lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Terengganu Tuntut Hak Senarai 10 Projek Wajib Lulus RMK-13
Terengganu Tuntut Hak Senarai 10 Projek Wajib Lulus RMK-13
KUALA TERENGGANU, 16 Ogos – Kerajaan Negeri Terengganu mengemukakan senarai 10 projek mega yang dianggap 'wajib diluluskan' dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) Rolling Plan Pertama (RP1) bagi memastikan keselamatan rakyat, kelestarian alam sekitar dan kelancaran ekonomi negeri. Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dato' Hanafiah Mat  berkata projek-projek tersebut merupakan keperluan mendesak dan bukan bersifat kemewahan. Katanya, ia melibatkan aspek keselamatan rakyat, kesihatan awam, kelestarian alam sekitar serta pembangunan infrastruktur strategik. "Antara projek yang disenaraikan ialah Pengawalan Hakisan Pantai Rusila, Marang (RM144.85 juta), Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Buaya, Kuala Nerus (RM247.97 juta), Jalan Baharu KT-Bypass ke FT14, Kuala Terengganu (RM231.12 juta) dan RTB Anak Sungai Ibai, Kuala Terengganu (RM147.66 juta). "Turut disenaraikan ialah pembinaan Blok Tambahan Hospital Besut (RM500 juta), penggantian Paip Air Submarin ke Pulau Redang (RM150 juta), naik taraf FT03 di Setiu (RM231.84 juta), Sistem Saliran Mesra Alam Kampung Mak Chili, Kemaman (RM29.90 juta), pembinaan Jambatan Baharu Pulau Kekabu, Marang (RM6.90 juta) dan naik taraf Stadium Hoki, Kuala Terengganu (RM7.90 juta)," ujarnya. Menurut Hanafiah, projek-projek ini amat penting untuk menangani isu seperti hakisan pantai kritikal, banjir kilat, kemudahan kesihatan yang terhad, masalah air, jalan raya yang berisiko, serta infrastruktur sukan yang uzur. “Terengganu adalah penyumbang utama hasil negara melalui industri minyak dan gas. Namun, kelulusan projek dan peruntukan sering berdepan kelewatan. "Kami berharap kerajaan Persekutuan memberi keutamaan penuh terhadap 10 projek ini demi kesejahteraan rakyat,” katanya. Tambah beliau lagi, sebelum ini, RMK-12 telah meletakkan asas kukuh bagi menyediakan peruntukan pembangunan yang lebih besar kepada Terengganu, sekali gus menyasarkan lonjakan pertumbuhan ekonomi negeri.  "Namun, dalam Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13), penglibatan Terengganu dilihat terbatas apabila negeri ini hanya terlibat dalam enam daripada keseluruhan 122 strategi yang digariskan. "Keadaan ini menimbulkan persoalan mengenai keutamaan perancangan pembangunan yang seimbang antara negeri, terutama bagi memastikan Terengganu terus mendapat manfaat setimpal dengan sumbangannya kepada ekonomi negara," jelasnya.
16 Aug 25
1947
Buli Racun Keharmonian, Nyawa Jadi Taruhan
Buli Racun Keharmonian, Nyawa Jadi Taruhan
KUALA TERENGGANU, 15 Ogos – Perbuatan buli disifatkan sebagai ‘racun keharmonian’ yang merosakkan hubungan sesama manusia dan berpotensi meragut nyawa jika dibiarkan berleluasa. Khutbah Jumaat di seluruh Terengganu baru-baru ini menggariskan bahawa budaya buli, sama ada di sekolah, tempat kerja atau alam maya, merupakan perbuatan zalim yang diharamkan oleh Islam kerana mencederakan fizikal, mental dan emosi mangsa. Menurut teks khutbah yang disediakan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), kes buli masih berada pada tahap membimbangkan. “Tahun lalu sahaja, sebanyak 427 kes salah laku buli direkodkan di sekolah seluruh negara, termasuk insiden pada 2024 yang mengakibatkan kematian pelajar. “Buli bukan sekadar memukul atau mengasari secara fizikal, malah termasuk memalukan, menakutkan, menyindir atau menyisihkan seseorang sehingga menjejaskan maruah dan kesejahteraan diri,” tegas khutbah tersebut. Khutbah turut memberi amaran mengenai bahaya buli siber, yang berlaku melalui media sosial dan aplikasi mesej apabila mangsa dihina, difitnah atau didedahkan aibnya secara terbuka. Jelasnya, perbuatan ini bukan sahaja berdosa, malah boleh menyebabkan mangsa mengalami tekanan perasaan yang serius sehingga mengambil nyawa sendiri. “Firman Allah SWT dalam Surah Maryam ayat 96 turut dibacakan yang bermaksud: 'Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, Allah akan menjadikan bagi mereka perasaan kasih sayang (dalam hati manusia)',” kata khutbah itu.  Khutbah menyeru semua pihak termasuk ibu bapa, guru, masyarakat dan pemimpin berganding bahu mendidik generasi muda dengan nilai hormat-menghormati, tolong-menolong dan kasih sayang agar budaya buli dapat dihapuskan. “Buli bukan budaya kita. Ia bukan gurauan, tetapi jenayah moral dan agama. Hentikan sebelum ada lagi nyawa terkorban,” demikian tegas khutbah itu.
