lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Tabung Haji 'Turun Padang' Santuni Pelanggan
Tabung Haji 'Turun Padang' Santuni Pelanggan
SETIU, 12 Februari -Tabung Haji (TH) Cawangan Setiu 'turun padang' santuni pelanggan dengan menyediakan perkhidmatan seperti di kaunter. Pegawai Pentadbiran Tabung Haji Cawangan Setiu, Zurina Ismail berkata, usaha berkenaan bagi memudahkan orang ramai terutama yang berada di kampung-kampung untuk berurusan dengan Tabung Haji dan meminimakan kos ke pejabat. "Kita bekerjasama dengan pihak Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dalam membuat hebahan dan makluman kepada penduduk untuk bersama pada program hari ini," jelasnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) di Balairaya Kampung Mangkok. Antara perkhidmatan yang ditawarkan adalah, pembukaan akaun, pendaftaran THiJari (perbankan secara atas talian), simpanan dan kemaskini maklumat. "Kita akan terus adakan program sebegini dari semasa ke semasa dalam memudahkan urusan pelanggan-pelanggan Tabung Haji," tambahnya.
13 Feb 23
275
JHEAT Laksana Kempen 'Say No To Valentine Day '
JHEAT Laksana Kempen 'Say No To Valentine Day '
KUALA TERENGGANU, 13 Februari – Satu kempen 'Say No To Valentine Day ' dilaksanakan  oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT sebagai usaha pencegahan kepada maksiat dan perlakuan tidak senonoh pada hari kekasih yang disambut setiap 14 Februari. Ketua Penolong Pesuruhjaya Bahagian Penguatkuasaan JHEAT, Khairul Azizi Idris berkata, sebagai langkah pertama dalam menjayakan kempen dakwah ini, pihaknya mensasarkan beberapa kawasan strategik yang menjadi tumpuan ramai. “Seramai 20 pegawai penguat kuasa syariah terlibat dalam kempen tersebut dalam usaha memberi pendidikan dan kesedaran mengenai sambutan hari kekasih yang bercanggah dengan Islam. "Program ini bertujuan memberi peringatan kepada masyarakat berkaitan sambutan hari kekasih yang mana ramai pasangan muda mengambil kesempatan meraikannya hingga terjebak dengan maksiat," katanya. Tambah beliau, antara kesalahan yang sering dikesan adalah di bawah Seksyen 29, Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) 2001 iaitu perbuatan sebagai persediaan untuk melakukan persetubuhan luar nikah. Selain itu katanya, ada juga pasangan yang ditangkap di bawah Seksyen 31, Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) 2001 Terengganu kerana berkhalwat. Jelas beliau, jika sabit kesalahan pesalah bagi kedua-dua kesalahan itu boleh dikenakan hukuman denda maksimum sebanyak RM3,000 atau penjara tidak lebih dari dua tahun atau kedua-duanya sekali. "Kita tidak mahu ada yang melakukan kesalahan ini jadi, JHEAT mengambil pendekatan pencegahan supaya orang ramai khususnya remaja sedar bahawa hari kekasih tidak wajar disambut sekaligus terhindar dari maksiat," katanya.  
