lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Lebih 6,000 Pemilik Skuter Sertai Scooterian Mega Gathering
Lebih 6,000 Pemilik Skuter Sertai Scooterian Mega Gathering
KUALA NERUS, 26 Februari- Lebih 6,000 pemilik dan peminat skuter dari seluruh negara memeriahkan program Scooterian Mega Gathering Vol 1.0 yang berlangsung di Taman Tasik, Kuala Nerus selama dua hari berakhir semalam. Pengarah Program, Wan Mohd Zulhafeeza Wan Mohd Yusof berkata, perhimpunan julung kali diadakan itu terbuka kepada pelbagai jenis jenama dan model skuter.  Katanya, untuk acara autoshow sebanyak 11 kategori dipertandingan dimana tiga kategori bagi skuter moden dan selebihnya vespa. “Sambutan diterima adalah di luar jangkaan, kita hanya letak sasaran 3,000 penyertaan tetapi yang hadir lebih 6,000. “Matlamat kita adalah untuk mengumpul anak-anak muda seluruh Malaysia datang bersilaturahim, dan dalam masa yang sama (kami) pihak penganjur menerapkan lebih kepada keselamatan semasa berkonvoi. “Selain berkumpul dan menggayakan skuter masing-masing, turut diadakan gerai jualan, cabutan bertuah, tidak lupa kita turut selitkan tazkirah disamping hiburan dimana kita mengharapkan event ini sedikit sebanyak dapat memberi manfaat kepada rider yang datang ke Terengganu,” ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Perasmian Program Scooterian Mega Gathering 2023 yang disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah di Taman Tasik, Kuala Nerus, semalam. Katanya, penganjuran program tersebut mendapat kerjasama baik dari semua pihak termasuk kerajaan negeri dan penaja.  “InsyaAllah, dengan sokongan kerajaan negeri dan semua pihak, kami turut bercadang untuk mengadakan Scooterian Mega Gathering Vol 2.0 juga di Terengganu pada tahun hadapan,” ujarnya. Sementara itu, Wan Sukairi berkata, kerajaan negeri sentiasa mengalu-alukan dan akan memberikan kerjasama terbaik terhadap penganjuran program yang boleh memberi manfaat kepada kerajaan dan rakyat. “Terengganu sentiasa mengalu-alukan kedatangan para rider yang bertujuan mengadakan program gathering seperti ini. “Selain menguatkan hubungan silaturahim dan juga membina rangkaian pelbagai manfaat dan tujuan, ianya secara tidak langsung memberikan impak ekonomi kepada rakyat Terengganu khususnya di kawasan sekitar tempat penganjuran sesuatu program itu,” ujarnya. Tambah beliau, selain mudah berurusan dengan pihak kerajaan, Terengganu yang terkenal dengan pelbagai tempat riadah yang cantik turut menarik minat penganjur untuk mengadakan program himpunan kenderaan di Negeri Terengganu sebelum ini.  
26 Feb 23
2055
Nelayan Terengganu Terima Berita Gembira
Nelayan Terengganu Terima Berita Gembira
SETIU, 26 Februari - Kira-kira 2,000 nelayan di Terengganu menerima berita gembira apabila kerajaan negeri mengumumkan akan menanggung kos pembaharuan lesen bagi nelayan sampan kecil di negeri itu. Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, ketika mengumumkan perkara itu menyifatkan pemberian itu sebagai satu usaha untuk membantu golongan nelayan sampan kecil. "Setiap tahun, mereka harus membayar lesen. Bagi tahun, kita memberi insentif pengecualian bagi membayar kos itu. "Ini bukan kali pertama, kita pernah melaksanakan insentif ini pada tahun 2019 sebelum ini. "Biarlah para nelayan sampan kecil ini fokus kepada gerak kerja mereka," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan penutupan Karnival Gedung Pengeluaran Makanan Terengganu (GPMT) di Sungai Tarom, semalam. Karnival selama tiga hari itu adalah simbolik usaha kerajaan negeri untuk menjadikan Setiu sebagai gedung pengeluaran makanan bagi negeri berkenaan. "Ini bukan slogan semata-mata tetapi mengandungi tempoh pelaksanaan dan pelan strategik yang akan dilaksanakan," katanya.
