Artikel "Utama" Terkini
Terengganu Paling Awal Tubuh Majlis Halal Negeri
KUALA TERENGGANU, 9 Julai - Terengganu menjadi antara lima negeri terawal yang menubuhkan Majlis Halal Terengganu (MHT) sebagai langkah memperkukuh sektor itu ke arah pembangunan progresif dan mampan.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dato’ Ariffin Deraman berkata, MHT yang dipengerusikan oleh Menteri Besar Terengganu, Dato Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar kini hanya menunggu kelulusan rasmi Mesyuarat Exco.
Menurutnya, MHT mampu bertindak sebagai ejen dalam melancarkan sebarang urus tadbir dan proses persijilan halal bagi produk dan industri di negeri ini.
“MHT sebenarnya dah ditubuhkan malah sudah beberapa kali mengadakan mesyuarat serta memiliki pelan strategik sendiri.
“Bagaimanapun, beberapa perkara masih memerlukan kelulusan Mesyuarat Exco dan Menteri Besar sebelum dapat dimuktamadkan sepenuhnya secara rasmi,” katanya.
Beliau berkata demikian di sidang media selepas Majlis Perasmian Penutup Program Kesedaran Halal Negeri Terengganu 2025 dan majlis penyerahan surat tawaran pembiayaan Tabung Usahawan Terengganu Sejahtera (TUGAS) kepada peminjam kali ke 2/2025 di Dewan Serbaguna YPU, di sini semalam.
Menurut Ariffin, MHT akan membantu memperkasa penyelarasan pensijilan Halal Malaysia bersama antara JAKIM dengan JHEAT selaku badan berautoriti utama dalam pengurusan halal negeri termasuk menjadi pusat rujukan, pengiktirafan, penarafan dan khidmat nasihat berkaitan pensijilan halal.
“Tanggungjawab bagi meningkatkan bilangan pengusaha halal akan diperkasa melalui Majlis Halal Terengganu. Yayasan Pembangunan Usahawan pula menjadi pusat sehenti bagi pusat rujukan halal di Terengganu
“Kerajaan negeri turut mengalu-alukan semua industri agar mendapatkan sijil halal bagi memastikan masyarakat mendapat perkhidmatan atau produk yang terjamin,” ujarnya lagi.
Selain itu, kerajaan negeri juga sedang merancang pembinaan Hab Halal atau Halal Park yang lebih terancang bagi menyokong pembangunan industri berkenaan.
“Ketika ini, kita sudah ada kawasan halal berskala kecil di belakang Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) yang menempatkan 24 rumah kedai, selain kawasan di Chendering. Namun, kedua-duanya memerlukan penambahbaikan,” katanya.
Menurut beliau, kerajaan negeri sedang mengenal pasti beberapa lokasi baharu termasuk di kawasan Pembangunan Berorientasikan Transit (TOD) stesen keretapi untuk dibangunkan sebagai Hab Halal.
“Tanah yang dikenal pasti akan diangkat kepada Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) bagi tujuan pembangunan dan pensijilan halal,” katanya.
09 Jul 25
171
KDNK Terengganu Cecah 4.5 Peratus, Lebihi Sasaran – MB
KUALA TERENGGANU, 9 Julai – Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Terengganu bagi tahun 2024 mencatatkan pertumbuhan sebanyak 4.5 peratus, sekali gus melepasi unjuran awal antara 3.5 hingga 4.1 peratus seperti yang disasarkan dalam Belanjawan 2024.
Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pencapaian itu membuktikan keberkesanan pendekatan kerajaan negeri dalam menyusun semula ekonomi secara lebih berdaya tahan.
“Alhamdulillah, kita secara umumnya telah mencapai apa yang kita sasarkan. Laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menyatakan KDNK Terengganu berkembang 4.5 peratus kepada RM39.9 bilion pada tahun 2024 berbanding 2.3 peratus pada tahun sebelumnya.
“Pertumbuhan ini didorong oleh pemulihan ekonomi global dan kejayaan pengstrukturan ekonomi negeri yang lebih mampan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Peringkat Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman semalam.
