Artikel "Utama" Terkini
Terengganu Pacu Bukit Bubus ke Pentas Antarabangsa
BESUT, 9 Ogos – Kerajaan Terengganu memperkukuh agenda pelancongan sukan udara dengan memacu Bukit Bubus di Tembila sebagai hab bertaraf antarabangsa menerusi penganjuran Terengganu International Air Festival (TIAF), yang disasar mencapai kemuncak pada Tahun Melawat Terengganu 2027.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, penganjuran tahun ini merekodkan penyertaan sembilan negara melibatkan 66 peserta, sekali gus melonjakkan status TIAF daripada acara nasional kepada antarabangsa.
"Bila sudah melebihi lima negara, kita boleh angkat program ini sebagai antarabangsa.
"Tahun hadapan Bukit Bubus akan jadi tuan rumah kepada Liga Negara-Negara Asia dan World Cup Paragliding," katanya pada sidang media selepas merasmikan TIAF 2025 di Besut Paragliding Park, Bukit Bubus, di sini semalam.
Turut bersama, Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi, Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut, Azbi Salleh, ADUN Hulu Besut, Mohd Husaimi Hussin.
Menurutnya, sokongan terhadap TIAF selari dengan komitmen negeri memposisikan Terengganu sebagai destinasi sukan ekstrem dan berprestij di rantau ini.
"Ini melambangkan negeri Terengganu menyokong sukan-sukan yang ekstrem dan juga berprestij.
"Sukan ini juga adalah 'signature event' negeri Terengganu di bawah Jabatan Pelancongan Negeri," jelasnya.
Bagi memperkukuh daya saing penganjuran, kerajaan negeri memperuntukkan RM20,000 untuk kerja-kerja penyelenggaraan dan pengindahan kawasan Bukit Bubus, selain berusaha mendapatkan tambahan RM50,000 bagi menaik taraf infrastruktur termasuk cadangan memperkenalkan aktiviti rock climbing pada Air Festival 2026.
"Kita mahu adakan sukan rock climbing untuk menambahkan lagi acara pada Air Festival 2026.
"Kita akan mengangkat lagi supaya menjadi lebih besar menjelang 2027," tambah beliau.
Razali turut menggesa Majlis Daerah Besut memastikan fasiliti dan imej kawasan sentiasa berada pada tahap terbaik.
"Saya minta YDP Besut menceriakan lagi tempat ini, beberapa gerai usang itu perlu dibaik pulih.
"Kebersihan juga adalah satu produk pelancongan negeri Terengganu," tegasnya.
Beliau optimis penganjuran berskala antarabangsa itu akan memberi limpahan ekonomi kepada komuniti setempat, terutama peniaga kecil dan pengusaha tempatan.
"Dengan program seperti ini, ia akan memberi manfaat kepada sosioekonomi setempat.
"Bila festival ini diangkat ke peringkat antarabangsa, makin ramai lagi yang akan dapat manfaat," katanya.
09 Aug 25
951
Empat Peserta ‘King Of Subuh Warrior’ Bawa Pulang Basikal
KEMAMAN, 9 Ogos – Empat peserta Program ‘King Of Subuh Warrior’ mencatat pencapaian membanggakan apabila berjaya hadir ke masjid untuk menunaikan solat Subuh berjemaah selama 40 hari berturut-turut tanpa gagal, sekali gus membawa pulang hadiah basikal sebagai penghargaan.
Pengarah Program, Wan Mohd Redzuan Mohd Kamar, berkata empat peserta tersebut ialah Isma Fakhrusy Syakirin Ismail, Isma Farish Syazreen Ismail, Muhammad Adam Yusuf Ishak dan Muhammad Umar Uwais Ishak.
“Cabaran Solat Subuh berjemaah 40 hari ini bukan sekadar membiasakan bangun awal, tetapi juga membentuk kekuatan rohani, disiplin diri dan hubungan erat dengan masjid.
“Selain empat peserta yang berjaya menamatkan cabaran penuh, kita juga meraikan pencapaian lain seperti 34 hari, 25 hari, 14 hari, 13 hari dan 10 hari,” jelasnya.
