Artikel "Utama" Terkini
Muhyiddin Kunjungi Abdul Hadi Di Rusila
MARANG, 12 Ogos - Tan Sri Muhyiddin Yassin mengadakan pertemuan dengan Dato' Seri Abdul Hadi Awang, di kediaman Presiden PAS itu di Rusila, di sini, hari ini.
Menurut Perdana Menteri itu, kunjungan beliau ke kediaman Abdul Hadi hanya sekadar kunjungan biasa.
"Pertemuan biasa sahaja kerana sudah lama tidak jumpa. Nak ziarah.
"Sudah lama tidak jumpa, kali terakhir di hospital sebelum beliau dibenarkan balik ke sini,” kata Muhyiddin dalam sidang media di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Taman Tamadun Islam (TTI).
Perdana Menteri dilihat meninggalkan kediaman Abdul Hadi selepas lebih satu jam bertemu pemimpin utama PAS itu
Terdahulu, Perdana Menteri tiba di rumah Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang sekitar jam 5 petang.
Kehadiran Muhyiddin diiringi Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
Sebelum itu, beliau melakukan tinjauan di PPV TTI sempena lawatan kerjanya ke Terengganu.
12 Aug 21
1308
Kerajaan Kaji Tindakan Kepada Golongan Anti Vaksin
KUALA TERENGGANU, 12 Ogos - Kerajaan akan mengkaji latar belakang golongan yang menolak vaksin dan kaedah tindakan yang akan diambil kepada golongan berkenaan bagi mencapai sasaran imuniti kelompok (herd immunity) seawalnya.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, untuk tujuan itu, kerajaan sedang menimbang untuk mewajibkan suntikan vaksin Covid-19 secara mandatori kepada seluruh rakyat Malaysia menjelang Oktober ini.
"Perkara ini akan diputuskan kerajaan selewat-lewatnya bulan depan sebaik kajian ke atas golongan yang menolak vaksin atau anti vaksin selesai sepenuhnya," katanya pada sidang akhbar di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Integrasi Taman Tamadun Islam (TTI), hari ini.
Muhyiddin tiba di sini, jam 4.18 petang tadi bagi memulakan lawatan kerja di Terengganu.
Hadir sama dalam lawatan tersebut, Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Ahmad Amzad Hashim.
Tambahnya, sekiranya dilaksanakan kelak, individu yang enggan menerima suntikan dos vaksin Covid-19 boleh dikenakan hukuman mengikut undang-undang sedia ada.
“Kita akan mengkaji terlebih dahulu jika kumpulan anti-vaksin ini tidak mahu menerima vaksin kerana berpenyakit atau sengaja tidak percaya dengan vaksin.
“Dengan pelbagai varian seperti Delta, penerima vaksin juga boleh dijangkiti disebabkan mereka (anti-vaksin) yang kemudian memberi masalah kepada negara,” katanya.
Selain itu, Muhyiddin berkata, kerajaan sedang mempertimbangkan secara serius untuk menjadikan vaksin Covid-19 sebagai mandatori bagi memastikan imuniti berkelompok boleh dicapai.
12 Aug 21
745
Pelancongan Di Tasik Kenyir Dibuka Sepenuhnya Bermula 1 September Ini
HULU TERENGGANU, 12 Ogos - Sektor pelancongan di Tasik Kenyir akan mula dibuka kepada kunjungan orang ramai bermula 1 September ini.
Pengerusi Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH), Dato' Razali Idris berkata pembukaan tersebut memberi peluang kepada sektor pelancongan dalam negeri kembali 'bernyawa'.
"Kita buat keputusan ini setelah 300 penggiat pelancongan di Tasik Kenyir telah lengkap suntikan dua dos pada hari ini.
"Mengambil kira tempoh matang suntikan iaitu 14 hari, kita juga akan menjalankan proses sanitasi kepada semua rumah bot sebelum beroperasi pada 1 September dan sanitasi ini akan berterusan setiap kali penggunaannya,"ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau Program Outreach Vaksinasi Pelancongan Tasik Kenyir di Pengkalan Gawi , hari ini.
Seramai 300 individu yang terbabit dalam industri pelancongan di Tasik Kenyir, di sini, termasuk 200 penduduk sekitar menerima suntikan vaksin Covid-19 dos kedua, hari ini.
