lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Siapa Ganti Woodland?
Siapa Ganti Woodland?
KUALA TERENGGANU, 17 Februari- Pengendali Terengganu FC, Tomislav Steinbruckner tidak menolak kemungkinan menambah pemain import dalam pasukannya selepas tular kelab berkenaan melepaskan pemain kebangsaan Filipina, Luke Zantua Woodland dengan persetujuan bersama, baru-baru ini.  Namun menurutnya, perkara itu bergantung kepada kemampuan pasukan pemantau bakat Terengganu FC berdepan kekangan masa dalam jendela perpindahan kali ini. "Kini kami ada masa beberapa hari lagi, masa yang singkat untuk memilih beberapa pemain, mungkin pemain kuota asean dan pemantau bakat kami perlu bertindak pantas untuk membawa seseorang ke sini.  "Saya harap saya sentiasa ada seseorang (pemain pilihan) tetapi, ia terlalu sukar untuk membawa pemain dari Eropah tambahan pula, pemain-pemain yang bagus sudah ada kontrak, mungkin kita akan tunggu tengah atau hujung musim. Pada Jun (jendela perpindahan kedua) nanti, kami perlu meneliti dan boleh membuat analisis dalam masa beberapa bulan ini sebelum kami memutuskan untuk menambah atau membawa pemain baru," katanya ketika ditemui pemberita selepas Black and White Day Terengganu Football Club 2023 di Dataran Shahbandar, hari ini. Dalam majlis yang disempurnakan Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar itu, Terengganu FC melancarkan jersi utama berwarna putih bertemakan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin sebagai 'kubu keramat' pasukan serta jersi kedua berwarna hijau membawa tema sosio ekonomi utama negeri Terengganu iaitu perlombongan petroleum. Kedua-dua jersi berkenaan dijual pada harga RM129 dengan jualan bermula hari ini.     
17 Feb 23
182
Penjawat Awam Diseru Beri Kerjasama Penuh
Penjawat Awam Diseru Beri Kerjasama Penuh
KUALA TERENGGANU, 16 Februari – Semua penjawat awam diseru untuk memberikan sepenuh kerjasama dengan kepimpinan kerajaan serta membawa semangat islah iaitu perubahan ke arah kebaikan demi negara. Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Tengku Seri Bijaya Raja berkata, perkhidmatan yang diberikan kepada rakyat hendaklah sentiasa ada penambahbaikan sama ada dari segi sistem, peraturan dan proses kerja. “Justeru supaya memperolehi penghasilan yang baik dan manfaat kepada semua. “Penjawat awam juga harus bersungguh-sungguh dalam melaksanakan tugas dan sentiasa memberikan perkhidmatan yang mengutamakan rakyat," jelasnya. Beliau berkata demikian ketika Majlis Amanat Setiausaha Kerajaan Terengganu bertempat di Dewan Besar, Wisma Darul Iman di sini hari ini. Turut hadir, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan), Dato’ Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak. Tambah Bijaya Raja, laksanakan tugas dengan penuh profesional dan berintegriti, apatah lagi dalam era pasca normal yang mencabar dan penuh dengan ketidaktentuan,” katanya. "Pada tahun 2023 ini dijangka akan menjadi tahun yang penuh dengan cabaran kepada kita semua. “Menurut para penganalisis ekonomi dunia, tahun ini dijangka mencatatkan pertumbuhan yang perlahan terutamanya dalam kalangan negara-negara membangun," katanya. Sementara itu, usaha melaksanakan segala dasar, program dan projek, penjawat awam adalah dituntut bersikap adil lagi telus dalam menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat. “Rasa tanggungjawab dan patriotisme dalam melaksanakan tugas perlu sebati dalam diri setiap penjawat awam,” ujarnya. Sekaligus, menjunjung ketaatan kepada negara, kewajipan menyimpan segala rahsia kerajaan dan menabur bakti kepada agama, bangsa dan negara melebihi kepentingan peribadi.          
