lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

500 Motosikal Penuhi Dataran Shahbandar Sempena Perasmian TIBW25
500 Motosikal Penuhi Dataran Shahbandar Sempena Perasmian TIBW25
KUALA TERENGGANU, 2 Julai - Sekitar 500 lebih unit motosikal pelbagai jenis sentimeter padu (cc) memenuhi taman komuniti, Dataran Shahbandar, Kuala Terengganu sempena Majlis Perasmian Terengganu International Bike Week 2025 (TIBW25). Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris mengucapkan syabas kepada semua pengunjung yang telah berjaya hadir dalam memeriahkan suasana majlis walaupun dalam keadaan cuaca yang tidak memihak. "Walaupun keadaan cuaca di penghujung ucapan yang begitu agak kurang baik (kerana hujan), secara dasarnya pencapaian kita untuk menterjemahkan sambutan 'bikers' dari negeri Terengganu pada malam ini melebihi 500 buah motorsikal. "Dan saya amat berbangga, insya-Allah dengan kehadiran 'bikers' tempatan ini menandakan satu sokongan yang padu kepada Terengganu International Bike Week 2025 pada malam ini. "Jadi saya yakin dan percaya sasaran kita untuk menerima kunjungan 'bikers' dan juga pelancong yang akan melihat pertunjukan daripada 'International Bike Week' selama lima hari ini akan mencapai sasaran kita seramai 150,000 orang. Beliau berkata demikian kepada pemberita Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) dalam satu sesi sidang media, sebentar tadi. Turut hadir, Pengasas East Coast Motorcycle Club (ECMC), Tengku Sri Temenggung Raja Terengganu, Dato' Sri Tengku Baharuddin Ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah serta Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT), Hilman Hajijan. Mengulas lebih lanjut, Datuk Razali optimis terhadap anggaran kehadiran pengunjung pada tahun ini dapat dicapai walaupun angka tersebut menunjukkan lonjakan 15 kali ganda berbanding kehadiran pengunjung pada tahun sebelumnya. "Saya jangka, insya-Allah ia akan mencapai sasaran tersebut. Berpandukan kepada kerja keras daripada founder ECMC.  "Jadi bagi pihak kerajaan negeri, kita sangat memberi sokongan padu kepada penganjuran yang sangat berprestij seperti ini. "Kalau kita nak bandingkan di negara kita, saya jangka Tengganu International Bike Week lah yang agak besar dan secara tidak langsung ia dapat memberi impak positif kepada rakyat negeri Terengganu," jelasnya. Menurut beliau, selain dari mengunjungi dan menikmati acara-acara yang bakal dipersembahkan TIBW25, penduduk setempat juga berpeluang untuk meningkatkan ekonomi mereka pada masa yang sama. "Kehadiran para pengunjung ke negeri Terengganu bukan setakat untuk melihat ataupun menghadirkan diri dalam Terengganu International Bike Week, tapi dalam masa yang sama, perniaga-perniaga negeri Tengganu dapat berniaga. "Dan destinasi yang terpilih di negeri Terengganu akan dikunjungi oleh rakan-rakan 'bikers' daripada luar negeri dan juga luar negera. "Ini menunjukkan bahawasanya negeri Tengganu adalah negeri wajib singgah kepada 'bikers' dari seluruh negara," ujarnya. Dengan tema 'Maghi Awal, Balik Lambat', program TIBW25 dijadualkan untuk berlangsung selama lima hari bermula 2 Jun 2025 sehingga 6 Jun 20205, di Dataran Syahbandar, Kuala Terengganu.  Acara tahunan tersebut juga bakal dimeriahkan dengan persembahan artis terkenal tanah air serta slot istimewa Sembang Santai bersama ikon dakwah tersohor, Ustaz Azhar Idrus bersama Zizan Razak. Menariknya dalam penganjuran kali ini ialah hadiah utama bagi dua cabutan bertuah berupa satu unit Perodua Axia serta satu unit motorsikal berkuasa tinggi, Ducatti Panigale 959 V2. Orang ramai boleh mengikuti info terkini TIBW25 melalui saluran rasmi media sosial Beautiful Terengganu Malaysia dan Terengganu Bike Week.
