lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

1,300 Peserta Sertai Kejohanan Festival Memanah
1,300 Peserta Sertai Kejohanan Festival Memanah
KUALA TERENGGANU, 29 Jun - 1,300 peserta kanak-kanak dan dewasa mengambil bahagian pada Kejohanan Festival Memanah OWL 916 Terbuka Asia 2025 bertempat di Padang Polo, Terengganu Equestrian Resort (TER), semalam.  Penganjuran kejohanan yang telah dijayakan kerajaan negeri melalui Urus Setia Belia Sukan Dan Pertubuhan Bukan kerajaan (NGO) Terengganu (UBSNT) itu merupakan satu usaha kerjasama erat bersama Gabungan Pemanah Tradisional Terengganu (GAPETER). Dengan tema 'Rapatkan Ukhuwah Sukan Sunnah Diamati', antara objektif utama penganjuran festival tersebut adalah bagi membangunkan sukan sunnah, yang turut melibatkan pendidikan mengenai teknik dan sejarah memanah. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan Dan NGO negeri, Hishamuddin Abdul Karim berkata, kerajaan negeri menyokong perkembangan sukan memanah tradisional yang kini semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat, khususnya golongan belia di Terengganu. "Memanah mula muncul antara aktiviti yang mendapat tempat dan saya amat menyokong usaha-usaha yang dilakukan oleh Persatuan Memanah Tradisional Negeri Terengganu. "Untungnya semua yang terlibat didalam sukan memanah ini, mereka menepati apa yang telah disebut oleh Nabi S.A.W., diantara sukan yang telah disenarai oleh Nabi untuk kita semua belajar dan menguasai," katanya. Menurut beliau, ketiga-tiga sukan yang disebut oleh Nabi S.A.W. (memanah, berkuda dan berenang) kini semakin mendapat perhatian di negeri ini, dengan aktiviti berkuda menjadi yang paling aktif. Bagaimanapun, jelasnya, sukan renang masih menjadi cabaran dari segi pelaksanaan yang menepati syariah, namun pihaknya optimis ia akan dapat dikembangkan secara lebih tersusun suatu hari nanti. "Tinggal lagi satu sukan yang agak sukar untuk kita seliakan, iaitu aktiviti renang. Mudah-mudahan suatu masa nanti insya-Allah aktiviti renang juga bakal menjejaki aktiviti memanah dan aktiviti berkuda pada suatu ketika nanti, insya-Allah," tambahnya. Jumlah keseluruhan 1300 penyertaan itu termasuk peserta daripada Indonesia, Singapura, Brunei, Thailand serta Malaysia, menjadi indikatif kepada penyertaan yang amat menggalakkan. "Saya mengucapkan selamat datang kepada semua, sama ada peserta luar negara mahupun peserta dalam negara.  "Mudah-mudahan pertandingan yang kita anjurkan kali ini akan terus memberikan ruang kepada kita untuk mengasah bakat dan kita mempertajamkan lagi kemahiran memanah yang dituntut oleh Nabi S.A.W. Hishamuddin berkata demikian semasa merasmikan kejohanan yang dijadualkan berlangsung pada 28 Jun sehingga 29 Jun 2025, di sini.  Kejohanan yang dianjurkan pada hari ini merupakan anjuran siri kedua dimana anjuran sebelumnya yang juga berjaya meraih 1000 lebih penyertaan telah dijalankan pada 31 Mei dan 1 Jun 2024, bertempat di lokasi yang sama. Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris pernah menyatakan hasratnya untuk menjadikan acara memanah tradisional sebagai produk pelancongan negeri. "Acara memanah tradisional memang kita hendak masukkan dalam kalendar pelancongan negeri, saya sedang buat penelitian mendapatkan jumlah berapa pembuat busur, pemanah tradisional dan pemain yang sudah berada di taraf antarabangsa. "Dari Iran pun ada, di sebelah Timur Tengah juga ada peminatnya sama ada memanah sahaja atau memanah berkuda. Saya fikir memanah ini memang kita akan kumpul persatuan mereka untuk dijadikan satu produk baru pelancongan Terengganu", nyatanya.
