Artikel "Utama" Terkini
Royalti : Terengganu Belum Terima Bayaran Penuh
SERDANG, 2 April - Kerajaan Terengganu mengesahkan pihaknya masih belum menerima bayaran penuh Dana Khas Kerajaan Persekutuan (DKKP) yang juga dianggap wang royalti.
Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri berkata, setakat ini kerajaan negeri hanya menerima bayaran pendahuluan.
"Beberapa hari yang lepas kita ada menerima sedikit pendahuluan daripada peruntukan itu, bukan sepenuhnya.
"Bakinya saya percaya akan sampai dalam waktu terdekat ini, buat sementara ini kita hanya menerima sebahagian kecil dahulu," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media ketika Majlis Berbuka Puasa Kepimpinan Kerajaan Negeri Bersama Anak Terengganu di Perantauan, di Dewan A MAEPS Serdang, hari ini.
Ujarnya lagi, proses perundingan antara pihaknya dengan Kementerian Kewangan akan sentiasa berjalan.
Untuk rekod, sebelum ini Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan bahawa DKKP akan dibayar seperti amalam sebelum ini iaitu pada bulan Mac dan September.
Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai dakwaan Anwar bahawa kerajaan Terengganu dan Kelantan diberi peruntukan yang lebih tinggi berbanding kerajaan Perikatan Nasional, katanya perkara tersebut kurang jelas.
"Sebenarnya saya kurang jelas tentang (dakwaan) itu, jadi (tunggu) sehingga saya (dapat) maklumat terperinci, (setakat ini) saya tak nak bagi komen lagi," ujarnya lagi.
02 Apr 23
1013
PAS Alukan Nama Besar Sertai PN
SERDANG, 2 April - PAS sangat mengalukan penyertaan tokoh besar ke dalam Perikatan Nasional (PN) sama ada melalui parti Islam itu ataupun Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Naib Presiden PAS yang juga Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kehadiran tokoh-tokoh berkenaan akan memberi nilai tambah kepada PN berdasarkan pengalaman politik mereka.
"Insya-Allah (kita alukan Tan Sri Annuar Musa), kita juga jangka lebih ramai akan turut serta, saya tidak boleh sebut lagi tetapi insya-Allah akan ada. Tidak terhenti di situ sahaja," ujarnya ketika ditanyai mengenai desas sesus kemasukan Annuar ke dalam PAS.
Beliau berkata demikian ketika Majlis Berbuka Puasa Kepimpinan Kerajaan Negeri Terengganu Bersama Anak Terengganu di Perantauan, di Dewan A, MAEPS Serdang, di sini, semalam.
Menurut Ahmad Samsuri, difahamkan mereka yang mahu menyertai PN percaya gabungan itu adalah parti terbaik selepas kecewa dengan perjuangan parti yang pernah disertai sebelum ini.
"Setiap mereka yang bersama dengan PAS sudah tentu ada peranan masing-masing, kita akan beri mereka peranan-peranan tertentu.
"Saya percaya orang yang mempunyai pengalaman seperti Annuar dan lain-lain ada peranan yang boleh kita berikan untuk sama-sama memperkasakan PAS sebagai parti politik yang sah dalam negara," ujarnya lagi.
02 Apr 23
723
KRT Hulu Terengganu Agih 9 Ribu Pek Bubur Lambuk
HULU TERENGGANU, 2 April – Sebanyak 45 kawah bubur lambuk dimasak oleh Kawasan Rukun Tetangga (KRT) daerah ini sempena Program Gerak Rahmah 2023 : Jom Masak Bubur Lambuk.
Pegawai Perpaduan Daerah Hulu Terengganu, Asronizam Mamat berkata, program yang diadakan secara serentak oleh KRT seluruh negara itu bertujuan mengimarahkan bulan Ramadan dan mengeratkan hubungan antara komuniti merupakan salah satu inisiatif oleh Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN).
Selain itu katanya, ia juga bertujuan untuk meneruskan kesinambungan program-program JPNIN untuk memperkasa, mempertingkatkan dan mempelbagaikan program KRT ke arah membangunkan komuniti rahmah.
“Sebanyak 9,000 bekas bubur lambuk dapat disediakan dan diagihkan kepada komuniti setempat.
“Program ini telah mula dilaksanakan pada tahun lepas dan ini merupakan tahun kedua pelaksanaannya dan gembira dengan sambutan daripada KRT yang melaksanakan program ini," katanya kepada pemberita ketika ditemui semalam.
Antara KRT yang terlibat dalam pelaksanaan program ini adalah Kampung (Kg) Pengkalan Ajal, Kg Tok Randok, Kg.Gunung, Felda Tersat, Kg Landas, Kg Pantai Ali, Kg Kuala Ping, Kg. Sekayu, Pekan Kuala Berang, Sungai Bajar serta Felda Jerangau Barat dan Kg Teris.
