lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Kerajaan Tambah Baik Garis Panduan Pengambilan Pasir Sungai
Kerajaan Tambah Baik Garis Panduan Pengambilan Pasir Sungai
KUALA TERENGGANU, 2 September - Kerajaan pusat akan menambah baik Garis Panduan Pengambilan Pasir Sungai (Pindaan 2020) dengan mengambilkira keseimbangan ekosistem dan morfologi sungai.  Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA), Dato' Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, inisiatif itu akan mewujudkan panduan yang seragam dan lebih inklusif bagi memproses permohonan pengambilan pasir sungai di seluruh Malaysia  Katanya, antara perincian yang akan diberi perhatian ialah penandaan paip di bawah air  supaya orang tahu tentang kewujudan paip utama. "Ini juga termasuk kaedah yang mesti dipatuhi, berapa jarak daripada bangunan dan paip utama untuk korek pasir. "Oleh itu, saya berharap garis panduan itu akan dipatuhi sebab dalam sistem pengambilan pasir ada beberapa perkara yang perlu ditambah baik untuk jangka masa panjang," ujarnya. Beliau berkata demikian di sidang media selepas meninjau operasi pembaikan paip pecah di Jeti Feri Kg Losong, bersebelahan Muzium Negeri, Losong dan lawatan ke Loji Bukit Berapit, di sini hari ini. Justeru itu katanya, KASA akan bekerjasama dengan semua kerajaan negeri bagi memastikan isu berkaitan aktiviti-aktiviti di kawasan sungai seperti perlombongan pasir diberi perhatian sepenuhnya. "Semua pihak perlu mengguna pakai  Garis panduan tersebut telah dipersetujui oleh semua kerajaan negeri semasa Mesyuarat Majlis Sumber Air Negara (MSAN) ke-10 pada 15 Oktober 2015," tambahnya. Sementara itu, mengulas tentang proses pembaikan di dasar sungai, beliau berkata usaha giat dilaksanakan pihak Satu dan dijangka penggantian paip yang menelas kos RM2.5 juta akan dapat dilaksanakan dan dijangka siap pada 12 September.  Menurutnya, kerajaan akan menggunakan paip baharu yang lebih tahan dan berkualiti ditempah dari Australia serta Itali.  
02 Sep 21
785
Terengganu Bakal Jadi Perintis Restoran Harga Patut
Terengganu Bakal Jadi Perintis Restoran Harga Patut
HULU TERENGGANU, 2 September – Terengganu bakal menjadi perintis dalam mewujudkan restoran dan kedai makan dengan harga berpatutan atau kawalan di seluruh negara. Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Dato’ Rosol Wahid berkata, pihaknya akan berkerjasama dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi membolehkan usaha ini dapat direalisasikan sepenuhnya. Katanya, antara inisiatif ditawarkan kepada pengusaha restoran dan kedai makan yang berminat untuk menyertai program harga patut adalah pengurangan harga sewaan premis milik PBT. "Oleh itu, kita pilih Terengganu sebagai projek perintis sebelum diperluaskan di seluruh negara. "Satu perbincangan dengan PBT bagi membolehkan mereka mengurangkan harga sewaan premis kepada pengusaha dan kedai makan yang akan menyertai program itu," katanya kepada pemberita, semalam. Rosol berkata, jika PBT dapat mengurangkan harga sewaan premisnya, program restoran dan kedai makan harga patut akan mendapat sambutan pengusaha. Tambahnya, pengusaha restoran dan kedai makan yang ingin menyertai program itu perlu mematuhi harga makanan dan minuman ditetapkan KPDNHEP. "Sebagai contoh, pengusaha restoran dan kedai makan menyediakan pakej untuk makan pagi sekeping roti canai kosong atau telur bersama tea o dengan harga RM1. "Restoran dan kedai makan harga patut yang akan diwujudkan mampu mengurangkan bebanan masyarakat," katanya.  
