lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Darul Barakah Jadi Pilihan Utama Pemulihan Dadah
Darul Barakah Jadi Pilihan Utama Pemulihan Dadah
KUALA TERENGGANU, 16 Mac - Pusat Pemulihan Dadah Holistik yang dilaksanakan kerajaan negeri semakin mendapat sambutan di kalangan rakyat untuk memulihkan penagih-penagih dadah di Terengganu. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah memaklumkan, Perkampungan Darul Barakah buat masa ini menerima terlalu banyak permintaan dari masyarakat untuk mendapatkan rawatan bagi ahli keluarga mereka. Menurut beliau, sepanjang hampir dua tahun pembukaan pusat pemulihan yang dikenali sebagai Perkampungan Darul Barakah itu, kini dihuni oleh seramai 96 pelatih. "Ini merupakan janji manifesto kerajaan negeri dalam usaha membantu penagih dadah kembali ke pangkal jalan dan mengurangkan masalah ketagihan dalam masyarakat. "Setakat ini, kita dapat lihat impaknya membantu dalam menyelesaikan segala permasalahan bagi memenuhi agenda rawatan penagih yang menjadi usaha Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK). "Kita juga dapat merawat pelatih dengan pengajian Islam, akhlak dan kemahiran hidup," katanya ketika menjawab soalan lisan ADUN Sura, Wan Hapandi Wan Nik dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Mesyuarat Keempat Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri ke-14, hari ini. Jelasnya, pembukaan pusat pemulihan tersebut juga sedikit sebanyak membantu keluarga dalam menyelesaikan masalah ahli terlibat dadah. Mohd Nor menambah, ia juga membuka kesedaran rakyat bahawa permasalahan dadah dapat diselesaikan dengan kerjasama dari semua pihak. "Konsep pusat ini ialah pemulihan secara berterusan, dalam erti kata ada pemulihan dapat dilakukan dalam tempoh berasaskan modul ditetapkan dan ada juga pemulihan yang dilakukan sehingga mereka mati. "Ini kerana, ada di kalangan mereka apabila kembali (ke kampung), terjebak semula dalam masalah penagihan dadah. "Namun, hasil pemulihan yang dilaksanakan, sebahagian besar pelatih-pelatih ini memberi respon dengan positif kepada usaha-usaha dilakukan," katanya yang berharap proses pengambilan pelatih dari masa ke masa dapat dilaksanakan dengan lancar dan teratur.                
16 Mar 23
761
Kadar Zakat Fitrah RM8, RM10 Dan RM24 Di Terengganu
Kadar Zakat Fitrah RM8, RM10 Dan RM24 Di Terengganu
KUALA TERENGGANU, 15 Mac  - Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) menetapkan tiga kadar bayaran zakat fitrah zakat fitrah bagi umat Islam di negeri ini pada tahun ini. Yang Dipertuanya, Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail berkata, penetapan itu adalah RM8, RM10 dan RM24 seorang mengikut jenis beras yang dimakan setiap hari. "Mereka yang makan nasi daripada beras super special tempatan perlu membayar zakat fitrah tidak kurang RM8 seorang. "Bagi mereka yang menggunakan jenis beras selain daripada itu, kadar zakat fitrah adalah RM10 seorang untuk beras super import (siam) dan RM24 seorang untuk beras jenis premium seperti basmathi," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir menyempurnakan Multaqa Amil Zakat Negeri Terengganu 2023 di Taman Tamadun Islam (TTI) di sini baru-baru ini. Sementara itu, seramai 954 amil telah dilantik untuk mengendalikan pungutan zakat fitrah sama ada melalui sistem e-Amil atau pungutan secara biasa bagi membantu melancarkan pengurusan zakat di Terengganu. Tambahnya lagi, bermula 1 Ramadan ini, Maidam turut memperkenalkan konsep bayaran secara atas talian yang dipanggil e-Amil selain pembayaran secara konvensional. Jelas beliau, antara ciri sistem tersebut ialah resit rasmi zakat akan dihantar secara digital kepada pembayar menerusi telefon bimbit dan e-mel. Shaikh Harun juga berkata, pihaknya menyasarkan kutipan zakat fitrah sebanyak RM10 juta pada tahun ini, meningkat RM2 juta berbanding RM8 juta yang berjaya dikutip pada tahun lepas. "Peningkatan ini berdasarkan tiga kadar bayaran zakat fitrah yang ditetapkan pada tahun ini dengan rata-rata umat Islam kita jangka akan bayar antara RM12 hingga RM15 seorang," katanya.
