lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Imbuhan Bukan Objektif Sebenar
Imbuhan Bukan Objektif Sebenar
KUALA TERENGGANU, 23 Februari - Imbuhan yang dimenangi bukan objektif sebenarnya sebaliknya kemenangan pertandingan ini menyampaikan mesej disebalik video. Hanim Sophia Mohd Sohor, 25, berkata, kemenangan ini membuatkan beliau lebih yakin dan semangat untuk mengajak para muslimat menutup aurat dengan sempurna. "Ia membuka pintu untuk saya terus mengajak orang melakukan kebaikan melalui bergiat aktif dalam Badan Bukan Kerajaan (NGO). "Selepas diumumkan pemenang, banyak NGO mengajak saya menyertai aktiviti kerja amal seperti memberi tudung, handsock dan sebagainya," jelasnya. Beliau yang menetap di Kampung  Kijing Marang, Terengganu yang juga dikenali Ratu Penyu berkata demikian ketika dihubungi, pada hari ini. Menurutnya, Hanim anak kelima daripada tujuh orang adik beradik merupakan lepas pelajar Ijazah Sarjana Muda Ekonomi Perniagaan Di UITM kota bharu, kelantan.  Katanya, beliau sangat teruja kerana ini kali pertama menyertai pertandingan Terengganu Hijab Day (THD). "Sempena Terengganu Hijab Day 2023 saya baru beranikan diri santuni orang ramai. "Saya ambil peluang guna duit 'gift' daripada Tiktok dan agihkan tudung kepada orang Terengganu supaya mereka mendapat ganjaran pahala yang berterusan disamping menyokong Terengganu Hijab Day. "Objektif utama saya biar masyarakat luar tahu bulan Februari adalah bulan menyambut Terengganu Hijab Day sbb masih ramai yang tahu," ujar beliau. Justeru itu, beliau berharap pempengaruh (influencer) perlulah jadi role model menutup aurat sempurna kerana majoriti sekarang anak muda menggunakan media sosial. "Saya berharap semoga wanita terus istiqamah berhijab dan manfaatkan ilmu yang dapat di THD mengenai hijab yang sempurna. "Jika tidak mampu memakai tudung labuh cukuplah menutup aurat dengan sempurna.  "Biasakan pakaian harian dengan pakaian yang boleh bawa solat supaya selesa dan bebas melakukan aktiviti tanpa pandangan dahsyat ajnabi," tambah beliau.
23 Feb 23
382
Filem Pulau Disekat Kerana Langgar Batasan Islam
Filem Pulau Disekat Kerana Langgar Batasan Islam
KUALA TERENGGANU, 23 Februari – Filem Pulau disekat daripada ditayangkan di pawagam seluruh negeri ini kerana mempunyai kandungan yang dilihat dalam 'trailer' telah melebihi batasan dalam agama. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Burok, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, kerajaan negeri sentiasa melaksanakan pelaksanaan syariah di atas kaedah 'Ma La Yudraku Kulluhu La Yutraku Jalluhu’ iaitu apa yang tidak boleh diraih semuanya, tidak boleh ditinggalkan semuanya. Katanya, dalam konteks memberi kelulusan filem untuk ditayangkan bukan dalam bidang kuasa negeri melainkan bidang kuasa federal. “Namun, kerajaan negeri mempunyai kuasa bagi menghalang filem terbabit untuk ditayangkan di pawagam yang ada dalam negeri Terengganu. “Perlu difahami bahawa Islam tidak menghalang untuk kita berhibur,” jelasnya. Beliau berkata demikian ketika Bicara Isu Semasa bertempat di Studio TV Darul Iman di sini hari ini. Tambah Dr Khalil, Islam adalah agama fitrah yang sesuai dengan kejadian manusia yang suka kepada hiburan. Oleh itu, Islam mendidik kita supaya berhibur dengan panduan dan cara yang betul serta tidak bercanggah dengan landasan Islam. “Pelik bagi saya beberapa pihak yang mengambil pendekatan membuat filem yang seolah-olah berkiblatkan kepada barat. “Justeru, sehingga boleh menyebabkan kontroversi sekali gus boleh merosakkannya minda generasi pada masa sekarang,” katanya. Beliau berkata, terdapat banyak filem kualiti yang tidak perlu kepada unsur yang meniru barat seperti filem Mat Kilau pada tahun 2022 yang menjadi sejarah dalam negara kita. “Bahkan banyak lagi filem-filem lain mendapat tempat di luar negara yang menceritakan tentang budaya masyarakat dan negara masing-masing,” ujarnya. Beliau berharap, karyawan seni di negeri ini dapat membuat filem tanpa meniru budaya dan gaya hidup barat kerana tidak sesuai dengan masyarakat kita.  