02 Sep 21
1648
2,340 Karton Air Diagih Kepada 550 Keluarga Di Kem PGA
2,340 Karton Air Diagih Kepada 550 Keluarga Di Kem PGA
KUALA NERUS, 2 September - Kerajaan negeri menyalurkan 2,340 karton air minuman kepada 550 buah keluarga di Kem PGA Batalion 9 Kubang Badak yang terjejas ekoran krisis air yang bermula sejak minggu lepas. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata bantuan segera yang disalurkan menerusi Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri dan penyelaras kawasan terbabit merupakan sebahagian daripada peruntukan RM1.25 juta. “Kita akan pastikan bekalan air ini dihantar dengan kekerapan yang sesuai kepada semua penduduk di kawasan terlibat supaya mereka mendapat bekalan air minuman termasuk bekalan air bersih. “Jika ada penduduk yang tertinggal bantuan atau terlepas pandang, mereka boleh laporkan kepada Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) masing-masing dan kita akan pastikan mereka menerima bantuan tersebut,” ujarnya, Beliau berkata demikian selepas agihan air minuman ke Kem PGA Batalion 9 Kubang Badak, di sini hari ini. Sementara itu, Pegawai Pemerintah Batalion 9 PGA, Nor Azizan Yusof berkata pihaknya cukup berpuas hati dengan bantuan yang disalurkan sepanjang berlakunya krisis air kali kedua. "Alhamdulillah, kami di sini tidak pernah terputus bekalan air minuman dan air bersih sepanjang dalam tempoh bekalan air terputus di kawasan isejak minggu lepas. "Setiap hari, pihak Jabatan Amal dan pejabat penyelaras Dewan Undangan Seberang Takir akan menghantar bekalan air untuk keperluan kami di kem ini," ujarnya.  
02 Sep 21
600
Polis Terengganu Adakan Jualan Lelong 22 Barangan Kemas
Polis Terengganu Adakan Jualan Lelong 22 Barangan Kemas
KUALA TERENGGANU, 2 September - Polis negeri kontinjen Terengganu akan mengadakan jualan lelongan barang kemas yang sudah dilucut hak pada 13 September ini. Menerusi notis pemakluman dikeluarkan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) hari ini, sejumlah 22 barangan kemas seperti rantai leher, gelang tangan dan cincin akan dilelong dengan semua barangan itu sudah dilucut hak di bawah Akta Dadah Berbahaya (Perlucuthakan Harta) 1988. "Lelongan itu akan dilakukan di ruang legar, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, IPK Terengganu bermula jam 10.30 pagi hingga 4 petang. "Orang ramai yang mahu menyertai lelongan berkenaan perlu membayar deposit sebanyak RM500," katanya dalam satu kenyataan di Facebook rasmi Polis Terengganu, semalam. Tambahnya, bayaran deposit boleh dibuat dalam bentuk kiriman wang atau bank draf atas nama Ketua Polis Terengganu berserta tiga salinan kad pengenalan dan penyata bank yang masih aktif. "Orang ramai dibenarkan melihat barangan sebelum melakukan bidaan pada 12 September dan bayaran menyertai lelongan ini boleh dibuat bermula jam 9 pagi hingga 12.30 tengah hari dan 2.30 hingga 4.30 petang,"  jelasnya. Individu yang diisytihar bankrap tidak layak menyertai bidaan dan IPK Terengganu tidak akan bertanggungjawab ke atas aset yang sudah dijual. Sebarang keterangan lanjut boleh menghubungi Inspektor Azman Budin di talian 013-7391649, Sarjan Mejar Hafizi (013-9298384), Lans Koperal Rafae (019-5589795) dan Puan Zila di talian 09-6354773.
