Artikel "Utama" Terkini
80 Sukarelawan Bantu Penduduk Dilanda Krisis Air
HULU TERENGGANU, 1 September – Seramai 80 orang sukarelawan mewakili tiga Badan Bukan Kerajaan (NGO) bersama-sama berganding bahu melaksanakan Misi Bantuan Bekalan Air di Dun Buluh Gading, sejak 24 Ogos lalu.
Misi bantuan memfokuskan penghantaran air mentah untuk kegunaan penduduk kampung yang terjejas, dengan menghantar dari rumah ke rumah.
Ia melibatkan Kelab Sukarelawan Hulu Terengganu, Pertubuhan Kebajikan Sahabat Sejahtera Hulu Terengganu dan Pertubuhan Amal Kebajikan Hulu Terengganu.
Menurut Ketua Operasi Sukarelawan Hulu Terengganu, Mohd Nazari Zakaria berkata, khidmat yang dihulurkan kepada masyarakat terjejas ini adalah usaha murni yang juga merupakan salah satu teras kekuatan iaitu membantu secara ‘kesukarelawanan’.
Katanya, sukarelawan yang datang daripada empat DUN dalam Parlimen Hulu Terengganu turun membantu penduduk mengikut jadual yang diberikan dan sebahagian mereka sudah lengkap dua dos vaksin.
“Setiap yang bertugas akan hadir dengan kekuatan tenaga seramai 15 orang setiap dun, kenderaan 4X4 dan lori.
"Setakat ini tiada tarikh tertentu ditetapkan untuk misi bantuan bekalan air itu tamat dan akan terus membantu penduduk yang terjejas sehingga masalah air selesai," ujarnya.
Sementara itu, Mamat Taib, sangat teruja kerana dapat bersama-sama menyertai misi tersebut yang rata-ratanya orang muda menabur bakti.
“Lebih membanggakan apabila semua yang menjadi sukarelawan terdiri daripada anak muda yang mempunyai rasa tanggungjawab terhadap masyarakat”. katanya yang juga sukarelawan dari Dun Ajil.
Salah seorang penduduk Kampung Petai Bubus, Senah Chik mengucapkan terima kasih kepada para sukarelawan yang terlibat dan berharap khidmat bakti yang dihulurkan memberi sedikit kelegaan kepada penduduk yang terjejas.
“Setiap hari akan ada petugas yang memantau dan menghantar bekalan air, saya sangat bersyukur diatas keprihatinan yang tunjukkan," ujarnya.
01 Sep 21
227
MRC Sumbang Bantuan Air Bernilai RM270,000 Di Tepoh, Buluh Gading
KUALA NERUS, 2 September - Sejumlah RM270,000 disumbang melalui program Bantuan Prihatin Majlis Getah Malaysia (MRC) bagi membantu penduduk yang terjejas bekalan air sejak sejak 23 Ogos lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif MRC, Nurul Islam Mohamed Yusoff berkata, bantuan tersebut direalisasikan dengan kerjasama daripada Pertubuhan Kebajikan Amal Dewan Undangan Negeri (DUN) Buluh Gading (Buluh Gading Care) dan Pertubuhan Kebajikan Komuniti DUN Tepoh (Tepoh Care).
Katanya, penduduk-penduduk di Buluh Gading dan Tepoh yang terlibat dengan krisis bekalan air di daerah Kuala Nerus sejak 2 Ogos lalu akibat daripada paip berukuran 1,200 milimeter yang pecah di dasar Sungai Terengganu.
“Sumbangan ini merangkumi perbelanjaan bagi penyediaan empat buah lori tangki air, 206 unit tangki statik selain daripada 15 unit enjin air dan 16 unit pam air, 3,000 kotak air mineral termasuk kos sewaan lori dan trak untuk pengagihan air bersih ke kawasan-kawasan yang terjejas.
“Kos itu juga termasuk kerja-kerja pemasangan paip sementara di beberapa lokasi bagi sekitar 50,000 orang penduduk di dua kawasan terlibat mendapatkan bekalan air bersih sepanjang krisis ini berlanjutan,” katanya.