29 Jun 25
140
Nelayan Hilang : Masjid, Surau Adakan Solat Hajat
Nelayan Hilang : Masjid, Surau Adakan Solat Hajat
KUALA TERENGGANU, 27 Jun – Usaha mencari Mohd Nor Abdullah, nelayan yang dilaporkan hilang sejak beberapa hari lalu di perairan berhampiran Pulau Bidong, terus dipergiatkan dengan sokongan pelbagai pihak termasuk pendekatan kerohanian oleh masyarakat setempat. Ahli Dewan Undangan Negeri Tepuh, Hishamuddin Abdul Karim berkata, seiring pencarian fizikal yang dijalankan agensi penyelamat dan pasukan sukarelawan, masyarakat di sekitar turut memainkan peranan penting dengan mengadakan solat hajat, bacaan Yasin dan doa selamat sejak malam pertama kehilangan mangsa. "Beberapa buah surau dan masjid di kawasan sekitar pusat operasi telah menganjurkan program kerohanian tersebut secara berjemaah, memohon pertolongan dan petunjuk daripada Allah SWT agar pencarian dipermudahkan serta mangsa ditemukan dalam keadaan selamat. “Hanya kepada Allah SWT tempat kita berserah. Doa dan harapan kita adalah agar misi pencarian esok hari lebih dipermudahkan dan membuahkan hasil,” ujar beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri selepas meninjau operasi CARILAMAT hari ini. Dalam perkembangan terkini, Hishamuddin memaklumkan pihak Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) telah menemui beberapa peralatan dipercayai milik mangsa, termasuk tong ikan dan pelapik duduk bot yang dikenal pasti oleh ahli keluarga.  "Namun, mangsa dan bot miliknya masih belum dijumpai. "Sementara itu, satu pasukan sukarelawan penyelam turut menjalankan pencarian bawah permukaan di kawasan berhampiran lokasi terakhir mangsa dipercayai berada. "Masyarakat diseru untuk terus mendoakan keselamatan Mohd Nor dan kekuatan buat keluarganya yang menanti dengan penuh harapan," tambah beliau. Operasi CARILAMAT mangsa ditangguhkan 7.30 malam dan akan dksambung semula 7 pagi esok.
27 Jun 25
1453
Penghijrahan Rasulullah Asas Tamadun Gemilang – MB Terengganu
Penghijrahan Rasulullah Asas Tamadun Gemilang – MB Terengganu
KUALA TERENGGANU, 27 Jun – Sambutan Maal Hijrah setiap tahun mengangkat sebuah peristiwa agung dalam sejarah Islam yang wajar dihayati secara menyeluruh oleh umat Islam. Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, penghijrahan Rasulullah SAW bukan sekadar peristiwa fizikal semata-mata, tetapi membawa misi besar dalam membina tamadun yang gemilang berasaskan syiar Islam. “Peristiwa hijrah mengajar kita bahawa perubahan besar tidak berlaku dengan kekuatan fizikal sahaja, tetapi menuntut kesabaran, strategi, kebijaksanaan serta keimanan yang mendalam. “Rasulullah SAW dan para sahabat berhijrah bukan kerana kelemahan, tetapi kerana visi yang jelas untuk membina tamadun yang berteraskan tauhid dan keadilan,” ujarnya. Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Terengganu 1447H yang berlangsung di Wisma Darul Iman, di sini hari ini. Majlis tersebut telah disempurnakan perasmiannya oleh Yang di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin yang berkenan mencemar duli berangkat ke majlis berkenaan. Keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Muda Terengganu itu turut diiringi Yang Amat Mulia Tengku Seri Setia Mahkota Raja dan Yang Amat Mulia Tengku Puteri Daulath Raja. Yang di-Pertuan Muda Terengganu turut berkenan mengurniakan hadiah dan anugerah kepada pemenang-pemenang dan tokoh-tokoh sempena Maal Hijrah bagi tahun ini.  
