lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Laluan ECRL ke Pelabuhan Kemaman Jangka Siap 2024
Laluan ECRL ke Pelabuhan Kemaman Jangka Siap 2024
KEMAMAN, 15 Februari - Pelan pembangunan fasa pertama Konsortium Pelabuhan Kemaman (KPK) bagi pelaksanaan kerja pembinaan laluan kereta api (spur line) dari stesen utama dijangka siap sebelum akhir tahun depan. Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Eastern Pacific Industrial Corporation Bhd (EPIC Bhd), Ir Muhtar Suhaili berkata, projek yang menelan kos RM20 juta itu akan dimulakan selewat-lewatnya akhir tahun ini dan dijangka siap dalam masa 13 bulan. Jelas beliau, pihaknya kini dalam proses perbincangan untuk perlantikan konsultan dan pasukan pengurusan projek (PMT) “Laluan ini akan menghubungkan stesen utama Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) ke Pelabuhan Kemaman," ujarnya.   Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program bersama media di Pelabuhan Kemaman di Telok Kalong semalam. Menurut Ir Muhtar, projek pembesaran pelabuhan kemaman akan diteruskan untuk beberapa fasa iaitu fasa kedua yang dijangka bermula pada 2026 dan fasa ketiga pada 2030 dengan anggaran kos RM3 bilion untuk memenuhi permintaan aktiviti yang semakin meningkat. “Kita sedang berbincang dengan beberapa orang pelabur yang boleh bekerjasama dengan untuk fasa ketiga  termasuklah memanjangkan lagi pelabuhan kita dan fungsinya untuk menampung keperluan pengguna pelabuhan dalam masa sekarang dan masa hadapan. “Pelan ini dimulakan seiring dengan peningkatan kapasiti pegendalian kargo sebanyak 12 juta tan metrik (MT) pada masa ini sehingga 30 juta MT akan direkodkan setelah projek pembesaran ini siap kelak.  
15 Feb 23
1385
'MB Terengganu Ada Bakat Terpendam' - Menteri
'MB Terengganu Ada Bakat Terpendam' - Menteri
KUALA TERENGGANU, 14 Februari - Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mendedahkan Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mempunyai bakat terpendam dalam bidang perkayuan dan seni. Tengku Zafrul berkata, ketika beliau dalam lawatan kerja di kediaman rasmi Ahmad Samsuri, Ahli Dewan Undangan Negeri Rhu Rendang itu telah menunjukkan perabot yang dihasilkannya daripada barang terbuang. "Saya baru tahu Menteri Besar Terengganu ini sebenarnya ada bakat terpendam. "Kamu semua boleh tengok sendiri perabot yang beliau hasilkan daripada kayu terbuang dan pelbagai bahan lain.  "Bukan setakat perabot, lukisan pun ada. Kalau Dato’ Seri jual kerja tangan ini, mesti ramai nak beli," ujar beliau teruja di Facebook rasminya sebentar tadi. Terdahulu, Tengku Zafrul memaklumkan beliau berada di Terengganu bagi meneruskan lawatan ke industri-industri tempatan.  Katanya, lawatan dimulakan dengan kunjungan hormat ke Seri Setia, kediaman rasmi Ahmad Samsuri. "Kami telah membincangkan tentang hala tuju pembangunan industri tempatan bagi merancakkan sektor pelaburan di Terengganu," katanya.  