15 Aug 25
76
'Layanan Dua Darjat', Terengganu Mahu Haknya Dikembalikan
'Layanan Dua Darjat', Terengganu Mahu Haknya Dikembalikan
KUALA TERENGGANU, 15 Ogos – Kerajaan Negeri Terengganu menggesa kerajaan Persekutuan menghentikan amalan layanan 'dua darjat' dalam pengagihan projek dan peruntukan pembangunan, yang didakwa membantutkan kemajuan negeri itu. Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dato' Hanafiah Mat menegaskan, walaupun negeri berkenaan menjadi penyumbang utama hasil negara menerusi industri minyak dan gas, banyak projek yang dicadangkan berdepan proses kelulusan yang lambat, syarat tambahan yang ketat, malah ada yang dipotong skala pelaksanaannya. “Ini bukan soal politik, ini soal keadilan kepada rakyat dan Terengganu bukan anak tiri dalam Persekutuan Malaysia.  "Hak kita mesti dihormati  dan Terengganu berhak menikmati pembangunan setara dengan negeri-negeri lain,” katanya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman ketika dihubungi.  Hanafiah yang juga Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Cukai berkata beliau juga menyokong penuh ucapan perbahasan RMK-13 Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar merangkap Ahli Parlimen Kemaman di Sidang Parlimen baru-baru ini. Katanya, Ahmad Samsuri bukan sekadar mengkritik kelemahan, tetapi mengemukakan cadangan konkrit untuk memperkukuh kerjasama Persekutuan–Negeri, mempercepat pembangunan, dan memastikan Terengganu mendapat haknya secara adil. Beliau turut menegaskan bahawa perkara tersebut adalah selaras dengan semangat Persekutuan Malaysia yang termaktub dalam Perlembagaan, dan sebarang diskriminasi pembangunan terhadap negeri itu perlu dihentikan segera. “Kita menyumbang hasil, kita berhak menikmati pembangunan setimpal,” ujarnya. Beliau juga menegaskan pembangunan luar bandar perlu dilaksanakan secara menyeluruh, termasuk bekalan air bersih, grid elektrik diperkukuh dengan tenaga boleh baharu, dan liputan internet berkelajuan tinggi ke seluruh daerah. Dalam perbahasan RMK14 baru-baru ini, Menteri Besar turut menekankan keutamaan projek Lebuhraya Pantai Timur Fasa 3 (LPT3) sebagai pemacu mobiliti dan ekonomi negeri, dengan memberi manfaat kepada pengangkutan hasil pertanian, perikanan dan industri. Justeru itu, Hanafiah berkata beliau menyokong penuh desakan itu dan mahu Kerajaan Persekutuan segera meluluskan pelaksanaan projek yang telah siap kajian dan kerja awalan sejak 2022, sambil menegaskan komitmen politik serta kewangan amat diperlukan bagi mengelak kelewatan berterusan.    