Beliau berkata demikian semasa Majlis Perasmian Penutup ‘King Of Subuh Warrior’ bertempat di Masjid Batu 9 semalam.
Majlis tersebut dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, Datuk Razali Idris dan turut dihadiri oleh Pengerusi Jawatankuasa Masjid Batu 9, Ustaz Abdul Halim Bahari, serta barisan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPPK) Batu 9.
Sementara itu, Ishak Ibrahim, 47, bapa kepada dua peserta cilik, Adam Yusuf (12) dan Umar Uwais (11) berkongsi pengorbanan keluarga demi memastikan anak-anaknya menamatkan cabaran tersebut.
“Alhamdulillah, anak-anak saya mudah bangun Subuh. Pernah satu hari saya kerja syif malam dari jam 7 malam hingga 7 pagi. Mereka risau kerana biasanya ke masjid bersama saya menaiki motosikal bertiga.
“Namun, mereka tetap bertekad hadir dan meminta ibu mereka menghantar ke masjid supaya cabaran 40 hari tidak terhenti.
“Sepanjang program ini, kami banyak membatalkan aktiviti lain demi memastikan cabaran ini berjaya. Terima kasih kepada semua yang terlibat. Saya berharap program ini dapat diteruskan pada masa akan datang,” ujarnya.
09 Aug 25
945
Malaysia Mesti Pertahan Prinsip Sokong Perjuangan Palestin – Dr. Khalil
KUALA TERENGGANU, 9 Ogos – Malaysia perlu terus mempertahankan prinsip asas dalam dasar luar negaranya iaitu menyokong mana-mana pihak yang berjuang menentang penjajahan, termasuk kumpulan Hamas yang kini berada di barisan hadapan mempertahankan tanah air Palestin daripada penjajah Zionis.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi, berkata pendirian Malaysia yang tidak mengiktiraf kewujudan haram rejim Israel mesti kekal dipertahankan tanpa tunduk kepada tekanan mana-mana kuasa asing.
“Kita sebagai rakyat Malaysia mesti mempertahankan mana-mana pihak yang berjuang demi agama dan tanah air mereka. Itu prinsip teras yang perlu kita pelihara. Dalam konteks Palestin, Hamas adalah kumpulan pertama yang wujud untuk mempertahankan agama dan tanah air mereka daripada dijajah,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Pelancaran Apresiasi Media Terengganu 2025 di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, semalam.
Dr. Khalil turut menegaskan bahawa desakan supaya Hamas meletakkan senjata adalah bercanggah dengan prinsip Islam dan undang-undang antarabangsa, yang mengiktiraf hak setiap negara mempertahankan diri daripada penjajahan.
“Dalam piagam antarabangsa termasuk Piagam United Malaysian, jelas menyatakan bahawa perjuangan pembebasan termasuk secara bersenjata adalah sah dan wajar.
"Maka Hamas berada di pihak yang benar kerana mempertahankan tanah air mereka yang dijajah,” ujarnya.
Beliau menambah, Malaysia perlu konsisten dengan pendirian itu melalui pelbagai saluran, termasuk mengemukakan usul di Parlimen, menggalakkan boikot ekonomi terhadap entiti pro-Zionis, serta menggerakkan solidariti rakyat melalui demonstrasi aman dan kempen kesedaran.
Justeru, beliau menyeru kerajaan supaya bertegas dan tidak berganjak walaupun berdepan tekanan luar.
“Kita ada tanggungjawab moral dan prinsip terhadap isu ini,” tegas beliau.
09 Aug 25
54
Budaya Songsang Ancam Masyarakat
KUALA TERENGGANU, 7 Ogos - Budaya hidup bebas yang menyimpang daripada nilai agama dan adat ketimuran kini semakin menular dalam masyarakat, sekali gus menjadi ancaman serius terhadap jati diri rakyat dan masa depan generasi akan datang.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi, menegaskan bahawa gejala ini bukan sekadar fenomena sosial biasa, sebaliknya merupakan penyakit masyarakat yang perlu ditangani secara menyeluruh.