Katanya lagi, pembukaan sektor itu juga berdasarkan prosedur operasi standard (SOP), amalan penjarakkan sosial dan penjagaan kebersihan yang optimum di dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Fasa Dua di Terengganu.
Dalam pada itu, pihaknya juga dalam perancangan untuk memberikan diskaun untuk setiap tempahan rumah bot sebagai salah satu tarikan kepada pelancong.
"Dalam masa terdekat, kita akan umumkan harga dan jumlah diskaun yang diberikan kepada mereka yang ingin menggunakan perkhidmatan rumah bot.
"Ia merupakan salah satu inisiatif kepada pengusaha itu sendiri selain membantu pengurangan kos melancong di musim wabak ini," ujarnya lagi.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi Persatuan Pelancongan Tasik Kenyir, Kamaruddin Razali, pembukaan sektor ini memberi sinar baharu buat pengusaha pelancongan untuk kembali beroperasi.
Katanya, pemberian vaksin lengkap meningkatkan keyakinan mereka semua untuk berdepan dengan pelancong dan berharap kemasukan pelancong kembali rancak.
Tambah beliau, pemilik rumah bot telah mula menerima tempahan selepas Perdana Menteri mengumumkan pembukaan sektor pelancongan bermula 10 Ogos baru-baru ini.
"Saya berharap pelancong dapat mematuhi SOP dan dinasihatkan sentiasa mengamalkan normal baharu, penjarakkan sosial dan penjagaan kebersihan yang optimum bagi kebaikan bersama," katanya.
12 Aug 21
4888
MB Agih 18 Ribu Liter Air Buat Penduduk Terputus Bekalan
KUALA TERENGGANU, 12 Ogos - Sebanyak 18 ribu liter air bersih telah diagihkan kepada penduduk terputus bekalan air di 19 kampung di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Buluh Gading semalam termasuk kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
Sumbangan Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar itu telah disampaikan melalui Setiausaha Politik beliau, Muhyiddin Abd Rashid kepada Ahli Dewan Undangan Negerinya (ADUN), Ridzuan Hashim.
“Sebarang masalah yang perlu tindakan segera boleh rujuk kepada Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) masing-masing.
“Terima kasih atas kesabaran menghadapi musibah ini. Semoga Allah mengganjarkan pahala yang berlipat ganda. Insya-Allah,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Sementara itu, Ridzuan Hashim berkata, bantuan tersebut sedikit sebanyak dapat membantu komunitinya termasuk 15 Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) yang berada dalam PKPD.
“Mewakili seluruh warga kawasannya mengucapkan jutaan terima kasih kepada Menteri Besar. Usaha ini sangat membantu terutamanya kepada mereka yang tidak bebas keluar untuk mendapatkan bekalan asas ini,” jelasnya.
Terdahulu, kerajaan negeri mengumumkan akan memberi air percuma selama dua bulan kepada pemilik akaun yang terjejas akibat saluran paip pecah di dasar sungai Terengganu.
12 Aug 21
225
Majlis Kahwin Cetus Kluster Baharu Di Besut
KUALA TERENGGANU, 12 Ogos - Sebuah pernikahan baru-baru ini di daerah Besut telah didapati mencetuskan kluster COVID-19, menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Berdasarkan kenyataan rasmi semalam, perkahwinan itu diadakan di Kampung Gelam Mas pada 15 Julai lalu, dan kes positif virus pertama hanya dikesan pada 11 Ogos.
“Kes indeks adalah lelaki berusia 28 tahun yang didapati positif pada 11 Ogos setelah menjalani pemeriksaan kontak rapat.
“Setelah kerja saringan dijalankan ke atas 384 orang yang mempunyai kaitan kepada kluster tersebut, 38 orang diuji positif untuk COVID-19.
Katanya lagi, kumpulan ini adalah antara 31 kluster baharu yang diumumkan oleh kementerian pada hari Rabu.
“Ia juga merupakan salah satu daripada 11 kluster yang dikategorikan sebagai kluster komuniti,” jelasnya lagi.
Berdasarkan situasi terkini COVID-19 sehingga 11 Ogos, Terengganu mencatatkan peningkatan kepada 613 kes positif harian dengan lapan kematian direkodkan.
“Dungun mencatatkan jumlah bilangan kes baharu tertinggi dengan 267 kes,” kata Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT).
