Artikel "Utama" Terkini
Konvensyen Cendekiawan Terengganu Perkukuh Gabungan Ulama Dan Umarak
Oleh: Musfirah
KEMAMAN, 30 Jun – Usaha memperkukuh peranan ulama dan umarak dalam mendepani cabaran ummah masa kini terus diperkasakan menerusi penganjuran Konvensyen Profesionalisme Cendekiawan Umarak Terengganu.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata konvensyen itu bukan sekadar wacana ilmiah, tetapi medan melahirkan lebih ramai cendekiawan yang berkhidmat demi agama, bangsa dan tanah air.
"Konvensyen berprestij ini mengangkat tema “Kebangkitan Ulama Terengganu Dahulu dan Sekarang”.
"Gabungan ulama dan umarak adalah kunci kestabilan, kemajuan serta kekuatan ummah,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Konvensyen Cendekiawan Terengganu yang berlangsung di Darul Iman Training Centre (DITC), Kemaman hari ini.
Konvensyen tersebut disertai oleh para ilmuwan, pendidik, serta wakil institusi agama dari seluruh negeri Terengganu.
Menurut beliau, penekanan utama konvensyen adalah untuk menggabungkan kekuatan ulama dan umarak demi memastikan negeri terus dipimpin dengan ilmu, kebijaksanaan serta prinsip yang teguh dan berteraskan syariat.
“Sebagai usaha mengimbas warisan keilmuan negeri, memperkukuh profesionalisme dalam bidang pendidikan, serta memperkasa perjuangan Islam dalam konteks semasa," tambahnya.
30 Jun 25
361
Nahas Bot : Terengganu Cadang Jabatan Laut Tarik Lesen
KUALA TERENGGANU, 30 Jun - Kerajaan negeri akan mencadangkan tindakan tegas terhadap mana-mana pihak pengusaha industri pelancongan yang mengingkari prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan, khususnya pelancongan maritim.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, cadangan tersebut disuarakan susulan daripada tragedi bot pelancongan terbalik di laut akibat dipukul ombak dalam perjalanan dari Pulau Perhentian Kecil ke Pulau Perhentian Besar, pada Sabtu.
"Mana-mana pengusaha, sama ada pengusaha bot atau chalet yang mempunyai bot berlesen dan berlaku kemalangan serta 'pilot' (tekong bot) terkait dengan bahan-bahan terlarang maka kita (kerajaan negeri) akan cadang kepada Jabatan Laut supaya Jabatan Laut tarik balik lesen tersebut.
"Dalam kes ini, yang lesen (pengusaha) bot kita cadang kepada Jabatan Laut supaya menggantung atau menarik lesen itu. Dan untuk masa yang akan datang pun kita akan buat SOP macam itu.
"Jadi apabila terkait sahaja dengan barang terlarang kita akan 'ban', dan insya-Allah kita akan berbincang dengan Jabatan Laut untuk menarik balik atau menggantung lesen dia dan individu (tekong bot) itu kita akan serah kepada polislah," katanya.
Razali berkata demikian kepada pemberita dalam satu sesi sidang media di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.
Mengulas lebih lanjut, Razali memaklumkan bahawa pihaknya berjaya mengenalpasti kesalahan lain yang telah dilanggar oleh pengusaha dan tekong terbabit ketika menjalankan servis walaupun telah mendapat permit dan mempunyai vesel laut berlesen.
"Seperti saya difahamkan, penumpang dia 15 orang. Melebihi had. Sepatutnya bot dia itu 10 orang penumpang sahaja dan satu 'pilot' dan satu 'co-pilot'.
"Dia juga langgar peraturan lain, dia langgar peraturan tidak memakai jaket keselamatan dan keluar pada waktu malam.
"Dia tidak ada permit untuk keluar malam sebenarnya, keluar malam ini ada permit kalau dia mohon dengan Jabatan Laut dan ada syarat-syarat tertentu, tapi dia tidak mohon dan dia (didapati) guna bahan terlarang," ujarnya.
Terdahulu, media melaporkan tragedi bot karam di Pulau Perhentian yang membawa 15 penumpang telah mengorbankan tiga penumpang di tempat kejadian termasuk dua kanak-kanak.
Manakala, seorang kanak-kanak berumur enam tahun dalam keadaan kritikal kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).
Dalam perkembangan sama, pemandu bot dalam kejadian itu, direman tiga hari bermula hari ini.