“Kalau penyakit melibatkan tubuh badan, kita bawa ke hospital. Tetapi jika penyakit itu berkait dengan cara hidup bebas yang dibawa dari Barat, kita perlu hadapinya dengan pendekatan yang berbeza.
“Bukan semua yang datang dari Barat itu buruk, ada nilai yang positif dan boleh diterima. Namun, perkara yang bercanggah dengan agama perlu dijauhi, antaranya budaya hidup bebas seperti lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) yang jelas ditegah oleh Islam,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Apresiasi Media Terengganu 2025 kali keempat yang berlangsung di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, semalam.
Jelasnya, Terengganu sentiasa berpegang kepada prinsip agama sebagai asas utama dalam menangani isu-isu sosial, termasuk budaya songsang yang menular secara halus melalui pelbagai medium.
“Sebarang isu, kita cari penyelesaian dari sudut agama terlebih dahulu. Kita ambil langkah awal supaya budaya songsang ini tidak terus merebak dalam masyarakat,” tambahnya.
Antara langkah proaktif yang dilaksanakan kerajaan negeri ialah memberi kesedaran kepada ibu bapa dan masyarakat melalui pelbagai pendekatan seperti wacana ilmiah, forum, kuliah dan penyebaran maklumat secara berterusan.
Beliau turut menyuarakan kebimbangan terhadap sikap segelintir masyarakat yang terlalu terbuka menerima budaya luar sehingga mengabaikan identiti sendiri.
“Kita ada identiti kita. Kita orang Melayu dan Muslim. Bangsa lain juga ada nilai ketimuran yang patut dipertahankan.
“Ini benteng kita dalam menghadapi kebanjiran budaya asing yang boleh merosakkan akhlak anak-anak,” katanya lagi.
07 Aug 25
133
UPDI Rangkul Anugerah, Tokoh Media Terengganu Disanjung
KUALA TERENGGANU, 7 Ogos – Dua peserta dari Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) mengungguli kategori Foto Terbaik Media Digital pada Majlis Apresiasi Media Terengganu 2025, semalam.
UPDI unggul apabila Tengku Mohamad Syamim Tengku Ismail dinobatkan johan melalui karya bertajuk "Pesta Main Selut Jadi Tarikan Pelancongan Terengganu" sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM1,500, plak dan sijil.
Manakala, rakan sejawatnya, Muhammad Ammar Shafiq Rozlan, pula di tempat kedua dengan foto bertajuk "Petugas Pertahanan Awam" dan hadiah RM1,000, plak serta sijil.
Lima kategori utama dipertandingkan merangkumi Berita dan Foto Terbaik (Media Digital dan Cetak), serta Video Terbaik Media Digital.
Media Prima Berhad turut turut mencuri tumpuan apabila merangkul dua anugerah penting, mencerminkan mutu penyampaian berita dan visual yang konsisten serta berkualiti tinggi
Wartawan TV3, Mohd Ishak Abdillah Ngah, meraih tempat kedua dalam Kategori Berita Digital Terbaik menerusi rencana bertajuk ‘Perahu Terengganu Semakin Pupus’. Karya berkenaan menyentuh isu pemuliharaan warisan maritim negeri yang semakin terpinggir. Beliau membawa pulang wang tunai RM1,000 berserta plak penghargaan.
Sementara itu, jurufoto berpengalaman dari New Straits Times Press (NSTP), Mohd Ghazali Kori, dinobatkan pemenang utama Kategori Video Digital Terbaik melalui karya menyentuh hati bertajuk ‘Penenun Buta’, yang mengetengahkan kisah kecekalan seorang wanita OKU dalam meneruskan warisan tenunan. Beliau menerima hadiah wang tunai RM1,500 dan plak kemenangan.
Bernama turut menyerlah apabila dua wakilnya mengungguli anugerah utama. Balqis Jamaludin muncul juara Kategori Berita Digital Terbaik menerusi laporan bertajuk ‘Banjir: Pemuda Ikat Tong Dram Bawah Katil Untuk Keselesaan Bapa Terlantar Sakit’ – kisah penuh kemanusiaan yang menyentuh emosi pembaca.
