lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Operasi Pengerukan Pelabuhan Chendering Bakal Dimulakan
Operasi Pengerukan Pelabuhan Chendering Bakal Dimulakan
KUALA TERENGGANU, 27 Februari - Proses pengerukan akan dimulakan segera bagi mengatasi masalah pemendapan pasir yang selama ini menjadi punca Pelabuhan Chendering cetek dan menyukarkan proses mendaratkan ikan. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, ketika ini proses pengeluaran tender sedang dilakukan pihak berwajib. "Walaupun Pelabuhan Chendering ini merupakan hak milik Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di bawah Kerajaan Persekutuan namun kerajaan negeri mengambil tanggungjawab mengatasi masalah yang berlaku ini. "Melalui Belanjawan Terengganu 2023 telah diperuntukkan sebanyak RM3 juta bagi tujuan ini kerana telah dikenalpasti antara masalah utamanya adalah pemendapan pasir yang selama ini mengakibatkan kawasan pendaratan bot nelayan jadi sempit dan banyak kawasan yang cetek. "Oleh kerana itu kita perlu keluarkan pasir dan proses untuk keluarkan tender untuk kerja-kerja pengerukan sedang berjalan dan kita yakin dalam tempoh seberapa segera ia boleh dimulakan," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas menyempurnakan Program Seminar Kelapa Terengganu 2023, di Dewan Permata, di sini, hari ini. Mengulas lanjut Dr Azman berkata, projek mendalamkan Pelabuhan Chendering di yang membabitkan penaiktarafan infrastruktur pelabuhan serta operasi menaik taraf benteng pemecah ombak pula adalah di bawah Kerajaan Persekutuan.  
27 Feb 23
1085
Beli Tenaga Solar, MBKT Jimat 30 Peratus
Beli Tenaga Solar, MBKT Jimat 30 Peratus
KUALA TERENGGANU, 27 Februari - Pembelian tenaga solar bakal memberikan penjimatan sehingga 30 peratus kepada kos operasi Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT). Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), Wan Sukairi Wan Abdullah selaku pengerusi ahli lembaga pengarah Tesdec Berhad, berkata melalui usahasama perjanjian tersebut memberikan ruang MBKT menawarkan perkhidmatan lebih baik dengan kekuatan kewangan lebih besar. "Untuk makluman, dengan penggunaan sistem tenaga solar ini kita dapat menjimatkan sekitar 30 peratus dari segi kos elektrik secara amnya. Sepertimana yang saya maklumkan, antara agensi yang mengalami kesusutan pendapatan kerana pelaksanaan manifesto pelupusan cukai kediaman ialah MBKT yang mengurangkan pendapatan mereka. "Dalam perjanjian ini, Tesdec Green Energy Sdn Bhd (TGESB), sebuah anak syarikat Tesdec Berhad sebagai pelaksana, akan membekalkan tenaga solar kepada tujuh fasiliti milik MBKT yang mana dua daripadanya telah disiapkan sepenuhnya dan beroperasi iaitu di Pasar Kedai Buloh dan Pasar Batu Enam. "Jadi, ada lima lagi fasiliti yang sedang diuruskan iaitu Pasar Payang 2, Pusat Akuatik di Batu Buruk, Stesen bas MBKT, parkir Pasar Payang dan Pasar Bukit Besar dengan keseluruhan nilai perjanjian sebanyak RM2.8 juta," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Menandatangani Perjanjian Pembelian Tenaga Solar antara MBKT dan TGESB di pejabat MBKT, hari ini. Perjanjian pemberlian berkenaan ditandatangani tiga wakil MBKT diketuai Dato’ Bandar MBKT; Rosli Latif, Setiausaha MBKT; Mohd Sukeri Ibrahim dan Wakil Ahli Majlis Bandaraya Kuala Terengganu; Haji Wan Mokhtar @ W. Moxtor Wan Kadir, serta wakil dari TGESB iaitu Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah TGESB; Shukrimun Bin Shamsudin, Pengarah Eksekutif TGESB; Dr. Zakiyah Ahmad dan Ketua Pegawai Eksekutif TESDEC Berhad; Mohd Iskandar Muhammad Aziz. Beliau menambah, sekiranya projek berkenaan berjalan dengan baik dan memberi impak besar kepada MBKT, ia akan turut diperluaskan ke tempat-tempat lain. Dalam pada itu, Rosli turut memaklumkan, dengan penjimatan yang bakal diterima MBKT, dapat dimanfaatkan kepada projek-projek lain di Kuala Terengganu. "Penjimatan sebanyak 30 peratus itu besar bagi kita. Ia boleh digunakan kembali untuk manfaat rakyat kita dan itulah yang akan dipulangkan menerusi perkhidmatan yang ditawarkan dalam operasi kita. "Kita tidak boleh bergantung kepada kerajaan negeri semata-mata. Kos operasi MBKT memerlukan RM5.5 juta hingga RM6 juta untuk perbelanjaan bulanan. Maka, kita menyasarkan pendapatan sehingga RM100 juta bagi tahun 2023, mengikut akta dan undang-undang sedia ada untuk meningkatkan perkhidmatan kita dan ini antara inisiatif yang diusahakan" katanya.    