Suspek, 22, yang dibawa ke Mahkamah Majistret Setiu direman sehingga Rabu atas kesalahan berkaitan dadah.
Perintah reman dikeluarkan Majistret Nurliyana Md Zukri mengikut Seksyen 15(1)(A) Akta Dadah Berbahaya 1957.
30 Jun 25
375
UMT Rintis Kaedah Adaptasi Hakisan Pantai
KUALA NERUS, 30 Jun – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) terus memperkukuh peranannya dalam menangani isu geobencana pantai melalui penganjuran Seminar dan Townhall Geobencana Pantai: Adaptasi dan Mitigasi Terhadap Impak Hakisan Pantai dan Perubahan Iklim yang berlangsung di Auditorium Mahyuddin, UMT di sini, hari ini.
Seminar yang mendapat kerjasama strategik PLANMalaysia itu memberi fokus terhadap usaha menangani masalah hakisan pantai yang semakin membimbangkan terutama di kawasan Pantai Timur.
Naib Canselor UMT, Prof. Ir. Ts. Dr. Mohd Zamri Ibrahim dalam ucapan perasmiannya menegaskan bahawa UMT telah lama memainkan peranan sebagai pusat kecemerlangan dalam bidang sains marin, perikanan, pengurusan pesisir dan perubahan iklim.
“Dengan kedudukan strategik UMT di persisiran pantai, kami bukan sahaja menjadi saksi kepada kesan hakisan, malah menjadikan isu ini medan utama penyelidikan serta inovasi penyelesaian.
"Kami melaksanakan kajian meliputi pemetaan risiko hakisan, penggunaan teknologi mitigasi seperti living shoreline serta penerapan adaptasi komuniti terhadap perubahan iklim," ujarnya.
Mengulas lanjut katanya, antara pendekatan strategik yang diketengahkan UMT termasuklah Perancangan Ruang Laut (MSP) yang berasaskan sains bagi menyeimbangkan antara perlindungan alam sekitar marin, pembangunan ekonomi biru dan kesejahteraan sosial.
"Pendekatan itu dianggap pelengkap kepada perancangan fizikal darat dan sangat penting dalam konteks pembangunan mampan negara maritim seperti Malaysia.
"Fenomena hakisan pantai bukan sekadar isu alam sekitar, malah memberi kesan langsung kepada komuniti nelayan tradisional yang kehilangan kawasan pendaratan bot, tempat tinggal dan sumber pendapatan akibat perubahan garis pantai yang semakin mengecil," ujar beliau.
Katanya, gelombang besar dan peningkatan aras laut turut menjejaskan ekosistem pesisir seperti hutan paya bakau yang menjadi benteng semula jadi dan habitat penting perikanan.
"UMT melalui kerjasama dengan pelbagai agensi seperti PLANMalaysia turut menyumbang kepada penggubalan dasar dan pelan tindakan holistik yang menyokong matlamat pembangunan lestari (SDG) dan Ekonomi Biru negara.
"Usaha ini diterjemahkan melalui Rancangan Fizikal Zon Persisiran Pantai Negara yang kini mula mengambil kira aspek marin secara menyeluruh dalam perancangan negara," katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menyatakan harapan agar seminar berkenaan bukan sekadar menjadi medan perbincangan tetapi menjadi pemangkin kepada tindakan bersepadu dan lestari dalam menangani isu hakisan yang semakin mendesak akibat perubahan iklim.
“Sinergi antara penyelidik, pembuat dasar dan komuniti perlu diperkukuh bagi melahirkan solusi sebenar kepada cabaran ini," ujarnya.
30 Jun 25
162
Kerajaan Terengganu Jadikan Dua Mangsa Kemalangan UPSI Anak Angkat
KUALA TERENGGANU, 30 Jun – Dua pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Muhammad Adham Tuan Adnan dan Nur Ain Najwa Mohd Ilias, yang cedera dalam tragedi kemalangan bas pelajar di Gerik, Perak, awal Jun lalu, telah diangkat sebagai anak angkat Kerajaan Negeri Terengganu di bawah Portfolio Kebajikan.
Pengumuman itu dibuat oleh Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Negeri, Maliaman Kassim, selepas mendapat persetujuan bersama beberapa pihak kerajaan negeri dan agensi kebajikan.
