Artikel "Utama" Terkini
Terengganu Sasar Tanam 1 Juta Pokok
SETIU, 17 Mac – Terengganu menyasarkan menanam 1 juta pokok dalam tempoh 5 tahun bermula dari 2021 hingga 2025.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Seri Bijaya Raja berkata usaha itu merupakan salah satu cara untuk menzahirkan sokongan kepada kempen ‘Road to 1 Million Trees 2023’.
Katanya, mungkin 100 juta itu kedengaran seperti angka yang besar namun bak kata pepatah melayu 'sikit-sikit lama-lama jadi bukit'.
“Usaha yang mungkin kelihatan kecil pada hari ini akan memberikan impak yang besar pada masa hadapan dan statistik terkini, hampir 59 juta pokok telah pun di tanam di seluruh Malaysia.
“Pelbagai usaha di Peringkat Terengganu dalam mencapai misi tersebut melalui program yang dilaksanakan seperti Penghijauan Malaysia, Kempen Penanaman 100 Juta Pokok dan sebagainya,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika Menyempurnakan Majlis Perasmian RELife bertempat di Ladang Tayor di sini semalam.
Tambah Tengku Seri Bijaya Raja, program RELife yang diadakan pada hari ini bertujuan menekankan kepentingan memelihara dan memulihara ekosistem semulajadi.
"Program ini anjuran bersama TDM Berhad selaku anak syarikat kerajaan negeri Terengganu yang sentiasa berusaha mencari inisiatif untuk menyumbang dan memberi impak positif kepada masyarakat dan kawasan persekitaran," katanya.
Di samping, usaha ini juga akan membantu mewujudkan kawasan pemuliharaan dan mewujudkan keharmonian biodiversiti di ladang kelapa sawit sekali gus menyokong dan menyumbang kepada inisiatif Persekitaran, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) syarikat.
Beliau berkata, menjaga kelestarian alam sekitar bukan hanya terletak pada bahu sesebuah institusi tertentu sahaja tetapi juga masyarakat secara menyeluruh.
“Melalui program RELife ini, dapat memberikan sumbangan yang besar dalam mengembalikan rimbunan hutan dan mengurangkan kesan pemanasan global,” ujarnya.
Beliau berharap, program ini menjadi titik permulaan untuk memperluaskan program berbentuk pemeliharaan kelestarian alam sekitar dalam usaha memelihara dan memulihara alam sekitar untuk kesejahteraan bersama.
17 Mar 23
497
Maidam Agih RM11.73 Juta Kepada 22,023 Penerima Zakat
KUALA TERENGGANU, 17 Mac - Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), mengagihkan bantuan zakat berjumlah RM11.73 juta kepada 22,023 asnaf fakir dan miskin di Terengganu sempena Ramadan tahun ini.
Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail berkata bantuan itu diharap dapat meringankan beban kewangan golongan asnaf agar dapat menyambut Ramadan dengan lebih ceria.
Katanya, agihan bermula pada Isnin lalu di Besut dan pengagihan terakhir ialah di daerah Kuala Nerus pada Selasa depan.
“Terdapat tiga kategori bantuan iaitu untuk isi rumah tunggal sebanyak RM300, isi rumah dua atau tiga orang (RM500) dan isi rumah empat orang ke atas (RM700).
"Ada penerima yang menerima bantuan secara tunai melalui majlis pengagihan yang ditetapkan dan sebahagian besarnya pula dimasukkan secara terus kepada akaun penerima," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan agihan bantuan zakat sempena Ramadan kepada 580 penerima bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar di perkarangan Kompleks Perkarangan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) di sini hari ini.
Dalam pada itu, Shaikh Harun berkata berlaku peningkatan dalam jumlah mereka yang menerima bantuan zakat pada kali ini.
“Pada tahun lepas, seramai 21,580 orang penerima asnaf fakir dan miskin yang melibatkan melibatkan peruntukan RM10.49 juta dan kemungkinan meningkat disebabkan beberapa faktor.