23 Feb 23
668
Guna Duit 'Gift' TikTok Beli Tudung Untuk Masyarakat
Guna Duit 'Gift' TikTok Beli Tudung Untuk Masyarakat
MARANG, 23 Februari - Seorang Tiktokers muda dari Marang dikenali sebagai Ratu Penyu tular apabila dia secara solo melakukan dakwah jalanan dengan mengagihkan tudung secara percuma yang dibeli menggunakan duit (gift) hasil video di TikTok. Usaha itu yang disunting menjadi video berjaya menambat hati juri pertandingan video pendek Terengganu Hijab Day (THD) dan membolehkan dia terpilih sebagai johan pertandingan terbabit. Ratu Penyu atau nama sebenarnya Hanim Sophia Mohd Sohor berkata, tudung yang dibelinya itu dibungkus cantik dengan menampalkan kata-kata hikmah berunsur dakwah dengan harapan agar mesej mengenai kepentingan berhijab dengan sempurna sampai kepada penerima. "Sempena THD 2023, saya menjalankankan kempen sendiri antaranya kerana ingin gemakan lagi THD sepanjang Februari dengan insiatif diri saya sendiri. Walaupun THD merupakan program kerajaan negeri, saya sebagai rakyat juga turut tidak mahu ketinggalan untuk terlibat dengan kerja-kerja dakwah dan kebajikan ini. "Saya mengambil kesempatan untuk menggunakan semua duit 'gift' hasil sepanjang saya berkreativiti di laman TikTok dengan mudah-mudahan saya mendapat ganjaran pahala yang berterusan termasuk follower saya. Ini juga tanda sokongan penuh saya terhadap program THD," katanya. Dia berkata demikian selepas menerima hadiah di Sambutan THD 2023 di Kompleks Pentadbiran Bandar Al-Wathiqu Billah, Kuala Nerus, baru-baru ini. Gadis yang baru berusia 25 tahun dan menetap di Kampung Kijing ini turut meluahkan perasaan terujanya dapat memenangi tempat pertama dalam penyertaannya sulung di Pertandingan Video Pendek THD sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM500. "Doakan saya agar lebih bersemangat dan berkeyakinan untuk meneruskan dakwah terutama perihal aurat dan wanita. Jika memakai hijab menutupi dada membuat saya tidak hebat, maka daripada itu saya memilih untuk tidak hebat," katanya.  
