Artikel "Utama" Terkini
Prihatin Ramadan Bersama MB Kukuh Hubungan Rakyat, Pemimpin
KUALA TERENGGANU, 28 Mac - Program Prihatin Ramadan Bersama MB Terengganu yang bermula esok bakal mengukuhkan hubungan antara rakyat dan pemimpin.
Masjid Sentul Patah, Marang dipilih menjadi tuan rumah sebagai permulaan sebelum ia diteruskan di semua daerah sepanjang bulan puasa.
Difahamkan program terbabit bermula sekitar jam 5 petang dengan aktiviti ziarah serta sumbangan di beberapa rumah keluarga terpilih.
Program berkenaan seterusnya disambung di masjid, Menteri Besar (MB), Dato'Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar akan mengagihkan sumbangan khas Ramadan sebelum berbuka puasa bersama rakyat setempat.
Program berkenaan dilaksanakam bertujuan untuk mengimarahkan bulan Ramadan dan mendekati golongan asnaf serta yang kurang berkemampuan
Di samping mengajak rakyat negeri ini khususnya rakyat setempat untuk berbuka puasa bersama-sama, mengerjakan solat Maghrib dan Isyak berjemaah serta solat tarawih selain turut dijangka akan diadakan tazkirah sebagai pengisian rohani.
28 Mar 23
300
Harga Makanan Mahal, Kuasa Memilih di Tangan Pembeli
KUALA TERENGGANU, 28 Mac - Sejak awal Ramadan, ramai orang mengeluh harga makanan dan minuman di bazar-bazar Ramadan seolah-olah ‘cekik darah’ kerana semakin mahal.
Ramai juga berkongsi rasa tidak puas hati di media sosial dengan mendakwa makanan dijual pada harga tidak masuk akal.
Bukan itu sahaja, sikap penjaja menjual makanan yang saiz dan kualitinya tidak sepadan dengan harga, malah ada yang telah rosak, juga hangat diperkatakan.
Hasil tinjauan juga mendapati makanan serta minuman yang dijual di bazar Ramadan di beberapa daerah di sini mengalami peningkatan harga berbanding tahun lalu dipercayai berikutan kenaikan kos bahan mentah.
Seorang peniaga kuih muih di bazar Ramadan Gong Badak, Ros Abdullah, 56, berkata, jika tidak menaikkan harga jualan maka mereka tidak dapat menampung modal berniaga yang dikeluarkan.
Katanya, kualiti dan kuantiti makanan yang dijual akan dikekalkan tetapi harga mungkin dinaikkan pada kadar 50 sen ke 80 sen bagi setiap jualan.
Namun katanya, kadar kenaikan harga makanan bagaimanapun tidak melampau batas dan mampu dibeli pengunjung.
"Tahun ini kami terpaksa menaikkan harga sedikit kerana kos bahan mentah di pasaran seperti gula, gandum, telur dan barang-barang lain meningkat.
“Tetapi tak sampai hati nak naikkan harga sehingga pembeli terbeban.. jadi Kak Ros cuma naikkan antara 50 sen sehingga RM1 bagi setiap bekas kuih,” katanya yang sudah berniaga hampir 15 tahun.
Bagi Mohd Shahidan Shaari, 35, berkata dia terpaksa menaikkan harga sedikit kerana kos bahan mentah di pasaran seperti telur ayam, bawang, kelapa, ayam dan daging yang melambung.
“Tahun lepas sebungkus Nasi Minyak berlaukkan ayam dijual RM5 sebungkus tetapi tahun ini terpaksa jual RM6 manakala Nasi Beriani dari RM7 kepada RM8 satu bekas dengan kadar kenaikkan RM1 sahaja.
“Kita sebagai peniaga pun tidak boleh jual terlalu mahal kerana keadaan ekonomi juga masih belum pulih, kasihan kepada pembeli.