02 Jul 25
46
Insiden Letupan Putra Heights: Ahmad Amzad Gesa Tubuh Suruhanjaya Siasatan Bebas
Insiden Letupan Putra Heights: Ahmad Amzad Gesa Tubuh Suruhanjaya Siasatan Bebas
KUALA TERENGGANU, 2 Julai – Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Dato' Ahmad Amzad Hashim menggesa penubuhan segera Suruhanjaya Siasatan Bebas bagi menyiasat insiden letupan paip gas di Putra Heights yang berlaku pada 1 April lalu. Gesaan tersebut dibuat susulan laporan siasatan oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) yang menyimpulkan bahawa tiada unsur kecuaian atau pelanggaran teknikal dikenal pasti. Laporan itu menyatakan punca utama letupan adalah disebabkan oleh faktor geoteknikal seperti tanah lembut, sekali gus menolak kemungkinan berlakunya sabotaj atau kecuaian manusia. Namun menurut beliau, maklumat awal daripada pihak polis mendedahkan bahawa terdapat kerja pengorekan paip kumbahan hanya 30 meter dari lokasi kejadian. "Kerja tersebut melibatkan jentera berat termasuk sebuah excavator yang turut terbenam dalam letupan. Lebih membimbangkan, kawasan tersebut berada dalam zon larangan saluran paip gas, menjadikan aktiviti tersebut satu pelanggaran nyata terhadap peraturan keselamatan. “Anehnya, laporan JKKP langsung tidak menyentuh aspek ini. Malah, identiti pemaju dan kontraktor yang terlibat juga masih belum didedahkan secara rasmi. Ini hanya menimbulkan persoalan sama ada wujud usaha menyembunyikan pihak yang bertanggungjawab,” ujar beliau dalam satu kenyataan, hari ini. Ahmad Amzad turut mempersoalkan ketelusan dan ketelitian siasatan JKKP yang seolah-olah mengabaikan faktor gangguan luaran, sedangkan pemasangan saluran paip gas bertekanan tinggi sepatutnya melalui kajian geoteknikal menyeluruh dan mematuhi spesifikasi teknikal ketat. “Saluran paip ini diselenggara secara berkala dan dipantau berterusan. Teknologi yang digunakan bahkan telah diuji di kawasan yang jauh lebih mencabar seperti dasar laut Terengganu, namun tidak pernah berlaku insiden seumpamanya. Maka, dakwaan bahawa tanah lembut adalah satu-satunya punca kejadian adalah sangat meragukan,” jelasnya. Beliau turut menyifatkan letupan tersebut bukan semata-mata insiden teknikal tetapi satu pelanggaran serius terhadap undang-undang dan keselamatan awam. Katanya, pemaju dan kontraktor yang menandatangani perjanjian pembangunan wajib tampil memberi penjelasan kepada rakyat. "Tindakan mengalihkan kesalahan kepada pihak lain termasuk PETRONAS adalah sangat tidak wajar," ujarnya. Dalam pada itu, beliau turut mempersoalkan sikap membisu Kerajaan Negeri Selangor yang sepatutnya memainkan peranan dalam melulus dan memantau sebarang pembangunan di kawasan sensitif seperti itu. "Kelemahan dalam aspek kelulusan permit, penguatkuasaan zon larangan dan pengesanan aktiviti pengorekan hanya menyerlahkan kelemahan kawal selia negeri. “Tiada maklumat rasmi dikeluarkan berhubung identiti pihak terlibat atau perkembangan siasatan. Sikap berdiam diri ini menggambarkan kegagalan prinsip kebertanggungjawaban dan ketelusan pentadbiran negeri,” katanya lagi. Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan menubuhkan segera Suruhanjaya Siasatan Bebas yang melibatkan pakar kejuruteraan, geoteknik dan perundangan yang berkecuali bagi menyiasat insiden ini secara menyeluruh dan telus. “Rakyat berhak mengetahui kebenaran dan memastikan setiap pihak yang bersalah dipertanggungjawabkan tanpa pengecualian. Laporan penuh JKKP dan maklumat berkaitan perlu didedahkan kepada umum. Kegagalan berbuat demikian hanya akan menjejaskan kepercayaan rakyat terhadap institusi kerajaan,” tegas beliau. 