02 Sep 21
2769
RM1.14 Juta Disalurkan Ke Sekolah Agama, Pondok
RM1.14 Juta Disalurkan Ke Sekolah Agama, Pondok
KUALA TERENGGANU, 2 September - Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) telah menyalurkan bantuan berjumlah RM1.14 juta tahun ini bagi memastikan sekolah pondok dan sekolah agama di negeri Terengganu dapat terus beroperasi. Ketua Pegawai Eksekutif MAIDAM, M. Rozi Bidin berkata, sebanyak 18 sekolah pondok membabitkan 2,365 pelajar menerima bantuan sebanyak RM880,000 manakala RM260,000 disalurkan kepada tiga sekolah agama rakyat membabitkan seramai 701 pelajar. MAIDAM kini dalam proses menyiasat beberapa lagi sekolah menengah dan sekolah pondok yang memohon untuk mendapatkan bantuan. "Hingga akhir bulan lalu, kita sudah menyalurkan bantuan RM1.14 juta kepada 21 sekolah pondok dan sekolah agama membabitkan keseluruhan seramai 3,066 pelajar," katanya. Bantuan hanya disalurkan kepada sekolah agama dan sekolah pondok yang berdaftar dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu dan menepati syarat dan garis panduan yang ditetapkan MAIDAM. "Sepanjang tahun lalu kita menyalurkan bantuan keseluruhan RM2.195 juta kepada 31 sekolah pondok dan tujuh sekolah agama membabitkan seramai 5,827 pelajar," katanya. Untuk info, rakyat Terengganu boleh membayar zakat anda melalui https://ezakat.maidam.gov.my/online/.
02 Sep 21
825
Fasa Endemik Rakyat Boleh Hidup Seperti Biasa Mengikut SOP
Fasa Endemik Rakyat Boleh Hidup Seperti Biasa Mengikut SOP
PUTRAJAYA, 2 September - Malaysia dijangka akan memasuki fasa endemik Covid-19 bermula hujung Oktober nanti selepas 80 peratus penduduk menerima dos lengkap vaksin. Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, berikutan itu rakyat digesa agar menerima konsep hidup baharu bersama virus berkenaan "Kita harus menerima hakikat bahawa sekalipun kita berjaya mengawal pandemik ini, kita juga perlu bersedia untuk menerima kenyataan bahawa akan tiba masanya Covid-19 menjadi endemik. "Oleh itu kita mesti mengambil langkah-langkah untuk hidup bersama virus ini, dengan adanya vaksinasi usaha untuk melakukan perubahan kepada tingkah laku dengan usaha mengamalkan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang berterusan, maka kita boleh memasuki fasa baharu," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika mengadakan sidang media pertamanya, di sini, semalam. Turut hadir, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah. Mengulas lanjut katanya pelbagai kelonggaran akan diumumkan apabila SOP baharu diperkenalkan nanti. "Biarpun langkah baharu akan diumumkan tetapi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tiada perancangan melonggarkan pemakaian pelitup muka. "Ini kerana berdasarkan pengalaman negara lain, apabila dilonggarkan mereka terpaksa menguatkuasakan (pelitup muka) semula susulan kemunculan varian baharu,"katanya. keputusan bagi melakukan perlalihan tersebut ekoran pendekatan yang diambil banyak negara  setelah berjaya membendung penularan virus tersebut kepada fasa endemik. Dalam pada itu pihak kementeriannya juga akan mempertingkatkan ketelusan dengan mempamerkan maklumat data penuh kepada orang ramai untuk mengakses maklumat dan perkembangan terkini berkait wabak berkenaan bermula minggu hadapan. "Data yang akan diberikan adalah melebihi data yang sedia ada seperti yang dipamerkan selama ini, bagi memastikan tiada tuduhan bahawa kita menyembunyikan fakta dan melindungi kerahsiaan melibatkan Covid-19," katanya.
