lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

JHEAT Bantu Urusan Perkahwinan Masyarakat Pulau Perhentian
JHEAT Bantu Urusan Perkahwinan Masyarakat Pulau Perhentian
KUALA TERENGGANU, 23 Mac – Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) turun padang dengan mengadakan Klinik Khidmat Nasihat Kekeluargaan Islam dan Nikah Cerai Rujuk (NCR) di Pulau Perhentian di sini. Ketua Penolong Pesuruhjaya Kanan (Undang-Undang Keluarga) JHEAT, Moktar Salleh berkata inisiatif turun padang itu diambil kerana mendapat maklumat bahawa masyarakat Pulau agak sukar untuk ke pejabat agama daerah sekiranya ada masalah keluarga dan terdapat kemusykilan berkaitan nikah, cerai dan rujuk. Katanya, mereka lebih gemar bertanya kepada orang sekelililing dan menjadikan mereka sebagai rujukan sedangkan ada antara mereka telah memberikan maklumat yang salah kepada mereka dan mereka berpegang kepada pemahaman yang salah tersebut. “Klinik kaunseling dan khidmat nasihat kekeluargaan Islam ini diadakan bertujuan bagi memberi pemahaman dari segi hukum dan juga undang-undang kekeluargaan sekali gus mengenal pasti masalah yang dihadapi oleh masyarakat tersebut. “Antara masalah yang dikenalpasti adalah ada yang beranggapan bahawa isteri yang melakukan tuntutan cerai tidak dapat buat tuntutan nafkah anak sehinggalah anak membesar tanpa nafkah daripada bapa,” katanya ketika dihubungi oleh Urus Setia Penerangan Darul Iman di sini hari ini. Tambah Moktar, pihak JHEAT juga telah membuka booth khidmat nasihat selama dua hari iaitu pada 19 hingga 20 MAC bermula jam 2.30 petang hingga 5.30 petang. Di samping, aktiviti malam diselitkan dengan kuliah maghrib dan pengisiannya berkaitan kekeluargaan serta isu nikah, cerai dan rujuk berdasarkan hukum dan Enakmen Undang-Undang Keluarga Terengganu. Moktar Salleh berkata JHEAT juga membantu penduduk yang ingin berkahwin melalui isi borang perkahwinan, pendedahan ilmu perkahwinan dan sebagainya. Selain itu, ada juga mereka yang mendapat kefahaman salah mengenai perkahwinan ibu hamil luar nikah adalah tidak sah. "Apabila kefahaman salah ini merebak, maka tertangguh perkahwinan yang perlu disegerakan. "Perkara ini menyebabkan si ibu melahirkan anak tanpa ditemani suami dan seterusnya berlaku pengabaian tanggungjawab terhadap anak kecil yang tidak berdosa.  "Pihak JHEAT berharap masyarakat tidak memulau apabila berlaku kes sebegini," katanya. Begitu juga, pihak keluarga terutamanya wali dapat memberi kerjasama supaya perkahwinan ini dapat disegerakan agar perkara yang lebih utama perlu difikiran iaitu menyelamatkan anak tidak berdosa daripada terhukum sama dalam kes ini," katanya. Beliau berkata, sepanjang program ini diadakan masyarakat Pulau Perhentian memberikan maklum balas dan kerjasama yang baik ditunjukkan oleh mereka. “Antara pengisian yang diadakan adalah Klinik Kaunseling Kekeluargaan Islam, Soal Jawab NCR, menyantuni penduduk Pulau Perhentian Kecil dan Turun Padang ke rumah penduduk dan Klinik Kesihatan. “Program ini anjuran bersama JHEAT dan Pejabat Agama Daerah Besut dan Jawatankuasa dan Keselamatan Kampung Pulau Perhentian Kecil,” ujarnya.            