02 Jul 25
152
Hijrah Bukan Tunggu Sempurna, Tapi Bermula Dengan Sedar
Hijrah Bukan Tunggu Sempurna, Tapi Bermula Dengan Sedar
DUNGUN, 2 Julai - Hijrah bukan tunggu kita sempurna, tapi ia bermula dengan kesedaran untuk jadi lebih baik. Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan Negeri, Dato’ Satiful Bahri Mamat berkata, sambutan Maal Hijrah bukan sekadar menandakan peralihan angka dalam kalendar Islam, tetapi merupakan satu titik tolak untuk umat Islam memperbaharui niat dan melangkah ke arah kehidupan yang lebih diredhai Allah. "Kita mungkin tidak mampu berubah sepenuhnya dalam sehari, tapi niat yang ikhlas dan usaha berterusan itu lebih utama di sisi Allah SWT,” ujarnya. Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Sambutan Awal Muharram 1447H peringkat Daerah Dungun di Masjid Pinang, Paka baru-baru ini. Tambah beliau lagi, umat Islam perlu sentiasa melihat tahun baru hijrah sebagai peluang untuk muhasabah dan memperbetul arah hidup. “Maal Hijrah ini bukan sekadar satu sambutan, tetapi ruang untuk kita baiki diri, baiki hubungan dengan Allah SWT dan sesama manusia, serta bina kekuatan untuk istiqamah dalam perubahan. “Moga tahun ini membawa lebih banyak kebaikan, keberkatan dan kekuatan untuk kita semua. Jangan takut untuk berhijrah, kerana setiap langkah menuju kebaikan, Allah SWT pasti bersama,” katanya. Di samping itu juga, beliau mengajak seluruh masyarakat agar menjadikan tahun hijrah ini sebagai medan memperkukuh iman, akhlak dan ukhuwah dalam masyarakat.  
02 Jul 25
47
Jemaah Paka 'Banjiri' Kuliah Dhuha Ustaz Abdul Somad
Jemaah Paka 'Banjiri' Kuliah Dhuha Ustaz Abdul Somad
DUNGUN, 2 Julai - Ratusan jemaah membanjiri Masjid Taman Hadhari, Paka sempena Kuliah Dhuha istimewa bersama pendakwah tersohor Nusantara, Ustaz Abdul Somad (UAS), yang singgah ke bumi Terengganu dalam rangka siri jelajah dakwahnya baru-baru ini. Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan Negeri, Dato’ Satiful Bahri Mamat melahirkan rasa syukur dan kagumnya atas sambutan luar biasa dari masyarakat setempat terhadap kuliah tersebut. "Alhamdulillah pagi ini Paka dibanjiri dengan limpahan jemaah. "Kehadiran Ustaz Abdul Somad bukan sahaja menggamit ramai orang, bahkan membuka hati-hati kita untuk kembali menghayati erti kehidupan beragama dengan lebih mendalam,” katanya. Beliau berkata demikian ketika menghadiri Kuliah Dhuha Khas Ustaz Abdul Somad di Masjid Taman Hadhari Paka. Menurutnya lagi, majlis ilmu sebegini bukan sekadar medan untuk mendengar ceramah, tetapi adalah suntikan semangat bagi umat Islam agar terus memperbaiki diri dan mendekatkan diri kepada Allah. “Cahaya ilmu itu penyembuh hati umat. Dalam dunia yang penuh cabaran ini, tazkirah seperti ini amat diperlukan agar kita tidak hanyut dalam arus duniawi. “Terima kasih kepada Ustaz Abdul Somad kerana sudi singgah dan menyirami bumi Paka dengan cahaya ilmu. Moga Allah panjangkan usia dan keberkatan untuk beliau agar terus menyebar dakwah dan cahaya Islam ke serata pelusuk dunia,” katanya lagi. Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak masjid, jawatankuasa penganjur serta semua yang terlibat dalam menjayakan program tersebut, termasuk para petugas Jabatan Amal Paka dan Keselamatan yang memastikan kelancaran majlis.  