15 Mar 23
325
KTSB Jana Pendapatan Baharu Terengganu
KTSB Jana Pendapatan Baharu Terengganu
KUALA TERENGGANU, 15 Mac – Kerajaan negeri bakal menjana pendapatan tambahan baharu bernilai puluhan juta ringgit termasuk RM6 juta setahun daripada Kuala Terengganu Support Base (KTSB). Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran negeri, Dato’ Tengku Hassan Tengku Omar berkata, KTSB telah ditubuhkan bagi mengelakkan Terengganu hanya bergantung kepada royalti petroleum. Katanya, KTSB yang diwujudkan melalui anak syarikat kerajaan negeri, Epic Berhad dijangka beroperasi pada April ini. “KTSB berfungsi sebagai satu hub pertukaran anak kapal untuk industri minyak dan gas di kawasan Kuala Terengganu. “Pihak Epic juga sedang menilai beberapa pasaran berpotensi untuk memanfaatkan sepenuhnya kegunaan KTSB sebagai balai pelepasan dan ketibaan penumpang untuk kegunaan industry minyak dan gas serta pelancongan,” katanya. Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasik, Ir Saiful Azmi Suhaili di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Mesyuarat Keempat Penggal Kelima DUN ke-14, hari ini. Menurut Tengku Hassan, selain itu pada 2022 Epic berjaya mendapatkan kontrak menyediakan perkhidmatan bot tunda. “Ia diserahkan kepada Syarikat Petra Energy Development di kawasan pelantar minyak Banang, daripada itu kita jangka hasil sebanyak RM6.6 juta akan diperolehi dalam setahun,” jelasnya. Tambah beliau, satu lagi anak syarikat EPIC, Epic OG Sdn Bhd sedang aktif membida projek minyak dan gas yang berpotensi bagi tahun 2023, pulangan hasil yang disasarkan adalah sebanyak RM70 juta setahun. “EPIC juga turut memberi perhatian kepada beberapa projek baharu, salah satunya ialah perkhidmatan kemudahan limbungan pelupusan kapal dan struktur pelantar minyak (onshore deconstruction facility) di Pangkalan Bekalan Kemaman. “Projek ini akan diterajui oleh salah satu anak syarikat EPIC, iaitu EPIC Marine Service Sdn. Bhd. (EPMS) dan mensasarkan pendapatan tahunan sebanyak RM15 hingga RM30 juta,” jelasnya.          
15 Mar 23
2401
RM9.46 Juta Peruntukan Bantuan Pakaian Sekolah Tahun Ini
RM9.46 Juta Peruntukan Bantuan Pakaian Sekolah Tahun Ini
KUALA TERENGGANU, 15 Mac- Sebanyak RM9.46 juta diperuntukan kerajaan negeri melalui Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) untuk bantuan pakaian sekolah yang akan memberi manfaat kepada kira-kira 86,000 pelajar tahun ini. Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, bantuan baju sekolah itu telah mula diagihkan awal Februari lalu. "Daerah pertama yang memulakan agihan adalah daerah Marang iaitu kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Alor Limbat dan agihan terakhir ialah pada 15 Mac iaitu di DUN Permaisuri bagi daerah Setiu. "Kaedah pembahagian bermula dengan proses pengumpulan data saiz dan kemaskini data oleh pihak Pusat Khidmat Masyarakat DUN (PKM) dengan kerjasama Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MITS). "Kemudian data tersebut disalurkan kepada YPKT untuk proses penyediaan pakaian itu dan agihan dijalankan bersama PKM serta i-MITS di tempat yang telah ditetapkan oleh ADUN masing-masing," katanya. Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Zuraida Md Noor (Adun Wanita) yang mengemukakan soalan berkaitan perkembangan bantuan baju sekolah yang diuruskan oleh Yayasan Pembangunan Keluarga dan apakah kaedah pembahagiannya. Hanafiah berkata, mengenai permasalahan yang timbul selepas proses agihan iaitu berkaitan saiz yang tidak sesuai, ianya akan diuruskan oleh YPKT. "Proses penukaran saiz ini akan dibuat selama sebulan bermula 14 Mac sehingga 14 April depan bertempat di PKM/i-MITS masing-masing.  "Sebarang perubahan tempat penukaran boleh dibincangkan dan ditetapkan kemudian," katanya menjawab soalan tambahan Zuraida. Sementara itu, bagi menjawab pertikaian Datuk Rozi Mamat (BN-Telemong) bahawa kaedah bantuan menggunakan saiz pakaian adalah kurang sesuai kerana hanya menguntungkan pihak pembekal sahaja, Hanafiah berkata itu kaedah terbaik mengambil kira keselesaan semua pihak ketika ini. "Kalau nak bagi duit, kita tak pasti adakah ia akan digunakan untuk membeli pakaian sekolah atau sebaliknya. Kita menyambut baik sebarang cadangan atau saranan untuk menambah baik program ini pada masa akan datang," katanya.  