23 Mar 23
401
Marhaban Ya Ramadan
Marhaban Ya Ramadan
Tetamu istimewa datang lagi, tinggal di rumah kita selama sebulan. Bulan Ramadan adalah sebaik-baik bulan untuk umat Islam menggandakan pahala dan mendapatkan bonus daripada Allah SWT. Ramadan boleh disifatkan sebagai bulan terbaik untuk kita menanam benih amal sebelum kita menuai hasilnya di akhirat kelak, peribahasa Arab ada menyebut : "Kamu menuai apa yang kamu tabur”. Orang yang benar-benar memanfaatkan peluang ini akan beruntung, kerana Allah SWT telah memudahkan segala urusan dan amalan dengan membelenggu syaitan dan iblis daripada mengganggu anak Adam. Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud : “Apabila tibanya Ramadan, dibuka pintu-pintu syurga, ditutup pintu-pintu neraka, diikat syaitan-syaitan” - (al-Bukhari dan Muslim). Hubungan dengan Allah hendaklah dijaga dengan sebaiknya melalui ibadat-ibadat yang telah disyariatkan seumpama melalui memperbanyakkan solat sunat seperti solat tarawih, membaca al-Quran, berzikir, qiamulail serta bersedekah. Selain ibadat, bulan puasa mengajar kita untuk lebih berhemah dalam apa sahaja tindakan kita sama ada percakapan, perbuatan mahupun fikiran kita. Tetapi realitinya ia sukar untuk diterjemahkan. Logiknya belanja kita boleh dikurang tetapi berlaku sebaliknya kerana asakan nafsu yang membuak setiap kali Ramadan. Bahkan terkadang mungkin kita lebih banyak bercakap tentang aib saudara kita di bulan Ramadan tanpa menyedari ia adalah satu tegahan daripada Allah SWT. Jangan sampai setiap kali habis Ramadan dosa kita tidak terampun, nauzubillah. Semoga Ramadan kali ini memberi seribu kebaikan untuk kita semua.   Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili TRDI.  
23 Mar 23
254
Hasil Kebun Warga Majlis Daerah Marang Dikongsi Bersama
Hasil Kebun Warga Majlis Daerah Marang Dikongsi Bersama
MARANG, 23 Mac - Inisiatif pegawai dan kakitangan Majlis Daerah Marang manfaatkan ruang tanah terbiar di jabatan itu bukan sahaja dapat mengindahkan kawasan pejabat malah turut membantu mengawal impak karbon.  Yang Dipertuanya, Zuwislan Awang berkata, pelaksanaan projek menghijaukan kawasan berkenaan secara tidak langsung juga menjimatkan perbelanjaan dapur warga jabatan. “Ketika bertukar ke sini pada Mac 2022, saya lihat ada ‘pocket land’ atau tanah-tanah yang tidak besar ruangnya berpotensi untuk dimajukan dengan pelbagai tanaman yang boleh mendatangkan hasil dan dalam masa yang sama ia merupakan salah satu usaha menjadikan daerah ini sebagai bandar rendah karbon. “Kawasan ‘pocket land’ ini kemudiannya dibahagikan kepada empat zon iaitu laman meranti, tembesu, cengal dan jati. Kita ada Bahagian Landskap yang membekalkan baja dan benih. Pegawai dan kakitangan yang ditugaskan diberi kebebasan untuk menanam apa jua sayur-sayuran dan buah-buahan yang mereka mahu. “Alhamdulillah sejak usahakan setahun lalu, sudah beberapa kali hasil tanaman seperti kangkung, terung, bayam, cili, bendi, kacang panjang, tomato, pudina dan lain-lain dituai dan ada zon yang boleh jual hasil sayur-sayuran yang ditanam dan mendermakan keuntungan yang diperolehi kepada tabung-tabung kebajikan,” ujarnya ketika ditemui di pejabatnya, semalam. Katanya, setiap pagi Khamis, warga jabatan akan manfaatkan waktu tersebut untuk mengindahkan laman masing-masing selain mengutip hasil tanaman untuk dikongsi bersama. Zuwislan berkata, memandangkan kawasan majlis agak terhad beliau berhasrat untuk kembangkan projek tersebut kepada sekolah dan komuniti setempat. “Setakat ini, kita telah mengadakan perbincangan bersama beberapa sekolah, Jawatankuasa Pembangunan Dan Keselamatan Kampung (JPKK) serta Kawasan Rukun Tertangganu (KRT) dan ada yang menunjukkan minat. Insyaallah lepas Aidilfitri kita akan laksanakan,” ujarnya.   
