lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

'The Helmis' Pukau Ribuan Pengunjung Madinah Ramadan
'The Helmis' Pukau Ribuan Pengunjung Madinah Ramadan
KUALA TERENGGANU, 9 April – Gandingan artis adik beradik, Nur Heliza Helmi dan Nur Hazwani Atiqah Helmi berjaya 'memukau' ribuan pengunjung di Program Untukmu Wanita Terindah di Madinah Ramadan semalam. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita Negeri, Zuraida Md Noor berkata, himpunan itu kebanyakannya dihadiri oleh kaum wanita yang terdiri dari semua lapisan umur di seluruh Terengganu. “Program yang bermula pada jam 5.30 petang itu berjalan dengan lancar dan mendapat sambutan yang baik dan meriah sepanjang program itu berlangsung. “Di samping, kemudahan tempat letak kenderaan juga luas bagi memudahkan peserta serta pengunjung datang ke tempat program,” jelasnya. Beliau berkata demikian ketika Himpunan Wanita Muda bersama Heliza Helmi dan Hazwani Helmi bertempat di Dataran Jambatan Angkat. Turut hadir, Pengarah Urus Setia Wanita Terengganu (USWa), Wan Nur Sakinah Din dan Pengerusi Badan Bukan Kerajaan (NGO) HANEES, Asma’ Abdullah. Tambah Zuraida, kerajaan negeri dalam rangka pembentukan muslimah yang solehah dengan pelancaran Dasar Wanita Terengganu bertemakan 'Wanita Solehah, Peneraju Bersama'. Tambahnya lagi, tidak terkecuali juga Himpunan Wanita Muda pada petang itu merupakan sebahagian daripada pelan besar pembentukan muslimah solehah. Beliau berkata, program tersebut berakhir pada jam 6.45 petang dan diteruskan dengan majlis berbuka puasa bersama-sama peserta serta pengunjung yang hadir.    
09 Apr 23
358
Terengganu Hidupkan Sambutan Nuzul Al-Quran
Terengganu Hidupkan Sambutan Nuzul Al-Quran
KUALA NERUS, 9 April - Sempena Sambutan Nuzul al-Quran kali ini, Masjid Kampung Tok Jembal dipilih sebagai lokasi memperingati peristiwa agung penuh bagi peringkat negeri. Majlis yang diadakan semalam itu telah diimarahkan oleh rakyat negeri ini khususnya penduduk setempat dengan perasmiannya disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Dato' Satiful Bahri Mamat. Pada mulanya, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah memulakan program dengan kata-kata aluan. Setelah itu,orang ramai yang hadir dapat berbuka puasa bersama dengan dua ahli Meyuarat Kerajaan Negeri itu serta mendidikan solat maghrib berjemaah secara bersama-sama. Bertepatan dengan sambutan Nuzul al-Quran yang merakamkan peristiwa permulaan Al-Quran diwahyukan kepada Rasulullah SAW, majlis diteruskan dengan sesi tadabbur al-Quran. Sesi itu dimulakan dengan bacaan al-Quran yang disampaikan oleh Mudir Madrasah Seberang Tuan Chik, Ustaz Mohd Farizul Abu Khari kemudian tadabbur disampaikan Pensyarah Universiti Sultan Zainal Abiding (UniSZA), Ustaz Ahmad Fauzi Hassan. Kemuncak acara pada malam tadi disusuli dengan solat Isyak berjemaah dan solat tarawih serta majlis jamuan 'moreh'.
09 Apr 23
222
Meriahkan Ibadah Dalam 'Mood' Raya
Meriahkan Ibadah Dalam 'Mood' Raya
KUALA TERENGGANU, 11 Mac- Penganjuran Madinah Ramadan memberi peluang rakyat merasai kemeriahan ibadah dalam persediaan menyambut hari raya. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, itu adalah hasrat kerajaan negeri melalui pelaksanaan Madinah Ramadan dengan pengisian tazkirah, sembahyang berjemaah, solat sunat tarawih dan iftar percuma untuk pengunjung. "Dengan harapan, penyusunan program ini akan mendekatkan rakyat Terengganu dan pelancong yang datang supaya tidak melupakan Allah SWT disamping datang membeli belah. "Gabungan antara keperluan manusia atas material dan keperluan manusia kepada kerohaniannya mengikat mereka kepada Allah SWT," katanya ketika berucap pada Pelancaran Madinah Ramadan di dataran Jambatan Angkat Kuala Terengganu, malam tadi. Madinah Ramadan yang dilancarkan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato'Yahaya Ali telah berlangsung sejak awal Ramadan dengan dihadiri ribuan pengunjung di lokasi berkenaan. Yahaya berpendapat, program tersebut memberikan peluang rakyat merasai kemeriahan ibadah dan penghayatan syariah Islam yang syumul. "Walaupun ibadah boleh dilakukan di mana-mana tetapi pelaksanaan secara amal jamaie yang akan memakmurkan Madinah Ramadan. "Kita ini berada di pertengahan bulan Ramadan di mana kita masih berpeluang mengejar fadhilat dan kelebihan yang sangat lumayan yang dijanjikan Allah SWT. "Marilah kita mengambil peluang dan kesempatan terbuka ini yang tidak mungkin didapati pada bulan yang lain," katanya.        