Turut hadir ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buluh Gading, Mohd Ridhuan Hashim dan ADUN Tepoh, Ustaz Hishamudin Abdul Karim.
Sementara itu, Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato Dr Mohd Khairuddin Aman Razali menjelaskan usaha terdahulu MRC yang telah mengeluarkan dana RM400,000 bagi membantu lebih 27,000 akaun yang terjejas untuk mendapatkan air sama ada air bersih dan air minuman.
"Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak MRC kerana hadir menyalurkan bantuan tepat pada masanya.
"Saya yakin dengan krisis air yang melanda buat kali kedua ini, kerajaan negeri sudah bersedia dengan meluluskan bantuan segera sebanyak RM2.79 juta bagi menghadapi krisis air ini," katanya ketika dihubungi.
01 Sep 21
172
Pakar Petronas Dilibatkan Dalam Operasi Pembaikan Paip Pecah
KUALA TERENGGANU, 1 September - Kerajaan negeri melalui Syarikat Air Terengganu (SATU) terus menggunakan khidmat pakar daripada Petronas dalam menyelesaikan masalah air akibat paip pecah yang berlaku di daerah ini dan Kuala Nerus.
SATU dalam kenyataan berkata, sesi ‘active engagement’ bersama ‘industri experts’ dalam proses pemasangan paip dasar sungai dan laut telah diteruskan dengan secara atas talian pada 27 Ogos lalu.
“Pengurus Besar East Coast Petronas, Che Ahmad Tarmizi Abdul Rahman yang telah membantu mengumpulkan ‘experts’ daripada Team Petronas dalam bidang masing-masing bagi memberi pandangan berkaitan kaedah dan pendekatan yang akan diambil SATU dalam pembaikian paip pecah kali ini.
“Pasukan Petronas berkongsi pandangan yang sama dengan pihak SATU berkaitan kaedah penggantian paip yang akan dilaksanakan bagi menyelesaikan Krisis Air Berangan 2.0.
“Kaedah kali ini insya-Allah adalah kaedah yang berkesan serta dapat dilaksanakan dalam tempoh masa jangkaan,” kata SATU.
Turut hadir dalam sesi tersebut, Ketua Engineering & Technical Services daripada Petronas Gas Berhad, A Fatah Abu Mansor, Ketua (Inspection) of Engineering & Technical Services, Petronas Gas Berhad, Head/Custodian (Pipeline) daripada Petronas Group Technical Services dan beberapa orang pegawai yang lain.
SATU berkata, pihaknya sangat menghargai kesudian Team Petronas berkongsi kepakaran dan pengalaman mereka dalam menangani masalah kebocoran paip seumpama itu serta memberi cadangan teknikal yang boleh digunapakai oleh SATU.
“SATU akan terus fokus untuk memastikan kerja-kerja pembaikan ini berjalan dengan lancar.
“Doakan usaha kami ini akan memberikan hasil yang terbaik. Allah adalah sebaik-baik pemberi jalan dan rezeki dalam apa jua keadaa,” ujar SATU.
01 Sep 21
10483
Kayuhan Semarak Semangat Merdeka
HULU TERENGGANU, 1 September - Atas semangat patriotisme dan memeriahkan sambutan kemerdekaan ke-64 negara, seramai 12 pemilik basikal bergabung dalam program Kayuhan Santai DUN Ajil, semalam.
Program anjuran Pusat Khidmat Masyarakat Adun Ajil membabitkan kayuhan sekitar Pekan Ajil sejauh dua kilometer bermula dari Taman Sakinah dan berakhir di Dataran bangunan ATC, Ajil.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil, Maliaman Kassim berkata, program kayuhan dijayakan untuk membangkitkan semangat kemerdekaan dalam kalangan masyarakat setempat berikutan aktiviti berbasikal juga mampu menyatupadukan perbezaan politik di daerah ini.
“Aktiviti sebegini diyakini mampu mengeratkan hubungan masyarakat dan dapat mewujudkan semangat kesukanan dalam kalangan veteran, selain melahirkan warga Ajil yang sihat dan cergas.