“Antaranya kemelesetan ekonomi akibat pandemik COVID-19 yang menyebabkan ramai berhenti kerja dan hilang pendapatan..dan kita harap situasi ini akan kembali pulih dan mereka dapat kembali bekerja seterusnya tidak lagi tergolong dalam kategori asnaf fakir dan miskin," katanya.
17 Mar 23
457
Semoga Ustaz Azhar Idrus Cepat Sembuh
KUALA TERENGGANU, 17 Mac – Penceramah bebas, Ustaz Azhar Idrus (UAI) dimasukkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) dan telah menjani rawatan di sini.
Difahamkan bahawa UAI dimasukkan ke HSNZ kerana mengalami batuk dan masalah paru-paru.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, kesihatan Murabbi Ummah, Al-Fadhil Ustaz Azhar Idrus semakin bertambah baik setelah menjalani rawatan di HSNZ di sini.
“Semoga Allah SWT terus merahmati dan mempermudahkan segala urusan buat Murrabi Ummah yang disayangi ini.
“Sama-sama kita berdoa agar Allah SWT mengangkat penyakit yang dilalui oleh Al-Fadhil Ustaz Azhar Idrus ini. Sesungguhnya, hanya kepada Allah SWT jua tempat kita memohon,” jelasnya.
Beliau berkata demikian melalui kenyataan di Laman Facebook Rasminya ketika melawat Ustaz Azhar Idrus di HSNZ semalam.
Sementara itu, kuliah Maghrib yang sepatutnya berlangsung Masjid Kampung Bukit Tadok, Kuala Telemung, Terengganu baru-baru ini terpaksa ditangguhkan pada waktu lain.
“Ditangguhkan atas sebab kesihatan, doakan Kesembuhan buat Murabbi Ustaz Azhar Idrus,” kata hantaran Facebook Ustaz Azhar Idrus.
17 Mar 23
476
Hutang Kerajaan Terengganu Terus Berkurang
KUALA LUMPUR, 16 Mac - Hutang kerajaan Terengganu dengan kerajaan Persekutuan terus berkurang ke paras lebih rendah berbanding tahun lalu.
Perkara itu disahkan oleh Menteri Kewangan, Dato' Seri Anwar Ibrahim yang merujuk kepada Penyata Pinjaman Kerajaan Persekutuan.
"Sehingga 28 Februari 2023 hutang atau baki belum selesai pinjaman berdasarkan Jabatan Akauntan Negara Malaysia adalah sebanyak RM253.03 juta.
"Manakala daripada Mei 2018 sehingga kini, kerajaan negeri sudah membuat bayaran balik pinjaman kepada kerajaan Persekutuan sebanyak RM478.46 juta," katanya.
Shaharizukirnain.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan yang dikemukakan Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abd Kadir pada Persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Sebelum ini, Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata sehingga Julai 2022, Terengganu sudah membayar sejumlah RM472.78 juta hutang dengan kerajaan Persekutuan dalam tempoh tiga tahun pemerintahan.
"Pada tahun 2019, jumlah hutang yang ditanggung kerajaan negeri adalah sebanyak RM733.13 juta. Setelah melalui beberapa siri pembayaran, jumlah keseluruhan yang tinggal pada tahun 2022 berjumlah RM267.09 juta,” katanya.
Untuk rekod, dengan perkembangan terbaharu ini, Terengganu muncul antara negeri dengan kadar hutang (baki pinjaman belum selesai) paling rendah berbanding negeri-negeri lain.
16 Mar 23
1260
'Penyokong Tranung! Doakan Kami' - THT
KUALA TERNGGANU, 16 Mac- Pasukan Hoki Terengganu (THT) mengharapkan doa penyokong-penyokong Terengganu dalam usaha untuk melangkah kaki ke perlawanan Piala TNB 2023, minggu ini.
THT bakal berdepan pasukan UITM-HA KPT (UITM) malam ini, dalam aksi separuh akhir kedua selepas melakar kemenangan 5-1 dalam separuh akhir pertama, Selasa lalu, namun kapten pasukan, Fitri Saaari berkata, cabaran itu tidak boleh dipandang enteng.