Mengulas lanjut, beliau mengumpamakan usaha pembangunan negeri seperti menaiki anak tangga secara berhemah dan berperingkat berbanding melompat seperti sukan ekstrem parkour.
“Kita nak naik ke atas, ada 15 anak tangga. Kita ada pilihan sama ada lompat dua-dua anak tangga atau naik satu-satu. Yang penting, kita sampai ke atas.
“Tapi adakah praktikal untuk kita melompat seperti parkour? Kita tak mahu tersepak kaki, tak mahu jatuh tangga. Biarlah perlahan, ambil masa, asalkan kita bergerak ke arah yang betul,” ujarnya.
Tambah beliau, kerajaan negeri komited meneruskan langkah-langkah strategik bagi memastikan kemajuan negeri kekal mampan dan inklusif selari dengan visi Terengganu sebagai negeri maju, berkat dan sejahtera.
09 Jul 25
903
Kerajaan Negeri Salur RM597,000 Kepada Usahawan Terengganu
KUALA TERENGGANU, 8 Julai – Seramai 22 usahawan tempatan menerima pembiayaan berjumlah RM597,000 menerusi Tabung Usahawan Terengganu Sejahtera (TUGAS) bagi siri kedua tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ariffin Deraman berkata, pembiayaan tersebut disalurkan melalui Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU) sebagai usaha memperkasa sektor keusahawanan negeri.
“Setiap usahawan menerima pembiayaan antara RM10,000 hingga RM50,000, bergantung kepada keperluan dan kelayakan masing-masing,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Penutup Program Kesedaran Halal Negeri Terengganu 2025 dan penyerahan surat tawaran TUGAS kali kedua tahun ini, yang berlangsung di Dewan Serbaguna YPU, hari ini.
Menurut beliau, penerima diseru memanfaatkan peluang ini dengan sebaik mungkin dan menjadikan pembiayaan tersebut sebagai amanah yang bukan sahaja menyokong pertumbuhan perniagaan, malah memberi manfaat kepada masyarakat dan negeri.
“Saya berharap semua penerima menggunakan dana ini dengan penuh tanggungjawab, bukan sekadar untuk keuntungan diri, tetapi sebagai sumbangan kepada pembangunan ekonomi negeri,” tegasnya.
Tambah Ariffin, jumlah peruntukan bagi sesi kali ini meningkat berbanding sebelum ini, hasil daripada kadar bayaran balik yang memberangsangkan oleh peminjam terdahulu.
“Kita merekodkan lebih 80 peratus bayaran semula yang dibuat mengikut jadual, termasuk bayaran sewa bangunan, satu petanda positif terhadap disiplin dan kesungguhan usahawan kita,” ujarnya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut memaklumkan bahawa Program Kesedaran Halal yang dianjurkan hari ini bertujuan memberi pendedahan menyeluruh kepada usahawan tentang tanggungjawab serta potensi besar dalam industri halal.
“Dalam era persaingan global, sijil halal bukan lagi sekadar lesen berniaga. Ia kini menjadi penanda aras kepercayaan pengguna dan kunci untuk menembusi pasaran antarabangsa,” jelasnya.
08 Jul 25
248
Dr. Sam Persoal Integriti Pelantikan Hakim, Desak Tindakan Segera PM
KUALA TERENGGANU, 8 Julai – Isu pelantikan hakim yang didakwa tidak mengikut prosedur wajar ditangani dengan tindakan segera dan tegas oleh Kerajaan Persekutuan bagi memelihara integriti sistem pentadbiran negara.
Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menegaskan bahawa perkara yang dibangkitkan oleh mantan Menteri Ekonomi, Dato’ Seri Rafizi Ramli baru-baru ini bukan sesuatu yang baharu kerana ia telahpun disentuh lebih awal oleh Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan.
“Saya rasa apa yang dibangkitkan oleh YB Rafizi semalam sebenarnya telah pun disentuh sebelum ini di peringkat Perikatan Nasional.