23 Feb 23
632
Ustaz Azhar Sokong Kerajaan Terengganu Sekat Filem Pulau
Ustaz Azhar Sokong Kerajaan Terengganu Sekat Filem Pulau
KUALA TERENGGANU, 22 Februari - Pendakwah terkenal, Ustaz Azhar Idrus menyokong penuh tindakan kerajaan Terengganu yang mengharamkan tayangan filem pulau di negeri terbabit. Ujar Ustaz Azhar, kerajaan negeri membuat keputusan tepat demi menjaga kepentingan awam termasuk menggelakkan rakyat terpengaruh dengan perkara mungkar yang ada dalam filem terbabit. “Kalau saya jadi Menteri Besar Terengganu pun saya tak akan benar (ditayangkan) kerana kita akan menanggung kemurkaan Allah. “Selagi mana kita ada kuasa untuk menyekat perkara mungkar kita perlu sekat, jadi tahniah kepada kerajaan negeri,” katanya ketika menyampaikan kuliah dalam program Terengganu Hijab Day (THD) di Dewan Perdana, Kompleks Pentadbiran Al-Wathiqu Billah, Kuala Nerus kelmarin. Menurut Ustaz Azhar, pihak penerbit juga tiada hak untuk memarahi kerajaan Terengganu atas tindakan ‘mengharamkan’ filem itu di pawagam negeri terbabit. “Mereka mahu menayangkan filem yang melanggar peraturan kerajaan negeri (tak wajar), nak masuk rumah orang kena ikut peraturan tuan rumah. “Jadi saya nasihatkan kepada pengarah-pengarah filem supaya menghasilkan filem yang lebih baik,” katanya. Sebelum ini, kerajaan Terengganu membuat keputusan menyekat filem kontroversi berjudul Pulau daripada ditayang di pawagam di negeri terbabit kerana terdapat unsur-unsur ‘soft porn’. Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, keputusan tersebut dicapai bagi menterjemahkan slogan Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera. “Kita di Terengganu berusaha untuk kekalkan negeri ini dalam keberkatan seiring slogan yang dibawa. “Berkat ini tidak nampak di atas pentas, maka menjadi tugas dan tanggungjawab kerajaan bagi menjaga moral dan semua hal terlibat ke arah mencari keberkatan bagi sesebuah negeri,” katanya.  
22 Feb 23
883
ATM Jadi 'Lauk' THT
ATM Jadi 'Lauk' THT
KUALA TERENGGANU, 21 Februari- Selepas berpesta gol membelasah TNB Thunderbolts (TNB-T) dengan keputusan 8-1, Sabtu lalu, Pasukan Hoki Terengganu (THT) sekali lagi tampil garang di laman sendiri dengan mencatat kemenangan 5-1 ke atas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam perlawanan keenam Liga Hoki Malaysia (MHL) 2023 di Stadium Hoki Batu Buruk, hari ini. Anak-anak buah Seo Jongho tidak menunggu lama untuk meledak gol pertama. Bermula dengan pukulan sudut penalti pada minit ke-5, pakar pukulan sudut penalti Korea Selatan, Jang Jonghyun menyempurnakan hantaran Muhammad Marhan Mohd Jalil untuk tuan rumah selesa di depan dengan kelebihan satu jaringan. Enam minit berselang, Jang melakukan hantaran jauh ke kubu lawan lalu disudahkan dengan sempurna oleh Muhammad Shahrin Izzuddin Shamsuri untuk melebarkan kelebihan kepada 2-0. Ketinggalan dua jaringan, pelawat terus berkampung di kubu sendiri sebelum mencorak serangan ke kawasan THT. Namun, barisan pertahanan tuan rumah tenang mematahkan serangan-serangan yang datang. Memasuki minit ke-28, Mohammad Firdaus Omar berjaya merampas penguasaan bola daripada pertahanan lawan sebelum penyerang kebangsaan, Faizal Saari melorongkan bola kepada Shello Silverius dalam kawasan D lawan untuk berdepan satu lawan satu dengan penjaga gol ATM, Mohd Khairul Afendy Kamarulzaman. Pemain kebangsaan itu tenang menggelecek penjaga gol sebelum menjaringkan gol ketiga perlawanan untuk THT sebelum separuh masa pertama ditamatkan. Memasuki babak kedua, ATM berjaya merapatkan jurang jaringan melalui Mohammad Amirul Hanis Abdul Aziz hasil pukulan sudut penalti pada minit ke-37. Perlawanan di babak kedua lebih seimbang antara kedua-dua pasukan dengan lebih banyak bertukar ancaman ke gawang lawan. Pada minit ke-55, satu lorongan deras Muhammad Arif Syafie Ishak dari kawasan tengah berjaya dikuis Shello untuk gol keempat The Turtle. Tiga minit kemudian, kapten pasukan, Mohd Fitri Saari melengkapkan petang gemilang untuk THT apabila melakukan gerakan solo melepasi dua pertahanan sebelum melakukan pukulan deras untuk jaringan terakhir perlawanan.  THT kini mengungguli puncak liga dengan 16 mata selepas enam perlawanan, meninggalkan Maybank di tangga kedua dengan perbezaan satu mata.  
