lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Anak Terengganu Hasil Karya Seni Luar Biasa
Anak Terengganu Hasil Karya Seni Luar Biasa
KUALA TERENGGANU, 19 Mac – Seni penghasilan 'airbrush' oleh seorang pelukis di Kampung Raja Barang, Chendering di sini tarik perhatian orang ramai sehingga tular di media sosial. Mohd Rozamil Mohd Yatin, 38, berkata hasil karya menconteng menggunakan 'airbrush' ini telah menerima tempahan dari seluruh negara termasuk Singapura dan Brunei. Katanya, dia aktif sebagai pelukis ‘air brush' sejak 2005 dengan melukis karyanya di vespa-vespa ketika itu. “Karya melukis ini juga telah diberi pendedahan kepada dua orang anak saya kerana minat dan bakat mereka terhadap seni lukis ini dapat dilihat sejak kecil lagi. “Mereka juga telah membantu saya di tempat kerja sepertimana yang tular di video Tiktok baru-baru ini,” katanya ketika dihubungi oleh Urus Setia Penerangan Darul Iman pada hari ini.  Dia yang juga dikenali sebagai Zameer Pentbrush berkata, sebenarnya teknik lukisan ini telah lama popular di luar negara cuma di negara ini popularitinya agak perlahan. Mohd Rozamil berkata, harga bagi 'borderline' bermula RM4,500 untuk lukisan kekal manakala RM 400 bagi lukisan sementara bergantung kepada permintaan pelanggan. “Tempoh lukisan bagi dakwat sementara tidak mengambil masa yang lama untuk disiapkan hanya sekitar satu hingga dua jam manakala lukisan bagi dakwat kekal memakan masa sehingga dua minggu untuk disiapkan," katanya. Tambah Rozamil, kali pertama karyanya mula viral apabila penghasilan lukisan wira-wira negara pada helmet yang tular di media sosial sewaktu musim Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dahulu. "Harapan saya agar dengan karya seni yang dihasilkan terutamanya oleh anak tempatan ini dapat membuka mata orang ramai untuk bersikap positif dan terbuka terhadap kreativiti dan cabang seni yang ada di negara kita," ujarnya.  
19 Mar 23
470
Nelayan Dikhuatiri Lemas Ketika Menguji Bot
Nelayan Dikhuatiri Lemas Ketika Menguji Bot
SETIU, 19 Mac - Seorang nelayan dikhuatiri lemas ketika menguji bot lewat petang semalam. Mangsa Mahamad Harun, 63 nelayan tempatan dikatakan turun ke pengkalan bot Kampung Baru Penarik untuk memeriksa serta menguji keadaan bot untuk keluar menangkap ikan. Ketua Polis Daerah Setiu, DSP Afandi Hussin ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian berkenaan 9.52 malam tadi. Tambahnya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) telah bermula malam tadi dan diteruskan pagi ini dengan penglibatan jabatan dan agensi lain dengan melibatkan agensi penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat, Polis Diraja Malaysia, Angkatan Pertahan Awam, Pasukan Penyelamatan Di Air (PPDA). Serta unit anjing pengesan K-9 Jabatan Bomba dan Penyelamat. Sementara itu, Isteri mangsa, Kamariah Ali, 65 ketika ditemui wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) berkata, tiada sebarang petanda pelik ditunjukkan sebelum kejadian dan suaminya turun ke pengkalan bot seperti biasa.    