15 Mar 23
450
Yayasan Darul Iman Bakal Miliki Aset Sendiri
Yayasan Darul Iman Bakal Miliki Aset Sendiri
KUALA TERENGGANU, 15 Mac - Proses menaik taraf Tabung Darul Iman kepada Yayasan Darul Iman akan membolehkan tabung kebajikan untuk golongan B40  itu mempunyai pemilikan aset tersendiri. Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional, Hanafiah Mat berkata, setakat ini penubuhan Yayasan Darul Iman masih lagi dalam peringkat penubuhan dan ia akan melalui beberapa proses. “Antaranya penetapan penjawatan pegawai dan kakitangan, penyelarasan dari segi kos pengurusan tahunan dan juga beberapa item yang memerlukan pengesahan dan kelulusan daripada agensi serta jabatan yang berkaitan,” ujarnya. Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan lisan yang dikemukakan Sulaiman Sulong (PAS-Pengkalan Berangan) mengenai status terkini penubuhan Yayasan Darul Iman pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Mesyuarat Keempat Penggal Kelima DUN ke-14, di Wisma Darul Iman, hari ini. Hanafiah berkata, selain membolehkan pemilikan aset sendiri, mengikut undang-undang sesebuah yayasan boleh membuat penawaran bagi mengalakkan penderma untuk menderma ke tabung yayasan seperti penawaran ‘return back’ dan rebat. Tambah beliau, pengagihan dana bantuan Tabung Darul Iman tidak mempunyai wang segera, bantuan yang disalurkan buat masa sekarang tertakluk kepada tatacara kewangan kerajaan negeri, dengan tertubuhnya Yayasan Darul Iman bantuan akan dapat disalurkan dengan segera dengan adanya bantuan segera prihatin. “Fungsi yang dijalankan oleh Tabung Darul Iman sekarang hanya tertumpu kepada dua jenis bantuan iaitu bantuan kepada rakyat yang ditimpa bencana dan musibah dan bantuan perubatan kepada pesakit kronik. “Dengan tertubuhnya Yayasan Darul Iman, fungsinya dapat diperluaskan dengan lebih berfokus,” ujarnya bagi menjawab soalan tambahan Sulaiman mengenai rasional dan kelebihan naik taraf tabung berkenaan. Tambah beliau, penubuhan Yayasan Darul Iman juga dapat mengurangkan karenah birokrasi tatacara kewangan, sekali gus bantuan dapat disalurkan dnegan lebih cepat kerana tidak tertakluk dengan tatacara kewangan kerajaan negeri.
15 Mar 23
658
PM Perlu Jujur Bercakap Soal Pengukuhan Mata Wang
PM Perlu Jujur Bercakap Soal Pengukuhan Mata Wang
KUALA TERENGGANU, 15 Mac – Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim diminta telus ketika mengulas kedudukan ringgit yang memberi kesan terhadap perbelanjaan negara. Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, ringgit yang terus menurun berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pastinya memberi kesan berikutan kadar import negara melebihi eksport. “Bukan sahaja produk makanan yang kita masih bergantung kepada import, produk lain dalam sektor pembuatan, pembinaan dan perkhidmatan turut melibatkan kontrak luar negara yangg sebahagian besar diikat dalam matawang asing terutamanya dolar AS. “Projek kerajaan akan menanggung kos lebih tinggi jika melibatkan bahan yang diimport dengan memberi kesan prestasi kemajuan projek projek pembangunan yang dirancang,” katanya. Beliau berkata demikian selepas meneliti jawapan Perdana Menteri selaku Menteri Kewangan terhadap soalan lisan yang ditanya beliau dalam Sidang Parlimen. Amzad yang juga bekas menteri Sains, Teknologi dan Inovasi menegaskan Kadar Dasar Semalaman (OPR) Rezab Persekutuan AS yang lebih tinggi menyebabkan pegangan mata wang itu menjadi tumpuan.  “Dengan kedudukan tersebut yang empat mata lebih tinggi daripada Bank Negara Malaysia, sudah tentu tumpuan pasaran mata wang untuk memegang lebih dolar AS kerana memberi pulangan ebih baik dari ringgit. “Ini akan terus melemahkan nilai ringgit kerana pasaran modal lebih tertarik memegang ‘US Stock Bonds’,” tambahnya. Beliau menuntut Perdana Menteri memberikan maklumat dan penjelasan yang lebih terperinci dengan kenyataan bahawa dolar AS mengukuh tinggi tidak menjeaskan pendapatan dan poerbelanjaan kerajaan.