12 Aug 21
5486
137 Nelayan Terengganu 'Drive Thru' Terima Lesen Sampan
KUALA NERUS, 12 Ogos - Seramai 137 nelayan dari daerah Kuala Terengganu dan Kuala Nerus memperolehi lesen sampan khas daripada kerajaan negeri melalui Jabatan Perikanan Malaysia (Jabatan Perikanan) Terengganu, hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani Dan Pembangunan Desa negeri, Dr. Azman Ibrahim memaklumkan, penyerahan lesen tersebut dilakukan secara pandu lalu bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
"Alhamdulillah, kita dapat menyelesaikan salah satu isu utama yang dihadapi nelayan iaitu perlesenan. Berdasarkan pemutihan yang dibuat, kita ada sekitar 800 orang nelayan sampan zon A di seluruh Terengganu dan kita berjaya mendapatkan kelulusan khas 600 lesen bagi tahun ini.
"Hari ini, sebanyak 137 lesen diserahkan kepada nelayan di sini sebagai usaha membantu para nelayan zon A yang menjadikan aktiviti menangkap ikan sebagai punca pendapatan utama. Bagi nelayan daerah lain, penyerahan akan dilakukan dalam tempoh terdekat ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas program berkenaan di Pangkalan Batu Rakit, hari ini.
Turut hadir, Pengarah Perikanan Terengganu, Ruzaidi Mamat, Pengarah Pertanian Negeri Terengganu Zulkepli Amin Mat Jusoh @ Yusof dan Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail.
Menurut Dr. Azman, penyerahan lesen itu turut memberi keistimewaan kepada nelayan tempatan daripada pelbagai sudut.
"Mereka telah berpuluh tahun menangkap ikan, tetapi tiada lesen. Apabila tiada lesen, nelayan dinafikan banyak hak antaranya elaun sara hidup nelayan, minyak bersubsidi dan kalau ada berlaku kemalangan di laut mereka tidak layak mendapat bantuan bencana.
"Hari ini, 137 orang nelayan kini menerimanya selepas penyerahan pertama yang dibuat bagi nelayan Besut dan Setiu sebanyak 84 lesen, awal tahun ini. Mudah-mudahan, mereka boleh cari rezeki dengan lebih tenang selepas ini," katanya.
Dalam program tersebut, kerja-kerja melabuhkan unjam turut diadakan di perairan Batu Rakit. Sebanyak 40 unjam dilabuhkan dan ia akan memberi manfaat kepada 20 hingga 30 orang nelayan bagi setiap pangkalan.
Bagi tahun 2021, Jabatan Perikanan melaksanakan tujuh program Melabuh Unjam iaitu di Pangkalan Tanjung bagi Kuala Terengganu, Pangkalan Bari di Setiu dan Pangkalan Kijal di Kemaman.
Selain pelabuhan unjam di Pangkalan Batu Rakit bagi Kuala Nerus hari ini, unjam akan turut dilabuhkan di Pangkalan Kuala Besut bagi Besut dan Pangkalan Pasir Putih di Marang.
12 Aug 21
639
Baitul Urus Platform Rakyat Terengganu Cari Jodoh
KUALA TERENGGANU, 12 Ogos - Kerajaan negeri melalui Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) telah melancarkan aplikasi Baitul Urus sebagai usaha membantu memudahkan golongan muda yang menyimpan hasrat untuk mencari jodoh dan pasangan hidup melalui perkahwinan kali pertama.
Di samping itu, ia juga turut membuka peluang kepada ibu atau bapa tunggal mencari pasangan yang serasi dan sesuai untuk kembali menjalani kehidupan berumah tangga yang lengkap dan sempurna.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, program tersebut dikendalikan sepenuhnya oleh YPKT bagi memastikan rakyat negeri ini mendapat jodoh secara cepat, mudah dan bersesuaian mengikut kriteria yang dikehendaki.
"Walaupun begitu terdapat beberapa syarat yang telah digariskan kepada mereka yang ingin mencari jodoh melalui aplikasi ini antaranya mestilah rakyat negeri ini samada lelaki mahupun perempuan.
"Mestilah berusia 21 tahun ke atas tanpa mengira di mana mereka bertugas ataupun bekerja. Aplikasi ini tidak terbuka kepada mereka yang mempunyai tujuan untuk berpoligami," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan aplikasi berkenaan secara maya menerusi TV Darul Imam (TVDI), di sini hari ini.
