lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

MB Agih Bantuan Asnaf, Anak Yatim di Kuala Nerus
MB Agih Bantuan Asnaf, Anak Yatim di Kuala Nerus
KUALA NERUS, 5 April – Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkesempatan memberi sumbangan khas Ramadan kepada 30 asnaf dan anak yatim di daerah ini semalam. Pengerusi Masjid Nur Bakti, Mohamad Sabry Othman berkata sumbangan tersebut bersempena dengan Program Prihatin Ramadan dan majlis berbuka puasa bersama MB yang diadakan di Masjid Nur Bakti. “Program berkenaan dilaksanakan bertujuan untuk mengimarahkan bulan Ramadan sekali gus mendekati golongan asnaf serta yang kurang berkemampuan. “Program yang bermula pada pukul 6 itu diawali dengan baca alunan al-Quran seterusnya sumbangan bantuan khas kepada asnaf dan anak-anak yatim,” jelasnya. Beliau berkata demikian kepada media selepas program berkenaan. Tambah Mohamad Sabry, program tersebut merupakan anjuran bersama Kerajaan Negeri, Pejabat Daerah, Pejabat Agama Daerah Kuala Nerus dan Masjid Nur Bakti. Beliau berkata, matlamat lain program itu diadakan adalah untuk mengajak rakyat negeri ini khususnya rakyat setempat untuk berbuka puasa bersama-sama. "Di samping, dapat mengerjakan solat Maghrib dan Isyak berjemaah serta solat tarawih dan diadakan tazkirah sebagai pengisian rohani," jelasnya.  
05 Apr 23
313
Terengganu Umum Bonus Raya Penjawat Awam RM700
Terengganu Umum Bonus Raya Penjawat Awam RM700
KUALA NERUS, 4 April- Seramai lebih 12,000 orang penjawat awam di negeri Terengganu bakal menerima bonus Aidilfitri sebanyak RM700. Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pemberian bonus raya itu membabitkan peruntukan kira-kira RM9 juta. Katanya, pembayaran itu akan diberikan pada 17 April nanti. “Jumlah tersebut juga meningkat berbanding tahun sebelumnya iaitu sebanyak RM500," jelasnya. Beliau berkata demikian selepas Program Prihatin Ramadhan Daerah Kuala Nerus bertempat di Masjid Nur Bakti, Kampung Wakaf Tembesu di sini semalam. Tambah Ahmad Samsuri, ia adalah penghargaan kepada semua kakitangan kerajaan yang berusaha dan bekerja keras. "Bagi memastikan kedudukan dan ekonomi negeri dalam keadaan baik," katanya. Di samping, beliau juga gembira dan berpuas hati atas pelbagai pencapaian yang diraih oleh kerajaan negeri melalui usaha kakitangan kerajaan negeri.      
05 Apr 23
520
Terengganu FC Belasah Kelantan FC
Terengganu FC Belasah Kelantan FC
KUALA NERUS, 4 April- Terengganu FC mudah membenam Kelantan FC dengan jaringan 5-0 dalam perlawanan Liga Super Malaysia, sebentar tadi. Pada aksi 'derbi Pantai Timur' yang berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), Tomislav Steinbruckner menurunkan Argzim Redzovic bagi mengetuai benteng pasukan menggantikan Sardor Kulmatov yang digantung perlawanan. Seawal minit pertama, tuan rumah beraksi dengan corak serangan pantas mengancam kubu pelawat. Memasuki minit ke-15, Jordan Mintah yang menerima hantaran daripada Syafiq Ismail di luar kotak penalti melakukan rembatan deras menggegar gawang Kelantan FC untuk gol pertama Terengganu FC. Enam minit kemudian, Sang Penyu semakin garang apabila menjarakkan kedudukan dengan gol kedua perlawanan. Kali ini, penyerang kelahiran Thailand, Adisak Kraisorn melakukan rembatan leret dari jarak 20 meter yang menewaskan penjaga gol The Red Warrior, Nik Mohd Amin Ahmad. Tersentak dengan jaringan tersebut, pelawat meningkatkan momentum serangan untuk merapatkan kedudukan. Pada minit ke-24, Nurshamil Abd Ghani mendapat peluang untuk menjaringkan gol pertama pasukannya, tetapi sepakannya melambung tinggi. Kedudukan kekal 2-0 pada separuh masa pertama. Memasuki babak kedua, Terengganu FC memulakan pesta gol apabila Ivan Mamut dijatuhkan Muhammad Afiq Azuan dalam kotak penalti pada minit ke-64. Seminit kemudian, penyerang kelahiran Croatia itu mencetak gol pertama peribadinya musim ini setelah menyempurnakan penalti untuk gol ketiga Sang Penyu. Kelantan FC cuba bangkit untuk mencipta jaringan dengan serangan demi serangan ke gawang tuan rumah, namun tidak berhasil. Sebaliknya, pada minit-minit akhir perlawanan, Ivan yang menerima umpanan Hakimi Abdullah berjaya meledak gol keempat perlawanan. Seminit kemudian, serangan balas Terengganu FC disempurnakan Hakimi untuk tuan rumah selesa dengan keputusan 5-0. Terengganu FC kini mengumpul 10 mata daripada tujuh perlawanan dan kekal di tangga keenam Liga Super Malaysia 2023.  