02 Jul 25
64
Seminggu Tanpa Petunjuk, Operasi Carilamat Dihentikan
Seminggu Tanpa Petunjuk, Operasi Carilamat Dihentikan
KUALA TERENGGANU, 1 Julai - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Negeri Terengganu mengumumkan operasi carilamat warga emas yang dilaporkan hilang ketika keluar mencandat sotong di perairan Pulau Bidong sejak 25 Jun lalu, ditamatkan pada jam 7.00 malam tadi. Pengarah Maritim Negeri Terengganu, Kepten Maritim Hamiludin Che Awang berkata, operasi itu ditamatkan setelah memasuki hari ketujuh pencarian tanpa sebarang petunjuk baharu. "Pencarian difokuskan di kawasan seluas 148.95 batu nautika sekitar perairan Pulau Kapas, namun tiada penemuan signifikan ditemukan sehingga operasi ditamatkan. "Operasi terakhir hari ini melibatkan Kapal Maritim (KM) RAWA dan Bot PENGAWAL 16 yang digerakkan seawal 7.00 pagi," katanya menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan Maritim Terengganu, malam ini. Terdahulu mangsa, Mohd Noor Abdullah, 54, dipercayai ke laut seorang diri dan gagal pulang ke rumahnya, mencetuskan pencarian berskala besar melibatkan pihak Maritim Terengganu dan komuniti nelayan sejak seminggu lalu.  
01 Jul 25
492
Kerajaan Bantu Urus Jenazah, Sedia Keperluan Keluarga Mangsa Nahas Bot
Kerajaan Bantu Urus Jenazah, Sedia Keperluan Keluarga Mangsa Nahas Bot
KUALA TERENGGANU, 1 Julai – Kerajaan Negeri Terengganu menerusi Pejabat Menteri Besar membantu menguruskan jenazah dan menyediakan segala keperluan kepada keluarga mangsa tragedi bot pelancong yang terbalik di perairan Pulau Perhentian, Sabtu lalu. Pegawai Khas kepada Menteri Besar Terengganu, Dr. Balachandran Gopal Krishnan berkata, pihaknya turut menyelaraskan bantuan keperluan, penginapan serta sokongan emosi kepada keluarga mangsa sepanjang tempoh rawatan dan pengurusan jenazah. “Setinggi-tinggi penghargaan kepada Pasukan Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), diketuai Dr Siti Wira Md Yaro, atas kecekapan dan dedikasi mereka dalam menguruskan proses pengesahan dan pengurusan jenazah mangsa. “Pasukan Mental Health and Psychosocial Services (MHPSS) yang diketuai oleh Dr. Husni Zaim Ab Latiff juga memainkan peranan penting dalam memberikan bantuan awal psikologi (psychological first aid) dan sokongan emosi kepada keluarga mangsa yang sedang melalui detik penuh trauma,” katanya dalam kenyataan hari ini. Beliau turut menziarahi seorang mangsa yang masih dirawat, Sakthivel Tamil Selvan, 6 tahun, yang kini berada dalam keadaan stabil dan ditemani oleh ibu bapanya di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU), Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ). Tiga mangsa yang terkorban dikenal pasti sebagai Arumugam Sativelo, 40, dan anak perempuannya, Sarrvihka Arumugam, 3, kedua-duanya dari Butterworth, Pulau Pinang serta Vennpani Vijeya Raj, 10, dari Sungai Petani, Kedah. Menurut beliau, jenazah telah dihantar pulang ke kampung halaman masing-masing dengan bantuan penyelarasan pihak hospital dan kerajaan negeri. “Terima kasih juga kepada semua petugas barisan hadapan, pasukan penyelamat, forensik, kesihatan dan kebajikan yang telah bertugas tanpa mengenal penat lelah dalam misi menyelamat dan bantuan krisis ini. Jasa kalian amat dihargai,” tambahnya. Sebelum ini, media melaporkan kejadian kira-kira jam 10.30 malam pada Sabtu lalu apabila sebuah bot pelancong yang membawa 15 penumpang berusia antara tiga hingga 40 tahun terbalik selepas dipukul ombak besar ketika dalam perjalanan pulang dari Pulau Perhentian Kecil. Seramai 11 mangsa lain dilaporkan terselamat dan kini menerima rawatan di Hospital Besut.
