lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Dr. Sam Curi Tumpuan Bakal Sertai Perbahasan RMK-13 Hari Ini
Dr. Sam Curi Tumpuan Bakal Sertai Perbahasan RMK-13 Hari Ini
KUALA TERENGGANU, 11 Ogos – Ahli Parlimen Kemaman, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dijadualkan membahaskan Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13) di Dewan Rakyat pada jam 11.45 pagi ini, satu sesi yang dijangka menarik perhatian ramai khususnya rakyat Terengganu. Menurut beliau, ruang perbahasan tersebut akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk mengupas pelbagai isu penting yang menyentuh masa depan negara dan kesejahteraan rakyat. "Insya-Allah, saya akan mengambil bahagian dalam perbahasan RMK-13. Perbahasan ini akan menyentuh isu-isu penting demi masa depan negara dan kesejahteraan rakyat. Mohon doa dan sokongan semua," ujarnya dalam satu kenyataan di sini, semalam. Untuk rekod, RMK-13 merupakan pelan pembangunan lima tahun negara yang menjadi panduan dasar serta hala tuju kerajaan bagi tempoh 2026 hingga 2030.  
11 Aug 25
61
UniSZA Kukuhkan Jalinan Akademik, Industri Melalui Pelantikan Profesor Adjung
UniSZA Kukuhkan Jalinan Akademik, Industri Melalui Pelantikan Profesor Adjung
KUALA NERUS, 11 Ogos – Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) terus memperkukuh kerjasama akademik dan industri apabila melantik Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Terengganu Incorporated Sdn. Bhd (Terengganu Inc) Dato’ Burhanuddin Hilmi Mohamed @ Harun sebagai Profesor Adjung Fakulti Perniagaan dan Pengurusan. Majlis penyerahan surat lantikan diadakan di Kampus Gong Badak pada 10 Ogos lalu, disempurnakan oleh Naib Canselor UniSZA, Prof. Dato’ Dr. Fadzli Adam. Menurut beliau, pelantikan itu menjadi jambatan penting antara dunia akademik dan sektor korporat. “Ini bukan sekadar penghargaan kepada kepakaran luar, tetapi langkah strategik untuk membuka peluang pembelajaran, penyelidikan dan latihan industri kepada pelajar, khususnya dalam bidang kewangan dan pelaburan antarabangsa,” katanya. Burhanuddin, yang berkelulusan MBA dari University of Leeds, United Kingdom dan Ijazah Sarjana Muda Perakaunan (Kepujian) dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, turut diiktiraf sebagai Chartered Accountant dan Certified Financial Planner di Malaysia. Dengan pengalaman luas dalam dunia perniagaan dan pengurusan, beliau diyakini mampu membantu fakulti memperkasa kurikulum serta memindahkan ilmu praktikal kepada pelajar. UniSZA berharap pelantikan tersebut memberi impak positif terhadap reputasi akademik universiti dan mengukuhkan jaringan strategik bersama industri, sejajar dengan usaha memperkasa pendidikan berteraskan pengalaman profesional.  
11 Aug 25
119
114 Acara Budaya Semarakkan Temasya Tranung Kita 2025
114 Acara Budaya Semarakkan Temasya Tranung Kita 2025
KUALA TERENGGANU, 11 Ogos – Sebanyak 114 acara berteraskan tradisi dan budaya telah berlangsung sepanjang penganjuran ‘Temasya Tranung Kita’ (TEGAK) 2025 yang diadakan di Pulau Warisan, Kuala Terengganu semalam. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, penganjuran acara-acara tersebut memeriahkan lagi sektor pelancongan sekali gus memberi manfaat kepada ekonomi rakyat setempat. “Antara acara yang memeriahkan TEGAK 2025 termasuk persembahan gamelan, pertunjukan wau, sukan rakyat, pameran kraf tangan, demonstrasi masakan tradisional serta pelbagai lagi. “Kita mahu TEGAK menjadi platform untuk mengangkat seni, budaya dan warisan Terengganu ke peringkat lebih tinggi, selain memperkenalkan negeri ini sebagai destinasi pelancongan budaya yang menarik,” jelasnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita di sidang media program TEGAK 2025 bertempat di Pulau Warisan, Kuala Terengganu di sini semalam. Program tersebut turut disokong oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) serta Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dalam usaha memartabatkan seni dan warisan negeri. Razali berkata, penganjuran itu bukan sahaja menghiburkan pengunjung, malah menjadi platform penyatuan masyarakat pelbagai generasi melalui seni dan budaya. “Kita mahu rakyat Terengganu terus berbangga dengan warisan yang kita ada dan bersama-sama memelihara kelestariannya untuk generasi akan datang. “Insya-Allah, pada tahun depan program ini akan diperluas di peringkat daerah supaya dapat melibatkan lebih ramai masyarakat seperti tahun lepas ia berlangsung di Kuala Berang, manakala tahun ini di Kuala Terengganu,” ujarnya.                        
