lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Siasatan Masalah Air Siap Pertengahan September Depan
Siasatan Masalah Air Siap Pertengahan September Depan
KUALA TERENGGANU, 30 Ogos - Jawatankuasa khas siasatan punca kerosakan paip di dasar Sungai Terengganu akan menyerahkan hasil siasatan krisis air berkenaan kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada pertengahan September ini. Pengerusinya, Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak berkata, ketika ini pihaknya sedang mengumpul maklumat berkaitan kejadian berkenaan. "Siasatan sedang berjalan, kita sedang kumpul semua dokumen dan laporan berkaitan yang ada di jabatan-jabatan kerajaan dan juga maklumat dari orang ramai. "Oleh itu, sesiapa yang ada maklumat yang khusus, boleh berhubung dengan Unit Perancang Ekonomi Negeri Terengganu (UPEN) untuk berkongsi maklumat berkaitan. "Kita siasat daripada semua aspek termasuk dakwaan aktiviti menyedut pasir dan juga faktor semula jadi. "Setakat ini jawatankuasa siasatan tidak mengekang daripada siasat satu sudut sahaja, kita masih terbuka dengan semua maklumat dan pandangan dari semua pihak," katanya ketika ditemui pemberita pada Program Kibar Jalur Gemilang di Jambatan Angkat (Drawbridge) di sini, hari ini. Mengulas lanjut, Tun Ahmad Faisal yang juga Pengarah UPEN berkata, jawatankuasa siasatan itu sudah bermesyuarat sebanyak tiga kali setakat ini. "Jawatankuasa siasatan terdiri daripada 12 individu dari beberapa jabatan dan agensi seperti Jabatan Alam Sekitar (JAS), Pejabat Tanah dan Galian (PTG), Jabatan Bekalan Air, Jabatan Pengairan dan Saliran, Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd, dan Pejabat Daerah Kuala Terengganu," katanya.
30 Aug 21
1015
Semarak Merdeka, ADUN Manir Edar Jalur Gemilang
Semarak Merdeka, ADUN Manir Edar Jalur Gemilang
HULU TERENGGANU, 30 Ogos - Semarak Merdeka sempena sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos ini, Pejabat Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) ADUN Manir mengedarkan 1,000 bendera Malaysia secara 'Drive Thru' kepada warga setempat, semalam. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manir, Ustaz Hilmi Dato' Harun berkata, ia bukan saja untuk menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2021 tetapi juga membangkitkan kesedaran rakyat terhadap jasa dan pengorbanan orang terdahulu berjuang memerdekakan negara. "Kemerdekaan tanah melayu ini perlu diingati, semangat penentang penjajah oleh para pejuang, negarawan serta ulama' perlu dikenang. “Rakyat di semua peringkat perlu menunjukkan semangat patriotik dan cintakan negara melalui pengibaran Jalur Gemilang sebagai lambang kebebasan serta kemajuan yang sudah dicapai,” katanya. Beliau berkata demikian ketika selesai program Semarak Merdeka dan Kempen Kibar Jalur Gemilang peringkat DUN Manir hadapan pejabat PKM di kampung Kubang Lembek. Dalam pada itu, PKM turut membahagikan jalur gemilang kepada seluruh 23 JPKK di DUN Manir untuk menghiasi premis-premis dan balairaya di tempat masing-masing. “Walaupun kini kita berada dalam suasana pandemik Covid-19, usaha mengibarkan Jalur Gemilang ini adalah bagi menghargai keprihatinan, kesungguhan dan ketabahan warga Malaysia mengharungi cabaran dan dugaan wabak Covid-19 yang melanda,” jelas Hilmi.