13 Feb 23
292
MB Terengganu Bayangkan DUN Bubar Sebelum Julai 2023
MB Terengganu Bayangkan DUN Bubar Sebelum Julai 2023
KUALA TERENGGANU, 12 Februari - Menteri Besar Terengganu, Dato Seri Ahmad Samsuri Mokhtar memberi bayangan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) akan dibuat sebelum Julai hadapan. Katanya, setakat ini tiada keperluan untuk Terengganu membubarkan DUN bagi membolehkan PRN diadakan dalam tempoh terdekat. "Setakat ini tiada keperluan untuk kita adakan PRN dalam tempoh yang terdekat, jadi kita tunggu dululah, kalau perlu sehingga habis penggal. "Malah hasil perbincangan dalaman Pas juga memutuskan tiada keperluan untuk Terengganu membubarkan DUN lebih awal,"katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita di Majlis Anugerah Pingat Emas Yayasan Terengganu 2022 (kali ke 42)& Hadiah Kecemerlangan SPM, STPM & STAM 2021 dan Anugerah Sarjana Terengganu 2020 & 2021 di Dewan Konvensyen, Taman Tamadun Islam di sini, hari ini. Tambahnya lagi, beliau telah berbincang secara tidak rasmi bersama seorang Menteri Besar dan bersetuju agar PRN untuk enam negeri yang ditadbir Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) diadakan serentak bagi memudahkan pengundi menjalankan tanggungjawab mereka. "Kami bersetuju supaya kesemua lima Menteri Besar dan seorang Ketua Menteri ini untuk duduk kembali (berbincang) ketika tempoh Majlis Mesyuarat Raja-Raja pada minggu hadapan. "Kebetulan, kami semua ada di Kuala Lumpur ketika itu...jadi kami akan berjumpa balik dalam tempoh tersebut bagi membincangkan perkara tersebut," katanya. Jelasnya, enam negeri yang akan terlibat dalam PRN ialah Kedah, Kelantan, Terengganu, Negeri Sembilan, Melaka dan Pulau Pinang. Ketika mengulas perundingan kerusi kepada BERSATU yang sepatutnya diadakan Selasa lalu, Ahmad Samsuri berkata, perbincangan itu terpaksa ditangguhkan. "Walaupun begitu saya ada bertemu dan berbincang juga dengan Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu untuk berbincang mengenai prinsip-prinsip atau dasar dalam perundingan kerusi ini. "Pimpinan tertinggi Perikatan Nasional (PN) akan adakan pertemuan untuk rundingan agihan kerusi dalam tempoh dua minggu akan datang," katanya.
12 Feb 23
475
Jangan Sambut Hari Kekasih
Jangan Sambut Hari Kekasih
KUALA TERENGGANU, 12 Februari – Umat Islam dilarang menyambut hari kekasih kerana berpotensi mendorong diri ke arah kemungkaran. Mufti Terengganu, Prof Madya Dr Mohamad Sabri Haron berkata, tidak salah meraikan pasangan namun hendaklah tidak melebihi batas dan sesuai dengan tuntutan syarak. Katanya, dikhuatiri akan menjerumuskan kepada pergaulan bebas, seperti berhubungan intim atau seks sebelum menikah. “Kita sebagai seorang muslim hendaklah meletakkan Allah S.W.T sebagai paksi utama dalam kehidupan. "Kebanyakan pasangan yang meraikan hari kekasih melakukan aktiviti tidak bermoral yang dilarang oleh Islam," jelasnya.   Beliau berkata demikian ketika ditemubual Urus Setia Penerangan Darul Iman Tingkat 1, Pejabat Mufti Kuala Terengganu di sini hari ini. Tambah Prof Sabri, Islam melarang keras umatnya meniru atau menyerupai cara serta budaya hidup orang bukan Islam termasuklah mana-mana perayaan. “Sambutan aktiviti hari kekasih secara berdua-duaan ataupun berkumpulan yang bukan mahram boleh menjurus kepada perbuatan maksiat yang lain,” ujarnya. Di samping, tidak boleh taksub kepada perkara seumpama ini sehingga boleh menyebabkan berlaku kemungkaran terhadap Allah S.W.T. “Menurut hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim, sesiapa yang mengamalkan perkara yang bukan daripada amalan kami maka ia akan ditolak. “Dalam hadis lain, sesiapa yang meniru budaya orang bukan Islam dan bagi mereka yang meniru budaya seperti ini ditakuti mereka akan tergolong bersama dalam golongan tersebut," katanya. Sementara itu, sejarah hari kekasih diingati sempena kisah pencintaan seorang paderi yang bernama Santo Valentine yang dihukum pancung pada 14 Februari 269. Beliau berkata, kisah pencintaannya itu yang dianggap sebagai melawan peraturan kerajaan telah dinobatkan sebagai pahlawan kasih sayang ketika itu. Kesimpulannya, umat Islam hendaklah menjauhkan diri daripada amalan tersebut kerana dibimbangi perangkap syaitan yang boleh mendatangkan malapetaka kepada masyarakat kita.    