11 Aug 25
80
Siang Pandu Grab, Malam Jual Nasi Lemak - Ibu Tunggal Akhirnya Miliki Tanah
Siang Pandu Grab, Malam Jual Nasi Lemak - Ibu Tunggal Akhirnya Miliki Tanah
MARANG, 10 Ogos – Bertahun-tahun mengerah tenaga siang dan malam, memandu Grab pada waktu siang dan membungkus nasi lemak pada waktu malam, akhirnya penantian seorang ibu tunggal untuk memiliki tanah bagi membina kediaman sendiri berakhir dengan senyuman penuh kesyukuran. Hazlina Jusoh, 48, yang membesarkan empat anak sendirian, berkata pemberian tanah melalui Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) oleh kerajaan negeri itu umpama hadiah paling berharga dalam hidupnya selepas sekian lama hanya mampu menyewa rumah. “Syukur Alhamdulillah, saya sangat berterima kasih kepada kerajaan negeri dan khususnya Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar. Dengan tanah ini, saya akhirnya dapat memulakan pembinaan rumah sendiri,” katanya sebak. Majlis penyerahan dokumen RTB tersebut melibatkan kawasan Sungai Kerak 4 Fasa 3, Bukit Mawi, Bukit Gasing, Bukit Batu Putih dan Bukit Mak Abu di Dewan Majlis Daerah Marang, semalam. Bagi Mohd Aizulhairi Yahaya, 38, yang bekerja sebagai pembaca meter elektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB) pula, pemberian tanah itu umpama membuka pintu rezeki baru. “Sejak memohon lima tahun lalu, saya sentiasa berdoa. “Dengan harga tanah yang tinggi sekarang, agak mustahil untuk saya beli sendiri. Alhamdulillah, kerajaan negeri bukan sekadar berjanji, tetapi menunaikan janji itu. Terima kasih juga kepada Pejabat Daerah Marang dan pihak JPKK yang banyak membantu,” ujarnya. Sementara itu, Siti Nurul Ashikin Ariffin pula mengakui kehidupannya bersama suami yang bekerja biasa-biasa sahaja tidak pernah mudah. Katanya, bekerja sebagai tukang jahit, dia memahami betapa sukar untuk memiliki tanah sendiri. “Pemberian ini sangat-sangat bermakna. Ia hadiah terbesar buat keluarga kami. Terima kasih kepada kerajaan negeri kerana prihatin dengan nasib rakyat,” katanya. Penyampaian dokumen RTB ini sekali lagi membuktikan keprihatinan kerajaan negeri dalam memastikan rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah, tidak ketinggalan memiliki tanah dan kediaman sendiri demi masa depan yang lebih terjamin.