15 Mar 23
128
Terengganu Berjaya Kumpul RM1.3 Juta Bantu Turkiye
Terengganu Berjaya Kumpul RM1.3 Juta Bantu Turkiye
KUALA TERENGGANU, 15 Mac – Terengganu berjaya mengumpulkan jumlah sumbangan sebanyak RM1.3 Juta untuk membantu mangsa gempa bumi di Turkiye dan Syria. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata jumlah tersebut melebihi sasaran ditetapkan. Katanya, ia terdiri daripada hasil sumbangan rakyat Terengganu melalui Tabung Terengganu For Turkiye dan NGO Pasrelief. "Hasil kedua-dua tabung tersebut berjumlah RM588,067 dan RM745,650. “Terengganu juga merupakan negeri yang paling banyak menyumbang untuk mangsa gempa bumi tersebut. “Terbukti rakyat Terengganu sangat perihatin, cakna dan pemurah walaupun mereka bukan kalangan kaya namun mempunyai sifat yang kaya dengan hati serta dermawan dalam menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan,” jelasnya. Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Penyerahan Kutipan Derma Tabung Terengganu For Turkiye Sempena Misi Kemanusiaan ke Turkiye bertempat di Dewan Konvensyen, Wisma Darul Iman di sini hari ini. Majlis penyerahan tersebut telah disempurnakan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar. Tambah Wan Sukairi, pihak kerajaan negeri juga telah membentuk satu rombongan dalam menghantar dana tersebut pada 17 Mac nanti iaitu pada hari Jumaat ini. “Saya bagi pihak kerajaan negeri mengucapkan Terima kasih kepada semua penyumbang yang terdiri daripada Jabatan-Jabatan, Anak Syarikat Kerajaan Negeri (GLC), agensi-agensi dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang terlibat," katanya. Terdahulu, pada 6 Februari 2023, sebuah gempa bumi besar telah melanda sebahagian Turkiye dan Syria serta telah mengorbankan sebanyak lebih 40 ribu nyawa dan lebih 100,000 orang mangsa yang cedera. Difahamkan, keseluruhan mangsa yang terjejas seramai 23 Juta termasuk 7.1 Juta orang kanak-kanak di dua negara tersebut.  
15 Mar 23
227
'PM Jamin DKKP Dibayar Seperti Biasa '- MB
'PM Jamin DKKP Dibayar Seperti Biasa '- MB
KUALA TERENGGANU, 15 Mac- Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar memaklumkan Dana Khas Kerajaan Persekutuan (DKKP) kepada Terengganu akan diteruskan sebagaimana kebiasaan. Jelasnya, keputusan itu diperoleh selepas beliau mengadakan perbincangan dengan Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim di Seri Perdana, Putrajaya semalam Mengulas lanjut mengenai pertemuan itu, beliau menyifatkan ia berlangsung positif dengan beberapa isu berkaitan rakyat dan negeri diketengahkan. "Sebagaimana saya maklumkan dalam Facebook dan Instagram bahawa perbincangan ceria dan penuh keterbukaan. "Berkenaan royalti (dikenali sebagai DKKP), ada juga dibincangkan dan akan diberikan sebagaimana biasa sebelum ini. "Berapa banyak? Itu bergantung kepada harga minyak tahun sebelum ini, kita juga tidak tahu jumlahnya sekarang ini. "Saya jangka mungkin sebelum akhir bulan ini duit itu akan masuk ke negeri Terengganu, dan kita akan tahu banyak atau sedikit," katanya. Pertemuan di Seri Perdana. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Mesyuarat Keempat Penggal Kelima DUN ke-14, hari ini. Beliau menambah bahawa dijangka nilai yang diterima mungkin agak banyak berikutan harga minyak yang tinggi tahun lalu. "Peratusannya tidak dimaklumkan, cuma dikatakan sebagaimana sebelum ini. "Insya-Allah, akan ada beberapa keputusan penting yang akan dilaksanakan YAB Perdana Menteri. "Tunggulah, antara agendanya berkaitan pembangunan, kewangan dan semua itu dalam keadaan terbaik setakat ini," katanya. Beliau turut mengucapkan tahniah atas pelantikan aktivis kemanusiaan, Hussin Ismail sebagai Senator Dewan Negara hari ini. "Beliau seorang yang mempunyai pengalaman yang lama dalam pentadbiran dan politik serta mempunyai kelayakan untuk membawa agenda ke dewan negara," katanya.          