15 Aug 25
3779
83 Peratus Penjawat Awam Sokong Terengganu Tuntut Royalti - Kajian
83 Peratus Penjawat Awam Sokong Terengganu Tuntut Royalti - Kajian
KUALA TERENGGANU, 14 Ogos – Kajian terbaru yang dijalankan sekumpulan penyelidik Universiti Utara Malaysia (UUM) antara Jun hingga Julai tahun ini melibatkan 1,278 penjawat awam daripada Kumpulan Pengurusan Tertinggi serta Kumpulan Pengurusan dan Profesional di Terengganu mendapati mereka sependapat dengan pendirian negeri itu dalam menuntut bayaran royalti petroleum. Menurut Ketua Jabatan Penyelidikan dan Pembangunan Dasar Terengganu Strategik dan Institusi Integriti (TSIS), Mohd Eikhwan Ali, sikap Kerajaan Madani yang mengawal perbelanjaan hasil sumber petroleum telah menjejaskan kelancaran penyampaian perkhidmatan kerajaan negeri kepada rakyat, termasuk pembayaran emolumen serta pelaksanaan projek pembangunan. “Berdasarkan soal selidik pandangan awam yang dijalankan TSIS pada Mei hingga Jun 2024, seramai 57.2 peratus daripada 918 responden berpendapat layanan Kerajaan Madani terhadap Terengganu adalah teruk. “Selain itu, 56.1 peratus daripada keseluruhan responden juga tidak berpuas hati dengan prestasi Kerajaan Madani,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini. Mengulas lanjut, Eikhwan berkata, peralihan pentadbiran Kerajaan Persekutuan pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) disusuli sentimen politik Kerajaan Madani telah menyebabkan Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030 diketepikan, digantikan dengan kerangka Ekonomi Madani Memperkasa Rakyat yang dilancarkan pada Julai lalu sebagai asas kepada RMK-12 dan RMK-13. “Tidak seperti rancangan jangka panjang lain yang memiliki dokumen induk lengkap, penerbitan rasmi kerangka Ekonomi Madani hanya terdapat di portal Pejabat Perdana Menteri dalam bentuk teks ucapan, brosur dan slaid. Walaupun ia mungkin bersifat teknikal, keadaan ini mencerminkan tahap kredibiliti sebuah dokumen dasar kerajaan,” ujarnya. Beliau turut menjelaskan, dalam RMK-13 yang dibentangkan, hanya sembilan daripada 122 strategi disebut secara jelas melibatkan kerjasama, penyelarasan dan kolaborasi dengan kerajaan negeri. “Jika diteliti, kebanyakan sembilan strategi ini berkaitan senarai negeri dan senarai bersama di bawah Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan, yang sememangnya menjadi tanggungjawab Kerajaan Persekutuan untuk memastikan pembangunan dan ekonomi negeri sentiasa berkembang. “Namun, dalam suasana amalan pemusatan kuasa yang semakin mengukuh selain struktur federalisme sedia ada, tidak wajar inisiatif di bawah strategi ini dijadikan platform untuk Kerajaan Persekutuan memaksa kerajaan negeri melepaskan kepentingan mereka, sama ada secara langsung atau tidak langsung. Keadaan ini bertambah rumit apabila budaya politik sempit turut mempengaruhi,” katanya. Justeru, beliau menyifatkan seruan Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar agar Malaysia beralih kepada amalan Cooperative Federalism seperti yang dibangkitkan dalam sidang Dewan Rakyat adalah amat bertepatan. “Ia wajar dijadikan kajian kes dan dinilai di luar sempadan politik serta kepartian. Gesaan ini lahir daripada pengalaman beliau sendiri yang melihat dan merasai kepincangan amalan federalisme mutakhir ini,” tegasnya.