27 Feb 23
425
Mangsa Lemas di Lubuk Tampin, Air Putih Ditemui
Mangsa Lemas di Lubuk Tampin, Air Putih Ditemui
  KEMAMAN, 27 Februari - Mangsa lemas yang dilaporkan hilang di Sungai Lubuk Tampin, Air Putih kelmarin ditemui pagi tadi. Jenazah bapa kepada tiga orang anak, Mohd Mirwan Mohd Remli, 40, ditemui oleh pasukan mencari dan menyelamat pada jarak 300 meter dari tempat dia dilaporkan tenggelam sekitar jam 10.15 pagi. Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan, berkata operasi mencari dan menyelamat yang bermula jam 7 pagi tadi membabitkan seramai 51 anggota polis, bomba, Angkatan Pertahanan Awam (APM), Unit Amal, polis bantuan dan penduduk kampung. Katanya, pasukan operasi mencari dan menyelamat memperluaskan kawasan pencarian sekitar 500 meter dari tempat mangsa terjatuh. "Mayat mangsa dipercayai tenggelam di dasar sungai terbabit yang dianggarkan sedalam lima hingga tujuh meter. "Pasukan mencari dan menyelamat menggunakan kaedah kocakan air dengan menggunakan bot dan tindakan itu berhasil apabila mayat mangsa timbul di permukaan air," katanya. ​​​​Hanyan berkata, mayat mangsa kemudian dibawa naik ke daratan sebelum dihantar ke Bilik Forensik Hospital Kemaman untuk siasatan lanjut. Dalam kejadian semalam, mangsa yang berkelah disitu bersama keluarga dikatakan cuba menyelamatkan anaknya, Muhammad Zafran Aidil, 12, yang dihanyutkan arus ketika mandi di sungai terbabit, kira-kira jam 1.45 petang. Arwah merupakan salah seorang daripada kakitangan EPIC Berhad yang bertugas dengan Tubex Sdn. Bhd. di Kemaman Supply Base (KSB).
27 Feb 23
364
Hujan Berterusan Seluruh Terengganu
Hujan Berterusan Seluruh Terengganu
KUALA TERENGGANU, 27 Februari – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada kembali di Terengganu. Katanya, amaran tersebut dijangka melanda seluruh daerah di negeri ini. MetMalaysia memaklumkan, ia berkuatkuasa bermula 27 hingga 1 Mac dan dijangka berlangsung selama tiga hari. Mengulas lanjut, amaran hujan berterusan tahap waspada ini dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda yang menunjukkan hujan dan ribut petir sedang atau dijangka berlaku melebihi enam jam dalam tempoh berkenaan di sesuatu kawasan. Sehubungan itu, orang ramai boleh mendapatkan maklumat cuaca terkini menerusi laman sesawang rasmi, aplikasi mobil myCuaca serta menerusi laman media sosial rasmi MetMalaysia            
27 Feb 23
539
Edar Stokin Percuma Galak Wanita Tutup Aurat
Edar Stokin Percuma Galak Wanita Tutup Aurat
BESUT, 27 Februari - Inisiatif Badan Bukan Kerajaan (NGO), Pertubuhan Wanita Kebajikan Nur Insani (Nisa') mengedarkan stokin percuma di Pasar Malam Kampung Raja sempena kempen Terengganu Hijab Day adalah untuk menggalakkan kaum wanita menutup aurat. Ketua Nisa' Kawasan Besut, Nor Rafidah Razak berkata, program dikelola Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita Terengganu itu dijayakan di peringkat daerah bagi meneruskan gelombang Terengganu Hijab Day. Katanya, ia juga bagi memastikan rakyat di bawah merasai impak program tersebut. Edaran stokin dan risalah. "Sebenarnya program ini dianjurkan sebagai salah satu usaha dakwah untuk mendekati masyarakat dan menggalakkan masyarakat umum khususnya kaum wanita untuk bertudung dan menutup aurat dengan lebih sempurna mengikut syariat islam. "Pemakaian hijab ini bukan hanya untuk wanita yang faham agama sahaja, tapi adalah kewajipan bagi setiap wanita yang mengaku dirinya muslim," jelasnya. Beliau beliau berkata demikian selepas selesai membuat edaran stokin dan risalah di Tapak Pasar Malam Kampung Raja semalam. Sebelum ini Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional, Hanafiah Mat berkata, Terengganu Hijab Day yang telah memasuki tahun kelima penganjurannya adalah usaha berterusan dalam memperkenalkan pakaian mengikut syariat sebagaimana yang dianjurkan dalam Islam. "Bagi memastikan pakaian menutup aurat dan berhijab dengan tepat mesti melabuhkan sehingga ke bawah paras dada, yang ini kita beri didikan dari semasa ke semasa, apatah lagi wanita muda hari ini suka bergaya mengikut fesyen masing-masing. "Jadi kita cuba kemukakan, bahawa inilah pakaian yang sebenar mengikut etika patuh syariah," ujarnya lagi.