12 Feb 23
463
'Bukan Diskriminasi Kaum’ - MB Terengganu Jawab Pemimpin DAP
'Bukan Diskriminasi Kaum’ - MB Terengganu Jawab Pemimpin DAP
KUALA TERENGGANU, 12 Februari - Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menafikan wujud diskriminasi kaum berkait keberadaan komuniti etnik Melayu dalam perkhidmatan awam. Menurut beliau, kenyataan Timbalan Pengerusi DAP Pulau Pinang, P. Ramasamy adalah tidak tepat berdasarkan realiti semasa yang berlaku di bawah. “Kita perlu melihat kepada realiti semasa, memohon jawatan dalam perkhidmatan itu bergantung kepada minat masing-masing, ada yang minat dan ada sebaliknya.   “Saya percaya untuk membina negara kita ini khususnya melalui sektor perkhidmatan awam atau swasta kita memerlukan kerjasama oleh seluruh masyarakat dan kaum, tak kira bangsa apa. "Jadi ia seharusnya tidak dijadikan sebagai isu perkauman, mana-mana kaum yang lain boleh memohon, tiada halangan, asalkan syarat-syarat seperti lulus SPM dipenuhi dan tidak mengambil perkara lain di luar syarat ditetapkan,” katanya. Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan kontroversi terbabit selepas Majlis Anugerah Pingat Emas Yayasan Terengganu 2022 (kali ke 42) & Hadiah Kecemerlangan SPM, STPM & STAM 2021 dan Anugerah Sarjana Terengganu 2020 & 2021 di Dewan Konvensyen, Taman Tamadun Islam di sini, hari ini. Sebelum ini, Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang berkenaan mahu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menangani penguasaan perkhidmatan awam oleh kaum Melayu. Beliau dilapor berkata ia merupakan satu bentuk diskriminasi kaum dan tidak sepatutnya wujud di bawah konsep Masyarakat Madani. “Kepimpinan baharu yang nampaknya berkembang maju di bawah konsep Masyarakat Madani tidak boleh sekadar memberi kata-kata kepada sifat berat sebelah dalam perkhidmatan awam. “Agenda reformis di bawah Kerajaan Perpaduan mungkin tenggelam tetapi dengan PH sebagai peneraju, tidak lari daripada apa yang dijanjikan kepada rakyat,” katanya.
12 Feb 23
881
Mahkamah Tolak Petisyen BN, Sahkan Kemenangan PAS di Kemaman
Mahkamah Tolak Petisyen BN, Sahkan Kemenangan PAS di Kemaman
KUALA TERENGGANU, 12 Februari - Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu di sini, hari ini menolak petisyen pilihan raya yang difailkan Barisan Nasional (BN) bagi membatalkan kemenangan Che Alias Abd Hamid daripada PAS pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) lalu. Hakim Datuk Mohamad Abazafree Mohd Abbas menolak petisyen yang difailkan bagi calon BN, Dato’ Seri Ahmad Said dan memerintahkan pihak pempetisyen, Wan Mohamad Hisham Wan Abdul Jalil membayar kos perundangan RM30,000 kepada Che Alias selaku responden. Setiausaha Lajnah Undang-undang dan Hak Asasi PAS Pusat, Ahmad Lutfi Awang berkata, hakim bersetuju fakta-fakta yang diplidkan untuk menyokong dakwaan sogokan dan rasuah piliharaya yang terkandung dalam petisyen sebagai cacat, defektif dan tidak sah. "Ini kerana daripada tujuh program rasmi yang dianjurkan oleh Kerajaan Negeri Terengganu iaitu Bantuan i-Belia, i-Siswa dan Sumbangan kepada OKU dan Asnaf tidak mengandungi butiran rasuah atau sogokan. "Mahkamah memutuskan tiada butiran berkenaan ejen responden, tiada maklumat penerima, tiada fakta yang menunjukkan penerima adalah juga pengundi berdaftar, tiada butiran ucapan YB Exco yang boleh dianggap menyumbang kepada perlakuan rasuah atau sogokan,” jelas beliau dalam satu kenyataan hari ini. Tambah Ahmad Lutfi, menurut Mahkamah, memandangkan dakwaan sogokan atau rasuah adalah bersifat ‘quasi-criminal’ (separa jenayah), maka adalah penting bagi Pempetisyen memplidkan butiran fakta yang lengkap, terperinci dan sempurna agar