Bagi Kategori Media Cetak Foto Terbaik, jurufoto Mohd Syafiq @ Ridzuan Ambak (Bernama) dinobatkan pemenang menerusi gambar bertajuk ‘Katil Terapung, Suami Terlantar Dijaga Isteri’, yang merakamkan pengorbanan dan kasih sayang dalam suasana banjir.
Majlis anugerah ini bukan sekadar menghargai karya bermutu, malah mengiktiraf insan-insan di sebalik tabir yang menjadikan dunia kewartawanan sebagai medan perjuangan ilmu, dakwah dan pembangunan ummah.
Anugerah ini juga menjadi bukti bahawa Terengganu terus melahirkan pengamal media yang berjiwa besar, berprinsip dan berpengaruh, serta mampu membentuk landskap media negara ke arah lebih progresif dan beretika.
07 Aug 25
327
Spesies Baru Belalang Pygmy Ditemui di Hutan Terengganu
KUALA TERENGGANU, 7 Ogos - Terengganu mencuri tumpuan dunia pemuliharaan dan pemeliharaan apabila satu spesies baharu belalang 'pygmy' (kerdil atau kecil) yang dinamakan Belalang Sekayu atau Eufalconius sekayu telah ditemui di kawasan Hutan Simpan Sekayu, Kuala Berang.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris, mengumumkan mengenai penemuan spesies baharu itu kelmarin.
Menurut beliau, penemuan ini bukan sahaja membanggakan dari sudut saintifik, tetapi juga membuktikan bahawa kawasan hutan di Terengganu masih kaya dengan biodiversiti dan berada dalam keadaan yang terjaga.
Datuk Razali Idris
"Antara penemuan saintifik yang direkodkan adalah spesies belalang baru, iaitu Eufalconius belalang sekayu yang diberi kepada saya tadi gambar itu daripada genus Eufalconius.
"Belalang ini sebenarnya hanya ada di Malaysia dan spesies ini dijumpai oleh Dr. Nurul Ashikin Abdullah dari Universiti Melaya (UM) semasa ekspedisi saintifik kepelbagaian biologi hutan di Hutan Simpan Hulu Terengganu Tambahan pada 9 Oktober 2024.
"Alhamdulillah, apa yang saya dapat lihat dengan adanya (penemuan) belalang sekayu bermakna negeri Terengganu masih menjaga kelestarian hutan.
"Pembalakan pun dijaga dengan sempurna maka habitat kepada spesies-spesies yang dah nak pupus masih berada di negeri Terengganu," katanya.
Razali berkata demikian kepada pemberita dalam satu sidang media selepas merasmikan Persidangan Ekspedisi Saintifik Kepelbagaian Biologi Hutan 2025 di Raia Hotel Kuala Terengganu.
Mengulas lebih lanjut, beliau menyarankan supaya pencarian dan penjagaan yang lebih terperinci dijalankan oleh pihak berkenaan bagi mengenalpasti populasi belalang kerdil tersebut yang menurutnya, mempunyai nilai sebagai produk pelancongan negeri.
"Tetapi dia baru dijumpai dan kita akan minta supaya Jabatan Perhutanan melihat sama ada ianya spesies terancam ataupun memang tahap (bilangan) itu saja yang dia ada.
"Kita amat memerlukan spesies-spesies seperti ini seperti belalang sekayu tadi, itu satu produk baru untuk negeri Terengganu yang baru saja dijumpai dan belalang itu tak banyak bilangannya, silap-silap terhilang (pupus) jadi kita kena jaga habitatnya," jelasnya.
Perkara itu turut disokong oleh Ketua Pengarah Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPMS), Dato' Zahari Ibrahim dimana beliau menekankan bahawa penjagaan habitat memainkan peranan yang besar untuk meneruskan kelestarian alam.
Zahari Ibrahim
"Fungsi Jabatan Perhutanan sendiri untuk mengawal, mengurus dan merancang serta menguatkuasakan habitat biodiversiti ini.
"Ada masyarakat yang lihat hanya penting jaga harimau, jaga tapir, jaga raflesia tapi yang penting habitat atau rumah dia itu. Dan habitat ini juga sering diberi ancaman yang besar apabila kita membuatkan pembangunan dan juga pengeluaran ekonomi kepada negeri-negeri masing-masing.