27 Feb 23
716
Kerajaan Terengganu Tuntut DKKP Diteruskan
Kerajaan Terengganu Tuntut DKKP Diteruskan
KUALA TERENGGANU, 26 Februari - Kerajaan Terengganu menyeru Kerajaan Persekutuan supaya meneruskan Dana Khas Kerajaan Persekutuan (DKKP) sebagaimana amalan biasa pada tahun-tahun sebelum ini. Ketika ditanya sama ada ucapan Bajet 2023 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, baru-baru ini, menandakan hak royalti Terengganu bakal dinafikan, Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata ia akan diperhalusi selepas ini. "Saya lihat itu dua perkara berbeza kerana apa yang dibayar kepada Terengganu sebelum ini disebut DKKP, soalnya sama ada ia sama seperti royalti atau tidak itu adalah perkara yang akan kita terokai pada fasa berikutnya. "Apa yang disebut oleh Menteri Undang-undang, Dato' Sri Azalina Othman Said, itu adalah royalti dan ia juga pernah disebut oleh Menteri Kewangan sebelum ini (Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz) pada tahun 2021. "Termanya seperti itu, apa yang dihantar kepada kerajaan negeri selama ini seingat saya mereka memang tidak pernah menyebut royalti, sebaliknya DKKP. "Jadi, bagi kerajaan Terengganu pada saat ini,  DKKP ini wajar diteruskan sebagaimana amalan biasa. Soal dari peruntukan mana, itu kita akan nantikan perbincangan selanjutnya dengan Kementerian Kewangan," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan penutup Karnival Gedung Pengeluaran Makanan Terengganu (GPMT) di Sungai Tarom, Setiu semalam. Beliau turut meluahkan kekecewaan terhadap beberapa keputusan kerajaan Persekutuan yang diputuskan tanpa libat urus kerajaan negeri.  "Yang agak mengejutkan kita semua apabila kerajaan persekutuan telah membentangkan satu perkara dengan tidak dilibat urus kerajaan negeri.  "Perkara ini jika tidak melalui libat urus atau perbincangan lebih awal dengan kerajaan negeri, terutama dalam keadaan tahun 2023 adalah tahun yang telah berlaku pelaksanaan bagi negeri-negeri yang berkenaan seperti Terengganu, berbanding Sabah dan Sarawak yang telah diberi gambaran telah dilibat urus dalam teks ucapan belanjawan itu, menyebabkan adanya kecanggungan. "Sebab itu pada saya, antara perkara yang penting dalam melaksanakan bajet yang efisien adalah dengan menghormati konsep federalisme dan melakukan reformasi ke arah lebih positif untuk meningkatkan hubungan antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri. "Jadi, banyak perkara yang boleh kita capai dengan cara libat urus, perbincangan dua hala antara kedua-dua pihak yang mana banyak perkara sebenarnya ada dibawah kerajaan negeri, ada juga dibawah kerajaan persekutuan dan ada di bawah kuasa bersama sebagaimana diperuntukkan dalam pelembagaan," katanya.    