27 Jun 25
208
PB Hotel Terima Anugerah Chalet Resort Halal Terbaik
PB Hotel Terima Anugerah Chalet Resort Halal Terbaik
KUALA TERENGGANU, 26 Jun – Paya Bunga Hotel Terengganu melakar sejarah dalam bidang perhotelan apabila diumumkan sebagai penerima Anugerah Chalet / Resort Halal Terbaik sempena Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Terengganu 1447H / 2025M. Pengurus Besar PB Hotel, Abdul Hadi Alias, berkata anugerah itu menjadi bukti pengiktirafan kerajaan negeri terhadap usaha berterusan pihak hotel dalam memperkukuh elemen mesra Muslim dalam sektor pelancongan dan hospitaliti negeri. "Pengiktirafan berprestij ini merupakan satu penghormatan yang cukup besar kepada seluruh warga kerja Paya Bunga Hotel. "Mereka sentiasa komited dalam menyediakan perkhidmatan hospitaliti yang mematuhi piawaian halal dan patuh syariah, sejajar dengan visi untuk menjadi hotel Mesra Muslim unggul di rantau ini," ujarnya dalam satu kenyataan hari ini. Terdahulu, Yang Di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail telah berkenan menyampaikan anugerah berprestij itu di Dewan Besar Wisma Darul Iman, hari ini. Hadir sama, Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah Paya Bunga Hotel, Yang Berhormat Haji Ahmad Shah Muhamed.  Abdul Hadi berkata pihaknya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak JHEAT dan kerajaan negeri atas kepercayaan ini. "Semoga anugerah ini menjadi pembakar semangat kepada seluruh warga kerja PB Hotel untuk terus memberi perkhidmatan yang cemerlang dan berintegriti tinggi," tambahnya lagi. Sementara itu, Pencipta Kandungan Paya Bunga Hotel, Muhammad Akid Hafriz Muhamad, juga  telah dinobatkan sebagai pemenang bagi kategori Video Pendek Terbaik, sekaligus membawa pulang wang tunai berjumlah RM3,000 dan sijil penghargaan. 
27 Jun 25
258
Ceramah Ustaz Abdul Somad Gamit Kehadiran Lautan Manusia
Ceramah Ustaz Abdul Somad Gamit Kehadiran Lautan Manusia
BESUT, 27 Jun — Sambutan ambang Maal Hijrah 1447H di Dataran Tapak Pasir Tani Kuala Besut malam tadi mencatat sejarah tersendiri apabila lautan manusia membanjiri kawasan tersebut untuk menghadiri ceramah istimewa oleh Tokoh Dakwah Nusantara, Prof. Dr. Ustaz Abdul Somad Batubara sekali gus mencipta Fenomena yang tersendiri.  Kehadiran beliau bukan sahaja menyerlahkan aura keilmuan dan semangat perjuangan Islam, malah menghidupkan kembali roh penghijrahan Rasulullah SAW dalam konteks masa kini. Ribuan hadirin dari segenap pelusuk negeri, terdiri daripada pelbagai lapisan umur dan latar belakang telah berkumpul bagi menyelami hikmah dakwah dan pesanan rohani yang disampaikan dengan gaya penyampaian yang menyentuh hati. Majlis dimulakan dengan bacaan doa awal tahun yang dipimpin oleh pendakwah terkemuka, Ustaz Mokhtar Yacoob, sebagai simbolik memohon keberkatan Ilahi dan petunjuk dalam melangkah ke tahun Hijrah yang baharu. Dalam ucapan yang penuh keinsafan dan harapan, Ustaz Abdul Somad menyatakan rasa takjubnya terhadap ketentuan Ilahi yang mempertemukan beliau dengan masyarakat Terengganu pada detik penting ini "Semasa kami menyusun jadual ini, tidak terlintas di fikiran saya, kita akan menyambut malam tahun baharu Hijrah di Terengganu. "Rupa-rupanya sudah tertulis di Luh Mahfuz, tahun baharu ini berjumpa dengan orang-orang baik, di negeri yang baik, mempunyai kerajaan yang baik. Maka saya optimis, saya semangat, tahun ke hadapan ini kita semua lebih baik," ujarnya.  Program rohani ini turut mendapat sokongan penuh daripada pimpinan negeri dan daerah yang hadir bagi meraikan kebangkitan semangat ummah, antaranya,  Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi merangkap Dato' Dr Azman Ibrahim, Ahli Parlimen Besut, Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh, serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) setempat.  Dalam pada itu, ADUN Kuala Besut Azbi Salleh, menyampaikan penghargaan dan kesyukuran atas kehadiran ribuan masyarakat yang menjadikan sambutan ini suatu kejayaan luar biasa. “Setinggi-tinggi kesyukuran kita panjatkan ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin dan kurnia-Nya kita dapat berkumpul sempena sambutan Maal Hijrah pada hari yang penuh barakah ini," katanya.  Beliau juga turut menyeru semua agar menjadikan hijrah bukan hanya sekadar sejarah, tetapi sebagai agenda perubahan. “Maal Hijrah bukan sekadar mengingati peristiwa hijrah Rasulullah SAW dari Mekah ke Madinah, tetapi membawa maksud yang jauh lebih mendalam  agar kita melakukan penghijrahan dalam diri daripada kegelapan kepada cahaya, keinsafan daripada kelalaian, menuju ke arah ketakwaan yang sejati. "Jutaan terima kasih diucapkan kepada Jabatan Amal Malaysia dan barisan anggota polis yang telah memainkan peranan penting melancarkan pergerakan dan kawalan trafik bagi memastikan kelancaran, keselamatan dan keselesaan semua yang hadir. "Majlis ini bukan sahaja membuktikan kebangkitan roh ukhuwah dalam kalangan rakyat Besut, bahkan menjadi simbol perpaduan dan keazaman masyarakat menuju kehidupan yang lebih diberkati, berlandaskan iman dan taqwa dalam melangkah ke tahun baharu Hijrah," ujar beliau. 