02 Sep 21
1244
Terengganu Tingkatkan Keupayaan Pelupusan Bahan Buangan PKRC
Terengganu Tingkatkan Keupayaan Pelupusan Bahan Buangan PKRC
KUALA TERENGGANU, 1 September - Terengganu berusaha untuk meningkatkan keupayaan pihak kontraktor bagi melupuskan bahan buangan yang berada dalam Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Chendering mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP). Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak berkata, sampah itu adalah daripada pesakit Covid-19 yang positif justeru ia tidak sewenang-wenangnya boleh diurus semua pihak dan ia telah dipertanggungjawab di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia.  "PKRC ini menempatkan pesakit yang positif kategori satu dan dua yang tidak bergenjala atau bergejala ringan. "Sebab itu, sampah itu tidak boleh dilupuskan seperti sampah biasa, pihak PBT tidak boleh mengangkut sampah tersebut kerana dibimbangi masih mempunyai virus pada bahan buangan tersebut. "Bahan buangan ini dikategorikan sebagai 'chemical waste' atau bahan buangan terjadual yang berkaitan hospital, pesakit dan sebagainya," ujarnya baru-baru ini. Jelas Dr. Alias, bahan buangan itu mestilah dibuang dengan cara yang khusus, tugas ini telah diserahkan kepada pihak kontraktor. "PBT tidak boleh menguruskan sampah ini kerana tidak mempunyai kepakaran dan peralatan yang khusus untuk mengangkut sampah tersebut ke pusat pelupusan sampah. "Perkara ini sangat bahaya sekiranya dibuang begitu sahaja kerana dibimbangi akan menyebabkan penyebaran virus ini.  "Tapak pelupusan bahan buangan ini mestilah dibuang di tempat khusus yang terletak di Lembah Klang," katanya. Tambah Dr. Alias, tempat pelupusan di Lembah Klang juga telah penuh, inilah yang menyebabkan timbunan bahan terjadual ini lambat diangkut. "Kerajaan dalam proses untuk meningkatkan keupayaan pihak kontraktor ini untuk melupuskan bahan buangan tersebut mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP)," ujarnya Sebelum ini tular gambar timbunan bahan buangan terbabit dan dijadikan isu oleh pihak tertentu yang dikatakan kutipan sampah tidak diurus dengan baik oleh pihak berkuasa tempatan.
01 Sep 21
1032
Tujuh Varian Delta Dikesan Di Terengganu Sehingga Hari Ini
Tujuh Varian Delta Dikesan Di Terengganu Sehingga Hari Ini
KUALA TERENGGANU, 1 September – Sehingga hari ini, Terengganu telah merekodkan tujuh kes varian membimbangkan (VOC) melibatkan varian Delta (B.1.617.2) sejak pertama kali dikesan pada akhir Julai lalu. Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan, Terengganu adalah negeri kedua terendah dari segi jumlah varian Delta di Pantai Timur, selepas Pahang (38 kes) dan Kelantan (tiga). Katanya, negeri ini turut merekodkan sembilan kes positif virus tempatan dengan VOC Beta (B.1.351). "Malaysia mengesan tambahan 265 kes COVID-19 membabitkan varian membimbangkan (VOC) antara 16 hingga 29 Ogos lalu hasil kajian berterusan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR), Integrative Pharmacogenomics Institute (iPROMISE) Universiti Institut MARA (UiTM) Selangor, dan Institut Kesihatan dan Perubatan Komuniti (IHCM) Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS). “Varian Delta sudah dikesan di seluruh negara dan Sarawak merekodkan kes varian Delta tertinggi di negara ini dengan 696 kes atau 71 peratus daripada 978 kes yang dikesan di Malaysia,” katanya. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak menyeru seluruh penduduk Terengganu supaya lebih berwaspada dan meningkatkan tahap pematuhan prosedur operasi standard (SOP). "Dulu kita kata, jarak satu meter sudah cukup, tapi apabila virus melalui udara kita kena jarak sekurang-kurangnya tiga meter memandangkan varian tersebut boleh masuk di mana sahaja bahagian muka, samada hidung, mulut, atau mata walaupun memakai pelitup muka," katanya.