02 Apr 23
277
Permohonan i-Fitri Perantau Dibuka 6 April
SERDANG, 1 April - Berita gembira untuk rakyat Terengganu yang berada di perantauan apabila bantuan i-Fitri akan mula dibuka permohonannya pada 6 hingga 20 April secara atas talian melalui i-Bantuan.
Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar pada hari ini mengumumkan inisiatif tersebut di Majlis Berbuka Puasa Kepimpinan Kerajaan Negeri Bersama Anak Terengganu di Perantauan, di MAEPS.
"Kita menyasarkan 20,000 perantau akan menerimanya melalui peruntukan sebanyak RM6 juta.
"Untuk jumlah keseluruhan i-Fitri bagi seluruh rakyat adalah RM57 juta untuk 190,000 orang penerima," ujarnya.
Antara syarat utama i-Fitri Perantau mestilah rakyat Terengganu yang menetap di luar, juga merupakan pengundi berdaftar di Terengganu.
Syarat kelayakannya pula ialah, pendapatan isi rumah tidak melebihi RM2,500, penjawat Awam atau lantikan kerajaan yang menerima elaun tetap bulanan adalah tidak layak memohon.
Peniaga berlesen tidak layak memohon kecuali pendapatan isi rumah tidak melebihi RM2,500 sebulan.
Manakala yang tidak mempunyai slip gaji perlu mengemukakan surat akaun pendapatan yang disahkan penghulu mukim, Pengerusi JPKK, atau pegawai Kerajaan yang berkelayakan.
Pemohon hendaklah mencetak borang permohonan sebagai simpanan dan bukit permohonan selesai dan permohonan boleh ditolak sekiranya maklumat tidak benar atau tidak lengkap.
01 Apr 23
13505
4,000 Perantau Hadir Berbuka Puasa Bersama MB
SERDANG, 1 April - Lebih 4,000 anak Terengganu di perantauan hadir ke Majlis Berbuka Puasa bersama Menteri Besar Terengganu hari ini.
Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kehadiran ramai anak perantau itu menandakan semangat persaudaraan yang kuat dalam kalangan rakyat Terengganu.
Katanya, pertemuan itu juga sangat bermakna kepada Kerajaan negeri dalam memastikan hubungan erat terjalin antara perantau dan Kerajaan negeri.
"Boleh bersama berada dalam majlis berbuka puasa dengan semangat persaudaraan tidak kira dari daerah mana semua dapat berkumpul.
"Sudah tentu semua diantara kita ini berasa bangga menjadi anak- anak Terengganu yang telah melakukan pencapaian yang hebat dalam semua bidang di persada negara dan antarabangsa lagilah perlu berbangga menjadi anak Terengganu," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika Majlis Berbuka Puasa Kepimpinan Kerajaan negeri bersama Anak Terengganu di perantauan, di Dewan A, MAEPS Serdang di sini.
Untuk rekod program tahunan itu bermatlamat untuk mendekatkan kepimpinan Kerajaan negeri dengan perantau.
Dalam majlis berkenaan tujuh pemimpin kerajaan negeri hadir sesi ramah mesra dan soal jawab berkaitan pembangunan negeri.
Antara yang hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Dato' Satiful Bahri Mamat, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dato' Dr Alias Razak.
Selain itu turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perladangan, Komuniti Dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim, Pengerusi Jawatankuasa Kebaikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat, Pengerusi Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah.
Juga turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman dan Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Mohd Nur Khuzaini A.Rahman.
Sementara itu Wan Sukairi berkata, sesi ramah mesra yang diadakan itu merupakan peluang yang sangat besar kepada barisan kepimpinan kerajaan negeri untuk mendengar segala pandangan dan cadangan demi kebaikan seluruh rakyat Terengganu termasuk yang berada di perantauan.
"Walaupun jauh berada, namun hubungan ini perlu sentiasa dipereratkan, dan perantau Masih mempunyai tanggung jawab untuk memberi segala cadangan dan pandangan yang sangat diperlukan untuk kebaikan bersama.
"Terima kasih kepada semua perantau yang sanggup datang berbuka dengan kepimpinan Kerajaan negeri," ujarnya.
01 Apr 23
704
EPIC Berhad Peruntuk RM60 Ribu Bantu Murid Asnaf
KUALA TERENGGANU, 1 April - Eastern Pacific Industrial Corporation (EPIC) Berhad memperuntukkan RM60,000 bagi membantu 80 murid kurang bernasib baik pada program Jalinan Kasih Ramadan tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutif EPIC, Ridzuan Ali berkata, ia sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat untuk membantu golongan memerlukannya.