30 Aug 21
538
Masalah Projek Perumahan Mak Kemas Selesai
Masalah Projek Perumahan Mak Kemas Selesai
MARANG, 30 Ogos - Projek perumahan kerajaan terdahulu iaitu program My Beautiful New Home (MyBNHome) di Kampung Mak Kemas kini berada di landasan kemajuan setelah isu kontraktor dan ketiadaan longkang saliran diselesaikan. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, pembinaan perumahan yang bermula sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) itu telah sekian lama diselubungi masalah berkaitan pihak kontraktor khususnya soal penyerahan dokumen. “Oleh itu, melalui portfolio perumahan, kita telah membuat satu perjumpaan dengan kontraktor dan pelbagai agensi kerajaan antaranya Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) yang berperanan sebagai pengurus projek bagi menyelesaikan projek dalam tahun ini. “Turut terlibat adalah Majlis Daerah Marang yang bertanggungjawab dengan kelulusan pelan, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Pejabat Daerah bagi pengurusan tanah dan lain-lain lagi supaya program ini berjalan lancar,” katanya. Katanya, antara penyelesaian dicapai adalah kelulusan tanah bagi pembinaan sistem longkang untuk pelepasan air 50 unit rumah berkembar setingkat dan pelebaran jalan di kawasan keluar masuk perumahan. Beliau berkata demikian selepas kerja lawatan Pembangunan Dan Kemudahan Berkaitan Bagi MyBNHome Di Kampung Mak Kemas, petang semalam. Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payung, Mohd Nor Hamzah dan Pegawai Daerah Marang, Lizan Che Mat. Mengulas lanjut, Dr Alias menjelaskan tahap kemajuan pembinaan adalah sekitar 50 peratus dengan jangkaan siap sepenuhnya dalam masa enam bulan. “Jika kontraktor baharu yang dilantik boleh menyiapkan dalam masa hujung tahun ini lebih baik, diharapkan apa dirancang hari ini semua boleh diselesaikan dengan segera,” tambahnya.
30 Aug 21
3449
Slot Janji Temu Dalam Talian JPJ Di Terengganu Ditambah
Slot Janji Temu Dalam Talian JPJ Di Terengganu Ditambah
KUALA TERENGGANU, 30 Ogos - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu menambah jumlah slot janji temu daripada lima kepada tujuh bagi memudahkan orang awam berurusan dengan agensi berkenaan bermula pada Ahad. Pengarahnya, Zulkarnain Yasin berkata, urus niaga bahagian pembaharuan Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan Lesen Memandu Malaysia (LMM) akan meningkat daripada 299 janji temu menjadi 400 janji temu setiap hari. Menurutnya, dengan penambahan slot janji temu itu lebih ramai pelanggan akan dilayan sekali gus dapat mengurangkan masa menunggu dalam talian. “Keputusan untuk tambah slot janji temu ini sehingga mencapai 40 peratus daripada jumlah sedia ada bertujuan untuk memberi kemudahan kepada pelanggan mendapat capaian yang lebih meluas. "Ini kerana hasil pemantauan yang dilakukan mendapati ramai pelanggang yang membuat janji temu sehingga menyebabkan sebahagian besar slotnya habis hanya dalam masa beberapa minit sahaja," katanya ketika dihubungi pemberita. Dalam pada itu, Zulkarnain berkata, selain itu pihaknya turut memperkenalkan kemudahan 'Walk in terkawal' bermula Ahad, iaitu dengan hanya membenarkan 10 pelanggan sahaja berurusan untuk setiap satu slot. Beliau berkata, kemudahan secara 'walk in' juga turut diberikan kepada golongan warga emas, ibu mengandung dan orang kelainan upaya (OKU) bagi mendapatkan pekhidmatan di JPJ Terenganu. "Bagi kemudahan ini, setiap pelanggan akan diberikan satu kad nombor dan hanya 10 pelanggan sahaja dibenarkan berurusan bagi setiap satu slot yang mula dibuka pada jam 8 pagi sehingga tamat waktu pejabat. "Sistem ini sama seperti sistem yang dipraktikkan di pasaraya dan juga mereka yang berurusan di dalam bangunan bank-bank ketika ini. "Penambahan kedua-dua perkhidmatan ini diharap dapat memudahkan orang ramai menyelesaikan urusan pembayaran melalui kedua-dua perkhidmatan ini memandangkan tarikh moratorium akan tamat pada 30 September ini," katanya-SINAR HARIAN