14 Feb 23
2109
Pembudayaan Pendidikan Rakyat Sepanjang Hayat Diberi Tumpuan
Pembudayaan Pendidikan Rakyat Sepanjang Hayat Diberi Tumpuan
KUALA TERENGGANU, 14 Februari - Kerajaan negeri sentiasa memberikan sepenuh tumpuan terhadap pendidikan di kalangan rakyat termasuk kempen pembudayaan pembelajaran sepanjang hayat bagi meningkatkan kualiti hidup masyarakat. Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, inisiatif yang dilakukan itu akan menjadikan rakyat negeri ini memiliki intelektual serta spiritual yang sejahtera. "Kita ingin membawa keluar pemikiran rakyat negeri dan negara ini dari (menumpukan) pendidikan rasmi sahaja kepada penekanan pendidikan sepanjang hayat. "Dengan belajar, berfikir dan membaca akan menjadi praktis kepada otak kita supaya terus aktif, insyaAllah, apa saja usaha yang membawa manfaat kepada rakyat Terengganu akan kita teruskan,"ujarnya menerusi facebook rasminya, hari ini. Justeru itu, beliau merakamkan ucapan tahniah atas inisiatif Persatuan Alumni Pelajar Yayasan Terengganu (PAKAT) yang telah memastikan pemerkasaan pendidikan di kalangan rakyat itu dapat direalisasikan. "Kerana telah bertindak menggariskan pelbagai usaha menampung kelompongan pendidikan selepas Kongres Pendidikan Rakyat Terengganu yang lalu,"ujarnya.
14 Feb 23
127
1,573 Pelajar B40 Terima Bantuan Persekolahan
1,573 Pelajar B40 Terima Bantuan Persekolahan
KUALA TERENGGANU, 14 Februari – Seramai 1,573 individu daripada keluarga kurang berkemampuan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Buruk menerima bantuan awal persekolahan hari ini.  Bantuan tersebut merupakan inisiatif daripada Kerajaan Terengganu bagi meringankan beban rakyat khususnya ibu bapa dalam membuat persiapan buat anak-anak mereka untuk sesi persekolahan akan datang.  Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi telah hadir bagi menyempurnakan perasmian majlis agihan tersebut yang diadakan di Dewan Kenanga Terengganu Equestarian Resort (TER).  “Agihan bantuan ini merupakan duit rakyat, kita kembalikan kepada rakyat untuk dimanfaatkan oleh mereka yang layak khususnya dalam konteks program hari ini iaitu anak-anak bersekolah. “Tidak dinafikan di sana ada beberapa kelemahan daripada pihak kerajaan, namun kita sentiasa berusaha untuk menambah baik dari semasa ke semasa,” kata Dr. Muhammad Khalil dalam ucapan perasmiannya.  Menurut beliau lagi, inisiatif-inisiatif yang berterusan daripada Kerajaan Negeri Terengganu menunjukkan bahawa kerajaan serius dalam menjaga kebajikan rakyat.  “Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) yang telah menguruskan agihan bantuan ini dengan lancar,” tambahnya lagi.  Antara kelengkapan yang diterima ialah sepasang pakaian sekolah, kasut dan beg sekolah.  
14 Feb 23
581
Dijangka 100,000 Pengunjung Hadir ke Karnival Beautiful Terengganu
Dijangka 100,000 Pengunjung Hadir ke Karnival Beautiful Terengganu
KUALA TERENGGANU, 14 Februari – Karnival Beautiful Terengganu 2023 yang berlangsung selama empat hari dijangka akan dihadiri lebih 100,000 pengunjung. Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT), Fadhli Yusof Zakaria berkata penganjuran karnival tersebut akan diadakan bermula dari 23 hingga 26 Februari di Padang Astaka dalam daerah Kemaman. Katanya, pelbagai pengisian menarik ditampilkan seperti pertunjukan kebudayaan, demonstrasi kebudayaan, pertunjukan bunga api, permainan rakyat dan sebagainya. “Tidak ketinggalan juga, sesi 'informative' daripada lapan agensi yang berkaitan bagi mempamerkan keunikan dan kepelbagaian produk pelancongan yang terdapat di negeri ini. “Lebih daripada 20 syarikat dan hotel bersedia untuk menawarkan harga yang sangat berpatutan, dan seramai 90 usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) turut serta dalam karnival itu,” jelasnya. Beliau berkata demikian Ketika ditemubual Di Radio Manis FM bertempat di Konti Manis FM, Kuala Terengganu di sini semalam. Tambah Fadli, pihak pelancongan memilih daerah Kemaman kerana memastikan setiap daerah di Terengganu mendapat promosi dan publisiti yang sewajarnya. Beliau berkata, penganjuran Karnival Beautiful Terengganu 2023 cukup bermakna kerana inilah platform yang baik untuk memperkenalkan Terengganu kepada pengunjung luar. "Antaranya, makanan tradisional, kesenian, kebudayaan, seni warisan dan jenis-jenis permainan tradisional yang hampir di telan zaman. "Di samping, mempromosikan produk serta perkhidmatan berkaitan sektor pelancongan yang terdapat di negeri ini," jelasnya.  