21 Feb 23
1801
Pulau Peranginan Terengganu Dibuka Semula
Pulau Peranginan Terengganu Dibuka Semula
KUALA TERENGGANU, 21 Februari - Semua pulau dan pusat peranginan di seluruh negeri ini akan beroperasi semula secara berperingkat bermula awal Mac depan. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, kawasan terbabit ditutup berikutan Monsun Timur Laut (MTL) yang berlaku pada November lepas. Katanya, semua pengusaha pelancongan telah bersedia menerima kemasukan pelancong ke pulau-pulau di Terengganu. “Sebenarnya, tiada arahan khusus untuk menutup operasi resort, chalet atau hotel di pulau sepanjang tempoh Monsun Timur Laut berlangsung. “Justeru, ramai pengusaha masih meneruskan operasi mereka bergantung kepada keadaan cuaca," jelasnya. Beliau berkata demikian ketika Sidang Media Karnival Beautiful Terengganu di Dewan Ghurfah, Taman Tamadun Islam (TTI) di sini hari ini. Tambah Ariffin Deraman, rata-rata pengusaha sudah faham terhadap lumrah cuaca yang berlaku di Terengganu ini. "Di samping, kita selalu mengingatkan kepada mereka agar sentiasa mengutamakan aspek keselamatan sepanjang musim tengkujuh berlangsung. "Kemeriahan percutian di Pulau Terengganu akan lebih terasa pada Mac depan apabila ramai pengusaha telah menawarkan pakej percutian menarik di tempat masing-masing," ujarnya.    
21 Feb 23
683
'Rakyat Terengganu Perlu Sokong BPIS Sepenuhnya'
'Rakyat Terengganu Perlu Sokong BPIS Sepenuhnya'
KUALA TERENGGANU, 21 Februari- Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri menyeru rakyat di negeri Terengganu supaya menyokong penganjuran Bulan Penghayatan Ibadah Solat (BPIS) yang dianjurkan kerajaan negeri. "Bagi saya, kedua-duanya betul. Ia (solat) berunsur peribadi disamping itu, merupakan peri pentingnya sebuah negara yang bersolat, sebab itu pemimpin yang bersolat adalah pemimpin yang utama dan teladan kepimpinan tersebut diturunkan kepada kakitangan, pelajar-pelajar, dan rakyat jelata di seluruh negeri.  Pengarah Institut Modal Insan Sejahtera (i-MITS), Kamaruzaman Abdullah menyerahkan baju Jom Solat Berjemaah sebagai simbolik BIPS kepada Dr. Zulkifli. "Saya menyokong penuh usaha menghidupkan BPIS, bahkan kita perlu menghayati dan menunaikannya. Kedua-duanya dilaksanakan kerana ini bukan bersifat peribadi lagi sebab kita disuruh berjemaah, disuruh mengimarahkan masjid dan surau yang mana ia sangat bertepatan dengan slogan serta misi-misi yang ingin dicapai oleh negeri Terengganu," katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan Program BPIS di Wisma Darul Iman, hari ini. Jelasnya, BPIS bukanlah semata-mata program yang perlu dihadiri dan habis begitu sahaja. "Untuk kita ia bukan sekadar program, tetapi kita menghidupkannya sepanjang masa sebab solat ini bersifat harian. Cuma, momentumnya kita ambil dari bulan ini sebagai melonjakkan lagi semangat dan pengimarahan kita kepada masjid serta penghayatan bulan solat ini. "Program dan kempen BPIS amat baik, dan perlu diberi sokongan sepenuhnya. Semoga negeri ini akan makmur dengan ibadah solat sebanyak-banyaknya," katanya.      