Mengulas lanjut katanya, usaha kerajaan mewujudkan insiatif berkenaan adalah bagi mengatasi fenomena kahwin lewat dalam kalangan anak muda yang menjadi suatu kebimbangan.
"Di mana ia menjadi faktor utama menyumbang kepada penurunan kadar kesuburan, disebabkan gaya hidup pada masa kini yang lebih menumpukan kepada aspek melanjutkan pelajaran, mengejar kerjaya serta memilih untuk tidak terikat dengan institusi perkahwinan.
"Selain itu katanya, tidak menemui calon yang sesuai dan menghadapi masalah kewangan dilihat turut memberi kesan kepada golongan ini melangkah ke gerbang perkahwinan," ujarnya.
Justeru katanya, kerajaan sebelum ini telah mengambil beberapa langkah termasuk mengadakan program Walimatul Urus Perdana untuk memudahkan golongan belia dan beliawanis negeri ini mendirikan rumah tangga.
"Program ini akan diteruskan serta akan dikembangkan lagi dengan turut memberikan tumpuan golongan ibu atau bapa tunggal pula selepas pandemik Covid-19 ini berakhir insya-Allah," katanya.
Sementara itu, Pengarah YPKT, Wan Mohd Zaki Wan Abdullah berkata, bagi yang berminat menyertai program Baitul Urus itu ia cukup mudah dengan mendaftarkan diri di pautan baitulurus.ypkt.gov.my.
"Di mana maklumat ahli akan disimpan sebagai rujukan, semakan status pendaftaran melalui emel. Selepas itu boleh melakukan proses mencari pasangan mengikut kriteria masing-masing.
"Apabila pasangan telah bersetuju maka kita akan adakan sesi perjumpaan bertempat di pejabat YPKT. Adalah menjadi harapan agar aplikasi ini akan membantu mereka yang masih belum bertemu jodoh.
"Serta ibu atau bapa tunggal yang berminat akan bertemu jodoh dengan pasangan baharu untuk membina semula kehidupan berumah tangga," ujarnya.
12 Aug 21
3735
Yayasan PETRONAS Taja 735 Pelajar Terengganu
KUALA TERENGGANU, 12 Ogos - Yayasan PETRONAS telah memberikan tajaan kepada 735 pelajar menerusi program tanggungjawab sosial (CSR) CERDIK bagi membolehkan pelajar meneruskan pembelajaran secara dalam talian dari rumah.
Menteri Besar, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pelajar ini dipilih dari lima buah daerah untuk menjadi penerima iPad, papan kekunci Logitech dan pelan jaringan Maxis dengan pakej pendidikan.
"Jumlah keseluruhan sumbangan program CERDIK tajaan Yayasan PETRONAS ini adalah RM1.8 juta untuk negeri Terengganu sahaja," katanya.
Jelas Ahmad Samsuri, pembangunan industri ini sekali gus membantu rakyat di negeri ini menikmati limpahan manfaat ekonomi dan kesejahteraan komuniti.
"Besar harapan saya agar kerjasama dan hubungan baik antara Kerajaan Negeri Terengganu dan PETRONAS ini berterusan ibarat kata orang tua-tua, "pecak boleh dilayangkan, bulat boleh digulingkan, batu segiling pecak setapik", ujarnya setelah Sesi Gimik Sumbangan CERDIK secara atas talian.
12 Aug 21
252
Belum Ada Kajian Buktikan Ketum Mampu Rawat Covid-19
KUALA TERENGGANU, 12 Ogos - Sehingga ke hari ini tiada satupun kajian yang tepat menunjukkan bahawa ketum boleh mencegah atau merawat individu yang dijangkiti Covid-19 sebagaimana yang tular di media sosial bermula Mac yang lalu.
Pakar Perubatan Keluarga, Dr Suhazeli Abdullah berkata, walaupun ada dimasukkan ke dalam pelaporan jurnal namun semuanya tidak menemui jalan penyelesaian bagi membuktikannya serta tidak konklusif malah hanya bersifat andaian semata-mata.
"Apa yang pasti kajian mendapati bahawa bagi pesakit mengambil bahan terlarang ini boleh mendatangkan mudarat yang lebih teruk berbanding orang lain.
"Bahan aktif 'metragynine' yang terdapat dalam ketum itu dikategorikan sebagai dadah berbahaya yang boleh merosakkan mental (psycho-active)," ujarnya melalui suatu kenyataan di facebooknya semalam.