"Jadi, apa yang saya ingin tegaskan, sehingga sekarang kawasan habitat kita masih mengekalkan keluasan dia daripada tahun 1984 sehinggalah ke tahun sekarang ini walaupun dalam keadaan ekonomi dan juga pembangunan pesat," katanya.
Dalam pada itu, Zahari mengucapkan penghargaan kepada kerajaan negeri atas kesudian untuk menjadi tuan rumah bagi Persidangan Ekspedisi Saintifik Kepelbagaian Biologi Hutan Tahun 2025.
"Maklumat (persidangan) ini penting supaya kita dapat mengutamakan apakah biodiversiti yang patut kita jaga, kita urus dan kita kawal dia daripada ancaman-ancaman yang lain.
"Jadi, saya berterima kasih kepada Kerajaan negeri, yang menjadi tuan rumah kita pada hari ini dan ini menunjukkan bahawa keprihatinan kerajaan negeri dalam memelihara dan mengurus serta menjaga khazanah hutan negara," ujarnya.
07 Aug 25
2544
RMK-13 Dibentang PM Mengecewakan
KUALA TERENGGANU, 7 Ogos – Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menyuarakan kebimbangan terhadap beberapa keutamaan pembangunan di Pantai Timur yang tidak diberi perhatian sewajarnya ketika pembentangan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), baru-baru ini.
Antara contoh katanya, melibatkan penyediaan infrastruktur iaitu pembangunan projek Lebuh Raya Pantai Timur Fasa 3 (LPT3) yang masih belum mendapat perhatian sepatutnya walaupun telah dibincang sejak RMK terdahulu.
“Memang kosnya besar tetapi berbanding dengan projek-projek tertentu yang dibawa ke Pantai Barat, di Pulau Pinang umpamanya ternyata terdapat ketidakseimbangan pembangunan antara Pantai Barat dan Pantai Timur.
“Saya tidak ada masalah dengan Pulau Pinang, mereka adalah rakyat Malaysia yang berhak untuk mendapat projek-projek pembangunan.
“Sedangkan apa yang diperjuangkan oleh kami dahulu adalah untuk ‘sharing of prosperity’ di kalangan rakyat seluruh negara supaya tidak ada negeri-negeri atau kalangan rakyat yang tertinggal,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Terengganu 2025 di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, semalam.
Dalam pada itu, Ahmad Samsuri menyifatkan pembentangan RMK-13 agak mengecewakan kerana Kerajaan Persekutuan tidak mengambil peluang sepenuhnya untuk memperbetulkan kelemahan-kelemahan yang ada dalam perancangan RMK sebelum ini.
“Secara lebih mendalam saya akan bahaskan RMK-13 pada minggu hadapan di Dewan Rakyat, tetapi secara umumnya saya boleh sebutkan bahawa apa yang dibentangkan itu agak mengecewakan.
“Walaupun perkataan itu agak pedas, tapi rasa agak mengecewakan kerana sepatutnya RMK13 menjadi medan untuk memperbetulkan pelbagai kelemahan termasuk dari sudut pelaksanaan yang sering menjadi isu dalam RMK sebelum ini," katanya.
07 Aug 25
75
Persidangan Saintifik Biodiversiti Himpun 350 Penyelidik Dan Pendidik
KUALA TERENGGANU, 7 Ogos - Seramai 350 penyelidik dan pendidik dari pelbagai institusi pengajian tinggi, agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) serta individu berkumpul di Terengganu bagi menyertai Persidangan Ekspedisi Saintifik Kepelbagaian Biologi Hutan Tahun 2025.
Persidangan anjuran Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) dengan kerjasama Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu itu diadakan di Raia Hotel & Convention Centre, Kuala Terengganu dan telah berlangsung selama tiga hari mulai 4 Ogos sehingga 6 Ogos 2025.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Terengganu, Datuk Razali Idris berkata, penganjuran edisi julung kali ini merupakan platform penting dalam mendokumentasikan penemuan saintifik dan menyampaikan ilmu kepada generasi muda serta masyarakat umum.