01 Sep 21
11716
Tengku Muhammad Ismail Zahir Harapan Kemerdekaan, Perangi COVID-19
Tengku Muhammad Ismail Zahir Harapan Kemerdekaan, Perangi COVID-19
KUALA TERENGGANU, 2 September - Yang Dipertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin menitahkan harapan kepada seluruh rakyat agar terus mengekalkan keharmonian di antara kaum dan menghayati sepenuhnya prinsip rukun negara. Baginda bertitah, kelima-lima prinsip tersebut akan memastikan negara menjadi maju, aman, makmur dan sejahtera jika diamal dan dihayati dalam kehidupan seharian. “Saya menyeru agar semua menyingkap semula sejarah pejuang-pejuang kemerdekaan agar kita semua sedar dan berpijak di bumi nyata dalam usaha membangunkan negara tercinta,” titah Baginda dalam program 'Harapan Diraja Pewaris Negara Merdeka', kelmarin. Sementara itu, Tengku Muhammad Ismail turut menyarankan masyarakat agar bersatu padu dalam menangani pandemik COVID-19 serta menzahirkan kesungguhan dalam mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan kerajaan. “Kita sedia maklum bahawa Malaysia sedang mendepani pandemik virus, sesungguhnya ia merupakan ujian daripada Allah SWT. “Sehubungan itu, setinggi-tinggi tahniah dan terima kasih kepada semua frontliners dan rakyat dalam negara yang telah bekerjasama membendung pandemik COVID-19 ini,” titah baginda. Acara berkenaan disiarkan secara langsung menerusi Facebook Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) selama 40 minit melalui saluran Suara Sunnah, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) serta di saluran YouTube Sektor Sumber Teknologi Pendidikan Perlis. Titah diraja itu dimulakan dengan Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz yang menzahirkan harapan supaya masyarakat Malaysia menekankan kepentingan lima prinsip Rukun Negara demi satu perpaduan. Tiga putera lain ialah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail (Perlis); Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Shah Alhaj (Selangor) dan Tengku Mahkota Kelantan, Dr Tengku Muhammad Fa-iz Petra Sultan Ismail Petra (Kelantan). Semua putera berkenaan bersepakat, pandemik COVID-19 memerlukan seluruh lapisan masyarakat berpegang teguh, berganding bahu dan meneguhkan semangat kekitaan.
01 Sep 21
2727
Peralihan Fasa Bukan Tiket Bertindak Bebas, Abai SOP
Peralihan Fasa Bukan Tiket Bertindak Bebas, Abai SOP
KUALA TERENGGANU, 2 September - Seluruh rakyat awam dinasihatkan supaya tidak salah mentafsirkan peralihan fasa kedua ke fasa ketiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) sebagai ruang untuk bertindak bebas serta mengabaikan Prosedur Operasi Standard (SOP). Perkara tersebut diseru oleh Ketua Pengarah Keselamatan Negara Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk Rodzi Md Saad, yang menyifatkan pandangan umum masyarakat itu memberi banyak ruang yang boleh merisikokan kehidupan harian. “Maksudnya, ia bukan jaminan virus sudah tiada, sebaliknya kelonggaran ekonomi tersebut lebih kepada keupayaan negeri dalam menangani isu dengan lebih baik. “Penjagaan kesihatan awam dan pematuhan peraturan adalah sesuatu yang perlu dikekalkan tanpa mengambil mudah kemudahan untuk bertindak bebas,” katanya. Beliau berkata demikian selepas Majlis Inspirasi Kejayaan Hebat Lonjakan Aspirasi Strategik Bersama Warga MKN Terengganu, di sini baru-baru ini. Turut hadir, Pengarah MKN Terengganu, Mohd Yusri Yusof. Sementara itu, beliau turut memaklumkan tahap pematuhan SOP dalam rakyat negeri adalah baik dan memuaskan dengan mengikuti aspek-aspek utama seperti penjarakan fizikal dan pemakaian topeng pelitup muka sepanjang masa. “Saya lihat kebanyakan rakyat Terengganu tidak mengambil tindakan berhimpun atau berkumpul yang mendedahkan kepada penularan virus,” katanya lagi. Terdahulu, Rodzi telah membuat kunjungan hormat bertemu dengan Menteri Besar Terengganu bagi membincangkan langkah-langkah membendung penularan COVID-19 terutamanya melalui usaha pemvaksinan yang lebih agresif. Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak turut melaporkan, Terengganu dijangka memasuki fasa seterusnya PPN selewat-lewatnya dalam bulan September ini,” katanya.
01 Sep 21
307