14 Aug 25
1918
Pakar Sokong Kenyataan Dr. Sam, Federalisme Fiskal Perlu Direformasi
Pakar Sokong Kenyataan Dr. Sam, Federalisme Fiskal Perlu Direformasi
KUALA TERENGGANU, 14 Ogos – Sistem federalisme fiskal di Malaysia perlu diberi perhatian serius berikutan wujudnya ketidakseimbangan pembahagian hasil antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri, tegas Pakar Perlembagaan, Dr. Fathi Yusof. Menurut beliau, walaupun kerajaan negeri memikul tanggungjawab besar dalam membangunkan kawasan luar bandar, menyediakan perumahan, prasarana serta membantu golongan petani dan nelayan, sumber pendapatan yang dimiliki amat terhad dan terlalu bergantung kepada kerajaan pusat. “Kerajaan Persekutuan mengutip sekitar RM250 bilion setahun hasil cukai korporat. “Sekiranya hanya 10 peratus daripada jumlah itu diagihkan kepada negeri berdasarkan lokasi kutipan. “Ia mampu mengurangkan ketidakseimbangan dan memberi dorongan kepada negeri untuk memajukan ekonomi masing-masing,” katanya kepada media hari ini menyokong cadangan MB Terengganu, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar agar Kerajaan Malaysia melaksanakan model federalisme koperatif dan fiskal.  Jelasnya lagi, cadangan itu tidak akan menjejaskan operasi Kerajaan Persekutuan, sebaliknya membolehkan sebahagian fungsi pembangunan seperti pertanian, pembangunan luar bandar dan prasarana diserahkan kepada kerajaan negeri. Beliau turut menekankan bahawa prinsip federalisme menuntut kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan negeri tanpa dipengaruhi kepentingan politik. “Kita perlu mengiktiraf bahawa kerajaan hari ini adalah kerajaan yang dipilih rakyat melalui proses demokrasi. Kadangkala kerajaan pusat dan kerajaan negeri mungkin ditadbir oleh parti berbeza, namun itu bukan alasan untuk tidak bekerjasama. “Semua pihak mesti menghormati mandat rakyat dan memastikan kepentingan politik tidak mengatasi kepentingan rakyat,” ujarnya. Dalam konteks ini, katanya, isu royalti petroleum juga perlu diselesaikan dengan mematuhi undang-undang dan perjanjian yang telah dipersetujui. “Negeri-negeri wajar diberikan hak hasil percukaian secara adil agar dapat melaksanakan amanah pembangunan rakyat dengan lebih berkesan,” tegasnya.
14 Aug 25
194
e-Tanah Lancar Urusan Berkaitan Tanah di Terengganu
e-Tanah Lancar Urusan Berkaitan Tanah di Terengganu
KUALA TERENGGANU, 14 Ogos  — Pelaksanaan sistem e-Tanah di Terengganu sejak September 2024 berjaya mempercepatkan dan memudahkan pelbagai urusan berkaitan tanah secara digital, sekali gus meningkatkan ketelusan perkhidmatan. Pengarah Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Terengganu, Datuk Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak berkata, inisiatif itu membuktikan komitmen kerajaan negeri memperkasa urus tadbir tanah menerusi pendekatan moden dan mesra rakyat. “e-Tanah bukan sekadar sistem digital, tetapi penyelesaian menyeluruh yang menyatukan semua proses berkaitan tanah di bawah satu platform bersepadu. Ia membolehkan orang ramai melakukan pelbagai urusan tanpa perlu hadir ke pejabat tanah,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.  Beliau berkata pelaksanaan sistem itu adalah hasil kerjasama awam-swasta antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri Terengganu dan Puncak Tegap Sdn Bhd menerusi model perniagaan Build, Maintain and Transfer (BMT), dengan syarikat berkenaan menanggung sepenuhnya kos pembangunan dan penyelenggaraan selama 14 tahun. Katanya, penggunaan e-Tanah memberi kesan positif kepada hasil negeri dengan kutipan meningkat 13 peratus kepada RM76 juta setakat 31 Mei lalu berbanding RM68 juta dalam tempoh sama tahun lepas. Kerajaan negeri menyasarkan 20,000 pengguna berdaftar menjelang akhir tahun ini melalui sembilan modul utama termasuk e-Carian, Permohonan Dalam Talian, e-Semakan dan Bayaran Cukai Tanah yang boleh diakses menerusi Portal Awam e-Tanah. Selain itu, katanya, kempen “Jom Bayar Cashless Pejabat Tanah 2025” dilaksanakan sehingga 31 Julai 2025 bagi menggalakkan pembayaran cukai tanah secara dalam talian menggunakan saluran seperti FPX, TPay, JomPAY dan kad kredit, dengan cabutan bertuah bernilai RM240,000 ditawarkan. Tun Ahmad Faisal berkata, sistem itu dilengkapi ciri keselamatan digital bagi melindungi data peribadi pengguna, menjadikan Terengganu negeri keempat melaksanakan e-Tanah selepas negeri lain.  
