Artikel "Utama" Terkini
'Jangan Jual Makanan, Minuman Sebelum 3 Petang' - MBKT
KUALA TERENGGANU, 21 Mac – Majlis Bandar Raya Kuala Terengganu (MBKT) melarang sebarang perniagaan menjual makanan dan minum sebelum jam 3 petang sepanjang bulan Ramadan ini.
Setiausaha MBKT, Mohd Sukeri Ibrahim berkata ia melibatkan pemilik dan pelanggan beragama Islam.
“Peniaga bukan Islam pula dilarang membenarkan pelanggan yang beragama Islam makan dan minum di premis pemilik bukan Islam pada siang hari.
“Ia bertujuan untuk menghormati kemuliaan bulan Ramadan yang bermula pada Khamis ini,” katanya dalam satu kenyataan media baru-baru ini.
Tambah Mohd Sukeri, sekiranya mana-mana pengusaha, pemilik perniagaan makanan dan minuman yang gagal mematuhi peraturan tersebut mereka akan dikenakan tindakan.
“Adalah melakukan suatu kesalahan di bawah UUK (Establisymen Makanan) MBKT 1991 dan jika disabitkan boleh dikenakan denda tidak melebihi dua ribu ringgit (RM2,000) atau penjara selama tidak lebih satu tahun atau kedua-duanya sekali,” jelasnya.
21 Mar 23
213
PAS 'Cerai' Bersatu Provokasi Lawan Tutup Gelombang PN
KUALA TERENGGANU, 21 Mac - Naib Presiden PAS, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menolak khabar angin yang tersebar di media sosial bahawa parti itu merancang untuk keluar daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kerana beberapa isu mahkamah.
Beliau berkata, desas desus tersebut adalah palsu semata-mata merupakan satu provokasi dan disebarkan oleh pihak yang kurang senang melihat kebangkitan gelombang Perikatan Nasional (PN) sejak Pilihan Raya Umum Ke-15 yang lalu.
"Yang diviralkan itu adalah berita palsu sahaja. Memang tidak ada (meninggalkan Bersatu), saya tidak tahu siapa yang pergi goncang pokok (hingga timbul khabar angin tersebut).
"Sesetengah orang kata kalau tak ada angin, masakan pokok bergoyang, tetapi ini memang tiada angin, cuma ada orang goyang pokok..... Wallahualam siapa lah yang goyang pokok ni," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita di Majlis Sambutan Hari Hutan Antarabangsa 2023 peringkat negeri Terengganu di Dewan Batu Bersurat, Lembaga Muzium Negeri Terengganu, di sini hari ini.
Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil dan Pengarah Perhutanan negeri, Roslan Rani.
Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu berkata hubungan Pas dan Bersatu masih berjalan seperti biasa.
"Malam tadi baru sahaja saya bermesyuarat bersama seluruh kepimpinan PN termasuk pimpinan tertinggi Bersatu dan PAS.
"PAS masih setia dengan Bersatu....tak ada apa-apa yang berlaku (boleh menjejaskan hubungan politik dua parti)," ujarnya lagi.
Jelasnya, perjumpaan semalam menjurus kepada beberapa perkara kearah Pilihan Raya Negeri (PRN).
"Insya-Allah dalam masa terdekat, kita akan duduk untuk bincang mengenai rundingan kerusi pula," katanya.
21 Mar 23
997
Terengganu Capai Sasaran Tanam Satu Juta Pokok
KUALA TERENGGANU, 21 Mac - Kerajaan negeri melalui Jabatan Perhutanan negeri berjaya menanam satu juta pokok di seluruh Terengganu menerusi Program Penghijauan Malaysia melalui Kempen Penanaman 100 Juta Pokok sejak 2021 sehingga kini.
Menteri Besar, Dato Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata pihaknya sentiasa komited menyokong usaha positif untuk mengekalkan khazanah hutan negeri terus kekal dan dipelihara.
"Tahniah dan syabas kepada Jabatan Perhutanan kerana berjaya mencapai melebihi sasaran tanaman bagi tahun 2021 dan 2022.
"Untuk tahun 2023, kita menetapkan sasaran lebih tinggi iaitu 500,000 pokok bakal ditanam di Terengganu dalam setahun," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita di Majlis Sambutan Hari Hutan Antarabangsa 2023 peringkat negeri Terengganu di Dewan Batu Bersurat, Lembaga Muzium Negeri Terengganu, di sini hari ini.