27 Jun 25
26714
Pakar Nefrologi Tokoh Maal Hijrah Terengganu
Pakar Nefrologi Tokoh Maal Hijrah Terengganu
KUALA TERENGGANU, 27 Jun – Pakar Perunding Nefrologi dan Ketua Jabatan IDMD Institut Jantung Negara (IJN), Datuk Dr. Ghazali Ahmad diumumkan sebagai penerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah 1447H sempena Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Terengganu 2025 yang berlangsung di Wisma Darul Iman, hari ini. Beliau yang memiliki pengalaman hampir empat dekad dalam bidang perubatan, khususnya dalam Nefrologi dan Transplantasi, merupakan antara tokoh penting dalam landskap kesihatan Malaysia dan rantau Asia Pasifik. Dr. Ghazali juga merupakan antara pakar yang terlibat dalam merawat Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Abdul Hadi Awang ketika menerima rawatan di IJN baru-baru ini, selain pernah memberikan khidmat perubatan kepada tokoh-tokoh besar negara seperti mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad serta beberapa menteri kanan yang lain. “Pada tahap apa sekalipun, apabila seseorang datang mendapatkan rawatan, dan kita pula memiliki kepakaran serta kemahiran, maka itu adalah ruang untuk kita menyumbang kepada negara. “Ramai pemimpin negara dari pelbagai peringkat telah saya rawat. Ia satu pengalaman sangat berharga kerana dalam masa yang sama saya memainkan peranan sebagai rakyat Malaysia yang ingin berbakti kepada tanah air,” jelas beliau. Tambahnya lagi, adalah sangat penting bagi negara untuk memiliki kepakaran dalam bidang kritikal seperti perubatan, bagi mengelak kebergantungan kepada negara luar yang mungkin mempunyai kepentingan tersendiri. “Bayangkan jika pemimpin atau Raja-raja kita mengalami masalah kesihatan dan kita terpaksa bergantung kepada negara luar untuk rawatan. Dalam situasi tertentu, kuasa asing boleh menekan kita dan menyebabkan kita tunduk demi mendapatkan rawatan yang sepatutnya kita sendiri mampu sediakan jika memiliki kepakaran,” katanya. Mengenai anugerah yang diterima, beliau merasakan bahawa penghargaan itu sangat berharga dan sangat menghargainya. "Sebenarnya berat nak terima anugerah ini sebab saya rasa sumbangan saya tidaklah seberapa dan saya rasa lebih ramai warga negeri Terengganu yang telah berbakti dengan lebih cemerlang bukan sahaja di peringkat negeri tetapi di peringkat nasional dan antarabangsa. "Bagaimanapun, saya bersyukur insya-Allah dengan anugera ini akan meningkatkan lagi azam dan usaha saya untuk memperkasa ummah di saat kita tahu umat Islam diganyang di peringkat antarabangsa jadi kita mesti sama-sama memperkuatkan di antara satu sama lain dengan mengabungkan pelbagai kepakaran," ujarnya yang merupakan anak jati Kijal. Sepanjang empat dekad terlibat dalam dunia perubatan beliau telah menyandang beberapa jawatan antaranya menjadi Ahli Jawatankuasa Eksekutif, Persatauan Trasplantasi Asia (2017-2025), Ahli Lembaga Penasihat, Doctor Against Forced Organ Harvesting (DAFOM) (2011-2025) Selain itu belia juga merupakan Ahli Jawatankuasa Penasihat Korean Vitalink International (2024-2025), Penasihat Nefrologi, Yayasan Buah Pinggang Papua New Guinea (2021-2025), Ahli Jawatankuasa Penasihat Perubatan, Lembaga Zakat Selangor.  Antara anugerah tertinggi yang  diperolehi ialah Anugerah Chugh-kirpal- Persatuan Nefrologi Asia Pasifik (2021), Anugerah Tan Sri Abu Bakar-Persatuan Nefrologi Malaysia (2019).  