30 Aug 21
774
Abdul Karim Dilantik CEO SATU Bermula 1 September Ini
Abdul Karim Dilantik CEO SATU Bermula 1 September Ini
KUALA TERENGGANU, 30 Ogos -Ketua Perkhidmatan Operasi Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor),  Abdul Karim Endut, dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Air Terengganu Sdn. Bhd. (SATU) baharu berkuat kuasa 1 September ini. SATU dalam kenyataan berkata, pelantikan Abdul Karim, 51, bagi menggantikan Ir Hj Atemin Sulong yang tamat tempoh perkhidmatan pada 24 Julai 2021. Abdul Karim yang berkelulusan Ijazah Sarjana Kejuruteraan Bahan (Chemistry-Polymer) dari Universiti Henri Poincare, Perancis itu mempunyai pengalaman lebih 26 tahun dalam Pengurusan Operasi Perkhidmatan Air, Teknikal dan Penyelenggaran Air, Pengagihan dan Pengurusan Loji Rawatan Air. Beliau juga telah berkhidmat di beberapa syarikat korporat termasuk Konsortium Air Selangor di bawah KDEB Group, Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (KPS), dan ONDEO Services(M), SUEZ Group. “Terdahulu, sebagai Ketua Perkhidmatan Operasi di Air Selangor beliau mengawal selia perkhidmatan kejuruteraan dan pengurusan aset,” katanya di sini hari ini. Sementara itu, Menteri Besar, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar yakin pelantikan Abdul Karim adalah yang terbaik bagi menerajui SATU. “Saya yakin beliau berupaya menerajui SATU ke arah perubahan pengoperasian dan amalan yang lebih baik serta berkesan lalu mampu menjadikannya sebagai sebuah syarikat korporat terbaik di negeri Terengganu," ujarnya.
30 Aug 21
4242
PM Mahu Kadar Vaksinasi Di Terengganu Melebihi 50 Peratus
PM Mahu Kadar Vaksinasi Di Terengganu Melebihi 50 Peratus
KUALA TERENGGANU, 30 Ogos - Perdana Menteri, Datuk Sri Ismail Sabri Yaakob mahu  kadar vaksinasi di Terengganu dan lima negeri  lain melebihi 50 peratus pada akhir September ini. Beliau berkata, Terengganu disenaraikan bersama Perak, Johor, Kelantan, Kedah dan Sabah yang masih mempunyai kadar vaksinasi populasi dewasa lengkap kurang daripada 50 peratus "Ada enam negeri yang masih belum mencapai 50 peratus iaitu Terengganu (46.2 peratus), Perak (46.5 peratus), Johor (44.9 peratus), Kelantan (43.2 peratus), Kedah (43 peratus) dan Sabah paling kurang iaitu 37.1 peratus," katanya pada sidang akhbar di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, semalam. Mengulas lanjut, Ismail Sabri menyatakan bahawa beliau telah berbincang dengan Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan KSU Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) berhubung perkara tersebut. "Jadi saya nak (enam negeri berkenaan melebihi daripada 50 peratus kadar vaksinasi) sebelum akhir bulan September, kalau boleh lebih awal lagi. "Semua enam negeri tadi mesti melebihi 50 peratus," ujarnya. Tambahnya lagi, beliau juga tidak mahu ada sebarang masalah kelewatan berkaitan dengan penghantaran vaksin. "Saya sudah berbincang dengan KSU bahawa jika ada vaksin yang kita langgan ada masalah dari segi penghantaran, (maka) tidak perlu tunggu pada vaksin tersebut," jelasnya. Menurut laporan kumulatif vaksinasi sehingga 29 Ogos oleh Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKVAV), Terengganu kin mencatatkan 80.9 peratus populasi dewasa disuntik sekurang-kurangnya satu dos manakala 46.8 peratus telah selesai divaksin.