“Memandangkan tiada sambutan Hari Kebangsaan akibat kekangan wabak Covid -19. Kita aturkan sedikit acara berbasikal dan agihan bendera Jalur Gemilang untuk pengguna jalan raya,” katanya ketika ditemui.
Maliaman juga berkata, selain memeriahkan lagi bulan kemerdekaan, penganjuran acara berbasikal itu diharap menyuntik kembali semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat yang dilihat semakin berkurangan.
“Kita wajar berasa bangga mengibarkan Jalur Gemilang di mana-mana saja bagi membuktikan semangat cintakan negara dengan ikhlas.
"Ini yang cuba kami tekankan dalam kalangan peserta muda supaya golongan yang lahir selepas merdeka tidak alpa dengan arus kemodenan negara hingga terlupa pengorbanan pejuang negara mempertahankan tanah air,” katanya.
01 Sep 21
854
Pupuk Semangat Patriotik Disebalik Kibaran Bendera
HULU TERENGGANU, 1 September – Penyelaras Parlimen Hulu Terengganu, Muhyidin Abdul Rashid mengajak seluruh masyarakat tanpa mengira bangsa dan agama dalam bersama-sama menyemarakkan lagi semangat Kemerdekaan dalam mengharungi pandemik COVID-19.
“Walaupun sambutan kemerdekaan pada tahun ini tidak lagi seperti tahun-tahun sebelumnya, namun sebagai rakyat Malaysia kita sebenarnya mempunyai banyak cara untuk menyatakan rasa cinta terhadap tanah air.
“Sikap cintakan negara bukan hanya sekadar mengibarkan Jalur Gemilang atau berkonvoi bermotosikal seperti setiap sambutan Hari Merdeka dan Hari Malaysia malah semangat cintakan tanah air itu seharusnya mesti ada dalam diri kita,” katanya.
Menurutnya lagi, penghayatan erti kemerdekaan di kalangan masyarakat perlu dilaksanakan secara berterusan dari tahun ke tahun supaya semangat cintakan tanah air tidak luntur dan tidak dilupai masyarakat.
Beliau berkata demikian selepas program Kempen Semarak Kibarkan Jalur Gemilang di hadapan pekarangan Pusat Khidmat Masyarakat Penyelaras Parlimen Hulu Terengganu, semalam.
Dalam anjuran berkenaan sebanyak 200 helai bendera Malaysia diedarkan secara pandu lalu kepada pemandu kenderaan dan masyarakat setempat.
Menurut seorang penduduk disini, Syed Hasbullah Said Muhammad, menyifatkan kepentingan semangat patriotik dalam melahirkan warganegara yang cinta akan negaranya dan pasti akan menjadi individu yang berguna kepada bangsa, agama dan negaranya sendiri.
“Sama-sama mengambil semangat dan pengajaran yang ditunjukkan oleh pejuang, pahlawan dan ulama’ terdahulu dalam menghadapi musuh demi membebaskan tanah air kita,” jelasnya.
Sementara itu, seorang peniaga, Faridah Ismail berkata, tanpa kita sedar semangat patriotisme memainkan peranan besar dalam diri setiap rakyat Malaysia dalam mengekalkan kemerdekaan diperolehi.
“Antara peranan patriotisme adalah membina nilai persefahaman dan penyatuan antara kaum.
Tambahnya, Faridah turut menyeru kesyukuran tersebut dizahirkan dengan mengibarkan jalur gemilang sama ada di rumah, di premis pejabat, perniagaan, dan dimana sebagai tanda simbolik.
31 Aug 21
427
Bendera, Badminton Tema Merdeka Hiasi Kedai Pok Mi
Oleh : Muhammad Afiq Fahmi Ahmad Faris
DUNGUN, 31 Ogos – Warna warni Jalur Gemilang ditambah dengan hiasan kotak bulu tangkis dan raket badminton sudah menjadi tradisi sambutan hari Kebangsaan di kedai makan Azmi Yusof atau lebih mesra disapa Pok Mi.
