang menguruskan bekalan air minuman bersih kepada semua penduduk yang terjejas. Sehingga kini katanya, pihak Syarikat Air Terengganu (SATU) masih berterusan melakukan kerja pembaikan paip di dasar sungai. "Di kesempatan ini, kerajaan negeri ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang membantu meringankan beban rakyat, termasuk semua syarikat bekalan air seluruh negara, agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat swasta, badan bukan kerajaan (NGO), sukarelawan serta pihak persendirian. "Bersama kita doakan agar kerja pembaikan berjalan mengikut jadual sekali gus dapat menamatkan segera krisis air ini," tambah beliau.
09 Aug 21
376
Bina Longkang Elak Banjir Kilat
Bina Longkang Elak Banjir Kilat
MARANG, 9 Ogos - Berita gembira buat penduduk Taman Kalungan Melor, di sini apabila masalah banjir kilat yang sering kali berlaku setiap tahun bakal berakhir tidak lama lagi. Pembinaan longkang dan saliran air yang sedang dibina adalah satu kaedah bagi mengelakkan masalah banjir lumpur yang dikatakan telah berlaku di kawasan itu sejak lebih 10 tahun yang lalu. Pegawai Khas Menteri Besar Terengganu, Wahad Osman berkata, projek itu melibatkan peruntukan sebanyak RM350,000 di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang dijangka siap sebelum akhir tahun ini. "Projek yang bermula pada bulan April yang lalu dan sepatutnya siap pada bulan Julai 2021, namun kerja-kerja ini telah tertangguh akibat pandemik COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di samping kesukaran mendapatkan bekalan bahan binaan. "Pihak kami mengharapkan projek itu dapat disiapkan secepat mungkin selain mengambil kira aspek keselamatan penduduk dan musim tengkujuh yang bakal tiba tidak lama lagi, "katanya. Beliau berkata ketika selesai meninjau kawasan pembinaan tersebut di kawasan perumahan yang juga terletak di Kampung Bukit, Rhu Rendang. Turut hadir meninjau ke lokasi tersebut adalah Pegawai Khas Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Dewan Undangan Negeri Rhu Rendang, Nasaruddin Samsudeng serta wakil-wakil daripada Majlis Daerah Marang dan JPKK Kg Bukit Rhu Rendang. Sementara itu, menurutnya Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Rhu Rendang sentiasa mengambil perjalanan setelah agar masalah ini dapat diselesaikan sesegera mungkin bagi memudahkan urusan penduduk di kawasan itu. "Prosesnya memakan sedikit masa, selain memerlukan kos yang tinggi, ia melibatkan tanah milikan individu atau peribadi yang memerlukan perbincangan dan persetujuan pihak-pihak tersebut, di samping kerja-kerja yang terganggu kerana COVID-19. "Siasatan juga dibuat beberapa kali ke tapak lokasi sebelum ini, selain menggunakan inisiatif sementara menggunakan jentera daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bagi membuat serta menggali saliran air sementara. "Kami juga menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada pihak Majlis Daerah Marang dan semua pihak termasuk penduduk dan JPKK di atas kerjasama yang diberikan," " tambahnya lagi.  
09 Aug 21
801
Durian Kampung Bakal Tembusi Pasaran Dunia
Durian Kampung Bakal Tembusi Pasaran Dunia
HULU TERENGGANU, 9 Ogos -Jabatan Pertanian Negeri Terengganu menyasar durian kampung segar tempatan untuk menembusi pasaran dunia dalam tempoh terdekat sekali gus bakal menjadikan durian premium itu setaraf Musang King (D197) yang berada di pasaran. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani Dan Pembangunan Desa Terengganu, Dr Azman Ibrahim berkata, usaha tersebut kini giat dijalankan oleh Jabatan Pertanian Negeri Terengganu melalui pertandingan yang diadakan sejak Julai lepas, yang bertujuan mengenal pasti varieti durian kampung berkualiti tinggi. “Pertandingan bermula di peringkat kampung dengan memilih durian yang terbaik, untuk ke pertandingan peringkat daerah dan seterusnya ke peringkat negeri. Hasilnya kita berjaya kenal pasti 10 varieti durian kampung premium yang sangat bagus dan mempunyai kriteria setaraf durian hidbrid, yang mendapat permintaan tinggi di pasaran dunia ketika ini. “Proses mendaftarkan varieti durian ini akan dilakukan secepat mungkin, mengikut ciri-ciri istimewanya agar ia mampu berada dalam kategori durian premium, sama seperti durian yang menjadi buruan ramai ketika ini,” katanya kepada pemberita selepas meninjau proses penghakiman durian yang dipertandingkan di Kompleks Pertanian Ajil di sini. Turut hadir Pengarah Pertanian Negeri Terengganu Zulkepli Amin Mat Jusoh @ Yusof dan ketua hakim iaitu Pensyarah Pusat Pengurusan Ladang Fakulti Biosumber dan Industri Makanan Universiti Sultan Zainal Abidin Profesor Dr Jamil Zakaria. Johan pertandingan tersebut dimenangi oleh pekebun dari daerah Kuala Nerus, dengan wang tunai RM3,000 manakala naib johan dan tempat ke tiga masing-masing dimenangi pekebun dari daerah Marang dengan hadiah RM2,000 dan RM1,000.  
09 Aug 21
427