26 Feb 23
1366
Terengganu Jalin Hubungan Dua Hala Dengan Ulama Selatan Thailand
Terengganu Jalin Hubungan Dua Hala Dengan Ulama Selatan Thailand
KUALA TERENGGANU, 26 Februari- Kerajaan negeri melalui portfolio Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan telah mengadakan lawatan kerja selama empat hari ke Selatan Thailand, baru-baru ini. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, kunjungan hormat itu diharap memberi impak ke arah memperkukuhkan lagi hubungan baik antara kerajaan negeri dan daerah Selatan Thailand yang pernah menjadi Tanah Melayu zaman pra kemerdekaan terdahulu. “Bumi Pattani, Narathiwat dan Selatan Thailand seluruhnya penuh susur sejarah dan tradisi keilmuan Islam dengan jaringan ratusan pondok Pengajian Islam dan ribuan para ulama serta asatizah tersohor nusantara.  “Lawatan kerja ini menandakan bahawa jalinan antara Terengganu dan Selatan Thailand tidak pernah terputus sekalipun berpisah antara sempadan dua negara. Antara intipati program yang disusun sepanjang berada sana adalah program menyantuni dan menggabung jalin bersama pelbagai pondok-pondok negara gajah putih tersebut. "Kita juga tidak ketinggalan mengambil peluang untuk menelusuri tempat bersejarah dan mempunyai simbol budaya Melayu Islam. Tambahan juga, kunjungan hormat Kerajaan Negeri Terengganu ini adalah dalam rangka meneruskan program Haflah Ihya Ilmu Terengganu bersama Tuan Guru Pondok buat rakyat Terengganu", ujarnya. Tambah beliau, wakil kerajaan negeri tidak ketinggalan mengambil ibrah dan taujihat mutiara kata berharga oleh tuan-tuan guru pondok. Antara destinasi jaulah ialah Pondok Tepus Baba Abu Qutaidah Rashidi, Pondok Dala Baba Karim, Pondok Hutang Hangus Baba Abdulkadir Dan juga Pondok Bendang Rahman, Madrasah  Rahmaniah, Wilayah Narathiwat. "Ulama' Selatan Thailand ini kaya dengan khazanah ilmunya yang banyak mentahqiq dan menulis kitab-kitab yang menjadi rujukan penuntut ilmu bukan sahaja seluruh nusantara malah seantero dunia. “Saya yakin dengan kolaborasi ini boleh menjadi agenda besar dan inilah kunjungan kasih sayang yang dapat merealisasikan semangat bersaudara antara wilayah Selatai Thailand dan negeri Terengganu seterusnya menyebarluaskan lagi dakwah Islamiyyah,” katanya.  
26 Feb 23
1033
Kuasai Internet Secara Positif - Titah Tunku Azizah
Kuasai Internet Secara Positif - Titah Tunku Azizah
KUALA NERUS, 26 Februari – Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah bertitah ahli-ahli pandu puteri perlu tahu tentang cara untuk berhubung secara positif dan keselamatan semasa dalam talian, melindungi diri daripada ancaman dalam talian, menghormati hak dan reputasi diri di internet. Seri Paduka Baginda yang juga merupakan penaung Diraja Persatuan Pandu Puteri Malaysia bertitah, ini terutamanya pada zaman sekarang semua maklumat boleh dicapai melalui hujung jari sahaja, terserah kepada masing-masing untuk menapis dan membuat penilaiannya.   “Oleh itu, pendedahan terhadap Program Surf Smart perlu dikongsikan seluas-luasnya dalam kalangan pemimpin dan ahli pandu puteri kita.  “Bagi memastikan persekitaran dunia yang damai, ahli-ahli pandu puteri perlu tahu tentang cara untuk berhubung secara positif dan keselamatan semasa dalam talian, melindungi diri daripada ancaman dalam talian, menghormati hak dan reputasi diri di internet. “Ini termasuk memperkasakan dan menggalakkan penggunaan internet dengan bertanggungjawab selain menyampaikan nasihat dan memberikan bimbingan, memanfaatkan internet sepenuhnya serta memastikan ahli pandu puteri sentiasa dapat menavigasi laman sesawang sambil kekal selamat dalam talian,”titah baginda ketika berkenan merasmikan Sambutan Hari Peringatan Sedunia Peringkat Kebangsaan 2023 di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Terengganu di sini hari ini. Turut berangkat ke majlis tersebut, Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah yang merupakan Penaung Diraja Persatuan Pandu Puteri Malaysia Cawangan Terengganu. Berangkat sama, Yang Dipertua Persatuan Pandu Puteri Negeri Perak;Raja Puan Muda Perak Tunku Soraya Almarhum Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah. Hadir sama Menteri Besar Terengganu, Dato Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan isteri, Toh Puan Seri Tuan Faezah Tuan Abd Rahman dan Ketua Pesuruhjaya Persatuan Pandu Puteri Malaysia Datuk Jeyadhevi Subramaniam. Titah baginda lagi, justeru itu pemimpin-pemimpin pandu puteri diharapkan dapat membimbing ahli masing-masing dengan pelbagai program Pandu Puteri yang dapat memberikan manfaat yang terbaik dan pengalaman yang berkesan bagi membantu membina karakter ahli pandu puteri dengan nilai murni yang terbaik.  