Terletak di Kampung Gong Pasir, warungnya sering menjadi tumpuan komuniti setempat kerana mahu melihat kibaran bendera Malaysia serta peralatan sukan badminton bertema menjelang sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia.
Pemilik kedai berusia 59 tahun itu menceritakan, kebanyakan barangan yang digantung di kedainya hasil daripada minat dalam mengumpul sejak dari umur 20 tahun sehingga sekarang.
“Saya mula aktif bermain badminton bermula dari usia 20-an sehingga negara telah merdeka selama 64 tahun, kini minat itu masih ada dan jauh daripada terpadam.
"Setiap kali sejak 8 tahun lalu, saya sudah bersiap sedia membeli banyak Jalur Gemilang dan bendera negeri dan menghias kedai saya bila tiba tanggal 31 Ogos.
"Harapan saya pada bulan kemerdekaan tahun ini, walaupun keadaan negara kita masih dilanda wabak COVID-19, namun semangat kecintaan tinggi terhadap negara sambutan kemerdekaan perlu ada pada diri kita,” katanya ketika ditemu bual pemberita, baru-baru ini.
Tambahnya, orang ramai turut diseru agar terus tabah melawan wabak virus tersebut sehingga mencapai kemenangan dalam menangani peperangan menentang musuh halimunan itu.
31 Aug 21
891
Kesesakan Lalu Lintas Disebabkan Sambut Merdeka Tidak Benar - Polis
KUALA TERENGGANU, 31 Ogos - Ketua Polis negeri, Dato' Rohaimi Md Isa menafikan bahawa video tular di media sosial berlakunya kesesakan lalu lintas seolah-olah ada pesta menyambut Hari Kebangsaan pada malam semalam adalah tidak benar.
Katanya, apa yang disebarkan itu merupakan video lama pada tahun-tahun sebelumnya.
"Sebenarnya sedikit kesesakan yang berlaku adalah disebabkan penutupan jalan di kawasan Batu Burok, yang menyebabkan kenderaan berpatah balik dan menuju ke laluan 'Drawbridge'.
"Untuk makluman orang ramai, sempena ambang Merdeka 2021, Polis DiRaja Malaysia (PDRM) telah mengenalpasti lokasi berkenaan sebagai salah satu lokasi yang bakal menarik perhatian orang ramai untuk apa jua acara dan tumpuan, justeru pemantauan telah dilakukan.
"Pasukan pemantau dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu termasuk kereta peronda polis (MPV) dan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Terengganu telah bertugas di kedua-kedua kawasan (Drawbride dan Batu Burok) bermula pada sebelah petang semalam sehingga lewat malam tadi," ujarnya melalui suatu kenyataan rasminya.
Mengulas lanjut katanya, kedua-dua kawasan terbabit adalah sangat terkawal dan tenang tanpa berlaku sebarang aktiviti berkumpulan selepas jam 10.30 malam sebagaimana yang ditularkan oleh pihak tidak bertanggungjawab serta mahukan publisiti semata-mata.
"PDRM menegaskan kepada orang ramai agar lebih bertanggungjawab dan tidak berkongsi atau menyebarkan maklumat yang tidak benar di media sosial.
"Kesalahan seperti ini boleh disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, dan jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh didenda sehingga RM 50,000 atau penjara tidak lebih (1) tahun atau kedua-duanya sekali," tegasnya.
31 Aug 21
576
Petugas PPV UniSZA, Penerima Vaksin Pamer Semangat Kemerdekaan
KUALA NERUS, 31 Ogos - Para petugas kesihatan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) hari ini mengadakan sambutan secara sederhana bagi mempamerkan semangat kemerdekaan dan rasa cinta kepada negara.
Pengurus PPV, Dr. Ras Azira Ramli berkata, semangat kemerdekaan tetap dipamerkan walaupun negera masih lagi berdepan dengan pandemik Covid-19 ketika ini.
"Pada kali ini, kita menyambut Hari Kemerdekaan dalam suasana pandemik bersama para penerima vaksin.