19 Mar 23
366
Waran Tangkap Terhadap Exco Terengganu Terbatal
Waran Tangkap Terhadap Exco Terengganu Terbatal
KUALA TERENGGANU, 19 Mac – Waran tangkap terhadap Mohd Nor Hamzah ekoran kegagalan beliau menyambung bicara dalam perbicaraan Petisyen Pilihan Raya Umum Ke15 (PRU15) Parlimen Marang Khamis lalu, terbatal. Peguam responden, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, waran kepada Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri itu dibatal Mahkamah Pilihan Raya Terengganu setelah Mohd Nor hadir untuk memberi keterangan pada hari ini. Jelas beliau, responden dan pempetisyen bersetuju supaya saksi bagi kedua-dua pihak dipanggil sekiranya terdapat ruang untuk berbuat demikian. "Pihak pempetisyen masih mempunyai tiga saksi yang belum dipanggil tapi mahkamah membenarkan kita memanggil saksi responden dulu. "Ia dipersetujui oleh pihak kita (responden) dan pihak pempetisyen. Bila ada ruang kosong di mahkamah saksi yang berkelapangan boleh dipanggil. Selepas ini mahkamah akan panggil saksi pihak pempetisyen," ujar beliau ketika ditemui media di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu, di sini. Sebelum ini Mohd Nor berkata peguam pempetisyen, Muhammad Amin Othman lewat memberi makluman kepadanya untuk ke mahkamah menjadi antara sebab beliau tidak dapat hadir ke perbicaraan pada 16 Mac. “Saya memberikan kerjasama dalam perbicaraan pada 14 Mac, namun pada 16 Mac saya terpaksa memenuhi komitmen program kerajaan negeri dan tidak dapat membatalkan program yang perlu dihadiri,” jelasnya. Terdahulu Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Mohd Nor hadir ke bagi memberi keterangan berhubung petisyen PRU15 Parlimen Marang pada jam 9 pagi. Sementara itu, Abdul Hadi yakin keputusan perbicaraan akan berpihak kepada PAS kerana menurutnya, kes tersebut tidak melanggar kesalahan pilihan raya. “Alhamdulillah, tidak ada apa-apa, perbicaraan berlangsung macam biasa, kita jawab soalan yang ditanya peguam dia dan peguam kita. “Insya-Allah (akan berjaya) kerana tidak melibatkan kesalahan pilihan raya, ia lebih kepada ‘perang saraf’ Umno, kerana dia tak menang dalam pilihan raya, tapi nak menang melalui mahkamah,” ujar beliau. Pada Januari lalu, Umno Terengganu memfailkan petisyen untuk membatalkan keputusan PRU-15 bagi Parlimen Kuala Terengganu, Marang dan Kemaman.
19 Mar 23
1282
Kerajaan Selesai Pemilikan Kekal RMM Kuala Besut
Kerajaan Selesai Pemilikan Kekal RMM Kuala Besut
BESUT, 19 Mac – Kerajaan Negeri dalam usaha menyelesaikan masalah pemilikan secara strata bagi 217 pemilik di Rumah Mampu Milik (RMM) Mengabang Besar dan RMM Tok Saboh, Kuala Besut. Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Rozali Salleh berkata, dua RMM itu melibatkan 175 unit di Mengabang Besar dan Tok Saboh (47). “Pada awalnya dua RMM ini diberikan hak secara sewaan sehingga satu tempoh termasuklah permintaan penduduk itu sendiri berkenaan hak milik strata. “Namun isu yang berlaku adalah adanya binaan tambahan terhadap beberapa buah rumah yang perlu kita selesaikan sebelum permohonan geran strata itu dibuat. “Maka kita minta tindakan daripada penduduk terlibat agar mematuhi arahan diberikan oleh pihak berkuasa,” katanya. Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan ke RMM Mengabang Besar dan Tok Saboh dalam meneliti pemilikan secara strata berkenaan baru-baru ini. Turut hadir, Penyelaras DUN Kuala Besut, Azbi Salleh dan Pegawai Daerah Besut, Azran Amin Mazlan. Rozali turut menyatakan bahawa penduduk yang melakukan binaan tambahan itu sudah menerima beberapa kali notis pagar dirobohkan namun tiada tindakan. “Kita akan bertindak secara berhemah tapi sekiranya perlu kita akan bertindak selaras dengan undang-undang.  “Kita (kerajaan) akan membuat penilaian bagi ‘demolition’, peruntukan akan ditanggung daripada Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) DUN Kuala Besut,” tambahnya. Walau bagaimanapun, ujar beliau lagi, kos tersebut akan dibawa ke pihak kewangan negeri sekiranya memerlukan kos yang besar. "Kerajaan turut meneliti beberapa buah lagi RMM yang menghadapi masalah sama bagi mendapatkan penyelesaian buat semua pihak," jelasnya.  