26 Feb 23
2283
Pemuda Palestin Teruja Lihat Semangat Rakyat Terengganu
Pemuda Palestin Teruja Lihat Semangat Rakyat Terengganu
KUALA TERENGGANU, 25 Februari - Seorang Pemuda Palestin, Anas Kamal Abu Alatta menzahirkan perasaan teruja melihat kesungguhan rakyat Terengganu menyertai Program Kayuhan Basikal 'Family Fun Ride' sempena Minggu Al-quds 2023. Katanya, pendekatan kerajaan Terengganu itu bukan sahaja berupaya untuk mendidik rakyat agar sentiasa mencaknai konflik yang berlaku secara berterusan di negara tersebut tetapi juga memastikan masyarakat menjalani kehidupan sihat. "Hari ini saya sangat seronok melihat kesemua mereka yang bersemangat menyertai program ini, jika diberikan kesempatan pada tahun hadapan saya ingin turut bersama menyertainya," ujarnya. Dia yang juga merupakan pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA) itu, berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), pada program berkenaan yang diadakan di Dataran Awam Batu Burok yang telah menerima penyertaan seramai 1,000 peserta. Dalam pada itu dia turut menyifatkan negeri Terengganu memiliki keindahannya yang tersendiri. "Saya sangat beruntung hadir ke sini, ini merupakan Kali kedua hadir ke sini, dimana Kali pertama adalah pada Oktober tahun lalu. "Terengganu merupakan sebuah negeri yang sangat menarik, banyak makanan lazat di sini diantaranya saya sangat mengemari 'nasi dagang', "ujarnya yang hadir bersama temannya yang juga merupakan warga Palestin.
26 Feb 23
1034
1000 Sertai Kayuhan Basikal Minggu Al-Quds
1000 Sertai Kayuhan Basikal Minggu Al-Quds
KUALA TERENGGANU, 25 Februari- Seramai 1,000 peserta telah menyertai Program Kayuhan Basikal 'Family Fun Ride' sempena Minggu Al-Quds 2023 bagi menunjukkan solidariti terhadap isu berkenaan. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, program itu merupakan salah satu pengisian dalam menyambut Minggu Al-Quds pada tahun ini. Ujarnya, kesungguhan kerajaan negeri dalam menganjurkannya untuk mengajak seluruh rakyat menzahirkan solidariti terhadap negara seluruh umat Islam itu, serta menanam perasaan untuk membebaskannya daripada cengkaman Zionis Yahudi. "Sebagaimana kita tahu Palestin merupakan negara yang dimiliki oleh umat Islam, walaupun kita tidak berada di sana, apa-apa yang berlaku kita mesti bertanggungjawab. "Jadi, ini merupakan inisiatif untuk kita menyampaikan mesej daripada rakyat Terengganu dan seluruh negara untuk sentiasa mempertahankannya daripada sebarang anasir yang ingin menghancur dan memusnahkan bumi umat Islam," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan perasmiaan program berkenaan, di Dataran Awam Batu Burok, di sini, hari ini. Kesemua peserta telah menyempurnakan kayuhan membabitkan jarak 18 kilometer bermula di Dataran Batu Burok dan melalui Jambatan Angkat ke Masjid Baru Seberang Takir serta kembali semula ke Dataran Batu Burok. Pada acara yang diadakan itu pelbagai hadiah cabutan bertuah telah disediakan bagi memeriahkan acara yang menerima penyertaan daripada pelbagai lapisan masyarakat serta turut disertai kaum cina.  