14 Feb 23
1507
Kerajaan Perpaduan Tipu Rakyat, Bukan Madani
Kerajaan Perpaduan Tipu Rakyat, Bukan Madani
KUALA TERENGGANU, 13 Februari - Pakatan Harapan (PH) telah menipu rakyat serta seluruh dunia dengan menubuhkan 'Kerajaan Perpaduan' serta bukan kerajaan 'madani' sebagaimana yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW. Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, mengikut istilah sains politik kerajaan perpaduan yang sebenar tiada pembangkang atau dalam jumlah yang sedikit. Menurut beliau, PH sebenarnya memimpin kerajaan campuran dengan ahli Parlimen mereka didominasi oleh bukan Islam seramai 50 orang dan 31 daripada kalangan orang Islam serta tidak menjadikan Melayu Muslim yang berintegriti bagi mendominasi penduduk negara ini sebagaimana yang terkandung dalam hadis. "Selain itu, kerajaan campuran ini bercampur aduk pula dengan pelbagai ideologi seperti kalangan liberal, puak ekstrem berhaluan kiri mahupun kanan, serta kalangan opurtunis. "Malah mereka disertai oleh kalangan yang dipertikai integritinya seperti bekas banduan, kluster mahkamah, kronisme dan nepotisme yang menjadi gejala dalam kerajaannya. "Betapa mereka adalah paling jauh daripada ciri-ciri 'madani' yang mampu mencipta kemajuan yang positif dan jauh daripada konsep al-din yang wajib menjadi panduan," ujarnya melalui Bicara Media Presiden yang dimuat naik di facebooknya semalam. Presiden PAS itu turut berkata, kepimpinan negara yang dilantik menerajui negara adalah kalangan mereka yang hanya menang tipis dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15 yang lalu dengan mendapat sokongan bukan muslim. "Bukannya sokongan kaum muslim yang mendominasi penduduk negara. Calon pemimpinnya berpindah randah tempat bertanding sehingga terpaksa bergantung kepada sokongan bukan Islam yang tidak mendominasi keseluruhan penduduk. "Makin hari, makin terdedah perkara-perkara yang melibatkan soal salah laku, sehingga beberapa orang pemimpin dalam komponennya sendiri membuat teguran secara terbuka kepada media melalui lisan dan tulisan, menyentuh prinsip dan integriti yang menggoncangkan kedudukan mereka. "Keadaannya tidak mampu ditutup dengan alasan kenyataan dan tindakan menyerang parti lawan dengan tujuan menutup kelemahan mereka," ujarnya lagi.  