Menurut beliau, sebagai komitmen kebajikan jangka panjang, kedua-dua pelajar tersebut akan menerima bantuan kewangan RM500 sebulan setiap seorang bermula Julai ini, sehingga menamatkan pengajian mereka di UPSI.
“Kerajaan Negeri menerusi portfolio kebajikan tidak membiarkan anak-anak ini menghadapi kesusahan bersendirian. Kita akan bersama mereka hingga mereka berjaya menamatkan pengajian.
"Mereka dipilih atas faktor tertentu termasuk taraf keluarga. Semua sedia maklum ibu bapa Adham adalah Orang Kurang Upaya Penglihatan dan fizikal, manakala Ain Najwa anak pula anak yatim, lahir dalam keluarga susah dan sedang melalui proses pemulihan yang mencabar,” jelas beliau kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman hari ini.
Sebelum ini, kisah Adham dan Ain Najwa telah menyentuh hati rakyat Malaysia apabila tular di media sosial, bukan sahaja kerana kecederaan yang dialaminya, malah kisah keluarga mereka.
Ain Najwa menerima kunjungan Maliaman.
Pengorbanan ibu dan ayah Adham yang OKU membuatkan ramai menghulurkan sumbangan bagi meringankan beban Adham.
Manakala, kisah dua adik kembar Ain Najwa yang sanggup menolak tawaran melanjutkan pelajaran ke universiti demi menyokong kakak mereka belajar benar-benar mengajar rakyat Malaysia erti kehidupan.
“Adik-adik saya terpaksa tolak tawaran ke Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) kerana nak kerja dahulu. Katanya, ‘Kakak belajar, kami tanggung kakak. Nanti kita bergilir-gilir’,” kata Ain Najwa.
Difahamkan, mereka sekeluarga telah kehilangan bapa tercinta beberapa tahun lalu, yang ketika hayatnya hanya bekerja sebagai mekanik di bengkel membaiki kenderaan.
Ibunya pula kini uzur dan hanya mampu mengambil upah mencuci rumah-rumah jiran untuk menyara hidup.
Kecederaan dialami Ain Najwa akibat kemalangan termasuk patah bahu kiri dan kecederaan pergelangan tangan.
Ayah Adham yang berstatus OKU penglihatan (paling kanan).
Dia kini sedang melalui proses pemulihan dan dibantu oleh JKM untuk memohon kad OKU, bagi membolehkannya mendapatkan sokongan kesihatan dan pendidikan yang lebih berstruktur.
Sementara itu, Adham turut mengalami kecederaan serius dan datang daripada keluarga kurang berkemampuan yang turut berstatus OKU.
Pelajar UPSI itu sebelum ini telah menjalani pembedahan dan memerlukan rawatan susulan berpanjangan.
Untuk rekod, kos rawatan Adham sebanyak RM2,900 turut akan ditampung oleh Kerajaan Negeri.
30 Jun 25
10771
Jabatan Mufti, MAIDAM Perkukuh Kefahaman Ilmu Falak
KUALA TERENGGANU, 30 Jun- Jabatan Mufti Negeri Terengganu dengan kerjasama Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) menganjurkan Program Bulan Falak Malaysia Peringkat Negeri Terengganu bagi memperkukuhkan kefahaman ilmu falak di kalangan umat Islam khususnya di negeri ini.
Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), M Rozi Bidin berkata, program sebegini merupakan platform terbaik untuk memberi pendedahan kepada masyarakat tentang perkembangan dalam ilmu falak.
“Contohnya mengenai penggunaan teknologi moden, kaedah cerapan, arah kiblat dan pelbagai lagi aspek penting dalam menyokong ketepatan hukum dan amalan umat Islam.
“Malah panel jemputan dapat menjernihkan dan mencerahkan lagi kefahaman kita terhadap ilmu falak,” ujarnya.
Beliau yang mewakili Yang Dipertua Maidam, Dato’ Shaikh Harun Shaikh Ismail berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Bulan Falak Malaysia Peringkat Negeri Terengganu di Dewan Auditorium, Jabatan Hal Ehwal Agama Negeri Terengganu di sini, semalam.
Mengulas lanjut, beliau turut merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada pihak penganjur atas usaha yang begitu gigih mengatur program yang amat bertepatan dengan keperluan masa kini.
“Ilmu falak bukan sahaja berkaitan dengan pengiraan waktu solat atau penentuan awal Ramadan dan 1 syawal tetapi ia juga cabang ilmu yang mencerminkan keagungan ciptaan Allah S.W.T.