25 Feb 23
635
Karnival Beautiful Terengganu Platform Perkenal Pakej Pelancongan
Karnival Beautiful Terengganu Platform Perkenal Pakej Pelancongan
KEMAMAN, 25 Februari- Kerajaan negeri menerusi Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu meneruskan kesinambungan penganjuran Karnival Beautiful Terengganu Malaysia (KBTM) 2023 yang berlangsung di Padang Astaka, di sini selama empat hari bermula 23 Februari lalu. Timbalan Pengerusi (l) Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Sulaiman Sulong berkata, penganjuran KBTM kali kedua itu dilihat sebagai platform terbaik kepada penggiat industri pelancongan (players) Terengganu bagi memasarkan produk dan pakej pelancongan masing-masing kepada pengunjung secara berdepan. "Selain dapat memperkenalkan seni warisan budaya yang ada di Terengganu, tujuan utama adalah untuk menjadi paltform bagi memperkenalkan pakej serta perkhidmatan yang berkaitan pelancongan yang disediakan oleh pemain industri kepada pengunjung karnival. "Kita tampilkan keunikan dengan membawa produk-produk pelancongan dan pakej menarik yang dapat memberi pilihan kepada pengunjung. "Kita ada 20 gerai pempamer yang boleh dikunjungi oleh para pengunjung untuk mendapat pilihan perkhidmatan dan pakej pelancongan dengan tawaran harga yang berpatutan," ujarnya ketika berucap merasmikan KBTM 2023 di Padang Astaka, malam tadi. Menurut Sulaiman, kerajaan negeri mahu mereka (pemain industri) melihat ini adalah satu inisiatif yang bersungguh digerakkan oleh kerajaan negeri dan sekali gus ingin menjadikan KBTM sebagai peluang yang perlu direbut.  "Ini adalah peluang terbaik untuk memasarkan dan menjual produk, pakej yang ada pada pemain industri di Negeri Terengganu. "Sekiranya pemain industri di peringkat negeri kurang minat kita bersedia panggil penggiat luar, " ujarnya. Sementara itu katanya, sektor pelancongan Negeri Terengganu merupakan penyumbang kedua terbesar selepas industri minyak dan gas di negeri ini yang juga menyumbang kepada sosiol ekonomi penduduk.  "Kerajaan negeri sentiasa komited dan berusaha untuk mempromosikan produk-produk pelancongan dalam menarik jumlah kedatangan pengunjung ke negeri Terengganu. "Pelbagai usaha dan promosi yang dilakukan oleh kerajaan negeri samada di peringkat dalam dan luar negeri termasuk ke luar negara. "Salah satu yang kita usahakan ialah KBTM yang kita adakan ini sebagai usaha mempergiatkan lagi kempen promosi sektor pelancongan negeri, " ujarnya.
25 Feb 23
1361
Himpit Manifestasi Semangat Perjuangan Rasulullah
Himpit Manifestasi Semangat Perjuangan Rasulullah
KUALA TERENGGANU, 25 Februari - Program Himpunan Pemuda Islam Terengganu (HIMPIT) 2023 yang berlangsung di Setiu baru-baru ini hanyalah mahu memperlihatkan semangat perjuangan Rasulullah S.A.W. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Burok, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, program tersebut bertujuan meningkatkan kefahaman dalam diri generasi sekarang. Katanya, program tersebut telah lama diadakan sejak daripada tahun 90-an lagi. “Namun, baru-baru ini beberapa pihak sengaja menimbulkan isu dengan tomohan yang tidak sepatutnya. "Pelik kenapa isu ini menjadi kontroversi sedangkan di luar sana lebih banyak lagi perhimpunan dan perarakan ekstrem namun tiada isu dan kontroversi ditimbulkan," jelasnya. Beliau berkata demikian ketika Bicara Isu Semasa bertempat di Studio TV Darul Iman di sini baru-baru ini. Tambah Dr Khalil, perarakan seumpama itu telah banyak diadakan di dalam dan luar negara seperti Viking, perarakan Thaipusam dan lain-lain. "Ianya bertujuan bagi menaikkan semangat masyarakat mereka dari sudut agama, budaya dan sebagainya. “Sepatutnya kita kena mempertahankan pendekatan Islam yang sudah menjadi darah daging dalam masyarakat melayu dan Islam dalam negara kita," katanya. Di samping, kita tidak boleh bertolak ansur dengan agenda yang mahu menjatuhkan cara hidup Islam dalam diri dan masyarakat kita. Mengulas lanjut mengenai Himpit, pihak di luar sana mahu menggambarkan bahawa Parti Islam Semalaysia (PAS) merupakan parti yang terlampau dan ekstrem. Sedangkan, PAS merupakan parti yang paling mengikut peraturan dan demokrasi berbanding parti-parti yang lain. “Ianya terbukti melalui data-data serta sejarah mengenai PAS itu sendiri. “Itulah perkara yang dididik oleh PAS bermula daripada menyertai pilihanraya dalam negara kita lagi," ujarnya.    