Katanya, program Jalinan Kasih Ramadan pada tahun ini melibatkan dua daerah iaitu Kemaman dan Kuala Terengganu.
"Setiap murid terpilih diberi peruntukan RM250 kelengkapan Hari Raya Aidilfitri seperti pakaian dan kasut raya.
"Mereka juga diraikan di sebuah majlis jamuan berbuka puasa bernilai RM50 seorang yang diadakan di Paya Bunga Hotel, Kuala Terengganu, di samping menerima duit raya sebanyak RM100," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di program Jalinan Kasih Ramadan di KTCC Mall semalam.
Tambah Ridzuan, sepanjang Ramadan, EPIC secara keseluruhannya telah memperuntukkan sebanyak RM170,000 untuk menyantuni golongan- golongan asnaf dan juga komuniti setempat melalui program-program CSR bagi berkongsi rezeki.
Sementara itu, salah seorang anak yatim yang ditemui, Muhammad Fitri Nasrullah Mohd. Rosdi, 10, berkata, dia cukup gembira apabila dapat membeli baju raya dan berbuka puasa di hotel.
Murid tahun empat Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Hiliran yang kehilangan ayah pada tahun lepas turut menggunakan wang tersebut membeli sepasang baju untuk adik lelakinya yang berusia sembilan tahun.
"Baru- baru ini, mak beritahu dia tidak ada duit nak beli baju raya untuk kami.Bila ada peluang yang Epic bagi, saya pun beli pakaian baru untuk adik supaya mak tak susah hati lagi," katanya yang merindui kenangan di bulan puasa bersama arwah ayah.
01 Apr 23
409
Terengganu FC Lega Pertahan Tiga Mata
KUALA NERUS, 1 April- Pasukan Terengganu Football Club (Terengganu FC) mendaki 2023 ke tangga keenam Liga Super Malaysia hasil kemenangan tipis 2-1 ke atas Kelantan United FC, sebentar tadi.
Beraksi di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), skuad kendalian Tomislav Steinbruckner turun dengan hasrat mencari kemenangan kedua selepas permulaan hambar musim ini.
Seawal minit kelima, tuan rumah sudah di depan hasil jaringan pemain naturalisasi negara, Liridon Krasniqi setelah menerima umpanan Muhamad Azam Azmi Murad dalam kotak penalti pelawat.
Tiga minit kemudian, anak-anak buah Tomas Trucha cuba menyamakan kedudukan, namun rembatan Victor Silva berjaya ditepis keluar Mohd Suhaimi Husin.
Perlawanan berlangsung perlahan dengan kedua-dua pasukan lebih berhati-hati dan banyak bermain di kawasan tengah.
Pada minit ke-27, Jordan Mintah menggamatkan sorakan penyokong tuan rumah dengan gol kedua Terengganu FC.
Bermula dari hantaran lintang Syafiq Ismail, pemain kelahiran Ghana itu menanduk masuk bola menggegarkan gawang Muhammad Ilham Amirullah Razali untuk gol pertamanya musim ini.
Kedudukan kekal 2-0 sehingga tamat separuh masa pertama.
Kelantan United FC mencipta beberapa peluang seawal babak kedua bersambung untuk merapatkan jurang jaringan.
Pada minit ke-51, Devid de Santana yang menerima umpanan di dalam kotak penalti cuba mengatasi Suhaimi tetapi tidak berjaya.
Tiga minit kemudian, Abdul Latif Suhaimi berpeluang meledak jaringan, namun tandukannya tersasar.
Pada minit ke-56, Terengganu FC menyerang kubu pelawat tetapi rembatan kencang dari jarak 20 meter oleh penyerang kelahiran Croatia, Ivan Mamut diselamatkan palang gol.
Memasuki minit ke-75, pemain sayap Filipina, Jose Elmer Porteria memecah kebuntuan jaringan Kelantan United FC dengan rembatan dari jarak 20 meter untuk merapatkan jurang kepada 1-2.
Kelantan United FC cuba menyamakan kedudukan bagi mencuri satu mata dari Gong Badak, namun tiada jaringan tambahan terhasil.
Kemenangan tersebut memastikan Terengganu FC menghuni kelompok enam teratas dengan tujuh mata dari enam perlawanan.
Terengganu FC akan melayan kunjungan satu lagi pasukan dari Kelantan, Kelantan FC pada Selasa depan.
31 Mar 23
361
NGO Terengganu Cemerlang
KUALA NERUS, 31 Mac – Badan Bukan Kerajaan (NGO) Terengganu cemerlang dalam melaksanakan misi bantuan di dalam dan luar negara dari pelbagai sudut sama ada tenaga mahupun sumbangan wang ringgit.
Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato’ Yahaya Ali berkata, ia dilihat menerusi program Tabung Terengganu for Turkiye and Syria yang dilancarkan baru-baru ini yang mencapai kutipan sebanyak RM1.3 juta.
Katanya, sehinggakan Terengganu dinobat sebagai penyumbang terbesar dari Malaysia.
“Tidak lupa juga misi-misi pasca banjir yang berlaku di dalam atau luar negeri sehingga hampir kesemua NGO menyalurkan tenaga aktivis serta sukarelawan untuk membantu mangsa- mangsa yang terjejas.
“Bahkan dalam kategori pendidikan, kebajikan OKU, belia dan beliawanis, perantau, agama serta hak kepenggunaan, fungsi NGO begitu jelas memudahkan urusan ramai pihak," jelasnya.
Beliau berkata demikian semasa menyempurnakan Majlis Perasmian Townhall NGO Terengganu bertempat di Dewan Al-Wathiqu Billah, Bandar Kuala Nerus di sini semalam.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah.
Tambah Yahya, memahami begitu pentingnya kewujudan dan besarnya peranan NGO, kerajaan negeri Terengganu dengan Kerjasama Majlis Muafakat NGO Terengganu (MMNT) telah menubuhkan Anjung NGO Terengganu.
Tambahnya lagi, ia berfungsi sebagai “One Stop Centre”, pusat utama menjalankan aktiviti atau mesyuarat pertubuhan supaya potensi dan impak NGO-NGO dapat diperkasa.
"Untuk makluman, Anjung NGO Sejahtera sudah siap 95 peratus dan akan dapat dimanfaatkan oleh sebilangan besar NGO," jelasnya.
Beliau berkata, NGO juga sebagai gerakan besar, gelombang ketiga yang boleh menentukan kepimpinan negara justeru jasa perjuangan mereka perlu dihargai.
31 Mar 23
564
1,950 Mangsa Banjir Dungun Terima RM1,000
DUNGUN, 31 Mac- Seramai 1,950 Ketua Isi Rumah (KIR) mangsa banjir di Dungun menerima bantuan banjir bernilai RM1,000 daripada kerajaan negeri semalam.
Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Dungun, Kapten (PA) Ahmad Kamal Hakim Ngah berkata, bantuan daripada itu melibatkan mangsa banjir di empat mukim.
" Agihan selama dua hari berturut-turut ini, iaitu sejak Rabu melibatkan mangsa banjir di Mukim Besol dan Kuala Jengal, manakala hari ini (Khamis) mangsa banjir dalam Mukim Abang dan Jerangau," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di Dewan Arena Merdeka di sini pada Khamis.
Menurut Ahmad Kamal bantuan tersebut hanya untuk mereka yang terjejas banjir sahaja.
"Kepada yang tidak terjejas ataupun tidak menepati syarat dinasihatkan tidak mendaftar kerana bantuan ini disalurkan untuk mereka yang terjejas banjir," ujarnya lagi.
Sementara itu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun yang berterima kasih atas kecaknaan kerajaan negeri kepada mangsa-mangsa banjir.
"Hari ini sebahagian mangsa telah menerima dana bantuan banjir, walaupun bantuan ini mungkin tidak setimpal dengan kerosakan yang ditanggung tetapi diharapkan agar ia dapat menampung sedikit bebanan yang ada.
"Musibah banjir yang berlaku adalah sedikit daripada ujian Allah jika dibandingkan dengan nikmat-nikmatNya kepada kita," katanya lagi.
31 Mar 23
338
Madinah Ramadan Sedia Sukarelawan Jaga Anak Ketika Tarawih
KUALA TERENGGANU, 31 Mac - Madinah Ramadan pada tahun ini menyediakan pusat penjagaan kanak-kanak bagi membolehkan ibu bapa menunaikan solat tarawih dengan lebih tenang dan selesa.
Wakil Sukarelawan di pusat penjagaan kanak-kanak itu, Nur Aisyah Humairah berkata ibu bapa hanya perlu menumpukan perhatian kepada ibadat sementara kanak-kanak berada di bawah jagaan sembilan petugas.
Katanya, kanak-kanak dijaga dengan pelbagai aktiviti yang disediakan.
"Pelbagai aktiviti menarik yang akan mereka lakukan termasuk melukis, mewarna, bermain dan sebagainya.
"Tinggalkan sahaja anak-anak di sini, inilah keistimewaan yang ada di Madinah Ramadan bermula pada tahun ini tanpa dikenakan sebarang bayaran, " ujarnynya ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) di Madinah Ramadan, Dataran Jambatan Angkat, semalam.
Mengulas lanjut katanya, perkhidmatan yang disediakan itu walau bagaimanapun hanya dikhususkan untuk anak-anak yang berusia empat tahun ke bawah.
31 Mar 23
376