30 Aug 21
2545
Tindakan Tegas Jika Pengusaha Pelancongan Langgar SOP
Tindakan Tegas Jika Pengusaha Pelancongan Langgar SOP
KUALA TERENGGANU, 30 Ogos - Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman memberi amaran keras kepada penggiat-penggiat industri pelancongan supaya meletakkan keselamatan pengunjung sebagai perkara utama menjelang pembukaan sektor pelancongan di negeri berkenaan pada September ini. "Apabila pusat pelancongan beroperasi nanti, semua aktiviti seperti snorkeling dan diving juga dibenarkan tetapi syaratnya, kena mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sebagaimana ditetapkan. "Kali ini kita akan bertegas, tahun lepas kita ada isu bot lebih muatan dan tidak memakai jaket keselamatan. Kita akan pastikan, dan kita akan denda mana-mana pengusaha yang melanggar peraturan dan SOP. "Sekarang ini zaman 'viral' (tular), kita tidak mahu ia berlaku lagi (memburukkan nama pelancongan Terengganu) dan kita akan pastikan ia tidak berlaku," katanya. Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Solat Hajat sempena pembukaan semula sektor pelancongan Terengganu di Duyong Marina & Resort, semalam. Hadir sama, Pengarah Jabatan Pelancongan Terengganu, Fadli Yusof Zakaria. Ariffin turut berharap, pembukaan semula sektor pelancongan akan merancakkan kembali ekonomi penduduk di lokaliti terlibat. "Sektor pelancongan Terengganu tidak memberi keuntungan secara langsung kepada kerajaan negeri, tetapi ia mengalir terus kepada masyarakat dan penggiat industri dalam negeri. "Kita sama-sama berdoa, supaya aktiviti pelancongan yang beroperasi semula dapat mengimbangi kerugian dan meningkatkan pendapatan penduduk tempatan yang terbabit dalam bidang ini," katanya.    
30 Aug 21
385
Lokasi Pelancongan Terengganu Dibuka Bermula September
Lokasi Pelancongan Terengganu Dibuka Bermula September
KUALA TERENGGANU, 30 Ogos - Kerajaan Terengganu mengumumkan sektor pelancongan negeri itu akan dibuka bermula 1 September ini selaras dengan pengumuman Majlis Keselamatan Negara (MKN) berkenaan pembukaan sektor tersebut kepada negeri yang berada dalam fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN). Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, semua lokasi pelancongan dibuka kecuali yang bersifat 'indoor' seperti Taman Tamadun Islam dan Muzium Negeri. "Pulau-pulau peranginan iaitu Pulau Kapas, Tenggol, Redang dan Lang Tengah turut dibuka dengan kapasiti penuh mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan MKN. "Walau bagaimanapun, tiada aktiviti pelancongan bagi Pulau Perhentian berikutan penularan dalam Covid-19 sehingga dimaklumkan kelak. Pergerakan keluar masuk ke pulau tersebut turut dibataskan," katanya. Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Solat Hajat sempena pembukaan semula sektor pelancongan negeri Terengganu di Duyong Marina & Resort, semalam. Hadir sama, Pengarah Jabatan Pelancongan Terengganu, Fadli Yusof Zakaria. Menurut Ariffin, pembukaan sektor berkenaan lebih bersifat dalaman pada peringkat awal dengan kebenaran rentas antara daerah. "Sebenarnya, pembukaan ini jelas untuk rakyat Terengganu sehingga dibenarkan untuk merentas negeri. Memang Perancangan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) untuk mewujudkan gelembung pelancongan, tetapi masih banyak negeri khususnya di Pantai Barat masih berada di fasa satu PPN. "Namun, kita sentiasa bersedia dan berusaha memastikan sektor pelancongan Terengganu selamat dengan promosi terbaharu iaitu 'We Save To Visit'," katanya.      