“Harap kerajaan turun pantau dan bantu kami. Dari dulu lagi bila masuk bulan puasa memang pembekal naik harga, jadi kami pun terpaksa jual mahal dan untung pun sedikit bila pembeli berkurangan,” katanya.
Sementara itu, rata-rata peniaga yang ditemui berkata kawalan harga dan stok bahan mentah merupakan perkara paling utama yang perlu diberikan perhatian oleh kerajaan jika mahu memastikan peniaga tidak menaikkan harga jualan di bazar Ramadan.
28 Mar 23
370
366 Penguatkuasa JKNT Pantau 61 Lokasi Bazar Ramadan
KUALA NERUS, 27 Mac - Sebanyak 106 pasukan terdiri daripada 366 anggota penguat kuasa telah digerakkan bagi pemantauan dan penguatkuasaan di semua bazar Ramadan sepanjang Ramadan kali ini.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT), Dato Dr Kasemani Embong berkata kesemuanya akan memantau 7,914 pengendali makanan di 3,941 petak niaga di 61 lokasi di lapan daerah yang berdaftar dengan pihak berkuasa tempatan (PBT).
Katanya, terdahulu hasil pemeriksaan 53 tapak bazar Ramadan di seluruh negeri sejak Khamis, tujuh kompaun telah dikeluarkan.
"Kesemua kompaun bernilai RM1,100 itu dikeluarkan di Dungun membabitkan menggaji pengendali tiada latihan dan suntikan anti tifoid, pengendali makanan tiada suntikan dan tiada latihan pengendali makanan.
“Kita harap semua peniaga dapat mematuhi peraturan ditetapkan dan memastikan setiap makanan yang sampai kepada pengguna memenuhi keperluan keselamatan makanan di setiap peringkat rantaian termasuk penyediaan dan pemprosesannya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas pelancaran Ops Keselamatan Makanan Sempena Ramadan 1444H/2023M Peringkat Negeri Terengganu di Bazar Ramadan Gong Badak di sini semalam.
Dr Kasemani juga berkata, pihaknya juga akan menjalankan pemeriksaan di pasaraya, kedai runcit dan lain-lain pembekal bahan mentah bagi memastikan bahan mentah yang dibekalkan adalah bersih serta selamat sebelum sampai ke tangan pengguna.
Sementara itu, beliau memaklumkan JKNT turut mewujudkan dua jenis kod imbasan QR bagi tujuan hebahan informasi keselamatan makanan serta bagi mengumpul maklum balas tentang tahap kebersihan premis makanan sepanjang bulan Ramadan.
"Orang ramai boleh mengimbas QR kod di bunting-bunting yang terdapat di bazar Ramadan atau laman facebook JKNT untuk menyalurkan maklumat tersebut bagi meningkatkan mutu kerja dan perkhidmatan kami,"katanya lagi.
Dr Kasemani turut menyeru pengguna agar sentiasa amalkan konsep lihat, hidu dan rasa supaya risiko keracunan makanan dapat dielak termasuk memilih gerai yang bersih dan pengendali makanan yang beretika.
27 Mar 23
259
Dana RM1.3 Juta Diagih Kepada Rakyat Turkiye, Syria
KUALA TERENGGANU, 27 Mac - Kutipan dana RM 1.3 juta bagi misi kemanusiaan gempa bumi Terengganu For Turkiye telah berjaya diserahkan kepada mangsa gempa bumi di Turkiye dan Utara Syria baru-baru ini.
Delegasi kerajaan negeri yang diketuai oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), Wan Sukairi Wan Abdullah mengagihkan bantuan itu di dua tempat yang teruk ditimpa musibah itu iaitu di Kaharamanmaras, Gaziantep dan Atakya, Hatay.
Wan Sukairi berkata, delegasi kerajaan negeri telah berada di Turkiye selama lima hari empat malam bagi misi berkenaan.