“Kegemilangan tamadun Islam terdahulu banyak dipandu oleh kehebatan ilmuan falak seperti Ibnu Yunus yang secara tidak langsung membuktikan Islam sangat menekankan kepentingan ilmu dan ketepatan dalam melakukan amal ibadah,” ujarnya.
Justeru, beliau mengharapkan program sebegini akan terus diperkasa dan menjadi contoh kepada negeri-negeri lain dalam memartabatkan ilmu falak sebagai teras kecemerlangan umat Islam.
30 Jun 25
118
Kayak Fishing Antarabangsa Terengganu Tarik Minat Thailand, Singapura, Brunei dan Laos
KEMAMAN, 29 Jun – Penganjuran Kayak Fishing International Terengganu Challenge 2025 (KFIT2025) di Pantai Teluk Kalong, Kijal berjaya menarik penyertaan peserta dari luar negara termasuk Thailand, Singapura, Brunei dan Laos.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata kejohanan tersebut bukan sekadar aktiviti memancing, tetapi satu fenomena yang menggabungkan elemen sukan lasak, rekreasi dan pelancongan.
“Terengganu bukan sahaja terkenal dengan keindahan alam semula jadi, tetapi turut kaya dengan warisan budaya yang unik.
“Kejohanan seperti ini menjadi platform terbaik untuk memperkenalkan negeri kita kepada dunia,” katanya ketika berucap pada program berkenaan semalam.
Razali berkata, penganjuran itu membuktikan bahawa potensi besar Terengganu sebagai hab pelancongan sukan air bertaraf antarabangsa.
“Ia selari dengan hasrat kerajaan negeri untuk merancakkan sektor pelancongan melalui penganjuran program berimpak tinggi.
“Saya merakamkan penghargaan kepada GL Kayak Fishing Club selaku penganjur bersama sokongan Pejabat Daerah Kemaman, Tourism Malaysia, serta agensi-agensi kerajaan yang terlibat dalam menjayakan program ini,” katanya.
Tambah beliau, kerajaan negeri menyokong penuh penganjuran program sebegini kerana ia menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi setempat khususnya kepada peniaga, pengusaha homestay, dan industri pelancongan.
“Saya menjemput para peserta dan pengunjung untuk menikmati pelbagai produk pelancongan dan sajian tradisional negeri seperti Lemang Kijal, nasi dagang, Ikan Celup Tepung (ICT) serta keropok lekor cicoh colek (KLCC).
“Insya-Allah, kejohanan ini menjadi antara acara utama pelancongan sukan negeri dan dijangka terus berkembang sebagai acara tahunan bertaraf antarabangsa,” ujarnya.
Untuk makluman, program tersebut turut diserikan dengan aktiviti sampingan seperti Geng Lipak FMC 3.0, Food Fest dan sesi perkongsian ilmu, menjadikannya bukan sahaja medan pertandingan tetapi juga sebagai platform membina jaringan dan mempromosikan Terengganu sebagai destinasi pelancongan pilihan.
29 Jun 25
786
Artis Ternama dan UAI Bakal Gegarkan TIBW 2025 Julai Ini
KUALA LUMPUR, 29 Jun – Terengganu International Bike Week (TIBW) 2025 bakal menjadi medan luar biasa apabila menghimpunkan nama-nama besar dari dunia hiburan dan dakwah dalam satu pentas yang sama.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri, Datuk Razali Idris berkata acara yang dijadual berlangsung dari 2 hingga 6 Julai 2025 di Dataran Shahbandar, Kuala Terengganu itu bakal dimeriahkan dengan persembahan artis terkenal tanah air seperti Dato’ Hattan, Hazama dan Aweera, selain slot istimewa Sembang Santai bersama ikon dakwah tersohor, Ustaz Azhar Idrus bersama Zizan Razak.
“Pendekatan seimbang ini membuktikan komitmen kerajaan negeri untuk menjadikan TIBW bukan hanya tumpuan golongan peminat motor, tetapi juga keluarga dan komuniti umum.
“TIBW 2025 bukan sahaja akan menghiburkan, malah menitikberatkan dalam aspek keagamaan. Inilah keunikan Terengganu,” katanya ketika Sidang Media Majlis Peluncuran TIBW 2025 yang berlangsung di Ace Café Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Turut hadir, Tengku Sri Temenggung Raja Terengganu, Dato’ Seri Tengku Baharuddin Ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah.