21 Feb 23
621
Kemaman Dipilih Tuan Rumah Karnival Beautiful Terengganu 2023
Kemaman Dipilih Tuan Rumah Karnival Beautiful Terengganu 2023
KUALA TERENGGANU, 21 Februari – Kemaman telah dipilih menjadi tuan rumah bagi Karnival Beautiful Terengganu (KBTM) 2023 yang bermula Jumaat ini. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata karnival itu dijangka dihadiri lebih 100,000 pengunjung tempatan dan luar. Katanya, penganjuran itu melalui usahasama antara Kerajaan Negeri dan Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT). “Penganjuran KBTM 2023 siri kali kedua ini bakal berlangsung di Padang Astaka, Kemaman bermula 23 Februari hingga 26 Februari ini. “Kemaman dipilih menjadi tuan rumah kerana mempunyai keunikan dan kepelbagaian produk pelancongan yang terdapat di daerah tersebut,” jelasnya. Beliau berkata demikian ketika Sidang Media Karnival Beautiful Terengganu di Dewan Ghurfah, Taman Tamadun Islam (TTI) di sini hari ini. Turut hadir, Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT), Fadhli Yusof Zakaria Tambah Affin Deraman, KBTM ini diadakan bertujuan untuk menonjolkan kepada semua bahawa Terengganu kaya dengan pelbagai produk dan destinasi percutian yang menarik. “KBTM disenaraikan antara 17 acara ikonik daripada 100 aktiviti yang dirancang dalam Kalendar Acara Tahunan (COE) 2023 Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Terengganu dan menjadi 'kick start' event bagi merancakkan kembali industri pelancongan negeri. “Penganjuran acara sebegini secara tidak langsung memberi impak ekonomi yang positif kepada penduduk sekaligus rantaian ekonomi itu diperluaskan sehingga semua pihak turut merasai manfaatnya,” katanya. Sementara itu ujarnya, pelbagai pengisian menarik disajikan kepada pengunjung yang hadir antaranya pertunjukan kebudayaan, demonstrasi kebudayaan, pertunjukan bunga api, permainan rakyat dan sebagainya. "Turut disediakan 80 gerai jualan produk Industri Kecil dan Sederhana (IKS), pameran intraktif agensi, permainan tradisional, program keagamaan, persembahan kebudayaan, pameran dinosaur, demontrasi seni budaya & warisan dan cabutan bertuah,” ujarnya. Di samping tambah beliau, sebanyak 10 jabatan kerajaan dan agensi swasta terlibat membuka ruang pameran karnival itu di mana masing-masing tampil dengan aktiviti kreatif, berinformasi dan interaktif.  