“Mesejnya jelas. Kerajaan perlu ambil tindakan segera untuk selesaikan masalah ini,” ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2025 di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, hari ini.
Ahmad Samsuri turut memetik beberapa perkembangan terbaru yang menunjukkan berlaku pelanggaran tatacara, termasuk mesyuarat penting yang dijalankan tidak mengikut tempoh atau garis panduan yang sah.
“Apa yang berlaku sehari dua ini, termasuk mesyuarat yang tidak mengikut tempoh, adalah perkara yang perlu diambil serius. Saya rasa itu perkara yang perlu diberi perhatian,” katanya.
Dalam hal ini, katanya, cadangan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) adalah langkah paling besar dan mungkin paling berkesan untuk memastikan pelantikan dilakukan mengikut lunas perlembagaan dan tatacara yang betul.
“Sama ada kita setuju atau tidak, saya rasa RCI adalah satu-satunya jalan untuk menyelesaikan isu ini dan yang paling penting sekarang adalah memastikan pelantikan itu dibuat mengikut tatacara,” jelasnya.
Tegasnya lagi, Kerajaan Persekutuan khususnya Perdana Menteri perlu menunjukkan komitmen dalam menangani perkara ini agar rakyat tidak hilang keyakinan terhadap sistem pentadbiran negara.
“Kita tengok apa yang dibangkitkan oleh Rafizi Ramli semalam, saya rasa pada tahap ini macam-macam perkara sedang berlaku.
“Jadi, kena ada tindakan serius daripada pihak kerajaan, terutama Perdana Menteri (PMX),” tambah beliau lagi.
08 Jul 25
192
SATU Guna WORMS, Ganti Meter Lama Tangani Kehilangan Air
KUALA TERENGGANU, 8 Julai - Kerajaan Negeri melalui Syarikat Air Terengganu Sdn. Bhd. (SATU) telah mengambil pendekatan lebih holistik dalam mengurangkan kadar air tidak terhasil (NRW) di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar Negeri, Dato’ Hanafiah Mat berkata, gerak kerja dan usaha dalam mengurangkan kadar NRW diberi keutamaan di dalam penyusunan perancangan oleh pihak SATU.
“Antara yang dilaksanakan termasuk penukaran dan pengaktifan District Meter Zone (DMZ) bagi pemantauan NRW serta penambahbaikan sistem pelaporan dan pembaikian kebocoran paip menggunakan sistem di atas talian Work Order Repair Management System (WORMS) bagi kerja-kerja pembaikian paip.
“Selain itu, pihak SATU juga mengadakan program penukaran meter berusia melebihi 10 tahun untuk mengurangkan kehilangan komersial disamping program pengurusan tekanan bagi mengurangkan jumlah kehilangan air disebabkan ‘background leak’ dan mengurangkan kekerapan paip pecah disebabkan tekanan tinggi,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Takir, Khazan Che Mat pada Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Ke-15 di Wisma Darul Iman, semalam.
Tambah Hanafiah, penggantian 'attitude valve' yang rosak di semua tangki untuk mengelakkan berlakunya limpahan serta pengantian paip lama jenis asbestos cement (AC) yang kerap mengalami kebocoran dan paip pecah turut dilakukan.
.
08 Jul 25
160
CelcomDigi Tanggung Kos Pembinaan Baharu Mercu Tanda 'Allah Peliharakanlah Terengganu'
KUALA TERENGGANU, 8 Julai – Kerajaan Negeri mengesahkan bahawa syarikat telekomunikasi CelcomDigi akan membiayai sepenuhnya pembinaan baharu mercu tanda 'Allah Peliharakanlah Terengganu' di Bukit Besar melalui program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) mereka tanpa melibatkan sebarang dana negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar Negeri, Dato’ Hanafiah Mat berkata, pihak CelcomDigi kini dalam peringkat akhir mereka bentuk semula struktur mercu tanda tersebut sebelum diserahkan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk kelulusan.