24 Feb 23
270
Petai Bubus 'Raja Sungai Terengganu' 2023
Petai Bubus 'Raja Sungai Terengganu' 2023
KUALA TERENGGANU, 25 Februari - Pasukan Petai Bubus muncul 'Raja Sungai Terengganu' bagi sukan perahu panjang apabila menewaskan pasukan Mahkota Dewa Gedong (Tanjung Sabtu) dalam perlumbaan akhir di Taman Tamadun Islam (TTI), semalam. Pasukan Petai Bubus membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM1,500 manakala, Mahkota Dewa Gedong membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM1,000. Sementara itu, Banggol Peradong di tempat ketiga turut menerima hadiah bernilai RM500. Perlumbaan sempena Festival Sukan Air Terengganu anjuran bersama Urus Setia Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Terengganu (UBSNT) dan TTI itu menonjolkan antara sukan tradisi yang menjadi kebanggaan rakyat negeri persisir pantai itu sebagai salah satu acara dipertandingkan. Pengarah UBSNT, Mohd Nasir Abd Razak berkata, acara berkenaan menjadi pembukaan kepada Festival Air Terengganu yang berlangsung selama tiga hari sehingga Ahad. "Kita sebagai pihak kerajaan negeri berharap sukan air ini akan lebih berkembang lagi. "Kita akan cuba menghidupkan aktiviti dan karnival seperti ini tambahan pula, air memang sinonim dengan Terengganu sebagai negeri persisir pantai. "Apa-apa sahaja berkaitan sukan air akan menjadi keutamaan kita untuk diberikan sokongan dalam apa jua bentuk," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan hadiah kepada pemenang acara perahu panjang. Festival Air Terengganu memasuki hari kedua, hari ini akan menampilkan acara utama iaitu perlumbaan jet ski melibatkan lebih 40 pasukan seluruh negara. Sembilan kategori akan dipertimbangkan melibatkan dua jenis perlumbaan iaitu Cross Course dan Endurance. Selain itu, pertandingan memancing, perlumbaan perahu layar dan pelbagai acara sukan air turut diadakan.    
24 Feb 23
1755
1,400 Pekerjaan Buat Rakyat Terengganu
1,400 Pekerjaan Buat Rakyat Terengganu
SETIU, 23 Februari - Sebanyak 1,400 daripada keseluruhan 2,000 peluang pekerjaan digazetkan khusus buat rakyat Terengganu dalam bidang pertanian lada hitam.  Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata kuota itu sudah dimeterai dalam perjanjian awal kerjasama.  “Dalam perjanjian antara Kerajaan Negeri dan McCormick memang dinyatakan secara hitam putih 70 peratus daripada pekerja adalah rakyat Terengganu.  “Pada masa yang sama, syarikat yang telah membuka beribu-ribu peluang pekerjaan ini akan mengambil pekerja secara berperingkat,” katanya. Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Pemeteraian Perjanjian Antara Terengganu Agrotech Development Corp (TADC) dan McCormick Global Ingredients Malaysia Sdn Bhd di Dewan Serbaguna Majlis Daerah Setiu, Sungai Tarom, di sini semalam. Azman Ibrahim turut berkata, TADC dianggap sebagai ‘vehicle’ bagi memacu agenda pertanian negeri ke arah penghasilan sumber serta keberhasilan usahawan. “Kerajaan turut menyediakan lot khas bagi 25 peserta yang ingin menanam lada hitam dengan kira-kira 5 ekar setiap peserta supaya teknologi yang dibawa McCormick mampu dikongsi,” katanya. Turut berlangsung di Sungai Tarom adalah Karnival Gedung Pengeluaran Makanan Terengganu (GPMT) selama tiga hari bermula Khamis hingga Sabtu dengan pelbagai reruai daripada agensi kerajaan.  