"Tahun lepas kita dapat dua piala (Piala Sumbangsih dan Liga Hoki Malaysia), saya harap tahun ini kita dapat treble. Kita cuba untuk memenangi Piala TNB 2023, jadi saya mengharapkan sesuatu dari THT.
"Kita, majoriti pemain ada pengalaman disamping pemain muda untuk buat kerja, kita gabung semua serta flicker korea, Jang (Junghyun) dan walaupun kita menang, saya masih kurang berpuas hati dengan 'penalti corner attack', mungkin kita kena berlatih dan perbaiki lagi.
"Kita kena fokus setiap minit dan saat untuk melawan UITM , mereka agak kuat dan kita selalu ada masalah berdepan mereka yang mana kalau menang pun, agak tipis," katanya.
Dalam pada itu, Pasukan Hoki Wanita Terengganu (TLHT) turut beraksi petang ini dalam perlawanan separuh akhir kedua menentang Negeri Sembilan bagi merebut Piala Vivian May Soars 2023.
Terdahulu, TLHT tewas 1-4 kepada Negeri Sembilan dalam aksi separuh akhir pertama.
16 Mar 23
255
Waran Tangkap, Ini Penjelasan Exco...
KUALA TERENGGANU, 16 Mac- Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payung, Mohd Nor Hamzah menjelaskan, beliau telah disepina untuk menjadi saksi calon Barisan Nasional (BN) dalam petisyen pilihan raya Marang yang sedang berlangsung di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu sehingga 21 Mac ini.
Namun, peguam pempetisyen, Muhammad Amin Othman lewat memberi makluman kepadanya untuk ke mahkamah menjadi antara sebab beliau tidak dapat hadir ke perbicaraan, hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan Terengganu itu ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) untuk mengulas waran tangkap yang dikeluarkan terhadapnya, di sini hari ini berkata, beliau memberikan kerjasama namun terpaksa memenuhi komitmen program kerajaan negeri dan tidak dapat membatalkan program yang perlu dihadirinya pada pagi ini.
"Peguam BN (Barisan Nasional) suruh pergi mahkamah pagi, saya katakan (beliau) lewat sangat beritahu sedangkan saya ada banyak program sebelah pagi, sebelah petang boleh.
"Mungkin dia takut saya lari, jadi keluar waran tangkap jika tidak hadir pada perbicaraan 19 Mac ini.
"Untuk rekod saya telah hadir pada petang Selasa yang lalu, insya-Allah, saya dah berjanji dengan peguam BN untuk hadir pada Ahad ini, 19 Mac pukul 10 pagi," katanya.
Mohd Nor didapati mengiringi Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar ke Majlis Pelancaran Ihya' Ramadan Peringkat Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman sekitar jam sembilan pagi dan kemudian merasmikan Penutup Program Jelajah Ilmuwan bersama Murabbi Tuan Guru Sheikh Muhammad Nuruddin Marbu Al-Banjari di Taman Tamadun Islam, hari ini.
Terdahulu, Mahkamah Pilihan Raya Terengganu hari ini mengeluarkan waran tangkap terhadap Mohd Nor kerana gagal hadir memberi keterangan perbicaraan Petisyen Pilihan Raya bagi Parlimen Marang.
Perintah itu dikeluarkan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Hassan Abdul Ghani yang bersidang sebagai Hakim Pilihan Raya selepas peguam pempetisyen, Muhammad Amin Othman memohon satu waran tangkap dikeluarkan terhadapnya.
Perbicaraan bagi petisyen pilihan raya Marang akan disambung pada 19 Mac ini melibatkan tiga Parlimen iaitu Kuala Terengganu, Marang dan Kemaman yang telah difailkan Badan Perhubungan UMNO Terengganu pada 3 Januari lalu, di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
16 Mar 23
3064
Laksana Inisiatif Bagi Wujudkan Model Pembangunan Islam di Terengganu
KUALA TERENGGANU, 16 Mac – Kerajaan negeri akan terus melaksanakan pelbagai inisiatif dalam mewujudkan model pembangunan Islam di Terengganu.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, ia bagi mencetuskan iltizam untuk menjadikan Terengganu sebagai sebuah negeri yang mempelopori semua segmen terutama dakwah Islamiyah.