"CelcomDigi sedang dalam proses mereka bentuk struktur baharu dan akan dihantar ke JKR. Setelah diluluskan, mereka akan memulakan pembinaan. Kos sebenar kita belum tahu sebab ia bergantung kepada reka bentuk akhir oleh mereka.
“Sebelum ini, JKR pernah membuat satu lakaran dengan anggaran kos RM4.75 juta, tetapi Pengarah JKR sendiri menyatakan ingin menghasilkan rekaan baharu yang lebih sesuai,” katanya ketika ditemui media, hari ini.
Menurut beliau, CelcomDigi telah menyatakan hasrat untuk meletakkan logo mereka pada struktur mercu tanda tersebut sebagai tanda penajaan sepenuhnya.
"Duit itu bukan daripada kerajaan negeri. Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMKN) baru-baru ini pun telah bersetuju untuk memberi kelulusan kepada CelcomDigi," jelasnya.
Mercu tanda 'Allah Peliharakanlah Terengganu' yang menjadi simbol ikonik bandar Kuala Terengganu sebelum ini mengalami kerosakan akibat faktor usia dan pengaratan yang kritkal.
08 Jul 25
4085
Terengganu Salur RM34 Ribu Bantu Mangsa Hakisan Pantai
KUALA NERUS, 9 Julai – Sebanyak RM34,500 bantuan tunai disalurkan Kerajaan Negeri kepada 45 keluarga yang terjejas akibat hakisan pantai di Batu Rakit, sebagai tanda keprihatinan terhadap penduduk yang kehilangan rumah, gerai dan tanah tempat bergantung hidup.
Dalam kepedihan kehilangan tempat berteduh, hadir sedikit sinar apabila bantuan segera itu diagihkan mengikut tahap kerosakan, sekali gus memberi nafas baharu kepada mangsa untuk bangkit semula.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail berkata, bencana itu bukan sekadar melibatkan kerosakan fizikal, tetapi turut menggugat kestabilan hidup penduduk yang bergantung sepenuhnya kepada laut dan tanah sebagai sumber rezeki.
"Antara kerosakan yang berlaku termasuk runtuhan jalan sepanjang 50 meter di Kampung Tanjung, kerosakan gerai dan jeti nelayan, serta kehilangan rumah dan tanah penduduk," katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu majlis penyerahan sumbangan di Masjid Al-Abrar, Kampung Tanjung, di sini baru-baru ini.
Beliau memaklumkan bahawa bantuan tunai disalurkan berdasarkan tahap kerosakan harta masing-masing.
"Jumlah keseluruhan bantuan tunai yang disalurkan adalah sebanyak RM34,500.
"Bantuan ini melibatkan pemberian RM500 kepada pengusaha kiosk yang terjejas dan RM2,000 kepada pemilik rumah serta kedai yang mengalami kerosakan teruk,", jelasnya.
Tambah Shafizi, Kerajaan Negeri turut meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM200,000 bagi menangani kesan hakisan secara menyeluruh, termasuk pembinaan benteng dan baik pulih infrastruktur terjejas.
"Sebagai langkah segera, Kerajaan Negeri telah meluluskan RM80,000 bagi pembinaan benteng perlindungan sementara di Kampung Pengkalan Maras.
"Selain itu, sebanyak RM120,000 turut diluluskan untuk kerja baik pulih dan pencegahan hakisan di Kampung Tanjung," tambahnya.
Beliau turut memaklumkan bahawa beberapa keluarga terpaksa dipindahkan ketika kejadian, terutama semasa musim tengkujuh yang lalu.
"Ketika kejadian musim tengkujuh lalu, beberapa keluarga terpaksa dipindahkan ke Kampung Kolam demi keselamatan.
"Langkah ini diambil sementara menunggu penyelesaian jangka panjang yang lebih menyeluruh," ujarnya.
Salah seorang penerima bantuan, Zamri Sulong, 43, kehilangan rumah dan tanah miliknya yang dianggarkan bernilai RM30,000 akibat ombak besar yang melanda secara tiba-tiba.