16 Feb 23
784
Jaringan Akhir Maybank Nafi Cengkaman THT
Jaringan Akhir Maybank Nafi Cengkaman THT
KUALA TERENGGANU, 16 Februari - Pasukan hoki Terengganu (THT) gagal merampas kedudukan teratas Liga Hoki Malaysia (MHL) apabila sekadar seri 2-2 dengan pendahulu, Maybank pada aksi yang berlangsung di Stadium Hoki Batu Buruk, di sini hari ini. Beraksi dalam suasana hujan lebat, kelebihan bermain di halaman sendiri tidak berjaya dimanfaatkan pasukan apabila pelawat bangkit menyamakan kedudukan pada minit-minit terakhir perlawanan. Tuan rumah terlebih dahulu mencetak gol menerusi penyerang kebangsaan, Faizal Saari, hasil hantaran Muhammad Marhan Mohd Jalil pada minit ke-17 untuk THT mendahului 1-0. Maybank yang bermain secara selamat sejak awal perlawanan cuba mencipta rangkaian serangan bagi menyamakan kedudukan. Hujan semakin lebat menyebabkan permukaan padang semakin licin dan menyukarkan kedua-dua pasukan untuk melakukan serangan. Pada minit terakhir separuh masa pertama, Maybank berjaya menyamakan kedudukan menerusi pukulan sudut penalti yang disempurnakan Muhammad Izham Azhar untuk kedudukan terikat 1-1 sebelum permainan dihentikan. Bersambung babak kedua, Mohd Fitri Saari hampir meletakkan THT kembali di depan seawal permainan dimulakan, bagaimanapun pukulan derasnya berjaya ditampan penjaga gol Maybank, Muhammad Aidil Md. Shah. Tuan rumah meningkatkan momentum serangn memasuki suku terakhir perlawanan untuk mencuri tiga matadalam perlawanan tersebut. Pada minit ke-51, pertahanan Maybank Muhammad Syawal Abd Razak dilayangkan kad kuning memberi peluang THT menggandakan asakan. Tiga minit kemudian, hantaran lintang Syarman Mat Tee disudahkan Fitri dengan satu pukulan deras menewaskan Muhammad Aidil.   Berbaki enam minit, THT cuba memperlahankan permainan dalam cuaca hujan yang semakin lebat. Namun, ketika perlawanan hampir menjadi milik The Turtle, Maybank berjaya mencetak gol kedua menerusi pukulan sudut penalti pada minit terakhir perlawanan, hasil jaringan pemain kebangsaan, Muhammad Razie Abd Rahim. Perlawanan antara kedua-dua pasukan teratas liga itu berkesudahan seri 2-2 dengan kedua-duanya berkongsi sepuluh mata dan Maybank kekal di tangga teratas di atas kelebihan perbezaan jaringan.        
16 Feb 23
703
Solidariti Kemanusiaan 'Terengganu For Turkiye' Dilancarkan
Solidariti Kemanusiaan 'Terengganu For Turkiye' Dilancarkan
KUALA TERENGGANU, 16 Februari - Sebagai tanda solidariti terhadap bencana yang melanda Selatan Turkiye dan Utara Syria kerajaan Terengganu telah melancarkan tabung 'Terengganu For Turkiye'. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, tabung itu merupakan satu inisiatif atas dasar prihatin dan ambil peduli terhadap negara terbabit yang dilanda gegaran gempa bumi yang dahsyat pada 6 Februari lalu. "Juga atas dasar kebersamaan dengan rakyat Turki kerajaan negeri sekali lagi menganjurkan satu program tabung 'Terengganu For Turkiye' sepertimana tabung yang pernah ditubuhkan sebelum ini iaitu 'Terengganu For Yemen', 'Terengganu For Palestine' dan 'Terengganu For Lubnan. "Bermula dari sekarang kita akan mengadakan 'roadshow' ke seluruh pelusuk daerah dalam negeri Terengganu untuk mengumpulkan sumbangan bagi membantu meringankan penderitaan mangsa," ujarnya melalui suatu kenyataan, di sini, hari ini. Menurut Wan Sukairi, kutipan derma melalui tabung berkenaan akan diserahkan kepada Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar pada 8 Mac. "Sumbangan itu akan datang daripada pelbagai pihak samda jabatan, agensi kerajaan negeri, anak syarikat, orang perorangan serta ngo-ngo dan juga syarikat-syarikat tertentu yang bersedia untuk memberikan sumbangan. "Sehubungan dengan itu juga kerajaan negeri insya-Allah melalaui satu rombongan akan menghantar sendiri bantuan tersebut ke Turkiye pada 17 Mac yang akan datang,"katanya. Justeru, beliau menyeru seluruh rakyat Terengganu beramai-ramai menyumbang ke tabung berkenaan sebagai solidariti terhadap nasib yang menimpa negara terbabit.      