23 Mar 23
588
Jika Harga Sewa Bazar Rendah, Makanan Jadi Murah
Jika Harga Sewa Bazar Rendah, Makanan Jadi Murah
KUALA TERENGGANU, 22 Mac- Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan Sumber Manusia Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna Terengganu, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman menasihati pengusaha-pengusaha bazar Ramadan supaya lebih bertimbang rasa dalam mengenakan harga kepada peniaga yang menyewa tapak perniagaan di bazar sepanjang bulan mulia itu. Ketika ditanya tentang isu berkenaan, beliau menjelaskan ia merupakan bidang kuasa pihak berkuasa tempatan di lokasi terbabit. "Lihat juga kemampuan peniaga-peniaga kita, biarlah 30 hari atau 28 hari, 25 hari yang mereka berniaga dapat pulangan. Jangan fikir janji khemah dan tapak terjual, peniaga dapat pulangan itu bukan urusan kita. "Bagi kerajaan, agak sukar membendung perkara itu sebab ia di luar kawalan kita, kita hanya boleh mencadangkan supaya mereka ingat, jika gerai rendah harga, makanan pun jadi tidak berapa mahal. Itu rantaian yang ada. "Kita cuba buat penyelarasan dan bangkitkan dari masa ke masa supaya ada ruang di peringkat persatuan sebab kadang-kadang bagi PBT, ini masa mereka cari duit cuma apabila bertembung dengan persatuan yang mengutamakan kebajikan ahli, ada antara mereka (peniaga) tidak mampu bersaing atau memenuhi harga semasa," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyerahkan Skim Pembiayaan Khas Bazar Ramadhan (SPBAR) bernilai RM250,000 bagi membantu usahawan-usahawan Terengganu memperkukuh modal untuk berniaga di bazar Ramadan, di pejabat Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU), hari ini. Tambah Nurkhuzaini, terdapat ramai juga peniaga di bazar Ramadan tidak berdaftar dengan persatuan peniaga yang membolehkan mereka memohon bantuan SPBAR. "Di situ, kita perlu ada keharmonian di peringkat PBT, kalau ada berlaku mungkin boleh dilaporkan maklumat dari peringkat awal supaya dapat diharmonikan. "Apabila harga benda ini (tapak dan khemah) terlalu tinggi, kita mencadangkan kepada pengusaha bazar-bazar Ramadan supaya jangan pentingkan keuntungan semata-mata," nasihatnya. Terdahulu, kerajaan negeri melalui YPU menyampaikan SPBAR kepada Yang Dipertua Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Terengganu (PPPKMT), Tuan Chik Tuan Muda Skim pembiayaan segera itu bakal diagihkan Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Terengganu (PPPKMT) kepada 124 penjaja dan peniaga kecil yang membuka perniagaan di bazar Ramadan seluruh negeri berkenaan.    
22 Mar 23
449
YPU Salur RM250,000 Bantu Peniaga Bazar Ramadan
YPU Salur RM250,000 Bantu Peniaga Bazar Ramadan
KUALA TERENGGANU, 22 Mac- Kerajaan negeri melalui Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) menyampaikan Skim Pembiayaan Khas Bazar Ramadhan (SPBAR) bernilai RM250,000 bagi meneruskan agenda meringankan beban usahawan-usahawan Terengganu untuk membuka perniagaan di bulan Ramadan. Skim pembiayaan segera itu bakal diagihkan Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Terengganu (PPPKMT) kepada 124 penjaja dan peniaga kecil yang membuka perniagaan di bazar Ramadan seluruh negeri berkenaan. Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan Sumber Manusia Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna Terengganu, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, skim yang dilaksanakan sejak empat tahun lalu telah banyak membantu usahawan kecil di negeri itu. "Hampir setiap tahun kita sediakan (dana pembiayaan) untuk membantu usahawan-usahawan kecil kita menyertai bazar-bazar Ramadan, bagi mereka mendapatkan wang menyediakan bahan mentah dan peralatan. "Pada peringkat awal (tahun 2020) kita bagi RM150,000, kemudian apabila permintaan tinggi kita naikkan kepada RM200,000 (2021) dan kini, kita naikkan kepada RM250,000 dengan melantik persatuan menjadi 'vehicle' kita. "Seorang penerima kita beri antara RM1,000 hingga 3,000 mengikut permohonan dan keperluan mereka," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyerahkan SPBAR kepada Yang Dipertua Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Terengganu (PPPKMT), Tuan Chik Tuan Muda di pejabat YPU, hari ini. Hadir sama, timbalannya; Hilmi Harun serta Ketua Pegawai Eksekutif YPU; Mohd Rashdan Muda. Tambahnya, meskipun masih terdapat kelewatan dalam pembayaran balik SPBAR, pihaknya bersetuju meneruskan skim tersebut dengan syarat sedia ada. Nurkhuzaini menjelaskan, terdapat kelewatan bayaran daripada hanya 10 peratus peminjam berbanding 90 peratus yang telah menyelesaikan SPBAR. "Kita masih lagi memberi kepercayaan kepada persatuan untuk mendapatkan balik pembiayaan yang diberikan," katanya yang berharap SPBAR dapat digunakan sebaik-baiknya.