01 Jul 25
195
Gudang Berteknologi Tinggi di KSB Dijangka Beroperasi Tahun Depan
Gudang Berteknologi Tinggi di KSB Dijangka Beroperasi Tahun Depan
KUALA TERENGGANU, 30 Jun - Sebuah Gudang Berpusat berteknologi tinggi dijangka mula beroperasi di Pangkalan Bekalan Kemaman (KSB) Sdn Bhd, anak syarikat kepada Eastern Pacific Industrial Corporation (EPIC) Berhad, menjelang tahun 2026. Kerjasama strategik bersama Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS) melalui Malaysia Petroleum Management (MPM) itu merupakan salah satu daripada tiga memorandum persefahaman (MoU) yang telah dimeterai sempena East Coast Energy (ECE 2025), baru-baru ini. Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPIC Berhad, Dr. Ts. Muhtar Suhaili berkata, perjanjian tersebut bertujuan untuk menubuhkan pusat sehenti di Kemaman bagi menyediakan perkhidmatan logistik menyeluruh untuk operasi huluan. "Salah satu inisiatif utama ialah pembukaan gudang berpusat perintis di pangkalan bekalan Kemaman yang dijangka memulakan operasi pada tahun 2026. "Gudang ini akan menggunakan alat digital, aliran kerja yang diseragamkan, dan infrastruktur bersepadu bagi meningkatkan kecekapan rantaian bekalan. "Kerjasama itu dimeterai melalui memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani oleh Pengurus Besar Kanan Pengurusan Pengeluaran dan Operasi MPM, Handan Ramli dan saya selaku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPIC," katanya. Menurut PETRONAS, pendekatan ini dijangka dapat mengurangkan kos penyimpanan inventori, meminimumkan lebihan bahan, serta meningkatkan keterlihatan dalam rantaian bekalan. Naib Presiden Kanan MPM, Datuk Ir. Bacho Pilong, menyifatkan MoU tersebut sebagai komitmen Malaysia dalam memperkukuh kedudukannya sebagai destinasi pelaburan pilihan dalam sektor penerokaan dan pengeluaran (E&P) "Rantaian bekalan kami yang bersepadu dan mudah diakses menyokong aktiviti E&P di seluruh negara. "MoU ini menggariskan matlamat kami untuk mewujudkan persekitaran yang kondusif bagi pertumbuhan, penyeragaman operasi dan penyelesaian berasaskan teknologi dalam rantaian nilai minyak dan gas. "PETRONAS kekal komited untuk memastikan bekalan tenaga yang optimum dan mampan, dengan MPM memainkan peranan penting dalam mengurus sumber petroleum dan tadbir urus sektor huluan," nyatanya dalam satu kenyataan.
01 Jul 25
384
Putra Heights: Rakyat Persoal Ketelusan, DAP Pilih Salahkan Petronas
Putra Heights: Rakyat Persoal Ketelusan, DAP Pilih Salahkan Petronas
Foto: BERNAMA KUALA TERENGGANU, 1 Julai – Pengumuman hasil siasatan tragedi letupan paip gas di Putra Heights mengejutkan banyak pihak, khususnya penduduk setempat yang menjadi mangsa dalam insiden 1 April lalu. Laporan siasatan yang diumumkan baru-baru ini menyatakan bahawa kebakaran berpunca daripada struktur tanah lembut dan lembap yang gagal menyokong paip gas bertekanan tinggi.  Faktor itu dikatakan menjadi punca utama kebocoran dan letupan, bukan disebabkan unsur khianat, sabotaj mahupun kecuaian manusia. Namun, penjelasan itu gagal meredakan keresahan penduduk yang masih trauma dengan kejadian tersebut.  