Turut hadir, Setiausaha Kerajaan negeri, Tengku Seri Bijaya Raja dan Pengarah Perhutanan negeri, Roslan Rani.
Sementara itu, Roslan berkata aktiviti penanaman pokok sentiasa menjadi agenda utama sambutan Hari Hutan Antarabangsa setiap tahun.
Tambah beliau, pada kali ini lebih 3,000 pokok telah ditanam di sekitar Muzium Negeri melibatkan lima hektar bermula 18 hingga 20 Mac 2023.
"Antara spesies pokok hutan yang ditanam adalah Merawan Siput Jantan, Chengal, Balau, Keruing, Meranti Sarang Punai, Meranti Tembaga dan Kelat Paya.
"Terdapat juga pokok buah-buahan seperti Manggis, Mata Kucing, Durian Belanda dan Nona," katanya.
21 Mar 23
323
Mohamad Nur Aiman Dinobat Olahragawan Terengganu
KUALA TERENGGANU, 21 Mac- Pelumba Pasukan Terengganu Polygon Cycling Club (TSG), Mohamad Nur Aiman Mohd Zariff dinobatkan sebagai Olahragawan Negeri Terengganu dalam Anugerah Sukan Terengganu (AST) bagi tahun 2021/2022.
Aiman menewaskan saingan dari senarai akhir pencalonan iaitu Muhammad Shahrul Aimy Kamaru Hisham (Gimnastik), Khairul Anuar Mohamad (Memanah), Zulfikri Zulkifli (Berbasikal) dan Muhammad Izzuddin Abdul Rani (Pelayaran) untuk membawa pulang hadiah wang tunai RM7,000, Piala Pusingan dan jaket (blazer) khas serta piala iringan bersama sijil kepujian.
Pelumba berusia 27 tahun itu pernah melakar sejarah menjadi pelumba tempatan pertama meraih jersi merah, Raja Bukit ketika edisi 2020 bersama pasukan Sapura Cycling (TSC) serta meraih pingat emas di Sukan SEA Hanoi, tahun lalu.
Dalam majlis yang berlangsung semalam, penghargaan disampaikan Setiausaha Kerajaan Negeri Tengku Seri Bijaya Raja kepada ibunya, Suzila Rifin berikutan Aiman kini berada di Sepanyol menjalani latihan sebulan bersama TSG.
"Saya memohon maaf kerana tidak dapat hadir.
"Terima kasih kepada kerajaan negeri, Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Majlis Sukan Negara (MSN) dan pihak TSG yang telah memberi ruang kepada saya untuk memenangi anugerah ini, tidak lupa juga kepada keluarga yang banyak menyokong, kejayaan ini juga memberikan saya semangat untuk lebih bermotivasi pada masa akan datang," katanya menerusi rakaman video yang ditayangkan.
Selain Aiman, Anugerah Olahragawati Negeri turut menonjolkan muka baharu apabila dimenangi atlet Karate, Siti Nur Azwani Nor Azli.
Gadis kelahiran Kuala Terengganu itu seakan-akan tidak percaya berjaya mengenepikan saingan Siti Rahmah Mohamed Nasir (Pencak Silat), Nur Aisyah Mohamad Zubir (Berbasikal) dan Azreen Nabila Alias (Olahraga).
"Alhamdulillah rezeki berpihak kepada saya.
"Terima kasih mama, papa, jurulatih dan rakan sepasukan, Insya-Allah dengan apa yang saya dapat hari ini, saya akan lebih bersemangat menggalas tugas demi negara," kata pemenang pingat gangsa Sukan SEA Hanoi itu.
Dalam pada itu, Tengku Seri Bijaya Raja turut mengucapkan tahniah kepada kesemua pemenang AST tahun ini.
"Majlis ini adalah maniefestasi dalam menzahirkan komitmen kerajaan negeri bagi melahirkan pengiktirafan kepada semua atlet dan pemimpin-pemimpin sukan atas jasa mereka menaikkan nama Terengganu di persada sukan tanah air.
"Kerajaan negeri sentiasa menyokong sebarang usaha menjadikan Terengganu sebagai kuasa utama dalam bidang sukan walaupun terpaksa melalui satu proses yang panjang dan memerlukan dana yang besar. Kerajaan negeri melihat sukan sebagai satu bidang penting untuk diberikan keutamaan sewajarnya.