Razali berkata, selain persembahan pentas, acara lain seperti ‘stunt show’, ‘slow race’, ‘auto show’, persembahan ‘Brass Band’, jualan usahawan tempatan serta kehadiran lebih 40 kelab permotoran dari dalam dan luar negara bakal memeriahkan lagi festival itu.
‘Dengan tema ‘Maghi Awal, Balik Lambat’, penganjur menyasarkan lebih 150,000 pengunjung, satu lonjakan besar berbanding kehadiran 10,000 orang pada edisi 2024.
‘Orang ramai boleh mengikuti info terkini TIBW 2025 melalui saluran rasmi media sosial Beautiful Terengganu Malaysia dan Terengganu Bike Week,” ujarnya.
29 Jun 25
2253
Penguatkuasa Agama Pantau Kubur Nurly Elak Amalan Khurafat
KUALA TERENGGANU, 29 Jun – Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) melalui Unit Penguatkuasaan Pejabat Agama Daerah Besut akan melakukan pemantauan berkala bagi memastikan tiada sebarang perbuatan khurafat berlaku di kawasan kubur arwah Nurly Shahirah Azman, mangsa bahas bas pelajar UPSI.
Ketua Penolong Pesuruhjaya Bahagian Penguatkuasaan JHEAT, Aizi Saidi Abd Aziz berkata, pemantauan itu adalah sebahagian daripada usaha mengekang sebarang aktiviti yang bercanggah dengan hukum syarak di kawasan tanah perkuburan.
Menurutnya, pihaknya memberi amaran tegas bahawa mana-mana individu yang didapati melakukan perbuatan khurafat akan dikenakan tindakan di bawah Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu 2001.
“Seksyen 3A – Perbomohan dan Sihir memperuntukkan bahawa mana-mana individu atau pusat rawatan yang melakukan atau menjalankan amalan perbomohan, sihir, atau apa-apa perbuatan bercanggah dengan hukum syarak boleh dikenakan hukuman jika disabitkan kesalahan.
“Hukuman itu meliputi denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun, atau kedua-duanya sekali,” katanya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) hari ini.
Terdahulu, tular di media sosial satu hantaran oleh kenalan ahli keluarga mangsa yang dikenali sebagai Ahmad Nazrul, yang meluahkan rasa kecewa dan terkilan apabila segelintir individu mengambil kesempatan melakukan amalan khurafat ketika menziarahi kubur arwah Nurly.
Antara perbuatan yang dikesali termasuk tindakan individu tertentu yang mengambil tanah dari kubur arwah, kononnya untuk membantu menyelesaikan urusan kehidupan mereka.
Dalam satu hantaran berasingan, Ahmad Nazrul memaklumkan bahawa tali penghadang telah dipasang mengelilingi kubur arwah sebagai inisiatif ahli keluarga bagi mengelakkan kawasan tersebut dicemari dengan unsur syirik dan khurafat.
Dalam pada itu, wakil keluarga Allahyarhamah Nurly memaklumkan bahawa mereka hanya menerima kunjungan tetamu dari jam 9 pagi hingga 6 petang setiap hari, dan tidak akan menerima sebarang kunjungan pada 2 hingga 5 Julai atas sebab-sebab tertentu.
29 Jun 25
240
Terengganu Rayu Kerajaan Persekutuan Tangguh Pelaksanaan SST
KUALA TERENGGANU, 29 Jun – Kerajaan Persekutuan dirayu menangguhkan pelaksanaan peluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) daripada 1 Julai 2025 kepada tarikh lain untuk memberi lebih banyak persediaan kepada semua pihak berikutan beberapa aspek yang masih memerlukan penjelasan.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Dato’ Ariffin Deraman berkata, kerajaan negeri turut mencadangkan agar peluasan SST dilaksanakan dengan kadar lebih rendah, sebanyak empat peratus dalam tempoh dua tahun pertama (2026–2027) bagi meringankan beban cukai terhadap perniagaan dan pengguna.
Menurutnya, langkah itu bertujuan memberi lebih banyak masa kepada para peniaga dan pengguna untuk membuat persediaan menghadapi situasi ekonomi yang dijangka tidak menentu akibat pelaksanaan cukai tersebut.