08 Apr 23
190
Kerajaan Berbelanja Demi Kesejahteraan Rakyat
Kerajaan Berbelanja Demi Kesejahteraan Rakyat
KUALA TERENGGANU, 7 April- Kerajaan Negeri sanggup berbelanja dengan pelbagai peruntukan yang disalurkan demi kesejahteraan rakyat. Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran negeri, Dato' Tengku Hassan Tengku Omar berkata, sepanjang tahun ini bantuan daripada kerajaan Terengganu akan disalurkan tanpa putus untuk kebajikan setiap golongan yang memerlukan.  "I-Belia, I-Siswa, Pencen Rakyat, Wad Kelas Tiga yang tidak perlu bayar duit dan hari ini Kad Sejahtera untuk ke klinik-klinik swasta sebanyak RM500 seorang, di DUN Ladang kali ini seramai 760 orang penerima, banyak juga yang kerajaan belanjakan.  "Ini untuk mengelakkan rakyat bersesak di hospital kerajaan dan supaya rakyat dapat rawatan segera, "ujarnya. Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Taklimat dan Penyampaian Kad Sejahtera di sebuah hotel di sini semalam.
07 Apr 23
390
Kanak-Kanak Hampir Buta Angkara Mercun Diubahsuai
Kanak-Kanak Hampir Buta Angkara Mercun Diubahsuai
KUALA TERENGGANU, 6 April - Empat kanak-kanak cedera akibat bermain mercun yang telah diubahsuai dalam satu kejadian di Kuala Nerus, pada Selasa baru-baru ini. Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md. Din berkata, salah seorang daripada kanak-kanak  itu telah menyalakan mercun yang diubah suai lalu menyebabkan berlaku letupan kuat. Katanya, kejadian tersebut disedari oleh abang mangsa yang berusia 25 tahun dan  membuat laporan polis di Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu. Siasatan mendapati kejadian berlaku kira-kira jam 8.30 malam apabila kanak-kanak berusia lingkungan 8 hingga 13 tahun itu sedang bermain mercun berhampiran kawasan rumah mereka. “Salah seorang mangsa masih diberikan rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) kerana mengalami kecederaan di bahagian mata sebelah kanan. “Sementara itu, tiga orang lagi rakan mangsa menerima rawatan sebagai pesakit luar di hospital sama akibat kecederaan pada anggota tubuh badan,” ujarnya menerusi kenyataan di sini, hari ini. Menurut Abdul Rahim, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-dua jika sabit kesalahan. Tambahnya, kes turut di bawah Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 iaitu kesalahan mengabaikan kanak-kanak yang membawa hukuman denda tidak lebih RM20,000 atau penjara tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya. "Orang ramai terutama ibu bapa diminta sentiasa memantau dan mengawasi aktiviti anak-anak di bawah umur semasa mereka bermain bunga api atau mercun terutama pada musim perayaan ini," ujarnya.        
06 Apr 23
293
'Tak Sabar Sambut Raya Pakai Baju Baru'
'Tak Sabar Sambut Raya Pakai Baju Baru'
HULU TERENGGANU, 6 April - Seramai 300 pelajar yang menerima sumbangan baju raya dan wang tunai RM200 di sini meluahkan rasa tidak sabar untuk menyambut kedatangan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi. Sumbangan tersebut disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin. Turut mengiringi baginda, YAM Tengku Sri Setia Mahkota Raja, Tengku Dato Seri Muhammad Mua’az, YAM Tengku Puteri Utama Raja Tengku Nadhirah Zahrah dan YAM Tengku Puteri Daulath Raja Tengku Fatimatuz Zahra. Nurul Syazwani Batrisya Adenan,15, berasa amat bertuah dan gembira kerana dipilih menerima bantuan Aidilfitri pada hari ini. Dia yang bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Landas bersama dengan lima lagi rakannya bertolak ke tapak program seawal jam 7 pagi. “Kami sampai pada jam 7.30 pagi dan berasa amat teruja kerana pertama kali dapat melihat anak raja depan mata kami,” katanya selepas Majlis Pengurniaan Sumbangan Sempena Hari Raya Aidilfitri Tahun 2023 Daerah Hulu Terengganu bertempat di Dewan Besar Majlis Daerah Hulu Terengganu (MDHT) di sini hari ini. Sementara itu, Siti Nurain Khasyifa,11, meluahkan rasa tidak sabar untuk menyambut hari raya Aidilfitri pada tahun ini kerana ingin memakai baju raya yang diperolehinya pada hari ini. “Harapan saya agar program ini berterusan bagi membantu mereka yang tidak berkemampuan menyambut Hari Raya Aidilfitri setiap tahun. “Terima kasih kepada semua pihak terlibat dan pemberian ini saya akan manfaatkan sebaik mungkin,” ujarnya.  