"Sehingga ke hari ini, kerajaan negeri sedaya upaya cuba memenuhi keperluan pembangunan kecemerlangan sukan berprestasi tinggi ini dengan kemampuan yang ada," katanya dalam ucaptama AST di Wisma Darul Iman, semalam.
21 Mar 23
702
Kuala Berang Diiktiraf Antara Lima Bandar Komuniti Bahagia Terbaik
HULU TERENGGANU, 21 Mac - Penduduk daerah ini boleh tersenyum bangga apabila Bandar Kuala Berang diiktiraf antara lima bandar di seluruh negara sebagai ‘Bandar Komuniti Bahagia Tahun 2022’.
Yang Dipertua Majlis Daerah Hulu Terengganu, Lukema Meri Salleh@ Abdul Latif, berkata penilaian itu berdasarkan tiga komponen utama yang dinilai melalui Indeks Kebahagiaan Bandar Malaysia sempena Sambutan Hari Kebahagiaan Sedunia 2022.
Katanya, ia tidak akan dikecapi tanpa kerjasama daripada rakyat dan pihak berkuasa tempatan (PBT) serta agensi berkaitan.
"Syukur kepada Allah SWT kerana anugerah itu adalah komitmen daripada semua, bukan daripada pihak majlis (MDHT) sahaja, sebaliknya komitmen masyarakat juga.
“Setinggi-tinggi tahniah dan syabas diucapkan kepada semua yang terlibat dan semoga kita semua dapat mengekalkan rasa bahagia, sentiasa tenang, berhemah dan terus saling membantu demi daerah tercinta,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman, hari ini.
Katanya lagi, pemilihan ini juga
berlandaskan 14 kriteria Indeks Kebahagiaan yang dilaksanakan melalui Sistem Jaringan Penunjuk Pembangunan Mampan Bandar Luar Bandar Malaysia (MURNInet) oleh Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia).
"Indeks kebahagian merupakan pengukuran umum terhadap tahap kesejahteraan penduduk merangkumi aspek kesihatan dan kesejahteraan mental dan fizikal.
"Antara aspek utama yang menyumbangkan kepada tahap kebahagian adalah berkait rapat dengan tahap dan kualiti perkhidmatan yang diberikan PBT seperti penjagaan kebersihan persekitaran, pengurusan sisa pepejal dan kutipan sampah yang berkesan dan teratur," jelasnya.
Justeru itu, bagi memastikan pengiktirafan itu dikekalkan pada masa hadapan, beliau mengharapkan agar perkhidmatan MDHT dipertingkatkan selain berkolaborasi dengan agensi berkaitan supaya perkhidmatan terbaik diberikan kepada rakyat daerah itu.
21 Mar 23
618
Kakitangan INSTEP Sumbang RM8,000 Bantu Persiapan Murid
KUALA NERUS, 20 Mac - Kakitangan Institut Teknologi Petroleum Petronas (INSTEP) menyumbangkan RM8,000 bagi membantu persiapan murid-murid sempena Program Kembali ke Sekolah 2023.
Ketua Pegawai Eksekutif INSTEP, Idris Ibrahim berkata, sumbangan menerusi Program Kembali ke Sekolah (BTS) 2022 itu merupakan hasil kolaborasi antara Badan Kebajikan Islam PETRONAS (BAKIP) dan Jabatan Komunikasi Strategik INSTEP yang melibatkan lapan buah sekolah rendah di kawasan Batu Rakit, Terengganu.
Katanya, bantuan ini merupakan antara program tanggungjawab sosial korporat (CSR) tahunan INSTEP.
“Sekolah yang terpilih bagi bantuan tersebut ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Pagar Besi, SK Batu Rakit, SK Darat Batu Rakit, SK Maras, SK Pechah Rotan dan SK Bukit Wan, dari daerah Kuala Nerus. Manakala dari daerah Setiu, ialah SK Lembah Bidong dan SK Merang.
“Antara sumbangan tersebut ialah peralatan bantu mengajar untuk kegunaan kakitangan sekolah seperti mesin pencetak, mesin projektor LCD, mesin lamina dan papan putih.