Justeru katanya, jangan ada pihak yang menggesa pihak kerajaan mengambil jalan mudah membenarkan penggunaan bahan berkenaan bagi tujuan rawatan penyakit tersebut.
"Telah elok pesakit ditempatkan di pusat kuarantin, tiba-tiba semua jadi khayal daripada minum air ketum. Akan jadi cerita lain pula.
"Letih pula nanti 'frontliners' hendak melayan 'Mat Ketum'. Dahlah pesakit yang di dalam wad kritikal memerlukan perhatian penuh tanpa diganggu gugat dengan benda yang masih belum pasti, tiba-tiba hendak layan pula permintaan yang belum tentu ini," ujarnya.
Tambah pelik ujarnya, timbul kenyataan tidak berasas menyatakan kerana ia menyerupai bentuk 'coronavirus' maka ia mujarab untuk merawat mereka yang didapati positif menghidapi penyakit berkenaan.
"Sebagai sebuah masyarakat yang berilmu kita mesti mempunyai disiplin ilmu bagaimana untuk menzahirkan sesuatu dakwaan, tidak boleh semata-mata dilihat dari segi mata kasar dan terus mendakwa bahawa sesuatu bahan itu boleh merawat penyakit begitu sahaja.
"Ia mestilah dibuktikan menerusi penerokaan dan kajian yang tepat. Inilah yang diterapkan dalam agama kita sebagai orang yang berfikir dan mengkaji sebab akibat sesuatu itu berlaku," ujarnya.
12 Aug 21
426
Terengganu FC II Rampas Takhta Liga Premier
KUALA TERENGGANU, 11 Ogos- Terengganu Football Club (Terengganu FC) II merampas kedudukan teratas Liga Premier Malaysia 2021 setelah seri 0-0 dengan Perak FC II, malam ini.
Perlawanan yang berlangsung di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah (SSINS), di sini bermula seimbang dengan kedua-dua pasukan saling menguasai bola dan melancarkan serangan berintensiti tinggi.
Bagaimanapun, pelawat terlebih dahulu mengancam kubu tuan rumah apabila Ghislain Guessan mempamerkan gelecekan menarik pada minit ke-21 melepasi pertahanan Terengganu FC untuk berdepan satu lawan satu dengan penjaga gol, Syed Muhammad Nasrulhaq Syed Bidin.
Mujur Nasrulhaq pantas menepis kuisan penyerang kelahiran Perancis itu keluar.
Sebagai respon, The Turtle bangkit menyerang.
Rembatan Rahmat Makasuf dari luar kotak penalti ditampan pertahanan Perak FC II pada minit ke-31.
Tujuh minit kemudian, Argzim Redzovic hampir memecah kebuntuan jaringan, namun tandukannya hasil sepakan bebas Amirul Syazwan ditepis penjaga gol, Ahmad Syazwan Syazany dan meniti di atas palang gol sebelum keluar.
Pada minit-minit akhir separuh masa, skuad kendalian Syamsul Saad sekali lagi memiliki peluang terbaik selepas Khairul Syafiq bijak menggelecek pertahanan Terengganu FC II.
Namun, rembatannya dinafikan kecemerlangan Nasrulhaq mengawal gawang.
Bersambung babak kedua, Perak FC II lebih banyak menjana serangan sambil Terengganu FC II memberi tumpuan bertahan dan melancarkan serangan balas.
Peluang terbaik tuan rumah hadir pada minit ke-57 apabila pemain tengah Perak FC II, Royyizat Daud membentes Amirul Syazwan dalam usaha mengeluarkan bola dari kotak penalti.
Pengadil perlawanan, Mohamad Izzat Izaini menghadiahkan penalti kepada Terengganu FC II pada minit ke-57.
Sayangnya, Muhammad Izzan Syahmi mensia-siakan peluang tersebut setelah rembatannya ditepis Syazwan Syazany dan tertampan ke tangannya.
Perlawanan terus berlangsung hangat dengan kedua-dua pasukan cuba mencari tiga mata.
Bagaimanapun, keputusan kekal 0-0 sehingga tamat perlawanan.
Terengganu FC II kini berkongsi 29 mata bersama pencabar terdekat, Negeri Sembilan FC, namun mengungguli carta liga dengan kelebihan empat gol.
11 Aug 21
928