Sebaliknya, ramai yang mula mempersoalkan ketelusan laporan tersebut, termasuk tahap tanggungjawab pihak yang menguruskan sistem keselamatan paip terbabit. Dalam pada itu, Ahli Parlimen Puchong, Yeo Bee Yin, dalam kenyataannya hari ini, meletakkan kesalahan sepenuhnya ke atas Petronas sebagai pemilik sistem saluran paip tersebut. “Saya bersetuju bahawa tiada unsur sabotaj seperti dinyatakan pihak polis, namun saya tidak setuju bahawa tiada kecuaian berlaku,” katanya sambil merujuk kepada kenyataan Pengarah Bahagian Keselamatan Petroleum JKKP, Husdin Che Amat, yang mengaitkan keadaan tanah tidak stabil sebagai punca utama kebakaran. Tambah beliau, Petronas sepatutnya menyelenggara aset mereka secara berkala, termasuk menilai risiko struktur tanah yang mungkin berubah mengikut masa. “Saya menegaskan bahawa Petronas mesti bertanggungjawab atas segala kerugian mangsa dan menyediakan pampasan setimpal berdasarkan kerugian sebenar,” ujarnya.  Beliau turut menggesa agar Petronas menjalankan penilaian menyeluruh ke atas keseluruhan rangkaian paip gasnya yang meliputi 2,623 kilometer di Semenanjung Malaysia, sebagai langkah pencegahan terhadap insiden serupa. Sementara itu, Kerajaan Negeri Selangor mengumumkan penubuhan sebuah Jawatankuasa Khas melibatkan kerajaan negeri, kerajaan Persekutuan, Petronas dan agensi teknikal bagi meneliti hasil siasatan penuh dan merangka pelan tindakan jangka panjang. Menurut Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, jawatankuasa tersebut akan turut mencadangkan peraturan baharu dan pelan pencegahan yang komprehensif untuk memastikan tragedi seperti ini tidak berulang. “Perkara ini melibatkan aspek teknikal dan perundangan, dan kita akan halusi segala dapatan siasatan untuk tindakan susulan yang wajar,” katanya.  Namun begitu, bagi sebahagian penduduk, jawapan paling penting masih belum terjawab, siapa yang patut benar-benar dipertanggungjawabkan, dan adakah keselamatan mereka benar-benar dijamin selepas ini.
01 Jul 25
965
Lapan Sekeluarga Hilang Tempat Tinggal, Rumah Musnah Dalam Kebakaran
Lapan Sekeluarga Hilang Tempat Tinggal, Rumah Musnah Dalam Kebakaran
HULU TERENGGANU, 30 Jun - Seorang warga emas bersama tujuh ahli keluarganya berdepan dugaan besar apabila kediaman mereka di Kampung Chapu di sini musnah dalam satu kebakaran yang berlaku kira-kira jam 11 pagi tadi. Dalam kejadian tersebut, mangsa, Kamariah Taib, 68, bersama seorang cucunya berada di luar rumah ketika api mula marak dari bahagian tengah rumah yang diperbuat daripada kayu. Mereka hanya menyedari kejadian apabila melihat asap tebal dan api menjulang dari dalam rumah. “Saya sangat terkejut. Hanya sempat lihat api sedang marak dari tengah rumah. Tiada apa sempat diselamatkan… semuanya habis terbakar,” katanya ketika diziarahi oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telemong, Zawawi Ismail, tengah hari tadi. Menurut Kamariah, dia tidak sempat menyelamatkan sebarang barangan peribadi atau berharga dan hanya mampu melihat rumahnya musnah dalam sekelip mata. Sementara itu, Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Berang, Abdul Rahman Kamaruzzaman berkata, enam anggota bersama sebuah jentera digerakkan ke lokasi sebaik menerima panggilan kecemasan. “Setibanya kami di lokasi, rumah sudah terbakar hampir sepenuhnya. Operasi pemadaman segera dijalankan dan api berjaya dikawal sepenuhnya sekitar jam 12.53 tengah hari. “Tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan. Tindakan pantas anggota berjaya menghalang kebakaran daripada merebak ke kediaman berhampiran,” katanya. Zawawi yang turut hadir bersama wakil Jabatan Kebajikan Masyarakat Hulu Terengganu dan Penghulu Mukim, memaklumkan bahawa bantuan segera akan disalurkan kepada keluarga terbabit. “Pihak kami akan berbincang dengan agensi berkaitan bagi memastikan keluarga ini mendapat tempat berteduh sementara dan keperluan asas yang sewajarnya,” katanya. Punca kejadian dan anggaran kerugian masih dalam siasatan pihak berkuasa.  