"Di antara mereka datang dengan membawa bendera dan mempamerkan bendera di pelitup muka dan sebagainya. Jadi semangat itu masih dirasai," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas sambutan tersebut di PPV UniSZA, hari ini.
Tambahnya, inilah semangat yang dapat ditunjukkan sebagai barisan hadapan pada masa ini untuk berjuang memerdekakan negara dari pandemik Covid-19.
Dalam acara berkenaan, nyanyian lagu negaraku dan lagu Jalur Gemilang serta agihan bendera kebangsaan kepada penerima vaksin turut diadakan.
Selain itu, para petugas PPV turut memakai pakaian bertemakan semangat kemerdekaan.
Dalam pada itu, penyelaras PPV berkenaan, Dr. Mohamad Ikmal Saharmi menyifatkan, semangat kemerdekaan ini perlu ditanam dalam diri individu selaras suasana pada masa kini.
"Biarpun suasana kerja Merdeka tahun ini dalam kekangan pandemik, kami petugas kesihatan tidak kira waktu, sedia berkhidmat.
"Bagi merdeka kali ini, kita perlu merdekakan diri kita dari Covid-19 terlebih dahulu, jadi patuhilah prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan," katanya.
Hari ini, PPV UniSZA menerima kehadiran 814 penerima vaksin dos kedua dan sebahagian kecil baki penerima dos pertama yang tercicir di kawasan Kuala Nerus.
31 Aug 21
796
Generasi Kini Perlu Hargai Sejarah Kemerdekaan - Zizan
KUALA TERENGGANU, 31 Ogos - Selebriti popular tanah air, Zizan Razak menyatakan bahawa generasi muda pada masa kini perlu menghargai sejarah pejuang-pejuang terdahulu yang telah terkorban dan bersusah payah dalam menuntut kemerdekaan.
Untuk itu katanya, memiliki pengetahuan yang mendalam mengenai perkara berkenaan amat perlu dalam mewujudkan jiwa patriotik dan bangga dengan apa yang telah dikecapi hasil peninggalan orang terdahulu.
Orang terdahulu telah merintis jalan bagi memastikan negara tidak terus berada dalam taklukan penjajah.
"Bagi saya ia sangat penting untuk kita ambil tahu, jika tidak kita tidak akan tahu apa-apa dan tidak akan berbangga dengan apa yang kita telah ada sehingga kita tengok generasi kini banyak mempertahankan perkara negatif yang tidak perlu mereka pertahankan.
"Walaupun benda itu jelas bertentangan dengan identiti bangsa, negara mahupun agama. Mereka tidak ambil kisah, mereka lebih kepada budaya luar seperti K-Pop, menonton filem-filem luar negara, menjadikan mereka tidak ambil peduli mengenai sejarah negara.
"Apabila adanya sambutan kemerdekaan seperti ini, jadi secara tidak langsung mereka akan 'study' sejarah walaupun pada kali ini ia disambut dengan cara yang berbeza tidak sepertimana sebelum ini yang kita boleh tengok ada upacara perbarisan di Dataran Merdeka mahupun yang diadakan di peringkat negeri ini sendiri," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika bersiaran langsung pada Majlis Sambutan Ambang Kemerdekaan Yang Ke-64 tahun 2021 Peringkat Negeri Terengganu, di TV Darul Iman (TVDI), semalam.
Yang turut menampilkan, Daie Sejuta Ummah, Ustaz Azhar Idrus dan Pengarah Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS), Kamaruzaman Abdullah selaku moderator.
Mengulas lanjut, Zizan berkata generasi muda yang menjadi harapan negara sewajarnya mempertahankan apa yang telah dikecapi ini sehingga ia boleh dibanggakan generasi seterusnya.
"Supaya tidak dijajah sebagaimana dahulu, apa jua nilai tradisi yang baik perlu dipertahankan. Apabila tidak ada pengetahuan mengenainya maka kita tidak akan sayangkan negara, bukan kita hendak biarkan ia berlalu begitu sahaja.
"Maka apa yang kita hendak ceritakan kepada anak-anak cucu kita pada masa akan datang?" katanya.