"Antara program yang kami berjaya laksanakan ialah penyerahan lapan buah kontena bagi kegunaan pelajar Maahad Tahfiz di Durdu Tansel Taziye Evi dan juga untuk penduduk kehilangan rumah.
"Kontena yang berjumlah RM32,000 setiap sebuah ini dilengkapi dengan ruang tandas dan bilik tidur serta dapur yang memberi keselesaan buat penghuni untuk menjalani kehidupan harian," katanya kepada UPDI ketika dihubungi.
Turut bersama dalam misi keempat tersebut ialah Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat, ADUN Wanita, Zuraida Md Noor, Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Islam Terengganu, M.Rozi Bidin dan Pengarah Urus Setia Penerangan Darul Iman, Mohd Soud Said.
Menurut Wan Sukairi lagi, bantuan lain yang turut disampaikan adalah pek makanan Ramadan kepada 1,000 orang penerima masing-masing di Karahamanmaras dan Utara Syria.
"Pek makanan Ramadan ini adalah buat penduduk yang terjejas bagi mendapatkan makananan sepanjang bulan Ramadan ini yang setiap pek mengandungi 16 jenis makanan asasi.
"Bantuan lain yang turut dihulurkan ialah sumbangan makananan harian lebih kepada 5,000 orang mangsa gempa bumi di penempatan sementara.
"Kami juga turut menyumbang untuk pemberian makanan harian sebanyak dua kali sehari iaitu makan tengah hari dan makan malam. Di setiap penempatan ini diuruskan masakannya oleh pihak Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang telah diselaraskan. Kami cuma membantu dari sudut kewangan bagi menampung perbelanjaan untuk pembelian bahan mentah ," ujarnya.
Ketika ditanya adakah delegasi kerajaan negeri berpuas hati sepanjang misi kemanusiaan ini berlangsung, beliau amat berpuas hati dan berkata segalanya telah berjalan dengan begitu lancar.
"Saya juga mengambil ruang untuk mengucapkan kepada Badan Bukan Kerajaan (NGO) di sana iaitu International Youth Forum yang diwakili oleh saudara Yilmaz yang telah menjadi koordinator dan rakan kolobrasi kami.
"Merekalah yang menyusun atur dan menjadi pihak pemudahcara untuk menyalurkan sumbangan kepada mangsa gempa bumi ini.
Di samping itu, Wan Sukairi berkata, beliau amat berterima kasih dan terharu dengan kebersamaan rakyat Terengganu yang menyumbang bagi dana Terengganu For Turkiye ini yang berjaya meraih sumbangan RM1.3 juta meskipun tidak lebih dalam tempoh sebulan.
27 Mar 23
146
Bekalan Telur Terengganu Alami Penurunan
KUALA TERENGGANU, 27 Mac – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Terengganu memaklumkan bahawa bekalan telur di negeri ini mengalami penurunan sehingga 33 peratus pada bulan Ramadan.
Pengarahnya, Saharuddin Mohd Kia berkata keperluan bekalan harian yang diterima pada bulan puasa ini sekitar 400,000 biji sahaja berbanding 600,000 sebelum ini.
Katanya, sedangkan keperluan telur ayam rakyat Terengganu adalah sebanyak satu juta biji sehari.
“Maklum balas yang diterima daripada pihak pemborong telur ayam menyatakan faktor utama berlakunya penurunan mendadak ini adalah kerana kekurangan bekalan diterima daripada pembekal iaitu pengusaha ladang.
“Kekurangan bekalan ini adalah disebabkan permintaan telur ayam yang semakin meningkat pada bulan Ramadan dan pihak ladang lebih mengutamakan pasaran setempat,” katanya dalam satu kenyataan media semalam.
Tambah Saharuddin, pembelian melebihi kadar biasa oleh pengguna, pengusaha pada bulan puasa ini menyebabkan premis-premis tertentu kehabisan bekalan telur ayam lebih awal sebelum bekalan seterusnya diperolehi sebagaimana yang dijadualkan.