Datuk Razali (kiri) dan Dato’ Zahari (kanan)
"Sebanyak 57 kertas kerja akan dibentang dalam persidangan ini yang melibatkan pelbagai disiplin seperti ekosistem hutan, flora, fauna ekopelancongan, rekreasi, ekologi geologi, arkeologi serta sosioekonomi.
"Pengajaran persidangan ini selaras dengan Dasar Perhutanan Negara 2021 yang menekankan kepentingan pendidikan pemeliharaan, pemuliharaan dan penggunaan sumber hutan secara lestari.
"Saya memang sarankan supaya didokumentasikan persidangan ini dan hasilnya diagihkan yang pertamanya kepada para pelajar, universiti dan orang awam. Yang pentingnya generasi penerus harus tahu bahawa spesies-spesies yang ada pada hari ini perlu dijaga," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Perasmian Persidangan Ekspedisi Saintifik Kepelbagaian Biologi Hutan tahun 2025, di sini, kelmarin.
Tambahnya, persidangan itu mengetengahkan hasil pengumpulan maklumat kepelbagaian biologi Hutan Simpan kekal (HSK) di Semenanjung Malaysia, khususnya daripada ekspedisi saintifik di beberapa negeri pada tahun 2024.
"Persidangan ini adalah sebagai platform kepada para pendidik dan saintis untuk membentangkan hasil penemuan kajian daripada empat ekspedisi saintifik yang telah dilaksanakan di Hutan Simpan Bukit Jernih, Perlis 20 hingga 30 Julai 2024.
"Selain itu, kajian juga dilaksanakan di Hutan Simpan Gunung Arong, Mersing, Johor 17 hingga 21 September 2024; Gunung Nuang Hutan Simpan Ulu Langat, Selangor, 2 hingga 6 September 2024 dan Hutan Simpan Hulu Terengganu Tambahan, Kuala Berang, Terengganu, 7 hingga 11 September 2024," jelasnya.
Datuk Razali turut berharap agar Terengganu terus diberi kepercayaan menjadi platform utama persidangan seumpama ini, sekali gus mengangkat negeri ini sebagai hab ilmu biodiversiti dan pemuliharaan alam sekitar negara.
Dalam masa sama, Ketua Pengarah JPSM, Dato’ Zahari Ibrahim, berkata sambutan luar biasa terhadap penyertaan persidangan adalah bukti bahawa kesedaran masyarakat terhadap isu biodiversiti semakin meningkat.
"Jumlah penyertaan yang besar menjadi penanda aras yang bagus untuk menunjukkan komitednya, ini menunjukkan bahawa masyarakat sekarang mula prihatin kepada kepentingan khazanah biodiversiti ini.
"Dan kita sedia maklum bahawa dunia mengikiraf bahawa perubahan iklim dunia ini disebabkan salah satunya oleh kemerosotan khazanah biodiversiti negara dan dunia.
"Jadi ekspedisi ini bukan sahaja penyertaan semua akademi dan juga inisiatif pengajian tinggi tapi dia melahirkan banyak pelapis-pelapis baru dalam menyokong usaha-usaha untuk menimba dan mencari khazanah-khazanah biodiversiti negara," katanya.
07 Aug 25
113
Mantan Menteri Agama, Bekas Penerbit Jejak Rasul Terima Anugerah
KUALA TERENGGANU, 7 Ogos – Tiga tokoh media berpengaruh dan berjasa dari Terengganu terus menjadi inspirasi dalam dunia penyiaran, kewartawanan dan pengisian dakwah melalui media, hasil dedikasi serta pencapaian cemerlang mereka di peringkat negeri dan nasional.
Pengiktirafan terhadap ketiga-tiga tokoh tersebut diberikan dalam Majlis Apresiasi Media Terengganu 4.0 yang berlangsung penuh penghargaan di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, semalam.
Antara tokoh yang diraikan ialah Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri, ulama berwibawa kelahiran Kampung Gong Pauh, Kemaman, Terengganu, yang pernah menjawat jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dari tahun 2020 hingga 2021.