04 Apr 23
533
Pejabat SUK Terengganu Lancar Polisi Keselamatan Siber
Pejabat SUK Terengganu Lancar Polisi Keselamatan Siber
KUALA TERENGGANU, 4 April- Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (PSUK) Terengganu hari ini melancarkan dokumen Polisi Keselamatan Siber (PKS) bagi menjamin kesinambungan urusan PSUK Terengganu dengan meminimumkan kesan insiden keselamatan siber. Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Seri Bijaya Raja berkata, polisi yang dibangunkan Bahagian Pembangunan Teknologi Maklumat (BPTM) dengan kerjasama Pasukan Perunding Keselamatan ICT MAMPU itu bagi menggantikan dokumen Dasar Keselamatan ICT (DKICT) yang telah dibangunkan pada tahun 2013 dengan merujuk kepada standard ISO/IEC 27001:2013 Information Security Management System (ISMS).  “Diharap polisi ini yang menerangkan tanggungjawab dan peraturan-peraturan berkait keselamatan siber difahami dan dipatuhi oleh warga PSUK Terengganu dan pihak ketiga yang mempunyai urusan dengan perkhidmatan ICT PSUK Terengganu,” ujarnya. Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Perhimpunan Bulanan dan Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Warga Kerja Wisma Darul Iman sekali gus menyempurnakan pelancaran polisi berkenaan bertempat di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, hari ini. Turut hadir, Pegawai Kewangan Negeri, Rozali Salleh; Pengarah Tanah dan Galian Negeri, Dato’ Zulkifli Ali; Pengarah Pembangunan Negeri Terengganu, Abdul Kahar Abdul Latif; Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak dan Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan) Anuar Awang. Sementara itu, beliau memaklumkan, pihak Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) menyediakan platform bagi agensi membuat perkongsian data secara dalam talian yang lebih dikenali sebagai data terbuka.  “Platform ini bertujuan menggalakkan perkongsian data, meningkatkan sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan dengan lebih mudah, cepat dan telus serta menggalakkan pertumbuhan ekonomi negara.  “Data terbuka ini adalah data yang boleh digunakan secara bebas, boleh dikongsi dan digunakan semula oleh rakyat dan agensi sektor awam atau swasta. Justeru, digalakkan setiap agensi dapat berkongsi data agar boleh dimanfaatkan oleh pelbagai lapisan pengguna,” ujarnya. Katanya, bagi menyambut saranan itu, kerajaan negeri telah menyumbang sebanyak 124 data di platform tersebut melalui sumbangan data daripada agensi di bawah kerajaan Negeri Terengganu.  “Sehingga kini, saya difahamkan terdapat lima agensi telah bergiat aktif menyumbang data iaitu Pejabat SUK Terengganu, MAIDAM, Majlis Daerah Hulu Terengganu,Yayasan Pembangunan Keluarga dan Majlis Daerah Setiu,” katanya.  