19 Mar 23
421
Jadi Pengguna Bijak, Buat Aduan Di Saluran Tepat
Jadi Pengguna Bijak, Buat Aduan Di Saluran Tepat
KUALA NERUS, 19 Mac - Orang ramai perlu menjadi pengguna bijak dan bertanggungjawab dengan menyalurkan aduan di saluran yang tepat  jika berlaku penipuan jualan. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Terengganu, Datuk Dr Alias Razak berkata rentetan daripada peningkatan kos sara hidup, sebagai pengguna perlu tahu memainkan peranan untuk membuat aduan dan tahu untuk membuat tuntutan. Katanya, terdapat sembilan saluran yang boleh mereka kemukakan salah satunya menerusi aplikasi WhatsApp. “Setiap aduan berkaitan kenaikan harga barang maupun berkaitan dengan bekalan akan diambil tindakan segera sekiranya aduan yang diberikan mempunyai maklumat yang lengkap dengan nama premis yang dinyatakan.  “Sebarang maklumat pengadu adalah sulit… oleh itu, jangan teragak-teragak untuk membuat aduan sekiranya peniaga membuat kesalahan samada dengan meletakkan harga yang tidak munasabah, menyorok bekalan dan membuat penyelewengan barang-barang subsidi,”ujarnya. Beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus berkata demikian pada program  Consumer funwalk sempena hari pengguna kebangsaan 2023 di Kuala Nerus, semalam. Sementara itu, satu kajian indeks pemerkasaan pengguna Malaysia yang telah dilaksanakan oleh Universiti Putra Malaysia dengan kerjasama KPDN pada tahun 2020, Terengganu mencapai 68.80 peratus lebih tinggi berbanding dengan indeks nasional iaitu 63.10 peratus. “Ini menunjukkan tahap kesedaran pengguna negeri Terengganu adalah lebih tinggi jika dibandingkan dengan peringkat kebangsaan,”katanya.  
19 Mar 23
215
Peniaga Bazar Ramadan Diminta Tidak Jual Makanan Basi
Peniaga Bazar Ramadan Diminta Tidak Jual Makanan Basi
KUALA NERUS, 19 Mac - Kerajaan negeri meminta peniaga bazar Ramadan di Terengganu agar tidak menjual makanan dan kuih muih basi kepada orang ramai yang berkunjung ke gerai mereka sepanjang Ramadan ini. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Dr Alias Razak berkata pihaknya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap  peniaga yang menjual makanan basi dan tercemar  sekali gus membahayakan kesihatan orang ramai yang membeli makanan daripada mereka di bazar Ramadan. Menurut beliau, pihaknya  tidak mahu  kejadian kes keracunan makanan yang berlaku setiap tahun sehingga ada mengakibatkan kematian berulang dan mereka yang didapati bersalah boleh dikenakan tindakan tegas termasuk denda dan gerai perniagaan mereka akan  ditutup serta merta. “Kalau kesalahan besar, kita akan arahkan tutup serta merta dan jika ada yang boleh dinasihat… kita nasihat sebab kita  pun nak jaga  juga lagipun  masing masing  nak cari rezeki. “Mungkin dia buat tanpa sedar jadi  kita nasihat untuk  perbaiki  kesalahan  tu tapi kalau nampak ada orang dah terpaksa masuk wad kerana makan di kedai dia itu maka terpaksa  tutup 14 hari untuk pulih balik kebersihan," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program  Consumer funwalk sempena hari pengguna kebangsaan 2023 di Kuala Nerus, semalam. Katanya , makanan lebihan pada hari sebelumnya tidak sepatut dijual semula bagi mengelak mereka menjual makanan basi dan tercemar  Tambah  beliau peniaga yang didapati bersalah menjual makanan basi boleh didenda maksimun RM10,000 dan dua tahun penjara di bawah Akta Makanan 1983 dan Peraturan Kebersihan Makanan 2009. Dr Alias  turut mengingatkan pengusaha gerai supaya sentiasa menjaga kebersihan dan bertanggungjawab terhadap kesihatan dan keselamatan makanan dijual kepada pengguna dengan memastikan makanan mereka tidak basi.   