27 Jun 25
2476
Festival Kahwin Mendonia Didik Rancang Rumah Tangga Berhemah
Festival Kahwin Mendonia Didik Rancang Rumah Tangga Berhemah
KUALA TERENGGANU, 26 Jun – Festival Kahwin Mendonia 2025 bukan sekadar pameran perkahwinan seperti kebiasaannya, sebaliknya berperanan sebagai platform pendidikan penting dalam membantu masyarakat khususnya golongan muda  merancang kehidupan rumah tangga dengan lebih tersusun, berhemah dan mampu milik. Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Negeri, Zuraida Md Noor berkata, festival tersebut memberi penekanan kepada aspek pengurusan kewangan, pemilihan pakej bajet serta perkhidmatan vendor yang mesra poket, agar bakal pengantin tidak terjerumus dalam belanja melebihi kemampuan. “Apa yang ingin saya tekankan, festival ini bukan hanya ruang pameran tetapi medan menimba ilmu – khususnya berkaitan pengurusan perkahwinan. “Kita mahu bantu anak-anak muda merancang majlis dengan baik, elak berbelanja berlebihan, dan pada masa sama memastikan mereka bersedia dari sudut ilmu dan tanggungjawab sebelum melangkah ke alam rumah tangga,” jelasnya. Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang berkata demikian ketika ditemui pihak media selepas merasmikan Festival Kahwin Mendonia 2025 di Ombak Payang, Mayang Mall, semalam.  Zuraida menambah, festival itu menghimpunkan pelbagai penyedia perkhidmatan perkahwinan seperti pelamin, katering, kad jemputan, pakej bulan madu dan khidmat guaman, menjadikannya sebagai ‘one-stop centre’ lengkap untuk keperluan pasangan yang ingin mendirikan rumah tangga. “Bagi saya, ini satu inisiatif yang sangat bagus dan perlu diteruskan sebagai agenda tahunan. Namun, perlu ada perancangan lebih kemas bagaimana kita nak menarik lebih ramai komuniti dan penduduk setempat hadir ke sini,” ujarnya. Menurutnya lagi, program keagamaan atau forum kekeluargaan yang turut berlangsung pada petang itu merupakan satu lagi nilai tambah penting kepada festival berkenaan. “Ia bukan sekadar lawatan ke reruai pameran, tetapi juga medan percambahan ilmu berkaitan perkahwinan dan pengurusan keluarga.  "Ini amat penting kerana institusi perkahwinan hari ini semakin rapuh. Jadi, festival ini memberi manfaat berganda kepada pengunjung,” katanya. Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar penganjuran festival seumpama ini diperluaskan kepada komuniti luar bandar melalui kerjasama dengan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), agensi pembangunan wanita dan keluarga serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan. “Kita boleh perbanyakkan lagi klinik guaman, seminar kekeluargaan, kaunseling dan pengurusan kewangan. Ia boleh dijadikan kesinambungan kepada program akan datang supaya masyarakat dapat lebih banyak ilmu yang relevan dan berguna,” katanya. Tambah beliau, festival itu bukan sahaja memberi manfaat kepada pasangan bakal pengantin, tetapi juga membuka peluang kepada para usahawan tempatan memperkenalkan produk serta perkhidmatan mereka. “Impaknya, saya mahu perkahwinan dirancang dengan baik, teliti dan berhemah dari segi perbelanjaan.  “Dalam masa yang sama, kita bantu vendor memperkenalkan produk mereka dan membangunkan keusahawanan, inilah sumbangan kita kepada pemerkasaan ekonomi komuniti hari ini,” tambah Zuraida.  