04 Apr 23
422
Tiga Pejabat Tanah Terengganu Terima Pengiktirafan Empat Bintang
Tiga Pejabat Tanah Terengganu Terima Pengiktirafan Empat Bintang
KUALA TERENGGANU, 4 April - Tiga Pejabat Tanah Daerah dari negeri ini memperoleh pencapaian empat bintang dalam pengauditan Sistem Penarafan Bintang (SSR) Pentadbiran Tanah bagi Tahun 2022. Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Seri Bijaya Raja berkata, tiga jabatan berkenaan adalah Pejabat Tanah Besut, Pejabat Tanah Hulu Terengganu dan Pejabat Tanah Dungun. “Rentetan daripada saranan Ketua Setiausaha Negara supaya ‘System Star Rating’ diperluaskan kepada pentadbiran tanah sebagai langkah memastikan peningkatan kualiti perkhidmatan urusan tanah sentiasa diberi keutamaan, sebanyak 32 Pejabat Tanah terlibat bagi pengauditan pada tahun lalu di seluruh Malaysia. “Tahniah kepada Pentadbiran di bawah Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Terengganu iaitu Pejabat-Pejabat Tanah yang terlibat dengan pengiktirafan ini,” ujarnya. Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Perhimpunan Bulanan dan Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Warga Kerja Wisma Darul Iman bertempat di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, hari ini. Sempena perhimpunan bulanan itu, beliau turut menyempurnakan penyampaian insentif kecemerlangan sebanyak RM500 dan sijil penghargaan kepada 19 penerima Anugerah Pekerja Cemerlang Bulanan Wisma Darul Iman bagi bulan Januari, Februari dan Mac 2023. Turut hadir, Pegawai Kewangan Negeri, Rozali Salleh; Pengarah Tanah dan Galian Negeri, Dato’ Zulkifli Ali; Pengarah Pembangunan Negeri Terengganu, Abdul Kahar Abdul Latif; Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak dan Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan) Anuar Awang. Sementara itu, beliau memaklumkan Pejabat Tanah Kemaman berjaya mengutip cukai tanah tertinggi antara daerah-daerah lain sebanyak 88.29 peratus dengan jumlah RM11,000,432.75 pada tahun lalu. “Tahniah juga diucapkan kepada Pejabat Tanah Hulu Terengganu atas kutipan tertinggi bagi cukai tanah tunggakan sebanyak 27.15 peratus dengan jumlah RM891,901.94.  “Semoga pencapaian ini boleh menjadi perangsang kepada Pejabat Tanah yang lain untuk terus cemerlang seterusnya meningkatkan lagi kutipan cukai tanah sehingga mencapai 100 peratus. “Bagi tahun ini, saya dimaklumkan PTG dalam proses memperkenalkan bayaran secara QR Pay sebagai penambahbaikan sistem bayaran bagi memudahkan pelanggan dengan pelbagai pilihan cara bayaran,” ujarnya yang menyatakan kutipan cukai tanah antara penyumbang bagi hasil negeri.
04 Apr 23
597
Madinah Ramadan Kumpulkan Institusi Pondok
Madinah Ramadan Kumpulkan Institusi Pondok
KUALA TERENGGANU, 4 April – Madinah Ramadan yang mula berlangsung pada 30 Mac terus mendapat sambutan dengan kehadiran warga sekolah pondok anjuran Akademi Didik Ulamak Amilin Terengganu (DUAT) semalam. Menjadi keunikan Negeri Terengganu apabila pembangunan modal insan disertakan dengan usaha semarakkan ilmu melibatkan semua aspek pendidikan termasuklah institusi pondok. Kerajaan melalui Portfolio Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan mengumpulkan para tenaga pengajar serta penuntut daripada beberapa buah pondok di negeri ini dalam satu acara Liqa Mahabbah Guru dan Asatizah Pondok dan Sekolah Agama Negeri Terengganu. Majlis dirasmikan Pengerusinya, Mohd Nor Hamzah serta dihadiri Pengerusi Muafakat Pondok Malaysia, Marzuki Yusof dan Pengerusi Persatuan Pondok Terengganu, Ahmad Raqim An-Nuria Al-Madani. Penyerahan sumbangan zakat daripada anak syarikat Terengganu, TDM Berhad kepada Perstauan Kebajikan Rabitah Institut Pendidikan Islam Negeri Terengganu turut disampaikan dalam majlis tersebut. Sebagai rekod sejak November 2022, sebanyak 145 buah institusi pondok berjaya didaftarkan secara rasmi bawah Kerajaan Negeri. Madinah Ramadan menjadi acara mega sejak 2018 bagi meraikan keberkatan Ramadan buat masyarakat Terengganu melalui aktiviti keagamaan, berbuka puasa sehingga tarawih secara berjemaah.  