19 Mar 23
340
Berita Gembira Untuk Rakyat Dalam Manifesto Akan Datang
Berita Gembira Untuk Rakyat Dalam Manifesto Akan Datang
KUALA TERENGGANU, 19 Mac – Kerajaan Negeri menjanjikan berita gembira untuk rakyat dalam manifesto pada pilihanraya akan datang. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata pelbagai inisiatif yang dilaksanakan oleh kerajaan dalam membantu rakyat tidak mengira peringkat umur dan latar belakang. Katanya, melalui hasil perbentangan bajet untuk tahun ini, pelbagai bantuan telah diperkenalkan oleh kerajaan negeri semata-mata untuk memberi manfaat kepada rakyat. “Antaranya adalah baucar pakej ibu berpantang sebanyak RM200 seorang yang memakan peruntukan sebanyak RM1 Juta bagi tujuan tersebut. “Di samping, membela kebajikan ibu tunggal dan Orang Kurang Upaya (OKU) yang layak dengan nilaian RM200 seorang dengan peruntukan RM5 juta serta pelbagai bantuan lagi,” jelasnya. Beliau berkata demikian ketika Ceramah Mega Darul Iman bertempat Dataran Ko Khidmat di hadapan Pasaraya Mydin Kuala Ibai di sini semalam. Tambah Mohd Nor, terdapat banyak pencapaian dan pengiktirafan oleh pihak luar kepada kerajaan Terengganu sepanjang mentadbir negeri ini. “Baru-baru ini Kerajaan negeri juga telah mendapat pengiktirafan dalam mengurus bajet dan kewangan negeri. “Justeru, terbukti bahawa kerajaan sekarang cemerlang dalam mengurus tadbir dan menjadikan ekonomi di negeri ini semakin membaik berbanding dahulu,” katanya.
18 Mar 23
667
Pasukan Hoki Terengganu Lakar Sejarah Baru
Pasukan Hoki Terengganu Lakar Sejarah Baru
KUALA LUMPUR, 19 Mac- Pasukan Hoki Terengganu (THT) melakar sejarah 9 tahun penubuhannya apabila muncul juara 'treble' bagi tahun 2023 setelah menang tipis 2-1 ke atas seteru utama, Pasukan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dalam perlawanan akhir Piala TNB 2023, malam tadi. Aksi di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil itu berlangsung hangat seawal minit pertama dengan kedua-dua pasukan rancak berbalas serangan. Pada minit ke-20, THT berjaya mendahului TNB dengan gol pertama menerusi jaringan Faizal Saari. Bermula dari serangan balas digerakkan Syarman Mat Tee kepada Abdul Khaliq Hamirin, Ismail Abu kemudian melorongkan bola kepada Faizal yang menewaskan dua pertahanan sebelum melakukan tolakan melepasi penjaga gol lawan. Dua minit kemudian, The Turtles hampir mencipta jaringan kedua, namun Muhammad Abid Sufian yang berdepan satu lawan satu dengan penjaga gol gagal menyempurnakannya. Keputusan kekal 1-0 sehingga siren dibunyikan. Bersambung babak kedua, TNB beraksi lebih pantas dengan melancarkan beberapa serangan berbahaya. Mujur ketangkasan penjaga gol kebangsaan, Muhammad Hafizuddin Othman menafikan semua percubaan TNB. Pada minit ke-43, TNB dihadiahkan tiga pukulan sudut penalti (PC) berturut-turut sebelum Muhammad Azrai Aizad menyudahkan flick Syed Muhammad Syafiq dengan tampanan tinggi melepas benteng THT untuk gol penyamaan. Tersentak dengan jaringan tersebut, THT menggandakan asakan ke kubu TNB, namun Mohammad Hairi Abdul Rahman 'kebal' menjaga gawangnya. TNB mendebarkan penyokong Terengganu setelah mendapat peluang daripada enam mata PC berturut-turut, bagaimanapun benteng THT mampu bertahan sekalipun Firdaus terpaksa dikeluarkan akibat cedera. Lapan minit sebelum masa penamat, THT memperolehi PC ketiga dalam perlawanan dan Jang Junghyun meletakkan nama sebagai penjaring kedua pasukan untuk THT mendahului 2-1. TNB cuba bangkit bagaimanapun tiada jaringan tambahan berjaya dihasilkan sekaligus menyaksikan THT menjulang Piala TNB 2023 setelah memenangi Piala Sumbangsih dan Liga Hoki Malaysia musim ini. Dalam perlawanan tersebut, Faizal dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan, manakala Hafizzudin memenangi gelaran penjaga gol terbaik.        