16 Feb 23
317
Suri Rumah Jual Kerepek Sara Suami, Dua Anak
Suri Rumah Jual Kerepek Sara Suami, Dua Anak
Oleh : Aqilah Mohd Jafri/Nurul Adilatul Akmal/Fatimah Din MARANG, 16 Februari - Seorang suri rumah mengambil inisiatif menjual kerepek pisang buatannya sendiri bagi menyara keluarga dan suaminya. Nurul Suhada Mohd, 30, berkata, dia berbuat demikian untuk meringankan beban keluarga selepas suaminya, Ahmad Azmi Ismail, 36, tidak dapat bekerja. Katanya, mereka hilang mata pencarian selepas Ahmad Azmi disahkan tidak dapat melihat sepenuhnya kerana masalah saraf mata bermula pada tahun 2018. “Pada mulanya saya berniaga kerepek ini sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang lalu sekitar 2020 bagi mengisi lapang sahaja, Namun tidak menyangka ia membawa hasil kepada keluarga kecil saya, sekarang saya masih menjual kerepek itu bergantung kepada permintaan. “Saya pada awalnya hanya ingin membantu suami yang tidak dapat bekerja ketika itu, tetapi Allah kurniakan rezeki yang lebih untuk kami, dapatlah tampung kami sekeluarga, di samping pendapatan lain,” katanya ketika ditemui di Kampung Seberang Bukit Payong, baru-baru ini.  Nurul Suhada menunjukkan kerepek buatannya untuk dijual. Menurut Nurul Suhada lagi, sebagai memenuhi tanggungjawab ketua keluarga, bapa kepada dua anak itu bekerja menjaga tandas awam di Taman Rekreasi Bukit Payong sejak 2021. “Saya membantu menguruskan dia berulang alik dari tempat kerja ke rumah setiap hari. "Usai hantar anak-anak ke sekolah, saya hantar Azmi pula ke tempat kerja, begitulah rutin kami setiap hari,” ceritanya. Tambah Nurul Suhada, kehidupan mereka sekeluarga bergantung kepada hasil pendapatannya dan Azmi. “Kami juga menerima bantuan kewangan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (MAIDAM) secara bulanan. “Tetapi, adakalanya kami juga merasa tersepit dengan kewangan yang ada,” katanya. Bagi yang berminat untuk membeli kerepek pisang Nurul Suhada boleh menghubunginya di talian 019-3066105.
16 Feb 23
728
TLHT-MSNT Gagal Jelma Kebangkitan
TLHT-MSNT Gagal Jelma Kebangkitan
KUALA TERENGGANU, 16 Februari - Jaringan Fazila Sylvester Silin menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-46 gagal menyuntik semangat Pasukan Hoki  Wanita Terengganu (TLHT-MSNT) untuk bangkit mengutip mata apabila tewas 1-2  kepada Young Tigress dalam aksi Liga Hoki Wanita Malaysia (MHL) di Stadium Hoki Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) di sini, semalam. Bermain di laman sendiri, gandingan pemain muda dan berpengalaman TLHT-MSNT mempamerkan aksi kurang meyakinkan menentang skuad projek remaja kebangsaan itu. Pelawat turut mengejutkan tuan rumah dengan mendahului menerusi pukulan ‘reverse’ Siti Nur Irdina Mohd. Nor pada minit ketujuh. Ypung Tigress semakin garang selepas pemain kebangsaan, Khairunnisa Ayuni Mohd. Sharuddin meledak gol kedua pelawat hasil percaturan bijak dalam pukulan sudut penalti. Memasuki babak kedua, TLHT-MSNT berjaya mengurangkan tekanan untuk bangkit dengan gol pukulan sudut penalti Fazila untuk merapatkan kedudukan kepada 1-2. Bagaimanapun, kebangkitan yang cuba dijelmakan tuan rumah dibayangi kecemerlangan penjaga gol pelawat, Fitrinur Amiera Ramlee. Kekalahan 2-1 itu meleburkan hasrat anak-anak buah Mohd Shahrun Nabil Abdullah untuk mengekalkan kedudukan teratas Liga Hoki Wanita Malaysia.      