21 Feb 23
1427
Etika Pemakaian Patuh Syariah Angkat Martabat Wanita
Etika Pemakaian Patuh Syariah Angkat Martabat Wanita
KUALA NERUS, 21 Februari - Usaha kerajaan Terengganu menguatkuasakan etika pemakaian patuh syariah di negeri ini adalah untuk mengangkat martabat kaum wanita. Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional, Hanafiah Mat berkata, oleh kerana itu usaha mendidik rakyat serta memperkenalkan pakaian yang benar-benar menutup aurat diadakan secara berterusan sekali gus membendung kesalahan jenayah syariah. Katanya, setakat ini walaupun Dewan Undangan Negeri (DUN) telah meluluskan Rang Undang-Undang berkaitan perkara tersebut namun tiada tindakan diambil sebelum ini kerana masih dalam proses mendidik sehingga rakyat di negeri ini mendapat kefahaman yang jelas. "Setakat ini kita beri nasihat, nasihat disampaikan melalui penguatkuasa di majlis daerah perbandaran dan juga melalui pejabat agama dan daerah, insya-Allah telah tiba masanya kita bertegas dalam penguatkuasaan. "Selama ini kita hanya mengambil tindakan meminta pihak polis dan penguatkuasa untuk memberikan nasihat-nasihat terakhir ketika diadakan operasi 'Ops Bonceng' pada Januari yang lalu," ujarnya. Beliau berkata demikian, selepas menyempurnakan Sambutan 'Terengganu Hijab Day' di Dewan Perdana Komplekas Pentadbiran Al-Wathiqu Billah Shah, di sini semalam. Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita, Zuraida Md Noor dan Pengarah Urus Setia Wanita negeri, Wan Nur Sakinah Din. Menurut Hanafiah, Terengganu Hijab Day yang telah memasuki tahun kelima penganjurannya adalah usaha berterusan dalam memperkenalkan pakaian mengikut syariat sebagaimana yang dianjurkan dalam Islam. "Bagi memastikan pakaian menutup aurat dan berhijab dengan tepat mesti melabuhkan sehingga ke bawah paras dada, yang ini kita beri didikan dari semasa ke semasa, apatah lagi wanita muda hari ini suka bergaya mengikut fesyen masing-masing. "Jadi kita cuba kemukakan, bahawa inilah pakaian yang sebenar mengikut etika patuh syariah," ujarnya lagi.
21 Feb 23
533
Bajet 2023 : Jangan Biar Suri Rumah Terbeban
Bajet 2023 : Jangan Biar Suri Rumah Terbeban
KUALA NERUS, 21 Februari - Kerajaan Persekutuan diharap mampu mengemukakan penyelesaian yang mampu mengembirakan hati seluruh rakyat khususnya suri rumah menerusi Bajet 2023 yang akan dibentangkan iaitu menurunkan harga bahan mentah. Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Naisonal negeri, Hanafiah Mat berkata, perkara tersebut menjadi harapan golongan terbabit demi kelangsungan hidup. "Saya berharap sangat perkara ini diberikan tumpuan kerana kalau harga barang tidak dapat diturunkan serta diselesaikan ia akan menjadi beban serta masalah kepada golongan ibu yang selama ini bertungkus lumus menyediakan masakan setiap hari. "Jadi seluruh pengguna mengharapkan agar kerajaan campuran ini dapat memastikan kos barangan keperluan dapat dikurangkan dengan seberapa segera,"ujarnya. Beliau berkata demikian, ketika ditemui pihak media, selepas menyempurnakan Sambutan Terengganu Hijab Day 2023 bersama Ustaz Azhar Idrus bertempat di Dewan Perdana, Kompleks Pentadbiran Al-Wathiqu Billah, di sini semalam. Dalam pada itu, Hanafiah berharap, Bajet 2023 yang akan dibentangkan nanti juga akan dapat menaikkan bantuan kewangan kepada golongan ibu tunggal. "Selama ini kerajaan negeri telah memberikan sumbangan bantuan 'one-off' jadi saya mengharapkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dapat menaikkan bantuan bulanan kepada ibu tunggal. "Manakala yang bekerjaya dalam bidang perniagaan saya mohon tambahkan lagi peruntukan tanpa faedah sebagaimana yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri melalui Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) dimana setiap mereka boleh membuat pinjaman sehingga RM20,000," ujarnya. Sementara itu, beliau turut berharap agar kerajaan campuran hari ini menunaikan segala-janji manifesto yang dikemukakan oleh Pakatan Harapan (PH) sewaktu Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15). "Antarnya memansuhkan hutan Pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) secara bersasar, secara tidak langsung kebajikan ini akan memberikan kesenangan kepada seluruh rakyat," ujarnya.
21 Feb 23
842