"Rumah dan tanah yang kami bina bertahun-tahun hilang dalam satu malam.
"Kami ucapkan jutaan terima kasih kepada Kerajaan Terengganu kerana prihatin terhadap nasib kami semua,” ujarnya.
08 Jul 25
37
DUN Terengganu Kutuk Israel
KUALA TERENGGANU, 8 Julai – Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu semalam sebulat suara meluluskan usul membantah dan mengutuk tindakan kejam rejim Zionis Israel yang telah melancarkan serangan ketenteraan ke atas Iran dengan menyasarkan kemudahan strategik dan infrastruktur penting negara tersebut baru-baru ini.
Usul dikemukakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buluh Gading, Ridzuan Hashim itu menyeru Dewan mengambil maklum dan memandang serius tindakan agresif rejim Zionis Israel yang telah melancarkan serangan ketenteraan ke atas negara tersebut.
“Serangan ini berlaku di luar wilayah Israel sendiri dan jelas merupakan satu bentuk pencerobohan yang melanggar undang-undang antarabangsa, Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), serta prinsip asas kedaulatan negara-negara bebas.
“Tindakan Israel ini juga dilihat sebagai usaha untuk mencetuskan ketegangan yang lebih meluas di rantau Asia Barat, menjejaskan kestabilan serantau, dan membuka jalan kepada campur tangan kuasa luar demi kepentingan geopolitik mereka,” ujarnya.
Katanya, umat Islam di seluruh dunia memandang serangan ini sebagai satu penghinaan terhadap prinsip keadilan, kedaulatan dan keselamatan negara umat Islam, serta satu bentuk penjajahan moden yang semakin berani dan biadab.
“Umat Islam wajib bersolidariti menolak pencerobohan seumpama ini, menzahirkan pendirian tegas terhadap sebarang bentuk keganasan negara (state terrorism) yang dilakukan oleh Israel, serta menolak sebarang percubaan kuasa besar untuk memecah-belahkan kesatuan Ummah melalui konflik proksi dan adu domba mazhab atau bangsa.
“Penubuhan Israel sendiri adalah hasil projek penjajahan untuk melindungi kepentingan Barat di Timur Tengah, mengawal sumber strategik, dan menjadi alat tekanan terhadap dunia Islam,” jelas beliau.
Justeru, Kerajaan Negeri di bawah SG4 mengecam dan menolak sekeras-kerasnya serangan Israel ke atas Iran serta apa-apa bentuk pencerobohan ke atas mana-mana negara berdaulat.
“Kerajaan Negeri melalui saluran diplomasi dan NGO Islam digesa untuk mendukung usaha kesedaran awam mengenai bahaya Zionisme dan peranan Israel dalam menaja ketidakstabilan di dunia Islam.
“Kerajaan Malaysia hendaklah mengambil pendirian konsisten untuk mengutuk pencerobohan ini di peringkat antarabangsa termasuk dalam sidang ASEAN, OIC, dan PBB, serta mendesak tindakan diplomatik dan undang-undang antarabangsa ke atas Israel,” ujarnya.
Malah katanya, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) hendaklah segera bersidang dan mengeluarkan resolusi bersama yang tegas, termasuk langkah diplomatik dan ekonomi, untuk menekan Israel agar menghentikan sebarang tindakan agresif dan mematuhi undang-undang antarabangsa.
“Semua negara Islam diseru untuk mengetepikan perpecahan dalaman dan bersatu menolak campur tangan kuasa luar yang hanya mahu melemahkan kekuatan politik, ekonomi dan ketenteraan dunia Islam,” ujarnya.
08 Jul 25
122
Dua Keluarga Mangsa Kebakaran Terima Kunci Rumah Baharu
DUNGUN, 9 Julai - Dua keluarga yang mengalami musibah kebakaran rumah di Paka pada Ogos tahun lalu, menemukan titik bahagia apabila menerima kunci rumah baru hasil inisiatif Kerajaan Negeri Terengganu menerusi Tabung Darul Iman, semalam.