04 Apr 23
234
Mahkamah Putuskan Abdul Hadi Tak Fitnah Kristian
Mahkamah Putuskan Abdul Hadi Tak Fitnah Kristian
KUALA TERENGGANU, 4 Mac- Mahkamah Persekutuan hari ini memutuskan untuk membatalkan Notis Permohonan Perayu rakyat Sabah, Maklin Maksiau terhadap Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang. Tiga hakim Mahkamah Persekutuan, Y.A.A. Dato' Mohamad Zabidin Mohd Diah, (HBM) Y.A. Dato' Mary Lim Thiam Suan dan (HMP) Y.A. Datuk Harmindar Singh Dhaliwal (HMP) memutuskan untuk membatalkan (Maklin) untuk mendapatkan kebenaran merayu ke Mahkamah Persekutuan atas alasan tiada affidavit yang kompeten sebagai sokongan dan permohonan tersebut adalah cacat.  Menurut peguam bela defendan, Yusfarizal Yussoff, pembatalan tersebut membuktikan Abdul Hadi tidak memfitnah komuniti Kristian sebaliknya, hanya memberi pandangan berkenaan kaedah misionari Kristian semata-mata.  Jelasnya, diperingkat Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan sebelum itu, Mahkamah telah menyatakan bahawa deklarasi yang dipohon adalah semata-mata bermotifkan politik dan tidak mempunyai apa-apa asas dan sandaran dari segi fakta mahupun undang-undang.  Berdasarkan rekod, sebelum ini plaintif bersama Lawrence Jomiji Kinsil @ Maximilhian mengemukakan saman terhadap Abdul Hadi pada 9 Disember 2020 untuk meminta suatu pengisytiharan bahawa defendan tidak layak untuk memegang sebarang jawatan dalam kerajaan, termasuk jawatan yang setara dengan jawatan menteri, susulan kenyataan berbaur hasutan beliau terhadap penganut Kristian dan Mubaligh Kristian di Harakah, pada 18 Jan 2016. Presiden PAS itu kemudian berjaya membatalkan saman pemula di peringkat Mahkamah Tinggi.  Mahkamah Rayuan pada 16 Ogos 2022 turut menolak rayuan untuk mengembalikan semula saman terhadap Abdul Hadi atas dakwaan membuat kenyataan berbaur hasutan terhadap penganut Kristian. Mendiang Datuk Seri Gopal Sri Ram adalah peguam yang berhujah bagi pihak Maklin Maksiau di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan, namun beliau meninggal dunia sebelum pendengaran hari ini. Peguam R. Kengadharan berhujah mewakili Maklin Maksiau pada hari ini.  
04 Apr 23
1073
Rela Berpanasan Agih Bubur Lambuk
Rela Berpanasan Agih Bubur Lambuk
KUALA TERENGGANU, 3 April – Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Terengganu rela berpanasan demi mengagihkan bubur lambuk kepada masyarakat setempat di sini baru-baru ini. Pegawai PERKIM Negeri Terengganu, Mohd Subri Jaafar berkata bersempena dengan kehadiran bulan Ramadan yang penuh mulia ini, pihaknya berkongsi rezeki dengan orang ramai melalui agihan bubur lambuk.  Katanya, untuk fasa pertama, bubur lambuk telah diagihkan di persimpangan laluan kenderaan berhampiran bangunan KOPTER PERKIM Center (KPC) Ladang Tok Pelam. "Penyediaan bubur lambuk tersebut adalah hasil daripada sumbangan orang ramai untuk aktiviti Perkim pada bulan puasa ini. “Lebih 200 bekas bubur lambuk berjaya diagihkan kepada masyarakat mahupun pengunjung yang melalui kawasan itu," jelasnya. Beliau berkata demikian ketika dihubungi oleh Urus Setia Penerangan Darul Iman pada hari ini. Tambah Mohd Subri, biarpun bahang mentari cukup memeritkan, apatah lagi kemarau melanda Kuala Terengganu sekarang, komitmen padu melaksanakan amanah infaq orang ramai tetap diteruskan . Tambahnya lagi, seramai lapan orang kakitangan Perkim yang terlibat dalam pengagihan bubur lambuk tersebut. Beliau berkata, ia sebagai tanda keprihatinan dan memupuk semangat perkongsian Perkim kepada orang ramai pada bulan yang mulia ini. “Agihan seterusnya akan dilaksanakan sekiranya terdapat pihak yang sudi menyalurkan infaq kepada kami. “Terima kasih buat semua yang menyumbang untuk agihan ini, semoga amalan kita semua diterima-Nya,” ujarnya.  