10 Aug 25
2627
Kanak-kanak Lelaki Maut Disyaki Didera Bapa, Ibu Tiri
Kanak-kanak Lelaki Maut Disyaki Didera Bapa, Ibu Tiri
KUALA TERENGGANU, 10 Ogos — Seorang kanak-kanak lelaki berusia setahun 11 bulan maut dipercayai akibat didera bapa kandung dan ibu tirinya dalam kejadian di Kampung Banggol, Manir di sini pada Sabtu. Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, ACP Azli Mohd Noor berkata mangsa disahkan meninggal dunia pada 2.05 petang di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) akibat pendarahan dalam kepala berpunca daripada hentakan objek tumpul. Beliau berkata kejadian terbongkar apabila pegawai perubatan Zon Merah HSNZ menerima pesakit tidak sedarkan diri pada 6 Ogos lalu kira-kira jam 1 tengah hari. “Hasil pemeriksaan mendapati terdapat kesan lebam pada badan, muka dan leher mangsa. Siasatan awal mendapati suspek pertama iaitu bapa kandung berusia 27 tahun dan suspek kedua iaitu ibu tiri berusia 30 tahun mengaku pernah memukul mangsa menggunakan penyangkut baju di bahagian betis,” katanya dalam kenyataan hari ini. Menurut Azli, sehari sebelum kejadian mangsa dipercayai jatuh selepas memanjat pagar penyekat pintu bilik namun kembali aktif seperti biasa.  Pada pagi kejadian, bapa mangsa keluar rumah meninggalkan anaknya bersama ibu tiri sebelum pulang sekitar jam 11 pagi dan mendapati mangsa sedang tidur. Sekitar jam 12 tengah hari, bapa cuba mengejutkan mangsa untuk diberi susu namun mendapati badan anaknya lembik sebelum mengurut leher mangsa dengan alasan mengurut urat sawan, menyebabkan kesan lebam di leher. Mangsa kemudian dibawa ke Klinik Kesihatan Manir sebelum dirujuk ke HSNZ untuk rawatan lanjut. Pemeriksaan lanjut mendapati mangsa mengalami pelbagai kesan lebam, luka melecet serta kecederaan otak yang dipercayai bukan berpunca daripada kemalangan, selain terdapat kesan lebam lama dan baharu pada betis. Polis turut merampas penyangkut baju berwarna hitam yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu. Kedua-dua suspek ditahan pada 10 malam selepas selesai pengurusan jenazah dan direman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001. Anak sulung pasangan itu yang berusia tiga tahun diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk jagaan sementara.
10 Aug 25
74
Terengganu, Syarikat Gergasi Arab Saudi Pacu Pelaburan Tenaga Bersih
Terengganu, Syarikat Gergasi Arab Saudi Pacu Pelaburan Tenaga Bersih
KUALA TERENGGANU, 10 Ogos – Selepas kejayaan pelancaran projek solar terapung di Tasik Kenyir baru-baru ini, Terengganu kini bergerak pantas bagi menggerakkan gelombang pelaburan baharu dalam sektor tenaga bersih dan ekonomi lestari. Pada Khamis lalu, kerajaan Negeri melalui Terengganu Incorporated Sdn. Bhd. (Terengganu Inc) menerima kunjungan ACWA Power, peneraju global dalam pembangunan tenaga boleh diperbaharui dari Arab Saudi, yang diketuai Pengerusinya, Mohamad Abunayyan. Pertemuan berimpak tinggi itu turut dihadiri Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dan Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Terengganu Inc, Dato’ Burhanuddin Hilmi Mohamed@Harun. Pertemuan itu bagi terus mengorak langkah strategik dalam tenaga solar, teknologi penyahgaraman air dan inisiatif hidrogen hijau. Menurut kenyataan Terengganu Inc, pertemuan tersebut turut memberi fokus kepada projek-projek yang selaras dengan objektif peralihan tenaga jangka panjang Malaysia, di samping membuka peluang memperkukuh hubungan dua hala antara Kerajaan Arab Saudi dan Malaysia. “Perbincangan ini bukan sahaja membincangkan pelaburan strategik, malah melihat kepada potensi komitmen peringkat tinggi untuk membentuk kerjasama antarabangsa yang memberi manfaat langsung kepada pembangunan ekonomi Terengganu,” kata kenyataan itu hari ini selepas pertemuan terbabit. Sebagai entiti pelaburan utama negeri, Terengganu Inc. menyifatkan kerjasama tersebut sebagai langkah penting selepas pelancaran solar terapung, yang akan mempercepatkan agenda tenaga lestari, membuka peluang pekerjaan dan meletakkan Terengganu sebagai hab tenaga bersih bertaraf antarabangsa.