14 Aug 25
1728
Selamatkan Generasi Muda Daripada Terjebak LGBT, Dadah, Vape
Selamatkan Generasi Muda Daripada Terjebak LGBT, Dadah, Vape
KUALA NERUS, 14 Ogos – Kerajaan Negeri Terengganu menegaskan komitmen untuk melindungi rakyat, khususnya golongan belia, daripada terjebak dalam gejala songsang seperti lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT), penyalahgunaan dadah serta penggunaan rokok elektronik (vape) berlandaskan panduan Islam. Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi, berkata usaha pencegahan akan digiatkan bagi meningkatkan kesedaran terhadap masalah sosial yang semakin membarah dalam masyarakat. “Ini adalah tanggungjawab agama, dan Terengganu meletakkan Islam sebagai agenda tertinggi. Kita melihat penyelesaian kepada masalah ini tidak lain dan tidak bukan adalah melalui agama. Dalam konteks kerajaan, fokus kita bukan sekadar membincangkan masalah, tetapi mencari penyelesaiannya melalui undang-undang Islam. Kita telah mempunyai Enakmen Jenayah Syariah (EJS) walaupun belum dapat dilaksanakan sepenuhnya, namun kita laksanakan setakat yang mampu. Selain itu, kita turut mengambil langkah-langkah kesedaran melalui program seperti hari ini, yang melibatkan ceramah dan penerangan kepada seluruh rakyat, khususnya golongan muda termasuk pelajar sekolah dan universiti,” katanya. Beliau berkata demikian kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas merasmikan Program Cakna Sosial Terengganu: Cegah Sebelum Parah di Dewan Jubli Perak, di sini, hari ini. Mengulas lanjut, Muhammad Khalil memaklumkan bahawa program tersebut merupakan kali pertama dianjurkan oleh kerajaan negeri sebagai usaha merancakkan penerangan mengenai bahaya gejala LGBT, penyalahgunaan dadah dan vape. “Insya-Allah, program ini akan diperluas ke daerah-daerah lain mengikut pembahagian zon – tengah, utara dan selatan. “Fokus utama adalah kepada remaja dan belia, khususnya pelajar sekolah menengah serta mahasiswa dan mahasiswi di institusi pengajian tinggi berhampiran,” ujarnya.
14 Aug 25
93
Hamil Anak Luar Nikah, Kes Pertama Selepas Pindaan Pelihara Keturunan
Hamil Anak Luar Nikah, Kes Pertama Selepas Pindaan Pelihara Keturunan
KUALA TERENGGANU, 14 Ogos - Kes pertama melibatkan Seksyen 29A Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 yang baru dipinda pada 2022 telah direkodkan di Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu semalam menandakan langkah tegas kerajaan negeri dalam menjaga maslahah keturunan dan kehormatan nasab. Seorang lelaki berusia 22 tahun dan pasangannya, 20 tahun, masing-masing mengaku bersalah di hadapan Hakim Mohd Nazri Yusof atas kesalahan berkaitan hamil dan melahirkan anak luar nikah. Tertuduh wanita didakwa di bawah Seksyen 29A(1) kerana melahirkan anak luar nikah pada Ogos tahun lalu, manakala tertuduh lelaki didakwa di bawah Seksyen 29A(2) kerana menyebabkan seorang perempuan melahirkan anak luar nikah berdasarkan hasil ujian DNA. Ketua Pegawai Penguatkuasa Syariah Negeri Terengganu, Aizi Saidi Abd Aziz memaklumkan, tertuduh wanita telah membayar denda RM2,300, manakala tertuduh lelaki dihantar ke penjara bagi menjalani hukuman penjara selama 3 bulan kerana gagal melunaskan denda yang dikenakan. “Kesalahan ini amat berat kerana bercanggah dengan Maqasid Syariah yang bertujuan menjaga keturunan (hifz al-nasab). Jika tidak dibendung, ia boleh membawa kepada pelbagai implikasi dalam isu pewalian, faraid dan keturunan,” tegas beliau. Beliau turut menekankan bahawa penguatkuasaan undang-undang ini bukan sekadar hukuman, tetapi sebahagian daripada usaha pendidikan dan pencegahan yang dilaksanakan. “Ibu bapa perlu memainkan peranan besar dalam mendidik anak-anak remaja agar tidak terjebak dengan kesalahan ini. Kerajaan negeri melalui jabatan dan agensi berkaitan juga telah melaksanakan pelbagai program kesedaran bagi membendung gejala ini sebelum ia berlaku,” ujarnya lagi. Dengan pelaksanaan pindaan ini, Terengganu menghantar mesej jelas bahawa isu menjaga maruah dan nasab bukan sekadar tanggungjawab peribadi, tetapi agenda penting dalam membina masyarakat yang bermoral dan berdisiplin.