“Saya optimis dalam menjanjikan inisiatif-inisiatif yang dirancang akan menjadi lebih efektif dan lancar dengan kerjasama yang optimistik antara agensi-agensi pelaksana dan masyarakat setempat.
“Ini bagi memastikan Terengganu terus membangun secara lebih mampan, barakah dan inklusif ke arah menyebar luas kefahaman Islam dalam masyarakat Terengganu,” ujarnya.
Beliau berkata demikian di Majlis Perasmian Daurah Pengajian Kitab bersama Sheikh Nuruddin Marbu Al Banjari di Pusat Konvensyen Taman Tamadun Islam, di sini hari ini.
Daurah yang berlangsung selama dua hari itu diadakan untuk para Daie, Asatizah, pemimpin-pemimpin masyarakat untuk memahami Fiqh Puasa secara lebih mendalam, permasalahan-permasalahan semasa dan belajar Ilmu dengan guru yang selayaknya.
Dalam majlis yang sama, sebuah kitab terbaharu terbitan Akademi DUAT yang bertajuk ‘ Ulama Rabbani Asas Pembentukan Masyarakat Madani, hasil karya tulisan Murabbi Ummah Allahyarham Dato Harun Taib turut dilancarkan.
16 Mar 23
151
Terengganu Lindungi Hak TikTokers Bersuara
KUALA TERENGGANU, 16 Mac - Kerajaan negeri menyatakan komitmen melindungi kalangan anak muda yang rata-ratanya menggunakan aplikasi TikTok untuk bersuara menyatakan pelbagai pandangan berfakta.
Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kerajaan negeri menyatakan kebersamaan dengan anak muda tersebut sebagai jaminan untuk terus aktif menyebarkan kebenaran dalam berhadapan cabaran semasa.
"Saya dan seluruh rakan-rakan bersama dengan anda semua, jika ada mereka yang menghadapi tentangan dan sebagainya jangan simpan, maklumkan masalah yang dihadapi itu kerana kita ada cara tersendiri serta ruang untuk kita (kerajaan) bantu.
"(Asalkan) apa yang ditulis, dikeluarkan oleh tuan-tuan itu bukan bahan yang berunsur fitnah dan berita palsi, insya-Allah kita akan cuba yang terbaik untuk memastikan kebajikan dan keharmonian para ;'TikTokers' untuk terus berperanan menyampaikan pandangan, kita sama-sama jaga, insya-Allah,"ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Himpunan tikTokers Terengganu, di Paya Bunga Hotel, semalam.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan Negeri, Mohd Nor Hamzah.
Mengulas lanjut, Dr Samsuri berkata sebelum ini Pakatan Harapan (PH) kononnya meraikan kebebasan bersuara sehingga diraikan mereka yang bercakap tentang lesbian, gay, biseksual, trasgender (LGBT).
"Bermacam-macam suara (timbul) di atas pelbagai perkara yang bertetangan (dengan adat dan agama) yang akhirnya diberikan ruang kepada semua tetapi tidak kepada saudara saudari (TikTokers).
"Sangat bertentangan supaya kita (Perikatan Nasional) tidak boleh mencapai kemenangan, ini orang yang lemah sifatnya,"ujarnya.
Mengenai usaha anak muda menguasai Twitter, katanya anak muda perlu memiliki jiwa yang kental.
"Semangat kena kuat, jangan mudah koyak tanpa kita nafikan bahawa untuk memastikan semua bersetuju dan memberikan sokongan adalah mustahil.
"... Tidak semua perkara perlu dijawab dan dilayan, ada yang perlu disindir atau dengan pelbagai cara manakalah ada yang perlu dijawab secara berfakta, kerana itu perlu ada pengetahuan dan memiliki kreativiti,"ujarnya lagi.