responden diberikan keadilan yang seluas-luasnya. “Kecacatan petisyen pempetisyen dalam membekalkan fakta-fakta berkenaan, tidak boleh dikompromikan dan memastikan keadilan dalam perbicaraan. Justeru Petisyen tidak wajar dibenarkan melalui proses perbicaraan dalam keadaan Pempetisyen sendiri samar dengan dakwaan sogokon atau rasuah pilihan raya. “Atas asas itu mahkamah memutuskan bahawa petisyen ini adalah cacat, defektif dan tidak sah. “Sehubungan dengan itu Mahkamah menggunakan kuasanya di bawah Seksyen 36 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 bagi mengistiharkan bahawa pemilihan Responden selaku Ahli Parlimen bagi P.040 Kemaman adalah sah,” kata Ahmad Lutfi. Walau bagaimanapun, pempetisyen mempunyai peluang dalam masa 14 hari dari tarikh keputusan ini untuk merayu terus ke Mahkamah Persekutuan. Che Alias Abd Hamid selaku responden diwakili peguam Saifuddin Othman, Wan Rohimi Wan Daud dan Mohd Nasir Embong. Untuk rekod, pada PRU15 lalu, Che Alias yang bertanding atas tiket PAS, menang dengan majoriti 27,179 undi dalam pertandingan empat penjuru. Che Alias mendapat undi sebanyak 65,714 menewaskan Ahmad Said yang mendapat undi sebanyak 38,535, dua lagi calon yang bertanding di Parlimen berkenaan, Rosli Ab Ghani (Pejuang) dan Hasuni Sudin (PH) masing-masing mendapat undi sebanyak 506 dan 8,340 undi.
12 Feb 23
6525
'Beach Comber' Sapu Sampah Pantai Terengganu
'Beach Comber' Sapu Sampah Pantai Terengganu
KUALA TERENGGANU, 12 Februari - Kerajaan negeri bakal menggunakan jentera 'Beach Comber' dan traktor bagi operasi pembersihan sampah sarap di kawasan pantai tumpuan pelancong di Terengganu. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dato' Dr Alias Razak berkata, inisiatif itu melibatkan tiga lokasi pantai utama iaitu Pantai Pandak, Batu Burok serta Teluk Ketapang. Ujarnya, pembersihan pantai berkenaan akan dilakukan secara berkala sebanyak dua kali seminggu bagi memastikan kebersihan dan keindahannya kekal terpelihara. "Ini menjadi 'pilot project'  bagi melaksanakan kerja-kerja pembersihan pesisiran pantai. Majlis Bandaraya Kuala Terengganu menjadi Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) pertama yang menerimanya untuk menjaga tiga pantai  yang sering menjadi tumpuan orang ramai untuk datang berkunjung. "Insya-Allah kalau ia boleh memberikan hasil yang baik dan berkesan, kita akan pertimbangkan untuk diserahkan ke daerah lain pula,"ujarnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media, selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Kenderaan 'Beach Comber' dan Traktor berharga RM470,000 kepada MBKT, di Hotel Primula , di sini, hari ini. Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar, Ahmad Shah Muhamed dan Datuk Bandar, Datuk Rosli Latif. Mengulas lebih lanjut mengenai penggunaan jentera tersebut, Dr Alias berkata, ia akan membantu kerja-kerja pembersihan pantai dengan lebih pantas, menjimatkan tenaga, masa, meningkatkan produktiviti pekerja dan akan lebih efisien. "Antara kelebihannya lagi ialah, ia berkeupayaan untuk melakukan kerja-kerja pembersihan dalam keadaan pasir kering, lembap atau basah juga dilengkapi sistem penapis untuk menapis sampah di pesisir pantai seperti botol, kaca, batu, kayu dan lain-lain sampah yang dihanyutkan oleh ombak ke pesisir pantai," jelasnya. "Namun begitu, kesedaran dalam kalangan orang ramai tetap perlu dipertingkatkan agar mengambil langkah untuk bersama-sama memelihara kebersihan pantai dengan tidak lagi mengamalkan sikap buang sampah merata-rata. "Sebaliknya amalkan sikap membuang sampah di dalam tong sampah yang telah disediakan dengan cukup banyak di kawasan tumpuan orang ramai ini,"katanya.          