14 Feb 23
642
Sahut Seruan Hari Hijab Terengganu
Sahut Seruan Hari Hijab Terengganu
KUALA TERENGGANU, 13 Februari - Orang ramai diseru agar menyahut seruan program Hari Hijab Terengganu (Terengganu Hijab Day) menggalakkan pemakaian hijab yang sempurna menurut syariat. Pengarah program, Wan Nur Sakinah Din berkata, ia adalah inisiatif daripada Kerajaan negeri Terengganu untuk melaksanakan Terengganu Hijab Day (THD)  di mana sambutannya adalah di seluruh daerah. “Alhamdulillah tahun ini masuk tahun kelima kempen Terengganu Hijab Day yang kita adakan bersempena dengan sambutan ‘World Hijab Day' yang diadakan pada 1 Februari setiap tahun di seluruh dunia. “Terengganu Hijab Day adalah salah satu usaha kerajaan negeri bagi kita merealisasikan slogan Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera,” jelasnya. Beliau yang juga Pengarah Urus Setia Wanita Terengganu (USWa) berkata demikian ketika di Pejabat Urus Setia Wanita Terengganu (USWa) di Dataran Alamanda, pada hari ini. Menurutnya, program Terengganu Hijab Day akan diadakan pada 20 Februari 2023 di Dewan Perdana Kompleks Pentadbiran Bandar Al- Wathiqu Billah, Kuala Nerus dan merupakan ia adalah anjuran Kerajaan negeri. Justeru itu, beliau menyeru kepada para wanita  di luar sana agar jangan berputus asa dalam berhijrah untuk memperbaiki diri  kepada yang lebih baik. “Muslimin dan muslimat, para ayah, para suami, adik dan abang-abang semua, mari kita memastikan isteri-isteri kita,  anak perempuan kita, saudara-saudara perempuan kita berpakaian yang mengikut syariat Islam. “Daripada pakaian tidak tutup aurat kepada tutup aurat, daripada tidak bertudung kepada terus bertudung dan jangan berputus asa serta terus berusaha  membaiki diri kita, insya Allah.  “Kepada seluruh rakyat Terengganu kita kena ingat dalam memastikan dan mencapai kemajuan dari segi kemajuan negeri, ekonomi, kita juga mesti bersungguh-sungguh dalam melaksanakan syariat Allah SWT. insya-Allah semoga negeri dan rakyat kita dilimpahkan rahmat dan kasihnya daripada Allah,” ujar Sakinah. Beliau menambah, program Hari Hijab Terengganu akan diserikan lagi dengan jemputan Murabbi Sejuta Ummah, Ustaz Azhar Idrus pada hari tersebut. “Jadi mari kita ajak semua keluarga kita, abang, adik, kakak, suami, ayah, isteri, jiran-jiran tetangga dan semua pada ke sambutan Terengganu Hijab Day pada 20 Februari 2023,” tambah beliau.    
13 Feb 23
380
ADUN Belia Jangan Jadi ‘Burung Kakak Tua’
ADUN Belia Jangan Jadi ‘Burung Kakak Tua’
KUALA TERENGGANU, 13 Februari- Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belia Terengganu diingatkan agar terus memberikan komitmen melaksanakan program dan agenda belia serta tidak takut membuat kritikan jika mempunyai asas dan fakta yang kukuh. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia Sukan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, sebagai orang muda yang telah diberi kepercayaan, mereka seharusnya turun ke bawah membuat kajian, seterusnya memberikan cadangan dan penyelesaian kepada isu-isu yang dibangkitkan. “Kalau tidak, kita hanya bagaikan ‘burung kakak tua’ yang hanya pandai menyebut dan mengulang perkara yang sama, tetapi tidak menyelesaikan masalah,” ujarnya. Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama sempena Persidangan Adun Belia Terengganu 2023, di Wisma Darul Iman, hari ini. Mengulas mengenai persidangan tersebut katanya, ADUN Belia terpilih diharap dapat memerah otak untuk berbahas dengan baik dalam persidangan kali ini dengan idea-idea yang segar dan bernas bagi mengetengahkan isu-isu rakyat terutamanya yang berkait dengan orang muda. “Dewan Undangan Negeri (DUN) adalah tempat yang kebal bagi mengemukakan sebarang pandangan.  “Diharapkan mereka dapat mengambil peluang ini untuk mengasah bakat kepimpinan dan seterusnya berusaha mendekati golongan sasaran untuk mendengar, memahami serta mencari penyelesaikan terbaik terhadap sebarang isu yang dilontarkan. “Seterusnya jangan takut untuk jumpa dengan mana-mana pihak dalam pentadbiran kerajaan bagi mengetengahkan sebarang usul atau apa yang mereka perolehi dari dapatan kajian yang mereka lakukan di komuniti masing-masing,” ujarnya.  