“Kadar yang kekal rendah dalam pelaksanaan SST akan mengundang pertumbuhan ekonomi negara apabila para peniaga masih berkeupayaan mengembangkan perniagaan dengan keuntungan yang munasabah, dan harga barang tidak membebankan pengguna kerana kuasa beli mereka masih tidak terjejas.
“Tahap kuasa beli pengguna di Malaysia dipengaruhi oleh pelbagai faktor ekonomi dan sosial, termasuk inflasi, kadar pengangguran, pertumbuhan gaji serta kestabilan politik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah beliau, kadar hutang isi rumah Malaysia masih tinggi iaitu kira-kira 86 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), sekali gus mengehadkan keupayaan berbelanja dalam kalangan rakyat.
Ujarnya lagi, kajian Bank Negara Malaysia dan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan bahawa golongan B40 dan M40 mengalami penurunan kuasa beli, manakala T20 masih mempunyai daya belian yang stabil.
“Simpanan kebanyakannya digunakan untuk keperluan asas, bukan untuk pembelian berasaskan kehendak (wewenang). ‘Purchasing Power Parity’ (PPP) Malaysia dianggarkan sekitar RM135,313.42 pada tahun 2024, mencerminkan kuasa beli yang sederhana,” katanya.
Menurut Ariffin, kuasa beli pengguna di Malaysia kini sedang tertekan akibat inflasi, gaji yang tidak mencukupi serta kos sara hidup yang tinggi.
“Namun, dengan bantuan kerajaan dan pertumbuhan ekonomi yang stabil, terdapat harapan untuk pemulihan secara beransur-ansur,” jelas beliau lagi.
Justeru itu, katanya, kerajaan persekutuan perlu membuat pertimbangan sewajarnya terhadap permohonan beberapa pihak termasuk Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) berhubung penangguhan pelaksanaan SST tersebut demi kebaikan rakyat.
29 Jun 25
6235
10,000 ‘Y Suku’, ‘Y16’ Gegar Litar Gong Badak
KUALA NERUS, 29 Jun – Lebih 10,000 pemilik motosikal Yamaha Y15ZR (Y Suku) dan Yamaha Y16ZR (Y16) dari seluruh negara membanjiri Litar Permotoran Gong Badak semalam sempena penganjuran Cara Geng Y Members 2.0 yang berlangsung dengan penuh meriah.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Hishamuddin Abdul Karim berkata, Kerajaan Negeri Terengganu amat mengalu-alukan kehadiran peserta yang datang dari pelbagai negeri untuk menyertai acara komuniti permotoran tersebut.
“Terima kasih atas kehadiran semua pemilik Y Suku dan Y16 ke negeri Terengganu. Semoga segala urusan permusafiran sepanjang berada di sini dipermudahkan oleh Allah SWT,” katanya ketika hadir menyantuni peserta.
Menurut beliau lagi, pihak kerajaan berharap setiap peserta yang hadir menerima layanan baik daripada rakyat Terengganu serta membawa pulang kenangan manis sepanjang berada di negeri ini.
Beliau turut merakamkan ucapan tahniah kepada penganjur kerana berjaya menganjurkan program tersebut untuk kali kedua, serta berharap agar sebarang kelemahan sebelum ini telah diperbaiki.
“Sekiranya Terengganu terus menjadi tuan rumah pada masa akan datang, kita harap penganjuran ini dapat dipertingkatkan lagi dan mampu memberikan pengalaman terbaik kepada semua peserta,” tambahnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis perasmian penutup program, turut diserikan dengan hadiah cabutan bertuah utama berupa sebuah kereta jenama Range Rover, lima buah motosikal Y Suku dan Y16, serta pakej melancong ke Turki dan mengerjakan umrah.
Dalam ucapannya, Hishamuddin turut menitipkan nasihat agar para peserta sentiasa menjaga adab, tatasusila dan mematuhi peraturan jalan raya sepanjang perjalanan pulang ke destinasi masing-masing.
“Sepanjang bermusafir, carilah masjid atau surau untuk kita jadikan tempat sujud kepada Allah sebagai tanda kehambaan.
“Mudah-mudahan ia menjadi saksi di hari akhirat bahawa kita pernah singgah ke rumah Allah SWT ketika berada di negeri Terengganu, dan melabuhkan dahi merendah diri kepada-Nya, sebagai tanda kepatuhan kepada Pemilik segala-galanya,” ujarnya.
29 Jun 25
2086