26 Feb 23
298
Bajet Dibentang Anwar Tiada Faktor 'Wow' Untuk Anak Muda
Bajet Dibentang Anwar Tiada Faktor 'Wow' Untuk Anak Muda
KUALA TERENGGANU, 26 Februari - Belanjawan 2023 bertemakan 'Membangun Malaysia Madani' membabitkan peruntukan besar RM388.1 bilion tidak memiliki faktor 'wow' untuk anak muda Terengganu. Timbalan Ketua Penyelidik Menteri Besar Terengganu, Mohd Harun Esa berkata, bajet yang menumpukan 12 ikhtiar utama berlandaskan tiga tekad disifatkan tiada mesra belia. "KIta memandang bajet tersebut tidak ada nilai 'wow' walaupun kita tahu ia merupakan antara bajet yang paling besar diumumkan tetapi peruntukan untuk rakyat Terengganu semakin kurang tidak sebagaimana yang diharapkan, diantaranya usaha untuk membantu rakyat tiba-tiba antara perkara yang diumumkan adalah pemberian lesen percuma. "Perkara ini telah lama dilaksanakan di negeri, dalam harapan untuk kita melihat bantuan yang lebih baik diberikan di bawah kerajaan sekarang termasuk berkait berkenaan royalti, Terengganu sangat terkesan walaupun selama ini menerima Dana Khas Kerajaan Persekutuan tetapi ia lebih besar daripada apa yang ingin dilakukan kerajaan persekutuan hari ini. "Tindakan mengecilkan had sempadan maritim negeri hanya tiga batu nautika sahaja, lebih daripada itu tidak akan diberikan (royalti) ini merupakan suatu perkara yang sangat mengecewakan," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), pada Program Kayuhan Basikal 'Family Fun Ride' di Dataran Awam Batu Buruk, semalam. Tambah beliau, antara perkara yang turut mengundang kekecewaan rakyat, adalah permintaan pengeluaran khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) juga tidak dipenuhi. "Ini menjadi harapan rakyat, kerana antara yang lantang bersuara dahulu adalah Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim sendiri. Bagi pandangan saya dia (Anwar) ke belakang, tidak memberi apa-apa manfaat kepada rakyat Terengganu khususnya anak muda jadi kita sifatkan 'sangat mendung'," ujarnya.
26 Feb 23
229
Jual Roti Canai 50 Sen, Berniaga Sambil Sedekah
Jual Roti Canai 50 Sen, Berniaga Sambil Sedekah
KUALA TERENGGANU, 26 Februari – Seorang peniaga di Chendering, di sini nekad menjual roti canai serendah 50 sen dengan niat mahu membantu masyarakat setempat. Seorang peniaga, Rohaizal bin Hassan, 52 berkata, terdetik untuk menjual roti canai harga murah selepas menonton sebuah rancangan televisyen yang memaparkan sebuah gerai di Kedah yang menjual roti canai pada harga yang tidak masuk akal. “Selepas menonton rancangan itu menimbulkan persoalan dalam diri saya dan membuatkan saya ingin menjual roti canai dengan harga yang murah. “Di samping, roti canai 50 sen itu merupakan sebahagian daripada saham akhirat saya kerana mahu membantu masyarakat setempat yang terkesan dengan kos sara hidup sekarang," jelasnya. Dia berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman, Chendering di sini baru-baru ini. Katanya, rata-rata pelanggannya adalah penduduk kampung, pekerja kilang dan pelajar-pelajar yang mempunyai pendapatan tidak menentu dan masih belajar. Di samping katanya, dia tidak pernah menyesal menjual hidangan itu pada harga 50 sen meskipun berdepan peningkatan harga kos bahan mentah. Katanya, orang berniaga hendaklah banyak bersedekah, kerana rezeki orang berniaga luas. “Terdapat juga komen daripada beberapa pihak mengenai harga murah namun saya tetap kekalkan harga ini kerana rezeki masing-masing. “Gerai roti canai Rohaizan yang beroperasi jam 8.30 hingga tengahari pada setiap hari itu turut menyediakan beberapa menu lain bermula pada harga 50 sen hingga RM1.50," katanya. Antara menu yang dijual di gerainya ialah pelbagai jenis roti canai, samosa dan kuih keramat.          
26 Feb 23
502