16 Feb 23
356
'Double Claim' Punca Lewat Agih Bantuan Banjir
'Double Claim' Punca Lewat Agih Bantuan Banjir
MARANG, 15 Februari - Agihan bantuan khas banjir daripada kerajaan negeri masih belum dapat disempurnakan sepenuhnya kerana ada kalangan rakyat yang tidak jujur dalam melakukan tuntutan. Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, ada pihak melakukan tuntutan dua kali mengakibatkan proses pemutihan senarai nama yang berdaftar sebagai mangsa terpaksa dilakukan agar yang benar-benar layak sahaja menerimanya. "Saya terpaksa jelaskan untuk pengetahuan seluruh rakyat dan setiap anggota masyarakat mengambil cakna dan bersifat amanah di antara satu sama lain supaya yang benar-benar layak sahaja menerimanya. "Masalah timbul apabila ada kalangan mangsa-mangsa ini yang telah membuat 'double claim', isteri mengaku sebagai mangsa banjir di sebuah Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala suami pula pergi ke DUN yang satu lagi turut mendaftar nama sebagai mangsa juga, malah ada yang tidak terlibat cuba 'register' sebagai mangsa. "Sebab itu saya menyeru kepada seluruh masyarakat supaya jujur dan beramanah tidak membuat tuntutan dua kali kerana ini merupakan wang negeri juga merupakan wang rakyat untuk diagihkan kepada yang memerlukan serta seharusnya dibantu," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman, selepas menyempurnakan penyampaian bauncer pakaian sekolah kepada 1,950 penerima di DUN Rhu Rendang, di Dewan Komuniti, Kampung Medan Jaya, Rusila, di sini, semalam. Justeru itu katanya, kerajaan negeri ketika ini sedang berusaha untuk mengesahkan kesemua senarai nama penerima. "Kita sedang menunggu, ada dua daerah lagi yang belum menghantar senarai nama yang telah melalui proses pemutihan, setelah kita menerima kesemua senarai nama yang telah disahkan itu barulah kita akan sampaikan bantuan sebagaimana yang telah dijanjikan. "Saya menyeru kepada seluruh anggita masyarakat pada masa akan datang terutamanya mangsa banjir perlu jujur, tidak melakukan tuntutan dua kali, bersikap benarlah dalam membuat tuntutan ini,"ujarnya.  
16 Feb 23
1257
Tidak Wajar Ugut, Halang 'TikTokers' Bersuara
Tidak Wajar Ugut, Halang 'TikTokers' Bersuara
MARANG, 15 Februari - Pihak tertentu tidak sewajarnya menyalahguna kuasa dengan mengugut dan menghalang pengguna media sosial seperti TikTok daripada bersuara mengkritik kerajaan secara berfakta. Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, tekanan politik kerana tidak berpihak kepada kerajaan sangat bercanggah dengan kebebasan bersuara yang sering dilaungkan dalam negara demokrasi. Katanya, adalah tidak menjadi masalah jika kritikan yang diberikan bersifat jujur dan berfakta serta tidak melampau. "Tidak ada apa-apa isu sebenarnya di kalangan 'TikTokers' ini, sekiranya ada tindakan perlu diambil mengikut saluran yang sepatutnya bukan dengan melakukan ugutan kepada mereka dan keluarga mereka. "Mengugut, menghalang dan sebagainya itu merupakan cara lama pada tahun 70-an dahulu, ia tidak patut diamalkan pada zaman langit terbuka seperti sekarang ini," ujarnya. Beliau berkata demikian kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas menyempurnakan penyampaian baucer pakaian sekolah kepada 1,950 penerima di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang, di Dewan Komuniti Kampung Medan Jaya, Rusila, di sini, hari ini. Mengulas lanjut, Ahmad Samsuri menyatakan beliau tidak faham dengan sikap pihak ahli-ahli politik pemerintah yang cuba memberikan tekanan kepada pengguna medium berkenaan. "Saya ada mengikuti beberapa 'TikTokers' yang menerima ugutan, 'harassment' dan sebagainya, sedangkan apa yang mereka paparkan adalah secara berfakta sekiranya ada perkara-perkara dianggap mengancam keselamatan dan berbaur fitnah, kita ada undang-undang di peringkat negara. "Jadi kenapa perlu buat 'harassment' dan 'body shaming' kepada 'TikTokers' ini. Saya menyeru kepada semua anggota lapisan masyarakat terutamanya pengguna TikTok, beranilah kerana benar dan itulah peranan mereka untuk membuat teguran dalam sesebuah negara dan negeri," ujarnya lagi.  