13 Feb 23
389
PASTI Jadi Rebutan Ramai
PASTI Jadi Rebutan Ramai
KEMAMAN, 13 Februari - Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) kini menjadi tumpuan kepada ibu bapa bagi mendapatkan pembelajaran awal sebelum memasuki ke alam persekolahan bagi anak-anak mereka. Pegawai Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) Bahagian Latihan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal, Ustaz Mohamad Mujahid Mokhtar berkata masyarakat sekarang lebih peka dan bijak memilih institusi mana yang terbaik untuk anak-anak mereka. "Silabus sistemetik yang ditawarkan di PASTI telah diiktiraf oleh pelbagai pihak dan menempa nama sebagai prasekolah berteraskan Islam yang terbaik di Malaysia.  "Alhamdulillah, kita dapat melihat mutakhir ini berbondong-bondong ibubapa memilih menghantarkan anak-anak mereka bagi mendapatkan pembelajaran awal Islam yang ditawarkan di Tadika PASTI," ucapnya ketika merasmikan Majlis Anugerah Prestasi PASTI Al-Mahabbah di Dewan Habib Noh, Bukit Kuang kelmarin.  Menurut beliau, sambutan menggalakkan dapat dilihat dengan jelas sebagaimana yang berlaku pada PASTI Al-Mahabbah di Bukit Kuang ini, pada tahun 2018 hanya seramai 70 orang pelajar yang ada, tapi kini telah mencecah kepada 120 pelajar dan terus meningkat.  "Pihak pengurusan terpaksa mencari alternatif bagi menyediakan prasarana yang lebih selesa kepada pelajar seperti sekarang ini dan menambah jumlah guru bagi menampung permintaan yang semakin mencanak sejak kebelakangan ini. Persembahan Dikir Barat daripada pelajar tahun enam.  "Kami mengharapkan agar putera puteri cilik kita ini akan menjadi insan yang bertaqwa dan berjasa kepada negara satu hari nanti dalam pembentukan sebuah negara yang lebih islamik," katanya.
13 Feb 23
677
29 Kedai Menu Rahmah di Terengganu
29 Kedai Menu Rahmah di Terengganu
KUALA NERUS, 13 Februari – Sebanyak 29 buah kedai makan telah melaksanakan menu Rahmah di seluruh negeri ini. Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu, Saharuddin Mohd Kia berkata menu Rahmah menjadi pilihan bagi pengguna untuk membeli makanan dengan harga yang lebih murah. Katanya, daripada 29 buah premis berkenaan, sebanyak 17 di Kuala Terengganu, tiga di Kuala Nerus, dua di Marang, Kemaman, Dungun dan Besut serta satu di Hulu Terengganu. "Menu Rahmah ini sangat popular dan telah dilaksanakan di pasar raya besar mahupun dalam kalangan peniaga-peniaga kecil. “Bahkan kedai yang tidak bernaung di bawah persekutuan juga turut berminat untuk terlibat dalam menyediakan menu Rahmah kepada pengguna," jelasnya. Beliau berkata demikian ketika Sidang media Pelaksanaan Menu Rahmah di Negeri Terengganu bertempat di Kedai Tokmi Selera Kampung, Telaga Daing di sini hari ini. Tambah Saharuddin, kebanyakan peniaga yang menawarkan menu Rahmah itu bertujuan bagi membantu masyarakat dengan kos sara hidup yang tinggi pada masa sekarang. "Menu Rahmah merupakan set makanan tengah hari atau malam yang seimbang dan mesra pengguna," katanya. Beliau berkata, pilihan menu Rahmah berbentuk nasi satu pilihan protein seperti ayam atau ikan dan sayuran dengan harga RM5 ke bawah. Di samping, dengan tawaran harga yang berpatutan itu dapat membantu golongan yang terkesan dengan kenaikan harga barang terutamanya melibatkan keperluan. “Pelaksanaan menu Rahmah ini telah mendapat sambutan yang baik dalam kalangan masyarakat Terengganu dan banyak lagi kedai yang akan menyusul dalam masa terdekat,” ujarnya.  
13 Feb 23
520