12 Feb 23
1804
Kerajaan Jumpa Segera Kontraktor Perumahan Gong Cempedak
Kerajaan Jumpa Segera Kontraktor Perumahan Gong Cempedak
KUALA TERENGGANU, 12 Februari - Kerajaan negeri akan berjumpa kontraktor penyelamat dan pemaju asal Perumahan Gong Cempedak dengan kadar segera bagi memastikan projek terbengkalai lebih 10 tahun lalu itu dapat diteruskan pembinaan dalam masa terdekat. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dato' Dr Alias Razak berkata, langkah itu diambil bagi membela nasib pembeli rumah berkenaan walaupun ia merupakan projek swasta sepenuhnya yang tidak melibatkan peruntukkan kerajaan negeri. "Kerajaan negeri sudah mencari kontraktor penyelamat bagi memudahkan perbincangan dengan pemaju asal dalam konteks memberikan sub projek dan sebagainya untuk diselesaikan, insya-Allah selepas persidangan Parlimen nanti saya akan berjumpa semula dengan pihak terbabit. "Sebelum ini telah berjumpa sebanyak dua hingga tiga kali pertemuan bersama kontraktor penyelamat, namun tiada tindakan yang diambil oleh pihak pemaju asal, jadi terpaksa kita panggil semula bagaimana dia hendak serahkan projek ini kepada 'kontraktor penyelamat'. "Tetapi kita tidak boleh berjanji sebab pemaju ini banyak masalah, jadi tunggulah perjumpaan saya di Kuala Lumpur nanti bagaimana untuk diselesaikan. Saya mewakili pihak kerajaan negeri akan cuba, di samping tindakan di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) juga sedang berjalan," ujarnya. Beliau berkata demikian ditemui pihak media selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Kenderaan 'Beach Comber' dan Traktor kepada Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), di Hotel Primula, di sini hari ini. Mengulas lanjut katanya, kerajaan sebelum ini telah mengambl langkah melaporkan 'projek sakit' itu kepada pihak KPKT melalui unit khas kementerian terbabit bagi mengambil tindakan yang sewajarnya dalam menyelesaikan isu berkenaan. "Sementara itu kita berunding dengan pemaju yang terlibat, jadi saya difahamkan pemaju ini mengalami masalah kewangan sehingga dia hendak buat pinjaman sekali lagi, namun pihak bank tidak boleh lagi memberikan pinjaman. "Itu merupakan antara masalah yang dihadapi oleh pemaju asal ini," ujarnya lagi.