15 Feb 23
414
Terengganu Tumpu Bidang Pembuatan, Farmaseutikal
Terengganu Tumpu Bidang Pembuatan, Farmaseutikal
KUALA TERENGGANU, 15 Februari- Kerajaan Terengganu mahu memberi tumpuan kepada bidang pembuatan serta farmaseutikal yang dikenal pasti mempunyai potensi besar untuk berkembang di rantau ini sekaligus mampu menarik minat pelabur. Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, ketika menerima kunjungan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ke kediaman rasminya di Seri Setia semalam, mereka ada berbincang mengenai bagaimana untuk meningkatkan jumlah pelaburan di Negeri Terengganu. “Dalam pertemuan itu saya dimaklumkan bahawa beliau (Tengku Zafrul) akan mewakili Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri untuk mengadakan misi pelaburan ke luar negara dan mungkin akan dijemput negeri-negeri untuk turut sama ke negara tertentu dalam waktu terdekat ini. “Kita tunggu maklumat dari pihak kementerian dan kami juga berbincang tentang apakah bidang-bidang industri yang boleh dibawa ke Terengganu. “Saya fokuskan kepada bidang di luar minyak dan gas supaya kita ada kepelbagaian bidang lain seperti pembuatan dan farmaseutikal,” ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai pertemuan tersebut selepas menyempurnakan Majlis Meet & Greet Menteri Besar Terengganu bersama Penerima Biasiswa Master & PhD Yayasan Terengganu di Wisma Darul Iman, hari ini. Katanya, bidang pembuatan dan farmaseutikal masih kurang diberi tumpuan walaupun Terengganu sudah memiliki Bio Polimer Park di Kerteh yang mengfokus kepada bidang-bidang yang berkaitan biologi dan seumpamanya. “Kalau boleh kita mahu supaya dipertingkatkan mengenai farmaseutikal dan lain-lain yang berkaitan di negeri ini,” ujarnya.  
15 Feb 23
398
Pendidikan, Pelaksanaan Syariah Islam Jadi Keutamaan
Pendidikan, Pelaksanaan Syariah Islam Jadi Keutamaan
KUALA TERENGGANU, 15 Februari – Pendidikan dan Pelaksanaan Syariah Islam menjadi keutamaan dalam masyarakat di negeri ini. Mufti Terengganu, Prof Madya Dr Mohamad Sabri Haron berkata pelbagai pendekatan yang diambil oleh pimpinan Terengganu dalam mencorakkan pendidikan ke arah lebih baik. Katanya, pelaksanaan syariah Islam juga perlu diberikan pujian yang lebih kerana telah berjaya menjadikan Terengganu sebagai negeri yang mementingkan Islam dalam semua perkara. “Bahkan, dalam bidang sukan juga turut menitikberatkan kaedah dan etika Islam apabila pihak Mufti juga turut terlibat menjadi ahli Jawatankuasa Sukan di negeri ini. “Inisiatif ini merupakan langkah terbaik, bagi membimbing cara berfikir atlet Terengganu supaya menjaga adab dan tingkah laku terutamanya dari sudut pemakaian,” katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemubual oleh Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) Di Tingkat 1, Pejabat Jabatan Mufti Terengganu, Kuala Terengganu di sini baru-baru ini. Tambah Prof Sabri, dari sudut keagamaan, kerajaan negeri juga sangat mengambil perhatian yang serius. “Dengan mengadakan Multaqa Ulama di peringkat nusantara yang merupakan salah satu mekanisme dalam memperkukuhkan akidah Islam dalam masyarakat. “Pemimpin negeri juga memainkan peranan yang baik dari segi pembahagian tugas masing-masing seperti dakwah, pertanian dan sebagainya," ujarnya.  
15 Feb 23
209