Beliau sebelum itu berkhidmat sebagai Mufti Wilayah Persekutuan ke-7 dari 2014 hingga 2020, dan seterusnya dilantik sebagai Ahli Dewan Negara (Senator) selama tiga tahun bermula Mac 2020.
Berpendidikan tinggi dalam bidang syariah, beliau memiliki Ijazah Sarjana Muda Syariah dari Universiti Islam Madinah, Ijazah Sarjana dari Universiti al-Ulum al-Islamiah wa al-Arabiah, Damsyik, serta PhD dari Universiti Sains Malaysia (USM) dengan penyelidikan khusus tentang institusi fatwa.
Beliau dikenali sebagai sosok yang menyampaikan dakwah dan ilmu agama secara berhemah, berfakta dan inklusif, serta menjadi rujukan dalam isu-isu semasa keagamaan dan muamalat moden.
Sementara itu, tokoh penyiaran Islam negara, Ahmad Noor Sulaiman, turut menerima pengiktirafan atas sumbangan besarnya dalam menerbitkan rancangan berbentuk keagamaan yang berimpak tinggi di TV3, termasuk program tersohor Jejak Rasul dan Halaqah.
Sebagai Penerbit Eksekutif Jabatan Kandungan dan Pengisian Islam TV3, beliau aktif menghasilkan pelbagai rancangan bual bicara, dokumentari serta majalah keagamaan yang menjadi rujukan ramai.
Antara pengiktirafan yang pernah diterima termasuk Anugerah Galakan Keterampilan Berbahasa Televisyen (DBP, 2005), Penyampai Rancangan Agama TV Lelaki Terbaik (2007) dan Anugerah Khas Juri Anugerah Sri Angkasa 2022.
Turut menerima penghargaan ialah Suhaimi Taib, seorang tokoh kewartawanan yang telah lama menyumbang dalam bidang penulisan dan penerbitan media negeri.
Beliau pernah berkhidmat sebagai Pengarang Warta Darul Iman dan Penerbit Siaran Darul Iman di bawah Urus Setia Penerangan Kerajaan Negeri Terengganu (UPKNT), selain merupakan bekas Ketua Pemberita Akhbar Harakah dan Wartawan Sambilan Berita Harian.
Antara pencapaiannya termasuk Anugerah Kewartawanan Esso Kawat (1998) dan Anugerah Penulisan Terbaik Berita Umum Dalam Talian oleh Universiti Malaysia Terengganu (UMT, 2018).
Ketiga-tiga tokoh ini bukan sahaja mengharumkan nama Terengganu, malah memberi sumbangan besar dalam mengangkat nilai kewartawanan beretika, memperkasa kandungan Islamik berkualiti, dan menyebarkan dakwah secara efektif melalui media arus perdana negara.
07 Aug 25
102
Tarif Air Terengganu Masih Terendah Di Malaysia
KUALA TERENGGANU, 7 Ogos - Tarif air baharu di Terengganu kekal antara tiga negeri di Malaysia sebagaimana yang digazetkan pada Julai 2025.
Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, pihaknya telah mendengar penjelasan Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Air Terengganu (SATU), Abdul Karim Endut ketika mengadakan pertemuan.
"Saya sempat mendapatkan penjernihan tentang isu tarif air SATU yang berlegar dalam media sosial, beliau memaklumkan memang tarif air disemak setiap tiga tahun dengan kelulusan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Terengganu (SPAN) untuk semua negeri.
"Ternyata tarif air SATU, Terengganu yang baru adalah dalam kelompok tiga yang paling rendah sebagaimana yang saya lampirkan pada carta (dalam gambar)," ujarnya dalam satu kenyataan di media sosialnya, hari ini.
Dalam pada itu katanya, Terengganu juga masih kekal dengan dasar memberikan subsidi air percuma untuk rakyat dalam kategori B40 selain untuk institusi seperti masjid.
"Saya (juga) mengingatkan beliau dengan tarif yang baru, rakyat mengharapkan SATU meningkatkan kualiti perkhidmatan bekalan air.
"Alhamdulillah banyak masalah bekalan telah diselesaikan tapi masih banyak penambahbaikan perlu kepada ikhtiar gigih semua yang terlibat,"ujarnya.
07 Aug 25
467