Walau bagaimanapun, hasil pemeriksaan yang dijalankan pada hari ini mendapati daripada 13 pemborong telur ayam hanya satu pemborong sahaja yang kehabisan bekalan manakala daripada 39 peruncit terpilih.
"Hanya satu peruncit sahaja yang kehabisan bekalan malah premis berkenaan sudah membuat tempahan dan peladang/pemborong akan membuat edaran dalam masa terdekat," jelasnya.
Sementara itu, KPDN Terengganu memerlukan kerjasama daripada pengguna untuk membuat pembelian secara berhemah.
"KPDN ingin memberi peringatan kepada peniaga supaya tidak mengambil kesempatan atas situasi ini dengan menjadikan alasan menaikkan harga," ujarnya.
27 Mar 23
161
Terengganu Penyumbang Terbesar Dana Turkiye dan Syria
KUALA LUMPUR, 26 Mac – Terengganu muncul sebagai negeri penyumbang terbesar bagi dana bantuan kemanusiaan menerusi Aid For Turkiye & Syria di bawah PASRelief.
Sebanyak RM1.37 juta telah berjaya dikumpulkan hasil sumbangan kerajaan negeri, Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu dan Menteri Besar Incorperated.
Nilai tersebut melebihi separuh daripada jumlah keseluruhan yang terkumpul RM2.5 juta bagi membantu mangsa gempa bumi di Turkiye dan Syria.
Dalam program Majlis Iftar Kutipan Dana Bantuan untuk mangsa gempa bumi Turkiye dan Syria di Hotel Grand Barakah semalam, replika cek sumbangan bernilai RM500 ribu daripada Kerajaan Negeri Terengganu telah diserahkan Setiausaha Politik Menteri Besar, Muhyiddin Rashid.
Sementara itu, sebanyak RM40 ribu lagi diserahkan Pengerusi Menteri Besar Incorperated, Mazli Zakuan Mohd Noor dan RM700 ribu pula diserahkan Pesuruhjaya PAS Negeri Terengganu, Senator Dato' Ustaz Husain Awang.
Untuk rekod, lebih separuh daripada jumlah kutipan keseluruhan sudah diagihkan kepada penduduk Turkiye dan Syria yang dilakukan pada awal bulan ini menerusi rombongan Exco kerajaan Terenganu.
Sumbangan tersebut digunakan untuk membantu mangsa gempa bumi dalam menyediakan kontena rumah sementara, makanan dan keperluan harian.
Sebelum ini juga sebanyak RM1.2 juta telah diagihkan oleh Aid For Turkiye & Syria untuk pelbagai bantuan seperti pek makanan, pakaian, khemah, duit saraan hidup dan kontena rumah sementara.
26 Mar 23
493
Terengganu Inc Sumbang RM150,000 Keperluan Ramadan
KUALA TERENGGANU, 24 Mac - Syarikat pelaburan induk strategik Kerajaan Negeri Terengganu, Terengganu Inc memperuntukan dana sehingga RM150,000 sempena bulan Ramadan ini.
Presiden dan Pengarah Eksekutif Terengganu Inc, Burhanuddin Hilmi Mohamed @ Harun berkata pihaknya meneruskan komitmen dengan menjalankan pelbagai inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) melalui program lebih berimpak positif dan bermakna kepada golongan sasar.
Katanya, pelbagai pengisian kebajikan sepanjang bulan puasa ini termasuk agihan bubur lambuk, Jejak Ramadhan yang melibatkan program bakul makanan dan pelbagai lagi pengisian.
"Program tradisi syarikat sejak 2017 iaitu pengagihan bubur lambuk di Masjid Abidin (Masjid Negeri) yang berjumlah sebanyak 3,000 bekas untuk diberikan kepada komuniti setempat bermula dari 1 Ramadhan 1444H.