27 Jun 25
82
Terengganu Sedia Terima Kapal 'Cruise' Mewah
Terengganu Sedia Terima Kapal 'Cruise' Mewah
KUALA TERENGGANU, 27 Jun – Buat pertama kali dalam sejarah, Terengganu bakal membuka pintu kepada ribuan pelancong bertaraf jutawan menerusi industri pelayaran mewah yang dijangka berlabuh di pesisirnya seawal tahun hadapan.  Dengan infrastruktur pelabuhan yang telah dinaik taraf dan kekayaan destinasi yang masih belum diteroka dunia, negeri ini bersedia melangkah ke pentas pelancongan antarabangsa, bukan sekadar sebagai tempat singgah, tetapi sebagai nadi baharu ekonomi laut dan mercu baharu pelabuhan pelancongan Malaysia. Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Dato’ Ariffin Deraman berkata, usaha membawa industri pelayaran ke Terengganu telah dimulakan sejak empat tahun lalu, iaitu sebelum pandemik Covid-19, namun tertangguh kerana isu teknikal seperti pendalaman dasar laut, masalah benteng ombak (breakwater), serta struktur drawbridge yang menghalang kapal besar. "Cruise akan ke Terengganu awal tahun depan. Perancangan ini telah dirintis sejak dua tahun sebelum pandemik. "Ia dibincang dalam mesyuarat EXCO kerajaan negeri dan mendapat sokongan, cuma tertangguh akibat cabaran fizikal dan teknikal yang kini sudah ditangani," katanya pada sidang media selepas program Cruise Familiarization Tour di Permai Hotel, semalam. Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif MMC Ports, Dato' Azman Shah Mohd Yusuf, Ketua Pegawai Eksekutif Duyong Cruise Holidays Sdn Bhd, Kapten Mohd Tarmizi Mejam. Tambah beliau, Terengganu kini memiliki tiga jeti yang telah dinaik taraf, Jeti EPIC di muara Kuala Terengganu dengan kos naik taraf lebih RM30 juta, Jeti Duyong Marina dan Jeti Taman Tamadun Islam (TTI), yang bersedia menyambut pelancong dari seluruh dunia. "Walaupun Jeti EPIC lazimnya untuk industri minyak dan gas, mereka bersedia menyokong pelancongan. Duyong Marina kita letakkan sebagai jeti utama. "Kita telah buat kajian kedalaman, arus, keselamatan, dan yakin tiga jeti ini mampu terima hingga tiga kapal besar serentak," jelas beliau. Ariffin berkata, Cruise Fam Tour adalah langkah penting memperkenalkan Kuala Terengganu kepada penggiat industri pelayaran antarabangsa, dengan sasaran awal kepada kapal bersaiz kecil dan sederhana yang mampu membawa ribuan orang pelancong dan kru. "Saya percaya kehadiran pelancong akan beri impak langsung kepada usahawan kita, dari Pasar Payang, TTI, Muzium Negeri, Setiu Wetland, hingga ke pulau-pulau kita yang menawan. "Ramai pelancong Cruise adalah jutawan yang biasa melancong ke seluruh dunia. Bila mereka jumpa destinasi baharu, mereka akan datang lagi," katanya lagi. Menurutnya, walaupun mewakili Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Datuk Razali Idris yang masih dalam perjalanan pulang dari Makkah, beliau turut memberikan komitmen penuh sebagai EXCO yang menjaga portfolio keusahawanan. "Ini bukan pelancongan biasa, tapi pelaburan masa depan. Kita buka laluan untuk cruise ‘high-end’ selepas kapal sederhana mula berlabuh. "Kita mahu Kuala Terengganu jadi perintis, kalau berjaya, negeri-negeri lain boleh ikut," ujarnya. Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MMC Ports, Dato’ Azman Shah Mohd Yusuf menjelaskan tumpuan kini ialah kepada kapal kategori explorer, premium dan luxury yang mengutamakan pengalaman baharu dan sanggup membayar lebih untuk destinasi eksklusif. "Di Kuala Terengganu sahaja, kita boleh tawarkan tujuh jenis ekspedisi, dari warisan, alam semula jadi, kulinari, aktiviti lasak hingga ke budaya pesisir. "Cruise bukan lagi untuk golongan pencen. Sekarang ramai pelancong muda dan keluarga besar yang melancong bersama, impaknya berlapis," katanya. Menurut beliau, Malaysia kini sedang merangka rangkaian pelabuhan strategik agar negara dapat muncul sebagai Homeport, pusat permulaan pelayaran pelancong antarabangsa. "Kita sedang bina rangkaian pelabuhan Malaysia supaya negara ini jadi Homeport, pelancong mendarat, menginap di hotel, naik cruise dan pulang ke negara asal melalui lapangan terbang. "Destinasi yang hanya memberi lawatan 8 jam mesti susun aktiviti padat dan memikat supaya pelancong mahu kembali. Tapi kalau cruise mewah, mereka akan bermalam, itu lebih tinggi nilai ekonominya," tambahnya. Beliau turut berkongsi pengalaman menyertai Persidangan Cruise Global di Miami, April lalu. "Sebelum sempat saya tandatangan apa-apa, sudah ramai bertanya tentang Kuala Terengganu. "Bila kita sebut tentang tarikan baharu, mereka terus tertarik. Memang ada pasaran, kalau kita berjaya di sini, pantai timur akan hidup," ujarnya.