06 Apr 23
457
Raja Muda Terengganu Kurnia Baju Raya
Raja Muda Terengganu Kurnia Baju Raya
HULU TERENGGANU, 6 April - Yang di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan mencemar duli mengurniakan Sumbangan Sempena Hari Raya Aidilfitri kepada 300 orang pelajar terpilih di daerah ini. Turut mengiringi baginda, YAM Tengku Sri Setia Mahkota Raja, Tengku Dato Seri Muhammad Mua’az, YAM Tengku Puteri Utama Raja Tengku Nadhirah Zahrah dan YAM Tengku Puteri Daulath Raja Tengku Fatimatuz Zahra. Keberangkatan tiba baginda disambut Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar bersama Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri serta pegawai-pegawai tinggi kerajaan negeri. Pada majlis yang diadakan di Dewan Besar Majlis Daerah Hulu Terengganu (MDHT) itu, seramai 300 orang penerima bantuan Aidilfitri daripada dua daerah yang terlibat iaitu Marang dan Hulu Terengganu. Sumbangan tersebut adalah berupa sepasang baju raya, wang ringgit berjumlah RM200, dan sekotak buah kurma bagi setiap seorang pelajar terpilih. Dua daerah tersebut terdiri daripada 93 buah sekolah yang mempunyai bilangan pelajar 145 lelaki dan 155 perempuan. Program yang bermula pada pukul 8.45 itu diawali dengan alunan bacaan ayat suci Al-Quran daripada Qari, Mohamad Syakir Asyraf Shahaimi dan diteruskan dengan pengagihan sumbangan kepada 300 orang pelajar yang terpilih pada program itu. Majlis tersebut berjalan dengan lancar yang dihadiri kira-kira 500 orang termasuk para pelajar, guru-guru serta kakitangan awam dan majlis itu berakhir pada jam 10.30 pagi.  
06 Apr 23
1249
Syarikat Berkaitan Kerajaan Terengganu Gondol Dua Anugerah
Syarikat Berkaitan Kerajaan Terengganu Gondol Dua Anugerah
KUALA LUMPUR, 6 April - Syarikat berkaitan kerajaan Terengganu, Kumpulan Medic Iman Sdn Bhd (KMI Healthcare) berjaya menggondol dua anugerah khas sempena Healthcare Asia Award 2023 yang diadakan di Shangri-La Singapura, baru-baru ini.  Anak syarikat TDM Berhad itu menerima anugerah Inisiatif Penjagaan Pesakit Terbaik (Patient Care Initiative of the Year) dan Inisiatif Inovasi Penyampaian Perkhidmatan Terbaik (Service Delivery Innovation Initiative of the Year). KMI dalam satu kenyataan berkata, anugerah itu diperoleh hasil pelaksanaan Hospital Mesra Ibadah dengan tema mengiktiraf inisiatif revolusi dalam sektor penjagaan kesihatan. "Pencapaian besar bagi inisiatif Hospital Mesra Ibadah ini telah menghasilkan peningkatan yang ketara dalam kepuasan pesakit dan menerima maklum balas positif daripada pesakit dan juga kakitangan.  "Program ini telah membantu mewujudkan persekitaran yang lebih mesra dan inklusif untuk semua pesakit, terutamanya masyarakat Islam," ujar kenyataan tersebut. Ujarnya, ramai pesakit amat mementingkan aspek kerohanian dan keagamaan semasa mereka berada di hospital. "Sebagai maklum balas, KMI membangunkan program komprehensif yang menggabungkan amalan dan kepercayaan agama Islam ke dalam operasi harian di samping menangani keperluan fizikal dan emosi pesakit. "Berpusat pada matlamatnya untuk mendidik, pesakit dan keluarga mereka dibekalkan dengan maklumat dan sumber tentang keperluan agama Islam. "Kakitangan di hospital milik KMI telah dilatih untuk memahami kepelbagaian amalan bagi pesakit Islam," jelasnya. Menurut kenyataan itu lagi, 70 peratus kakitangan dari hospital KMI telah menyertai kursus latihan modul yang diketuai oleh pegawai agama hospital dan pakar dari hospital swasta lain. "Untuk melengkapkannya, pegawai agama yang terlatih dan berpengalaman dalam memberikan sokongan rohani dan emosi bersedia membantu dalam solat dan ibadah. "Pasukan kaunselor yang berdedikasi juga tersedia untuk memberikan sokongan emosikepada pesakit dan keluarga mereka semasa mereka dimasukkan ke hospital," jelasnya.  Katanya, kemudahan yang disediakan di semua hospital KMI turut meliputi surau, tanda kiblat di setiap bilik, kit lengkap tayammum dan solat. "Untuk mewujudkan persekitaran yang mesra dan inklusif, bilik tenang (quiet room) telah diperuntukkan khusus untuk solat dan meditasi bagi agama lain. "E-book bertajuk 'Panduan Solat & Amalan Bagi Pesakit' dan 'Doa & Zikir Harian' disediakan kepada pesakit dan menjadi panduan menyeluruh untuk mereka bagi menunaikan solat harian," ujarnya.  