15 Mar 23
1100
Aktivis Kemanusiaan Dilantik Ahli Dewan Negara
Aktivis Kemanusiaan Dilantik Ahli Dewan Negara
KUALA TERENGGANU, 15 Mac – Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Mesyuarat Keempat Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri ke-14 pada hari ini sebulat suara bersetuju melantik aktivis kemanusiaan yang juga Tokoh Maal Hijrah Terengganu 2020, Hussin Ismail sebagai Ahli Dewan Negara. Pelantikan itu dicadangkan Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar selepas diumumkan Speaker DUN, Dato’ Yahaya Ali semasa persidangan berkenaan. Ahmad Samsuri berkata, pelantikan pengasas rangkaian sekolah tahfiz, Akademi Al-Quran Amalillah dan Pengerusi Tetap Muktamar Tahunan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) itu berkuat kuasa pada Rabu bagi menggantikan Nuridah Salleh yang melepaskan jawatan. “Presiden Yayasan Amal Malaysia itu mendapat pengajian menengah di Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Midin, Kuala Terengganu selama tiga tahun (1968-1970). “Selepas itu beliau melanjutkan persekolahan ke tingkatan empat di Sekolah Menengah Alam Shah, Cheras sebelum melanjutkan pengajian ke peringkat universiti. “Beliau memulakan kerjaya awal sebagai guru sains di Sekolah Menengah Tengku Ampuan Intan di Kuala Berang, Hulu Terengganu, kemudian meneruskan kerjayanya dalam bidang korporat,” jelas Ahmad Samsuri.
15 Mar 23
655
PMINT Meterai MoU Pajakan Tanah Dengan Nilai Pelaburan RM2.5 Bilion
PMINT Meterai MoU Pajakan Tanah Dengan Nilai Pelaburan RM2.5 Bilion
KUALA TERENGGANU, 15 Mac- Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) memeterai Perjanjian Persefahaman (MoU) dengan Xinda Development Sdn. Bhd. bagi pajakan tanah untuk membangunkan zon perindustrian baharu di Cheneh, Kemaman yang akan dikenali sebagai kawasan perindustrian Cheneh Baharu (tambahan). Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah & Kesejahteraan Pentadbiran Negeri, Dato’ Tengku Hassan Tengku Omar berkata, pembangunan kawasan baru itu akan dijalankan secara berfasa oleh syarikat pelabur dari China itu diatas tanah pajakan yang dibenarkan oleh kerajaan negeri selama 60 tahun. "Fasa pertama melibatkan pajakan tanah berkeluasan 70.485 ekar bagi pembangunan kilang 'finished produk factory', semi finished factory' dan ruang pejabat. "Xinda Development Sdn. Bhd. akan membangunkan kawasan tersebut bermula tahun ini dengan industri berasaskan produk seramik kuartz dan perlombongan dengan anggaran nilai pelaburan bagi fasa satu bernilai RM600 juta dan menjana 1,000 peluang pekerjaan kepada penduduk setempat dalam tempoh lima tahun, " ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan MoU tersebut yang berlangsung di Hotel Paya Bunga, semalam. Pada majlis itu, Permint Granite Sdn Bhd (Permint Granite) yang merupakan anak syarikat PMINT turut memeterai MoU bersama MyMineral Sdn Bhd. untuk membangunkan kuari kuartz juga di Cheneh, Kemaman.  Sementara, Xinda Development Sdn Bhd pula menandatangani 'Letter of Intent' dengan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) untuk bekerjasama dalam penyelidikan dan pembangunan melibatkan perdagangan, pelaburan serta nanoteknologi.  Tengku Hassan berkata, bahan mentah daripada kuari itu akan dibekalkan kepada pengilang di kawasan pembangunan yang dibangunkan oleh Xinda Development Sdn Bhd. Menurut Tengku Hassan, perancangan pembangunan pihak Xinda Development Sdn. Bhd. bagi keseluruhan fasa akan melibatkan nilai pelaburan berjumlah RM2.5 bilion dengan mewujudkan sehingga 3,800 peluang pekerjaan. "Ianya merangkumi perancangan pembangunan kilang finished product factory' dan 'Cheneh High Tech Park' pada masa hadapan yang sekaligus mampu meningkatkan pembangunan kepada kawasan sekitar, " ujarnya.
15 Mar 23
1524