12 Feb 23
728
Kerajaan Negeri Iktiraf 586 Anak Terengganu Cemerlang Akademik
Kerajaan Negeri Iktiraf 586 Anak Terengganu Cemerlang Akademik
KUALA TERENGGANU, 12 Februari – Kerajaan negeri melalui Yayasan Terengganu mengiktiraf serta menghargai kecemerlangan 586 anak Terengganu yang telah berjaya memperolehi keputusan cemerlang di peringkat institusi pengajian tinggi termasuk Sijil Peperiksaan Malaysia, Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia dan Sijil Tinggi Agama Malaysia Tahun 2021. Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata inisiatif tersebut menunjukkan pendidikan merupakan satu perkara penting di Terengganu malah disambut baik di negeri ini. “Sehingga kini, kita sedia  maklum  bahawa Terengganu sentiasa  mengungguli pencapaian PT3, SPM, STPM, STAM dan berharap kecemerlangan ini dapat diteruskan buat masa hadapan. “Besar harapan Kerajaan negeri  untuk melihat anak-anak Terengganu dapat meneruskan momentum kecemerlangan dalam semua bidang yang diceburi selepas pada hari ini kerana anda semua generasi pelapis yang akan mencorak masa depan negeri dan negara kita pada masa hadapan,” katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita di Majlis Anugerah Pingat Emas Yayasan Terengganu 2022 (kali ke 42) & Hadiah Kecemerlangan SPM, STPM & STAM 2021 dan Anugerah Sarjana Terengganu 2020 & 2021 di Dewan Konvensyen, Taman Tamadun Islam di sini, hari ini. Pada majlis kali ini, seramai 586 orang pelajar anak Terengganu iaitu enam orang penerima Anugerah Sarjana Terengganu(graduan Ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama Dengan Kepujian); empat orang penerima Anugerah Pingat Emas beserta seorang penerima Anugerah Khas. Sementara itu, dua lagi penerima Anugerah Pelajar Terbaik STPM dan STAM ;dan seramai 573 orang penerima Hadiah Kecemerlangan Peperiksaan SPM, STPM & STAM. Dalam masa yang sama, Ahmad Samsuri berkata, pihaknya sedia melihat keperluan untuk menambah nilai jumlah bantuan dari semasa ke semasa berdasarkan keadaan ekonomi.
12 Feb 23
361
EPIC 'Back To School' Suntik Semangat Murid Ke Sekolah
EPIC 'Back To School' Suntik Semangat Murid Ke Sekolah
KUALA TERENGGANU, 12 Februari- Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (EPIC atau Kumpulan EPIC), sebuah anak syarikat kerajaan negeri menganjurkan program 'EPIC Back to School 2023' bagi mengagihkan bantuan barangan persekolahan kepada murid-murid sempena sesi baru persekolahan yang bakal tiba. Berlangsung di Sekolah Kebangsaan Getang (SK Getang), Kuala Berang, program yang merupakan salah satu cabang tanggungjawab sosial korporat (“CSR”) di bawah inisiatif 'EPIC Celik' itu memberikan fokus kepada usaha menyokong pembangunan mampan dan menyeluruh sektor pendidikan di Negeri Terengganu. Ketua Pegawai Operasi Kumpulan, ir Muhtar Suhaili berkata, Kumpulan EPIC menyasarkan murid-murid daripada keluarga kurang berkemampuan dengan menyediakan keperluan penting untuk menghadapi sesi persekolahan baharu 2023 yang akan bermula bulan hadapan melalui program yang dianjurkan. “Tahun ini kami kembali meneruskan program dengan harapan dapat meringankan beban ditanggung oleh ibu bapa penjaga yang gigih membanting tulang demi memenuhi keperluan keluarga dan anak-anak pada zaman serba mencabar ini. "Pihak syarikat telah memilih dua buah sekolah iaitu SK Getang dan juga sebuah lagi sekolah di Kemaman, melibatkan 80 orang pelajar terpilih untuk menerima sumbangan kit persediaan sesi persekolahan baharu berbentuk baucar pembelian uniform sekolah, baucar pembelian kasut, set alat tulis, botol minuman dan juga beg sekolah. “Pihak EPIC mengharapkan agar bantuan yang dihulurkan buat para pelajar pada hari ini akan membakar semangat dalam menghadapai musim persekolahan yang baharu. Semoga semua pelajar sentiasa beroleh kecemerlangan serta kejayaan untuk masa hadapan diri dan keluarga,” katanya melalui satu kenyataan yang dikeluarkan syarikat. Dalam program berkenaan, EPIC juga menyampaikan sumbangan kewangan kepada SK Getang untuk kegunaan pihak sekolah yang sebelum ini terjejas teruk ekoran bencana banjir luar jangka, baru-baru ini. Selain itu, beberapa aktiviti pengisian interaktif dan agihan makanan dilaksanakan barisan warga kerja EPIC yang turut dihadiri Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan, Wan Mohd Azilah Wan Abdullah dan Pengurus Besar Komunikasi Strategik dan Keselamatan Kumpulan, Rusdi Ngah.  
12 Feb 23
801