30 Aug 21
732
Konvoi PKM Kijal Pengikat Ukhuwah Misi Banjir Di Kedah
Konvoi PKM Kijal Pengikat Ukhuwah Misi Banjir Di Kedah
KEMAMAN, 30 Ogos - Konvoi bantuan banjir Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal ke Kedah sebagai tanda prihatin dalam mengikat tali persaudaraan sesama insan yang ditimpa musibah. Diketuai oleh Pegawai Penyelaras DUN Kijal, Ustaz Hazri Jusoh, pasukan yang disertai 36 orang petugas itu dibantu oleh 10 buah kenderaan termasuk pacuan empat roda dengan muatan keperluan mangsa banjir merentas dua negeri di Banjaran Titiwangsa ke bumi Darul Aman. Hazri Jusoh (kiri) disantuni oleh petugas banjir. "Alhamdulillah, sampai kami di bumi Jelapang Padi hari ini dalam misi bantuan kemanusiaan kepada mangsa banjir di sini. "Terima kasih di atas sambutan dan penerimaan oleh pihak urusetia operasi banjir di kawasan Jerai dengan kehadiran kami bersama sedikit sumbangan wang tunai dan barangan keperluan di sini," katanya. "Insya-Allah dengan keprihatinan ini semoga ianya menaikkan lagi tali persaudaraan sesama kita dalam membantu mereka yang ditimpa kesusahan sebagaimana yang dilakukan oleh petugas dari Kedah ketika banjir besar yang melanda Kemaman pada tahun 2013 lalu," ucapnya lagi. Sebahagian petugas memunggah barangan bantuan. Hazri yang juga Naib Yang Dipertua PAS Kawasan Kemaman menzahirkan ucapan terima kasihnya kepada para penyumbang yang turut membantu. "Jutaan terima kasih kepada semua sama ada daripada syarikat mahupun individu kerana bersama menjayakan misi bantuan kemanusiaan ini," ujarnya. Pengarah Majlis Tindakan PAS DUN (MTD) Kijal itu ditemui oleh pemberita di Pos Kawalan Operasi Bencana, PAS Kawasan Jerai di Masjid Wustho, Gua Cempedak, kelmarin. Pada masa sama, Setiausaha Politik Ahli Parlimen Kemaman, Mohd Hafiz Adam turut menghulurkan sumbangan berbentuk wang tunai dan barangan keperluan di Pos tersebut bagi meringankan beban yang ditanggung oleh mangsa. Peserta Muslimat turut menjayakan misi. Konvoi kemudian bergerak ke kaki Gunung Jerai dan ke kawasan Merbok untuk melihat kesan banjir yang disebabkan oleh fenomena 'kepala air' yang berlaku pada 18 Ogos lalu dengan meragut enam nyawa. Konvoi tersebut turut disertai oleh wakil PKM Parlimen Kemaman, Mohd Hafiz Adam beserta pegawainya, Ahli Majlis Perbandaran Kemaman, Zabidin Awang dan Ahli Jawatankuasa MTD Kijal bersama Pengarah Khidmat Malaysia Kijal, Zawawi Mohamed. Peserta konvoi sempat berfoto sebagai kenangan.  
29 Aug 21
598
Terengganu Dijangka Beralih Ke Fasa 3 Akhir Bulan Ini
Terengganu Dijangka Beralih Ke Fasa 3 Akhir Bulan Ini
KUALA TERENGGANU, 29 Ogos – Terengganu dijangka akan beralih ke fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada hujung bulan ini selepas proses vaksinasi hampir mencapai 80 peratus bagi penerima dos pertama dan 45 peratus dos kedua. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, keputusan itu dicapai hasil perbincangan bersama Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan melihat kepada nilai ambang peralihan fasa seterusnya PPN. “Selewat-lewatnya jangkaan kita akan beralih pada September hadapan,” katanya ketika ditemu bual pemberita, petang tadi. Namun begitu, Dr Alias mengingatkan kepada seluruh warga negeri agar terus berdisiplin dalam pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) dan tidak mengambil mudah terhadap kelonggaran tersebut. “Saya menasihati kepada semua bahawa peralihan fasa ini bukan bermakna tiada risiko virus, anda masih lagi boleh dijangkiti dan menjangkiti, walaupun telah lengkap suntikan. Kelonggaran ini adalah lebih menjurus kepada keperluan ekonomi," jelasnya. Tambah beliau, hasil vaksinasi di Terengganu menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) berjaya mengurangkan kes serius COVID-19 yang tergolong dalam kategori 3, 4 dan 5, meskipun kes harian kekal tiga angka. “Kes kategori sederhana dan teruk ini masih di bawah satu peratus, kebanyakkan yang positif adalah mereka yang tiada gelaja atau bergejala ringan,” jelasnya lagi.
29 Aug 21
4906