“Selain daripada itu, turut disampaikan peralatan alat tulis untuk kegunaan pelajar serta bahan bacaan untuk perpustakaan sekolah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu dalam satu majlis ringkas, Pengurus Kanan Perundingan Pembelajaran INSTEP, Muhammad Asri Omar menyampaikan sumbangan kepada guru besar lapan sekolah terlibat dalam majlis ringkas di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kuala Nerus.
Turut hadir, Pegawai Pendidikan Daerah Kuala Nerus, Kamarudzaman Daud dan Pegawai Pendidikan Daerah Setiu, Jawahil Abdullah.
Idris juga berharap sumbangan tersebut dapat membantu meringankan beban keluarga dan sekolah dalam menyediakan kelengkapan persekolahan bagi sesi pembelajaran 2023 disamping menyokong agenda kemenjadian murid sempena permulaan sesi persekolahan kali ini.
Tambah beliau, pihaknya juga menyerahkan sumbangan berbentuk peralatan sukan seperti bola sepak dan bola keranjang disamping jersi sukan dan seluar trek sukan lengkap dengan kit pertolongan cemas untuk kegunaan pasukan sekolah.
“Kami berharap supaya sumbangan ini dapat membantu meningkatkan motivasi mereka untuk terus mencipta kecemerlangan di dalam bidang pendidikan dan ko-kurikulum,”katanya.
20 Mar 23
584
Maahad Tahfiz Jalin Kerjasama Strategik Dengan Kolej Komuniti
KUALA TERENGGANU, 20 Mac- Maahad Tahfiz Wal Tarbiyyah Darul Iman hari ini menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama Kolej Komuniti Kuala Terengganu dalam memastikan pelajarnya terus mendapat kemahiran lain untuk menjamin kebolehpasaran apabila tamat pengajian kelak.
Acara menandatangani MoU itu berlangsung pada Majlis Mini Konvokesyen Kursus Tahfiz vokasional 2022 di Dewan Auditorium, Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu sambil disaksikan Pegawai Khas Pengerusi Jawatankuasa Perlaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi Negeri, Abdullah Suhaimi Zakaria.
Maahad Tahfiz Wal Tarbiyah Darul Iman diwakili Mudirnya, Muzaihar Kamal Mustapa Kamal manakala Kolej Komuniti Kuala Terengganu diwakili oleh Pengarahnya, Ts. Ali Mamat.
Sempena majlis mini konvokesyen itu, seramai 52 pelajar maahad tersebut dianugerahkan sijil selepas berjaya menamatkan kursus pendek Program Peningkatan Kemahiran PSH Bermodul dan Bermodul (kredit) dalam bidang pendawaian elektrik dan jahitan pakaian wanita di bawah kelolaan Kolej Komuniti Kuala Terengganu.
Sementara itu, Muzaihar Kamal merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Kolej Komuniti Kuala Terengganu yang menawarkan kerjasama untuk melatih pelajar mereka dengan kemahiran yang diperlukan.
“Diharapkan dengan termeterainya MoU ini, jalinan kerjasama sebelum ini akan berterusan.
“Ini kerana gabungan pendidikan agama dan kemahiran amat penting kerana ia bukan saja memberikan ilmu agama berterusan kepada pelajar tetapi juga ilmu kemahiran yang pastinya mampu dipraktikkan sepanjang hayat.
“Kesinambungan antara bidang tahfiz dan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bukan sahaja dari sudut spiritual diri, malah dari sudut fizikal perlu pengisian bagi memenuhi tuntutan menjadi seorang muslim.
Justeru, gabungan bidang kemahiran dan bidang tahfiz di Kolej Komuniti mampu meluaskan kebolehan kepada pelajar terbabit,” ujarnya.
20 Mar 23
745
Individu Bergejala Disaran Pakai Pelitup Muka Di Masjid, Surau
KUALA TERENGGANU, 20 Mac – Individu yang bergejala seperti demam, batuk dan selsema serta Individu yang berisiko tinggi digalakkan memakai pelitup muka di Masjid dan Surau di negeri ini.
Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), Shaikh Harun Shaikh Ismail berkata, menjunjung titah perintah dan perkenan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin selaku Ketua Agama Islam Negeri Terengganu.
Katanya, selaras dengan ketetapan terkini kerajaan berkaitan kelonggaran Prosedur Operasi Standard (SOP) pencegahan COVID-19.
“MAIDAM melalui Kenyataan Media pada 15 Mei 2020 yang lalu telah menetapkan bahawa pemakaian pelitup muka di masjid dan surau dalam negeri Terengganu adalah diwajibkan dan arahan tersebut masih berkuat kuasa sehingga ke hari ini.