30 Jun 25
306
Pengusaha Tamak, Pelancong Culas Tingkat Risiko Kemalangan
Pengusaha Tamak, Pelancong Culas Tingkat Risiko Kemalangan
KUALA TERENGGANU, 30 Jun - Pengerusi Jawatankuasa pelancongan, kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris, menyifatkan ketamakan pengusaha industri pelancongan marin serta sikap acuh tidak acuh segelintir pelancong menyumbang kepada risiko kemalangan. Mengambil contoh tragedi di Pulau Perhentian, beliau berkata siasatan awal mendapati bot tersebut mempunyai permit sah dan dikendalikan oleh pengendali berlesen, namun pengusaha didapati melanggar had kapasiti muatan. "Masalah sebenarnya jangka masa bisnes dia pendek. Bisnes dia untuk (pelancongan marin) Terengganu ini dulu berjangka 6 bulan. Sekarang ini apabila perubahan iklim, dia datang angin serta merta. Hujan diluar monsun timur laut.  "Jadi bisnes dia hanya 4 bulan sahaja. Maka semasa pengunjung sedang ramai, dia berusaha secara bersungguh-sungguh. Dalam masa yang sama, jenis tamak pun ada. Dia boleh isi 12 sahaja tapi dia isi sampai 15 (penumpang).  "Selepas itu, harga tiket yang sepatutnya RM45, dia kurangkan harga bagi jadi RM10, RM15 atau RM20 untuk menambah bilangan penumpang. Ini yang saya maksudkan dengan pengusaha bot yang tamak," katanya. Jelas beliau, mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan, setiap lesen yang dikeluarkan oleh Jabatan Laut adalah mengikut saiz vesel laut digunakan pengusaha. "Kalau awak nak muat banyak, ramai orang, ambiklah lesen yang lebih daripada 12 orang. Mengikut saiz bot awak itu," nasihatnya ringkas, ditujukan kepada pengusaha yang masih mengambil remeh akan hal tersebut. Dalam senario lain, Razali turut menegur sikap segelintir pelancong yang memandang mudah kepada peraturan keselamatan, khususnya dalam pemakaian jaket keselamatan ketika berada di dalam bot. "Pelancong culas nak pakai jaket keselamatan apabila berada didalam bot. Ini yang terserempak dengan saya, dia hanya pakai masa nak naik bot selepas itu bila di laut dia tidak pakai.  "Sedangkan di bot itu sudah tertulis diwajibkan pakai jaket kelamatan, pakai sehingga turun daripada bot. Itu yang sukar untuk kita nak bendung kecuali melalui penguatkuasaan," ujarnya. Namun, Razali menegaskan bahawa kerajaan negeri hanya berperanan sebagai pembimbing dalam sektor pelancongan, manakala kuasa penguatkuasaan terletak pada agensi persekutuan seperti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Laut dan Taman Laut. "Jadi kalau ketiga-tiga agensi ini bekerjasama dengan baik saya yakin dan percaya ia boleh dibendung," nyatanya kepada pemberita dalam sidang media bertempat di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini. Sebagai langkah pencegahan lain, beliau mencadangkan agar setiap pengusaha bot mewajibkan taklimat keselamatan ringkas kepada penumpang seperti amalan dalam kapal terbang. Menurutnya, pengusaha boleh memaklumkan kapasiti bot, destinasi, cuaca semasa dan pemakaian jaket keselamatan kepada penumpang vesel dan beliau yakin dengan pelaksanaan yang betul ia mampu menyelamatkan nyawa. "Tak lama pun, tiga minit sahaja tak sampai lima minit. Ada sebahagiannya buat. Ini adalah hasil daripada libat urus pihak pelancongan. Dalam masa yang sama, ada juga yang tidak buat," jelasnya. Tambahnya lagi, program libat urus tahunan bersama pengusaha bot, penguatkuasa, dan agensi berkaitan akan diteruskan bagi memperkukuh keselamatan pelancong.  Dalam pada itu, kerajaan negeri juga akan terus menggalakkan kehadiran pelancong ke pulau-pulau di Terengganu, namun aspek keselamatan akan menjadi keutamaan.
30 Jun 25
280