Mengenai ancaman pandemik yang berlaku pada ketika ini ,jelas Zizan merdeka pada tahun ini membawa pengertiannya yang tersendiri dimana semua rakyat mahu bebas daripada wabak berkenaan yang telah membelenggu kehidupan rakyat selama dua tahun.
"Perjuangan pada hari ini bukan lagi sebagaimana dahulu berperang dengan penjajah, tetapi kali ini berperang sekali lagi dengan perkara yang kita tidak nampak," ujarnya.
Mengenai sambutan kemerdekaan yang dianjurkan oleh kerajaan negeri , katanya peluang yang ditawarkan pada kali ini untuk bergandingan dengan Ustaz Azhar Idrus buat kali kedua sangat bermakna untuk dirinya.
"Sebelum ini pernah bergandingan bersama sehinggan 100,000 yang hadir di Shah Alam, tetapi apabila mendapat tawaran pada kali ini saya tidak mahu lepaskan peluang untuk berkongsi mengenai apa yang sangat memberi kesan dalam kehidupan saya. Juga mengambil peluang untuk bertanya bagi mendapatkan ilmu daripada ustaz," katanya.
Mengenai perkembangan terkini katanya, setelah terhalang daripada melakukan sebarang aktiviti seni fokusnya kini bertumpu kepada usaha melakukan amal kebajikan.
"Bagi saya sebagai pelawak, apa yang dikurniakan oleh Allah ini apabila masyarakat melihat saya mereka boleh senyum jadi saya hendak gunakan pada tempat yang betul.
"Apa yang mendorong saya melakukan 'charity' ini adalah apabila mengetahui telah mula ada anggota masyarakat yang membunuh diri. Jadi saya hendak turun bertemu mereka untuk menyampaikan mesej jangan merasa terlalu tertekan sampai hendak membuat keputusan yang silap," ujarnya.
31 Aug 21
662
Pengorbanan 'Frontliners' Dikenang Sebaris Perjuangan Kemerdekaan - MB
KUALA TERENGGANU, 31 Ogos 2021 - Pengorbanan barisan hadapan yang sanggup menggadaikan masa dan nyawa semata-mata demi masyarakat wajar dikenang sebaris dengan pejuang kemerdekaan terdahulu.
Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, Malaysia berdepan dengan 'penjajah baharu' iaitu wabak COVID-19 yang menuntut pengorbanan besar daripada semua pihak untuk membebaskan negara daripada cengkaman ini.
“Kita seharusnya lebih menghayati erti kemerdekaan, lebih-lebih lagi pandemik telah menyebabkan kehidupan kita berubah, kebebasan terbatas, malah menjejaskan ekonomi, pendidikan, kesihatan dan keselamatan orang awam.
“Walaupun berdepan dengan musuh yang berbeza dengan orang terdahulu, namun kita wajar mengambil semangat tidak mengalah mereka dalam membebaskan negara.
“Jika pejuang dahulu menggunakan senjata, namun generasi hari ini perlu berperang dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) dan mengambil vaksinasi,” katanya melalui perutusan Hari Kebangsaan 2021, yang dimuat naik melalui Facebook (FB), hari ini.
Tambahnya, beliau menyeru semua rakyat agar mematuhi saranan Kerajaan Persekutuan dan Negeri serta mematuhi arahan pihak berkuasa dalam usaha memerangi COVID-19.
“Saat ini juga, kita mestilah memberi keutamaan kepada agenda Pelan Pemulihan Negara (PPN) dengan saling bersatu hati dan bekerjasama sekali gus menjayakannya.
“Akhirnya, marilah kita menyelami maksud sebenar tema Hari Kebangsaan Malaysia ke-64 iaitu ‘Malaysia Prihatin’ yang menuntut kita untuk mengharungi cabaran getir bersama-sama tanpa mengira fahaman politik, agama dan bangsa.
“Selamat menyambut Hari Kebangsaan 2021 kepada seluruh rakyat Malaysia khususnya rakyat Terengganu,” ucapnya.
31 Aug 21
329