14 Aug 25
10948
Pelan Strategik Akan Direalisasi
Pelan Strategik Akan Direalisasi
KUALA TERENGGANU, 14 Ogos - Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menegaskan bahawa pelaksanaan dasar dan pelan strategik negeri, khususnya di bawah Terengganu New Economy Transformation (TNEXT) akan direalisasikan dengan tindakan konkrit. Beliau menekankan bahawa pelaksanaan dasar dan pelan strategik itu bukanlah sekadar pelancaran tanpa hasil seperti yang disindir sesetengah pihak. "Ada juga suara-suara kecil yang terpencil dengan sinis menyebut bahawa bermacam dasar dan perancangan strategik negeri telah dilancarkan. Tetapi, mananya pembangunan yang dibawa?. "Tak apalah, mungkin makna sebuah pembangunan pun mereka keliru. Mungkin ini juga maksud peribahasa Melayu, 'agak lebih daripada agih' - iaitu banyak bicara tetapi sedikit kerja.  "Yang penting, kita dengan berjiwa besar menjadikan sindiran mereka sebagai kata semangat untuk kita terus bekerja. "Yang nyata apa yang kita jadikan dasar dan pelan srategik ini, semuanya sedang dilaksanakan dengan cermat, insya-Allah," katanya. Ahmad Samsuri berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Dasar Dan Pelan Di Bawah Portfolio Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau Tahun 2025, semalam. Tambahnya lagi, pentadbiran negeri juga tidak mahu mengulangi kesilapan lalu apabila projek-projek terbengkalai menjadi 'gajah putih' akibat perbalahan dan dendam politik. Menteri Besar turut menyeru rakyat, penjawat awam dan pelabur untuk memainkan peranan dengan sepenuhnya demi memastikan masa depan Terengganu untuk generasi akan datang. "Sehebat mana pun dasar dan pelan yang dirancang, tetapi tanpa sokongan penjawat awam yang cekap, pelabur yang yakin dan rakyat yang menyertainya, ianya hanya tinggal sebagai dokumen yang cantik dalam bentuk 'publication' semata-mata. "Idea yang mulia tidak akan hidup tanpa tindakan. Gerakkan ia, hidupkan idea-idea ini dan biarkan geloranya membina masa depan kita yang diimpi-impikan. "Oleh yang demikian marilah kita sama-sama merealisasikanya agar anak-anak dan generasi akan datang di negeri ini dapat berbangga dengan kita," pesannya.
14 Aug 25
94
Terengganu Terus Pacu Agenda REE Walau RMK13 Tidak Perincikan Peranan Negeri
Terengganu Terus Pacu Agenda REE Walau RMK13 Tidak Perincikan Peranan Negeri
KUALA TERENGGANU, 12 Ogos – Kerajaan Negeri Terengganu menegaskan komitmen untuk terus memacu agenda pembangunan sumber nadir bumi (REE) meskipun Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) tidak memperincikan secara khusus penglibatan negeri dalam sektor tersebut. Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi, Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman, berkata Terengganu telah pun memulakan pelbagai inisiatif di peringkat negeri dengan kerjasama pelabur sedia ada bagi memastikan potensi REE dimanfaatkan sepenuhnya. “Walaupun tiada agenda khusus dalam RMK13, ia tidak akan merencatkan persiapan negeri untuk mengeluarkan hasil REE. Kita akan melaksanakan projek dalam skop dan bidang kuasa negeri terlebih dahulu, sementara perkara yang melibatkan dasar Persekutuan akan diteliti dari semasa ke semasa,” jelasnya. Beliau berkata demikian ketika dihubungi hari ini bagi mengulas perbahasan Ahli Parlimen Kemaman, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, di Sidang Parlimen semalam. Menurut Mohd Nurkhuzaini, antara strategi yang telah digerakkan termasuk penyediaan makmal REE, pelantikan dua syarikat bagi memulakan kerja eksplorasi, selain mempertimbangkan lebih daripada 10 permohonan lain daripada syarikat yang berminat mendapatkan kawasan eksplorasi. Katanya, Majlis REE Negeri Terengganu telah memulakan mesyuarat sejak 2024 dan akan diteruskan sepanjang 2025 sebagai platform penyelarasan strategi dan pelaksanaan projek. “REE adalah antara fokus utama negeri untuk masa depan. Bermula sekarang, kita telah menyusun pelbagai langkah bagi menjayakan agenda ini demi manfaat ekonomi negeri dan kesejahteraan rakyat,” ujarnya.
14 Aug 25
118