Raja Kamarul Badri Raja Ab Malek dan Muhammad Nazimin Nasir yang masing-masing kehilangan kediaman mereka dalam kebakaran pada 2 Ogos 2024, kini mampu menarik nafas lega apabila rumah baharu mereka berjaya disiapkan dengan peruntukan khas sebanyak RM70,000 setiap satu di bawah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paka, Dato’ Satiful Bahri Mamat ketika proses penyerahan rumah berkenaan semalam, menzahirkan harapan semoga rumah baru yang bakal didiami mereka menjadi tempat lahirnya ketenangan, kasih sayang dan keberkatan buat dua keluarga ini.
“Ambe hadir hari ini bukan sekadar nak serah kunci, tapi nak sampaikan rasa kasih sayang kerajaan negeri kepada rakyat. Ini bukan hanya rumah batu, tapi rumah harapan.
"Kita hendak mereka yang diuji bangkit semula dengan semangat baharu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membuat penyerahan dua kunci rumah yang baru siap dibina itu kepada mereka di Jalan Santong, Paka.
Senyuman jelas terukir di wajah kedua-dua penerima ketika menerima kunci rumah mereka.
“Saya tak dapat gambarkan betapa bersyukurnya kami hari ini. Rumah lama memang dah habis terbakar, tapi syukur, ada yang prihatin. Terima kasih kepada YB (Yang Berhor,at) , kerajaan negeri dan semua yang bantu kami,” kata Raja Kamarul Badri.
08 Jul 25
80
Platform ADUN Belia Lonjak Potensi Pemimpin Muda Negeri
KUALA TERENGGANU, 8 Julai – Persidangan ADUN Belia Terengganu terus memberi impak signifikan terhadap landskap kepimpinan belia negeri, sekali gus memperkukuh peranan anak muda dalam sistem demokrasi dan tadbir urus negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Hishamuddin Abdul Karim berkata, Mesyuarat Pertama, Penggal Kedua Siri Ke-3 yang berlangsung pada Mei 2025 berjaya meneruskan momentum positif yang telah dibina sejak siri pertama persidangan dilaksanakan.
Menurutnya, penekanan utama persidangan kali ini adalah kepada pembentukan generasi muda yang kompeten, berkeyakinan dan bersedia memimpin.
“Antara sorotan utama yang memberi kesan langsung kepada pembangunan kepimpinan belia ialah aspek pendedahan dan pengalaman berimpak tinggi.
“Persidangan ini menjadi platform penting untuk memantapkan kepimpinan muda melalui perbahasan berasaskan fakta, hujah yang bernas serta pembentangan usul yang mengangkat suara belia dalam sistem demokrasi negara.
“Para ADUN Belia diberikan ruang untuk mengasah keyakinan diri, meningkatkan kemahiran komunikasi dan bersedia sebagai pelapis kepimpinan masa depan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Zuraida Mohd Noor dalam Mesyuarat Kedua, Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Terengganu Ke-15 di sini, semalam.
Tambahnya lagi, Persidangan ADUN Belia juga telah diangkat sebagai salah satu inisiatif strategik di bawah Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS) 2030, antaranya melalui penubuhan Akademi Al-Fateh sebagai kesinambungan usaha pembangunan bakat belia yang proaktif dan berpaksikan nilai rabbani.
“Siri-siri terdahulu dari tahun 2019 hingga 2023 telah membuktikan keberkesanan platform ini.
“Pihak TSIS (Terengganu Strategic & Integrity Studies) turut menjalankan penilaian terhadap penyertaan dan hujah peserta bagi tujuan penambahbaikan berterusan. Malah, beberapa cadangan yang dikemukakan telah diterjemahkan ke dalam program serta dasar pembangunan belia di peringkat negeri dan tempatan,” jelasnya.
Beliau turut menegaskan bahawa pembentukan karakter pemimpin muda yang mampu mengemukakan cadangan bernas, disokong data dan fakta, adalah asas penting kepada pewarisan kepimpinan negeri yang berwibawa, progresif dan bertanggungjawab.
08 Jul 25
84