18 Mar 23
886
Produk Usahawan Terengganu Bakal Tembusi Pasaran Indochina
Produk Usahawan Terengganu Bakal Tembusi Pasaran Indochina
KUALA TERENGGANU, 17 Mac - Kerajaan negeri melalui kerjasama Asean Mall bersama  Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu bakal meneroka pasaran produk usahawan Terengganu ke Indochina. Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata pihaknya telah berbincang supaya  kerjasama ini dapat membuka ruang kepada usahawan tempatan yang mempunyai keupayaan dan kesediaan untuk memasarkan produk mereka ke luar negara terutamanya melibatkan negara yang berdekatan. "Usahawan Terengganu mempunyai pelbagai produk menarik dan berpotensi untuk menembusi pasaran Indochina namun mereka kekurangan informasi bagi menjalinkan perhubungan untuk memasarkan produk mereka ke luar negara. "Jadi salah satu hasrat saya melalui YPU, kita akan cuba memudahkan urusan yang berkaitan terutamanya dalam membina rangkaian untuk memasarkan produk ke negara -negara berkenaan," katanya. Beliau berkata demikian selepas pertemuan bersama Pengarah Operasi Asean Mall, Mohd Zamri Said. Turut hadir Ketua Pegawai Eksekuti YPU, Mohd Rashdan Muda dan Yang Dipertua Dewan Perniagaan dan Perindustrian Melayu Terengganu (DPPMT), Ahmad Izani Ab. Ghani. Tambah Nurkhuzaini, sehingga kini, YPU banyak membuka ruang kepada usahawan-usahawan Terengganu dalam mengembangkan perniagaan mereka. Menurutnya, namun begitu masih ramai lagi yang tidak memanfaatkan kemudahan dan perkhidmatan yang sediakan oleh pihak YPU oleh mereka. "YPU mempunyai bantuan-bantuan khas yang disediakan dalam membantu mereka untuk menjadikan produk mereka mudah untuk diterima masuk dalam pasaraya-pasaraya antaranya seperti bantuan pembungkusan, pelabelan, barcode dan fakta nutirisi. "Dengan bantuan ini jugalah usahawan-usahawan dapat menembusi pasaran antarabangsa selain mendapatkan bantuan bagi mendapatkan sijil-sijil yang berkaitan seperti Sijil Halal dan GMP/HACCP," katanya.
17 Mar 23
271
Delegasi Terengganu Ke Turkiye Bawa Sumbangan RM1.3 Juta
Delegasi Terengganu Ke Turkiye Bawa Sumbangan RM1.3 Juta
KUALA NERUS, 17 Mac - Delegasi Kerajaan negeri bertolak ke Turkiye pada semalam bagi menyampaikan sumbangan lebih RM1.3 juta kepada mangsa gempa bumi di negara terbabit dan Syria. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata kutipan melalui Tabung Terengganu For Turkiye itu amat bermakna sebagai solidariti kerajaan terhadap nasib yang menimpa rakyat di dua buah negara tersebut. "Alhamdulillah selama sebulan tabung ini telah digerakkan ke seluruh daerah, hasil ini berjaya dikumpulkan melalui agensi, Jabatan, masjid-masjid dan juga NGO di bawah PASrelief. "Saya mengambil peluang mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat kerana berjaya memperolehi jumlah bantuan yang agak besar untuk membantu rakyat Turkiye. "Melalui sumbangan ini kita akan menyampaikan bantuan berupa pek makanan sebagai persediaan menyambut Ramadan yang akan tiba tidak lama lagi, menyediakan dapur rakyat serta yang paling utama sekali akan menyumbangkan kontena bagi dijadikan rumah tumpangan sementara kepada mangsa gempa bumi di sana," ujarnya. Beliau yang mengetuai rombongan Kerajaan negeri, berkata demikian ketika berucap pada Pelepasan Misi Bantuan Kemanusiaan Ke Turkiye, di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM). Turut menyertai rombongan berkenaan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita, Zuraida Md Nor dan Pengarah Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) Mohd Soud Said. Mengulas lanjut Wan Sukairi berkata, rombongan berkenaan akan berada di sana selama empat malam bagi menjayakan misi bantuan tersebut. "Doakan kejayaan untuk misi pada kali ini, di atas sumbangan yang diberikan ini Kerajaan negeri mengucapkan terima kasih kepada semua penyumbang yang selama ini tanpa henti menghulurkan sumbangan. "Di sini saya ingin turut memaklumkan bantuan ke Syria akan turut disampaikan melalui sempadan antara Negara Turkiye dan Syria," ujarnya lagi.
17 Mar 23
260