“Kakitangan Kumpulan Terengganu Inc akan terlibat sekali menyumbangkan bubur lambuk selama tiga (3) hari bermula pada 23, 26 dan 27 Mac 2023," katanya dalam satu kenyataan media baru-baru ini.
Tambah Burhanuddin, program CSR di bawah nama Jejak Ramadan’ juga akan dilaksanakan bagi membantu golongan kurang berkemampuan.
“Justeru, Terengganu Inc akan mencari dan membantu 30 buah keluarga kurang berkemampuan yang memerlukan perhatian dan bantuan, dengan kerjasama pemimpin setempat.
"Program bakul makanan, sedekah wang tunai serta program gotong-royong iftar tidak hanya memberikan bantuan fizikal kepada warga asnaf tetapi juga memberi semangat kebersamaan dan rasa kasih sayang di antara masyarakat setempat.
“Inisiatif ‘Jejak Ramadhan’ menggalakkan kami untuk mengambil peluang di bulan yang penuh berkat ini untuk melakukan amal jariah sebanyak yang mungkin, termasuk meningkatkan usaha amal," katanya.
Di samping, Tabung Jejak Ramadan juga akan dibuka bagi mengumpulkan sumbangan daripada kakitangan Terengganu Inc bermula dari awal Ramadhan hingga akhir bulan.
“Dalam menyokong agenda negeri, Terengganu Inc juga akan berkolaborasi bersama Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah untuk Pembangunan Surau Sementara Al-Hidayah di Muara Utara Kuala Terengganu City Centre (KTCC),” jelasnya.
Sementara itu, kewujudan prasarana di kawasan tumpuan operasi ‘foodtruck’ ini dapat menyediakan kemudahan dan keselesaan yang diperlukan untuk memudahkan akses kepada umat Islam, terutamanya di kawasan tumpuan seperti berdekatan dengan jambatan angkat ikonik tersebut.
“Terengganu Inc amat mementingkan usaha kebajikan dengan tujuan untuk membantu masyarakat tempatan dan golongan kurang bernasib baik, sekaligus menjalin hubungan baik dengan pihak-pihak berkepentingan,” ujarnya.
24 Mar 23
466
Awas Geng Plastik Hitam, Anda Diperhatikan
KUALA TERENGGANU, 24 Mac- 'Geng plastik hitam' yang tidak berpuasa kini dalam 'radar' Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), di sepanjang Ramadan ini.
Ketua Penolong Pesuruhjaya Bahagian Penguatkuasaan JHEAT, Khairul Azizi Idris berkata, rondaan berkala oleh anggota penguat kuasa akan terus diperhebatkan dari masa ke masa untuk memastikan tiada pelanggaran dilakukan oleh umat Islam.
"Hasil pemantauan yang dilakukan tahun-tahun sebelum ini, golongan yang tidak berpuasa itu akan membeli makanan dari kedai-kedai atau warung yang menjual makanan pada waktu tengahari.
"Antara alasan yang sering diberikan oleh 'geng plastik hitam' adalah membeli makanan untuk anak kecil dan isteri yang uzur, penat kerana bekerja berat dan sedang sakit pada Ramadan tahun lepas," katanya ketika dihubungi pemberita.
Justeru itu katanya, Bahagian Penguatkuasaan JHEAT dan Unit Penguatkuasaan Syariah daerah akan menggandakan rondaan dan pemantauan di lokasi-lokasi yang telah dikenalpasti menjadi tempat melepak untuk geng plastik hitam ini.
"Kebanyakan mereka memilih untuk makan di tempat yang sunyi dan tersorok dari orang ramai bagi mengelakkan perbuatan itu terbongkar.
"Antara lokasi panas pilihan geng plastik hitam seperti di tempat perkelahan, kawasan perindustrian, tapak pembinaan dan tempat rekreasi yang terpencil," katanya.
Individu yang ditangkap kerana makan dan minum termasuk merokok secara terbuka di tempat awam pada bulan Ramadan boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 19 (a) dan (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Takzir 2001.