06 Apr 23
1120
Ahmad Samsuri Rai Asnaf, Pelajar dan Warga Dungun
Ahmad Samsuri Rai Asnaf, Pelajar dan Warga Dungun
DUNGUN, 6 April - Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar meraikan golongan asnaf, pelajar dan penduduk di daerah ini dalam siri jelajah Prihatin Ramadan dan Majlis Berbuka Puasa Bersama MB Terengganu di Masjid As-Salikin, Sungai Udang, Sura semalam. Prihatin Ramadan di Dungun semalam menjadi aturan jelajah bagi daerah ketiga selepas Marang dan Kuala Nerus beberapa hari lepas. Lebih seribu orang penduduk sekitar Sungai Udang hadir bagi memeriahkan program tersebut termasuklah jemputan bagi pelajar pondok dan institusi pengajian tinggi dalam kawasan tersebut. Turut mengiringi Menteri Besar adalah isterinya, To’ Puan Seri Tuan Faizah Tuan Ab Rahman serta semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bagi parlimen Dungun, ADUN Paka, Dato’ Satiful Bahri Mamat selaku Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri; Sura, Wan Hapandi Wan Nik; Rantau Abang, Alias Harun serta Ahli Parlimen Dungun, Wan Hasan Wan Ramli. Dalam masa yang sama, 15 asnaf daripada Kampung Bijangga diraikan apabila terpilih bagi menerima sumbangan sempena Prihatin Ramadan Dungun. Prihatin Ramadan Bersama MB Terengganu akan diteruskan ke lima lagi daerah bermula Kemaman pada 11 April dan ditamatkan di Setiu pada 16 April. Program ini menjadi aktiviti jelajah Ahmad Samsuri ke semua daerah yang dicetuskan sendiri oleh beliau dalam usaha menyantuni rakyat Terengganu sepanjang Ramadan.  
06 Apr 23
156
Prihatin Ramadan Bersama MB Tarik Ribuan Rakyat
Prihatin Ramadan Bersama MB Tarik Ribuan Rakyat
KUALA NERUS, 5 April – Program Prihatin Ramadan dan Majlis Berbuka Puasa bersama Menteri Besar Terengganu berjaya menarik lebih 1,000 rakyat di setiap lokasi. Pengerusi Masjid Nur Bakti, Mohamad Sabry Othman berkata, sambutan amat menggalakkan itu difahamkan kerana masyarakat mahu berbuka puasa, solat tarawih dan mendengar tazkirah bersama Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar. Katanya, dia juga amat teruja apabila mendapat tahu bahawa Masjid Nur Bakti dipilih menjadi tuan rumah pada program Prihatin Ramadan di Daerah Kuala Nerus. “Di mana program ini diadakan di setiap daerah dalam negeri ini. “Makanan yang disediakan untuk berbuka juga habis, kita sediakan hampir seribu, justeru membuktikan bahawa kehadiran luar jangka pada program ini,” jelasnya. Beliau berkata demikian selepas Program Prihatin Ramadhan Daerah Kuala Nerus bertempat di Masjid Nur Bakti, Kampung Wakaf Tembesu di sini semalam. Turut hadir, Pengarah Urus Setia Penerangan Darul Iman, Mohd Soud Said dan Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Takir, Mohd Fadhil Wahab. Tambah Sabry, pihaknya menghargai usaha Kerajaan Negeri di atas kesudian menjadikan Masjid Nur Bakti sebagai tuan rumah pada program tersebut sekali gus mendapat pelbagai manfaat. “Antaranya, melalui program tersebut dapat memperkenalkan program dan aktiviti masjid ini kepada pengunjung luar,” katanya. Untuk rekod kata Sabry, masjid itu juga telah diberikan pengiktirafan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sebagai masjid terbaik dalam kategori khidmat komuniti dalam standard penarafan masjid Malaysian (SPMM) peringkat kebangsaan. Program berkenaan dijalankan di setiap daerah melibatkan satu lokasi terpilih, Marang dan Kuala Nerus adalah daerah yang telah berjaya melaksanakannya.
05 Apr 23
408