“Walau bagaimanapun, melihat kepada perkembangan semasa kes positif Covid-19 di Negeri ini daripada Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu yang menunjukkan kadar kemasukan pesakit kes Covid-19 ke hospital dan penggunaan wad rawatan rapi (ICU) yang rendah dan semakin berkurangan.
“Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan menzahirkan rasa kesyukuran ke hadrat Allah Subhanahu Wataala atas perkembangan semasa yang semakin baik,” katanya dalam satu kenyataan media pada hari ini.
Tambah Shaikh Harun, selaras dengan perkembangan semasa dan juga dengan Kenyataan Media Menteri Kesihatan Malaysia pada 7 September 2022 berkaitan Semakan Semula Keperluan Pemakaian Pelitup Muka MAIDAM.
Beliau berkata, selepas mendapat pandangan dan nasihat daripada Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu dan Pengarah Majlis Keselamatan Negara, Negeri Terengganu.
"Dengan ini mengambil keputusan dan ketetapan bersetuju menetapkan bahawa semua para jemaah masjid dan surau diberi pilihan untuk memakai pelitup muka," jelasnya.
Walau bagaimanapun, kepada individu yang bergejala dan yang berisiko tinggi pemakaian pelitup muka amat digalakkan.
“Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan menyeru supaya rakyat jelata agar terus menjaga dan meningkatkan kebersihan diri dan juga keluarga lebih-lebih lagi dengan ketibaan Ramadan Al-mubarak nanti.
“Baginda mengucapkan selamat berpuasa kepada semua muslimin dan muslimat dan berdoa semoga semua rakyat jelata sentiasa berada di dalam kerahmatan dan perlindungan Allah Subhanahu Wataala.
“Arahan ini berkuat kuasa mulai 1 Ramadhan 1444H bersamaan 23 Mac 2023M,” ujarnya.
20 Mar 23
317
Terengganu Terima Kunjungan Duta Besar Norway
KUALA TERENGGANU, 20 Mac - Kerajaan Negeri Terengganu hari ini menerima kunjungan Duta Besar Norway ke Malaysia, TYT Morten Paulsen.
Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kedatangan TYT Morten Paulsen bertujuan mewujudkan kerjasama antara dua pihak yang mengembalikan manfaat kepada rakyat.
"Negeri Terengganu ingin mencontohi Norway dalam Pengurusan hasil petroleum dan gas agar lebih terancang.
"Serta mengurangkan kebergantungan syarikat-syarikat berkait Kerajaan (GLC) terhadap Dana daripada Kerajaan pusat semata-mata, " ujarnnya menerusi facebooknya, di sini, hari ini.
"Terima kasih kerana sudi bertandang ke negeri kami, mudah-mudahan Terengganu indah di mata dan hati," ujarnya lagi.
20 Mar 23
317
Ustaz Azhar Idrus Dibenarkan Pulang, Perlu Berehat Sementara
KUALA TERENGGANU, 20 Mac – Pendakwah bebas, Ustaz Azhar Idrus (UAI) telah dibenarkan pulang ke rumah semalam setelah lima hari menjani rawatan di Hopital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini.
Isterinya, Rogayah Sulong, 52 berkata keadaan kesihatan suaminya berada dalam keadaan baik dan sudah beransur pulih.
Katanya, Alhamdulillah, UAI telah dibenarkan pulang dan terima kasih pada pihak HSNZ atas layanan yang baik diberikan.
“Terima kasih juga kepada semua kru Ustaz Azhar Idrus serta kepada semua yang mendoakan kesihatan UAI.
“Semoga UAI cepat sembuh seperti sediakala agar dapat meneruskan dakwahnya seperti biasa,” katanya dalam status yang dimuat naik menerusi akaun Facebooknya malam tadi.
“Khamis lalu, media melaporkan bahawa Ustaz Azhar Idrus dimasukkan ke HSNZ selepas mengadu tidak sihat dan disyaki mengalami masalah kesihatan membabitkan paru-paru dan jantung.
Sepanjang berada di wad, beliau telah dikunjungi beberapa orang pemimpin, antaranya Presiden Pas, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah.
Menurutnya, tahap kesihatan penceramah itu bertambah baik selepas menjalani rawatan di hospital berkenaan.
20 Mar 23
268