Tambah Khairul, pihaknya
akan memantau penjualan makanan kepada mereka yang tidak berpuasa terutama di kawasan terbuka.
"Umat Islam yang didapati melakukan kesalahan itu boleh dikenakan denda tidak melebihi RM2,000 atau dipenjara tidak lebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.
Dalam masa yang sama, pemantauan juga akan dibuat sekiranya geng plastik hitam menggunakan aplikasi media sosial untuk membuat tempahan makanan.
"Mungkin mereka beranggapan cara itu lebih selamat dengan menggunakan anak kecil dan wanita yang uzur sebagai alasan munasabah," ujarnya.
Menurutnya lagi, Bahagian Penguatkuasaan JHEAT komited menjalankan pemantauan berterusan dan menyiasat aduan berkaitan sekiranya ada bagi memastikan kesucian Ramadan terpelihara.
24 Mar 23
487
ADUN Batu Buruk Agih 7,000 Kotak Kurma
KUALA TERENGGANU, 23 Mac – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk mengagihkan 7000 kotak kurma beserta takwim berbuka puasa, semalam.
Agihan tersebut telah dilakukan melalui 36 buah Jawatankuasa Pembangunan Dan Keselamatan Kampung (JPKK) dalam DUN itu.
Menurut ADUN Batu Buruk, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi, agihan kurma ini merupakan program tahunan sebagai persiapan untuk menyambut ketibaan Bulan Ramadan.
“Setiap tahun kita akan agihkan kurma kepada warga DUN Batu Buruk diikuti dengan program-program kebajikan lain yang telah dirancang sepanjang Bulan Ramadan ini.
“Antara program yang dirancang ialah agihan lauk berbuka puasa, bakul Ramadan, berbuka bersama anak muda, agihan kuih raya dan lain-lain lagi,” kata Dr. Muhammad Khalil ketika ditemui pemberita.
Beliau turut memberikan pesanan agar masyarakat dapat menjaga kesihatan dengan baik sepanjang bulan ini.
“Saya doakan semoga semua diberikan kesihatan yang baik dan dipermudahkan segala urusan dalam menjalani ibadah puasa,” katanya lagi.
23 Mar 23
412
Terengganu Dahului Perkembangan JENDELA
MARANG, 23 Mac – Terengganu menjadi negeri terawal berbanding negeri lain di seluruh negara yang melepasi perkembangan positif inisiatif JENDELA sejak dimulakan pada tahun 2020.
Pengarah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Terengganu, Zahari Ismail berkata, hal itu dibuktikan dengan pengoperasian menara telekomunikasi lebih awal berbanding sasaran awal.
“Daripada 65 buah menara baru bagi inisiatif ini, sebanyak 46 telah kita ‘hand-over’ bagi kerja pengoperasian.
“Garis masa JENDELA terbahagi kepada dua bahagian iatu bahagian satu dan dua. Bagi bahagian satu sasaran kita adalah pada Oktober 2022 bagi menyiapkan Menara itu.Bagi bahagian dua pula adalah menyediakan peralatan bagi operasi dalam Julai 2023,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan Lawatan ke Menara JENDELA bawah seliaan MCMC di Kampung Padang Limau Nipis, Marang di sini baru-baru ini.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman
Menara komunikasi tersebut beroperasi secara ‘Multi Operator Core Network’ (MOCN) dengan kerjasama Theta Edge Berhad, CelcomDigi, Terengganu Communications Sdn Bhd (TCOMM) dan Koridor Utiliti Teknologi Terengganu (KUTT).
Sehingga kini, capaian komunikasi di negeri ini telah mencapai sekitar 97.4 peratus berbanding 96 peratus sebelum ini dengan jaminan Kerajaan Negeri sentiasa berusaha mengatasi masalah liputan di seluruh Terengganu.
23 Mar 23
585