10 Aug 25
855
KOKITAB Berada di Kedudukan Ke-48 Koperasi Terbaik Negara
KOKITAB Berada di Kedudukan Ke-48 Koperasi Terbaik Negara
KUALA TERENGGANU, 10 Ogos  – Koperasi Kakitangan Kerajaan Terengganu (KOKITAB) Berhad terus mengukir kejayaan apabila tersenarai sebagai salah satu daripada 100 koperasi terbaik Malaysia, berada di kedudukan ke-48 secara keseluruhan. Lebih membanggakan, KOKITAB berjaya mengekalkan kedudukan dalam senarai 100 koperasi terbaik negara selama empat tahun berturut-turut sejak 2022. Pada tahun 2022, KOKITAB berada di kedudukan ke-80, meningkat ke tangga ke-70 pada 2023, ke-68 pada 2024, sebelum melonjak ke tangga ke-48 tahun ini. Pengerusi Kehormat KOKITAB, Alias Mustaffa berkata, kejayaan tersebut adalah hasil kepercayaan ahli, kerjasama erat dalam pengurusan serta semangat yang menjadi tunjang kekuatan koperasi sejak penubuhannya. “Antara pencapaian bersejarah ialah pembinaan Wisma KOKITAB Kuala Terengganu pada tahun 1970. “Kemudian, kompleks perniagaan di Padang Midin, Setiu dan Kuala Nerus, diikuti Wisma KOKITAB Kuala Nerus bernilai RM11 juta yang siap pada 2020,” katanya  ketika berucap di Majlis Sambutan 75 Tahun Penubuhan KOKITAB di Wisma KOKITAB Kuala Nerus di sini hari ini. Menurutnya, dalam tempoh 75 tahun, KOKITAB turut aktif dalam pelaburan hartanah termasuk projek perumahan, penjualan rumah dan tanah lot kepada ahli bagi menjana pendapatan koperasi serta memberi manfaat terus kepada anggota. Sementara itu, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan) merangkap Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Terengganu, Datuk Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak berkata KOKITAB telah memainkan peranan besar dalam memperkukuhkan ekonomi komuniti sejak penubuhan. “Penubuhannya menjadi mercu tanda keteguhan, dedikasi dan keprihatinan terhadap kebajikan anggota. Saya berharap KOKITAB terus melakar kejayaan dan menjadi contoh kepada koperasi lain,” katanya yang mewakili Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Nara Setia,  
10 Aug 25
1115
518 Penduduk Tak Sangka Terima Tanah daripada MB
518 Penduduk Tak Sangka Terima Tanah daripada MB
MARANG, 10 Ogos – Seramai 518 penduduk Rhu Rendang hari ini pulang dengan senyuman apabila menerima dokumen tanah yang dinantikan sejak sekian lama. Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata agihan itu meliputi 425 surat hak milik dan 93 notis Borang 5A.  “Alhamdulillah, sejak 2018 kerajaan negeri telah meluluskan 3,784 lot tapak rumah dan pertanian di Marang, dan khusus di DUN Rhu Rendang sahaja 1,830 lot tanah telah berjaya diselesaikan,” katanya. Beliau berkata demikian dalam majlis agihan dokumen Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) membabitkan kawasan Sungai Kerak 4 Fasa 3, Bukit Mawi, Bukit Gasing, Bukit Batu Putih dan Bukit Mak Abu di Dewan Majlis Daerah Marang hari ini.  Beliau yang juga ADUN Rhu Rendang mengucapkan tahniah kepada semua penerima, sambil mendoakan tanah tersebut dimanfaatkan sepenuhnya untuk kebaikan keluarga dan generasi akan datang.  