24 Feb 23
2648
THT Kukuh Kedudukan Di Persada Liga
THT Kukuh Kedudukan Di Persada Liga
KUALA TERENGGANU, 24 Februari - Pasukan Hoki Terengganu (THT) berjaya mengekalkan kelebihan jaringan untuk menang tipis 2-1 ke atas skuad projek remaja kebangsaan, Young Tiger (YT) pada perlawanan ketujuh Liga Hoki Malaysia (MHL), semalam. Beraksi di Stadium Hoki Batu Buruk, anak-anak buah Seo Jongho selesa di depan seawal minit kedua apabila Jang Jonghyun menjaringkan gol pendahuluan menerusi pukulan sudut penalti. THT terus melebarkan kedudukan kepada 2-0 pada minit ke-8, hasil gerakan solo Muhammad Marhan Mohd Jalil setelah menerima umpanan Mohd Faizal Saari. Tersentak dengan jaringan tersebut, pemain-pemain kendalian Muhammad Amin Rahim mula menggasak untuk merapatkan kedudukan. Seminit kemudian, Young Tiger berjaya mengurangkan jurang setelah Perabu Tangaraja menyumbat gol pertama pasukannya menerusi pukulan sudut penalti. YT kekal menguasai permainan sehingga siren separuh masa pertama dibunyikan, namun kedudukan kekal 2-1. Memasuki babak kedua, YT lebih dahulu mengancam gawang tuan rumah, bagaimanapun pukulan sudut penalti yang diperolehi tidak dapat diterjemahkan kepada jaringan. THT lebih banyak menerima asakan pada separuh masa kedua tetapi masih berhasil melakukan serangan berbahaya ke gawang pelawat. Perlawanan ini menyaksikan kedua-dua penjaga gol iaitu Muhammad Shahrin Izzuddin Shamsuri (THT) dan Muhammad Danish Afnan Mohd Faizal (YT) mempamerkan aksi cemerlang menyelamatkan gawang masing-masing. YT nyaris-nyaris menyamakan kedudukan apabila memperoleh beberapa pukulan sudut penalti pada minit-minit akhir perlawanan. Bagaimanapun, THT berjaya mempertahankan kelebihan satu jaringan sehingga masa penamat. Kemenangan 2-1 menyaksikan pasukan kebanggaan Terengganu itu kekal di persada liga selepas tujuh perlawanan 19 mata. THT akan kembali bertemu YT dalam aksi pusingan kedua di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil Sabtu ini.        
23 Feb 23
538
20 Peratus KRT Di Terengganu Tidak Aktif
20 Peratus KRT Di Terengganu Tidak Aktif
KUALA TERENGGANU23 Februari- Kurang penyertaan daripada golongan muda menjadi antara faktor kira-kira 20 peratus daripada keseluruhan 529 Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di negeri ini tidak lagi aktif. Pengarah Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Negeri Terengganu, Mohd Rosli Alias berkata, faktor lain dikesan ialah masalah kepimpinan, tidak berminat dan lain-lain. Justeru katanya, bagi mengatasi masalah tersebut pihak jabatan telah melaksanakan penyusunan semula barisan jawatankuasa KRT. “20 peratus yang tidak aktif dan kurang aktif itu disebabkan pelbagai faktor termasuk kepimpinan, kita tidak akan menutup KRT ini, tetapi ambil tindakan untuk memulihkan dan mengaktifkan kembali dengan salah satunya kita buat penyusunan balik barisan jawatankuasa KRT terbabit,” ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas isu KRT yang tidak aktif di negeri ini pada Majlis Penutup Program Harmoni Peringkat Tegeri Terengganu yang disempurnakan oleh Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita Dan Keluarga Dan Perpaduan Nasional Negeri, Alias Harun di Taman Sinar Harapan, di sini, hari ini. Rosli berkata, pihaknya menetapkan sasaran untuk menyelesaikan masalah tersebut tahun ini memandangkan peranan KRT begitu meluas termasuk projek meningkatkan ekonomi dan kesejahteraan penduduk.  “Sasaran kita untuk selesaikan tahun ini, dua tahun sekali KRT akan dinilai keaktifannya. “Kita mahu kewujudan rukun tetangga itu dirasai oleh komuniti setempat melalui program-program yang diadakan dimana kalau kita lihat program KRT ini menyeluruh, ia bukan sahaja untuk meningkatkan soal interaksi perpaduan bahkan juga untuk kesejahteraan,” ujarnya. Katanya, pihak jabatan juga menyasarkan untuk menubuhkan satu KRT baru di setiap daerah tahun ini.  
23 Feb 23
529