22 Mar 23
210
141 Imam dan Bilal Terima Bantuan 'One-Off' RM28,200
141 Imam dan Bilal Terima Bantuan 'One-Off' RM28,200
KUALA TERENGGANU, 22 Mac - Kerajaan negeri hari ini menyerahkan bantuan 'one-off' bernilai RM28,200 kepada 141 imam dan bilal di negeri ini. Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, inisiatif di bawah skim mubaligh itu dilaksanakan bagi menghargai jasa 80 imam dan 61 bilal. "Sebagai tanda penghargaan kerajaan negeri terhadap imam dan bilal di negeri Terengganu, kerajaan negeri telah meluluskan bayaran bantuan 'one-off' ini, masing-masing menerima sebanyak RM200 seorang. "Saya berharap agar imam dan bilal akan terus berperanan menjadi institusi majid depan penuh beramanah menggalas tanggung jawab yang telah diamanahkan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) supaya peranan institusi ini dapat dijalankan dengan sebaik-baiknya sebagaimana yang ditunjukkan oleh Rasulullah," ujarnya. Beliau berkata demikian, ketika berucap pada majlis penyerahan bantuan tersebut, di Perkarangan U2, Wisma Darul Iman (WDI), di sini, hari ini. Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Tengku Seri Bijaya Raja dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah. Dalam pada itu, Ahmad Samsuri mengharapkan agar para imam dan bilal dapat berperanan dengan lebih baik pada Ramadan pada tahun ini dengan memandu masyarakat mengimarahkan masjid. Ketika ditanya mengenai masjid atau surau yang ingin menggunakan imam dari luar negara,beliau berkata kerajaan negeri tidak menghalang namun pihaknya menyerahkan sepenuhnya perkara tersebut kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) untuk memutuskannya. "Kena tanya MAIDAM ada atau tidak permohonan (menggunakan imam luar negara) sebab tidak diuruskan oleh pihak kerajaan negeri secara terus ia bergantung kepada tapisan yang dibuat oleh agensi terbabit," ujarnya.  
22 Mar 23
937
PN Tak Bermusuh Dengan Pejuang
PN Tak Bermusuh Dengan Pejuang
KUALA TERENGGANU, 22 Mac - Keputusan Mesyuarat Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN) menolak permohonan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) untuk menyertai gabungan itu tidak bermaksud mereka bermusuh. Naib Presiden PAS, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pihaknya mempunyai alasan tertentu apabila membuat tindakan tersebut. "Saya tidak mahu sebut sebab-sebanya itu, kerana ia akan menyentuh parti-parti lain, tetapi sudah tentu ada hujan-hujah tertentu kenapa tidak diterima. "Bukan bermakna (kita) hendak bergaduh atau berseteru dengan parti-parti ini tetapi sebab-sebab yang berkait dengan (strategi) pilihan raya dan sebagainya," ujarnya. Beliau berkata demikian pada sidang medianya selepas Majlis Penyerahan Bantuan One-Off  kepada 141 imam dan bilal di negeri ini, di bawah Skim Mubaligh, di Perkarangan U2, di Wisma Darul Iman (WDI), hari ini. Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Seri Bijaya Raja dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah. Mengulas lanjut Ahmad Samsuri berkata, keputusan itu juga tidak bermakna pintu rundingan ditutup sampai bila-bila, sebaliknya perbincangan di masa akan datang boleh dipertimbangkan kembali. "Saya rasa lebih baik bertanya kepada Setiausaha Agung PN (Datuk Seri Hamzah Zainuddin) untuk memberikan jawapan yang lebih baik (kenapa menolak Pejuang). "Kita (buat keputusan) bersama dalam mesyuarat, tidak membuat kenyataan yang berbeza di luar mesyuarat melibatkan seluruh kepimpinan PN,"ujarnya lagi.
22 Mar 23
309
Bayaran DKKP : Terengganu Pegang Janji PM
Bayaran DKKP : Terengganu Pegang Janji PM
KUALA TERENGGANU, 22 Mac - Kerajaan negeri berpegang kepada janji Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim bahawa Dana Khas Kerajaan Persekutuan (DKKP) akan dibayar seperti biasa dan optimis diberi sebelum berakhir Mac. Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, janji telah dimeterai hasil pertemuan antara beliau dan Anwar sebelum ini. "Dalam proses, Mac tidak berakhir lagi, jadi kita sama-sama berdoa supaya tiada apa-apa masalah. Mungkin malam ini (terima), mungkin esok, masih belum diketahui. "Tengok saya senyum sahaja, sebagaimana biasa kita berharap (akan) dapat sebagaimana keputusan yang telah dibuat dan (perkara ini) telah disebut dalam buku bajet," ujarnya. Beliau berkata demikian pada sidang medianya selepas Majlis Penyerahan Bantuan One-Off Kepada Imam dan Bilal di Bawah Skim Mubaligh, di Perkarangan U2, di Wisma Darul Iman (WDI), di sini, hari ini. Turut hadir Setiausaha Kerajaan negeri, Tengku Seri Bijaya Raja dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah. Mengulas mengenai bantuan imam dan bilal menerusi Skim Mubaligh itu, beliau berkata seramai 141 orang individu telah menerimanya. "Melalui peruntukan sebanyak RM28,200 setiap orang menerima RM200," ujarnya.