26 Jun 25
5492
Lebih 500 Jemaah Hadiri Sambutan Ambang Maal Hijrah
Lebih 500 Jemaah Hadiri Sambutan Ambang Maal Hijrah
HULU TERENGGANU, 26 Jun - Majlis Sambutan Ambang Maal Hijrah 1447H peringkat Negeri Terengganu diraikan dengan kehadiran lebih 500 jemaah di Masjid Pekan Ajil, hari ini. Bertemakan 'Membangun Ummah Madani', majlis tersebut dimulakan dengan bacaan al-Mathsurat diketuai Imam Besar Negeri Terengganu, Muhammad Ash- Shafie Abd Manan. Seterusnya, beliau mengetuai bacaan doa akhir tahun sebelum menunaikan solat Maghrib secara berjemaah. Majlis diteruskan dengan ucapan perasmian oleh Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Terengganu, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi, mewakili Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar. Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil, Maliaman Kassim  ADUN Kuala Berang, Dr Mamad Puteh ADUN Telemong, Mohd Zawawi Ismail dan Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) M Rozi Bidin. Turut hadir dalam majlis berkenaan ialah Pegawai Daerah Hulu Terengganu, Mohd Fadli Ngah dan Yang di-Pertua Majlis Daerah Hulu Terengganu, Mohd Nasir Kasim.    
26 Jun 25
75
TDM Berhad Salur Bantuan Buat 200 Asnaf DUN Tepoh
TDM Berhad Salur Bantuan Buat 200 Asnaf DUN Tepoh
KUALA TERENGGANU, 26 Jun - TDM Berhad meraikan seramai 200 asnaf menerusi program TDM Bersama Masyarakat Tepoh di Dewan Masyarakat Tok Jiring, hari ini  Antara pengisian program termasuk tazkirah Dhuha, perasmian serta penyampaian sumbangan berbentuk barangan keperluan asas dan wang tunai serta pemeriksaan kesihatan percuma oleh Klinik Ikram Gong Badak. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh, Hishamuddin Abdul Karim menyambut baik pelaksanaan program itu yang turut mendapat kerjasama erat Tepoh Care dan Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Tepoh. Katanya, ia bukan sahaja meringankan beban rakyat, tetapi turut memperkukuhkan hubungan antara sektor korporat dan juga masyarakat khasnya komuniti Tepoh. "Apa yang dilakukan oleh TDM pada hari ini bukan sekadar menyampaikan bantuan, tetapi keprihatinan dan semangat kebersamaan yang semakin diperlukan dalam masyarakat kita. "Usaha ini sangat selari dengan tuntutan agama dan lebih penting, ia lahir dari keikhlasan," ujarnya. Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TDM, Najman Kamaruddin berkata, inisiatif ini adalah sebahagian daripada pendekatan berimpak tinggi dalam membudayakan nilai tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat sebagai sebahagian daripada operasi korporat.  "Menyedari realiti peningkatan kos sara hidup, syarikat percaya bahawa kerjasama erat antara kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan komuniti adalah asas kepada kemampanan sosial," ujarnya. Tambah beliau, program CSR ini memberi fokus utama kepada bantuan langsung kepada komuniti, khususnya golongan asnaf, warga emas dan keluarga kurang berkemampuan.  "Sebanyak RM40,000 zakat wakalah syarikat diperuntukkan untuk komuniti Tepoh dan akan dikongsi juga kepada masyarakat melalui program-program kebajikan lain.  "Tepoh adalah peringkat DUN siri ke-7 di mana sebelum ini kami telah pun menjelajah DUN bagi Kota Putera, Jerteh, Ajil, Kuala Besut, Bukit Besi dan Rhu Rendang," ujarnya.
26 Jun 25
128