03 Apr 23
348
'Car Food' Sahur Kini Kembali Pikat Pengunjung
'Car Food' Sahur Kini Kembali Pikat Pengunjung
KUALA TERENGGANU, 3 April – Car Food Sahur 6.0 kembali beraksi di Batu Buruk dengan menawarkan lebih 75 jenis makanan  untuk pengunjung yang ingin menikmati konsep sahur secara santai. Penganjur Car Food Sahur, Fakhrurazi Zaini berkata, jualan yang diadakan bermula 28 Mac dari jam 10 malam hingga 3 pagi itu memperkenalkan konsep baharu iaitu konsep khemah sebagai tarikan untuk pelanggan bersantai dan makan.di kawasan parkir kenderaan Primula Beach Hotel di sini. “Pada tahun ini terdapat 30 vendor yang menyediakan pelbagai menu makanan dan minuman berbeza untuk pengunjung membuat pilihan mereka. “Kita bersyukur kerana sambutan daripada pengunjung cukup meriah dan amat menggalakkan. Kita jangka terima sehingga 4,000 pengunjung yang datang ke sini pada setiap hari dan tempat ini boleh memuatkan kira-kira 5,000 pengunjung pada satu-satu masa,”katanya kepada pemberita.  Fakhrurazi berkata, acara jualan itu dianjurkan Kelab Belia Kreatif dan Inovasi (Mandalika) dan Pedalhaus sebagai penaja utama dengan sokongan kerajaan negeri, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Primula Beach Hotel serta sukarelawan Springs. Tambahnya, jualan juga kembali meriah setelah ia dihentikan sementara selama tiga tahun akibat pandemik Covid-19 kerana rata-rata orang ramai merindui acara jualan berkonsepkan sahur secara santai di Batu Buruk di sini. Seorang pengunjung, Shafie Alias, 31, berkata kewujudan Car Food Sahur ini memberikan lebih pilihan kepada golongan muda sepertinya untuk menikmati juadah bersahur di samping merapatkan silaturahim bersama rakan-rakan dan ahli keluarga. "Di bandar raya ini sukar untuk mendapatkan makanan lewat malam kerana banyak kedai yang akan tutup selepas 12 tengah malam, jadi di sini dapatlah saya bersahur dengan menikmati pelbagai juadah kegemaran yang dijual seperti nasi minyak, laksa Terengganu dan kuih-muih tempatan," katanya.  
03 Apr 23
507
Terengganu Lulus 28,260 Permohonan Tanah
Terengganu Lulus 28,260 Permohonan Tanah
KUALA TERENGGANU, 2 April - Kerajaan negeri sudah meluluskan 28,260 permohonan rakyat Terengganu untuk memiliki tanah sejak 2018 hingga Disember 2022. Menurut Pejabat Tanah dan Galian (PTG) negeri, bilangan tersebut walau bagaimanapun tidak termasuk tanah bagi kategori terkilan atau pemberian semula selepas dinafikan hak pada 1999-2004 PTG dalam kenyataan itu memaklumkan, agihan tanah meningkat saban tahun bahkan lebih tinggi berbanding sebelum 2018. “Pada 2016 jumlah tanah yang diagihkan bagi kategori pertanian dan bangunan atau rumah ialah 974, 2017 (1,915), 2018 (793), 2019 (3,473), 2020 (5,173), 2021 (8,859) dan 2022 (9,962),” jelas kenyataan itu. Pihak PTG menjangkakan pemberian tanah kepada rakyat akan terus rancak berjalan pada tahun ini. Ini termasuk pada 30 Mac lalu, Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi selesai mengadakan majlis agihan tanah kepada penduduk setempat. Dalam majlis berkenaan, seramai 250 orang peserta daripada enam Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) di Bukit Besi menerima dokumen hak milik tanah. Pegawai Penyelaras DUN Bukit Besi, Ghazali Sulaiman berkata, usaha yang cuba dilaksanakan oleh pihaknya untuk menyegerakan pemilikan tanah akhirnya menatijahkan kejayaan. "Kita cuba permudahkan apa yang seharusnya dimiliki oleh rakyat. Prosedur ini memakan masa yang lama melibatkan pelbagai agensi,” katanya. Mengulas lanjut kata beliau, pihaknya akan sentiasa komited untuk menyelesaikan isu berkait dengan tanah bagi memastikan rakyat mendapat hak sebagaimana yang dijanjikan.
02 Apr 23
1835