10 Aug 25
159
Projek Terengganu-PETRONAS-Arab Saudi Dalam Perbincangan Teknikal Akhir
Projek Terengganu-PETRONAS-Arab Saudi Dalam Perbincangan Teknikal Akhir
MARANG, 10 Ogos – Projek pembangunan tenaga solar membabitkan Kerajaan Terengganu, PETRONAS dan sebuah syarikat dari Arab Saudi, ACWA Power kini berada pada peringkat perbincangan terakhir sebelum dimuktamadkan. Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, projek mega itu adalah salah satu daripada inisiatif yang dibangunkan di Tasik Kenyir yang dilancarkan baru-baru ini. “Sebenarnya ada dua projek berkaitan pembangunan tenaga solar di Tasik Kenyir. Projek ini juga berskala besar dan telah melalui perbincangan antara kerajaan negeri melalui anak syarikatnya bersama PETRONAS serta syarikat ACWA Power dari Arab Saudi. “Projek ini sedang berjalan dan kini berada di fasa akhir bagi penentuan perincian teknikal,” jelasnya. Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Majlis Penyerahan Dokumen Hak Milik dan Borang 5A Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) DUN Rhu Rendang, di sini, semalam. Mengulas lanjut mengenai satu lagi projek yang dirasmikan Perdana Menteri sebelum ini, Ahmad Samsuri berkata kajian rintis telah pun dijalankan. “‘Pilot study’ telah dibuat. Kalau pergi ke Tasik Kenyir, kita sudah dapat lihat panel solar berkapasiti kilowatt yang dipasang,” ujarnya.
10 Aug 25
303
Golden Pharos Bangunkan Loji Biochar di Dungun
Golden Pharos Bangunkan Loji Biochar di Dungun
KUALA TERENGGANU, 10 Ogos — Golden Pharos Bhd (GPB), syarikat milik kerajaan negeri Terengganu, akan membangunkan sebuah loji pengeluaran biochar di Dungun menerusi kerjasama dengan syarikat kejuruteraan tempatan, GK Vest Sdn Bhd. Dalam makluman kepada Bursa Malaysia baru-baru ini, GPB berkata loji berkenaan akan dibina di atas tanah seluas 0.48 hektar milik anak syarikatnya, GP Plywood Sdn Bhd. Biochar ialah sejenis arang yang dihasilkan daripada bahan organik seperti sisa kayu melalui proses pirolisis, dan digunakan secara meluas dalam sektor pertanian serta pengurusan karbon bagi memperbaiki struktur tanah, mengekalkan kelembapan dan menyerap karbon untuk jangka masa panjang. Projek tersebut akan dilaksanakan melalui perkongsian hasil, dengan GK Vest menerima 80 peratus daripada hasil bersih manakala GP Plywood memperoleh 20 peratus.  Perjanjian itu akan disemak secara berkala berdasarkan keadaan operasi, kewangan dan peraturan semasa. Menurut GPB, GP Plywood akan memudahkan urusan mendapatkan lesen dan permit berkaitan projek, selain menyediakan kawasan serta kemudahan operasi. GK Vest pula bertanggungjawab membiayai sepenuhnya kos modal dan operasi, memastikan loji siap selewat-lewatnya pada 31 Ogos 2026, serta mengurus program karbon dan penjualan produk alam sekitar berkaitan. Lembaga Pengarah GPB yakin projek ini mempunyai potensi besar memandangkan kumpulan mempunyai akses kepada lebihan hasil hutan daripada anak syarikat yang sebelum ini kurang dimanfaatkan. “Dengan bekalan balak dan sisa hutan yang tersedia, kumpulan berada pada kedudukan kukuh untuk menembusi pasaran domestik dan antarabangsa bagi produk biochar, sekali gus mewujudkan peluang perniagaan yang mampan dan menguntungkan,” kata kenyataan itu. Kerajaan negeri Terengganu memiliki 68.94 peratus pegangan dalam GPB melalui Terengganu Incorporated Sdn Bhd (60.80 peratus) dan Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu (8.15 peratus).
10 Aug 25
124