16 Mar 23
243
MB Cabar TikTokers Sertai Cabaran Hasilkan Video Menarik
KUALA TERENGGANU, 16 Mac - Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar memberi cabaran kepada pengguna media sosial TikTok menghasilkan video kreatif yang terbaik dengan menyertai pertandingan dianjurkan kerajaan negeri.
Menurutnya, pertandingan yang bakal diadakan itu terbahagi kepada dua kategori iaitu menghasilkan kendungan video kreatif berdurasi diantara 30 hingga 45 saat serta kategori menghasilkan kandungan video kreatif berdurasi kurang dari dua minit.
"Hadiah utama yang ditawarkan bagi setiap kategori ialah RM2,000, hadiah kedua bernilai RM1,500, hadiah ketiga RM1,000 dan tiga hadiah saguhati RM500 bagi setiap kategori.
"Syarat-syarat penyertaan, tempoh serta kandungannya akan dirangka oleh Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) akan diumumkan kemudian dan hanya terbuka kepada anak Terengganu yang berada dalam negeri ini sahaja," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Himpunan TikTokers Terengganu, di Paya Bunga Hotel, di sini semalam.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan Negeri, Mohd Nor Hamzah dan Pengarah UPDI, Mohd Soud Said.
Menurut Dr Samsuri, cabaran itu diwujudkan kerana menyedari bertapa pentingnya peranan yang dimainkan oleh pengiat media sosial melalui aplikasi tersebut selama ini dalam menyampaikan maklumat yang tepat kepada rakyat mengenai kerajaan negeri.
"Di peringkat kerajaan negeri kami amat menghargai kebebasan bersuara anak-anak muda melalui kreativiti yang dipamerkan selama ini dalam mengutarakan pandangan serta pendapat di media sosial," ujarnya.
16 Mar 23
115
Ihya Ramadan : Lebih RM900 Ribu Disalurkan Ke Masjid dan Surau Terpilih
KUALA TERENGGANU, 16 Mac - Kerajaan negeri memperuntukan RM944,200 kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) melalui Pejabat Agama Daerah bagi melaksanakan program Ihya Ramadan di masjid dan surau di seluruh Terengganu bagi tahun ini.
Menteri Besar, Dato Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata ia sebagai insentif dan suntikan semangat dalam melaksanakan program Ihya Ramadan kepada semua masjid dan surau-surau terpilih.
"Saya berharap agar semua Jawatankuasa Masjid dan surau dapat memanfaatkan peruntukan yang akan disalurkan ini untuk menjalankan pelbagai aktiviti pengimarahan sepanjang bulan ramadhan pada tahun ini.
"Rancanglah pelbagai program yang dapat menarik semua lapisan masyarakat untuk turut sama hadir ke rumah Allah untuk memakmurkannya dibulan Ramadan ini," ujarnya.
Beliau berkata demikian di Majlis Pelancaran Ihya Ramadan Peringkat Negeri Terengganu 1444H / 2023M di Dewan Besar Wisma Darul Iman, di sini hari ini.
Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Seri Bijaya Raja dan Pesuruhjaya JHEAT, M. Rozi Bidin
Sementara itu, sebanyak RM1,014 juta juga telah diperuntukan bagi Duit Bantuan Pengurusan Jawatankuasa Masjid bagi seluruh masjid di negeri Terengganu.
Katanya, program Ihya Ramadan pada kali ini diharapkan mencapai objektif yang lebih baik meliputi pelbagai program yang dirangka di seluruh daerah.
“Jadi setiap komuniti, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) ataupun surau dan masjid mengadakan program yang boleh dilaksanakan.
“”Terserah kepada jawatankuasauntuk merangka aktiviti yang sesuai dengan kapasiti masing-masing, Cuma kita berharap penyertaan dari masyarakat menjadikan Ihya Ramadan pada kali ini lebih baik dari tahun lepas,”ujar beliau.
16 Mar 23
300