22 Mar 23
616
Bicara Petisyen PRU15 Parlimen Marang Bersambung 17 April
Bicara Petisyen PRU15 Parlimen Marang Bersambung 17 April
KUALA TERENGGANU, 21 Mac - Perbicaraan kes petisyen Pilihan Raya Umum ke15 (PRU-15) membabitkan Parlimen Marang akan bersambung semula pada 17 April nanti. Peguam responden, Mohd Faizi Che Abu menyatakan bahawa proses mendengar keterangan daripada semua saksi telah selesai sepenuhnya hari ini. Peguam Responden, Mohd Faizi Che Abu yang baru keluar dari bangunan Kompleks Mahkamah Kuala Terengganu. "Hari ini tutup kes bagi keterangan saksi, maksudnya semua pihak responden dan pempetisyen telah pun selesai panggil saksi. "Mahkamah akan tetapkan satu keputusan kes iaitu 17 April 2023, sebelum mahkamah memberikan peluang kepada para peguam untuk berhujah," katanya ketika ditemui media di Kompleks Mahkamah Kuala Terengganu di sini. Menurut beliau, pada tarikh tersebut pengurusan kes ingin melihat nota keterangan bagi tujuan untuk melengkapkan perbicaraan. Faizi turut menjelaskan bahawa sebelum ini tiga saksi melibatkan wakil rakyat telah dipanggil. "Sulaiman Sulong (ADUN Pengkalan Berangan), Ariffin Deraman (ADUN Alur Limbat) dan Mohd Nor Hamzah (ADUN Bukit Payung), ketiga-tiga mereka telah dilepaskan oleh mahkamah. "Selepas ini sudah tidak ada lagi perbicaraan saksi, hanya berhujah sahaja," jelasnya. Pada Januari lalu, Umno Terengganu memfailkan petisyen untuk membatalkan keputusan PRU-15 bagi Parlimen Kuala Terengganu, Marang dan Kemaman
21 Mar 23
635
Menara MOCN Pertama Malaysia Beroperasi di Alur Limbat
Menara MOCN Pertama Malaysia Beroperasi di Alur Limbat
MARANG, 21 Mac – Menara JENDELA Celcom di Malaysia yang pertama beroperasi secara ‘Multi Operator Core Network’ (MOCN) kini beroperasi sepenuhnya bagi manfaat penduduk sekitar Alur Limbat. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman merakamkan penghargaan buat pihak yang terlibat sehingga merangkul pengiktirafan antarabangsa baru-baru ini. “Menara JENDELA yang kita saksikan ini mula beroperasi sejak 11 januari lagi dan telah selesaikan aduan masalah capaianinternet dengan memberikan servis liputan komunikasi 4G kepada lebih 1,000 penduduk. “Ini juga membuktikan bahawa Kerajaan Negeri sentiasa komited dalam memberikan kerjasama dengan Kerajaan persekutuan dalam memastikan kelancaran projek yang mampu memberi manfaat kepada rakyat negeri ini,” katanya. Beliau berkata demikian ketika mengadakan Lawatan ke Menara JENDELA bawah seliaan Suruhanjaya Komunikasi dan multimedia Malaysia (SKMM) di Kampung Padang Limau Nipis, Marang di sini hari ini. Ariffin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alur Limbat turut berkata, kerajaan sentiasa mengenal pasti aduan-aduan yang diterima rakyat bagi mengatasi masalah ini. “Penyelesaian yang kita sedang usahakan adalah liputan 4G bagi kawasan berpenduduk terutamanya di sekitar pedalaman. “Walau bagaimanapun, kita akan merujuk kajian yang dibuat oleh pihak SKMM bagi pembinaan Menara termasuklah di kawasan pelancongan,” tambahnya. Inisiatif JENDELA yang bermula sejak 2020 di bawah kerajaan Perikatan Nasional (PN) menyasarkan sebanyak 65 buah menara komunikasi bakal dibina di Terengganu sehingga Julai 2023. Sehingga kini, capaian komunikasi di negeri ini telah mencapai sekitar 97.4 peratus berbanding 96 peratus sebelum ini.  
21 Mar 23
486